Thursday, January 24, 2013

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab21.

Assalamualaikum.








"...Hope is a waking dream..." - Aristotle









Bab 21
“ARE you kidding me?” Terbeliak mata Suhaimi. Daripada bersandar, kini badannya tegak sembilan puluh darjah.
            “Budak tu...” Ayat Suhaimi tergantung. Speechless man! Suhaimi tersandar semula. Kalau betullah apa yang keluar dari mulut Tengku Hanif, hidup gadis itu pasti akan berubah seratus peratus. Bahkan boleh berpusing tiga ratus enam puluh darjah!  
            “Memang betullah ni? Tak ada unsur-unsur penipuan?” Suhaimi masih belum puas melontar pertanyaan. Baginya hakikat itu bagai satu kejutan yang teramat sangat. Laksana cerita dongeng dahulu kala.
            “Ya. Memang sah. Ujian DNA menunjukkan dia tu anak papa aku.” Tengku Hanif bersuara akhirnya. Sepanjang malam dia duduk berteleku memikirkan reaksi Nurul Ain yang terjamah dek mata. Kekosongan Nurul Ain jelas kelihatan. Apatah lagi saat Nurul Ain menutur kata terakhir sebelum angkat kaki.
            Tergeleng-geleng kepala Suhaimi. “Fuh, gilalah! Mahu dia jadi macam Cinderella, Snow White bagai tu. Fairytale seh,” tutur Suhaimi lagi.
            “Semua orang dah tahu ke pasal Nurul Ain tu?”
            Tengku Hanif menggeleng. Papanya pernah berpesan supaya berita tentang penemuan itu tidak diwar-warkan. Katanya lagi, biarlah dia sendiri yang memperkenalkan Dayang Nur Aisha di mata umum. Untuk waktu ini, hanya ahli keluarga mereka sahaja yang tahu termasuklah Suhaimi. Saudara-mara lain masih belum mendapat tahu tentang berita ini.
            “Mesti kisah Nurul Ain ni mendapat liputan akhbar. Iyalah, dah berpuluh tahun cari, akhirnya jumpa. Boleh glamour Nurul Ain tu,” seloroh Suhaimi.
            “Lepas ni kau ada temanlah kat rumah besar tu.”
            Tengku Hanif angkat muka.
            “Kan kau ada adik tiri. Selama ni kau selalu merungut bosan kalau melangut seorang diri kat rumah. Now, everything will change.”
            “Memang taklah.”
            “Apa yang tak? Dah tentu-tentu Nurul Ain tu anak papa kau. Mesti dia nak angkut anak perempuan tunggal dia tu duduk dalam rumah dia.”
            Tengku Hanif terkesima sendiri. Dia lupa Nurul Ain anak kandung Datuk Awang Kader. Kata-kata Suhaimi ada benarnya. Tidak mustahil Nurul Ain akan dibawa berpindah masuk ke dalam rumah besar mereka. Tinggal sebumbung dengan Nurul Ain? Dia cuba membayangkan keadaan itu. Akhirnya gelengan kepala sahaja yang terpamer.
            “Sebenarnya, ada sesuatu yang menghairankan.” Tiba-tiba Suhaimi berlagak serius. Sebelah tangannya menongkat dagu. Renungan tajam terarah pada Tengku Hanif.
            “Apa motif kau berlakon buta?” soalnya.
            “Untuk mendekati Nurul Ain.” Tengku Hanif menjawab.
            “Itu aje?” Selidik Suhaimi lagi.
            Tengku Hanif mengangguk.
            Kali ini Suhaimi berpeluk tubuh. Renungannya belum beralih.
            “Iyalah. Kan kalau nak kesan padanan DNA tu boleh dibuat melalui pemeriksaan air liur ke, rambut ke atau apa-apa kesan fizikal orang tu. Untuk mendapatkan semua tu, takkanlah aku nak pergi dekat dia, then terus cakap nak sample air liur ke rambut ke. Memang dia tak bagilah. Maka aku kena kawan dengan dia. Hah, bila dah kawan, dapatlah aku ambil benda-benda tu senyap-senyap,” beritahu Tengku Hanif berkenaan strateginya.
            “Habis tu, yang kau bohong dia pasal projek tu, apa kes pulak? Sampai kau heret dia datang pejabat ni, jadi orang suruhan tak berbayar kau tu.”
            “Yang tu pasal aku nak papa aku tu tengok Nurul Ain dari dekat.”
            Suhaimi masih berasa musykil dengan jawapan Tengku Hanif. Dia teringat sesuatu. Pantas dia melontar kemusykilan itu dari kotak fikiran.
            “Hah, seingat aku, kau berlakon buta selepas kau kenakan Nurul Ain. Selepas okey. Aku ingat!”
            Perasaan Tengku Hanif jadi tidak tenteram tiba-tiba. Kenapakah isu ini juga yang dibangkitkan Suhaimi? Tengku Hanif mulai tidak senang duduk. Panas punggungnya. Suhaimi berkelakuan seperti paparazi.Bezanya Suhaimi depan matanya ini paparzi tidak bertauliah.
            “Iya ke? Tak ingatlah.” Acuh tak acuh jawapan yang diberi Tengku Hanif.
            Menyeringai senyum sumbing Suhaimi tatkala jawapan itu singgah di telinga. Dia berdehem beberapa kali sebelum menyambung sesi cari gali maklumat.
            “Ke kau jalankan misi Musang Berjanggut kau tu? Tu yang kau jerat Nurul Ain, lepas tu berkesempatan pulak nak berlakon buta. Lagilah cerah masa depan kau nak tengok siapa Nurul Ain tu sebenarnya,” teka Suhaimi.
            “Musang Berjanggut apa pulak ni?” getus Tengku Hanif.
            Suhaimi dapat membaca pergolakan rasa di raut wajah Tengku Hanif. Semakin lebar sengihannya.
            “Kau selalu sebut-sebut pasal misi tu. Kau kata kau nak cari seorang perempuan yang suka siapa diri kau, bukan sebab nama atau apa yang kau miliki, sebab menurut kata kau, semua perempuan mahukan apa yang kau miliki. Iyalah, kau anak orang berpengaruh, kaya dan model yang dikenali ramai. Muka kau banyak kali masuk majalah. So kau nak jadi macam P. Ramlee tu, yang kat dalam filem Musang Berjanggut. Anak raja jadi orang biasa untuk mencari cinta sejati.” Panjang lebar Suhaimi mengungkit. Satu per satu disebutnya. Tiada yang tertinggal. Sampai ke saat ini, dia simpan kata-kata Tengku Hanif itu di dalam kepala.
            “Mengarutlah kau ni. Entah zaman bila aku cakap macam tu,” dalih Tengku Hanif. Dia ambil beberapa buah fail lalu beransur pergi dari kerusinya. Langkah di atur diekori rapat oleh Suhaimi.
            “Mengarut? Bila masa pulak aku mengarut? Aku cakap benda betul. Fact! Aku dengar dan aku simpan. Kalau tak percaya, kau scan kepala aku ni.” Suhaimi masih sempat berjenaka mengenakan temannya itu.
            Tengku Hanif malas hendak melayan karutan Suhaimi, terus keluar dari bilik itu untuk menyerahkan fail-fail tadi kepada Lufiya.
            Suhaimi yang ditinggalkan di dalam bilik itu termenung panjang. Nurul Ainkah subjek di dalam Misi Musang Berjanggut yang pernah direncanakan Tengku Hanif? Kalau betul... Suhaimi memandang pintu yang terbuka sedikit. Dari celah pintu yang terbuka itu, dia nampak Tengku Hanif sedang berkomunikasi dengan Lufiya.

BUKA sahaja pintu pagar, Nurul Ain terkejut. Hampir luruh jantungnya melihat seorang lelaki separuh usia berdiri di depan mata. Datuk Awang Kader memandang dia dengan senyuman mesra.
            Saat dia kematian kata, berfikir apa yang harus dilakukan ketika ini, mujur Puan Suriani menjengah ke luar pintu. Sebaik ternampak Datuk Awang Kader, terus emaknya menyarung selipar dan mendekati mereka.
            “Datuk! Bila sampai?” tanya Puan Suriani. Lewat ekor matanya menyoroti si anak gadis yang kaku di sebelah.
            “Baru aje,” jawab Datuk Awang Kader.
            Puan Suriani memandang sekitar. Di belakang orang kaya itu berdiri lelaki yang berpakaian kemas. Pemandu agaknya, fikir Puan Suriani.
            “Datin tak datang sekali?” Puan Suriani menyoal lagi.
            “Tak. Dia ada perjumpaan kelab,” kata Datuk Awang Kader.
            Menyedari mereka berbual di bawah terik mentari, Puan Suriani mempelawa Datuk Awang Kader dan pemandunya masuk ke rumah tetapi Datuk Awang Kader menolak.
            “Saya nak bawa Ain keluar.” Datuk Awang Kader menyuarakan hasratnya.
            Nurul Ain terkedu. Bawa dia keluar? Ke mana? Dia sudah mengagak keadaan ini pasti berlaku. Baru semalam dia terfikir, hari ini jadi kenyataan. Nurul Ain mengerling Puan Suriani. Bibir emaknya terukir senyuman polos.
            “Ain, pergilah bersiap. Ayah Ain nak bawa Ain keluar,” kata Puan Suriani.
            Nurul Ain mendongak. Dipandang wajah Puan Suriani. Kemudian pandangannya beralih pula pada Datuk Awang Kader. Perlahan-lahan dia buka langkah masuk ke dalam rumah. Ikut kata emak. Emak suruh dia bersiap. Emak suruh dia ikut Datuk Awang Kader. Nurul Ain menghela nafas. Moga emak tidak suruh dia terus ikut Datuk Awang Kader.

SEPANJANG perjalanan, Nurul Ain membisu seribu bahasa. Bila Datuk Awang Kader tanya, dia jawab sepatah. Bila tiada soalan, dia tutup mulut. Kejutan semalam masih ada sisa. Sisa? Tidak! Rasa terkejut itu masih terisi dalam diri. Nurul Ain menguis karpet lantai kereta di bawah kaki.
            Gawat! Otaknya ligat berfikir, panggilan apakah yang patut dia panggil Datuk Awang Kader. Ayah? Sebelum ini, hanya Abdul Halim yang dipanggil ayah. Dia telan air liur. Semalam boleh pula lidahnya lembut gelar ayah pada Datuk Awang Kader. Datuk? Nurul Ain terus berfikir.
            “Ain nak makan apa?” tanya Datuk Awang Kader.
            “Tak kisah,” jawabnya sepatah.
            “Apa makanan kesukaan Ain?” Datuk Awang Kader bertanya lagi.
            “Semua.” Sekali lagi, Nurul Ain memberikan jawapan penuh kekayuan.
            Datuk Awang Kader ukir senyuman kecil. Dia tidak terasa hati dengan sikap acuh tidak acuh Nurul Ain. Dia tahu, Nurul Ain perlukan masa. Itu juga yang dinyatakan Nurul Ain semalam. Andai itu yang dipinta, dia hormatinya.
            “Abdul, kita pergi makan dekat kedai ikan bakar hujung jalan sana, ya,” kata Datuk Awang Kader.
            Abdul Samah mengangguk tanda faham. Sampai di simpang tiga, Abdul Samah membelok kereta masuk ke lorong kanan. Dia terus lagi sebelum membelok ke kiri pula dan memarkir kereta mewah itu di hadapan sebuah restoran.
            “Kita makan ikan bakar ya tengahari ni,” ujar Datuk Awang Kader sebelum melangkah keluar dari perut kereta.
            Manakala Nurul Ain rasa janggal apabila pintunya dibuka dari luar. Abdul Samah yang bukakan pintu itu. Wah, lain benar rasanya. Sebelum ini, tidak pernah ada orang pun yang bukakan pintu kereta. Waktu kecil, adalah.
            Nurul Ain membontoti langkah Datuk Awang Kader. Mereka duduk di sebuah ruang berpendingin hawa. Ianya ruang yang agak luas dengan beberapa buah meja tersusun rapi di dalamnya. Mungkin tempat ini dikhaskan bagi mereka yang mahukan privasi.
            “Kalau Ain nak tahu, ikan bakar di restoran ini sangat sedap.” Datuk Awang Kader memulakan bicara.
            Nurul Ain pamer senyuman nipis. Senyum untuk apa? Untuk melindungi rasa janggal yang teramat sangat.
            Ikan bakar terubuk di depan mata begitu mengiurkan. Di samping itu, ada udang sotong celup tepung dan sayur kailan ikan masin. Kalau tadi soalan yang diaju Datuk Awang Kader tentang makanan kegemarannya, jawapannya ada di depan mata. Ikan bakar, itulah makanan kegemarannya. Kalau tidak dapat makan di kedai, dia akan minta emak buatkan. Sedap juga.
            “Ain suka makan ikan bakar?” Datuk Awang Kader kembali menyoal sambil tangannya ligat mencedok lauk ke dalam pinggan Nurul Ain.
            Nurul Ain angguk kepala. Nasi dalam mulut dikunyah perlahan. Seleranya menggunung tetapi dia rasa macam tidak lalu makan pula.
            Dalam tidak lalu makan, habis juga nasi sepinggan. Ikan bakar terubuk juga licin dibahamnya.
            Datuk Awang Kader tersenyum senang melihat Nurul Ain makan. Dia bagai ternampak Nurul Ain sewaktu kecil. Sungguh ralit dia memerhatikan Nurul Ain. Kecilnya Nurul Ain berambut pendek. Kali terakhir dia dakap dan cium Nurul Ain, dua puluh satu tahun yang lalu. Masih segar dalam ingatan ikatan rambut tinggi Nurul Ain waktu itu. Getah rambut berwarna merah dan dicekak dengan riben ungu.
            “Lepas ni, Ain nak pergi mana-mana? Nak jalan-jalan tak?” usul Datuk Awang Kader.
            Nurul Ain geleng kepala.
            “Ain nak balik?”
            Kali ini dia angguk kepala. Sekali pandang, dia persis anak kecil. Kalau tidak mahu, geleng. Kalau mahu, angguk. Mulut langsung tidak bergerak menyatakan apa-apa.          

“APA Ain buat dalam gelap ni?” tegur Puan Suriani. Suiz lampu ditekan dan seluruh ruang bilik itu diterangi cahaya lampu kalimantang.
            Nurul Ain menoleh ke belakang.
            “Ain,” seru Puan Suriani. Punggung dilabuhkan di sisi Nurul Ain. Rambut panjang melepasi bahu itu dibelai penuh kasih. Meski Nurul Ain hanya anak angkat keluarga ini, kewujudan Nurul Ain sangat bererti buat mereka sekeluarga.
            “Seronok keluar dengan ayah Ain tadi?” Puan Suriani cuba mengajak Nurul Ain berbual. Sedikit demi sedikit, dia merasai kehilangan Nurul Ain. Nurul Ain berubah di matanya.Barangkali anak gadisnya masih terkejut dengan berita yang disampaikan oleh keluarga kaya itu.
            “Ain.” Kali ini Puan Suriani menarik tubuh Nurul Ain ke dalam pelukannya. Saat pelukan itu semakin erat, terdengar esak tangis Nurul Ain. Hatinya juga pilu. Pilu mengenangkan hakikat sebenar hidup Nurul Ain sebelum ini.
            “Terima kasih, mak,” ucap Nurul Ain. Hangatnya kasih-sayang Puan Suriani meresapi diri. Ya Allah, betapa bersyukurnya dia kerana menemukan dia dengan keluarga ini. Hidupnya tiada kekurangan walau sedikit. Sepanjang usianya tinggal dan membesar bersama seorang lelaki dipanggil abah, seorang wanita dipanggil emak dan seorang budak perempuan yang dipanggil adik, dia tidak pernah rasa tersisih. Malah kasih-sayang yang mengelilingi begitu utuh.
            “Terima kasih untuk semuanya, mak.” Nurul Ain berkata lagi. Pelukan semakin erat. Esak tangis juga semakin lebat.
            Bergenang juga airmata di tubir mata. Masakan tidak, Nurul Ain dibelanya sejak berusia dua tahun.
            “Ain tetap anak mak, anak arwah abah, kakak Syikin. Selamanya akan begitu,” tutur Puan Suriani. Sebak dadanya.
            “Walau macam mana terkejut pun Ain waktu ni, Ain harus terima hakikat yang Ain masih ada keluarga kandung. Keluarga kandung Ain datang mencari Ain sampai ke ceruk rumah kita. Ain nampak kesungguhan ayah Ain kan? Ain tak boleh menidakkan kewujudan ayah Ain dan keluarga lain,” kata Puan Suriani lagi.
            Nurul Ain mendongak. Pelukan erat itu dileraikan. Kemudian dia menyeka airmata yang bersisa.
            “Susah untuk Ain terima semua ni, mak. Selama dua puluh dua tahun Ain fikir Ain anak yatim piatu, tak punya keluarga, tak punya sesiapa. Bila ada orang claim Ain anak mereka, Ain jadi... jadi pegun,” luah Nurul Ain.
            “Apa yang terjadi bukan atas kehendak ayah Ain juga. Ain ingatkan apa yang ayah Ain beritahu. Selepas kemalangan yang meragut ibu kandung Ain tu, Ain hilang. Tak dapat dikesan. Hanya Allah sahaja yang tahu macam mana Ain boleh selamat dan dengan izin-Nya juga mak dapat jumpa dan pelihara Ain sampai sekarang.”
            Wajah mulus Nurul Ain dipandang lama.
            “Macam mana Ain sayang arwah abah, sepatutnya begitu juga rasa sayang Ain pada ayah Ain,” sambung Puan Suriani.
            Perlahan-lahan Nurul Ain mengangguk.
            Datuk Awang Kader ayah kandungnya. Itu hakikat yang terbentang depan mata.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Cuba melakarkan kisah Amiera Syazreen dan Adlan Hakim :) Nama Amiera Syazreen itu dipetik dari nama seorang kawan yang baik-comel-cute. E-novel Terbang ke Langit telah ditukar tajuk -Sungguh Aku Cinta :) Well, a love story between Ayyatul Adira and someone di penghujung cerita.

No comments: