Thursday, December 27, 2012

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab17.

Assalamualaikum.







"...A friends is one who knows you and loves you just the same..." - Elbert Hubbard








Bab 17
NURUL AIN tidak senang duduk. Tadi, sewaktu Tengku Hanif melintas di depannya, lelaki itu pamit pesanan buatnya. Katanya, Datuk Awang Kader berkehendak dia datang ke bilik pejabat.
            Dua kali dia bertanya demi mendapatkan kepastian dan jawapannya sama. Tengku Hanif menggesa supaya dia cepat-cepat ke sana. Kata lelaki itu lagi, Datuk Awang Kader tidak suka menunggu lama. Seperti lipas kudung, dia terus berkejar ke bilik Datuk Awang Kader. Entah apa yang hendak dibicarakan lelaki separuh usia itu.
            Sampai di depan pintu bilik, Sufiah meminta dia tunggu sebentar. Datuk Awang Kader ada tetamu. Dia menarik nafas dalam. Mujur nasib menyebelahi dia. Resah betul hati memikirkan kalau-kalau Datuk Awang Kader serupa nenek kebayan ahli sihir di kedai bunga tempatnya bekerja dahulu. Mahu kecut segala jantung, ginjal dan organ dalam badan.
            Agak-agak apa yang tidak kena? Kalau Tengku Hanif yang beria hendak bercakap dengannya, dia tahulah kenapa. Mungkin dia cuai semasa menyusun fail ke, apa ke. Ini Datuk Awang Kader. Hah, entah-entah air kopi itu tidak menepati citarasa Datuk Awang Kader. Nurul Ain garu kepala. Tapi Tengku Hanif yang suruh dia beli air kopi itu.
            Nurul Ain mendongak saat terdengar pintu berkeriuk. Seorang lelaki berjambang keluar dari bilik Datuk Awang Kader. Mereka berselisih pandangan. Lelaki itu menghulur senyum tetapi dia hanya membalas dengan sengihan halus.
            “Masuklah, Ain,” kata Sufiah.
            Nurul Ain mengangguk. Perlahan-lahan dia menolak daun pintu dan melangkah masuk, memijak lantai bilik besar tersebut. Pintu ditutup semula. Dia berdiri di depan pintu. Matanya meliar memandang sekeliling.
            “Ada apa Datuk nak jumpa saya?”Nurul Ain bersuara.
            Datuk Awang Kader angkat muka. Dia berdiri lalu pergi ke arah sebuah kerusi empuk yang terletak di sudut kanan bilik.
            “Silakan duduk,” pelawa Datuk Awang Kader.
            Terus laju langkah Nurul Ain. Dihenyak punggung duduk bertentangan Datuk Awang Kader.
            “Macam mana kerja sini?” Datuk Awang Kader memulakan perbualan.
            Terkuis-kuis hujung ibu jari kaki Nurul Ain. Bagaimanakah dia dapat menghurai pekerjaan dia di sini? Hendak kata kakitangan tetap, dia tidak dibayar gaji. Orang kerja kontrak pun ada gaji. Nurul Ain sekadar senyum kecil.
            “Okeylah. Saya tolong Tengku, tolong Lufiya.” Nurul Ain bercerita dalam sebaris ayat. Hakikat sebenar, dia dipaksa untuk melakukan semua sekali arahan yang datang dari Tengku Hanif. Bukan-bukan pula.
            “Ain suka kerja sini?”
            Hah, apakah jawapan bernas yang harus dia beri? Suka kerja? Memang tidaklah! Andai ditanya, sebab apa dia tidak suka kerja di sini, tentunya jawapan yang akan terkeluar adalah nama Tengku Hanif. Tengku Hanif suka suruh-suruh dia buat kerja yang pelbagai. Pernah dia dipaksa lap meja dan segala perabot di dalam bilik pejabat lelaki itu. Kejam sungguh! Mentang-mentanglah dia terikat dengan kontrak biul.
            “Suka,” jawab Nurul Ain. Kedengaran tidak ikhlas di situ.
            Datuk Awang Kader memperbetulkan duduknya. “Ain duduk dengan siapa?”
            “Saya tinggal dengan mak dan adik perempuan saya.”
            “Ayah?”
            “Mmm... ayah dah meninggal.”
            Semakin dalam renungan Datuk Awang Kader terhunus pada Nurul Ain. Raut wajah itu diperhati, sampailah hujung kaki. Nurul Ain mulai tidak selesa. Setiap kali berdepan dengan Datuk Awang Kader, dia akan berperasaan begini. Datuk Awang Kader kerap renung dia dalam-dalam.
            “Macam mana kehidupan Ain?”
            Soalan yang diaju Datuk Awang Kader membuat Nurul Ain berasa hairan. Walau hairan, dia jawab juga. Dah orang bertanya.
            “Baik-baik aje.”
            Terdengar helaan nafas yang terbit dari bibir Datuk Awang Kader.
            “Datuk,  ada apa Datuk nak jumpa saya sebenarnya?” Tenggelam timbul suara Nurul Ain. Iyalah, dibuatnya Datuk Awang Kader menyergah dia, mahu waktu itu juga dia pengsan.
            “Mmm...” Datuk Awang Kader kelihatan sedikit menggelabah.
            “There is nothing important. You may go now, Ain.”
            Terjungkit kening Nurul Ain. Panggil dia semata untuk ini? Tanya soalan yang tiada kaitan langsung. Macam mana dengan kerja, suka atau tidak kerja di sini, tinggal dengan siapa, bagaimana kehidupan dia. Eh, itu soalan cari calon menantu.
            “Saya minta diri dulu, Datuk,” pamit Nurul Ain.
            “Nurul Ain.” Datuk Awang Kader memanggil.
            Nurul Ain berpaling. “Ya, Datuk?”
            Sepi. Datuk Awang Kader tidak berkata apa pun. Untuk kesekian kali, hanya pandangan menyusuri ke arah gadis itu.
            “Nothing. You may go,” ujar Datuk Awang Kader berserta gelengan kepala.
            Datuk Awang Kader terduduk di kerusi saat bayang Nurul Ain hilang dari mata.

LAGI seronok buat kerja dengan Irfan daripada Tengku Hanif. Bila dengan Irfan, rasa masa begitu pantas berlalu. Dengan Tengku Hanif, setengah jam rasa separuh hari. Agak berlebihan perbandingan itu tetapi ia memang benar. Dia boleh ketawa dengan Irfan, dia boleh senyum memanjang tapi buat kerja dengan Tengku Hanif, memanjang dia fikir bila waktu pulang.
            Peluang membantu Irfan terbuka apabila Tengku Hanif tiada di pejabatnya. Keluar dengan Suhaimi. Kata Lufiya, Tengku Hanif pergi ke tapak pembinaan. Orang kuat katakan. Bila Irfan minta tolong, terus dia angguk kepala dan membontoti langkah lelaki itu.
Mula-mula, dia fikir Irfan minta dia tolong buat kerja pejabat, rupanya lelaki itu usung dia pergi ke tempat fotografi. Macam orang jakun saat berada di tempat kejadian. Mana pernah nampak secara live orang buat fotografi. Tahu-tahu tatap tepekan muka model-model yang cantik dan kacak.
“Nah, air.” Wawa menghulur sebotol air mineral kepada Nurul Ain.
“Terima kasih,” ucap Nurul Ain. Dari tadi dia menahan rasa dahaga. Pantas dipulas penutup botol itu dan diteguk air itu sepuasnya.
Ekor mata Wawa mengerling Nurul Ain. Terkejut beruk dia bila ternampak susuk tubuh seorang gadis menyaingi langkah Irfan. Sebelum ini Irfan tidak pernah bawa perempuan bersama selain Gia.
“Awak ni kekasih Irfan ke?” Wawa menyoal.
Spontan Nurul Ain tersedak. Terpercik air keluar dari mulutnya. Terus pandangan mata tersasar pada Wawa.
“Eh, tak. Bukan!” nafi Nurul Ain.
“Apa yang tak, apa yang bukan ni?” Irfan mencelah. Dia sudah selesai bergambar. Selepas ini giliran model lain pula. Sebuah kerusi plastik ditarik lalu diletak berhampiran Nurul Ain. Dia duduk di situ.
“Aku tanya kawan kau ni, apa hubungan kau dengan dia,” tutur Wawa.
“Kau fikir?” Irfan berpeluk tubuh. Sengaja menimbulkan spekulasi hangat di situ, sementara Nurul Ain tidak senang melihat keadaan depan mata.
“Kekasih?” teka Wawa.
Terburai ketawa Irfan. “Haah. Kekasih aku.”
Terbuntang mata Nurul Ain. Biar betul Irfan ni. Tidak takutkah nanti pengakuan itu bakal keluar di mana-mana majalah? Irfan itu model yang dikenali ramai. Ramai peminat. Nurul Ain geleng kepala. Ketika dua pasang mata bertembung, Nurul Ain hanya pamer senyum. Kerutan di dahi Wawa semakin dalam.
Irfan ketawa lagi sebelum berkata, “Main-main ajelah. Ini kawan aku. Ain nama dia.”
Nurul Ain terus tarik nafas lega. Fuh!
“Kalau betul kekasih kau, aku masukkan statement tu dalam blog. Biar ramai sikit yang terjah blog aku tu. Hah, siap aku tampal muka kau orang dalam tu,” balas Wawa.
Tawa Irfan tinggal sisa. Wawa bukan boleh. Pantang dengar cerita hangat, terus taip entri masuk dalam blog. Bahaya sungguh. Sepatutnya Wawa jadi wartawan hiburan, bukan pembantu di dalam sesi fotografi.
“Dahlah, Wa. Aku nak balik ni.”
“Okey. Thanks bro tolong aku lagi kali ni.” Wawa berdiri. Kedua-duanya saling bersalaman.
“Tak ada hal,” kata Irfan. “Jom kita balik office.”
Nurul Ain menurut. Panjang langkahnya mengekori Irfan. Dia melirik jam di tangan. Ya Allah, sudah tiga jam mereka di sini. Macam mana ni? Sungguh, dia terlupa yang dia bekerja di bawah Tengku Hanif. Matilah kalau lelaki itu mencari dia.
Hampir tersembul keluar biji mata dari soket kepala bila melihat jumlah missed calls di telefon. Sepuluh missed calls dan semua nama Tengku Hanif. Nurul Ain garu kepala.
“Kenapa?” Irfan bertanya apabila menyedari kelakuan pelik Nurul Ain. Resah semacam.
Pantas digeleng kepala itu.
“Tak apa ke awak keluar ambil job modelling waktu office?”
“Sebelum saya keluar tadi, saya dah beritahu Datuk.”
Terangguk-angguk kepala Nurul Ain. “Datuk tak marah?”
“Kalau dia marah, saya taklah ada kat sini,” ujar Irfan. Segaris senyuman terpamer di wajah itu.
“Saya tolong Wawa tu aje. Tiba-tiba model dia tak dapat datang. Lagipun sekarang ni saya dah tak ambil job model-model ni sangat. Ikut mood. Bila rasa nak santai-santai, saya pergi photoshoot. Kalau tak, mengadap kerja di office ajelah,” celoteh Irfan.
“Ohhh...”
“Ain ada nak singgah mana-mana tak?”
“Tak.”
“Kita pergi makan dulu, nak?” cadang Irfan.
Nurul Ain geleng kepala. Cukuplah tiga jam dia menghilang diusung Irfan ke tempat ini. Nanti bertambah banyak pula missed calls Tengku Hanif.
“Betul tak mahu makan? Tak lapar ke?” Irfan bertanya lagi. Mahukan kepastian.
“Balik pejabat ajelah, Irfan. Lama sangat saya merayap ni,” tutur Nurul Ain penuh nada keresahan.
Irfan akur. Dipadamkan niat hendak belanja Nurul Ain makan hari ini. Terus dia memandu kereta menuju pulang ke bangunan tinggi Menara Global.
            Seperti yang dijangka, kepulangannya disambut dengan wajah ketat Tengku Hanif. Terkulat-kulat dia di depan Tengku Hanif.
            “Kau pergi mana?” sergah Tengku Hanif.
            Nak beritahu ke tak? Tiba-tiba dia rasa hendak menyorok di bawah kerusi. Gerun! Mana tahu, Tengku Hanif serupa Nirmala. Eh, nanti. Kalau jadi macam mana Nirmala buat padanya, bagus juga.
            “Aku tanya ni!” Suara Tengku Hanif meninggi.
            “Anu... mmm... anu...” Susahnya hendak cakap! Nurul Ain membentak dalam hati.
            “Dia pergi photoshoot.” Irfan melangkah masuk ke dalam ruang pejabat Tengku Hanif.
            “Kau pergi mana Ain?” Soalan itu berulang kembali. Tengku Hanif memandang Nurul Ain.
            “Aku yang ajak dia teman aku photoshoot. So kalau kau nak marah, kau marah aku, bukan Ain. Dia tak ada buat apa-apa,” jelas Irfan. Ditarik Nurul Ain pergi dari situ.
            “Dah tak ada mulut ke nak jawab? Kau bisu?” bentak Tengku Hanif. Sakit hatinya bila Nurul Ain mendiamkan diri dan membiarkan Irfan bercakap untuknya.
            “Hanif.” Irfan menghampiri sepupu yang tertera pada nama sahaja. Realitinya, mereka tiada hubungan darah pun.
            “Kau marah?” soal Irfan separuh berbisik.
            Renungan dua pasang mata saling berlaga. Irfan menitip senyuman sinis.
            “Kau takut aku ambil Ain macam mana kau ambil Gia dari aku?”
            “Apa kau cakap ni?”
            Halus tawa Irfan kedengaran. “Dia cuma pekerja kau. Apa kau panggil dia? Hah, pembantu. Just pembantu. She means nothing to you, but Gia means everything to me.” Di hujung bicara, suara Irfan mendatar. Tiada lagi senyuman sebaliknya bola mata coklat itu memaparkan satu aura amarah yang terbendung sekian lama.
            Nurul Ain yang memerhati sketsa depan mata kelihatan buntu. Dia tidak dapat mendengar dengan jelas bicara dua lelaki itu. Mereka saling berbisik. Puas dia lebarkan telinga.
            “Ain, kau boleh keluar sekarang.” Kendur suara Tengku Hanif.
            Tanpa bertangguh, Nurul Ain terus atur langkah pergi. Irfan melirik matanya pada Nurul Ain sehingga gadis itu hilang dari bilik itu.
            “Kau masih berdendam?”
            Irfan menepis tangan Tengku Hanif yang memegang bahunya.
            “Aku tak tahu.” Sebaik bernoktah kata-katanya itu, Irfan langsung pergi. Meninggalkan Tengku Hanif yang berdiri pegun dengan mata terarah ke depan sana.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Entri terakhir bagi tahun 2012. Wah, rajin kau mengupdet entri kan. Berderet 3 hari. Hahaha. Lepas tu, kau hadap muka laptop sambil garu kepala sebab dah tak ada idea mahu tulis. Hump.