"...Say what is true, although it may be bitter and displeasing to people..." - Bukhari
Bab 33
LIAR mata Lisa memerhati bangunan tinggi yang
gah di depan mata. Tidak beralih pandangan itu meski terik mentari menyimbahi
muka. Inilah Menara Global (MG) Sdn Bhd. Selama hari ini dia tahu kewujudan
syarikat hartanah ini melalui media cetak dan elektronik sahaja. Tidak pernah
nampak dengan mata kepala sendiri.
“Jom,”
ajak Nurul Ain. Ditarik lengan Lisa.
“Kenapa
kita datang sini, Ain?” aju Lisa.
Nurul
Ain menoleh. Dipegang bahu Lisa.
“Kejutan
untuk awak, Lisa,” beritahu Nurul Ain.
“Kejutan?
Kejutan apa?” Lisa kebingungan.
Nurul
Ain pamer senyum. Dia tidak berkata apa-apa lagi kerana kalau Lisa tahu apa
yang dia sedang cuba lakukan, tidak jadi kejutan lagilah nanti. Terus ditarik
tangan Lisa. Mereka seiring menaiki lif.
“Kita
nak ke mana ni, Ain? Beritahulah saya.” Lisa tidak sedap hati. Nurul Ain
bertindak mengunci mulut. Hanya nampak senyuman kecil tertempel di bibir itu.
“Saya
nak bawa awak jumpa Irfan.”
“Irfan?”
Nurul
Ain mengangguk.
“Nanti!”
Lisa merentap pergelangan tangan Nurul Ain. Terundur tubuh itu ke belakang.
“Irfan
Khairel?”
“Iyalah,
Irfan Khairel tu.”
“Model?”
“Iya
Lisa Akhbar. Irfan Khairel si model yang kacak lagi tampan tu. Yang awak minat
tu. Saya nak bawa awak jumpa dialah ni,” tutur Nurul Ain. Kali ini Nurul Ain
pula merentap pergelangan tangan Lisa. Diheret gadis itu sampai ke depan pintu
bilik Irfan. Tertera plat nama Irfan di pintu cukup mencuakkan hati Lisa.
Berpeluh-peluh jadinya. Nurul Ain tertawa gelihati. Comel pula dia nampak Lisa
berkelakuan seperti itu.
“Lina,
Encik Irfan ada tak?” tanya Nurul Ain kepada Lina Zuhairea, setiausaha Irfan.
“Ada.”
Lina menjawab lembut.
“Nak
masuk jumpa Irfan tak?” Nurul Ain menyoal Lisa yang kaku di sebelahnya.
Lisa
diam. Berdebar-debar. Kalaulah dia tahu Nurul Ain akan bawa dia jumpa Irfan
Khairel, awal-awal lagi dia tidak gatal mulut bercerita tentang lelaki yang
diminatinya itu. Siap tunjuk keratan gambar yang diambil dari majalah.
Lisa
telan air liur. Memandang Nurul Ain yang sedang menanti reaksinya. Peluang
hanya datang sekali. Perlahan-lahan Lisa mengangguk. Lebar senyuman Nurul Ain.
Baru
hendak mengetuk pintu bilik Irfan, daun pintu dibuka dari dalam terlebih
dahulu. Tersembul muka Irfan di muka pintu. Lisa semakin pegun. Matanya sahaja
yang bergerak-gerak menatap Irfan secara langsung.
“Eh,
Ain!” Irfan berkata penuh kejutan. Kemudian menyoroti teman yang dibawa Nurul
Ain.
“Kawan?”
soalnya.
Nurul
Ain mengangguk.
“Peminat
awak.” Ujarnya.
Lisa
masih kaku. Sekejap-sekejap tunduk, sekejap-sekejap toleh sana sini. Nurul Ain
ketawa lagi. Gemuruhlah tu!
“Peminat?
Ohh...” Irfan menghulur tangan berserta senyuman kecil.
“Siapa
namanya?”
Nurul
Ain menyiku pinggang Lisa. Barulah mulut itu terbuka sedikit. Nurul Ain dan
Irfan saling berpandangan sebelum keduanya tersenyum lebar. Lisa telan air liur
lagi. Suara seakan segan hendak keluar pula saat ini. Tersekat.
“Saya...
saya Lisa.” Bergetar suara Lisa. Dia nampak Nurul Ain tersengih memandangnya.
"Cantik
namanya,” puji Irfan.
“Ain
dah habis kelas ke? Datang sini dengan apa? Pak Abdul?” Berderet soalan Irfan.
“Haah.
Dah habis dah. Kami datang naik teksi,” balas Nurul Ain.
“Teksi?
Kenapa tak telefon Pak Abdul? Atau saya? Saya boleh datang ambil.”
“Bukan
susah pun naik teksi tu, kan Lisa?”
Terjungkit
bahu Lisa tiba-tiba Nurul Ain aju soalan padanya. Lisa mengangguk laju,
menyokong Nurul Ain pada kata-kata yang tidak didengarinya.
Menyedari
mereka berbual di muka pintu sejak tadi, Irfan mempelawa Nurul Ain dan Lisa
turun makan bersamanya. Lagipun, jam sudah jejak angka satu tengahari.
Nurul
Ain bersetuju tetapi dia menyuruh Lisa ikut Irfan dahulu. Dia hendak berjumpa
Lufiya, kemudian jumpa Datuk Awang Kader. Sesekali jejak kaki di sini, haruslah
bersua muka dengan ayah.
Kelihatan
Lufiya begitu asyik membuat kerja. Rajin betul Lufiya. Dah tengahari pun masih
terpacak depan komputer. Nurul Ain berniat hendak mengejutkan Lufiya.
Berhati-hati dia atur langkah. Tiba di belakang Lufiya, Nurul Ain menepuk bahu
gadis itu.
“Ain!”
Lufiya terjerit kecil. Membulat mata itu memerhatikan Nurul Ain yang ketawa
terdekah-dekah.
“Sorry,”
ucap Nurul Ain. Mereka berdua saling berbalas pelukan.
“Ain
datang dengan siapa?”
“Dengan
kawan. Eh, Lufi tak keluar makan ke?”
“Hari
ni saya puasalah, Ain. Puasa ganti. Kalau tangguh lama-lama, tak terbayar
pulak.”
“Makin
slimlah Lufi macam ni,” canda Nurul Ain. Dicuit-cuit pinggang ramping Lufiya.
Mengekek
Lufiya ketawa.
“Tengku
ada kat dalam. Nak jumpa dia?”
Nurul
Ain pantas menggeleng. Hari-hari jumpa di rumah.
“Ain?”
Suara garau yang cukup dikenali menegur.
Baru
cakap, orangnya sudah muncul. Nurul Ain berpaling. Dia nampak Tengku Hanif
bersama Kathy. Eh, Kathy lagi? Apalah sepupu cantiknya itu buat dengan Tengku
Hanif? Macam bayang-bayang. Sana sini ada sahaja gadis itu melekat.
“Bila
sampai?” Tengku Hanif bertanya. Mengorak langkah setapak demi setapak
menghamprii Nurul Ain.
“Tadi,”
jawabnya. Konon hulur senyuman kecil untuk kedua orang manusia itu.
Kathy
memaut lengan Nurul Ain. “Hah, dah alang-alang ada sini, kita keluar makan
sekalilah. You, kalau berdua you tak mahu kan? Sekarang dah bertiga. I, you dan
Ain.” Bersemangat betul Kathy berkata-kata beri cadangan. Puas dia pujuk Tengku
Hanif makan tengahari dengannya, namun Tengku Hanif tetap enggan. Katanya
telah berjanji dengan Suhaimi.
“Eh,
tak apa. Saya nak keluar makan dengan kawan saya, Lisa. Sekali dengan Irfan,”
tolak Nurul Ain.
Muncung
bibir Kathy. Hancur harapan! Dia pandang Tengku Hanif. Lelaki itu sedang
merenungi Nurul Ain.
“Kirim
salam saya pada Irfan.” Ujar Tengku Hanif. Dia meninggalkan tempat itu dan
menonong jalan ke depan. Mencicit Kathy berlari mengejar langkah Tengku Hanif.
“I
dah kata, I keluar dengan Suhaimi. You makanlah sendiri.”
Telinga
Nurul Ain menangkap dengusan Tengku Hanif. Dia pandang Tengku Hanif dan Kathy
sehingga keduanya hilang dari pandangan mata.
Beberapa
minit selepas pemergian Tengku Hanif dan Kathy, Nurul Ain meminta diri. Misi
seterusnya, jumpa ayah. Agak-agak ayah masih ada di pejabat atau sudah keluar
makan? Sengaja lambat-lambat turun bawah. Biar Lisa puas-puas tatap Irfan dan
berbual dengan lelaki itu. Nurul Ain kulum senyum. Lisa, Lisa. Irfan yang biasa
itu juga kau kata kacak. Tergeleng-geleng kepala Nurul Ain.
Dari
kejauhan, dia nampak susuk tubuh Suhaimi berjalan ke arahnya. Manis senyuman
Suhaimi menghiasi wajah lelaki itu.
“Hai
Ain,” sapa Suhaimi.
“Hai,”
balas Nurul Ain. “Dah balik makan ke?”
“Eh
taklah. Baru aje nak turun. Tu, tunggu geng,” kata Suhaimi, seraya menuding ke
arah beberapa orang pekerja yang berlenggang mendekati mereka.
Berkerut
dahi Nurul Ain. Bukan keluar makan dengan Tengku Hanif ke?
“Okeylah,
dah lapar sangat dah ni. Turun dulu ya.”
Nurul
Ain mengangguk. Dia perhati Suhaimi sambil berfikir dengusan Tengku Hanif yang
didengarinya tadi. Dan terbayang di ruang mata kemanjaan Kathy saat memaut
lengan Tengku Hanif.Dia diasak rasa pelik yang tidak bisa diungkap dengan
kata-kata.
“TAK boleh, Na. Itu kehidupan Hanif. Biarlah
dia yang tentukan.” Datuk Awang Kader bersuara, menyatakan bangkangannya di
atas rancangan isterinya mahu menjodohkan Tengku Hanif dengan Kathy, anak
kakaknya.
“Alah,
biarlah Hanif dengan Kathy bang. Merapatkan lagi hubungan kekeluargaan kita,”
balas Datin Sabrina.
“Kalau
awak tanya pendapat saya, saya tak setuju. Na, awak nampak tak yang Hanif tu
tak suka pada Kathy? Ada aje alasan dia bila awak ajak dia keluar makan sekali
dengan Kathy.”
Datin
Sabrina mengerling suaminya. “Saya tahulah apa yang terbaik buat anak saya tu.”
Datuk
Awang Kader angkat muka. Mukanya beriak serius.
“Anak
awak, anak saya juga Na. Hanif tu, saya dah anggap macam anak kandung saya
sendiri.”
Begitu
tekun Nurul Ain memasang telinga, mendengar perbualan Datuk Awang Kader bersama
Datin Sabrina. Dari mula, isu Tengku Hanif dibangkitkan Datin Sabrina.
Bersungguh-sungguh Datin Sabrina hendak menjodohkan Tengku Hanif dengan Kathy.
Mula-mula
dia dengar nama Tengku Hanif dan Kathy disebut-sebut dalam isu penjodohan ikut
kemahuan keluarga, dia ketawa kecil. Gelihati. Mengikut perspektifnya, Tengku
Hanif macam tidak punya perasaan pun pada Kathy. Bila Kathy ada depan mata,
Tengku Hanif buat tidak tahu sahaja. Ke lelaki itu jual mahal? Nurul Ain
mencebik.
Namun,
sampai satu tahap dia memasang telinga, perasaannya dijentik sesuatu. Sesuatu
yang sangat asing. Semakin kerap nama Tengku Hanif dan Kathy menyentuh
gegendang telinga, dia rasa hendak ambil bantal dan tekup kedua belah
telinganya.
Perasaan
apakah ini? Nurul Ain sentuh dada. Ia pernah berdegup nada pelik saat ternampak
Tengku Hanif. Nada yang sama ketika dia berdepan Faisal. Nurul Ain pejam mata.
Ingat Ain, Tengku Hanif itu Faisal dan Faisal itu ialah Tengku Hanif. Orang
yang sama!
Nurul
Ain berpaling ketika terasa bahunya dicuit. Terbuntang mata itu. Tengku Hanif
sedang duduk di belakangnya sambil tongkat dagu. Nurul Ain mengengsot ke bawah.
“Curi
dengar perbualan papa dan mama?”
Tergeleng-geleng
kepala Nurul Ain.
“Habis
tu, buat apa duduk sini?” soal Tengku Hanif lagi.
Nurul
Ain garu kepala. Ekor matanya tersorot pada Tengku Hanif yang menanti jawapan
darinya.
“Saja
duduk sini. Sesekali melepak kat tangga,” dalihnya.
Tengku
Hanif pamer senyum.
Untuk
seketika, Nurul Ain tertegun melihat senyuman itu. Melekat di mata. Bila
menyedari kelakuannya itu sungguh pelik, Nurul Ain pandang tempat lain. Lain
macam betul aura Tengku Hanif. Dia angkat punggung dan bersedia untuk berlari
mengira tangga naik ke bilik.
Langkah
terhenti apabila Tengku Hanif sempat mengelar pergelangan tangan Nurul Ain.
“Nanti.”
Tengku Hanif ikut berdiri.
Nurul
Ain meronta minta dilepaskan. Namun sia-sia. Tengku Hanif makin mengeratkan
cengkaman.
“Kenapa
tak pernah beri peluang pada saya untuk berterus-terang?” Tengku Hanif bertanya
dengan nada suaranya yang mendatar.
Nurul
Ain memaling muka. Kini dua pasang mata itu saling berlaga.
“Sebab
saya dah tahu niat awak tu. So buat apa buka telinga luas-luas dengar cerita
yang sama?” Nurul Ain membalas.
Tengku
Hanif ketap bibir. Cengkaman itu semkain longgar.
“Tak
boleh anggap saya Faisal, kawan yang pernah baik dengan awak?”
“Tak!”
“Kenapa?”
“Sebab
awak bukan Faisal.”
“Saya
Faisal. Faisal si buta tu. Masih orang yang sama, Ain.”
“No!”
Keluhan
berat kedengaran. Tengku Hanif meraup muka. Dia berusaha menjernihkan hubungan
antara mereka. Tambahan pula mereka terikat dengan status adik-beradik tiri.
“Saya
lakukan semua itu demi papa.”
“Saya
tahu.”
“Then?”
Tengku Hanif berpeluk tubuh.
Nurul
Ain jungkit bahu. Apabila punya peluang, dia memboloskan diri, berlari masuk ke
dalam biliknya.
Kenapa
dengan kau ni Ain? Apa dah jadi? Nurul Ain tersandar di pintu. Dia pelik dengan
reaksi diri sendiri. Seringkali mengingatkan diri bahawa Tengku Hanif itu ialah
Faisal, tetapi entah mengapa, sejak akhir-akhir ini hatinya bagai diusap-usap
debaran menggila saat terpandangkan Tengku Hanif.
Dia
geleng kepala. Jangan-jangan...
Nurul
Ain tekup mulut. Tidak percaya pada apa yang baru sahaja terbit di fikiran.
Gila! Lantas dia memanjat katil dan pejam mata. Tiba masa untuk tidur.
********************************
Bab 34
“ITU bukan Ain ke?” Bibir Suhaimi terjuih ke
hadapan. Jari telunjuknya juga menuding ke arah yang sama.
Tengku Hanif angkat
muka. Dia melempar pandang ke arah yang ditunjuk Suhaimi. Mengecil matanya.
Dari jauh, dia nampak susuk tubuh seorang gadis. Betul ke? Dia perhati
lama-lama. Memang Nurul Ain. Apa gadis itu buat di sini? Bukankah kelas Nurul
Ain hari ini dari pagi sampai ke petang?
Berjalan seiring
Nurul Ain itu seorang gadis yang mungkin teman sekuliahnya. Dia ada dengar
Nurul Ain bercerita tentang gadis bernama Lisa sewaktu Datuk Awang Kader
bertanya perihal kehidupan di kampus. Menurut kata Nurul Ain, Lisa seorang yang
baik dan memahami. Mereka berkenalan semasa menuju ke kelas yang sama.
“Nif, jomlah,” ajak
Suhaimi.
“Kejap,” balas Tengku
Hanif. Renungannya terus terhunus ke arah Nurul Ain dan kawannya. Keduanya
duduk di perhentian bas. Hendak kata tunggu bas, ada sahaja bas lalu-lalang,
tetapi tidak pula mereka naik.
“Panas ni, bro. Jadi
ikan kering nanti,” rungut Suhaimi. Sebelah kakinya sudah masuk ke dalam
kereta. Nampak bersungguh benar dia mahu cepat-cepat merasa kesejukan air-cond
kereta Tengku Hanif.
“Kau nak tunggu Ain
ke apa?” soal Suhaimi. Tidak tahan duduk di bawah terik mentari, dia
memboloskan diri ke dalam kereta. Leher terjulur keluar.
“Hmmm...” Tengku
Hanif menjawab acuh tidak acuh.
“Hah?” Suhaimi seolah
terkejut. Dipandangnya Tengku Hanif dengan tajam.
“Kau tunggu Ain, adik
kau tu?” Suhaimi mengulangi pertanyaan.
Tengku Hanif menoleh.
Berkerut dahinya. “Buat apa aku nak tunggu Ain?”
“Eh, tadi kau cakap
kau nak tunggu dia.”
“Bila masa?”
“Tadi tu, yang
mula-mula aku tanya tu. Kau jawab hmmmm...”
“Kau salah dengar
tu,” tuntas Tengku Hanif.
Suhaimi pula jadi
keliru.
“Dah, dah, dah. Kau
tak panas ke duduk bawah matahari terik ni? Cepatlah,” gesa Suhaimi.
Tengku Hanif
memandang sekilas. “Ni baru panas dunia.”
Suhaimi menggaru
kepala. Apa kena Tengku Hanif ni? Jadi pak ustaz pula. Namun dia pasang telinga
juga. Iyalah, peringatan sebegitu memang bagus untuk dirinya yang terkadang
terpesong sedikit kalau tidak ditegur.
Pintu kereta dibuka
perlahan. Lirikan mata masih tersorot pada Nurul Ain di sana.
Sebuah kereta Toyota
Vios putih menyusuri jalan raya dan berhenti betul-betul di depan Nurul Ain dan
temannya. Melihat kereta Nurul Ain dan temannya itu berjalan mendekati Toyota
Vios tersebut membuatkan Tengku Hanif pacak kaki di lantai bumi lagi.
“Irfan?” Terpacul
nama itu keluar dari mulut Tengku Hanif.
Tengku
Hanif memerhati tanpa berkali sedikit pun. Kelihatan Irfan mendekati Nurul Ain
dan temannya, kemudian mereka berdua dipelawa naik kereta lelaki itu. Nurul Ain
ambil tempat di depan manakala temannya tadi duduk di belakang.
Hanya
apabila Toyota Vios itu menderu laju meninggalkan tempat itu, barulah Tengku Hanif
memboloskan diri masuk ke dalam kereta. Tidak dipeduli pandangan Suhaimi
padanya. Tengku Hanif menghidupkan enjin kereta. Beberapa minit selepas itu,
dia menekan pedal minyak. Kereta mewah dipandu menyusuri jalan raya, kembali ke
Menara Global bersama otak yang ligat memikirkan ke mana Irfan bawa Nurul Ain
tadi.
PINGGAN yang sudah licin itu dipandang dengan
senyuman puas. Puas sebab perut kenyang, tambah-tambah orang belanja. Nurul Ain
meengalih pandangannya pada Irfan. Lelaki itu masih menyudu makanan ke dalam
mulut. Sopan betul Irfan makan. Penuh tatasusila. Persanan dia yang datang
lambat, dia yang habis dahulu.
“Terima
kasih sebab Irfan belanja saya makan hari ni,” tutur Lisa. Tertunduk-tunduk
menekur lantas. Di pinggir bibir bertaut senyuman halus.
“Sekali-sekala,”
balas Irfan. Dia turut pamer senyum. Sesaat kemudian, tumpuannya beralih pada
Nurul Ain.
“Kenyang?”
soalnya kepada Nurul Ain.
Nurul
Ain angguk kepala.
“Kenyang
sangat!” sahut Nurul Ain. “Lisa, best betul kalau ada orang belanja, kan?”
Nurul Ain tersengih-sengih.
“Tak
apa. Esok, lusa, hari-hari nak saya belanja pun boleh,” kata Irfan.
“Eh,
main-main ajelah.” Pantas Nurul Ain membalas. Dia bukan kemaruk sangat hendak
dibelanja orang makan-makan. Duit sendiri ada. Emak pun ada beri wang saku
walhal Datuk Awang Kader sudah pun menyediakan elaun buatnya. Tetapi emak kata,
itu duit dari emak. Duit dari Datuk Awang Kader, lain kira. Dia mabil juga.
Tersentuh hati melihat kesungguhan emak menampung perbelanjaan hariannya meski
dia bukan di bawah tanggungjawab emak lagi.
“Lepas
ni, nak pergi mana?” Irfan bertanya sambil melihat jam dipergelangan tangan.
Awal lagi, bisiknya.
“Kalau
nak saya hantarkan, boleh aje,” sambungnya.
“Tak
payahlah. Kami boleh balik sendiri. Awak kena masuk office kan? Kerja.” Nurul
Ain mengingatkan.
“Lisa,
tadi awak kata nak pergi kedai buku, kan?”
Lisa
mengangguk.
“Saya
boleh hantar sekejap.” Irfan mencelah.
“Tak
apa. Dekat aje kedai buku tu. Sana tu.” Nurul Ain menuding jauh ke kanan sana.
Panjang leher Irfan mengenalpasti lokasi kedai buku itu. Tidak nampak pun. Dia
nampak sebuah klinik, bank dan beberapa buah kedai makan dan minum.
“Seberang
jalan sana,” sambung Nurul Ain. Dia tahu apa yang dilihat Irfan. Bukannya
nampak kalau pandang dari sini.
Nurul
Ain bersiap-siap hendak pergi. Cepat siap urusan membeli buku Lisa, cepat
balik. Untung kuliah petang ini dibatalkan. Dr. Nur Suhaili tidak sihat
katanya. Kuliah ditunda minggu depan.
Tadi
sempat menelefon emak, menyatakan rancangan untuk singgah ke rumah emak. Tapi
emak tiada di rumah. Emak pergi sekolah Asyikin kerana ada sesi bertemu
penjaga. Bak kata orang, sain kad penyata sekolah. Pasti Asyikin tersenarai
antara pelajar cemerlang. Iyalah, sejak kecil, Asyikin menunjukkan potensi yang
sangat baik di dalam pelajaran. Senang serap ilmu dalam kepala. Lainlah dia,
suka sangat main-main.
“Betul
ni?” Irfan meminta kepastian.
Nurul
Ain mengangguk lagi. “Dekat aje. Nanti saya balik naik teksi.”
“Pak
Abdul kan ada, call ajelah dia.”
“Tak
suka menyusahkan orang.”
“Kerja
dia.” Ujar Irfan.
Nurul
Ain tarik nafas. Macamlah dia tidak pernah bersusah-susah kejar bas atau teksi.
Setakat balik rumah, tidak akan sesat punyalah. Tambah-tambah naik teksi.
Beritahu alamat, terus dibawa sampai depan pintu pagar.
Agaknya
orang kaya semua macam ini. Tidak boleh berdikari. Hendak jalan sedikit pun
minta pemandu hantarkan. Sesekali, berdikarilah sendiri. Nurul Ain menggumam
dalam hati.
“Jomlah,
Lisa.” Nurul Ain menarik Lisa supaya berdiri.
“Saya
pergi dulu, ya. Thanks tau belanja makan,” ucapnya. Kenyitan nakal
dipersembahkan buat tatapan Irfan.
“Hati-hati!”
Irfan melaung saat Nurul Ain semakin hilang dari pandangan mata. Meleret
senyuman Irfan. Terserlah sikap degil gadis itu. Juga sikap berdikari Nurul Ain
jelas di matanya. Barangkali persekitaran Nurul Ain membesar membentuk sikap
begitu. Tidak seperti sepupunya Kathy. Manja berkilo-kilo. Kalah adiknya,
Maisara itu.
Irfan
mengatur langkah menuju ke tempat parkir kereta. Ekor matanya masih awas
menyoroti Nurul Ain dan Lisa. Sehinggalah kedua-duanya sudah menyeberangi jalan
sebelah sana, barulah dia membuka pintu kereta. Itu pun lirikan mata terpesong
pada Nurul Ain lagi.
Teringat
kali pertama dia terserempak Nurul Ain di tempat parkir kereta berdepan dengan
Menara Global. Ketika itu, kebetulan dia mahu keluar makan tengahari.
Terpandangkan Nurul Ain yang terbongkok-bongkok sambil mengeluh kasar, terus
dia menghampiri. Bila dia tawar bantuan, Nurul Ain menolak. Selang beberapa
minit, Nurul Ain memanggil dia dan dalam keadaan serba-salah, gadis itu meminta
tolong darinya.
Dari situlah titik
perkenalan mereka bermula meski pun secara tidak rasmi. Siapa sangka, Nurul Ain
itu adalah sepupunya, anak kepada ayah saudaranya yang telah hilang selama
lebih dua puluh tahun. Tersenyum sendiri saat teringat semuanya.
SELEPAS membeli buku yang dikehendaki, Lisa
mengheret dia masuk ke dalam sebuah kedai menjual segala bentuk hiburan DVD.
Ada DVD filem, DVD lagu, DVD permainan video. Senang cerita, macam-macam ada.
Ketika
Lisa sibuk memilih DVD terbaru sebuah band dari Korea, dia angkat kaki keluar
dari situ. Orang veteran macam dia, lagu-lagu Korea tidak layan mana. Setakat
tahu kumpulan Big Bang. Itupun secara kebetulan Anisa perkenalkan lagu-lagu
kumpulan itu padanya. Rasa sungguh takjub apabila melihat Anisa mampu menyebut
satu per satu lirik lagu dalam bahasa Korea. Tentu gigih kawan baiknya itu
menghafal. Tapi bila tanya apa maksudnya, terus hancur.
Lisa
keluar dengan senyuman mekar. Dia menunjukkan sebekas plastik kecil. Isi
dalamnya sekeping DVD kumpulan Beast. Nurul Ain membelek DVD tersebut. Beast?
Nama kumpulan Beast, tapi percayalah, ahli kumpulannya, satiap orang muka
manis, jambu-jambu dan bersih mengalahkan muka perempuan.
“Sekejap...”
Nurul Ain mengembalikan DVD itu kembali pada Lisa. Ada panggilan yang sedang
menanti diangkat olehnya.
“Hello.”
Senyap
di hujung sana. Nurul Ain lihat paparan di skrin. Nombor pelik itu lagi.
Nombornya tidak sama setiap kali panggilan itu dibuat. Nurul Ain melekapkan
telefon di telinga semula.
“Hello.”
Kali ini, suara Nurul Ain kedengaran tegas sedikit.
Masih
tiada sahutan. Sunyi. Geram dengan orang gila yang menelefon, Nurul Ain terus
putuskan talian.
“Siapa?”
tanya Lisa.
Nurul
Ain jungkit bahu. Masuk kali ini, tiga empat kali panggilan yang sama
diterimanya.
Beberapa
minit selepas itu, dia menerima mesej pula. Membulat mata saat membaca mesej
tersebut.
Jangan pernah leka.
Nurul
Ain telan air liur. Sebelum ini, dia disuruh melepaskan apa yang dimiliki.
Hairan, apa yang dia ada sebenarnya? Dan kenapa dia dapat semua mesej-mesej
seperti ini? Nurul Ain toleh kiri, toleh kanan.
“Jom
kita balik. Dah tak ada apa-apa nak beli kan?” Nurul Ain menarik tangan Lisa.
Nampak seperti tergesa-gesa.
“Kenapa
ni Ain?” Lisa menyoal. Kaki laju melangkah menyaingi Nurul Ain.
“Saya
hantar awak balik. Kita naik teksi,” kata Nurul Ain. Tidak dijawab pertanyaan
Lisa tadi.
Dalam
keadaan tergesa-gesa, Nurul Ain tidak awas dengan persekitarannya. Tanpa
sengaja, dia telah melanggar seseorang.
“Maaf!”
ucapnya. Dia mendongak. Orang itu telah berlalu pergi. Nurul Ain terus
memerhati orang berjaket hitam itu. Untuk kesekian kalinya, hatinya dipagut
rasa gerun. Ya Allah, perasaan apakah ini? Lama dia memerhati.
“Ain,
jom! Tu, teksi...”
Teguran
Lisa mengejutkan Nurul Ain. Orang berjaket hitam itu sudah hilang dari
pandangan mata. Dia menoleh ke arah Lisa. Lisa melambai-lambai ke arahnya.
Perlahan-lahan, dia menghampiri Lisa. Fikirannya berkecamuk. Siapa lelaki
berjaket hitam itu?
“APA yang Ain menungkan?” Datuk Awang Kader
menyapa lembut, lantas mengusap kepala Nurul Ain.
Nurul
Ain angkat muka. Segaris senyuman kecil dioles penuh ikhlas. Dia mengengsot,
memberi ruang kepada ayahnya duduk bersamanya di atas kerusi kayu jati di ruang
beranda rumah besar mereka.
“Patut
ayah cari Ain dalam bilik tak ada, rupanya Ain berangan kat sini.” Datuk Awang
Kader meraih jemari Nurul Ain dan digenggam erat. Ditatap raut wajah mulus
Nurul Ain. Terpancar bayangan Nur Aminah di wajah itu. Datuk Awang Kader senyum
tiba-tiba. Nurul Ain yang melihat berasa hairan.
“Kenapa,
ayah?” soalnya.
Datuk
Awang Kader menggeleng kepala perlahan.
“Rupa
Ain iras arwah ibu,” tutur Datuk Awang Kader.
Nurul
Ain terdiam. Banyak sangatkan peratus kemiripan dia dan arwah ibu? Beberapa
kali juga dia terdengar Mak Long dan Mak Usu cakap benda yang sama. Ain macam
ibu. Cantik.
Cantik?
Rasanya, arwah ibu beribu-ribu kali lebih cantik. Dia pernah lihat gambar ibu.
Gambar lama. Memang ibu cantik. Lihat sahaja Datin Sabrina, adik arwah ibu. Rupa
paras indah Datin Sabrina diwarisi pula oleh Tengku Hanif. Eh, nanti sekejap!
Kenapa Tengku Hanif termasuk dalam monolog ini? Adakah ini bermaksud dia
mengakui ketampanan Tengku Hanif yang sering menjadi buah mulut Anisa? Tidak
sama sekali! Tengku Hanif biasa-biasa sahaja. Faisal yang punya rupa indah
melebihi segalanya. Ding! Faisal? Terkeliru dengan fikiran sendiri, akhirnya
Nurul Ain membiarkan sahaja perihal Tengku Hanif dan Faisal ‘mendak’ di dalam
otak.
“Bila
ibu Ain meninggal dunia, hidup ayah langsung lumpuh. Keluarga risaukan ayah dan
mereka memilih jalan menjodohkan ayah dengan Sabrina, adik arwah ibu Ain.
Kesabaran mama menyentuh hati ayah. Dia wanita baik. Ayah beruntung kerana
telah memiliki dua orang wanita yang datangnya dari keluarga yang sama. Ibu Ain
dan mama.”
Nurul
Ain tekun mendengar cerita Datuk Awang Kader. Kasihan ayahnya. Penderitaan itu
telah berlalu tetapi dia yakin, kesan parut luka derita dan sengsara itu masih
terpahat di lubuk hati.
“Dulu,
sebelum berkahwin dengan ayah, mama menikah dengan seorang lelaki bernama
Tengku Ali. Lelaki itu menyeksa mama, dia bukan lelaki baik untuk mama. Ayah
sendiri nampak penderitaan mama. Arwah ibu Ain orang yang paling sedih melihat
keadaan mama. Sewaktu mama dan bekas suaminya bercerai, Hanif kecil lagi. Dalam
setahun dua usianya.”
Bercerita
kisah itu bagai membuka buku lama. Pernah bergelar abang ipar kepada Datin
Sabrina, tentunya dia tahu kisah hidup berumahtangga Datin Sabrina dan Tengku
Ali suatu ketika dahulu. Isterinya sering berkongsi perihal Datin Sabrina
berserta linangan airmata. Jelas terlihat kasih-sayang Aminah kepada Sabrina.
Menyedari
ketelanjuran bicaranya yang menyebut soal perkahwinan Datin Sabrina dahulu,
Datuk Awang Kader terus tutup mulut. Rasanya, dia tidak layak menceritakan keadaan
kehidupan isterinya itu. Biarlah ia menjadi lipatan sejarah buat Datin Sabrina
dan dirinya yang memang tahu hakikat sebenar. Tengku Hanif juga tidak pernah
tahu realiti kehidupan Datin Sabrina sebelum ini.
“Ain
suka tinggal dengan ayah?”
Nurul
Ain mengangguk perlahan. Jujurnya, dia semakin dekat dengan Datuk Awang Kader.
Cuma cara dia bahasakan diri masih sama. Bersaya sahaja.
Datuk
Awang Kader menarik Nurul Ain ke dalam pelukan erat.
“Jangan
tinggalkan ayah lagi.”
Nurul
Ain membalas erat pelukan itu. Andai panjang usianya, dia akan jaga ayah
sebagaimana dia pernah tanamkan niat dalam hati mahu menjaga emak sampai hujung
nyawa.
TERJAGA lenanya apabila deringan telefon
bimbit membingit di telinga. Malas-malas dia bangun lalu mencapai telefon itu.
“Hello...”
Lemah suaranya menjawab panggilan tersebut.
Tiada
sahutan, hanya bunyi desiran nafas yang kedengaran. Cukup kasar. Nurul Ain
memisat mata. Baru pukul dua pagi!
“Jangan
fikir kau akan hidup dengan aman!” Seorang lelaki berkata keras dan bernada tegas.
Langsung
terbuka luas mata itu. Nurul Ain terpinga-pinga.
“Si...
siapa... siapa ni?” Terketar-ketar Nurul Ain bertanya.
“Kau
tak akan selamat!” Lelaki itu berkata lagi.
Tanpa
bertangguh atau menunggu lelaki itu mengungkap bicara keras lagi, Nurul Ain
pantas memutuskan panggilan. Tangan menggigil. Jantung mengepam darah dengan
derasnya. Seakan tidak percaya dengan apa yang baru dilalui sebentar tadi,
Nurul Ain menampar pipi berkali-kali.
Sakit!
Nyata,
ini bukan mimpi. Ugutan tadi memang satu realiti. Tetapi kenapa dia? Nurul Ain
tidak dapat tidur sampai ke Subuh. Solatnya bertemankan rasa gusar yang tidak
surut-surut.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Dua entri terakhir CJKP dalam blog. Insya-Allah, jika ada rezeki, CJKP boleh dipeluk secara realiti. #Eh! Very the verangan tau -..-' Baru hantar untuk process penilaian terbit. Hihi. Buat Baby Mio yang selalu up comment minta CJKP lagi, mekasih awak :) Sangat menghargai :) Silent reader-thanks sudi luangkan masa baca ayat merapu aku ni hah :) Juga istimewa utk Ayra Zahra- yg selalu laa sgt bagi motivasi free kat aku hahaha *Apehal statement macam menang award. Heh!* Lepas ni jumpa Humairah dan Amiera Syazreen pulak. Then Adra Hannani. Hihi *zaman bila laa eh?*
16 comments:
ohoiii nama i pon ada..
i will miss my tengku Hanif very much..
Sob Sob... :D
siapa yang selalu telefon ain tu ya x sabar nak tunggu novel keluar dipasaran.
@siti comelss/ayra zahra
yeayyy.. nm u harus ada :)
@baby mio
hihi. doakan ye mudah mudahan ada rezeki CJKP diterbitkan :)
best, first time baca dah fanatik dengan cerita ni.
Btw blog awak comel, background apa eh ?
@Nisa
Hi Nisa :) Thanks drop sini :) Pasal blog, semuanya diambil dr blog http://aqupunyekesahbukankau.blogspot.com/ :) freebies :)
Dah ada kat pasaran ke novel ni?. Sblm ni ada novel ke? Guna nama pena apa ye?
Dah ada kat pasaran ke novel ni?. Sblm ni ada novel ke? Guna nama pena apa ye?
@ semuanya di sini
E-novel ni belum terbit lagi. masih dlm proses penilaian :)
Ye, kite ada keluar novel sblm ni bawah Kaki Novel tajuk Cinta Dalam Hati menggunakan full name- Salwati Haris :)
salam.. tak sabar nk baca the nex chapter.. keep it up! (^^,)
salam... ade tarikan tersendiri... x sabar nk bce the nex chapter.. keep it up!
(^^,)
salam... ade tarikan tersendiri... x sabar nk bce the nex chapter.. keep it up!
(^^,)
@cenad
Salam :) thanks krn sudi baca CJKP :)
dah kuar belum novelnya???...best lorr...
Akak .. bila nk sambung lagi...
alah,berhenti sampai sini je ke ? tak bestnya :( nk lagi sambungan :(
Post a Comment