Saturday, January 12, 2013

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab19.

Assalamualaikum.








"...Jika kamu tidak mahu kehilangan insan yang menyayangimu berakhir dengan kekecewaan, hargailah kehadirannya dengan keberkatan dan kasih sayang..."









Bab 19
BEBERAPA kali Puan Suriani ulang-alik masuk ke dalam bilik anak daranya. Hairan. Selepas Subuh, Nurul Ain kembali cari tilam dan bantal. Sampai jam tujuh pagi, ketika Asyikin sibuk bersiap-siap hendak ke sekolah, Nurul Ain masih terlentang di atas katil dengan nyenyaknya. Disuruh Asyikin kejutkan Nurul Ain tetapi Nurul Ain tetap tidur.
            “Ain, bangunlah. Dah siang dah ni. Ain tak pergi kerja ke?” Puan Suriani menggoyang tubuh itu. Selimut ditarik dari tubuh Nurul Ain. Daripada terlentang, kini anaknya itu merengkot seperti udang kena goreng. Tergeleng-geleng kepala Nurul Ain.
            “Ain, bangunlah,” gesa Puan Suriani.
            “Malaslah, mak. Ain tak rasa nak pergi kerja!” getus Nurul Ain. Sebiji bantal ditekup ke muka.
            Puan Suriani sudah bercekak pinggang. Apa kena dengan Nurul Ain pagi ini? Lain betul kerenahnya. Puan Suriani enggan berkrompomi. Bantal yang menutup muka Nurul Ain diambil lalu dilempar ke dinding. Terperosok jauh di sudut bilik itu.
            “Macam mana nak kahwin dengan Faisal ni? Tau dek Faisal, tak pasal-pasal berfikir dua tiga kali mamat tu hah.”
            Sebaik nama Faisal disebut-sebut, celik terus mata Nurul Ain. Segar. Bencinya! Sekelipan wajah Tengku Hanif Faisal menari-nari di ruang mata.
            “Menanah telinga dengar nama orang tu.”
            “Aik, kenapa pulak? Ain bergaduh dengan bakal menantu mak tu ke?”
            Fuh, bakal menantu? Memang tidaklah kan.
            “Mintak simpanglah dia jadi menantu mak. Ain tak sudi pun!”
            Tergeleng-geleng kepala Puan Suriani. Cepat benar perasaan Nurul Ain berubah. “Faisal buat apa pada Ain? Cuba cerita pada mak.”
            “Ain mengantuklah mak.” Nurul Ain berkata sambil menguap dengan bukaan mulut yang sangat luas. Asyik-asyik nama Faisal yang disebut maknya. Fed-up betul.
            “Dah, dah. Jangan nak mengada tidur sampai matahari tegak atas kepala. Ikut Ainlah nak pergi kerja atau tak. Sini, bangun dan tolong mak pergi kedai. Belikan serbuk kari dan santan. Mak nak masak kari tengahari nanti.” Puan Suriani memaksa Nurul Ain bangun. Ditarik-tarik lengan anak daranya seorang ini. Kalau tidak menjadi dengan cara ini, Puan Suriani sudah berfikir hendak ambil air lalu simbah ke muka Nurul Ain.
            “Pergi kedai macam ni, boleh tak mak?” Nurul An berdiri. Berpusing-pusing di depan Puan Suriani dalam keadaan tidak terurus. Muka sembab, rambut kusut-masai.
            “Tak senonoh betul. Pergilah mandi dulu.”
            “Tak boleh eh?” Lebar sengihan itu.
            Membulat mata Puan Suriani. “Pergi mandi dulu!”
            “Iyalah. Ain nak pergi mandilah ni,” kata Nurul Ain. Dengan langkah malas, dia berlalu keluar dari bilik menuju ke bilik air.

“NAK kepala parut satu ya Wak Khamis!” laung Nurul Ain. Dia sibuk mencari serbuk kari yang dipesan Puan Suriani. Mana agaknya serbuk kari ini sembunyi? Puas dia pusing keliling kedai. Mak berkehendakkan serbuk kari Ayam Adabi. Jenama lain mak tidak mahu.
            “Wak, serbuk kat kat mana? Dah keliling saya pusing, tak jumpa jugak!”
            “Sekejap ya. Wak nak bungkus kelapa ni kejap,” balas Wak Khamis. Selepas dia membungkus kelapa parut itu, Wak Khamis berjalan terkedek-kedek menuju ke tempat Nurul Ain berdiri.
            “Nak apa tadi?” soalnya.
            “Kari Ayam Adabi,” jawab Nurul Ain.
            Tidak sampai sesaat pun, serbuk kari itu sudah ada depan mata. Rupanya serbuk kari itu terletak betul-betul di sebelah tempat dia berdiri. Cuma dia yang tidak nampak. Menyedari diri diperhati Wak Khamis, dia pamer senyuman kecil.
            “Tak nampaklah, Wak Khamis,” tutur Nurul Ain. Dia membontoti langkah Wak Khamis menuju ke kaunter bayaran.
            “Wak, mana pekerja Wak yang dulu tu?”
            “Siapa?”
            “Alah, siapa tu nama dia, mmm... hah, Mia tu. Mana budak tu, Wak? Dah berhenti kerja ke?” Banyak betul soalan yang ditanya.
            “Oh, Damia tu dah tak kerja sini. Dia kerja di rumah Wak.”
            “Hah? Kerja rumah Wak jadi apa? Pembantu rumah ke?”
            “Bukan.” Wak Khamis berjeda seketika sebelum menyambung, “Dia jadi puan besar di rumah Wak.”
            “Puan besar?” Berdetak-detik hatinya dengan kenyataan Wak Khamis. Biar betul orang tua ini. Bini sudah ada dua ke? Damia isteri nombor dua? Wah, usia Damia baru sembilan belas tahun kalau dia tidak silap. Untunglah Wak Khamis boleh memperisterikan gadis semuda Damia.
            Tetapi... Eh, tak mengamuk pula isteri Wak Khamis. Dengarnya Bik Sakinah itu garang orangnya. Silap-silap haribulan, boleh melayang segala isi dalam rumah kalau dia marah.
            “Ye aje Wak ni. Entah-entah Wak tipu!” cebik Nurul Ain.
            Wak Khamis ketawa gelihati. “Hah, tahu pun yang Wak ni bergurau aje. Mahu mati kena jerut kalau Wak kahwin lain. Cukuplah ada Bibik kau seorang tu. Sayang Wak ni untuk dia aje,” kata Wak Khamis.
            “Amboi Wak, dah berumur pun masih romantik berkata-kata,” seloroh Nurul Ain. Dia turut ketawa.
            “Semuanya lima ringgit,” ujar Wak Khamis.
            Nurul Ain menyeluk poket seluar. Dia mengeluarkan sekeping wang kertas bernot lima ringgit lalu dihulur pada Wak Khamis.
            “Wak, kalau saya nak kerja kat sini, boleh?” tanya Nurul Ain.
            “Kau nak kerja sebagai apa?”
            “Apa-apa pun tak apa. Boleh? Susun-susun barang ke, apa ke.”
            Wak Khamis berfikir sejenak. Sebelum ini ada Damia membantu. Tetapi apabila anak gadis Rahim itu melanjutkan pelajaran ke universiti, tiada sesiapa yang membantu dia di kedai.
            “Betul kau nak kerja sini walau gaji tak seberapa?”
            Bersungguh Nurul Ain mengangguk.
            “Wak tak kisah pun. Kalau kau rasa nak kerja, datanglah,” sambung wak Khamis sambil tersenyum kecil.
            Bersinar-sinar mata Nurul Ain. Jadi orang susun barang pun tidak mengapa asalkan ada kerja. Daripada duduk melangut di rumah, nanti macam biawak hidup. Tentu hidupnya tidak seperti sekarang kalau dia tidak terpedaya dengan helah dan lakonan mamat biol itu. Ah, buat sakit hati aje fikirkan perihal itu.

IRFAN melewati ruang bilik pejabat Tengku Hanif. Tidak pula dia ternampak bayang Nurul Ain di situ. Lufiya pun tiada di mejanya. Irfan mengetuk pintu berkali-kali tetapi tiada sahutan. Perlahan-lahan dia memulas tombol dan membuka pintu tersebut. Bilik Tengku Hanif kosong. Ke mana dia pergi?
            Irfan menutup kembali pintu itu. Dalam kepala memikirkan kemungkinan Tengku Hanif punya kerja luar dan dibawa Nurul Ain bersama. Dan barangkali Datuk Awang Kader turut serta kerana sewaktu dia hendak berjumpa dengan bapa saudaranya itu, Sufiah memberitahu Datuk Awang Kader keluar sejak awal pagi lagi.
            “Encik Irfan cari Tengku ke?” tegur Lufiya yang kebetulan baru sampai di situ. Tadi dia pergi ke pantry. Mengantuk sangat, maka terpaksalah buat nescafe bagi menghilangkan sedikit rasa mengantuk.
            “Tengku tak masuk office hari ni,” beritahu Lufiya.
            “Nurul Ain?” Terpacul nama itu dari mulut Irfan. Tentang Tengku Hanif, dia tidak ambil peduli pun.
            “Ain dah berhenti kerja.”
            Irfan terkejut. Berhenti kerja?
            “Hanif berhentikan dia ke?”
            Lufiya menjungkit bahu. Tengku Hanif tidak ada kata apa-apa pula padanya tentang Nurul Ain. Dia tahu pun dari Nurul Ain sendiri. Pagi tadi Nurul Ain telefon dan mengatakan dia tidak akan datang ke tempat ini lagi. Dari nada suaranya kedengaran gembira. Nampaknya keputusan itu datang dari Nurul Ain sendiri.
            “You ada nombor telefon Ain?”
            “Tak ada. Kalau Tengku mungkin ada simpan nombor Nurul Ain tu. Encik Irfan nak saya mintakan dari Tengku ke?”
            “Tak payah.” Pantas Irfan menolak. Sesekali dia tidak akan meminta dari Tengku Hanif, seteru sejak dulu hingga kini.
            “Hai Irfan. You pun ada kat sini?” Tiba-tiba Kathy mencelah.
            Irfan dan Lufiya memandang ke arah Kathy yang begitu bergaya dengan skirt paras lutut berwarna merah hati dan kemeja lengan pendek hitam dipadankan dengan jaket putih.
            “Lufiya, my darling ada tak? I nak jumpa baby I,” ujar Kathy.
            Baby? Uweeekk! Geli-geleman hatinya. Naik luruh bulu hidung. Menggedik sungguh Kathy dengan gaya rumpai laut itu. Lufiya mengutuk Kathy di dalam hati.
             “Tengku tak ada.”
            “What?!” Nyaring suara Kathy bertempik.
            “Kalau pun you terkejut, tak perlulah sampai nak gegarkan satu bangunan dengan suara nyaring you tu,” sindir Irfan.
            Kathy mengerling Irfan dengan tajam. Mulut itu sama sebiji macam mulut Tengku Hanif. Kalau buka kata, tidak pernah fikir perasaan orang.
            “Ke mana baby I pergi? Meeting?” Bertalu-talu soalan diaju Kathy.
            “Tak tahu.” Lufiya menjawab ringkas.
            “Apa punya setiausahalah you ni, Lufiya. Bos pergi mana pun tak tahu!” rungut Kathy.
            “Hari ni semua orang I cari tak ada. Pergi rumah besar tu, Datin tak ada. Datang sini cari baby I, tak ada jugak. Menyampah betul!” Kathy merungut lagi. Dia berpeluk tubuh. Bibirnya muncung mengalahkan muncung itik.
            “You nak ke mana tu, Irfan?” tegur Kathy sebaik ternampak Irfan memulakan langkah pergi dari situ.
            “Balik bilik,” balas Irfan. Melayani Kathy adalah perkara terakhir yang dia akan lakukan.
            “Jom kita keluar makan. I belanja you, nak?” pelawa Kathy. Dia menyaingi langkah Irfan.
            “No, thank you.”
            “Alah, jomlah.”
            Irfan menghela nafas. “I said no. Kalau you nak makan, you pergi sendiri. I’m busy,” tegasnya.
            Kathy mencebik.

TIADA satu patah perkataan pun yang mampu ditutur Puan Suriani. Hanya matanya sahaja yang membulat dan pandangan yang terasar pada Datuk Awang Kader dan Datin Sabrina.
            “Betul ke apa yang Datuk cakapkan?” Puan Suriani mahukan kepastian. Mana boleh sewenangnya seseorang mengatakan Nurul Ain itu anak mereka.
            Datuk Awang Kader mengangguk.
            “Saya upah seorang penyiasat untuk mencari anak saya. Bertahun-tahun saya berusaha tanpa kenal erti pututs asa. Saya yakin anak saya masih hidup. Apabila hasil siasatan menemui jalan buntu, saya upah orang lain sampailah saya mendapat tahu yang Nurul Ain itu anak saya. Untuk memastikan kesahihan itu, kami memerlukan DNA Nurul Ain. Maka anak lelaki saya, Tengku Hanif telah menawarkan diri untuk membantu. Dengan cara apa bantuan dia itu, saya tidak pasti. Tentu dia sendiri lebih tahu.” Datuk Awang Kader menoleh pada Tengku Hanif yang duduk berdepan dengannya.
            “Makcik, sayalah Faisal.”
            Berkerut dahi Puan Suriani. “Tapi... Faisal...”
            “Saya berlakon jadi buta.”
            Terbuka luas mulut Puan Suriani. Selama ini Faisal atau nama sebenarnya Tengku Hanif Faisal hanya berlakon. Adakah kemarahan Nurul Ain pagi tadi itu disebabkan perkara ini atau Nurul Ain hanya mengetahui pembohongan Tengku Hanif semata?
            “Dan demi membantu ayah saya lihat Nurul Ain, saya jerat Nurul Ain dengan insiden kerosakan laptop milik saya. Itu sahaja cara yang saya ada untuk menarik Nurul Ain datang ke syarikat kami. Ayah menolak untuk berdepan dengan Nurul Ain. Maka dengan hanya melihat kelibat Nurul Ain, itu cukup memadai bagi ayah saya.”
            Dia memang sengaja menyuruh Nurul Ain ulang-alik ke sini kerana dengan cara itu Datuk Awang Kader boleh melihat keadaan diri Nurul Ain yang dicari selama ini. Malah dia sengaja menghukum Nurul Ain menghantar minuman kepada Datuk Wang Kader selama seminggu supaya ayahnya boleh memandang Nurul Ain dalam skala yang lebih dekat.
            Keadaan memihak padanya apabila Nurul Ain diberhentikan kerja. Maka dia terus ambil peluang mengheret terus Nurul Ain masuk ke dalam bangunan itu. Dia tahu, dia banyak membuli Nurul Ain. Malah mungkin menyakiti hati Nurul Ain.
            “Datuk yakin Nurul Ain saya itu adalah Dayang Nur Aisha, anak Datuk yang hilang dalam kemalangan dua puluh satu tahun dahulu?”
            Datuk Awang Kader mengangguk. “Ujian DNA membuktikan bahawa Nurul Ain itu anak saya. Anak kandung saya.”
            Entah kenapa, tiba-tiba airmata Puan Suriani berguguran. Gembirakah dia kerana keluarga Nurul Ain sudah muncul depan mata? Atau sebenarnya dia sedih kerana terpaksa menerima hakikat bahawa Nurul Ain akan punya keluarga baru? Puan Suriani mengelap airmata itu. Dia tempelkan senyuman halus di bibir.
            “Mak!”
            Semua mata terarah pada Nurul Ain yang berdiri di muka pintu. Puan Suriani bergegas bangun lalu mendapatkan Nurul Ain. Diusap lembut pipi Nurul Ain. Dikucup pipi itu dengan penuh kasih-sayang.
            “Mak.”
            Renungan Nurul Ain dan Puan Suriani saling berlaga. Lama. Sedikit hangat tubir mata dirasakan. Kemudian pandangan Nurul Ain melebar ke depan. Di situ ada Datuk Awang Kader, Datin Sabrina dan Tengku Hanif.
            “Ain, itu...”
            “Ain dah dengar semuanya,” tutur Nurul Ain. Dia pasang telinga dari tadi. Dia tahu semuanya. Dia tahu. Dia tahu siapa Datuk Awang Kader. Dia tahu sebab kenapa Tengku Hanif membohonginya dan sanggup berlakon sebagai orang buta.
            Nurul Ain tarik nafas dalam-dalam. Terdetik di hatinya agar semua ini hanya mimpi. Mimpi yang akan hilang apabila dia tersedar dari lena panjang. Hakikatnya, yang berlaku depan mata, yang didengarinya adalah satu kebenaran yang tidak pernah diigini. Kebenaran yang tidak pernah diidamkan.
            “Mak, ini kelapa parut dan serbuk kari yang mak nak. Baki duit lagi lima ringgit ni Ain ambil ye mak,” kata Nurul Ain. Dia mengukir senyuman kecil.
            “Ain nak ke mana?” tanya Puan Suriani apabila Nurul Ain kembali menyarung selipar.
            “Ain nak keluar sekejap.”
            Pemergian Nurul Ain dipandang sepi. Datuk Awang Kader kembali duduk. Puan Suriani berjalan longlai ke ruang tamu. Dia tahu Nurul Ain terkejut. Oleh sebab itu Nurul Ain ambil jalan untuk keluar dari rumah ini sewaktu adanya Datuk Awang Kader dan keluarganya. Tentu berat untuk Nurul Ain menerima kebenaran di depan mata kala ini.

Terima kasih kerana baca entri ini dan have a nice day :)

notahujungkaki: Aku bukan jenis manusia yang penuh dengan emosi tapi sejak dua menjak ni asyik beremosi. Terganggu betol aaa. Apesal? Apesal? -..-' Eh, I ada pencetus idea kat rumah. Ekeke. Thanks babe! <3