Thursday, March 21, 2013

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab31.

Assalamualaikum.








"...Exchange gift, as that will lead to increasing your love to one another..." - Al-Bukhari









Bab 31
ORANG kenal dia sebagai anak kandung Datuk Awang Kader. Punya ikatan persaudaraan dengan Irfan Khairel, model yang menjadi kegilaan gadis-gadis di luar sana meski mukanya yang tertepek di dada majalah tidaklah banyak mana. Nama Tengku Hanif Faisal juga menjadi bayang-bayang dia. Lelaki yang menjadi idaman untuk dijadikan bakal suami dan menantu pilihan ibubapa.
            Agaknya kalau dia bukan anak sesiapa yang punya nama, bukan saudara kepada Irfan Khairel dan bukan adik tiri kepada Tengku Hanif Faisal, kewujudan dia tidak disedari. Kalau tegur pun, tegur biasa-biasa sahaja.
            Nurul Ain geleng kepala. Berterbangan pandangan negatif yang bersarang dalam fikiran.
            Di sini, dia berkawan baik dengan Lisa. Lisa gadis baik, datang dari keluarga biasa-biasa macam dia dan merupakan anak sulung daripada lima orang adik. Dalam ramai-ramai orang yang dia jumpa, Lisa seorang sahaja yang nampak ikhlas. Tidak pandang apa yang dia miliki sekarang dan melihat dia sebagai seorang Nurul Ain yang dibesarkan dalam keluarga angkat serba sederhana.
            “Hai Ain. Tak balik lagi?” Katerina, gadis cantik berdarah kacukan Melayu-Irish menyapa ramah. Ada dua orang teman Katerina ikut bersama. Seorang bernama Tina dan seorang lagi Sofea.
            Dia geleng kepala. Baru lima minit menunggu Pak Abdul datang. Jammed agaknya.
            “Then, I hantar you balik, nak?” Pelawa Katerina. Ditarik lengan Nurul Ain.
            “Tak apalah. Sekejap lagi pakcik saya datang ambil,” tolaknya.
            “Pakcik? Bukan driver ke?”
            Pakcik atau driver, dia tidak kisah. Lebih senang membahasakan Pak Abdul itu sebagai pakciknya. Namun dia terdengar kesinisan nada suara Katerina. Pandang rendah pada Pak Abdul lah tu!
            Katerina tetap berdegil mahu menghantar Nurul Ain pulang. Untung-untung, dia boleh berjumpa dengan sepupu gadis itu. Dia gilakan model bernama Irfan Khairel. Tengku Hanif Faisal pun dia minat juga. Minat separuh mati!
            “Jomlah, I hantar you balik,” gesa Katerina tidak berputus asa.
            Nurul Ain tetap geleng kepala. Sudah dapat membaca apa yang terbit di dalam kepala gadis cantik ala model itu. Sekali pandang, sebiji macam Kathy.
            “Eh, tak apa. Saya nak pergi rumah emak dulu.”
            Tiga sekawan itu saling berpandangan.
            “Emak? Oh, sweetnya panggil mummy Tengku Hanif macam tu.” Terliuk-liuk tubuh badan tinggi lampai Katerina. Senyuman dikulum lebar.
            “I tak rasa yang dia maksudkan mummy Tengku Hanif tu,” bisik Sofea.
            Katerina senyap. Ada betulnya cakap Sofea.
            “Yeah, I setuju dengan Sofea. Kan dia tu tinggal dengan keluarga angkat sebelum ni. She talked about her mak, not mummy. Different okey. Kalau you nak hantar dia balik rumah mak dia, buang masa aje. Bukan dapat apa pun.” Tina menyokong pendapat Sofea. Pandangan matanya tersorot ke arah Nurul Ain. Atas bawah dia perhati gadis itu. Tiada sense of fashion sungguh. Macam tidak layak sahaja gadis itu menjadi anak orang kaya. Hampir sebulan menjadi keluarga di kolej ini, asyik sarung baju t, kardigan, jeans dan kadang-kadang berbaju kurung atau kemeja. Cemuih kata orang.
            Nurul Ain pasang telinga, mendengar perbincangan halus gadis-gadis cantik itu. Ingat cakap perlahan-lahan, berbisik-bisik itu dia tidak dengar? Sebiji-sebiji dia hadam masuk dalam kepala.
            Dia tatap jam tangan. Sudah menginjak ke angka satu setengah.
            “Emmm... babe, I think I tak boleh nak hantar youlah.” Katerina bersuara berserta muka berkerut-kerut.
            “Something come up,” celah Tina.
            “Eh, tak apa.” Tergeleng-geleng kepala Nurul Ain. Saat mata menghala ke hadapan sana, dia nampak sebuah kereta Toyota Vios dipandu perlahan memasuki perkarangan tempat menunggu bas. Toyota Vios putih itu seakan dikenalinya. Irfan?
            Nah, tepat tekaannya. Kaki yang terjulur itu kepunyaan Irfan. Sebaik Irfan keluar dari perut kereta, baik Katerina, Tina dan Sofea, masing-masing menjerit kecil. konon nampak idola depan mata.
            Irfan menghampiri Nurul Ain. Sempat menghulur senyum kepada tiga orang gadis yang turut sama berteduh di bawah bumbung.
            “Jom balik,” ajak Irfan.
            Nurul Ain teragak-agak hendak bangun.
            “Saya tunggu Pak Abdul,” ujarnya.
            “Saya dah cakap pada Pak Abdul yang saya akan ambil awak hari ni.”
            Eh? Nurul Ain garu kepala. “Kenapa?”
            “Saja.”
            Nurul Ain garu kepala lagi.
            “Sejak awak masuk belajar ni, susah betul nak jumpa. Bila hujung minggu saya datang rumah awak, awak tak ada. Pak Ngah kata awak pergi rumah emak awak, bermalam di sana.” Panjang lebar Irfan berkata.
            Sengihan sahaja yang mampu dipamer saat ini.
            Irfan menoleh ketika terasa bahunya dicuit seseorang. Katerina memandang dia dengan senyuman yang cukup daring.
            “Irfan, right?” Konon bertanya mahukan kepastian, walhal dia sudah tahu yang berdiri depan mata, yang kacak lagi bergaya ini ialah Irfan Khairel.
            “Nice to meet you,” ujar Katerina. Tangan yang dihulur bersambut. Berseri-seri muka itu. Tina dan Sofea turut tidak melepaskan peluang terhidang depan mata. Terus perkenalkan diri.
            “Nice to meet you too, young ladies,” balas Irfan. “Classmate Ain ke?”
            Ketiga-tiga gadis itu mengangguk laju. Irfan tersenyum senang.
            “Kami nak panggil Ain kakak, tapi dia tak bagi. Dia kata yang dia nampak tua sangat kalau dipanggil macam tu,” senda Katerina.
            Terjungkit kening Nurul Ain. Ada ke dia cakap macam tu? Eh, tipu! Walau budak kelas tahu umurnya mencecah dua puluh empat tahun, tiada seorang pun yang panggil dia kakak kecuali Lisa. Dia tidak kisahlah orang hendak panggil pangkal nama kakak di depan. Bukan luak pun. Nurul Ain merengus kurang senang. Pandai jaja cerita si ketua geng plastik itu.
            “Really?” Irfan mengerling Nurul Ain yang berwajah selamba.
            “Well then, I think I kena pergi sekarang. Ain, let’s go,” ajak Irfan.
            “Dah nak balik ke?” tanya Tina pula. Mimik kecewa terpamer di wajah itu.
            “Apa kata kita pergi...”
            Bicara Katerina dicantas pantas oleh Irfan. “I kena balik sekarang. Kesian Ain mencangak tunggu orang jemput dia dari tadi,” tutur Irfan.
            Katerina, Tina dan Sofea terus memerhati dua manusia itu berjalan ke arah kereta. Sehingga saat kereta berderum meninggalkan tempat itu, mereka masih memerhati dengan perasaan penuh takjub.
            “Handsomenya dia! Dalam gambar hansome, luar lagilah. Cair I dibuatnya,” kata Tina. Terbayang-bayang muka Irfan yang kacak itu. Tambah-tambah dengan sikap ramah lelaki itu.
            “Kan. Untunglah Ain tu. Macam dalam drama sinetron pulak I tengok. Hidup dengan keluarga angkat, then tiba-tiba keluarga kandung muncul. Kaya pulak tu. Tup-tup abang tiri pulak hansome gila, model dan tinggi jawatan dalam syarikat. Bersaudara dengan model Irfan Khairel yang macho and peramah and so gentleman tu. You all perasan tak, Irfan tu macam take care pada Ain. What he said? Kesian Ain, tunggu orang jemput dia dari tadi. OMG! I dah cair okey time tu!” Katerina pula beraksi penuh perasaan.
            Sofea tergelak kecil. “Bayangkan kalau kita yang dapat layanan macam tu, how’s great!”
            Mereka bertiga ketawa serentak. Kemudian masing-masing mula melihat jam.
            “Dah lambat! Let’s girls, our boys dah menunggu kat Starbuck.”
            “Jom! Rindu kat bear I,” celah Sofea.
            Katerina dan Tina mencebik. Sofea tersengih lebar.

TIDAK berkelip mata Asyikin memandang ke arah sesusuk tubuh tinggi lampai yang duduk di sebelah Nurul Ain. Dari tadi dia memerhati, terlalu ralit sehingga kelakuannya itu diperasani Puan Suriani.
            “Sakitlah mak!” teriak Asyikin, namun matanya masih terpasak di wajah kacak Irfan.
            Irfan menoleh. Ketika terpandangkan Asyikin, dia melarik senyuman halus.
            “Syikin dah sekolah tingkatan berapa?” tanya Irfan.
            “Tingkatan satu,” jawab Asyikin.
            Nurul Ain mengerling si adik. Bukan dia tidak tahu Asyikin suka dengan Irfan. Kata Asyikin, rupa paras Irfan mirip seorang pelakon Korea. Entah apa yang Koreanya, dia tidak nampak. Paras Irfan yang kemelayuan itu bagai punya pesona cina sedikit. Barangkali paras sebegitu membayangi rupa ala-ala Korea seperti yang disebut-sebut Asyikin. Dia kalau disua dengan lagu Korea, mana layan. Veteran katakan. Tidak masuk mana. Tetapi drama Korea dia layan. Siap meleleh airmata, tersedu-sedan ketika menonton drama Winter Sonata.
            “Macam mana dengan pelajaran Ain?” Puan Suriani bertanya soalan yang serupa setiap kali Nurul Ain bertandang ke rumah atau menelefonnya.
            “Okey aje mak. Terasa tua sangat bila duduk satu kelas dengan adik-adik,” kata Nurul Ain.
            Puan Suriani tertawa kecil. “Tak apalah. Peluang datang sekali aje Ain.”
            Nurul Ain mengulum senyum. Sudah dua jam dia di sini. Rasa macam tidak mahu pulang ke Teratak Sakinah, tetapi apakan daya, esok pagi-pagi ada kelas. Kalaulah hujung minggu, memang terus memerap di sinilah jawabnya.
            “Kenapa Ain tak datang sendiri aje?”
            Ketika itu, Irfan sudah hilang bersama Asyikin. Terdengar suara Asyikin penuh keterujaan hendak menunjukkan sesuatu.
            “Irfan yang berdegil nak tolong hantar, mak. Penat dah Ain tolak, dia nak jugak hantar. Ikutkan ajelah,” tuturnya.
            “Itulah, terkejut mak bila nampak orang lain yang hantar Ain. Selalu Pak Abdul, tak pun Tengku Hanif. Alih-alih orang lain.”
            “Segak orangnya.”
            “Amboi mak! Bukan main.”
            “Alah, ingat Ain seorang aje ke pandai cuci mata? Emak pun tahu cuci mata.” Puan Suriani bersenda.
            Mengekek Nurul Ain ketawa.
            “Ain, macam mana dengan Faisal?”
            Baik-baik dia gelak, terus senyap. Faisal? Huh, wujud ke orang itu?
            “Masih tak berbaik dengan Faisal?”
            “Tengku Haniflah mak,” rungutnya. Tidak pernah lekang nama Faisal di bibir emaknya. Sudah diberitahu banyak kali, pemilik nama itu Tengku Hanif. Panggil aje Tengku Hanif, tetapi mulut emak tetap menutur nama Faisal. Buat tambah sakit hati.
            “Ain dah tahu kan kenapa dia buat macam tu? Maafkan ajelah dia tu.”
            “Ain tak tahu pun.”
            “Tak tahu? Faisal tak cerita?”
            “Tengku Haniflah, mak. Bukan Faisal,” gumam Nurul Ain. Dia peluk tubuh. “Dia nak cerita tapi Ain malas nak dengar.”
            “Pulak! Kalau tak dengar, mana Ain nak tahu ceirta di sebalik perbuatan dia tu.”
            “Nantilah. Kalau Ain rasa nak dengar cerita bosan dia tu, Ain tanyalah. Bukan jauh pun. Orang tu berkurung dalam bilik depan bilik Ain aje,” ujarnya selamba.
            Tergeleng-geleng kepala Puan Suriani.
            “Dulu Ain pernah suka pada Faisal, kan?”
            Bagai terjerut leher saat itu. Sesak nafas. Suka? Ya, dia pernah sukakan Faisal si buta yang baik. Malah dia pernah berangan berkahwin dengan lelaki yang disangka OKU. Konon hendak membuat kebaikan dengan mangahwini OKU seperti Faisal, tup-tup, dia kena tipu bulat-bulat. Mujur dia tidak luah perasaan sangat sukanya itu kepada Tengku Hanif Faisal.
            “Eee... itu budak hingusan punya feelinglah mak. Sekarang ni dah tak ada. Nada!” Nurul Ain tarik muka.
            Puan Suriani tertawa lagi.
            “Kejap lagi Ain nak balik, kan. Mak nak bawakan makanan untuk Ain. Ada buat karipap sikit, Ain makanlah nanti ye.”
            Terus lebar senyuman Nurul Ain. Kegemarannya! Dia mengekor masuk ke ruang dapur. Dia dibesarkan dengan masakan emak. Air tangan emak yang paling sedap dan enak. Sampaikan makan di rumah sana pun, tidak sepuas makan makanan yang emak masak.

EH, kat mana ni? Nurul Ain memisat mata. Dia buka tingkap kereta. Terjulur leher ke luar.
            “Sedapnya orang tu tidur.”
            Nurul Ain tersengih. Dia betulkan posisi duduk agar lebih selesa. Tadi, sebaik sahaja mereka bertolak pulang, dia terbuai dengar lagu Muara Hati. Terkebil-kebil dia pandang jalan raya. Kemudian matanya pedih. Terpejam-pejam sehingga dia tidak sedar dia tertidur.
            “Sekejap ya. Nak ke toilet,” kata Irfan. Lelaki itu berlari-lari menuju ke tandas yang terletak di belakang stesen minyak.
            Nurul Ain bersandar. Sekarang sudah menunjukkan jam empat setengah petang. Berkerut-kerut dahinya. Irfan tidak bekerjakah hari ini? Baik punya pusing lelaki itu ikut dia ke rumah emak.
            Sedang asyik memikirkan perihal Irfan, Nurul Ain ternampak kelibat seseorang. Orang itu memakai jaket hitam, bertubuh agak sasa dan berdiri tidak jauh dari sini. Lama dia memerhatikan orang itu. Raut wajahnya tidak jelas kelihatan kerana menunduk.
            Entah kenapa, hatinya dipagut rasa gerun. Seakan ada aura yang menyelubungi lelaki berjaket hitam itu. Terus dia pegang dada. Berdegup kencang. Kenapa ni? Nurul Ain mengalihkan pandangan. Sekali lagi dia menoleh, lelaki itu sudah tiada.
            Terasa luruh jantung bila mana Irfan datang menepuk pintu kereta. Pucat lesi wajahnya sehingga membuat Irfan risau.
            “Apa ni main tepuk-tepuk? Terkejut tahu!” Marah Nurul Ain. Jantungnya masih laju mengepam darah. Naik sampai ke kepala.
            “Eh, janganlah marah sangat. Nah, ambil ni.” Irfan menghulur sebotol air mineral.
            “Saya gurau aje. Tadi nampak awak macam termenung panjang sangat. Nampak mata hala ke depan tapi fikiran tu dah sampai ke mana agaknya,” celoteh Irfan.
            Nurul Ain pasang telinga tetapi dia tidak mendengar satu pun bicara Irfan itu dengan penuh khusyuk. Asyik terbayangkan lelaki berjaket kulit hitam tadi. Dia tidak kenal lelaki itu namun perasaan ingin tahu mendesak dalam diri. Siapa?
           
“PAK ABDUL kata, tengahari tadi Irfan yang ambil awak.”
            Terpelanting sudu di tangan. Jatuh ke lantai.
            Digerling tajam Tengku Hanif yang sudah duduk di depan mata. Ini lagi seekor. Kalau datang, tidak pernahnya hendak beri hint. Asyik muncul mengejut sahaja. Jantung ini, kalau tiap-tiap hari asyik disergah, asyik terkejut, mahu suatu hari nanti terkena sakit lemah jantung.
            Nurul Ain menunduk. Dia kutip sudu tadi. Sehelai tisu diambil lalu mengesat sudu itu sebelum kembali menyudu baki ais-krim di dalam mangkuk kecil.
            “Sinki dekat aje tu. Pergilah basuh dulu sudu tu. Kotor,” kata Tengku Hanif.
            “Kuman tak sempat panjatlah,” bidas Nurul Ain. Terpasak mata itu di kaca televisyen.
            Tersorot lirikan mata itu pada Tengku Hanif. Lelaki itu gelak kecil. Macam Faisal. Faisal lagi! Hei Ain, wake up! Faisal dah tak wujud. Yang Wujud Tengku Hanif Faisal.
            “Kenapa geleng kepala?” Tengku Hanif bertanya apabila ternampak Nurul Ain menggeleng kepala sambil mulut itu terkumat-kamit membicarakan sesuatu yang dia tidak dengari.
            “Tak ada apa-apa,” jawab Nurul Ain. Fokus Ain! Fokus!
            “Irfan jemput tadi?”
            Nurul Ain mengangguk.
            “Sampai ke petang Irfan tak masuk office. Pergi jalan-jalan ke?”
            Dia ni asyik bertanya, dah kenapa? Gumamnya dalam hati.
            “Pergi rumah emak kejap.”
            “Oh.”
            Suasana sepi seketika. Nurul Ain berpura-pura fokus menonton rancangan di kaca televisyen. Apalah mereka cakapkan ini? Sesekali dia mengerling ke arah Tengku Hanif. Lelaki itu turut sama menonton rancangan itu.
            “Layan Semanis Kurma juga ye awak ni.”
            Hah? Nurul Ain pandang televisyen. Semanis Kurma? Eh...!
            “Kahwin muda? Macam best aje topik ni.” Tengku Hanif berkata sendirian. Kemudian tusukan mata Tengku Hanif terpacak di seraut wajah penuh berkerut di depannya.
            Nurul Ain buat-buat tidak dengar. Macam mana dia boleh tidak perasan rancangan itu yang ditontonnya sejak tadi? Itulah, tiba-tiba terfikirkan Faisal. Lantaklah. Tengok Semanis Kurma pun bagus juga. Ada info berguna yang dia boleh hadam dalam otak nanti.
            “Ada terfikir nak kahwin muda?” soal Tengku Hanif.
            Nurul Ain terbatuk dengar soalan itu. Kahwin muda? Setahunya kalau orang yang dikaitkan kahwin muda dalam lingkungan usia awal dua puluhan. Dia yang ditanya ini sudah hendak masuk pertengahan dua puluhan okey. Bukan kahwin muda tapi sudah boleh kahwin pun.
            “Awak tak boleh kahwin selagi saya tak kahwin,” kata Tengku Hanif lagi.
            “Eh, kenapa pulak? Kalau dah jodoh, kahwin ajelah,” tuntas Nurul Ain.
            Tengku Hanif mengukir senyum. Menampakkan susunan giginya yang cantik.
            “Saya kan abang awak. Adik kena tunggu turn. Bila abang dah kahwin, baru adik boleh kahwin.”
            Diikutkan hati, waktu itu dia mahu hambur kata bidasan. Tetapi memikirkan nanti dia yang terkena balik, dia kunci mulut. Bila dia nampak Tengku Hanif angkat punggung dan berlalu pergi dari ruang tamu, hatinya bersorak gembira. Bosanlah tu! Dia terus ketawa dalam diam. Siapa suruh cakap dengan orang yang tuli macam dia? Padan muka!
            Dalam tidak sedar, dia sebenarnya menahan debaran yang muncul tiba-tiba. Dup dap dup dap berdegup. Debaran itu tidaklah kuat mana tetapi dia mampu merasainya. Lain macam betul. Ini mesti kes teringat Faisal yang dulu, lepas itu muncul pula Tengku Hanif yang memang si Faisal versi tidak buta.
            Dia sentuh dada. Debarannya masih sama.
            Duhai hati, jangan kau buat gila begini lagi. Dia Tengku Hanif Faisal, bukan si Faisal yang pernah jadi kawan kau. Dia bukan Faisal si buta yang membuat kau jatuh suka. Berhentilah berdegup jantung ini untuk Faisal.

Terima kasih kerana membaca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Sakit kepala melayani si bakal pengantin ha. Ada ke patut tanya soalan-soalan memelikkan lagi membuat aku gelak kuat-kuat tak ingat dunia. Heh! Eh, CKJP dah nak habis. Sikit aje lagi. Irfan.. I love u! Hahaha.

2 comments:

baby mio said...

Akan habis di blog ke.

~::Salwati Haris::~ said...

@baby mio

Hai :) Itu tak dpt dipastikan laa awak. Hee :D