Sunday, January 6, 2013

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab18.

Assalamualaikum.








"...Keep love in your heart. A life without it is like a sunless garden when the flowers are dead..." - Oscar Wilde








Bab 18
APA kena dengan orang itu? Agaknya pagi-pagi termakan racun. Rasanya inilah kali pertama orang itu berpaling padanya, lantas mengucapkan selamat pagi setelah beberapa hari dia kerja di sini sebagai orang suruhan sepenuh masa. Lebih mengejutkan, ucapan terima kasih yang terpacul keluar dari mulut itu di saat dia meletakkan kopi di atas meja itu. Bertambah mengejutkan bila Tengku Hanif tidak menggunakan suara bernada sinisnya itu ketika meminta dia membuat sesuatu. Wah, pelik sungguh keadaan ini!
            Teringat kejadian semalam. Bukan main marah lagi lelaki itu padanya kerana dia mengekor Irfan pergi ke tempat photoshoot. Mula-mula dia gerun tetapi apabila Irfan muncul dan masing-masing bereaksi seperti ada sesuatu yang mengekang antara keduanya, dia mula berasa hairan. Bercakap pun perlahan gila.
            Nurul Ain termangu di depan meja Lufiya. Pandang kiri, pandang kanan. Bosannya! Dipandang pula Lufiya yang begitu tekun membuat kerja. Jari-jari runcing itu ligat menari di atas papan kekunci. Rasa takjub sekejap. Iyalah, hendak dibandingkan dirinya, setakat laju taip guna keypad telefon bimbit sahaja. Kalau papan kekunci komputer, memang tidaklah. Bunyi macam popcorn. Ketak ketuk ketak!
            “Ain, boleh tolong saya sekejap tak?” Lufiya bertanya.
            Nurul Ain mengangguk laju.
            “Ambil fail ni. Tolong letak atas meja Tengku, ya,” kata Lufiya. Beberapa buah fail berwarna hitam dihulur pada Nurul Ain. Nurul Ain menyambutnya bersama kuluman senyum. Lufiya ini, kalau bercakap macam perempuan melayu terakhir. Lembutnya suara itu.
            Tangan memegang tombol pintu sebelum dia memulasnya. Pintu dibuka luas. Wah, cemerlang betul pemandangan bilik ini tanpa penghuni di dalamnya. Kalau ada Tengku Hanif, buat sesak pandangan mata sahaja. Nurul Ain meletak fail-fail tadi di atas meja.
            Sambil-sambil itu, dia curi peluang mengamati bilik ini. Bingkai di atas meja sudah berganti gambar. Terbit sengihan lebar di pinggir bibir Nurul Ain. Teringat perbuatannya dulu. Habis gambar Tengku Hanif serupa badut. Berconteng sana sini. Peliknya, Tengku Hanif tidak pula menghukum perbuatannya itu.
            “Ahhh... syoknya jadi bos. Bilik besar, kerusi canggih,” omel Nurul Ain. Dia duduk di atas kerusi itu. Ketika dia hendak memusingkan kerusi yang didudukinya, kakinya terlanggar sesuatu yang terletak di bawah meja. Panjang lehernya melihat.
            “Beg apa ni?” Nurul Ain berdesis sendirian. Naluri ingin tahunya terlalu kuat sehingga dia tidak dapat mengawal diri daripada membuka beg tersebut. Awas matanya memandang ke pintu yang tertutup rapat. Inilah masanya! Pantas dia menarik zip beg itu lalu terpampanglah isi dalam beg itu. Sebatang tongkat berlipat-lipat berwarna putih diambil. Dibelek lama.
            Tongkat? Buat apa mamat itu simpan tongkat? Ini tongkat orang buta. Nurul Ain mengambil barang lain pula. Cermin mata hitam pula dikeluarkan dari beg itu. Sebiji cermin mata yang selalu dipakai Faisal. Baru hendak menyelongkar barang-barang lain di dalam beg itu, Nurul Ain terdengar suara Tengku Hanif. Terus dia campak beg itu di bawah meja.
            “Kau buat apa tu, hah?”
            Nurul Ain mendongak. Bukk! Kepalanya terkena meja. Aduh, sakitnya! Dia menggosok kepala yang terasa pedih. Berdenyut-denyut. Tadi dia perasan zip beg itu masih terbuka. Cepat-cepat dia masuk bawah meja semata-mata hendak zip semula. Tidak pula dia sedar dalam waktu itu Tengku Hanif sudah pun masuk ke dalam bilik ini.
            Sebatang pen ditunjukkan pada Tengku Hanif. Ini sahajalah penyelamat yang dia ada. Nasib baik nampak pen itu di bawah meja. Sekurang-kurangnya tidaklah nampak sangat perbuatannya yang curi-curi selongkar barang tadi.
            “Kutip pen,” kata Nurul Ain. Dia bangkit, bertentang mata dengan Tengku Hanif. Lama dia memerhati seraut wajah yang selama ini hanya dipandang sebelah mata. Ada sesuatu di wajah itu yang Nurul Ain sendiri tidak tahu apakah ia.
            Tengku Hanif yang diperhati begitu jadi rimas. Sebenarnya dia gentar. Gentar pada renungan Nurul Ain. Mahu bergegar kepala lutut dibuatnya namun dia berlagak biasa. Malah bersiap sedia menggunakan nada suara seperti selalu.
            “Kenapa? Kau dah jatuh hati dengan aku?” usik Tengku Hanif.
            Hah? Nurul Ain melompong. Jauh benar tersasar pemikiran lelaki ini. Nurul Ain menggeleng kepala lantas mencebikkan bibir. Dasar perasan! Sekelumit perasaan suka tidak pernah pun wujud dalam hatinya. Apatah lagi mahu jatuh cinta. Selisih!
            Keluar sahaja daripada bilik Tengku Hanif, Irfan terpacak depan mata. Dia disambut dengan senyuman mesra lelaki itu. Terukir senyuman nipis di bibir Nurul Ain sebagai balasan.
            “Dah nak lunch ni. Jom kita makan,” ajak Irfan.
            Nurul Ain menyoroti jam dipergelangan tangannya. Sudah menginjak ke angka satu tengahari. Wah, dalam bosan, cepat juga masa berlalu. Sempat melempar pandang ke meja Lufiya. Kosong. Agaknya Lufiya sudah keluar makan. Nurul Ain mengangguk perlahan. Baik betul Irfan. Selalu ajak dia makan. Tengku Hanif? Haram!

UNTUNG betul hari ini. Sudahlah makan tengahari ada orang baik hati tolong bayarkan. Kemudian sewaktu singgah di kedai kopi kegemaran Tengku Hanif tadi, dia terserempak dengan Faisal pula. Terus dia gigih berlari mendapatkan lelaki istimewa itu. Hai, malam ini tidur tidak lenalah jawabnya. Terbayang-bayang muka Faisal.
            Nurul Ain tersenyum sendiri. Alahai hati, kenapa begini gembira walhal jumpa kawan sahaja. Kawan? Oh ya, dia rasa perkataan kawan itu hanya perkataan semata. Maksud lain ialah orang yang diminati. Nurul Ain ketawa mengekek.
            Dia pandang sebekas air kopi dalam tangan. Lepas lunch, ada ke orang telan air kopi? Setahunya minum pagi atau petang aje. Tergeleng-geleng kepala Nurul Ain. Pelik sangat tabiat minum kopi lelaki itu. Tidak kira masa. Mujur tadi tidak tersembur nasi dalam mulut ketika terdengar arahan tegas Tengku Hanif. Betul-betul menganggu ketenteraman awam. Huh! Dia mogok dalam hati. Nasib baik jumpa Faisal. Hilang bad moodnya. Sengihan lebar bertaut kembali di bibirnya.
            “Hai Lufiya!” sapa Nurul Ain.
            Lufiya membalas sapaan itu dengan segaris senyuman. Seperti biasa, Nurul Ain pasti terpukau melihat senyuman Lufiya. Terus berdetik hatinya mengatakan wanita ini sangatlah cantik.
            “Senangnya hati awak, Ain. Ada apa-apa ke?” Lufiya berkata sambil mengerling lewat ekor matanya. Sejak Nurul Ain diambil bekerja di bawah Tengku Hanif, hilang sunyinya. Berteman. Tidaklah asyik mengadap kerja dan komputer.       
            Kadang-kadang dia jatuh kasihan pada Nurul Ain. Tengku Hanif suka membuli Nurul Ain. Ada sahaja kerja yang entah apa-apa ditugaskan pada Nurul Ain. Menurut kaca matanya, motif utama Nurul Ain diambil kerja adalah untuk membelikan kopi untuk bosnya itu. Tugas lain? Macam-macam!
            “Mana ada apa-apa. Perut kenyang, maka suka hati!” senda Nurul Ain. Dia nampak pintu bilik Tengku Hanif terbuka sedikit. Rasanya makhluk itu sudah masuk biliknya.
            “Tengku dah balik eh?” tanya Nurul Ain. Meminta kepastian.
            “Dah. Baru aje masuk. Tu, ada Suhaimi sekali,” balas Lufiya.
            Panjang langkah Nurul Ain dihayun menuju ke bilik Tengku Hanif. Dia kalih belakang, Lufiya sudah tiada.
            “Sampai bila kau nak buat macam ni? Kau tak kasihan ke pada budak Ain tu?” Suhaimi menyoal dengan wajah berkerut. Entah apa motif utama Tengku Hanif berbuat demikian, dia tidak tahu.
            “Adalah sebabnya kenapa aku buat macam ni.”
            Tergeleng-geleng kepala Suhaimi. “Tak faham betul aku dengan kau ni. Boleh pulak kau sengaja cipta insiden laptop kau tu. Lepas tu kau berlakon lagi. Buta pulak tu. Sepatutnya kau kena masuk sekolah seni wahai Tengku Hanif Faisal Tengku Ali. Bukan sekolah business.”
            Tengku Hanif mencebik. Banyak mulut pulak mamat ni!
            “Aku kan multi-talent.” Bergema ruang bilik itu dengan suara Tengku Hanif ketawa.
            Pintu ditolak kasar dari luar mengejutkan kedua-dua teman yang saling bergelak ketawa. Tengku Hanif menelan air liur. Suhaimi pula kekakuan sampai mulutnya sahaja yang terbuka luas. Dua pasang mata itu melempar pandang ke arah Nurul Ain yang berdiri tegak di muka pintu.
            “Hoi, ke... kenapa kau... kau masuk tak ketuk pintu dulu?” Nada suara Tengku Hanif kembali normal. Meski sedikit gagap, dia cuba mengawal perasaan terkejut yang berada di tahap dewa.
            Suara lantang Tengku Hanif sedikit pun tidak mengejutkan Nurul Ain sebaliknya dia mendekati Tengku Hanif setapak demi setapak. Semakin lama semakin hampir. Hanya apabila dia sudah berada betul-betul di depan Tengku Hanif, dipisahkan oleh sebuah meja besar berwarna coklat berkilat itu, barulah dia mematikan langkah.
            “What should I call you? Tengku Hanif atau Faisal?” Terlontar persoalan itu yang mana membuatkan Tengku Hanif hilang suara untuk membalas.
            “Apa kau merepek ni? Aku Tengku Haniflah.”
            Pinggir bibir Nurul Ain dihinggapi senyuman kecil tetapi cukup sinis.
            “Tengku masih nak menipu saya? With your appearance now...” Nurul Ain menuding Tengku Hanif dari hujung rambut sampai hujung kaki.
            Suhaimi cuba membantu dengan memberikan isyarat mata. Puas dia buka besar buka kecil matanya. Tengku Hanif masih tidak sedar dia dalam keadaan penyamarannya sebagai Faisal.
            Apabila Tengku Hanif menyedari kerja keras Suhaimi, terus dia membuang tongkat putih yang dipegangnya. Tahi lalat besar di atas bibir kirinya juga dicabut dan dibuang. Dan selepas ini dia tidak mampu menentang apa pun kata-kata Nurul Ain.
            “Seronok mempermainkan saya, Tengku Hanif Faisal?”
            Mencerlung mata Nurul Ain tepat menusuk ke wajah Tengku Hanif. Pedih hatinya. Luluh. Kecewa. Terasa dirinya terlalu bodoh kerana punya perasaan terhadap lelaki itu.
            “Apa salah saya sampai Tengku sanggup buat saya macam ni? Apa rasionalnya Tengku berpura-pura buta? Dan apa sebabnya Tengku sengaja cipta kemalangan yang menjerat saya di sini, menjadi orang suruhan Tengku? Apa?” Nurul Ain tidak menyentak, jauh sekali meninggikan suara tetapi ianya cukup menunjukkan bahawasanya jauh di dalam hati Nurul Ain, kemarahan itu meluap-luap.
            “Bodoh sangat saya ni, kan. Percaya yang kononnya saya penyebab dokumen bernilai berbilion ringgit itu lesap sekelip mata dan sanggup tunduk depan Tengku demi menebus kesalahan tu. Kemudian saya percaya pada seorang kawan buta yang sangat baik dengan saya. Sehingga membuat saya...” Bicara Nurul Ain bernoktah di situ. Hendak meneruskan kata-katanya, rasa tersekat dikerongkong.
            Bekas berisi air kopi diletak kasar di atas meja. Nafas ditarik sedalam mungkin. Kemudian dilepaskan perlahan-lahan.
            “I’m quit!” tegasnya sebelum angkat kaki pergi.
            Tengku Hanif dan Suhaimi saling berpandangan. Sepi.

BODOHNYA dia! Bodoh sangat! Patutlah selama ini dia merasa sesuatu yang pelik ketika mengamati wajah Faisal. Mirip sangat dengan Tengku Hanif. Cuma bezanya Faisal ada tahi lalat di atas bibir kiri dan buta. Buta! Nurul Ain menekup mukanya dengan bantal. Dia jerit sekuat mungkin.
            Nyaris hatinya benar-benar jatuh pada Faisal. Sipi-sipi. Cukup beberapa jam lagi, memang jatuh betullah. Mujur Dia bukakan kebenaran itu. Kalau tidak sampai ke mati pun dia tidak akan tahu Tengku Hanif dan Faisal adalah orang yang sama. Bedebah! Nurul Ain terus menyumpah-seranah di dalam hati. Sakitnya hati!
            Daripada terbaring terlentang, Nurul Ain duduk berteleku pula. Tiba-tiba ingatannya memutarkan kejadian dulu-dulu. Pernah sekali dia nampak tahi lalat Faisal berubah kedudukan daripada belah kiri jadi kanan. Bila dia tegur, tongkat Faisal jatuh. Dengan baik hati dia ambilkan. Bila pandang balik muka Faisal, tahi lalat itu sudah kembali di kedudukan asal. Pelik tetapi dia abaikan kerana dia fikir dia salah lihat. Ahhhhhh...!
            Bantal dalam pelukan ditendang sekuat hati lalu jatuh menyembah lantai. Tidak cukup dengan itu, Nurul Ain turut menarik cadar sehingga ia kelihatan tidak terurus. Turun naik nafas Nurul Ain.
            Hidup-hidup dia diperbodohkan. Tentu Tengku Hanif Faisal ketawa gelihati guling-guling atas lantai. Dan lagi, dia pula boleh jatuh hati pada Faisal. Sesi luahan hati sudah pun berlangsung meski bukan dari mulutnya. Asyikin punya kerja. Ya Allah! Sabar ajelah, desis hati kecilnya.
            Otak Nurul Ain mulai menghitung segala perkara yang tidak bernasib baik menimpa dirinya sejak dia diperbodohkan Tengku Hanif Faisal. Banyak sangat. Tukang berkejaran beli kopi, dia. Tukang kira berapa jumlah kertas A4, dia. Tukang belikan nasi, dia. Tukang hadap arahan demi arahan bernada suara tinggi, dia. Senang cerita, segala kerja remeh-temeh dan kecil-kecil tidak masuk akal itu dia yang buat. Paling besar, dia dibuang kerja pun disebabkan curi-curi keluar untuk penuhi arahan Tengku Hanif Faisal.
            Menyirap darah dibuatnya. Tidak mengapa. Selepas ini dia tidak perlu hadap muka Tengku Hanif lagi. Tidak akan! Nurul Ain merebahkan badan di atas katil. Dia tarik selimut menyelimuti tubuh. Tidur! 

Terima kasih kerana baca entri ini. have a nice day :)

notahujungkaki: Welcome 2013. Ececee... padahal dah berhari-hari masuk tahun 2013. CJKP dah bab18 yeayyy! :)