Tuesday, February 26, 2013

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab27.

Assalamualaikum.








"...Friendship is not how long you've been together. It isn't how much you've given or received; nor how many times you've helped each other. But it's how you value one another..."









Bab 27
Imbas kembali
Tahun 1984
TERJINGKIT-JINGKIT kaki Aminah memijak lantai rumah. Dia nampak adik bongsunya sedang ralit termenung sambil memandang dada langit. Berserta sengihan lebar, Aminah menghampiri Sabrina.
Berdecit suara Sabrina. Cuitan di bahu membuatkan dia terkejut beruk. Mujur tidak jatuh tergolek ke bawah.
“Kakak!” Sabrina mengerling kakaknya.
Aminah ketawa gelihati.
“Kau menungkan apa tu, Rina? Ingatkan kekasih hati ke?” Aminah serkap jarang. Disiku pinggang Sabrina.
Sabrina mencebik. Tergeleng-geleng kepalanya. “Eh, kakak ni! Aku mana ada kekasih.”
“Iyalah tu!” Ditarik batang hidung Sabrina. “Akak dengar mak cakap yang ada orang datang merisik kau. Betul ke?”
Membulat mata Sabrina.
“Bila mak cakap?”
“Semalam.” Aminah mengerling si adik. “Siapa lelaki tu?”
Sabrina mendengus.
“Tengku Ali.”
“Wah, bukan main. Tengku yang datang risik kau. Kelas!” Aminah bersenda. Tersimpul senyuman kecil di pinggir bibirnya.
“Aku tak sukalah, kak.”
“Kau tak suka siapa? Tengku Ali tu?”
Sabrina mengangguk.
“Kenapa? Bukan ke dia satu kelas dengan kau dulu waktu di universiti?”
“Kalau satu kelas tu kena wajib suka ke kak?” Hujung jari kaki menguis lantai. Terbayang muka Tengku Ali. Lelaki itu bukanlah jenis yang menjadi idaman hati. Langsung tidak. Tetapi dia tahu, apak sudah mula suka dengan budak lelaki itu. Khabar apak, keluarga Tengku Ali dari kalangan baik-baik. Dia tahu, apak berharap dia menerima lamaran keluarga Tengku Ali.
“Cuba kau beritahu akak, kenapa kau tak suka pada Tengku Ali?”
“Sebab dia bukan lelaki baik!” tegas Sabrina.
“Mana kau tahu?” Aminah semakin tertarik untuk tahu kisah yang pernah terbina antara adiknya dengan lelaki bernama Tengku Ali.
Sabrina mendongak. Renungan mata itu menusuk tepat ke wajah Aminah. Cukup lama sehingga menimbulkan riak curiga di hati Aminah.
“Aku dah lama kenal dia, kak,” kata Sabrina mengakhiri perbualan malam itu. Dia terus angkat punggung dan berlalu meninggalkan Aminah yang terpinga-pinga.

PULANGNYA Aminah petang itu dihantar oleh seseorang. Panjang leher Sabrina terjulur ke luar tingkap. Diamati kereta kancil berwarna putih itu. Macam kenal. Puas dia menanti, mana tahu si pemandu kereta itu akan keluar namu hampa kerana kereta itu terus berderum laju meninggalkan perkarangan rumah. Walau tidak terjamah mata, Sabrina yakin pemandu itu seorang lelaki.
Belum pun sempat Aminah memberi salam, Sabrina datang mengejut lalu menyergahnya. Terlepas beg di tangan. Kerlingan tajam dihadiahkan kepada Sabrina. Sabrina tersengih lebar. Cepat-cepat dia angkat beg tangan Sabrina yang terjatuh di atas tangga.
“Siapa tu, kak?” risik Sabrina. Sengaja dia pamer muka penuh tanda-tanya.
“Kawan,” jawab Aminah seringkasnya.
“Kawan mana?” Giat Sabrina menyoal meski dia sedia maklum maksud kawan itu tentulah kawan yang istimewa atau lebih tepat kekasih hati.
“Ini mesti pakwe, kan?” Sabrina meneka.
Serta-merta wajah Aminah naik kemerahan. Jelas kelihatan kerana wajah putih mulus Aminah itu akan bertukar warna saat resah, gelisah atau malu.
Sabrina sudah tersengih-sengih. “Siapa nama dia, kak?” Sabrina enggan mengalah. Diekori langkah Aminah sampai ke dalam bilik. Mujur ketika itu apak dan emak tiada di rumah. Abang Azmi juga belum pulang dari kerja. Maka perbualan dua beradik itu pasti tidak akan sampai ke telinga mereka.
“Kau ni selalu macam ni tau kak. Bila aku tanya, senyap aje. Sajelah tu!” rungut Sabrina.
Aminah tersenyum lebar. Dia melabuhkan punggung di atas katil lalu menepuk tilam beberapa kali. Sabrina berjalan malas. Derap kaki sengaja dihentak kasar. Biar Aminah tahu, dia juga reti marah bila sering dibiar bergelumang dengan soalan setiap masa.
“Akak baru kenal dia.” Aminah memulakan bicara. Sebelah tangannya memegang lengan Sabrina.
“Berapa lama?” Terburu-buru Sabrina bertanya. Nampak benar gelojohnya.
“Lima enam bulan,” jawab Aminah diiringi senyuman kecil.
Sabrina turut terjebak dalam senyuman itu. Patutlah kalau telefon rumah berdering, cepat sahaja Aminah lari mendapatkan telefon biru itu. Lepas itu, cakap perlahan-lahan. Rupa-rupanya... Kening Sabrina terjungkit sedikit.
“Mak apak dah tahu?”
Aminah geleng kepala.
“Jangan cakap dengan mereka,” kata Aminah.
“Kalau aku cakap?” Sabrina sengaja mengusik.
“Janganlah. Akak baru aje kawan dengan dia. Kau tahu kan apak tak suka. Nanti apak kata akak gatal. Baru kenal dah pandai hantar balik.” Wajah Aminah mendung. Sebab itulah dia begitu berjaga-jaga setiap saat. Malah dia beritahu pada orang berkenaan supaya jangan kerap menelefon dia. Nanti apak tahu, mahu bising orang tua itu. Dia tahu, apak tidak gemar cerita berkenaan anak-anak menjadi buah mulut orang kampung.
Hanya pada Sabrina sahaja dia berkongsi cerita. Dulu dia pernah bercinta dengan seorang lelaki, sama tempat kerja dengannya. Setahun juga perhubungan mereka namun terputus di tengah jalan. Pada Sabrina juga dia meluah rasa kecewa. Lagi pula, usia antara dia dengan Sabrina tidak jauh. Setahun sahaja. Oleh sebab itu, mereka sangat rapat. Cumanya Sabrina sedikit berahsia dengannya. Dia tidak pernah tahu siapa kawan lelaki Sabrina. Tahu-tahu sahaja, ada orang hantar merisik.
“Nama dia Kader.” Aminah berkata separuh berbisik di telinga Sabrina.
Terkebil-kebil mata Sabrina. “Siapa?” Ulangnya.
“Awang Kader.” Aminah menyebut nama itu sekali lagi. Dan senyumannya mekar.
Sabrina terdiam. Matanya terpacak di raut wajah kakaknya.

Sekarang, 2012
Teratak Sakinah
SETENGAH jam yang lalu, dia boleh disamakan dengan watak perempuan comel, Joo Yoo-rin di dalam drama Korea, My Girl sewaktu mula-mula masuk ke dalam bilik ini. Liar matanya memerhati setiap sudut bilik yang tersusun rapi. Selama ini, dia hanya melihat bilik tidur sebegini di dalam televisyen sahaja. Nah, sekarang ada di depan mata sendiri. Berkali-kali juga dia tampar muka sendiri. Mana tahu, khayalan semata.
Sampai sahaja di rumah yang diberi nama Teratak Sakinah ini, dia disambut mesra oleh Datin Sabrina. Datin Sabrina tidak ikut menjemput dia di rumah. Kata Datuk Awang Kader, Datin Sabrina bertungkus-lumus menyediakan hidangan makan tengahari khas buatnya. Terharu sungguh!
 Seperti yang dijangka, sesi tangis-menangis itu memang tersisip bersama langkah kaki menuju ke kereta mewah milik Datuk Awang Kader. Selepas bersalaman dengan emak, dia peluk Asyikin. Asyikin kata jangan pergi tetapi dia harus gagahkan kaki pergi juga kerana permintaan emak. Kalau bukan kerana emak, sekarang ini dia masih duduk di rumah sana, menikmati hari-hari mendatang dengan perasaan bahagia.
Belum pun enjin kereta dihidupkan, terlebih dahulu dia beritahu Datuk Awang Kader yang dia akan pulang ke rumah emak setiap hari Sabtu dan Ahad. Permintaannya itu dibalas dengan senyuman dan anggukan kepala daripada Datuk Awang Kader. Lega betul waktu itu. Terserlah sikap toleransi ayahnya.
Ketukan bertalu-talu di pintu yang terbuka sedikit itu menganggu lamunannya. Terus dia paling muka, pandang pintu. Perlahan-lahan, pintu itu dibuka dari luar. Tersembul muka seseorang yang bikin hati panas. Spontan, dia pandang tempat lain. Hah, itulah tabiatnya bila berdepan dengan makhluk penyamar laksana iguana tersebut. Cuma ini versi orang.
“Wah, ceria sikit bilik ni.” Tengku Hanif melangkah masuk ke dalam bilik yang bertentangan dengan kamar tidurnya. Dia pusing keliling ruang itu. Tampak berbeza. Ada barang yang sudah tiada dan diganti dengan barang lain.
Tengku Hanif mematikan langkah. Dia berdiri di tepi jendela. Dari situ dia boleh nampak muka Nurul Ain. Mata Nurul Ain tepat menghala ke arah deretan buku yang terletak di atas sebuah kabinet kayu.
“I’m sorry,” ucapnya. Sedikit perlahan.
Nurul Ain diam. Dalam pada rasa marah yang berbakul-bakul itu dan tidak pernah surut, dia sebenarnya kekok. Iyalah, tiba-tiba Tengku Hanif yang suka mengarah itu beraksi baik saat ini. Terus terbayangkan Faisal.
Terfikir juga, macam mana keadaan dia tinggal sebumbung dengan Tengku Hanif. Hendak pandang muka pun masih terasa payah. Apa susah, bukan ke dia akan kerja selepas ini. Kalau kerja, mesti balik malam. Kalau tak balik malam, dia buat overtime. Boleh dapat gaji lebih. Bila balik lewat, terus masuk bilik. Lepas tu, pagi-pagi lagi dia akan pastikan dia sudah pergi kerja dulu sebelum Tengku Hanif. Yang paling penting, di bangunan itu nanti, dia tidak tercampak di bawah lelaki itu. Kalau ayah letak dia bawah Tengku Hanif, dia akan melutut minta tukar. Serius, dia akan buat macam itu!
Nurul Ain ralit merencana sketsa hidupnya sehingga tidak menyedari Tengku Hanif sudah mengambil tempat di sisinya.
“Saya tahu, saya dah tipu awak. Then kucar-kacirkan sikit hidup awak sampai kena buang kerja. I admit it but again, I am sorry.”
Kerlingan Nurul Ain menghala tepat pada Tengku Hanif. Tak penat ke asyik minta maaf? Apa muka aku ni ada sign minta maaf ke? Eh, betullah apa dia buat. Say sorry. Dah kau buat salah, then tipu aku. Heh, kucar-kacir sikit kau kata? Tu, perihal Faisal tu yang paling besar tahu! Nurul Ain memprotes dalam hati. Refleksi protes itu terpamer di wajahnya yang berkerut-kerut.
“Apa yang saya buat tu bersebab. Susah untuk saya huraikan dengan kata-kata. Berjela-jela.” Tengku Hanif terus buka mulut meski Nurul Ain membeku di sebelahnya. Macam cakap dengan tunggul. Sedikit pun tidak menyahut.
Bila dia hendak berhenti bercakap? Simpan untuk esok sahajalah. Nurul Ain dapat idea. Dia berdiri dan memulakan langkah pertama keluar dari bilik itu.
“Ye ayah. Saya turun ni!” Nurul Ain bersuara lantang.
Tengku Hanif termangu-mangu. Bila masa papa panggil nama Nurul Ain? Tidak terjamah gegendang telinga pun suara papa. Tengku Hanif garu kepala.

“TAPI...” Hanya satu perkataan itu sahaja yang terluah dari mulutnya.
            Datuk Awang Kader dan Tengku Hanif saling berpandangan. Datin Sabrina pula leka membelek majalah. Permasalahan ini melibatkan suami dan anak lelakinya. Dia bukan tahu apa pun tentang syarikat hartanah milik keluarga suaminya itu.
            “Tapi apa, Ain?”tanya Datuk Awang Kader.
            Nurul Ain memintal jari.
            “Saya belajar tak tinggi. Setakat SPM. Tiba-tiba ayah letak saya bawah Irfan. Apa yang boleh saya tolong? Entah-entah lagi menyusahkan Irfan,” kata Nurul Ain. Walau bagaimanapun, dia lega. Lega kerana nama Irfan yang disebut ayahnya.
            “Biar saya kerja sebagai receiptionist!” Terlintas idea itu di fikiran. Kerja paling senang di dalam bangunan Menara Global. Duduk di meja sambil hulur senyuman tatkala bertentang mata dengan orang yang lalu-lalang. Sesekali jawab panggilan telefon atau ambil pesanan, dan jadi tukang jawab soalan bila ada orang bertanya. Sesuai sangatlah dengan standard sijil SPM yang dia ada.
            Datuk Awang Kader menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Sama sekali tidak. Nurul Ain anaknya. Seharusnya Nurul Ain berada di kerusi Timbalan Pengarah seperti mana Tengku Hanif. Tetapi memikirkan pengetahuan Nurul Ain masih belum bercambah, dia memikirkan jalan lain. Meletak Nurul Ain di bawah Irfan jalan yang terbaik. Irfan boleh membantu Nurul Ain mengenali dunia perniagaan terutama perniagaan hartanah.
            “Dua tiga hari lagi, Ain ikut ayah pergi office ya.”
            Mahu tidak mahu, Nurul Ain angguk kepala juga. Keputusan sudah muktamad. Dia akan duduk di bawah payungan Irfan. Itu lebih baik daripada duduk di tempat lama. Boleh sakit jiwa dia nanti.
            Bunyi enjin kereta menggamit perhatian mereka sekeluarga. Angela cepat-cepat berlari hendak bukakan pintu. Datin Sabrina terus mendapatkan Kathy yang berjalan perlahan mendekati mereka.
            “Ayah, saya naik atas dulu. Nak telefon mak,” ujar Nurul Ain. Daripada dia duduk melangut di ruang tamu, lebih baik dia bergelandangan di dalam bilik dan bercakap dengan emak atau Asyikin.
            “Eh, you nak ke mana?” Kathy sempat merentap lengan Nurul Ain.
            “Nak call emak.”
            Berkerut dahi Kathy. “Emak?” soalnya.
            Nurul Ain mengangguk.
            “Oh, I am sorry. Tak ingat,” tutur Kathy sambil tertawa halus.
            Sempat berbual seketika dengan Kathy, sepupunya yang bergaya dan agak tidak membataskan cara pemakaian itu. Rapat betul Kathy dengan Tengku Hanif. Duduk pun hendak bersentuh kulit. Tidak ada ruang udara langsung.
            Nurul Ain mengintai secara sembunyi-sembunyi. Ditatap muka Tengku Hanif dari kejauhan. 

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Timeless- lagu kegemaran yang sekarang mendapat tempat dalam hati bila buat CJKP. Hihi. Cukup 30 bab, berkemungkinan CJKP tak akan dipublishkan dalam blog lagi. Sedang berusaha sedaya upaya siapkan CJKP yang makin slow bergerak. Ini kerana AKU aka penulis merapu ni sangatlah MALAS tahap dewa. Pffftt. 

No comments: