Friday, March 8, 2013

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab29.

Assalamualaikum.








"...A friend cannot considered a friend until he is tested in three occasions: In time of need, behind your back and after your death..."- Ali ibn Talib (RA)









Bab 29
HARI ini merupakan hari pertama dia menjejakkan kaki di bangunan Menara Global sebagai anak kepada pengerusi dan pengarah syarikat, Datuk Awang Kader. Kedatangannya mendapat perhatian semua kakitangan di syarikat itu. Malah seisi keluarga besar Menara Global merancang sebuah majlis kecil sempena mengalu-alukan kedatangan Nurul Ain di syarikat itu.
            Nurul Ain cuba menyesuaikan diri. Berlagak ramah menegur beberapa orang yang hadir ke majlis kecil itu. Walau agak kekok berdepan dengan orang yang tidak dikenali, dia cuba sebaik mungkin membawa diri.
            Sesekali bertemu mata dengan Datuk Awang Kader, ayahnya itu menghadiahi senyuman mesra.
            “Lufiya!” Terlambai-lambai tangan Nurul Ain pada Lufiya.
            Lufiya tersentak. Bila Nurul Ain berdiri di depan mata, dia tunduk sedikit sebagai tanda hormat.
            “Apa ni?” tegah Nurul Ain. Perlakuan Lufiya tidak disenanginya. Macam bos besar pula dia ini.
            “Ain... Eh, Cik Aisha apa khabar?” Tersasul pula sebut nama Nurul Ain. Sedia maklum bahawa nama sebenar Nurul Ain ialah Dayang Nur Aisha. Terkejut beruk dia bila mendapat tahu Nurul Ain itu merupakan anak kandung Datuk Awang Kader yang hilang  lebih dua puluh tahun lamanya.
            Hampir bercantum kening Nurul Ain. Apa kenalah dengan Lufiya. Bercik-cik bagai. Pula tu, sebut nama yang tidak ngam lagi dengan diri. Nurul Ain menggumam sendiri.
            “Panggil Ain ajelah. Macam tak biasa,” senda Nurul Ain.
            Lufiya pula tidak selesa. Hendak panggil Ain macam selalu, pelik pula. Iyalah, Nurul Ain itu anak orang besar, bos tempat dia bekerja, pula adik tiri kepada ketuanya.
            “Lepas ni, kita boleh keluar makan sama-sama, macam dulu tu,” kata Nurul Ain lagi. Selain Irfan, Lufiyalah kawan dia sewaktu dia menjadi orang suruhan sepenuh masa si Tengku Hanif.
            “Lufiya seorang sahajakah?” celah Irfan.
            Nurul Ain berpaling. Terbias wajah tampan Irfan di ruang mata. Terus dia pamer senyum. Inilah mentornya di masa akan datang. Ayah sudah beritahu bahawa dia akan duduk di bawah seliaan Irfan. Leganya! Nasib bukan Tengku Hanif.
            “Kita keluar makan sekali!” ujar Nurul Ain berserta sengihan lebar. “Awak tak menyesal terima permintaan ayah?”
            “Pasal awak?”
            Nurul Ain mengangguk.
            “Macamlah susah sangat. Hah, letak aje awak dalam bilik tu, sudah. Lepas tu saya berilah dokumen-dokumen yang awak perlu selesaikan. Atau tolong buat report.” Selamba Irfan menutur kata sehingga menyebabkan Nurul Ain terlopong. Telan air liur.
            Melihat wajah cuak dan gabra Nurul Ain, Irfan ketawa besar. Gelihatinya. Tentu Nurul Ain kecut perut.
            “Joking,” katanya.
            “Kalau awak beri tugas macam tu pada saya, saya takut awak menyesal. Saya ni belajar tak tinggi mana. Tak ada ijazah, diploma apatah lagi. Setakat SPM.” Kendur suara Nurul Ain dipendengaran.
            “Kan saya dah kata, itu just gurauan,” ujar Irfan. Tawanya bersisa.
            Nurul Ain lap peluh. Fuh, gabra semacam. Dia pun tidak tahu tugas apakah yang bakal dia pikul nanti. Kata ayah, dia perlu belajar. Belajar apa dari Irfan, tidak pula dia tahu. Alah, kalau diikutkan taraf pendidikan, memang tidak layak duduk di kerusi canggih macam Tengku Hanif itu.
            “Don’t worry. Saya ada cadangkan pada Datuk supaya hantar awak pergi sambung study.”
            Melompong mulut Nurul Ain. Sambung study? Rasa tercekik tekaknya. Semua perancangan itu tidak dikhabarkan padanya. Umur sudah mencecah dua puluh lima tahun, mana layak hendak masuk belajar. Otak pun beku. Silap-silap hari bulan, membazir sahaja hantar dia pergi belajar.
            “Datuk pun dah setuju. InsyaAllah, next month, awak dah boleh jalani hidup sebagai student.”
            Lagi luas mulut Nurul Ain ternganga. Semua sudah dirancang buat dirinya. Mula-mula tentang kerja, lepas itu perihal belajar pula. Ada terselit sedikit perasaan tidak puas hati. Kenapa tidak tanya dia dulu? Kalaupun hendak merancang masa depannya agar lebih terjamin, beritahu padanya, berbincang, bukan ikut sedap letak dia sana sini.

TADI, bila dia dapat tahu tentang rancangan Datuk Awang Kader hendak menghantar dia masuk ke salah sebuah institusi pengajian tinggi, hati memberontak marah. Kononnyalah. Marah sebab dia tidak dikhabarkan apa-apa pun. Namun, bila berdepan dengan ayahnya, dia menikus. Malah dia mengangguk sebagai tanda bersetuju dengan cadangan itu.
            Cakap aje lebat! Nurul Ain berbisik dalam hati.
            Nurul Ain lebih selesa menunduk merenung lantai biarpun warna lantai itu tidak menarik langsung. Plain dan dull. Kewujudan Tengku Hanif pula menambah rasa janggal. Teringat perbuatannya malam kelmarin. Agak-agak lelaki itu baca atau tidak surat itu? Entah-entah campak masuk dalam tong sampah.
            “Ain ulang-alik aje dari rumah ke kampus. Dalam setengah jam perjalanan,” ujar Datuk Awang Kader. Disuruhnya Abdul mencari jalan altenatif lain yang paling dekat dengan kediaman mereka untuk sampai ke kampus tempat Nurul Ain akan belajar nanti.
            “Nanti ayah belikan kereta untuk Ain. Senang sikit Ain nak bergerak. Buat masa sekarang, Ain guna kereta ayah. Daripada tersadai di garaj rumah kereta Suzuki Swift tu, ada baiknya diguna. Dulu, itu kereta Hanif. Ain pakai dulu ya.”
            Nurul Ain tersentak. Belikan kereta? Dia telan air liur. Selama hampir dua minggu tinggal sebumbung dengan ayah kandung, banyak benda yang diberi padanya. Macam-macam. Dia dapat sebuah bilik yang besar dan lengkap dengan perabut, pula cantik sangat. Kemudian ditawarkan kerja. Tidak lama selepas itu, diberi peluang untuk sambung belajar. Sekarang hendak dibelikan kereta pula.
            Dia sendiri belum berasa selesa saat berada di samping Datuk Awang Kader. Seakan masih ada jurang yang memisahkan hatinya mendekat pada ayah sendiri.
            “Tak apalah ayah. Saya tak perlukan kereta tu,” kat Nurul Ain. Perlahan suaranya.
            “Kan Ain akan ulang-alik nanti. So, Ain perlukan kereta. Pakai dulu kereta tu. Dua tiga minggu lepas tu, Ain dah boleh bawa kereta sendiri.”
            Nurul Ain tetap menggeleng. Kasilah kereta apa pun padanya, bukan boleh bawa. Dia mana ada lesen. Setakat bawa kereta tolak tayar satu itu mampulah.
            “Saya tak ada lesen.” Terkepit-kepit suara Nurul Ain. Dari ekor matanya, dia nampak Tengku Hanif tersengih-sengih. Sakit pula hatinya melihat Tengku Hanif berkelakuan begitu. Alah, macamlah lelaki itu tidak tahu dia tiada lesen memandu. Sebelum ini, semasa Tengku Hanif menyamar sebagai Faisal, banyak perihal diri yang dia ceritakan kepada lelaki itu termasuklah fobianya dia bila disuruh belajar memandu kereta. Gara-gara pernah terpenyekkan kucing waktu belajar kereta dengan Anisa, dia jadi takut. Terus seriau. Nanti tak pasal-pasal melayang nyawa makluk Tuhan yang lain.
            “Lah, iya ke. Kalau macam tu, nanti ayah suruh Pak Abdul hantar dan jemput Ain. Hah, apa kata Ain ambil kelas memandu sekali.” Datuk Awang Kader terus-terusan memberi cadangan sehingga membuatkan Nurul Ain rasa terhimpit. Banyak sangat perancangan ayah buat dirinya.
            Hah, sudah! Dia yang penakut ini disuruh belajar kereta. Jawabnya tensionlah orang yang mengajar nanti. Tidak perlu susah dan peningkan kepala. Geleng sahaja, sudah!
            “Kenapa?” soal Datuk Awang Kader.
            “Emmm... mmm...”
            “Dia fobia tu, papa,” celah Tengku Hanif setelah sekian lama jadi pendengar.
            Terus pandangan Nurul Ain terpacak di wajah selamba Tengku Hanif.
            “Fobia?” Hampir bercantum kening Datuk Awang Kader. Sekejap pandang Nurul Ain, sekejap pandang Tengku Hanif.
            “Dulu, dia pernah belajar kereta dengan kawan yang kebetulan baru dapat lesen. Lepas tu, tak perasan terlanggar anak kucing. Matilah anak kucing tu. Disebabkan kejadian tu, dia terus gerun nak pegang stereng kereta. Dah pegang stereng kereta pun takut, apatah lagi nak bawa kereta tu, pa.” Panjang-lebar bicara Tengku Hanif. Tahu Nurul Ain meamandangnya tetapi dia buat tidak nampak. Suka pula dia lihat muka marah adik tirinya itu.
            Datuk Awang Kader ketawa. Gelihatinya mendengar kisah itu.
            “Mana Hanif tahu?” tanyanya.
            Tengku Hanif membalas soalan itu dengan senyuman kecil. Dia tahu serba sedikit tentang Nurul Ain. Apa yang disukai gadis itu, apa yang dibenci, apa yang menjadi kesayangan, malah kisah cinta monyet gadis itu sewaktu zaman persekolahan juga diketahuinya.
            “Tak apalah kalau macam tu. Bila Ain dah berani nak bawa kereta, baru ayah hantar pergi ambil lesen. Buat masa ni, ayah suruh Abdul hantar Ain.”
            Haish, rasanya sejak dia duduk di rumah besar ayahnya, selalu sangat menyusahkan orang-orang di sana.
            “Saya boleh bawa motosikal pergi kampus,” kata Nurul Ain.
            “No. You can’t,” tegas Datuk Awang Kader.
            “Ayah tak mahu apa-apa jadi pada Ain. Kalau naik motosikal, lagi jauh. Dibuatnya motosikal Ain rosak, macam mana? Macam-macam boleh jadi, Ain,” sambungnya. Resah gelisah jiwa raga mendengar niat Nurul Ain.
            Nurul Ain enggan menyusahkan sesiapa lagi. Cukuplah apa yang tersedia di depan mata. Lemak pula hendak berhantar bagai. Selagi boleh, dia tidak akan menyusahkan orang sekeliling.
            “You need to trust me, ayah. Saya tahu jaga diri,” tuturnya dalam nada lembut.
            “Tapi...”
            Segera dipotong bicaraDatuk Awang Kader. “Ayah, saya tahu niat ayah baik. Ayah tak mahu apa-apa jadi pada saya tapi percayalah, saya tahu jaga diri.” Nurul Ain menegaskan pendiriannya. Kalau sebelum ini dia mampu berdikari, hari-hari berikutnya pun boleh. Emak dan abah mendidik dia supaya tahu jaga diri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada orang lain.
            Mahu tidak mahu, Datuk Awang Kader terpaksa mengalah. Kalau boleh, dia sendiri mahu hantar dan jemput anaknya itu. Iyalah, lagi senang hati bila nampak anak depan mata.
            “Okay, but you must promise me, minggu pertama tu, biar Pak Abdul yang hantar dan jemput Ain.”
            Nurul Ain mengangguk laju. Seminggu aje pun, desis hatinya.

SELEPAS makan tengahari, dia mula mengurung diri di dalam bilik khas bersebelahan bilik Irfan. Disajikan pula senaskah buku kulit tebal yang mengandungi profil syarikat hartanah ini.
            Naik juling mata dia baca patah demi patah perkataan yang tercetak di situ. Dia nampak nama Datuk Awang Kader, diikuti nama Tengku Hanif, seterusnya nama Irfan.
            Muka bajet macho sepanjang masa mamat ni! Nurul Ain mencebik sendirian dikala mata menjamah muka Tengku Hanif di dalam buku itu. Hai, kalaulah Tengku Hanif dan Faisal adalah orang yang berbeza, tentu seronok. Nurul Ain menongkat dagu. Sorotan renungannya masih terarah pada gambar berukuran pasport itu.
            Pelik betul perasaan ini. Bayangan Faisal sukar meminggir dari otaknya. Bila duduk senyap-senyap, dia akan terbayangkan Faisal walau dia sedia maklum, Faisal itu ialah Tengku Hanif. Nampak Tengku Hanif penyamar itu, dia sakit hati. Saat terbayangkan Faisal, dia kulum senyum.
            “Hai!” sapa Irfan.
            Nurul Ain memandang ke depan. Irfan berdiri di muka pintu sambil berpeluk tubuh. Nurul Ain menghulur senyum.
            “Hai, bos!” senda Nurul Ain. Dia tutup buku itu dan ditolak ke tepi.
            “Dah habis ke menelaah buku tu?” tanya Irfan. Lelaki itu mengatur langkah mendekati Nurul Ain.
            Nurul Ain menggeleng kepala. Tersangkut-sangkut dia baca. Rasanya baru dua tiga mukasurat sahaja. Lebih banyak renung muka seorang itu.
            “Nak pengsan!” katanya.
            Terburai hilai tawa Irfan.
            “Lepas ni lagi banyak buku awak kena baca. Maklumlah, student...”
            Nurul Ain mencebik. “Student yang dah tua. Tak layak aje nak duduk sekelas dengan budak-budak muda. Segan. Nanti saya akan jadi orang yang paling bebal kepala susah nak ingat kat dalam kelas tu,” keluh Nurul Ain.
            “Jangan cakap macam tu. Belum cuba belum tahu.” Irfan cuba meniup semangat kepada Nurul Ain, agar lebih berkeyakinan.
            Nurul Ain pamer senyuman nipis. Ya, belum cuba belum tahu. Ayah beria-ia berkehendak dia sambung belajar. Maka, dia harus buat sehabis baik. Peluang yang datang hanya sekali dan seharusnya peluang yang satu itu tidak disia-siakan.

“TERIMA kasih sebab bawa saya jumpa emak, Asyikin dan Anisa.”
            Sebaris ayat itu mampu memutik senyuman di hujung bibir Tengku Hanif. Kertas kecil itu terselit di bawah pintu. Terus dia ambil dan baca. Pasti datangnya daripada Nurul Ain.
            Kelakar betul melihat gelagat Nurul Ain. Kerap menghindar daripada dirinya. Entah apa yang hendak disorokkan. Kadang-kadang kalau bercakap, tidak pandang muka dia. Rela hadap mentari dan menekur lantai.
            Dia tahu, Nurul Ain masih marahkan dia kerana telah menipu. Dia menyamar jadi orang buta, kemudian mengheret Nurul Ain jadi orang suruhan di atas kejadian yang disengajakan. Waktu Nurul Ain jadi orang suruhan, memang dia suruh betul-betul. Nurul Ain hilang pekerjaan pun disebabkan dia. Terasa diri kejam pula terhadap gadis itu.
            Namun, Nurul Ain harus sedar, apa yang dia lakukan semata-mata hendak membantu Datuk Awang Kader.
            Kedatangan mengejut Kathy yang menolak kasar daun pintu mengejutkan diri. Kurang senang dengan sikap Kathy. Suka-suka hati serbu masuk pejabat orang. Kathy yang cemberut wajahnya di pandang tanpa rasa. Banyak betul masa terluang anak gadis Tuan Harun ini. Sepanjang masa menyemak depan mata.
            “Kenapa you tinggal I? Terkebil-kebil I tunggu you hari tu, rupanya you dah balik dengan Ain.” Kathy menghambur rasa marah. Dia punya menunggu di situ, macam tugu negara. Mujur ada seorang pelayan datang menghampiri lalu berkata Tengku Hanif dan Nurul Ain sudah lama pergi. Dia telefon lelaki itu, tidak berangkat. Hendak menyerbu rumah Datin Sabrina, macam tidak sopan pula.
            “Kan I dah kata I akan tinggal kalau you lambat,” kata Tengku Hanif. Terus dia capai komputer riba dan menyambung kembali tugasnya tadi.
            Kathy menarik nafas dalam-dalam. Robot betul lelaki ini!
            “Mana I tahu you betul-betul nak tinggal I kat situ. Nasib baiklah ada orang beritahu yang you dah pergi, kalau tak sampai ke malam I mencangak kat kedai tu,” bebel Kathy lagi.
            “Eh, hari ni Ain masuk kerja, kan? Mana dia?” Perihal dia ditinggalkan semalam langsung hilang apabila terfikir tentang Nurul Ain.
            “Ada dengan Irfan.”
            “Irfan? I thought Ain dengan you.”
            Tengku Hanif menggeleng kepala. Dengan Irfan untuk hari ini sahaja. Datuk Awang Kader sudah membuat keputusan akan menghantar Nurul Ain pergi sambung belajar. Bulan depan, kuliah pertama gadis itu akan bermula.
            “Kathy, you ni banyak sangat masa terluang ke?” Kali ini Tengku Hanif pula bertanya. Soalan itu sering ditanya dan sekali lagi dia bertanya. Sebenarnya melalui soalan itu dia memberitahu Kathy bahawa dia jemu asyik nampak bayang Kathy berlegar-legar dalam biliknya ini. Penuh sesak ruang bilik ini dengan bauan minyak wangi yang dipakai Kathy. Sakit hidung.
            “Haruslah banyak masa terluang if untuk you.” Lemah-lembut Kathy bersuara.
            Sindiran itu tidak mampu membuka fikiran Kathy. Lemas. Setiap kali dia bertanya soalan itu, Kathy akan menjawab penuh selamba.
            “You nak ke mana?” Terkedek-kedek langkah Kathy mengejar Tengku Hanif.
            “Cari Suhaimi.”
            Berkerut dahi Kathy. Dia ada depan mata, Suhaimi juga yang dicari.
            “Buat apa you cari dia?”
            “Meeting,” jawab Tengku Hanif. Laju kakinya dihayun mencari kelibat Suhaimi.
            Untuk sampai ke meja Suhaimi, dia perlu melintasi bilik Irfan. Sempat memanjangkan leher bila lalu di depan bilik Nurul Ain. Pintu bilik itu terbuka dengan luasnya, maka dia boleh lihat siapa yang ada di dalam bilik itu.
            Terdengar suara Nurul Ain berceloteh panjang lebar. Kemudian dia nampak susuk tubuh Irfan yang membelakanginya. Bertambah dalam kerutan di dahi saat suara Suhaimi menyentuh gegendang telinga.
            Wah, Suhaimi dah pandai cari geng lain!

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Semakin teruja menyiapkan CJKP walau hakikatnya keterujaan itu tidak selari dengan usaha menyiapkan benda alah tu. *Sigh* Ohh... btw, penulis ada projek baru :) *banyak nau projek kau sampai bertangguh-tangguh yang ada tu. Yang berbaris kat sidebar pun tak terupdate lagi. Pfftt* Status Palsu-yeayyy... itulah tajuknye. Poyo kan nak palsu bagai ni. Hihi. Menampilkan watak Amiera Syazreen dan Adlan Hakim dan blehblehbleh. :)

No comments: