Wednesday, November 30, 2016

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab15.

Assalamualaikum.








"...A loving heart is the beginning of all knowledge..." - Thomas Carlyle









Bab 15

SAMPUL surat putih itu dibelek berkali-kali. Entah apa isinya.
            “Bukalah,” gesa Lufiya.
            “Apa dalam ni, kak?” soal Nurul Ain.
            Lufiya tersenyum, lalu berkata, “Buka, baru tahu.”
            Meski curiga, sampul itu dikoyakkan juga. Apabila kertas-kertas licin berkenaan mencecah telapak tangan, Nurul Ain jadi pegun. Duit?
            “Apa ni kak?” Beberapa keping wang kertas itu diunjuk kepada Lufiya.
            Lufiya menjongket kening. “Duitlah. Eh, takkan Ain tak kenal duit? Atau Ain guna matawang lain?” Sempat Lufiya bercanda.
            Laju dia menggeleng kepala. Wang kertas itu ditenung lama.
            “Buat apa bagi saya duit?”
            “Itu gaji Ainlah.”
            “Gaji?” Kerut-kerut halus merauti wajah Nurul Ain. Lufiya jadi hairan. Gelagat Nurul Ain tampak janggal pada pandangan.
            “Kenapa? Dapat gaji pun terkejut ke? Kalau Ain tak mahu, biar Kak Fiya aje yang ambil. Syok juga buat shopping.” Lufiya lekas menyudahkan kerja-kerja yang masih bertimbun. Ada beberapa laporan yang harus dia sediakan untuk Tengku Hanif sebelum menjelang mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah.
            “Dah dapat gaji tu, nanti Ain bolehlah belanja Kak Fiya. Kita minum kopi dekat mamak tu ke.” Lufiya tersenyum lebar sambil mengangkat kedua belah keningnya berkali-kali.
            “Boleh... boleh,” sahut Nurul Ain. Pantas.
            “Kalau betul Ain nak belanja, kak Fiya nak tuntut benda lainlah. Emm... nak Pizza Hutlah,” lanjut Lufiya seraya melepaskan tawa kecil.
            “Oh ya, Tengku tak masuk hari ni.” Lufiya berdiri. Dua buah fail dikepit ke bawah lengan.
            Nurul Ain menjulang pandangan pada Lufiya.
            “Tak masuk?” Leret mata menerpa ke pintu bilik yang tertutup rapat. Cebisan cahaya terang tidak meruak keluar dari celah bawah pintu seperti kelaziman.
            “Tengku pergi Putrajaya. Kak Fiya nak pergi department bawah ni. Terima kasih untuk air kopi yang sedap tu.” Lufiya menepuk lembut pipi Nurul Ain. Bersegera membuka langkah meninggalkan Nurul Ain, ditemani pemberian yang mencetuskan tanda tanya.

‘SEMBILAN ratus... Seribu... Seribu seratus.’
            Berkali-kali dia mengira kepingan wang itu, hasilnya tetap sama. Satu ribu seratus ringgit. Terlalu banyak bagi pekerja sambilan seperti dia yang hanya ditugaskan untuk membancuh kopi untuk kakitangan di bawah naungan Tengku Hanif.
            Tidak puas hati, wang itu dikira kembali.
            Nilainya tetap sama.
            Satu ribu satu ratus ringgit.
            Nurul Ain garu kepala. Dia terlalu bersyukur kerana pekerjaan dia tidak sia-sia tetapi apabila yang dihulur itu melebihi dari apa yang telah dilaksanakan, terasa makan gaji buta pula. Atau tersalah beri?
            Empat ratus diasingkan daripada nilai tadi. Yang selebihnya disumbat kembali ke dalam sampul berkenaan. Niat hati ingin mengembalikan kepada Tengku Hanif. Nilai empat ratus itu sudah lebih dari cukup bagi membayar upah dia menyorong troli dan menghidang minuman.
            ‘Alhamdulillah...’ Hati mengalun rasa syukur. Kepingan wang empat ratus ringgit tadi dikira-kira.
            Ulas bibirnya beransur lentur, menguntum senyum kecil yang mana akhirnya menjadi lebar. Fikirnya, kerja dia di sini menjadi balaci semata-mata. Tidak bergaji. Rupanya Tengku Hanif punya rasa perikemanusiaan juga.
            “Terima kasihlah Tengku Hanif. Tak payah kasi banyak-banyak, tiga empat ratus pun dah cukup.” Nurul Ain berkata sendirian. Senyumnya belum mati. Benar-benar gembira di atas pemberian yang tidak disangka-sangka.
            “Banyak duit.” Teguran itu nyaris memutuskan urat jantung. Nurul Ain menoleh. Tubuh tinggi lampai Irfan tersergam umpama monumen besi. Cepat-cepat dia berdiri. Satu yang dia pelajari tentang ‘habit’ lelaki ini- suka muncul secara tiba-tiba.
            “Duit untuk saya ke?” Irfan melangkah menghampiri ruang pantry.
            “Eh, tak.” Jawapan lurus itu terhambur tanpa sengaja.
            Senyum simpul perhati ulah dangkal Nurul Ain.
            “Bukan macam tu...” Nurul Ain hendak cepat-cepat mematahkan tanggapan Irfan terhadapnya.
            “Saya tahu,” pintas Irfan. Kerusi diseret ke belakang.
            “Duduklah...” Irfan mempelawa sesudah dia selesa menghenyak punggung di kerusi plastik merah hati yang diperkukuhkan dengan besi bercat putih susu.
            Nurul Ain patuh. Sudah kebiasaan barangkali.
            “Dah habis kerja?” Irfan menyoal, seraya menangkap putaran jam dinding yang kian menghampiri jam 11 pagi.
            “Ah... ya...” jawab Nurul Ain.  
            “How was your mom?” Irfan mencapai gelas kaca di tengah meja, lalu menuang separuh air masak ke dalamnya.
            “Alhamdulillah... makin elok.”
            “Bila jumpa doktor untuk buka balutan kaki dia tu?” Air diteguk sedikit.
            Nurul Ain menghitung jari-jarinya. Ulahnya menarik perhatian Irfan. Mekar wajah lelaki itu disulami senyum kecil yang tidak nyata pada pandangan mata.
            “Hujung minggu depan boleh dah buang simen dekat kaki ibu saya,” beritahu Nurul Ain.
            Irfan menompang dagu. Dalam sekali imbas, dia mampu memetakan paras Nurul Ain. Kening, alis mata, mata, hidung, bibir, bahkan bentuk muka juga dipotret dengan begitu baik sekali.
            “Saya hantar, okey?” Tawar Irfan.
            Pantas dia menggeleng. “Tak perlu, Encik Irfan. Saya boleh bawa ibu saya pergi hospital tu.”
            “Dah banyak kali saya pesan, panggil saya Irfan. Buang encik tu.” Irfan mengingatkan.
            Nurul Ain tersengih. Lebar.
            “Rasa macam tak proper pula nak panggil nama aje.”
            “It’s okay. Kita kawan, kan?” Irfan mengenyit mata.
            Nurul Ain pegun. Menggeleng, tidak. Mengangguk, apatah lagi. Kawan? Sejak bila? Kemunculan Irfan tidak pernah diundang. Paling mengejutkan, Irfan datang mencari dia sampai ke pintu hospital. Tetapi untuk apa? Kadang ketika, diri sendiri dibungkus perasaan kurang selesa, atau lebih tepat gerun. Tiba-tiba, lelaki itu ada.

“TAK perlu tunggu orang tu, kita memang dah boleh pastikan memang dia yang kita cari.” Jari-jarinya bermain di sekitar dagu.
            Aidil menutup fail yang tertera nama bernasabkan bapa tiri Tengku Hanif. Dia  ikut bersandar pada kerusi.
            “Pasti Tengku tak kisah?” Aidil mengerut muka.
            Tengku Hanif hela nafas perlahan. Pandangan dilempar jauh ke depan, melepasi gerbang kayu berukir seni pahat tradisional.
            “Kita dah ada semua, kan? Ujian-ujian tu... apa lagi yang tak cukup? Sekarang ni, kalau kita jumpa dia pun boleh.”
            Aidil mengangguk bersetuju.
            “Macam mana dengan Datuk?”
            “Datuk...”
            Jeda seketika.
            “Datuk perlukan masa lagi,” lanjutnya.
            “Then, Tengku nak pergi sendiri?” Daripada duduk bersandar, kini tubuh Aidil tegak bagai tiang.
            “No. Saya ikut Datuk.”
            Aidil mengangguk lagi. Sejurus itu, dia tersenyum sedikit. Seolah menzahirkan apa yang berlegar dalam fikiran. “Saya rasa, dia mesti... well... kejutan budaya, maybe? Maklumlah, keluarga Tengku bukan calang-calang. “
            “Awak silap, Aidil. Kami sama. Tak ada beza. Awak sendiri tahu, awak sendiri yang siasat latar belakang dia selama beberapa tahun ni. Dia dibesarkan dalam keluarga yang baik-baik. Ayah dia seorang pensyarah fakulti kejuruteraan. Even dia sendiri ada kelulusan yang sama. Harta? Boleh cari. Pangkat? Orang boleh beli.”
            “Maaf Tengku. Saya hanya lontarkan apa yang saya fikir.” Lambat-lambat Aidil bersuara saat menyedari hujah Tengku Hanif seolah membidas bicara dia sebentar tadi.
            “Never mind.” Sekeping cek diunjuk kepada Aidil.
            “Ini untuk awak.”
            Aidil mengerling sekilas. Nilainya jauh lebih banyak daripada apa yang telah dipersetujui.
            “Macam lebih aje, Tengku.” Leret suara nyata janggal.
            Cek itu ditolak lagi. “Anggap ia satu bonus atas kerja awak.”
            Tidak dapat ditahan-tahan kuluman senyum yang cuba disembunyikan daripada merias muka. Berkali-kali Aidil mengungkap lafaz syukur. Rezeki anak.
            “Terima kasih, Tengku,” ucapnya. Cek itu ditenung lama. Setiap nombor yang tertera di atas garisan hitam itu, benar-benar membuatkan dia sukar untuk menghapus rasa gembira.
             “Fail ni... saya ambil.” Fail hitam dicapai. Segala laporan yang tercetak dibelek sekali imbas. Sorot mata kaku menatap helaian terakhir. Helaian yang mengumpulkan paras anak kandung Awang Kader.

ALBUM lama diselak helai demi helai. Kadang ketika, ia mencetuskan rasa gembira dalam relung jiwa. Menghadirkan momen-momen bahagia menerusi ingatan yang telah dikunci agar tidak pernah lupus.
            “Comel betul,” gumam Sabrina. Hujung jari telunjuk mengelus lembut gambar itu. Senyum Tengku Hanif dimemorikan pada usia menjangkau empat tahun, kelihatan terlalu polos. Cukup ceria dalam kendongan Awang Kader.
            Leret mata menjangkau helaian yang tinggal sedikit. Selain Tengku Hanif dan Awang Kader, di celah-celah helaian itu, terselit beberapa keping gambar Nur Aminah. Mata mengecil. Sedang nafas beralun normal. Memori si kecil Dayang Nur Aishah turut bersisa dalam album itu.
            “Kak Min sayangkan Rina. Dunia akhirat... hubungan kita tak akan pernah putus.”
            Akujanji itu seumpama segerombolan udara panas, menerobos secara kasar ke dalam lubang telinga. Diheret bersama rasa ngilu yang mencucuk ulu jantung tiba-tiba. Selajur, album itu ditutup. Kembali di simpan dalam laci almari kayu.
Pada dasarnya, dia enggan mengingati apa pun tentang Nur Aminah. Secebis pun dia enggan kerana ingatan itu akan menghumban dia ke lembah yang tidak ingin dia jejak lagi.

ADA sesuatu yang dangkal pada pengamatan sendiri. Oleh itu, mata dia meliar ke merata pelosok ruang pejabat.
            “Sufiah...” Awang Kader memerhatikan pasu kaca yang kosong.
            “Ya Datuk?” Sufiah mendongak.
            Awang Kader menoleh sekilas sebelum kembali membuang pandang ke dalam ruang itu.
            “Tak ada bunga?”
            Soalan tunggal itu disambut dengan tawa kecil Sufiah. Wanita beranak satu itu tersenyum sampai telinga.
            “Tak datang ke?” Wajah itu berubah-ubah.
            “Ada aje, Datuk. Cuma hari ini, dia lupa nak bawa bunga macam selalu. Eh, dah rindu ke?” Sufiah meleret tawa lagi.
            Awang Kader ikut hambur tawa. Lebih halus. “Saya ni sedar diri. Tak ada nak rindu sesiapa pun,” sahutnya.
            Sufiah sembunyi senyum.
            “Bukan apa, Sufi. Dah jadi kebiasaan pula sejak akhir-akhir ni. Buka pintu, nampak bunga dulu. Siap bawa balik, buat perhiasan rumah,” beritahu Awang Kader tanpa diminta.
            “Tahu, Datuk. Setiap hari Datuk balik dengan bunga yang Nurul Ain bawa.”
            “Dekat rumah tu, Datin mula syak bukan-bukan. Saya ni dah tua. Tak ada siapa berkenan nak bagi bunga. Makin layu bunga tu, ada lah.”
            Gurauan itu kembali mengundang rasa gelihati Sufiah.
            “Perempuan, Datuk. Mahu tak syak. Kang takut suami pasang lain,” balas Sufiah.
            Meleret-leret senyum Awang Kader.
            “Saya masuk dalam dulu.”
            “Datuk nak air?”
            “No, thank you.”
            Sufiah mengangguk. Berbaki tidak sampai satu jam ini, dia cuba mengisi masa lapang dengan melakukan pemeriksaan pada jadual majikannya untuk keesokan hari.

            Di dalam ruang serba sunyi itu pula, Awang Kader kekal membenam renungan ke arah pasu bunga yang kosong. Sehari-hari ini, dia lebih bersemangat, jiwa juga kian mendendang rasa bahagia yang cuba dicambahkan sejak dulu tatkala pandangan mata dijamu bunga-bunga segar. Bunga-bungaan yang menjadi penyeri ruang kerjanya seolah turut membawa bayang gadis itu. Gadis bernama Nurul Ain.

Terima kasih kerana membaca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: 'Peluang tu sentiasa terbuka buatnya tetapi dia memilih untuk terus buta.' Hint paling besar buat perjalanan hidup manusia-manusia dalam Cinta Jangan Kau Pergi :) Enjoice

2 comments:

Unknown said...

BEST GILER .

Sarjen Pencerita said...

Salam kawan penulisku,Teruskan usaha menghasilkan karya..semoga terus maju...jangan lupa juga lawat blog sya ya kat https://ceritaberemosi.blogspot.my/