Friday, March 15, 2013

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab 30.

Assalamualaikum.








"...Not a leaf falls, but He knows it. There is not a grain in the darkness of the earth nor anything fresh or dry, but is written in a clear record..."









Bab 30
NURUL AIN resah sendiri. Sejak akhir-akhir ini dia sering menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali. Nombor itu sering berubah dan dia yakin ianya dibuat melalui telefon awam.
            Petang kelmarin, sedang elok dia membantu Kak Yam menyediakan minum petang, Angela tergoncoh-goncoh lari mendapatkan dia di ceruk dapur lalu menghulur telefon miliknya. Telefon berdering lama sebelum dia menyambut panggilan itu. Saat sudah melekap di telinga, suara di hujung talian tidak kedengaran. Sunyi sepi. Puas dia bertanya tetapi tiada sahutan. Selang beberapa minit, dia putuskan panggilan tersebut.
            Hari ini, dia menerima panggilan misteri itu sekali lagi. Sabar dia menanti tuan pemanggil itu bersuara namun sia-sia. Sudahnya dia buka mulut, minta jasa baik si pemanggil agar tidak menganggunya lagi.
            Terlalu dalam dia memikirkan panggilan pelik itu sehingga tidak sedar akan kedatangan Datin Sabrina. Sementelah wanita itu duduk di sisinya lantas menepuk perlahan pehanya, barulah dia tersedar.
            “Menungkan apa tu?” soal Datin Sabrina.
            Nurul Ain tersenyum kelat.
            “Fikir tentang kekasih hati?”
            “Eh, taklah!” Laju Nurul Ain membalas.
            “Macam mana dengan study?”
            “Alhamdulillah, semuanya baik-baik aje,” kata Nurul Ain. Terlukis senyuman senang di bibir itu.
            Mula-mula masuk, kecut perut. Pula dia yang paling senior di dalam kelas itu. Terkedek-kedek otaknya cuba memahami setiap ayat yang dibicarakan pensyarah. Gigih dia menyalin nota bagai. Barulah nama pelajar contoh.
            Hari pertama, Datuk Awang Kader yang hantar. Terasa macam masuk sekolah tadika. Kata ayah, dia ingin melakar memori yang tidak pernah terpahat dalam hidupnya. Ketika itu hatinya terusik. Ayah bersungguh mahu berdamping dengannya. Ayah berusaha berikan yang terbaik untuknya. Malah ayah berkerja keras mahu menggantikan waktu-waktu yang tidak pernah mereka kecap bersama. Kalau pun pernah, dia tidak mungkin mengingatinya.
            Masuk hari kedua, ketiga dan seterusnya, Pak Abdul pula ambil alih hantar dan jemput dia di kampus. Genap seminggu dia memulakan kuliah, lesen bawa motosikal sendiri masih belum diterima. Malah, ayah menarik semula kata-kata sebelum ini dan meminta dia naik dengan Pak Abdul. Mahu tidak mahu, dia angguk juga.
            Hendak keluar, orang hantar. Hendak pergi rumah emak, orang hantar. Pergi kelas, pulang kelas, orang hantar dan jemput. Senang cerita, dia lebih menyukai kehidupan sebelum ini bersama emak dan Asyikin. Dia bebas ke mana sahaja menaiki motosikal kesayangannya itu. Emak tidak larang asalkan dia tahu jaga diri.
            “Emak sihat?”
            “Sihat. Tadi emak kirim salam.” Nurul Ain berkata. Sebut pasal emak dan Asyikin, tidak lekang senyumannya. Dua hari cukup memadai baginya. Minggu depan pergi bermalam di rumah emak lagi. Girang hatinya.
            “Rumah yang keluarga emak Ain duduk sekarang ni rumah sendiri ke?” tanya Datin Sabrina.
            “Tak. Kami sewa. Tuan rumah tu kawan arwah abah. Sewaktu hayat abah, abah merancang hendak bina rumah di atas tanah sendiri tapi hajat tak sampai. Mujur kawan abah tu baik hati beri sewa. Kalau satu masa nanti dia nak ambil balik rumah tu, terpaksalah cari rumah lain.”
            Datin Sabrina teliti mendengar cerita anak tirinya merangkap anak saudaranya juga. Sambil mendengar kisah itu, dia memerhatikan Nurul Ain. Sedikit sebanyak, rupa Nurul Ain mirip Nur Aminah. Bila Nurul Ain senyum, dia bagai terlihat biasan wajah Nur Aminah. Cepat-cepat dia pandang tepi. Perasaan lain yang menyelinap masuk ke dasar hati bila dia tatap lama-lama muka itu.

RAMBUT disisir perlahan sambil matanya menyoroti pintu bilik. Suaminya masih belum masuk ke dalam bilik peraduan mereka sedangkan seawal jam sepuluh lagi tadi, suaminya naik ke tingkat atas. Bila dia masuk bilik, bilik itu kosong.
            “Abang dari mana?” Laju dia menyoal apabila si suami sudah melangkah masuk.
            Datuk Awang Kader angkat muka. Terhias senyuman di bibir itu.
            “Dari bilik Ain.”
            “Abang buat apa pergi bilik Ain tu?” Kedengaran suara itu tersisip sedikit rasa kurang senang. Rimas barangkali melihat kelakuan suami yang terlalu mengambil berat perihal anak itu. Datin Sabrina memanjat katil. Dia bersandar di kepala katil. Selimut ditarik menutupi sebahagian tubuh. Mata pula masih memandang Datuk Awang Kader.
            “Teman dia tidur,” jawab Datuk Awang Kader. Dia sudah mengambil tempat di sisi isterinya. Rebah di atas katil dalam posisi terlentang dengan sebelah tangan berada di dahi.
            Bulat mata Datin Sabrina. Besar panjang pun masih mahu ditemani tidurnya? Terus dia berkalih mengiring menatap muka sang suami.
            “Budak tu dah besar panjang, bang. Dah tahu nak tidur sendiri. Tak payahlah abang pergi teman dia,” tuntasnya.
            “Na, kali terakhir saya teman dia tidur sehari sebelum kemalangan dulu. Awak dapat bayangkan perasaan saya? Bila dia ada depan mata, saya mahu buat semua untuk dia. Saya mahu dia rasa disayangi. Saya mahu dia tahu saya sayangkan dia.”
            “Tapi abang keterlaluan!” tingkah Datin Sabrina, tidak berpuas hati.
            “Keterlaluan? Ain anak saya. Apa yang sepatutnya saya beri pada dia dulu, saya beri sekarang. Salah ke?”
            Datin Sabrina menggigit bibir. Dia tarik selimut dan baring membelakangi suaminya. Hatinya dipagut rasa sakit. Di mata Datuk Awang Kader itu hanya Nurul Ain. Dan di sebalik Nurul Ain, suaminya nampak bayang Nur Aminah. Datin Sabrina pejam mata. Dia enggan melanjutkan pertelingkahan yang muncul tiba-tiba.

LAPARNYA! Nurul Ain tidak dapat tidur. Perut berkeroncong minta diisi. Kenapa malam-malam buta buat hal? Nurul Ain merenggus marah. Ditepuk-tepuk perutnya supaya laparnya tidak berlanjutan.
            Seminit, dua minit, perutnya berbunyi lagi. Nurul Ain bangkit. Duduk bersimpuh di atas katil. Dibiar berterusan begini, mahu bengkak mata pagi esok sebab tidur tidak mencukupi.
            Dia terbayangkan Maggi Cup. Di rumah emak, kalau dia lapar, terus masuk dapur dan menggeledah almari semata-mata cari Maggi Cup. Selepas itu, dia jerang air dan rendam Maggi itu. Baunya menusuk hidung. Sedap!
            Tak boleh jadi ni. Dia mesti turun bawah. Tahap mengidam yang amat. Berhati-hati dia menguak pintu bilik. Gelap. Yakin seisi rumah lena sepenuhnya. Sambil pandang kiri kanan, dia menuruni anak tanggan dan menuju ke ruang dapur. Liar matanya memandang setiap sudut dapur. Maggi, mana kau Maggi?
            Setiap pintu kabinet di buka. Dan setiap kali itulah dia hampa. Dapur sebesar ini pun tiada stok Maggi ke? Dia terus mencari diiringi rengusan halus. Tergaru-garu kepala. Agaknya orang dalam rumah ini tidak makan makanan segera.
            Nurul Ain tarik kerusi. Alah, baru berangan hirup Maggi Cup kegemarannya. Mak! Ain laparkan Maggi Cup stok dalam kabinet dapur kita. Berair mata. Bukan sebab tidak jumpa apa yang dia cari tapi sebab rindukan emak dan Asyikin.
            Daripada biar perut kosong, dia telan roti sekeping. Kemudian teguk air masak. Sesudah isi perut, Nurul Ain mula kira langkah. Keluar sahaja dari perut dapur, dia ternampak muka putih bermata layu. Betul-betul depan mata. Mulutnya terbuka luas dan suaranya nyaring kedengaran.
            “Aaaaaaaaaaaa!”
            Jeritan itu mengejutkan seisi rumah. Tengku Hanif yang sedang membaca beberapa buah fail turut tergencat pembacaannya. Terus dia berlari turun tangga. Datuk Awang Kader juga terkejut. Tanpa mengejutkan Datin Sabrina yang langsung tidak terganggu dek jeritan nyaring itu, dia keluar dari bilik.
            Datuk Awang Kader menerpa ke arah Nurul Ain. Dipeluk tubuh itu. Muka Nurul Ain pucat lesi.
            “Kenapa Ain?” soal Datuk Awang Kader buru-buru.
            Nurul Ain tarik nafas. Mahu tak terkejut nampak muka Angela yang putih melepak disapu bedak sejuk. Pula berdiri di dalam gelap. Luruh jantung dibuatnya.
            “Terkejut,” katanya. Sengihan lebar dipamer. Tanpa sengaja, dia telah mengejutkan penghuni Teratak Sakinah dengan jeritannya yang cukup lantang. Sampaikan Kak Yam dan Pak Abdul menerjah ke ruang dapur.
            Tergeleng-geleng kepala Datuk Awang Kader.
            “Maaf, Ain. Saya terdengar bunyi bising dari arah dapur, lalu saya mahu lihat. Rupanya Ain.” Tertunduk-tunduk wajah Angela. Takut dimarahi.
            “Eh, tak apa. Saya terkejut aje,” balas Nurul Ain. Saat bertemu mata dengan Angela, dia menghulur senyum.
            Angela, Kak Yam dan Pak Abdul beransur pergi. Tinggal Datuk Awang Kader dan Tengku Hanif di ruang itu bersama Nurul Ain.
            “Sorry, terbangunkan semua orang,” tutur Nurul Ain.
            Datuk Awang Kader ketawa perlahan. “Dah, pergi masuk tidur. Esok ada kelas, kan?”
            Nurul Ain mengangguk.
            “Awak lapar ke?” soal Tengku Hanif. Ketika itu, Datuk Awang Kader sudah tidak kelihatan.
            Tersorot kerlingannya pada Tengku Hanif. Sibuk aje! “Taklah.”
            Tiba-tiba.... kriukkk!
            Naik merah muka Nurul Ain. Telan roti sekeping pun masih tidak kenyang. Dasar perut stokin.
            Terbit senyuman halus Tengku Hanif. Dia pergi ke arah kabinet dan menarik laci paling bawah. Dikeluarkan dua Maggi Cup yang sememangnya dicari oleh Nurul Ain sebentar tadi. Berkerut dahi Nurul Ain. Rasanya dia buka dan selongkar semua laci tetapi macam mana boleh tak nampak?
            Tengku Hanif capai periuk kecil Dia menjerang air. Apabila air itu mendidih, dia curah masuk ke dalam bekas Maggi Cup. Dua minit berlalu, apabila Maggi cukup masak, dia hulur bekas itu pada Nurul Ain.
            “Nah, makanlah,” katanya.
            Nurul Ain teragak-agak hendak mendekati Tengku Hanif. Bau aroma Maggi Cup kari itu sungguh menggoda. Ah, aku lapar! Terus dia sambar bekas itu dan capai garfu. Tanpa menunggu lama, dia mula menyuap mee Maggi masuk dalam mulut. Dikunyah penuh nikmat.
            “Sedap?” aju Tengku Hanif. Berselera sungguh Nurul Ain makan. Betul-betul lapar.
            Nurul Ain mengangguk. Kuah kari dihirup perlahan.
            “Maggi ni stok saya. Dalam rumah ni tak ada stok Maggi. So saya kena beli sendiri,” ujar Tengku Hanif. 
            Terjungkit kening Nurul Ain. Patutlah dia cari tidak jumpa. Memang tidak disediakan.
            Licin bekas Maggi tadi. Tidak bersisa langsung. Perut kenyang, hati banyak senang. Boleh tidur lena. Eh, dua pagi? Ralit dia memandang jam dinding sehingga tidak sedar Tengku Hanif mengutip bekas tadi dan dibuang ke dalam tong sampah.
            “Eh!” Berdecit suara Nurul Ain.
            Tengku Hanif berpaling. “Kenapa?”
            “Tadi tu, saya boleh buang sendiri,” katanya.
            “Apa salahnya. Sesekali layan adik.” Tengku Hanif membalas. Mengeyit mata nakal pada Nurul Ain yang tercebik bibirnya.
            “Thanks.”
            “Untuk?” Tengku Hanif bertanya. Dia ambil tempat di depan Nurul Ain.
            “Tu...” Bibir Nurul Ain terjuih ke depan. “Maggi.”
            “No biggie.” Tengku Hanif pamer senyum. “Ingat awak nak tulis dalam kertas, then letak bawah pintu,” sendanya.
            Merah padam muka Nurul Ain. Mahu cepat-cepat menghilang dari pandangan mata lelaki itu. Dia bangun dan mengorak langkah meninggalkan Tengku Hanif.
            “Nite, adik!”
            Adik? Siapalah adik dia tu? Nurul Ain tidak pandang belakang pun. Terus menonong naik tingkat atas.
            Esok hari Isnin. Kuliahnya sampai tengahari sahaja. Pergi rumah emaklah. Nanti dia minta Pak Abdul hantar pergi sana. Biarpun memakan masa lebih kurang satu jam, dia sanggup! Demi emak dan adik yang selalu dirindui, jauh mana sekalipun, dia redah juga.

Terima kasih kerana membaca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Penulis nak update jugak entri CJKP walau sebelum ni cakap takmo update bila dah cecah bab 30. Muehihihi :D Pasal kalau tak update nanti tak ada bahan nak tulis. Penulis ni dah laa otak beku. Paling malas nak berfikir.