Wednesday, October 4, 2017

[Novel] : Bukan Yang Pertama Bab 1

Assalamualaikum.







"...When love is for sake of Allah, it never dies..."








Bab 1

‘DEAR Anna...’
            Anak mata melorot terus ke bawah. Hujung jari menekan tetikus. Kiriman itu dibaca sepintas lalu. Sekadar mencari sesuatu yang lebih penting berbanding taipan ayat berjela-jela dari seseorang yang hanya ingin dikenali sebagai Tasha.
            ‘Saya ada simpan rahsia besar dari kekasih.’
            Klise.
            Bacaan diteruskan.
            ‘Dibelakangnya, saya ada hubungan dengan seorang lelaki lain.’
            Keluhan berat melepasi rengkungan. Pelipis dahi diurut perlahan. Bacaannya terhenti serta merta. Dalam pada itu, dia sudah merangka ayat lazim yang bakal dibalas kepada sang pergirim tersebut. Antaranya berbunyi- beritahu hal sebenar, jujur kepada pasangan, dan buat pilihan terbaik. Kalau masih cinta, terus setia.
            Sejurus itu, dia bersandar lelah. Walhal hanya tulisan menjadi ganti diri, namun entah kenapa, sejak dua menjak ini dia merasakan bahawa setiap seorang daripada mereka memang wujud depan mata.
            Seperti permasalahan Tasha, seharusnya dia sendiri tahu menilai ke mana hubungan itu harus belayar. Sedangkan diri tidak mampu untuk setia, bagaimana di penghujung cerita nanti? Jika terpaksa membuat pilihan, pasti akan disuruh wanita itu memilih si lelaki kedua, kerana andai benar cinta itu ada, yang kedua tidak akan pernah wujud antara mereka.
            Tangan mendepa luas, lantas digerakkan bagi memutuskan segala sengal-sengal yang mengigit tubuh. Hampir dua jam dia duduk melangut menghadap skrin komputer, menyusun atur bahasa jari, memberi nasihat sewajarnya, dan akhir sekali membuat penilaian terakhir sebelum memilih kiriman siapa yang bakal disiar dalam slot ‘Dear Anna’.

“HAI”
            Nairah terperanjat besar. Nyaris melompat keluar jantung dari tubuh.
            “Sorry.” Lelaki itu tersenyum kecil.
            “Tajul...” Leret suara bagai mahu menyampaikan rasa geram.
            Tajul tertawa pula. Selajur menarik kerusi lalu labuh punggung dekat dengan Nairah. Gelagat Tajul mengundang rasa dangkal. Malah dia menyuruh lelaki itu menjauhinya.
            “Kenapa?” Tajul kerut muka.
            “Ini tempat kerja, Encik Tajul,” gumam Nairah tanda kurang senang.
            “Memanglah. Kita bukan dekat shopping complex, sayangku Fara Nairah.” Barisan gigi itu ditayang lebar.
            Nairah mengeluh halus. “Orang tengok, seganlah.”
            “Segan?” Hujung bicara Nairah sengaja diulang dengan sebuah sengihan kecil meniti hujung bibir. "Apa yang nak disegankan, Nairah?"
            Bibir Nairah terkunci rapat. Malas melayani ulah nakal Tajul. Pandangan kembali menyoroti skrin komputer. Beroleng-oleng penglihatan merayapi beberapa notifikasi mel elektronik yang diterima semalam, yang mana belum pun sempat untuk dilihat sepenuhnya.
            “Tak payah nak segan atau malu sangat, Fara. Semua orang tahu, you tu I yang punya.”
            Lama kelamaan, lentur otot muka mengunjur ke atas, muncul juga. Tajul tersenyum senang. Biar sedikit, ia cukup membuatkan hari-harinya ceria dan bahagia.
            “Jom... kita keluar dinner,” pelawa Tajul.
            Ekor mata melirik jam tangan. Paras lelaki itu dicari, sebelum kepala terangguk-angguk bersetuju.
            “Nak makan dekat mana?” Nairah mengemas meja yang kelihatan sedikit serabut. 
            “Windmills.”
            Nairah meminta Tajul menunggu sebentar, sementara dia menyambut panggilan dari mama. Mata mengerling ke pergelangan tangan. Belum pun mencecah jam lapan malam, tetapi panggilan wanita itu sudah menembusi talian. Lambat-lambat jari meleret ke permukaan skrin telefon pintar sebelum membawa objek berteknologi tinggi keluaran Apple ke telinga.
            “Baru nak keluar, ma.”
            “Mama nak beritahu sesuatu ni.”
Berkerut dahi Nairah. “Apa?”
            “Adik balik ni. Ada dekat rumah sekarang.”
            Membulat matanya menerima khabar tersebut. Lantas bibirnya terbuka luas. Satu gambaran perasaan teruja. Lekas dia menghayun langkah serba laju menghampiri Tajul setia menunggu di muka pintu.
            Tajul menggerakkan ulas bibirnya, lalu menyoal tanpa berbunyi suara. ‘Siapa?’
            ‘Mama.’ Nairah membalas dengan cara serupa.

PINTU terbuka dari luar, disusuli juluran kaki berseluar jeans hitam dan berstokin jalur merah kelabu. Lelaki itu menarik pintu lalu dikunci rapat sebelum berpusing ke hadapan menghadap ruang tamu. Nyaris terlepas bungkusan makanan tatkala menyedari dia tidak berseorangan di ruang tersebut.
            “Hoi!” Irwan menyergah kasar.
            Tajul mengangkat mata. “Balik dah?”
            Hayunan kaki merentasi ruangan berkeluasan tiga belas kaki, terus menuju ke perut dapur. “Kau kata makan luar, balik lambat.” Irwan meletak bungkusan makanan di atas meja. Peti sejuk diselongkar. Dua tin minuman berperisa buah-buahan diambil.
            “Dah kenapa tiba-tiba bertafakur dekat sini?” Salah satu daripada tin minuman itu diunjuk kepada Tajul. Punggung berlabuh atas kerusi rotan beralas kusyen lembut. Sesekali leret mata melibas tepat ke muka Tajul. Naik tinggi keningnya mengamati bahasa tubuh lelaki berjambang halus tersebut.
            “Frust.”
            Berkerut dahi Irwan. “Putus cinta ke apa?” selorohnya.
            Serta merta kelopak mata terangkat. Buntang.
            “Shit. Jangan cakap macam tu, Wan. Hancur hati aku nanti.”
            Pecah berderai tawa Irwan. “Dah tu? Gaya macam orang hilang jiwa aje.”
            Tajul sekadar meleret senyum. Cukup nipis.
            ‘Hilang jiwa?’
            Dia ketawa sambil derap kaki membilang langkah menuju ke bilik. Sesampai sahaja di ruang peribadi miliknya, dia terus menghumban tubuh atas katil. Tangan mendepa luas. Mata pula ditutup rapat-rapat. Lelah seakan ghaib sebaik sahaja paras Nairah menyambar ingatan. Bahkan dia boleh mengukir senyum Nairah mengenangkan perempuan kesayangannya.
            “Fara Nairah.” Bibirnya terkumat-kamit melantun nama itu lama-lama. Hati berbunga bahagia.
            Jujurnya, dia sedikit kecewa tatkala Nairah terpaksa menolak pelawaannya atas urusan keluarga yang tidak boleh ditangguh walau untuk sesaat. Khabar diterima, adik perempuan gadis itu telah selamat mendarat di bumi Malaysia setelah beberapa purnama memijak tanah di negara orang.
            ‘Tidak mengapa. Esok... dan hari-hari mendatang masih ada.’ Suara kecil tiba-tiba muncul, seolah-olah memujuk.
            Akhirnya Tajul tertawa lagi. Kali ini kedengaran lebih galak.
           
“TAK beritahu aku pun.” Kelingan menyimbah penuh curiga.
            Nairah menoleh. Mereka berpadu renungan.
            “Beritahu... apa?” soalnya.
            Selajur Sofea menitip renungan lebih tajam. Mematahkan setiap rangka penglihatan Nairah. Duduknya beralih kedudukan. Dia memaut lengan kakaknya, lalu mengecilkan mata. Tangan kanan diangkat melepasi bahu, sejurus jari telunjuk tegak berdiri mengacu ke arah Nairah. Betul-betul menghampiri hujung hidung gadis itu.        
            Kepala mendongak sedikit. “Siapa Tajul?”
            “Bukan sesiapa.” Nairah tenang menjawab.
            Sofea menggigit bibir. Lengan yang dipaut tadi mulai merasa perit dimamah cubitan.
            “Sakit!” teriak Nairah.
            “Baik cakap.” Sofea mendesak. Jari-jarinya kekal memberikan sentuhan berbisa ke atas kulit di sepanjang lengan Nairah sehingga akhirnya gadis berambut pendek menyamai bahu itu, mengalah.
            Sofea menyeringai. Dia memperoleh kemenangan mutlak.

 KEDUA-DUA mereka menjulang pancaindera ke dada langit.
            “Tu, macam dah nak mati.” Sofea menuding jari. Lama dia memerhatikan bintang yang seakan-akan sudah hilang upaya untuk menghasilkan sumber cahaya berbanding kawanan yang lain.
            “Yang tu...” Giliran Nairah membawa penglihatan mereka bertebaran menyaksikan keindahan ciptaan Tuhan. Antara bintang-bintang bergemerlapan, mengindahkan dada langit nan suram, terdapat satu bintang yang sungguh menyerlah. Sejak dari tadi, ekor mata melewati bintang tersebut. Kemudian, dia menoleh ke arah Sofea lantas mengukir senyum. “Yang tu macam Sofea.” Dia tidak berhenti menuding.
            Sebagaimana Nairah, Sofea turut memancutkan renungan pada bintang yang sama.
            “Kenapa aku?”
            “Sebab kau istimewa, Sofea.”
            Nafas dihela lambat-lambat.
            “Kau cantik... kau...” Jeda sejenak.
            Mereka berpandangan.
            Otot muka Nairah melentur lagi. “Semua tentang kau, sama macam bintang tu.”
            Lama mereka membungkam bicara. Sekadar melepas tanggapan di fikiran masing-masing. Nairah, mahupun Sofea, lebih selesa memenuhkan rongga-rongga dengan suara halus yang sesekali muncul. Sedang lewat mata kedua-duanya kekal mengamati pandangan di atas langit.
            Sofea memandang ke sisi. Dilihatnya Nairah kekal ralit dalam dunia sendiri. Mata itu bergelintar buas. Bahkan sesekali muncul senyuman kecil menduduki ulas bibir. Barangkali asyik membilang bintang-bintang yang bercahaya di atas sana, lalu dibahagikan mengikut kadar biasan cahaya antara kesemuanya.
            “Kak.”
            “Emm...”
            Tubuh mengiring. Sebelah tangan memanggung kepala. “Siapa Tajul?”
            Tawa Nairah memburai.
            “Jangan ingat kau boleh lari topik lain pula. Tu... cantik macam mana pun langit tu, bintang tu... aku lebih berminat nak tahu tentang Tajul.” Sofea menggigit bibir.
            “Okay...” Nairah akhirnya benar-benar menyerah.
            “Dia... kawan kakak.”
            “Kawan?”
            Terangguk-angguk kepala Nairah.
            “Seriously? Even mama mention as her future son in-law?”
            Muka dikerutkan. “Mmm...” Dia seolah berteka-teki.
            “Kakak!” Sofea menjerit geram.
            Nairah sembunyi tawa. Terkidum-kidum dia berusaha agar lingkaran senyum pun tiada membasahi roman.
            “Ini...” Dia menuding jari Nairah, lantas menyambung, “Tak ada apa-apa lagi, so maksudnya kawan aje. Kan?”
            “Seriuslah.”
            “I am serious, Sofea.”
            “Tak termaktub apa-apa lagi even hubungan yang ada lebih sikit dari sekadar kawan,” lanjutnya pula.
            Mata Sofea juling ke atas.

“I’M serious, Nairah.”
            Dia menggumpal nafas dalam rengkungan. Terasa sungguh berat, seumpama ada batuan besar sedang bergayut pada tali-tali organ penampung nyawa.
            “Kita kahwin?”
            “Tajul...”
            “Kenapa?”
            Entah bagaimana hendak disampaikan resah hati sendiri. Apatah lagi melihat paras Tajul. Kerut-kerut pada wajah lelaki itu bagai cerucuk tajam membidik tepat ke dada.
            “You belum sedia?”
            Lidah membeku. ‘Ya... aku belum sedia.’
            Andai sahaja mampu diluah kata-kata tersebut. Dia menghela partikel-partikel udara dalam sekali hembus. “Saya... mmm...”
            Tiba-tiba lelaki itu tersenyum Nairah, lalu berkata, “Tak mengapa. I sanggup tunggu you. Berbilion tahun pun, I sanggup... Fara Nairah.”
            “I sanggup.”
            Terngiang-ngiang bicara Tajul, lantas memaksa dia kembali ke relung berbeza dimensi. Seolah-olah sedang berdiri menyaksikan satu lakonan teater yang melibatkan diri sendiri dan Tajul.
            Lamaran tersebut diusul ketika usia perkenalan mereka tidak sampai dua tahun, bahkan hubungan istimewa yang terjalin juga belum melepasi enam bulan pertama. Bagaimana dia hendak memberi reaksi? Mujur Tajul seorang lelaki yang jelas budiman, segera mempertontonkan sikap memahami dan tolak ansur.
            Tubuh dibiar bersandar lelah ke kerusi. Hujung jari menolak kaca mata supaya lebih selesa duduk bertenggek di batang hidung. Sejurus dia kembali melontar fokus pada skrin paparan komputer riba. Bibirnya terjungkit sedikit. Mata galak mengamati gambar yang menjadi latar belakang skrin berkenaan.
            Momen kaku tersebut merakam jasad dia bersama Sofea sewaktu masing-masing berusia lingkungan tiga belas tahun dan dua belas tahun, bersama Norita, ibu mereka. Oleh kerana jarak usia mereka berbeza setahun sahaja, ramai dalam kalangan rakan-rakan, juga saudara-mara jauh hubungan menyangka mereka dilahirkan kembar.
            Namun begitu, tatkala menginjak dewasa, paras yang sering disalah erti sebagai kembar beransur-ansur pupus. Berbanding diri sendiri yang mempunyai ketinggian sederhana, lebih kurang seratus lima puluh empat sahaja dan bertubuh kecil, Sofea memiliki ketinggian dan tubuh yang membolehkan dirinya menceburi bidang peragaan. Bahkan rupa paras dan wajah Sofea lebih menawan. Segala-gala tentang Sofea seumpama indah terletak di tubuhnya.
Malah sewaktu masih menuntut di universiti, Sofea telah pun melakukan pelbagai projek peragaan, sama ada secara profesional atau sekadar memenuhi permintaan rakan-rakan dalam pengajian fesyen.
            “Mmmm....” Desahan panjang itu mengejutkan Fara Nairah. Lekas dia berpaling ke belakang. Dia tersenyum sendiri melihat Sofea begitu nyenyak tidur. Kedua-dua belah tangannya mendepa luas. Mulutnya terbuka sedikit, manakala sebahagian rambutnya yang panjang mengurai itu menutupi dahi dan bersepah tidak terurus, namun begitu Sofea kekal tampak rupawan.

Terima kasih kerana membaca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: 'Bukan Yang Pertama.. perasaan yang bergelandangan kadang kala mencetuskan kekeliruan. Benar-benar cinta atau ianya berselindung disebalik simpati?' Sedang berusaha gigih menyalakan kembali lampu-lampu idea dalam kepala. Bertabahlah Salwa!

No comments: