Wednesday, March 27, 2013

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab32.

Assalamualaikum.








"...It may be that ALLAH does not give you the person you want so you can have the one you need..." - Abdulbary Yahya 









Bab 32
BERKEPUL-KEPUL asap mengena ke muka sendiri. Puas dia pusing keliling pemanggang, mengelak asap itu tetapi sia-sia. Kepulan asap itu seolah tahu ke mana dia pergi. Penat berlawan dengan asap, dia duduk statik. Sampai bau ayam panggang itu melekat di baju dan rambut.
            “Sini, ayah tolong bakar pulak,” kata Datuk Awang Kader. Penyepit besi di tangan Nurul Ain diambilnya.
            “Eh, tak apa. Saya boleh buat. Sikit aje lagi ni,” potong Nurul Ain. Kembali menyambar penyepit itu.
            Datuk Awang Kader mengulum senyum. Bahagia betul hatinya apabila Nurul Ain tidak pulang ke rumah emaknya. Lebar senyuman sampai sekarang. Senang hati nampak anak depan mata sepanjang masa. Terus dia rencanakan aktiviti bakar ayam. Panggil keluarga Puan Sri Mardhiha dan Marlissa, cukuplah. Sekali-sekala lakukan aktiviti sebegini, boleh merapatkan silaturrahim.
            “Ain dah ada bau ayam bakar dah,” senda Datuk Awang Kader.
            Nurul Ain tersengih. Memang pun!
            “Lap peluh tu sikit.” Datuk Awang Kader mengesat peluh di dahi Nurul Ain. Kemudian dia tatap mata Nurul Ain.      
            “Kenapa, ayah?” soal Nurul Ain. Sedikit pelik apabila Datuk Awang Kader merenunginya tanpa berkelip mata.
            “Rupa paras Ain mengingatkan ayah pada arwah ibu,” jawab Datuk Awang Kader.
            Nurul Ain tarik nafas. Agaknya, ayah begitu banyak menyimpan derita sendiri. Isteri meninggal dunia. Anak pula hilang tanpa dikesan.
            “Ayah nak makan ayah ni? Nah...” Nurul Ain mencubit sedikit ayam bakar itu lalu disuakan kepada Datuk Awang Kader.
            “Sedap!” ujar Datuk Awang Kader sambil mulutnya mengunyah perlahan.
            “Memanglah sedap. Kan saya yang bakar,” senda Nurul Ain.
            Dua beranak itu tertawa bersama.
            Di bawah pokok, Puan Sri Mardhiha leka memandang Datuk Awang Kader dan Nurul Ain. Terbit senyuman halus di pinggir bibir. Alhamdulillah, dia nampak Datuk Awang Kader cukup bahagia.
            “Lisa, kau tengok abang kau.” Puan Sri Mardhiha mencuit peha Puan Marlissa. Puan Marlissa menoleh.
            “Lama sangat tak nampak abang macam tu,” kata Puan Marlissa.
            Puan Sri Mardhiha mengangguk. Bersetuju.
            “Mama!” Kathy berjalan mendekati Puan Sri Mardhiha. Wajah anak perempuan tunggalnya itu cemberut.
            “Kenapa ni, Kat?” Puan Sri Mardhiha bertanya. Tangan anak gadisnya diusap lembut.
            Panjang muncung Kathy.
            “Hanif tu!”     
            Puan Sri Mardhiha dan Puan Marlissa saling berpandangan.
            “Apa kena dengan Hanif tu, Kat?” Giliran Puan Marlissa pula mengaju soalan.
            “Benci betul pada Hanif tu. Tak pernah nak cakap baik-baik dengan Kat. Eee... sakit hati Kat ni, Mak Su!” bebel Kathy. Melempiaskan perasaan geram yang berbuku dalam dada.
            Puan Marlissa ketawa kecil. Manalah budak lelaki itu tidak buat hal kalau Kathy melekat saban waktu. Dari petang tadi, dia perasan Kathy asyik mengekor ke mana Tengku Hanif pergi. Nasib baik tidak membontot sampai naik ke bilik lelaki itu.
             “Kau tu yang selalu sangat ikut dia. Cuba biar dia sorang-sorang. Kalau Mak Su jadi dia, Mak Su pun rimas!” tambah Puan Marlissa.
            “Betul tu,” sokong Puan Sri Mardhiha. “Hanif tu tak akan pandang Kat kalau Kat macam ni. Cuba bawa-bawa berubah perangai tu.”
            Makin panjanglah rajuk Kathy. Terus dia angkat kaki. Lain yang dia persoalkan, lain pula yang jadi. Sakit hati!
            Tergeleng-geleng kepala Puan Sri Mardhiha.
            “Kak Mar setuju ke cadangan Kak Na yang nak jodohkan Kat dengan Hanif?” tanya Puan Marlissa.
            Puan Sri Mardhiha sekadar jungkit bahu. Sudah beberapa kali Datin Sabrina menyuarakan hasrat bermenantukan Kathy. Selaku orang tua, dia tidak kisah asalkan anak-anak bersetuju. Dari apa yang dia nampak, Kathy yang beria hendak bersuamikan Tengku Hanif. Tetapi dia tidak nampak niat yang sama pada Tengku Hanif.
            “Hal budak-budak, Lisa. Akak tak kisah.” Puan Sri Mardhiha bersuara perlahan.
           
“PANASNYA!” teriak Nurul Ain. Seketul ayam bakar terlepas dari tangan. Berair mata menahan pedih.
            “Kan saya dah cakap, panas lagi. Degil! Pergi kejar jugak yang baru angkat dari api. Tu, yang dah sejuk banyak tu,” omel Irfan. Segera dicapai botol air mineral di atas meja dan menyirami jari-jemari Nurul Ain dengan air sejuk itu.
            “Yang panaslah sedap,” tingkah Nurul Ain. Mujur tiada orang di situ. Hanya mereka berdua yang masih gigih membakar baki ayam yang tinggal. Kalau tidak, mahu semua meluru ke arah mereka macam kejadian dia terkejut dek ternampak Angela berwajah tepung komak. Gegar satu rumah dibuatnya.
            “Rugi seketul,” gumam Nurul Ain. Dipandang seketul ayam bakar yang tergolek di atas lantai tanah. Membazir sungguh!
            “Kak Ain! Abang Irfan!”
            Nurul Ain dan Irfan menoleh serentak. Maisara melambai-lambai ke arah mereka berdua.
            “Masuklah! Makan!” jerit Maisara.
            Irfan bangkit. Dia mencekak pinggang. Kemudian dia angkat tangan sebagai tanda sebentar lagi mereka berdua akan masuk ke dalam rumah.
            “Jomlah.” Irfan mengajak.
            Nurul Ain mengangkat bekas berisi ayam bakar. Terkedek-kedek mengekori langkah Irfan.
            “Hah, dah sampai pun ayam bakar berjalan,” tutur Puan Sri Mardhiha. Tumpuannya melekat pada Nurul Ain.
            Nurul Ain senyum kecil. Ayam bakar bergerak itu dialah. Pandangan Nurul Ain memandang setiap orang yang ada di meja makan. Dalam kepala dia mengira sendiri jumlah ahli keluarga yang berkumpul itu.
            Puan Sri Mardhiha, Tan Sri Harun, Puan Marlissa, Tuan Ahmad Irzam, Maisara, Irfan, Datuk Awang Kader, Datin Sabrina, Iskandar dan isteri serta anak kecil mereka, Nur Dahlia Qisha. Eh, siapa yang tidak ada bersama? Tengku Hanif? Meliar mata Nurul Ain mencari kelibat Tengku Hanif. Ke mana menghilang lelaki itu? Sejak tadi, dia tidak nampak pun batang hidung Tengku Hanif.
            “Ain, pergi panggil abang kamu.” Datin Sabrina berkata.
            Nurul Ain mengangguk. Menyusahkan orang betul! Dia hayun kaki ke ruang tamu. Kalau rumah kecil, tidak mengapa. Ini macam istana. Ceruk mana dia hendak cari lelaki itu? Nurul Ain terus atur langkah.
            Di ruang tamu, bilik bacaan, di bawah tangga, dia cari tetapi tidak juga ketemu. Mana dia menghilang? Dalam bilik? Nurul Ain berkira-kira hendak menyergah masuk ke dalam bilik lelaki itu.
            Pintu dikuak penuh berhati-hati. Dari bukaan kecil itu, dia mengintai. Ruang itu kosong. Entah apa yang mendorong dia, terus laju kaki melangkah masuk ke dalam bilik si teruna.
            Kemas! Dia berdesis dalam hati. Inilah peluang dia membelek setiap barang di dalam bilik ini. Bukan selalu. Eh, salah ke perbuatan dia? Nurul Ain berfikir sejenak. Pedulikanlah!
            Nurul Ain ketawa sendiri ketika ternampak seekor anak patung beruang di kepala katil. Besar pula! Gatal tangannya menyentuh anak patung beruang berwarna coklat itu. Lembut betul bulu beruang itu. Sudahlah comel. Ini kalau bawa tidur, tentu lena tidurnya. Tapi kan, apa anak patung beruang comel dan gebu ini buat dalam bilik lelaki bernama Tengku Hanif? Wahhh, dalam hati ada tamanlah tu! Menyeringai senyuman di bibir.
            Di atas meja terdapat sesuatu yang begitu menarik minatnya. Sebuah buku tebal berbalut sampul berwarna biru gelap. Buku itu diikat dengan tali halus. Sekali pandang serupa diari. Di atasnya pula tertulis sesuatu. Bergerak-gerak bibir Nurul Ain membacanya.
            “Je... je’taime?” Berkerut-kerut dahi Nurul Ain. Benda alah apa itu? Bunyi pelik betul.
            Ikatan buku itu sudah dibukanya. Tunggu masa untuk selak sahaja. Baca tanpa kebenaran  merupakan perbuatan yang tidak elok. Tetapi dia ingin benar melihat isi dalam buku itu. Ditarik-tarik hatinya. Nurul Ain mendengus. Perkataan yang tertera di muka depan buku itu sahaja sudah nampak menarik. Je’taime. Pelik.
            Tengku Hanifkan abang dia. Dia adik Tengku Hanif. Bila adik-beradik, tidak salah korek sedikit barang milik abang. Ya, saat ini, dia mengaku Tengku Hanif abangnya. Nurul Ain tertawa sendiri.
            Tiba-tiba, terdengar tombol pintu dipulas. Buku itu terlepas dari pegangan Nurul Ain. Mukanya langsung pucat lesi bagai tidak cukup darah. Menderu laju jantung kala itu.
            Tengku Hanif? Masak! Ke hulu hilir dia mencari tempat persembunyian. Mana? Mana? Dia selak cadar, konon hendak memboloskan diri bawah katil. Ah, bawah katil tidak ada sedikit ruang pun. Nurul Ain semakin menggelabah. Laju dia berlari ke arah pintu, dan dia menekan kunci tombol pintu. Itu sahaja cara yang mampu menyelamatkan diri sendiri.
            Tengku Hanif kehairanan apabila tombol pintu tidak mahu bergerak. Puas dia pulas kiri kanan. Eh, bila pula dia kunci pintu?
            “Angela! Angela!” Terjerit-jerit dia memanggil nama Angela. Apabila Angela tidak muncul, dia berlari ke tingkat bawah. Disuruh pembantu rumah itu mengambil kunci biliknya.
            Peluang itu digunakan Nurul Ain dengan sebaiknya. Dia nampak almari besar di dalam bilik itu. Cukup besar untuk dia menyembunyikan diri di dalamnya. Dia buka pintu almari. Penuh baju! Perlahan-lahan dia memanjat masuk. Lemas bila terpaksa berhimpit-himpit begitu.
            Yakin Tengku Hanif masih mencari Angela, Nurul Ain pantas kembali membiarkan pintu itu tidak berkunci.
            “Macam mana boleh terkunci, Tengku?” Angela bertanya.
            “Entah. Saya tak ingat pun yang saya ada kunci pintu bilik,” jawab Tengku Hanif.
            Hah, dah naik? Keadaan kembali huru-hara. Nurul Ain mencicit memboloskan diri masuk ke dalam almari.
            “Nggak kunci, Tengku. Ini, tombolnya bisa dipulas,” beritahu Angela.
            Tengku Hanif memandang pelik. Dia turut sama memulas tombol pintu. Ya, memang tidak berkunci. Adakah dia bermimpi tadi? Tergeleng-geleng kepala Tengku Hanif.
            “Tak apalah. Agaknya saya berangan tadi. Maaf ya sudah menyusahkan kamu,” tutur Tengku Hanif.
            Angela tersenyum nipis dan dia membawa diri meninggalkan Tengku Hanif yang kebingungan
            Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam bilik, benda pertama yang terjamah dek mata ialah buku berwarna biru gelap. Meluru dia mendapatkan buku yang menjadi harta paling berharga buat dirinya.
            Macam mana buku ini boleh ada di atas lantai? Dia simpan elok di meja kecil itu. Tengku Hanif berfikir sejenak. Pelik betul.
            Tengku Hanif berjalan mendekati almari. Dia akan sumbat buku itu di dalam sana. Pintu dibuka sedikit. Tengku Hanif langsung tidak perasan kewujudan seseorang di dalam almari bajunya. Nurul Ain memejam mata rapat. Dia berserah. Kalau Tengku Hanif ternampak dia di situ, memang dia akan jatuh tergolek dan berpura-pura pengsan atau sawan. Sungguh, dia akan buat macam itu!
            “Hanif! Dear...” Suara Kathy kedengaran lembut memanggil si jejaka yang menjadi pujaan hati.
            Tengku Hanif berpaling.
            “Sayang....” Terkedek-kedek Kathy jalan mendekati Tengku Hanif.
            “Jangan masuk!” tegah Tengku Hanif.
            Kathy terkedu. Kaki terpacak kaku di situ. Melihat jari telunjuk Tengku Hanif mengala ke arahnya, Kathy berundur ke belakang sehingga melepasi muka pintu.
            “You ni!” bentak Kathy. Mukanya masam mencuka.
            “You perempuan. Mana boleh masuk bilik lelaki sesuka hati. Tolong beradab sikit,” tuntas Tengku Hanif.
            Nurul Ain telan air liur. Rasa macam ada sebiji batu besar hempap muka sendiri. Tengku Hanif tidak sedar dia antara manusia yang tidak punya adab kerana masuk ke bilik lelaki itu ikut suka hati.
            “Alah, you kedekut sangat! I bukan buat apa pun. I masuk time you ada. Then bukan tak beradab kan?”
            “Tapi masih tak sopan. Tak elok. You dah besar panjang takkanlah tak boleh nak fikir.”
            Kathy berpeluk tubuh. Selalu dia yang kena. Asal buka mulut, sudahnya dia yang terdiam dengan perasaan berbuku dalam hati. Sabar ajelah!
            “Jomlah turun makan. Tadi mama you dah cari you. Dia suruh Ain panggil you, tup-tup Ain yang hilang,” kata Kathy.
            “Sekejap,” balas Tengku Hanif. Apa-apa pun, dia harus menyembunyikan buku ini terlebih dahulu.
            “Hanif...” Kathy merengek lagi.
            “Kejap!”
            Pintu almari dibuka semula. Dia campak buku itu dan tepat mengenai Nurul Ain. Kulit buku itu cukup tebal untuk menyebabkan Nurul Ain menjerit kesakitan. Nurul Ain ketap bibir. Sakitnya! Hatinya menjerit lantang. Berair juga matanya.
            “You turunlah dulu.”
            “Tak nak. I nak tunggu you.” Kathy berdegil.
            Tengku Hanif lepas keluhan berat. Rimas berdepan manusia sedegil dan tak faham bahasa seperti Kathy.
            Nurul Ain mengusap dahi yang berdenyut-denyut. Rasa sakit itu bercampur-baur dengan kerimasan yang sudah memuncak. Peluh-peluh dia dibuatnya dek duduk dalam almari penuh baju lelaki itu.
            Apabila yakin Tengku Hanif dan Kathy tiada di situ, Nurul Ain memberanikan diri membuka pintu almari. Terjulur keluar kepalanya. Liar mata itu pandang kiri kanan. Kosong dan sunyi.
            Sebaik sahaja dia keluar, dia hirup udara sepuasnya. Ya Allah, segarnya! Dia lap peluh. Boleh mati kering kalau lagi seminit dia berkurung di dalam sana.
            Dia lihat kesan benjol di dahi. Hendak marah pun, bukan salah Tengku Hanif. Dia yang cari pasal masuk bilik ini senyap-senyap, kemudian berniat menyelongkar barang milik lelaki itu.
            Sakit! Padah berniat buat kerja jahat, desisnya.
            Buku itu digerling tajam. Hati masih memberontak memaksa diri. Dikuatkan hati. Jangan begitu. Itu hak orang.
            Daripada terus mencangak di dalam bilik ini, ada baiknya dia cabut lari. Tidak sanggup berhimpit, berpanas di dalam almari itu.
            “Ain,” tegur Angela.
            Nurul Ain tersentak. Kepala terhantuk di pintu kayu. Aduh, sakitnya!
            “Ain bikin apa di dalam bilik Tengku?” tanya Angela.
            Nurul Ain pamer sengih. Dia menutup pintu bilik. Tergaru-garu kepala yang sedang mencari akal.
            “Saya... saya...” Gagap! Angela menanti Nurul Ain buka mulut.
            “Ain cari Tengku, ya?” aju Angela.
            Nurul Ain mengangguk laju. “Haah. Saya cari Tengku. Puas keliling rumah cari, tak jumpa. Angela nampak Tengku kat mana-mana?”
            “Tengku sudah turun bawah, Ain. Tadi dia ada di sini. Katanya pintu bilik berkunci. Lantas panggil saya untuk tolong buka. Rupanya tidak berkunci,” kata Angela. Bercerita kisah yang sedia diketahui Nurul Ain.
            “Oh, ye ke?” Konon dia tertarik mendengar kisah itu. Angela tidak tahu, dialah yang membuatkan Tengku Hanif diselubungi kehairanan tadi.
            “Tadi Datin cari Ain.”
            Hah, dia terlupa. Seperti kata Kathy tadi, dia disuruh cari Tengku Hanif, tapi dia yang hilang. Terus dia lari turun ke tingkat bawah.

DAHI benjol sikit pun, kecoh satu rumah. Datuk Awang Kader menggelabah cari peti kecemasan. Irfan pula memaksa dia tuam benjolan itu dengan ais. Puan Sri Mardhiha dan Puan Marlissa asyik bertanya macam mana dia boleh dapat benjolan seperti itu.Terasa diri mengalami kemalangan teruk dan patah riuk. Walhal terhantuk pintu dan tercium bucu buku kulit tebal tadi.
            “Ada rasa pening-pening tak?” Riak wajah Datuk Awang Kader bergelodak. Cemas.
            Nurul Ain geleng kepala.
            “Betul? Kalau Ain pening ke, ayah bawa Ain pergi klinik,” ujarnya lagi.
            “Budak tu tak apa-apalah, bang. Abang tu yang over sangat,” celah Datin Sabrina ditengah-tengah keresahan Datuk Awang Kader.
            Datuk Awang Kader menoleh. “Benjolan kepala dia lain macam sangat, Na. Saya risau. Mana tahu ada pendarahan dalaman ke.”
            “Abang ni mengarutlah. Terhantuk dinding aje pun, tak akan ada pendarahanlah,” balas Datin Sabrina. Digerling perilaku suaminya yang asyik berkepit dengan Nurul Ain. Budak itu sihat-sihat sahaja dia tengok. Cuma benjolan di dahi agak ketara. Dilayan macamlah budak itu tenat.
            “Na, jangan ingat terhantuk kecil macam ni pun tak boleh beri kesan apa-apa. Benda kita tak nampak, Na.” Bergetar suara Datuk Awang Kader. Dia risaukan keadaan Nurul Ain. Sedangkan seekor nyamuk pun tidak dibenarkan menjamah tubuh Nurul Ain, apatah lagi keadaan Nurul Ain sebegini. Biarpun hanya terhantuk sehingga berbenjol kepala, dia tetap anggap itu sesuatu yang serius.
            “Saya okey, ayah,” ujar Nurul Ain.
            “Hah, tu. Tuan badan pun cakap okey. Abang janganlah risau sangat,” tambah Datin Sabrina pula.
            Datuk Awang Kader memandang lama.
            “Kita pergi klinik,” tegas Datuk Awang Kader. Dia bangkit lalu mencapai kunci kereta di atas meja berhampiran ruang tamu. Kemudian dia kembali mendapatkan Nurul Ain. Ditarik lengan anak gadis itu supaya mengikutinya.
            “Tapi ayah, saya tak apa-apa. Benjol sikit,” tolak Nurul Ain. Perlahan-lahan kaki itu melangkah menyaingi Datuk Awang Kader.
            “Tak boleh. Benjol di kepala Ain tu lain sangat. Membengkak. Ayah tak mahu apa-apa terjadi pada Ain.” Datuk Awang Kader tetap dengan pendiriannya.
            “Papa, biar Hanif yang hantar Ain pergi klinik.” Tiba-tiba Tengku Hanif berkata setelah menjadi pemerhati sejak tadi.
            Nurul Ain menoleh. Datuk Awang Kader pula terangguk-angguk kepalanya.
            “Papa duduk ajelah di rumah. Biar Hanif yang hantar,” kata Tengku Hanif lagi.
            Terkebil-kebil mata Nurul Ain. Tadi ayah, sekarang Tengku Hanif. Apa kena dengan orang dalam rumah ini? Semua risau pada sesuatu yang sangat simple seperti benjol di dahinya. Sakit sikit aje pun. Tak adalah sampai berguling bagai, ngomel Nurul Ain dalam hati.
            “Hati-hati bawa Ain tu, Hanif,” pesan Datuk Awang Kader.
            Tengku Hanif mengangguk tanda faham. Nurul Ain di sebelah dipandang sepintas lalu. Kereta dipandu laju meninggalkan Teratak Sakinah.
            Di dalam kereta, Nurul Ain mendesak Tengku Hanif supaya berhenti di tepi jalan. Mahu tidak mahu, Tengki Hanif menurut juga.
            “Tak payahlah kita pergi klinik,” ujar Nurul Ain. “Saya sihat. Kepala benjol aje. Kalau pergi klinik dengan kepala benjol macam ni nak buat check up, kena gelak dengan doktor aje nanti,” sambungnya.
            “Habis tu? Kan papa suruh pergi klinik.”
            Nurul Ain menggeleng kepala. “Kalau ayah tanya, cakap ajelah yang kita dah pergi tapi doktor cakap tak ada apa-apa. Ubat pun dia tak bagi,” cadang Nurul Ain. Bohong sunat.
            “Itu namanya membohong.”
            “Macamlah dia tak pernah bohong orang.” Perlahan suara Nurul Ain memerli Tengku Hanif.
            Terkedu Tengku Hanif dibuatnya.
            “Eh, depan sana gerailah. Jom singgah!” kata Nurul Ain.
            Pandangan Tengku Hanif melebar ke hadapan. Enjin kereta dihidupkan. Ikut sahajalah rentak Nurul Ain. Sampai di depan gerai itu, Nurul Ain melompat keluar.
            Lebih kurang sepuluh minit, Nurul Ain kembali dengan plastik dalam tangan. Isi dikeluarkan lalu salah satunya dihulur pada Tengku Hanif.
            “Roti john,” beritahu Nurul Ain saat menyedari kerutan di dahi lelaki di sebelahnya.
            “Tadi tak sempat nak makan kenyang-kenyang, semua orang sibuk tanya kepala saya ni okey ke tak. Perut ni berkeroncong bukan main.” Nurul Ain menyua sedikit bahagian roti john itu masuk ke dalam mulut dan dikunyah penuh nikmat.
            Kerlingan Nurul Ain tersorot ke arah Tengku Hanif yang memerhatikannya. Bungkusan roti john itu tidak terusik langsung. Terus dia menyambar bungkusan itu dari tangan Tengku Hanif.
            “Tak nak makan, kan? Tak apa, biar saya aje yang telan. Kenyang,” tuturnya.
            Tengku Hanif terperanjat. Macam aingin lalu sahaja pergerakan Nurul Ain tadi. Berselera sungguh Nurul Ain makan. Dia terus memandang. Nurul Ain sedikit pun tidak menoleh padanya.
            “Ain.” Nama itu ditutur perlahan.
            Nurul Ain mengerling Tengku Hanif lagi. Hah, kali ini dia tahu apa yang sedang bermain di fikiran lelaki itu. Nampak muka macam kerut-kerut, lepas itu bibir itu bergerak-gerak seakan hendak membicarakan sesuatu.
            “Saya...”
            “Eh, hari ni tak telefon emak lagi!” Dipotong percakapan Tengku Hanif. Dia seluk poket seluar dan pantas mendail nombor telefon emak. Beberapa saat menunggu, panggilannya bersambut. Di hujung talian, terdengar suara Asyikin berteriak lantang. Nurul Ain tertawa kecil.
            Tengku Hanif sekadar melihat kelakuan Nurul Ain. Bila agaknya dia boleh berbicara dengan Nurul Ain tentang apa yang telah berlaku sebelum ini? Setiap kali dia buka mulut, Nurul Ain pantas memotong, tidak kira dalam apa bentuk sekalipun. Berpura-pura tidur, konon tidak mendengar dan seperti sekarang, cepat-cepat berbual di telefon.
            Tengku Hanif menghela nafas. Dari sisi, dia nampak senyuman mekar bergayutan di bibir gadis itu.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Alhamdulillah.. CJKP dah sampai ke penamatnya yeayyy :) Namun hati masih tidak mampu melepaskan Irfan Khairel sobs :( Sedang mula berdamping di sisi Humairah. Ehem :) Mujur ada orang yang baik hati kan, tolong perbetulkan kesalahan yang banyak gilaaaaa dalam CJKP tu. Heh! Aku ni kalau tulis, dah main tulis aje. Kahkah.

4 comments:

baby mio said...

TERBAIK....

~::Salwati Haris::~ said...

@baby mio

Thanks baby mio :) Selalu drop kat sini :) Sgt menghargainya :) <3

eifa said...

best.. cepat sambung yer. hehe

~::Salwati Haris::~ said...

@eifa

Terima kasih krn sudi ikuti CJKP :)