Saturday, March 30, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab4.

Assalamualaikum.








"...There are two blessings which many people lose: (They are) Health and free time for doing good..." - Bukhari









BAB 4
SESUDAH menyediakan bubur nasi kegemaran Rosnah, Humairah berkejar ke luar rumah untuk menyidai baju. Dua helai kain batik, tiga helai kurung kedah, dua helai t-shirt dan sehelai seluar track. Mereka tinggal berdua sahaja di rumah ini, maka baju yang hendak dibasuh tidaklah banyak mana. Di dalam rumah ini, tersedia mesin basuh tetapi dia lebih senang mencuci menggunakan tangan. Tidak membazir tenaga elektrik.
            Ketika hendak ke bilik Rosnah, Humairah ternampak susuk Kamsiah menghampiri rumah. Terus kaki dihala melencong ke muka pintu. Bibir mengukir senyuman buat tatapan wanita berhati mulia itu.
            “Buat apa tu, Ara?” Kamsiah menyapa.
            “Baru siap jemur baju, makcik. Makcik dari mana ni? Dengan beg plastik tu.” Humairah menuding ke arah sebuah beg plastik di tangan Kamsiah.
            Kamsiah mengukir senyuman. Beg plastik itu dihulur pada Humairah. Humairah memandang pelik. Tidak menyentuh beg plastik merah itu.
            “Ambillah. Makcik balik dari pasar tadi. Sempat belikan barang-barang dapur untuk Ara dan nenek,” jelas Kamsiah. Bungkusan itu masih belum bersambut.
            Humairah serba-salah. Kerap sangat Kamsiah memberi bantuan kepada mereka dua beranak. Bukan sekadar makanan, Kamsiah juga tidak lokek memberi wang untuk perbelanjaan mereka. Dia yang menerima jadi malu. Iyalah, sudah tumpang rumah wanita itu, pula diberi makan dan wang. Macamlah dia tidak mampu tanggung semua itu. Kos sewaan bulanan pun Kamsiah ambil lima puluh ringgit sahaja. Itu pun setelah dia berkeras memberi duit sewa. Ikut kata Kamsiah, wanita itu enggan ambil sewa dari mereka. Mana boleh! Tidak sedap duduk kalau buat macam itu.
            “Eh tak apalah. Barang-barang dapur tu masih banyak lagi. Cukup untuk ara dan nenek. Kalau dah tak ada, Ara boleh pergi kedai, beli sendiri.” Humairah menolak dengan baik. Seboleh-bolehnya dia enggan menerima kebaikan yang cuba dihulur padanya. Takut nanti termakan budi. Entah bila mampu membayarnya semula.
            Kamsiah senyum. Dia tarik tangan Humairah lalu meletak hujung plastik yang diikat itu di tangan Humairah. Gadis itu nampak terkejut.
            “Ambil. Makcik ikhlas.” Kamsiah berkata lembut. Jatuh kasihan pada Humairah. Sepatutnya anak seusia Humairah pergi belajar tinggi-tinggi, jumpa ramai kawan. Ini tidak, duduk terperuk dalam kampung, kerja kilang dan jaga nenek. Kegembiraan dunia remaja Humairah tenggelam begitu sahaja.
            Humairah menunduk. Hatinya tersentuh melihat kebaikan Kamsiah. Perlahan-lahan bibirnya bergerak mengucap terima kasih.
            “Nenek kamu mana?” Terjulur kepala Kamsiah. Meninjau ke dalam rumah yang disewakan kepada Humairah dan Rosnah. Nampak lebih kemas. Kuranglah kerjanya bila Humairah dan Rosnah tinggal di sini. Kalau tidak, selepas kemas-kemas rumah sendiri, terkedek-kedeklah dia kemas rumah ini pula. Hendak harapkan Haikal membantu, asyik membuta sahaja kerjanya. Pemalas!
            “Ada tengah rehat dalam bilik. Makcik nak jumpa nenek ke? Jom, ara hantarkan.”
            “Eh, tak payah hantar-hantar. Macamlah makcik ni tak pernah datang rumah ni. Ara pergilah sambung buat kerja. Biar makcik temankan nenek Ara tu,” balas Kamsiah. Menonong dia berjalan menuju ke bilik Rosnah.
            Humairah memandang Kamsiah sehingga wanita itu hilang dari pandangan mata. Dia tarik nafas dalam-dalam. Dalam hati berdesis halus, berdoa semoga Allah melindungi dan menjaga kesejahteraan keluarga Kamsiah.
            Humairah menilik isi dalam beg plastik itu. Ada ikan kembung empat ekor, kacang panjang, seikat sawi, dua tin sardin dan buah epal merah. Banyaknya! Ini cukup untuk makan seminggu berdua dengan nenek. Humairah berlalu ke dapur. Barang-barang tadi diletak di atas meja. Empat ekor ikan itu dimasukkan ke dalam bekas plastik dan dibawa ke singki. Manakala kacang panjang, seikat sawi dan buah epal merah itu disumbat masuk ke dalam peti sejuk. Dua tin sardin disusun kemas di atas sebuah kabinet kecil di tepi peti ais. Anak mata Humairah meneliti beberapa bekas tin sardin di depan mata. Tergaru-garu kepala sendiri. Termasuk pemberian hari ini, sudah empat tin sardin. Hah, zaman bila nak habis makan? Bukan tin kecil, tapi tin besar. Yang dalamnya ada lima enam ekor ikan sardin. Tergeleng-geleng kepala Humairah. Kumpul punya kumpul, boleh buka kedai ikan sardin.
            Sedang elok dia menyiang ikan, tersembul muka Haikal di tingkap yang terbuka luas di depan mata. Hanpir-hampir terlepas pisau di tangan. Humairah tarik muka garang. Dia tidak pernah suka Haikal datang tayang muka. Apatah lagi terlihat sengihan lelaki itu. Buruk!
            “Rajinnya bakal isteri saya ni masak,” tutur Haikal. Raut wajah mulus Humairah dijamah tanpa rasa segan.
            Mencerlung bola mata Humairah menusuk tepat ke wajah Haikal. Terus hilang fokusnya membelah perut-perut ikan kembung tadi.
            “Siapa bakal bini kau? Huh! Eh, kau buta ke apa? Aku ni tengah menyiang ikan, bukan memasak!” Humairah berkata keras. Pisau tajam yang dipegang dileret ke badan ikan.
            Haikal ketawa.
            “Perlahan-lahan, sayang...” Haikal giat mengusik Humairah.
            Menjujuk naik darah Humairah ke kepala. “Apa sayang-sayang? Kau nampak aku tengah pegang pisau ni. Sekali aku leret pisau ni kat mulut kau, baru kau tahu!” Humairah yang sakit hati mula menjerkah marah.
            Haikal menunjuk muka takut. Konon-kononlah. Anak mata Haikal kembali memerhati Humairah. Sombong betul. Tidak padan dengan menumpang di rumah orang.
            “Kau tak reti balik ke? Sakit mata aku!” Gerutu Humairah. Daripada tadi, tak selesai-selesai tugasnya menyiang seekor ikan pun.
            “Ini rumah emak aku. Suka hati akulah nak terpacak sini.” Haikal turut menukar ton suara. Tidak bersaya lagi, sebaliknya ber’aku’ pula.
            Waktu terdengar Haikal mengungkit di mana dirinya terletak kini, Humairah kunci mulut. Walau hati cukup benci, namun dia sedar di mana dia berdiri. Dia dan nenek tinggal di rumah ini pun kerana simpati Kamsiah, emak Haikal. Kalau bukan kerana Kamsiah, entah di manalah mereka dua-beranak merempat.
            “Senyap dah?” Haikal bersuara lagi. Dalam hati, dia ketawa puas-puas. Tahu kelemahan Humairah.
            Humairah malas hendak berbahas dengan lelaki itu. Dia tahan mulut.
            “Itulah, aku nak kahwin dengan kau, kau tak mahu.”
            “Siapa nak kahwin dengan kau? Aku tak inginlah!” marah Humairah. Cepat-cepat dia cuci ikan dan masukkan ikan-ikan tadi ke dalam plastik sebelum sumbat ke dalam peti ais. Sakit hati dengar kata-kata Haikal. Dasar lelaki mulut longkang. Perangai pun macam longkang!
            “Eh Ara. Kalau aku suruh mak aku meminang kau, kau kena setuju.” Haikal masih mahu memprovokasi Humairah.
            “Hei, kau ni tak faham bahasa ke? Tak payahlah nak cakap soal kahwin dengan aku.”
            Haikal ketawa pula. Jadi bertambah sakit hati Humairah. Kalau tidak mengenangkan budi yang ditabur keluarga Haikal, sudah lama dia baling periuk belanga ke arah Haikal. Biar betul sikit wayar dalam kepala mamat itu.
            “Kau kena kahwin dengan aku, Ara.” Cukup tegas suara Haikal berkata-kata membuatkan perasaan Humairah terjerut sendiri. Tidak dapat dibayangkan andai dia jadi isteri lelaki itu. Sudahlah malas bekerja, duduk bawah ketiak emak. Nanti beri anak bini makan apa? Pasir? Minum air hujan? Lebih daif hidup bersuamikan orang macam Haikal berbanding hidup susah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,
            “Gila!” Humairah berkata garang. Langsung tidak memandang Haikal, malah dia menutup tingkap dengan kasar.

BUKU bank dibelek lama. Tidak sampai seribu pun wang simpanannya dalam pak rimau kepala besar itu. Sudah lebih tiga bulan dia bekerja, ambil OT dan buat backup siang malam, hasilnya tetap sama. Paling kuat pun cecah seribu dua ratus ringgit sahaja. Itu kalau dia berhempas-pulas kerja siang malam tanpa cuti. Bayangkan kalau sepanjang umurnya dia begitu. Mahu bertukar jadi zombi nanti.
            Humairah menyandar tubuh di kepala katil. Berkeriuk bunyi katil itu bila dia bergerak-gerak. Gaya macam mahu roboh. Humairah mengeluh halus. Sampai bila harus begini? Bergantung harap belas ikhsan orang sekeliling? Sampai bila harus dia menghuni rumah keluarga Kamsiah? Humairah tutup mata. Hirup udara segar.
            “Seronok belajar di universiti. Dapat pengalaman baru. Jumpa ramai kawan.” Munirah berkata kepadanya ketika mereka bertembung di kedai Uncle Lim lewat tengah hari tadi. Gadis seusianya itu sedang bercuti di kampung. Katanya cuti semester. Humairah hanya angguk-angguk dengar cerita Munirah yang menceritakan serba sedikit pengalaman yang dikutip selama beberapa bulan di sana.
            “Di sana kau boleh cari jodoh kau.” Munirah berkata sambil ketawa kecil.
            Dia terkebil-kebil.
            “Serius! Di universitilah kau boleh cari bakal suami. Senior-senior ramai di sana. Kau pilih aje. Mana yang dah ada kekasih hati, kalau dia berkenan pada kau, dia sanggup tinggalkan kekasih dia demi kau. Kalau kau masuk sana, pasti kau masuk dalam senarai most wanted. Aku jamin!”
            Mendengar kisah seterusnya, buat Humairah telan air liur. Takut pun ada. Hisy... dia tidak berkenan lelaki sebegitu. Biarah dia yang menjadi pertama dan terakhir. Dia enggan jadi yang kedua. Nanti kebahagiaan yang dirasai pasti terasa perit kerana ianya di atas kelukaan orang lain. Dia tidak mahu hubungan bermula begitu.
            “Kau boleh tentukan kejayaan kau di sana. Sama ada kau mahu jadi yang terbaik, perform every sem, atau kau jadi yang tengah-tengah atau mungkin kau memilih untuk jadi yang main-main. Sekadar berpuas hati dengan keputusan nyawa-nyawa ikan.” Panjang lebar Munirah bercerita. Humairah mendengar penuh tekun. Tidak berkelip mata Humairah waktu itu. Turut sama menganalisa diri teman sekelasnya. Dari cara pemakaian nampak sedikit perubahan. Dulu pandai berbaju kurung sahaja. Sekarang bertukar fesyen. Muka pun sudah memberat dengan solekan. Keluar pergi kedai pun touch-up.
            Perbualan ringkas mereka terpahat dalam kepala Humairah. Dia melepaskan keluhan berat. Munirah beruntung kerana rezeki itu berpihak kepadanya. Tidak surut-surut mulut kedua orang tua Munirah mencanang kejayaan anak gadis mereka melanjutkan pengajian ke universiti tempatan.
            Humairah buka mata seluas-luasnya. Dia juga punya rezeki itu. Keputusan peperiksaan SPMnya memberansangkan. Melayakkan dia duduk pergi menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Malah dia juga telah menerima tawaran sambung belajar tetapi dia sembunyikan surat itu dari pengetahuan Rosnah. Kalau Rosnah tahu, pasti neneknya memaksa dia pergi. Tidak enggan meninggalkan nenek berseorangan. Dia kasihankan nenek. Biarlah dia lepaskan peluang itu. Mungkin akan ada peluang lain yang menanti depan mata. Tunggu masa untuk dia buka peluang itu sendiri.
            “Ara... Ara!” Kedengaran suara Rosnah memanggil nama Humairah.
            Lekas Humairah lompat turun dari katil dan bergegar berlari menuju ke bilik Rosnah. Dia duduk bersimpuh di atas lantai.
            “Kenapa nek?” tanya Humairah.
            Rosnah ukir senyum. Diusap pipi Humairah.
            “Nenek sayangkan Ara,” kata Rosnah.
            Humairah tertawa kecil. “Ara tahu. Setiap hari nenek cakap macam tu pada Ara,” balas Humairah.
            “Maafkan nenek di atas kekurangan hidup Ara sepanjang Ara tinggal bersama nenek. Nenek tahu, Ara menderita. Ara punya impian yang tinggi melangit tetapi Ara terpaksa kuburkannya. Maafkan nenek, Ara.” Mendayu-dayu suara Rosnah. Airmata menuruni pipinya yang berkedut.
            Humairah terpana. Segera menghapus airmata itu dari raut wajah Rosnah. Dia tidak ingin lihat kedukaan menghuni wajah wanita yang telah menjaga dia sejak kecil sehingga kini. Terlalu besar perngorbanan Rosnah kepadanya. Rosnah bukan sekadar nenek, malah lebih dari itu. Rosnah merupakan emak dan babah baginya.
            “Ara yang pilih hidup macam ni , nek,” kata Humairah diiringi senyuman halus.
            Rosnah sedar senyuman yang terukir di bibir Humairah sekadar tempelan untuk membuat dia rasa tenang. Maka dengan itu, Rosnah ikut rentak Humairah. Dia membalas senyuman itu. Digenggam tangan Humairah lalu di bawa ke dada.

“JANGAN kau nak mimpi!” bentak Kamsiah. Rimas melayani kegilaan Haikal yang asyik memaksa dia meminang Humairah. Dia masih lagi waras. Humairah tidak akan dipinangnya demi Haikal. Dia tahu keadaan Haikal. Buruk baik anak lelakinya itu tersimpan kemas dalam genggaman.
            “Mak, aku nak kahwin dengan Ara tu. Mak pinangkanlah,” gesa Haikal. Membontoti langkah emaknya yang sibuk mengemas dapur.
            Kamsiah enggan ambil peduli. Dipekakkan telinga.
            “Mak!” Haikal mula meninggi suara.
            “Apa?!” keluh Kamsiah.
            “Mak dengar apa yang aku cakap, kan? Aku nak kahwin dengan Ara,” kata Haikal.
            Kamsiah mengeluh berat. Macam mana lagi harus dia cakap pada Haikal? Haikal itu berkemampuan dari segi batinnya sahaja. Zahir? Haram! Jaga diri sendiri pun lingkup, hendak jaga orang lain. Dia tidak akan memperjudikan masa depan Humairah dengan meletakkan Humairah di sisi Haikal.
            “Kau tengok diri kau tu? Mampu ke kau jaga Ara? Mampu kau bimbing Ara?” aju Kamsiah. Dia tarik kerusi. Labuh duduk di atas kerusi kayu. Terbengkalai sebentar kerja-kerja mengemas dapur.
            Haikal senyum menyeringai. Setakat jaga anak orang, senang! Kasi makan, cukup nafkah, sudah.
            “Aku dah bersedia pikul tanggungjawab tu, mak. Cukup bersedia.” Penuh yakin Haikal menutur kata.
            Kamsiah tergeleng-geleng. Senangnya Haikal bercakap. Belum apa-apa memanglah mampu berbicara apa gaya sekali pun. Cuba tanggungjawab itu sudah sedia dipikul, dia yakin Haikal tidak akan mampu menggalasnya dengan baik. Haikal kurang serba-serbi.
            “Kahwin bukan perkara main-main, Kal. Tanggungjawab tu besar. Kau kena pastikan kebajikan isteri kau terjaga. Kau tak boleh lepas tangan bila kau dah mengahwini sesiapa pun. Bila ada anak, tanggungjawab itu makin bertambah. Amanah itu semakin berat. Kau mampu?” Kamsiah memandang Haikal. Haikal tersenyum-senyum. Nyata Haikal tidak ambil pusing apa pun yang dia perkatakan. Haikal tidak memikir masa depan yang masih samar-samar.
            “Aku mampu, mak.” Haikal berkata lagi.
            Tergeleng-geleng kepala Kamsiah. Cakap memang mudah. Untuk melaksanakannya?
            “Kenapa kau nak kahwin dengan Humairah? Masih ada ramai perempuan lain dalam kampung ni. Kenapa kau pilih Humairah?” Bertubi-tubi soalan yang diaju. Kamsiah mengharapkan jawapan itu. Pelik kerana anak lelakinya terlalu mendesak mahu dikahwinkan dengan Humairah.
            “Sebab aku suka dia,” jawab Haikal.
            “Suka belum cukup untuk yakinkan mak.” Tegas Kamsiah.
            “Aku suka dia, mak. Aku tak suka perempuan lain.”
            Kamsiah tetap menggeleng.
            “Kalau mak tak mahu pinangkan Ara tu, biar aku pergi pinang sendiri,” putus Haikal.
            Membulat mata Kamsiah. Degil!
            “Kau jangan buat gila!” marah Kamsiah.
            Haikal mendegus kasar. Apa pun jadi, dia hanya mahukan Humairah!

Terima kasih kerana membaca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Manusia ini sedang berusaha melakarkan kisah Humairah. Haii laaaa! -..-' Masih bertatih, bertatih dan bertatih. Walau CJKP dah bertemu titik noktah, muka Irfan kusayang masih bertepek di desktop. Ohh.. sukarnya untuk aku melupakan dia. Wakakaka. Oke bai!

3 comments:

baby mio said...

Lama juga kan x update cerita ni nak lg boleh.

~::Salwati Haris::~ said...

@baby mio

Hi awk :) InsyaAllah.. kita akan cuba update sekerap mungkin KPHM ni ye. Mekasih sudi baca :)

siti nasuha said...

Trrreeeeee