Saturday, March 2, 2013

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab28.

Assalamualaikum.








"...All humans are dead except those who has knowledge; and all those who has knowledge are asleep, except those who do good deeds; and those who do good deeds are deceived, except those are sincere; and those are sincere are always in a state of worry..." - Imam Shafi (RH)









Bab 28
TERBUNTANG mata Nurul Ain melihat sehelai dress singkat atas lutut berwarna merah yang ditunjukkan padanya. Telan air liur sahaja. Bukan kerana dek harga yang mencecah ratus ringgit, tetapi keadaan dress itu yang mempertontonkan sepasang kaki orang yang memakainya. Bahkan bukaan leher dress itu terlalu luas.
            “Nah, ini sesuai untuk you, Ain. Apa kata you try,” kata Kathy. Dihulur dress itu pada Nurul Ain.
            Nurul Ain geleng kepala. Tidak mungkin dia mampu menyarung dress itu. Ada banyak lagi baju di depan mata tetapi dress seksi ini juga yang menjadi pilihan Kathy, sepupunya.
            “Why not? Okay what!” tegas Kathy. Seboleh-bolehnya dia mahu Nurul Ain tampil anggun sewaktu memijak kaki masuk ke dalam bangunan megah pagi lusa nanti.
            Sedang sibuk meyakinkan Nurul Ain supaya ikut pendapatnya, Tengku Hanif datang dari arah belakang lalu menarik dress itu dari tangan Kathy. Kathy terperanjat. Dia menoleh ke arah Tengku Hanif.
            “Tak cantik,” kata Tengku Hanif. Dress itu dicampak masuk ke dalam bakul besi yang terletak di sebelah fitting room.
            “You lelaki, apa you tahu?” marah Kathy. Muncungnya panjang sedepa.
            Tengku Hanif menghela nafas. Kathy bukan membantu, sebaliknya cuba mengubah Nurul Ain menjadi seperti dirinya. Bersungguh-sungguh hendak membantu kononnya, akhirnya semua benda yang diberi pada Nurul Ain tidak kena dengan citarasa gadis itu.
            “Dia bukan you,” tutur Tengku Hanif.
            Kathy mencebik.
            “Nah.” Panjang tangan Tengku Hanif memberi sehelai blaus warna peach lembut pada Nurul Ain.
            “It suits you better,” ujarnya lagi sebelum pergi meninggalkan Nurul Ain dan Kathy.
            Cemuih betul dengan perangai Tengku Hanif. Kathy mengeling langkah lelaki itu lewat ekor matanya.
            “Teruk betul perangai dia tu. Tak pernahnya nak cakap baik-baik dengan I. Nanti kalau dah tunang, tahulah I tundukkan dia.” Kathy melepaskan rasa geram.
            Tunang? Eh? Sepupu kahwin sepupu? Nurul Ain nampak Tengku Hanif di hujung sana, sedang membelek pakaian. Kemudian matanya berlari menatap Kathy yang juga sibuk membelek dress tadi.

MASA dibazirkan begitu sahaja di pusat beli-belah. Keluar masuk kedai dan butik, tetapi hanya sehelai baju sahaja yang dibelinya. Andai dia beli banyak-banyak pun, membazir. Pergi pejabat pakai baju kurung pun sudah memadai.
            Datin Sabrina yang meenyuruh dia pergi beli baju baru. Siap minta Tengku Hanif hantar dan menelefon Kathy supaya menemaninya. Tiba-tiba rasa macam budak kecil. Kewujudan Kathy bukan membantu pun. Gadis itu lebih banyak memilih baju mengikut citarasa berlubang tak cukup kain sana-sini.
            Bungkusan plastik yang berisi blaus peach tadi dibelek. Lembut betul kainnya. Tentu selesa bila dipakai. Pilihan Tengku Hanif juga yang dibeli akhirnya setelah berpuluh baju dipertontonkan padanya.
            Nurul Ain angkat muka. Meliar matanya melihat suasana di Nando’s. Inilah kali pertama dia masuk ke dalam kedai ini. Nampak sungguh esklusif. Gigil kaki hendak masuk ke dalam kedai ini kalau poket nipis. Kemampuan dia sekadar makan di kedai mamak. Paling kuat pun KFC dan seangkatan dengannya. Itupun jarang-jarang. Dia bukan suka sangat makan fast food.
            “Jom,” ajak Tengku Hanif.
            Nurul Ain mencari bayang Kathy. Wanita cantik itu kata hendak pergi tandas. Seiring Tengku Hanif perginya tadi. Alih-alih, hanya seorang yang muncul depan mata.
            “Mana Kathy?” soalnya. Kaki dihayun membontoti langkah Tengku Hanif. Takkan nak tinggalkan Kathy di sini?
            “Dia dah balik,” jawab Tengku Hanif sebelum memboloskan diri masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan. Panas betul cuaca hari ini. Kulit rasa terbakar saat berada di bawah pancaran mentari.
            “Dah balik? Bila?” Nurul Ain bersoal-jawab sendiri. Sambil itu, dia buka pintu belakang.
            “Eh, duduklah depan,” kata Tengku Hanif.
            Nurul Ain menggeleng tanda enggan. Cepat-cepat dia masuk dalam kereta dan tutup pintu. Lega apabila kereta Tengku Hanif mula bergerak pergi.
            Sedang asyik leka mengikut rentak lagu yang dinyanyikan Bruno Mars, Nurul Ain tidak sedar Tengku Hanif membelok kanan walhal jalan ke rumah mereka perlu melalui jalan belah kiri. Hanya apabila Tengku Hanif memberhentikan keretanya, barulah Nurul Ain sedar mereka berada di tempat lain. Liar matanya melihat persekitaran saat kaki memijak tanah.
            “Anisa!” Jeritan Nurul Ain cukup lantang. Tengku Hanif tersentak. Suara macam guruh bunyinya.
            Anisa terlompat-lompat. Dia juga berlari mendapatkan kawan yang dirindui. Nurul Ain dan Anisa saling berpelukan.
            “Rindunya kat kau!” Giliran Anisa pula bersuara lantang. Atas bawah dia perhatikan Nurul Ain. Nurul Ain sekarang masih sama macam dulu. Bezanya, status Nurul Ain sudah bertukar sepenuhnya.
            “Kau datang dengan siapa?” tanya Anisa.
            Nurul Ain berkalih ke belakang. Waktu itu, Tengku Hanif sedang mengatur langkah menghampiri mereka berdua. Terus galak membulat mata Anisa. Ya, dia tahu Anisa pasti akan berkelakuan begitu. Segera disiku pinggang si kecil molek itu.
            “Kacaknya beliau...” tutur Anisa tanpa sedar. Mujur Tengku Hanif tidak dengar.
            “Tengku nak beli bunga ke?”
            Tengku Hanif mengangguk seiring senyuman kecil.
            Alahai, semakin hati terpaut. Senyuman itu sangatlah manis persis gula. Hari-hari nampak Tengku Hanif senyum begitu, mahu dia terkena sakit kencing manis.
            Nurul Ain memandang Anisa yang sudah masuk ke dalam kedai. Tinggal Tengku Hanif di depan mata. Hendak bertanya, apa tujuan sebenar Tengku Hanif singgah di kedai bunga ini. Dia percaya, niat Tengku Hanif bukan hendak membeli bunga.
            “Lepas beli bunga, kita pergi rumah mak awak,” kata Tengku Hanif.
            Nurul Ain terkebil-kebil. Sekelipan hatinya berbunga riang namun dia pelik macam manalah Tengku Hanif boleh tahu apa yang tersisip di hatinya sejak dua tiga hari dia tinggal di rumah besar itu.
            “Saya tahu awak rindukan makcik dan Asyikin.” Bicara Tengku Hanif lagi.
            “Malam semalam saya dengar awak menangis selepas telefon makcik.”
            Hah, kali ini Nurul Ain tersedak. Lelaki itu pasang telinga? Tiba-tiba terasa darah naik ke muka. Panas semacam.
            “Bila masa pulak saya menangis?” dalih Nurul Ain.
            Tengku Hanif pamer senyum. Dia dengar esak tangis Nurul Ain dengan jelas di sebalik pintu yang terbuka sedikit.
            “Saya dengar,” tegas Tengku Hanif, membuatkan Nurul Ain terdiam. Tidak pula dia sangka ada orang perhatikan dia yang menangis bersungguh-sungguh bersama hati yang pilu merindukan emak dan Asyikin. Tiap-tiap hari dia telefon emak, bercakap dengan Asyikin. Setiap kali itu jugalah dia menangis selepas panggilan itu tamat.
            Sudahnya Nurul Ain diam sahaja. Dia ikut Tengku Hanif masuk dalam kedai itu dan memilih bunga segar. Nurul Ain lihat sahaja tindakan Tengku Hanif. Bunga itukah yang akan diberi pada emak? Daripada beri bunga, baik beri buah atau makanan lain. Kenyang perut.

PUAN SURIANI mengamati suara yang berteriak lantang memanggil namanya. Jelas itu suara Nurul Ain tetapi mungkinkah Nurul Ain yang datang? Mainan otak agaknya. Puan Suriani kembali melipat baju yang berlonggok di dalam bakul.
            Sejak Nurul Ain dibawa pergi dari rumah ini, seringkali dia terdengar suara Nurul Ain. Kadang-kadang dia sendiri jadi keliru. Rindukan anak agaknya. Namun dia lega kerana Nurul Ain baik-baik sahaja di sana.
            “Mak!”
            Kali ini suara itu lebih kuat. Asyikin yang sedang lena tidur di depan televisyen terjaga. Asyikin bangkit dalam mamai. Memisat mata berkali-kali.
            “Mak, kakak datang ke?” tanya Asyikin.
            “Eh, taklah. Kalau kalau kakak balik, mesti dia beritahu mak,” balas Puan Suriani.
            “Tapi Syikin dengar suara kakak,” kata Asyikin.
            “Pergilah Syikin tengok.”
            Asyikin mengangguk. Dalam langkah longlai, dia buka pintu.
            “Syikin!”
            Asyikin terperanjat.
            “Kakak!” Asyikin berlari. Terus segar mata tatkala ternampak susuk tubuh Nurul Ain di depan sana.
            “Mak, kakak datang!” laung Asyikin.
            Puan Suriani terus berlari keluar. Ya, Nurul Ain memang ada di depan mata. Tanpa banyak kata, Puan Suriani terus menarik Nurul Ain ke dalam pelukan. Mengalir juga airmata yang mewakili rasa rindu di hati terhadap Nurul Ain.
            “Anak mak sihat?”
            Nurul Ain mengangguk laju.
            “Rindunya Ain pada mak, pada Syikin,” tutur Nurul Ain.
            Tengku Hanif jadi pemerhati. Tersentuh hati melihat hubungan rapat yang terbina antara Nurul Ain dengan keluarga Puan Suriani.

SAMPAI di Teratak Sakinah, kepulangan mereka berdua disambut dengan keresahan Datuk Awang Kader yang menanti kepulangan Nurul Ain sejak petang tadi. Bila malam menjengah dan Nurul Ain masih belum pulang, Datuk Awang Kader tidak senang duduk.
            “Kenapa Ain tak angkat telefon tadi?” Terus laju bibir Datuk Awang Kader bergerak bertanyakan soalan.
            “Err... telefon saya habis bateri, ayah,” jawab Nurul Ain, tergagap-gagap. Alahan betul dengan orang yang tiba-tiba datang menyembur padanya.
            Datuk Awang Kader menarik nafas panjang. Bila Nurul Ain tidak mengangkat panggilan itu, dia bertambah resah. Susah hati dan segala perasaan bimbang menghuni hati.
            “Hanif pun, papa telefon banyak kali tak berangkat.” Kali ini giliran Tengku Hanif pula dimarahi. “Bateri telefon pun habis ke?”
            “Jangan buat macam ni lagi,” ujar Datuk Awang Kader. Suaranya mengendur.
            Nurul Ain menyepi. Dia pandang Tengku Hanif di sisi. Bukan niat dia hendak buat ayah risau tetapi dia terlalu ralit menghabiskan masa bersama emak dan Asyikin. Sempat makan masakan emak makan malam tadi. Hanya bila Tengku Hanif mengajak dia pulang, barulah dia sedar jam kian menginjak angka sepuluh malam.
            “Ain pergi mana?”
            “Saya pergi rumah emak.” Nurul Ain tertunduk menekur lantai. Dia tahu, dia salah.
            Datuk Awang Kader memegang tangan Nurul Ain. Digenggam lembut. “Lain kali, beritahu ayah dulu. Ain nak bermalam di rumah emak Ain tak mengapa, nak balik lewat malam pun tak apa. Ayah tak larang selagi Ain beritahu ke mana Ain pergi.”
            Terangguk-angguk kepala Nurul Ain tanda dia faham.
            “Ain dah makan?”
            “Dah. Tadi makan di rumah emak.”
            Bibir Datuk Awang Kader terlukis segaris senyuman.
            “Pergilah naik atas. Berehat. Hari ni sepanjang hari Ain berjalan.”
            Nurul Ain angguk kepala lagi. Kemudian dia mula angkat kaki dari situ. Perasaan bersalah mencengkam diri. Tiada niat hendak buat ayah risau sampai begitu sekali.
            “Papa, Hanif pun nak naik atas,” kata Tengku Hanif.
            “Iyalah,” sahut Datuk Awang Kader.
            Tengku Hanif terus berlari naik ke tingkat atas. Dia nampak Nurul Ain masih gigih mengira anak tangga sebelum sampai ke bilik.
            “Dia risau sangat,” kata Tengku Hanif.
            Melantun-lantun jantung Nurul Ain. Ini sikap Tengku Hanif yang tidak disukainya. Kerap benar menyapa secara tiba-tiba.
            “Thanks for today,” ucap Tengku Hanif.
            Nurul Ain terpinga-pinga. Terima kasih untuk apa? Ah, itu satu ayat berbunyi perlian. Heh! Nurul Ain mencebik dalam hati.
            Difikirkan semula, memang patut dia ucap terima kasih kepada Tengku Hanif. Ini kerana lelaki itu telah membawa dia pergi berjumpa emak dan Asyikin. Hilang rindu yang sarat di hati selama dia tinggal di sini.
            Apa yang Tengku Hanif lakukan untuknya hari ini sememangnya harus dibalas dengan ucapan terima kasih, sekurang-kurangnya.
            Pintu dibuka perlahan. Terjulur lehernya ke luar pintu. Bilik Tengku Hanif bertentangan dengan biliknya. Terjingkit-jingkit dia mengatur langkah. Cukup berhati-hati. Pintu bilik Tengku Hanif dipandang lama. Betul ke apa yang aku nak buat ni?
            Terdengar derap kaki menghala ke pintu, terus dia lari mencicit ke biliknya. Berdentum pintu itu. Turun naik nafasnya. Fuh, nasib cepat. Nurul Ain membuka sedikit pintu dan dari celah-celahnya, dia nampak Angela menghantar kemeja yang sudah siap digosok kepada Tengku Hanif.
            Wah, sampaikan baju pun orang gaji tolong ironkan. Heavenlah hidup macam ini! Nurul Ain berdesis dalam hati.
            Selepas memastikan Angela sudah beransur pergi dan Tengku Hanif kembali berkurung di dalam bilik, dia menyusup keluar dari bilik bersama sehelai kertas kecil di tangan. Kertas itu kemudiannya di selitkan di bawah pintu.
            Mungkin itu sahaja caranya dia menunjukkan rasa terima kasih terhadap Tengku Hanif. Hendak cakap depan-depan, tidak terluah pula.
            Nurul Ain terbaring. Matanya merenung siling. Kerja besar hari ini. Janganlah lelaki itu mengungkit dia tidak kenang budi, tidak tahu berterima kasih kerana dia sudah menunjukkan perhargaannya di atas sekeping kertas kecil itu.

Terima kasih kerana membaca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Di office, makin berkurang manusia yang duduk sekawasan dengan aku. Tssskk. Masing-masing dah habis intern. Selaku manusia yang baru aje habis intern dan diambil kerja sambilan di situ, aku mula rasa kehilangan. #nota selingan: Gigih mengikuti perkembangan terbaru di Lahad Datu, Sabah, Malaysia. Semoga kesudahan di sana selesai dengan amannya tanpa perlu mengorbankan sebarang nyawa lagi. Al-fatihah buat dua komander Malaysia yang telah terbunuh di dalam kejadian yang berlaku tempoh hari. Jiran tetangga Malaysia, kebanyakkan sedang mengalami pergolakan di dalam negara masing-masing. Maka, tolonglah, jangan tarik Malaysia ke kancah sebegitu.