Tuesday, April 2, 2013

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab33 dan Bab34.

Assalamualaikum.








"...Say what is true, although it may be bitter and displeasing to people..." - Bukhari









Bab 33
LIAR mata Lisa memerhati bangunan tinggi yang gah di depan mata. Tidak beralih pandangan itu meski terik mentari menyimbahi muka. Inilah Menara Global (MG) Sdn Bhd. Selama hari ini dia tahu kewujudan syarikat hartanah ini melalui media cetak dan elektronik sahaja. Tidak pernah nampak dengan mata kepala sendiri.
            “Jom,” ajak Nurul Ain. Ditarik lengan Lisa.
            “Kenapa kita datang sini, Ain?” aju Lisa.
            Nurul Ain menoleh. Dipegang bahu Lisa.
            “Kejutan untuk awak, Lisa,” beritahu Nurul Ain.
            “Kejutan? Kejutan apa?” Lisa kebingungan.
            Nurul Ain pamer senyum. Dia tidak berkata apa-apa lagi kerana kalau Lisa tahu apa yang dia sedang cuba lakukan, tidak jadi kejutan lagilah nanti. Terus ditarik tangan Lisa. Mereka seiring menaiki lif.
            “Kita nak ke mana ni, Ain? Beritahulah saya.” Lisa tidak sedap hati. Nurul Ain bertindak mengunci mulut. Hanya nampak senyuman kecil tertempel di bibir itu.
            “Saya nak bawa awak jumpa Irfan.”
            “Irfan?”
            Nurul Ain mengangguk.
            “Nanti!” Lisa merentap pergelangan tangan Nurul Ain. Terundur tubuh itu ke belakang.
            “Irfan Khairel?”
            “Iyalah, Irfan Khairel tu.”
            “Model?”
            “Iya Lisa Akhbar. Irfan Khairel si model yang kacak lagi tampan tu. Yang awak minat tu. Saya nak bawa awak jumpa dialah ni,” tutur Nurul Ain. Kali ini Nurul Ain pula merentap pergelangan tangan Lisa. Diheret gadis itu sampai ke depan pintu bilik Irfan. Tertera plat nama Irfan di pintu cukup mencuakkan hati Lisa. Berpeluh-peluh jadinya. Nurul Ain tertawa gelihati. Comel pula dia nampak Lisa berkelakuan seperti itu.
            “Lina, Encik Irfan ada tak?” tanya Nurul Ain kepada Lina Zuhairea, setiausaha Irfan.
            “Ada.” Lina menjawab lembut.
            “Nak masuk jumpa Irfan tak?” Nurul Ain menyoal Lisa yang kaku di sebelahnya.
            Lisa diam. Berdebar-debar. Kalaulah dia tahu Nurul Ain akan bawa dia jumpa Irfan Khairel, awal-awal lagi dia tidak gatal mulut bercerita tentang lelaki yang diminatinya itu. Siap tunjuk keratan gambar yang diambil dari majalah.
            Lisa telan air liur. Memandang Nurul Ain yang sedang menanti reaksinya. Peluang hanya datang sekali. Perlahan-lahan Lisa mengangguk. Lebar senyuman Nurul Ain.
            Baru hendak mengetuk pintu bilik Irfan, daun pintu dibuka dari dalam terlebih dahulu. Tersembul muka Irfan di muka pintu. Lisa semakin pegun. Matanya sahaja yang bergerak-gerak menatap Irfan secara langsung.
            “Eh, Ain!” Irfan berkata penuh kejutan. Kemudian menyoroti teman yang dibawa Nurul Ain.
            “Kawan?” soalnya.
            Nurul Ain mengangguk.
            “Peminat awak.” Ujarnya.
            Lisa masih kaku. Sekejap-sekejap tunduk, sekejap-sekejap toleh sana sini. Nurul Ain ketawa lagi. Gemuruhlah tu!
            “Peminat? Ohh...” Irfan menghulur tangan berserta senyuman kecil.
            “Siapa namanya?”
            Nurul Ain menyiku pinggang Lisa. Barulah mulut itu terbuka sedikit. Nurul Ain dan Irfan saling berpandangan sebelum keduanya tersenyum lebar. Lisa telan air liur lagi. Suara seakan segan hendak keluar pula saat ini. Tersekat.
            “Saya... saya Lisa.” Bergetar suara Lisa. Dia nampak Nurul Ain tersengih memandangnya.
            "Cantik namanya,” puji Irfan.
            “Ain dah habis kelas ke? Datang sini dengan apa? Pak Abdul?” Berderet soalan Irfan.
            “Haah. Dah habis dah. Kami datang naik teksi,” balas Nurul Ain.
            “Teksi? Kenapa tak telefon Pak Abdul? Atau saya? Saya boleh datang ambil.”
            “Bukan susah pun naik teksi tu, kan Lisa?”
            Terjungkit bahu Lisa tiba-tiba Nurul Ain aju soalan padanya. Lisa mengangguk laju, menyokong Nurul Ain pada kata-kata yang tidak didengarinya.
            Menyedari mereka berbual di muka pintu sejak tadi, Irfan mempelawa Nurul Ain dan Lisa turun makan bersamanya. Lagipun, jam sudah jejak angka satu tengahari.
            Nurul Ain bersetuju tetapi dia menyuruh Lisa ikut Irfan dahulu. Dia hendak berjumpa Lufiya, kemudian jumpa Datuk Awang Kader. Sesekali jejak kaki di sini, haruslah bersua muka dengan ayah.
            Kelihatan Lufiya begitu asyik membuat kerja. Rajin betul Lufiya. Dah tengahari pun masih terpacak depan komputer. Nurul Ain berniat hendak mengejutkan Lufiya. Berhati-hati dia atur langkah. Tiba di belakang Lufiya, Nurul Ain menepuk bahu gadis itu.
            “Ain!” Lufiya terjerit kecil. Membulat mata itu memerhatikan Nurul Ain yang ketawa terdekah-dekah.
            “Sorry,” ucap Nurul Ain. Mereka berdua saling berbalas pelukan.
            “Ain datang dengan siapa?”
            “Dengan kawan. Eh, Lufi tak keluar makan ke?”
            “Hari ni saya puasalah, Ain. Puasa ganti. Kalau tangguh lama-lama, tak terbayar pulak.”
            “Makin slimlah Lufi macam ni,” canda Nurul Ain. Dicuit-cuit pinggang ramping Lufiya.
            Mengekek Lufiya ketawa.
            “Tengku ada kat dalam. Nak jumpa dia?”
            Nurul Ain pantas menggeleng. Hari-hari jumpa di rumah.
            “Ain?” Suara garau yang cukup dikenali menegur.
            Baru cakap, orangnya sudah muncul. Nurul Ain berpaling. Dia nampak Tengku Hanif bersama Kathy. Eh, Kathy lagi? Apalah sepupu cantiknya itu buat dengan Tengku Hanif? Macam bayang-bayang. Sana sini ada sahaja gadis itu melekat.
            “Bila sampai?” Tengku Hanif bertanya. Mengorak langkah setapak demi setapak menghamprii Nurul Ain.
            “Tadi,” jawabnya. Konon hulur senyuman kecil untuk kedua orang manusia itu.
            Kathy memaut lengan Nurul Ain. “Hah, dah alang-alang ada sini, kita keluar makan sekalilah. You, kalau berdua you tak mahu kan? Sekarang dah bertiga. I, you dan Ain.” Bersemangat betul Kathy berkata-kata beri cadangan. Puas dia pujuk Tengku Hanif makan tengahari dengannya, namun Tengku Hanif tetap enggan. Katanya telah  berjanji dengan Suhaimi.
            “Eh, tak apa. Saya nak keluar makan dengan kawan saya, Lisa. Sekali dengan Irfan,” tolak Nurul Ain.
            Muncung bibir Kathy. Hancur harapan! Dia pandang Tengku Hanif. Lelaki itu sedang merenungi Nurul Ain.
            “Kirim salam saya pada Irfan.” Ujar Tengku Hanif. Dia meninggalkan tempat itu dan menonong jalan ke depan. Mencicit Kathy berlari mengejar langkah Tengku Hanif.
            “I dah kata, I keluar dengan Suhaimi. You makanlah sendiri.”
            Telinga Nurul Ain menangkap dengusan Tengku Hanif. Dia pandang Tengku Hanif dan Kathy sehingga keduanya hilang dari pandangan mata.
            Beberapa minit selepas pemergian Tengku Hanif dan Kathy, Nurul Ain meminta diri. Misi seterusnya, jumpa ayah. Agak-agak ayah masih ada di pejabat atau sudah keluar makan? Sengaja lambat-lambat turun bawah. Biar Lisa puas-puas tatap Irfan dan berbual dengan lelaki itu. Nurul Ain kulum senyum. Lisa, Lisa. Irfan yang biasa itu juga kau kata kacak. Tergeleng-geleng kepala Nurul Ain.
            Dari kejauhan, dia nampak susuk tubuh Suhaimi berjalan ke arahnya. Manis senyuman Suhaimi menghiasi wajah lelaki itu.
            “Hai Ain,” sapa Suhaimi.
            “Hai,” balas Nurul Ain. “Dah balik makan ke?”
            “Eh taklah. Baru aje nak turun. Tu, tunggu geng,” kata Suhaimi, seraya menuding ke arah beberapa orang pekerja yang berlenggang mendekati mereka.
            Berkerut dahi Nurul Ain. Bukan keluar makan dengan Tengku Hanif ke?
            “Okeylah, dah lapar sangat dah ni. Turun dulu ya.”
            Nurul Ain mengangguk. Dia perhati Suhaimi sambil berfikir dengusan Tengku Hanif yang didengarinya tadi. Dan terbayang di ruang mata kemanjaan Kathy saat memaut lengan Tengku Hanif.Dia diasak rasa pelik yang tidak bisa diungkap dengan kata-kata.

“TAK boleh, Na. Itu kehidupan Hanif. Biarlah dia yang tentukan.” Datuk Awang Kader bersuara, menyatakan bangkangannya di atas rancangan isterinya mahu menjodohkan Tengku Hanif dengan Kathy, anak kakaknya.
            “Alah, biarlah Hanif dengan Kathy bang. Merapatkan lagi hubungan kekeluargaan kita,” balas Datin Sabrina.
            “Kalau awak tanya pendapat saya, saya tak setuju. Na, awak nampak tak yang Hanif tu tak suka pada Kathy? Ada aje alasan dia bila awak ajak dia keluar makan sekali dengan Kathy.”
            Datin Sabrina mengerling suaminya. “Saya tahulah apa yang terbaik buat anak saya tu.”
            Datuk Awang Kader angkat muka. Mukanya beriak serius.
            “Anak awak, anak saya juga Na. Hanif tu, saya dah anggap macam anak kandung saya sendiri.”
            Begitu tekun Nurul Ain memasang telinga, mendengar perbualan Datuk Awang Kader bersama Datin Sabrina. Dari mula, isu Tengku Hanif dibangkitkan Datin Sabrina. Bersungguh-sungguh Datin Sabrina hendak menjodohkan Tengku Hanif dengan Kathy.
            Mula-mula dia dengar nama Tengku Hanif dan Kathy disebut-sebut dalam isu penjodohan ikut kemahuan keluarga, dia ketawa kecil. Gelihati. Mengikut perspektifnya, Tengku Hanif macam tidak punya perasaan pun pada Kathy. Bila Kathy ada depan mata, Tengku Hanif buat tidak tahu sahaja. Ke lelaki itu jual mahal? Nurul Ain mencebik.
            Namun, sampai satu tahap dia memasang telinga, perasaannya dijentik sesuatu. Sesuatu yang sangat asing. Semakin kerap nama Tengku Hanif dan Kathy menyentuh gegendang telinga, dia rasa hendak ambil bantal dan tekup kedua belah telinganya.
            Perasaan apakah ini? Nurul Ain sentuh dada. Ia pernah berdegup nada pelik saat ternampak Tengku Hanif. Nada yang sama ketika dia berdepan Faisal. Nurul Ain pejam mata. Ingat Ain, Tengku Hanif itu Faisal dan Faisal itu ialah Tengku Hanif. Orang yang sama!
            Nurul Ain berpaling ketika terasa bahunya dicuit. Terbuntang mata itu. Tengku Hanif sedang duduk di belakangnya sambil tongkat dagu. Nurul Ain mengengsot ke bawah.
            “Curi dengar perbualan papa dan mama?”
            Tergeleng-geleng kepala Nurul Ain.
            “Habis tu, buat apa duduk sini?” soal Tengku Hanif lagi.
            Nurul Ain garu kepala. Ekor matanya tersorot pada Tengku Hanif yang menanti jawapan darinya.
            “Saja duduk sini. Sesekali melepak kat tangga,” dalihnya.
            Tengku Hanif pamer senyum.
            Untuk seketika, Nurul Ain tertegun melihat senyuman itu. Melekat di mata. Bila menyedari kelakuannya itu sungguh pelik, Nurul Ain pandang tempat lain. Lain macam betul aura Tengku Hanif. Dia angkat punggung dan bersedia untuk berlari mengira tangga naik ke bilik.
            Langkah terhenti apabila Tengku Hanif sempat mengelar pergelangan tangan Nurul Ain.
            “Nanti.” Tengku Hanif ikut berdiri.
            Nurul Ain meronta minta dilepaskan. Namun sia-sia. Tengku Hanif makin mengeratkan cengkaman.
            “Kenapa tak pernah beri peluang pada saya untuk berterus-terang?” Tengku Hanif bertanya dengan nada suaranya yang mendatar.
            Nurul Ain memaling muka. Kini dua pasang mata itu saling berlaga.
            “Sebab saya dah tahu niat awak tu. So buat apa buka telinga luas-luas dengar cerita yang sama?” Nurul Ain membalas.
            Tengku Hanif ketap bibir. Cengkaman itu semkain longgar.
            “Tak boleh anggap saya Faisal, kawan yang pernah baik dengan awak?”
            “Tak!”
            “Kenapa?”
            “Sebab awak bukan Faisal.”
            “Saya Faisal. Faisal si buta tu. Masih orang yang sama, Ain.”
            “No!”
            Keluhan berat kedengaran. Tengku Hanif meraup muka. Dia berusaha menjernihkan hubungan antara mereka. Tambahan pula mereka terikat dengan status adik-beradik tiri.
            “Saya lakukan semua itu demi papa.”
            “Saya tahu.”
            “Then?” Tengku Hanif  berpeluk tubuh.
            Nurul Ain jungkit bahu. Apabila punya peluang, dia memboloskan diri, berlari masuk ke dalam biliknya.
            Kenapa dengan kau ni Ain? Apa dah jadi? Nurul Ain tersandar di pintu. Dia pelik dengan reaksi diri sendiri. Seringkali mengingatkan diri bahawa Tengku Hanif itu ialah Faisal, tetapi entah mengapa, sejak akhir-akhir ini hatinya bagai diusap-usap debaran menggila saat terpandangkan Tengku Hanif.
            Dia geleng kepala. Jangan-jangan...
            Nurul Ain tekup mulut. Tidak percaya pada apa yang baru sahaja terbit di fikiran. Gila! Lantas dia memanjat katil dan pejam mata. Tiba masa untuk tidur.

********************************

Bab 34
“ITU bukan Ain ke?” Bibir Suhaimi terjuih ke hadapan. Jari telunjuknya juga menuding ke arah yang sama.
Tengku Hanif angkat muka. Dia melempar pandang ke arah yang ditunjuk Suhaimi. Mengecil matanya. Dari jauh, dia nampak susuk tubuh seorang gadis. Betul ke? Dia perhati lama-lama. Memang Nurul Ain. Apa gadis itu buat di sini? Bukankah kelas Nurul Ain hari ini dari pagi sampai ke petang?
Berjalan seiring Nurul Ain itu seorang gadis yang mungkin teman sekuliahnya. Dia ada dengar Nurul Ain bercerita tentang gadis bernama Lisa sewaktu Datuk Awang Kader bertanya perihal kehidupan di kampus. Menurut kata Nurul Ain, Lisa seorang yang baik dan memahami. Mereka berkenalan semasa menuju ke kelas yang sama.
“Nif, jomlah,” ajak Suhaimi.
“Kejap,” balas Tengku Hanif. Renungannya terus terhunus ke arah Nurul Ain dan kawannya. Keduanya duduk di perhentian bas. Hendak kata tunggu bas, ada sahaja bas lalu-lalang, tetapi tidak pula mereka naik.
“Panas ni, bro. Jadi ikan kering nanti,” rungut Suhaimi. Sebelah kakinya sudah masuk ke dalam kereta. Nampak bersungguh benar dia mahu cepat-cepat merasa kesejukan air-cond kereta Tengku Hanif.
“Kau nak tunggu Ain ke apa?” soal Suhaimi. Tidak tahan duduk di bawah terik mentari, dia memboloskan diri ke dalam kereta. Leher terjulur keluar.
“Hmmm...” Tengku Hanif menjawab acuh tidak acuh.
“Hah?” Suhaimi seolah terkejut. Dipandangnya Tengku Hanif dengan tajam.
“Kau tunggu Ain, adik kau tu?” Suhaimi mengulangi pertanyaan.
Tengku Hanif menoleh. Berkerut dahinya. “Buat apa aku nak tunggu Ain?”
“Eh, tadi kau cakap kau nak tunggu dia.”
“Bila masa?”
“Tadi tu, yang mula-mula aku tanya tu. Kau jawab hmmmm...”
“Kau salah dengar tu,” tuntas Tengku Hanif.
Suhaimi pula jadi keliru.
“Dah, dah, dah. Kau tak panas ke duduk bawah matahari terik ni? Cepatlah,” gesa Suhaimi.
Tengku Hanif memandang sekilas. “Ni baru panas dunia.”
Suhaimi menggaru kepala. Apa kena Tengku Hanif ni? Jadi pak ustaz pula. Namun dia pasang telinga juga. Iyalah, peringatan sebegitu memang bagus untuk dirinya yang terkadang terpesong sedikit kalau tidak ditegur.
Pintu kereta dibuka perlahan. Lirikan mata masih tersorot pada Nurul Ain di sana.
Sebuah kereta Toyota Vios putih menyusuri jalan raya dan berhenti betul-betul di depan Nurul Ain dan temannya. Melihat kereta Nurul Ain dan temannya itu berjalan mendekati Toyota Vios tersebut membuatkan Tengku Hanif pacak kaki di lantai bumi lagi.
“Irfan?” Terpacul nama itu keluar dari mulut Tengku Hanif.
            Tengku Hanif memerhati tanpa berkali sedikit pun. Kelihatan Irfan mendekati Nurul Ain dan temannya, kemudian mereka berdua dipelawa naik kereta lelaki itu. Nurul Ain ambil tempat di depan manakala temannya tadi duduk di belakang.
            Hanya apabila Toyota Vios itu menderu laju meninggalkan tempat itu, barulah Tengku Hanif memboloskan diri masuk ke dalam kereta. Tidak dipeduli pandangan Suhaimi padanya. Tengku Hanif menghidupkan enjin kereta. Beberapa minit selepas itu, dia menekan pedal minyak. Kereta mewah dipandu menyusuri jalan raya, kembali ke Menara Global bersama otak yang ligat memikirkan ke mana Irfan bawa Nurul Ain tadi.

PINGGAN yang sudah licin itu dipandang dengan senyuman puas. Puas sebab perut kenyang, tambah-tambah orang belanja. Nurul Ain meengalih pandangannya pada Irfan. Lelaki itu masih menyudu makanan ke dalam mulut. Sopan betul Irfan makan. Penuh tatasusila. Persanan dia yang datang lambat, dia yang habis dahulu.
            “Terima kasih sebab Irfan belanja saya makan hari ni,” tutur Lisa. Tertunduk-tunduk menekur lantas. Di pinggir bibir bertaut senyuman halus.
            “Sekali-sekala,” balas Irfan. Dia turut pamer senyum. Sesaat kemudian, tumpuannya beralih pada Nurul Ain.
            “Kenyang?” soalnya kepada Nurul Ain.
            Nurul Ain angguk kepala.
            “Kenyang sangat!” sahut Nurul Ain. “Lisa, best betul kalau ada orang belanja, kan?” Nurul Ain tersengih-sengih.
            “Tak apa. Esok, lusa, hari-hari nak saya belanja pun boleh,” kata Irfan.
            “Eh, main-main ajelah.” Pantas Nurul Ain membalas. Dia bukan kemaruk sangat hendak dibelanja orang makan-makan. Duit sendiri ada. Emak pun ada beri wang saku walhal Datuk Awang Kader sudah pun menyediakan elaun buatnya. Tetapi emak kata, itu duit dari emak. Duit dari Datuk Awang Kader, lain kira. Dia mabil juga. Tersentuh hati melihat kesungguhan emak menampung perbelanjaan hariannya meski dia bukan di bawah tanggungjawab emak lagi.
            “Lepas ni, nak pergi mana?” Irfan bertanya sambil melihat jam dipergelangan tangan. Awal lagi, bisiknya.
            “Kalau nak saya hantarkan, boleh aje,” sambungnya.
            “Tak payahlah. Kami boleh balik sendiri. Awak kena masuk office kan? Kerja.” Nurul Ain mengingatkan.
            “Lisa, tadi awak kata nak pergi kedai buku, kan?”
            Lisa mengangguk.
            “Saya boleh hantar sekejap.” Irfan mencelah.
            “Tak apa. Dekat aje kedai buku tu. Sana tu.” Nurul Ain menuding jauh ke kanan sana. Panjang leher Irfan mengenalpasti lokasi kedai buku itu. Tidak nampak pun. Dia nampak sebuah klinik, bank dan beberapa buah kedai makan dan minum.
            “Seberang jalan sana,” sambung Nurul Ain. Dia tahu apa yang dilihat Irfan. Bukannya nampak kalau pandang dari sini.
            Nurul Ain bersiap-siap hendak pergi. Cepat siap urusan membeli buku Lisa, cepat balik. Untung kuliah petang ini dibatalkan. Dr. Nur Suhaili tidak sihat katanya. Kuliah ditunda minggu depan.
            Tadi sempat menelefon emak, menyatakan rancangan untuk singgah ke rumah emak. Tapi emak tiada di rumah. Emak pergi sekolah Asyikin kerana ada sesi bertemu penjaga. Bak kata orang, sain kad penyata sekolah. Pasti Asyikin tersenarai antara pelajar cemerlang. Iyalah, sejak kecil, Asyikin menunjukkan potensi yang sangat baik di dalam pelajaran. Senang serap ilmu dalam kepala. Lainlah dia, suka sangat main-main.
            “Betul ni?” Irfan meminta kepastian.
            Nurul Ain mengangguk lagi. “Dekat aje. Nanti saya balik naik teksi.”
            “Pak Abdul kan ada, call ajelah dia.”
            “Tak suka menyusahkan orang.”
            “Kerja dia.” Ujar Irfan.
            Nurul Ain tarik nafas. Macamlah dia tidak pernah bersusah-susah kejar bas atau teksi. Setakat balik rumah, tidak akan sesat punyalah. Tambah-tambah naik teksi. Beritahu alamat, terus dibawa sampai depan pintu pagar.
            Agaknya orang kaya semua macam ini. Tidak boleh berdikari. Hendak jalan sedikit pun minta pemandu hantarkan. Sesekali, berdikarilah sendiri. Nurul Ain menggumam dalam hati.
            “Jomlah, Lisa.” Nurul Ain menarik Lisa supaya berdiri.
            “Saya pergi dulu, ya. Thanks tau belanja makan,” ucapnya. Kenyitan nakal dipersembahkan buat tatapan Irfan.
            “Hati-hati!” Irfan melaung saat Nurul Ain semakin hilang dari pandangan mata. Meleret senyuman Irfan. Terserlah sikap degil gadis itu. Juga sikap berdikari Nurul Ain jelas di matanya. Barangkali persekitaran Nurul Ain membesar membentuk sikap begitu. Tidak seperti sepupunya Kathy. Manja berkilo-kilo. Kalah adiknya, Maisara itu.
            Irfan mengatur langkah menuju ke tempat parkir kereta. Ekor matanya masih awas menyoroti Nurul Ain dan Lisa. Sehinggalah kedua-duanya sudah menyeberangi jalan sebelah sana, barulah dia membuka pintu kereta. Itu pun lirikan mata terpesong pada Nurul Ain lagi.
            Teringat kali pertama dia terserempak Nurul Ain di tempat parkir kereta berdepan dengan Menara Global. Ketika itu, kebetulan dia mahu keluar makan tengahari. Terpandangkan Nurul Ain yang terbongkok-bongkok sambil mengeluh kasar, terus dia menghampiri. Bila dia tawar bantuan, Nurul Ain menolak. Selang beberapa minit, Nurul Ain memanggil dia dan dalam keadaan serba-salah, gadis itu meminta tolong darinya.
Dari situlah titik perkenalan mereka bermula meski pun secara tidak rasmi. Siapa sangka, Nurul Ain itu adalah sepupunya, anak kepada ayah saudaranya yang telah hilang selama lebih dua puluh tahun. Tersenyum sendiri saat teringat semuanya.

SELEPAS membeli buku yang dikehendaki, Lisa mengheret dia masuk ke dalam sebuah kedai menjual segala bentuk hiburan DVD. Ada DVD filem, DVD lagu, DVD permainan video. Senang cerita, macam-macam ada.
            Ketika Lisa sibuk memilih DVD terbaru sebuah band dari Korea, dia angkat kaki keluar dari situ. Orang veteran macam dia, lagu-lagu Korea tidak layan mana. Setakat tahu kumpulan Big Bang. Itupun secara kebetulan Anisa perkenalkan lagu-lagu kumpulan itu padanya. Rasa sungguh takjub apabila melihat Anisa mampu menyebut satu per satu lirik lagu dalam bahasa Korea. Tentu gigih kawan baiknya itu menghafal. Tapi bila tanya apa maksudnya, terus hancur.
            Lisa keluar dengan senyuman mekar. Dia menunjukkan sebekas plastik kecil. Isi dalamnya sekeping DVD kumpulan Beast. Nurul Ain membelek DVD tersebut. Beast? Nama kumpulan Beast, tapi percayalah, ahli kumpulannya, satiap orang muka manis, jambu-jambu dan bersih mengalahkan muka perempuan.
            “Sekejap...” Nurul Ain mengembalikan DVD itu kembali pada Lisa. Ada panggilan yang sedang menanti diangkat olehnya.
            “Hello.”
            Senyap di hujung sana. Nurul Ain lihat paparan di skrin. Nombor pelik itu lagi. Nombornya tidak sama setiap kali panggilan itu dibuat. Nurul Ain melekapkan telefon di telinga semula.
            “Hello.” Kali ini, suara Nurul Ain kedengaran tegas sedikit.
            Masih tiada sahutan. Sunyi. Geram dengan orang gila yang menelefon, Nurul Ain terus putuskan talian.
            “Siapa?” tanya Lisa.
            Nurul Ain jungkit bahu. Masuk kali ini, tiga empat kali panggilan yang sama diterimanya.
            Beberapa minit selepas itu, dia menerima mesej pula. Membulat mata saat membaca mesej tersebut.

            Jangan pernah leka.

            Nurul Ain telan air liur. Sebelum ini, dia disuruh melepaskan apa yang dimiliki. Hairan, apa yang dia ada sebenarnya? Dan kenapa dia dapat semua mesej-mesej seperti ini? Nurul Ain toleh kiri, toleh kanan.
            “Jom kita balik. Dah tak ada apa-apa nak beli kan?” Nurul Ain menarik tangan Lisa. Nampak seperti tergesa-gesa.
            “Kenapa ni Ain?” Lisa menyoal. Kaki laju melangkah menyaingi Nurul Ain.
            “Saya hantar awak balik. Kita naik teksi,” kata Nurul Ain. Tidak dijawab pertanyaan Lisa tadi.
            Dalam keadaan tergesa-gesa, Nurul Ain tidak awas dengan persekitarannya. Tanpa sengaja, dia telah melanggar seseorang.
            “Maaf!” ucapnya. Dia mendongak. Orang itu telah berlalu pergi. Nurul Ain terus memerhati orang berjaket hitam itu. Untuk kesekian kalinya, hatinya dipagut rasa gerun. Ya Allah, perasaan apakah ini? Lama dia memerhati.
            “Ain, jom! Tu, teksi...”
            Teguran Lisa mengejutkan Nurul Ain. Orang berjaket hitam itu sudah hilang dari pandangan mata. Dia menoleh ke arah Lisa. Lisa melambai-lambai ke arahnya. Perlahan-lahan, dia menghampiri Lisa. Fikirannya berkecamuk. Siapa lelaki berjaket hitam itu?

“APA yang Ain menungkan?” Datuk Awang Kader menyapa lembut, lantas mengusap kepala Nurul Ain.
            Nurul Ain angkat muka. Segaris senyuman kecil dioles penuh ikhlas. Dia mengengsot, memberi ruang kepada ayahnya duduk bersamanya di atas kerusi kayu jati di ruang beranda rumah besar mereka.
            “Patut ayah cari Ain dalam bilik tak ada, rupanya Ain berangan kat sini.” Datuk Awang Kader meraih jemari Nurul Ain dan digenggam erat. Ditatap raut wajah mulus Nurul Ain. Terpancar bayangan Nur Aminah di wajah itu. Datuk Awang Kader senyum tiba-tiba. Nurul Ain yang melihat berasa hairan.
            “Kenapa, ayah?” soalnya.
            Datuk Awang Kader menggeleng kepala perlahan.
            “Rupa Ain iras arwah ibu,” tutur Datuk Awang Kader.
            Nurul Ain terdiam. Banyak sangatkan peratus kemiripan dia dan arwah ibu? Beberapa kali juga dia terdengar Mak Long dan Mak Usu cakap benda yang sama. Ain macam ibu. Cantik.
            Cantik? Rasanya, arwah ibu beribu-ribu kali lebih cantik. Dia pernah lihat gambar ibu. Gambar lama. Memang ibu cantik. Lihat sahaja Datin Sabrina, adik arwah ibu. Rupa paras indah Datin Sabrina diwarisi pula oleh Tengku Hanif. Eh, nanti sekejap! Kenapa Tengku Hanif termasuk dalam monolog ini? Adakah ini bermaksud dia mengakui ketampanan Tengku Hanif yang sering menjadi buah mulut Anisa? Tidak sama sekali! Tengku Hanif biasa-biasa sahaja. Faisal yang punya rupa indah melebihi segalanya. Ding! Faisal? Terkeliru dengan fikiran sendiri, akhirnya Nurul Ain membiarkan sahaja perihal Tengku Hanif dan Faisal ‘mendak’ di dalam otak.
            “Bila ibu Ain meninggal dunia, hidup ayah langsung lumpuh. Keluarga risaukan ayah dan mereka memilih jalan menjodohkan ayah dengan Sabrina, adik arwah ibu Ain. Kesabaran mama menyentuh hati ayah. Dia wanita baik. Ayah beruntung kerana telah memiliki dua orang wanita yang datangnya dari keluarga yang sama. Ibu Ain dan mama.”
            Nurul Ain tekun mendengar cerita Datuk Awang Kader. Kasihan ayahnya. Penderitaan itu telah berlalu tetapi dia yakin, kesan parut luka derita dan sengsara itu masih terpahat di lubuk hati.
            “Dulu, sebelum berkahwin dengan ayah, mama menikah dengan seorang lelaki bernama Tengku Ali. Lelaki itu menyeksa mama, dia bukan lelaki baik untuk mama. Ayah sendiri nampak penderitaan mama. Arwah ibu Ain orang yang paling sedih melihat keadaan mama. Sewaktu mama dan bekas suaminya bercerai, Hanif kecil lagi. Dalam setahun dua usianya.”
            Bercerita kisah itu bagai membuka buku lama. Pernah bergelar abang ipar kepada Datin Sabrina, tentunya dia tahu kisah hidup berumahtangga Datin Sabrina dan Tengku Ali suatu ketika dahulu. Isterinya sering berkongsi perihal Datin Sabrina berserta linangan airmata. Jelas terlihat kasih-sayang Aminah kepada Sabrina.
            Menyedari ketelanjuran bicaranya yang menyebut soal perkahwinan Datin Sabrina dahulu, Datuk Awang Kader terus tutup mulut. Rasanya, dia tidak layak menceritakan keadaan kehidupan isterinya itu. Biarlah ia menjadi lipatan sejarah buat Datin Sabrina dan dirinya yang memang tahu hakikat sebenar. Tengku Hanif juga tidak pernah tahu realiti kehidupan Datin Sabrina sebelum ini.
            “Ain suka tinggal dengan ayah?”
            Nurul Ain mengangguk perlahan. Jujurnya, dia semakin dekat dengan Datuk Awang Kader. Cuma cara dia bahasakan diri masih sama. Bersaya sahaja.
            Datuk Awang Kader menarik Nurul Ain ke dalam pelukan erat.
            “Jangan tinggalkan ayah lagi.”
            Nurul Ain membalas erat pelukan itu. Andai panjang usianya, dia akan jaga ayah sebagaimana dia pernah tanamkan niat dalam hati mahu menjaga emak sampai hujung nyawa.

TERJAGA lenanya apabila deringan telefon bimbit membingit di telinga. Malas-malas dia bangun lalu mencapai telefon itu.
            “Hello...” Lemah suaranya menjawab panggilan tersebut.
            Tiada sahutan, hanya bunyi desiran nafas yang kedengaran. Cukup kasar. Nurul Ain memisat mata. Baru pukul dua pagi!
            “Jangan fikir kau akan hidup dengan aman!” Seorang lelaki berkata keras dan bernada tegas.
            Langsung terbuka luas mata itu. Nurul Ain terpinga-pinga.
            “Si... siapa... siapa ni?” Terketar-ketar Nurul Ain bertanya.
            “Kau tak akan selamat!” Lelaki itu berkata lagi.
            Tanpa bertangguh atau menunggu lelaki itu mengungkap bicara keras lagi, Nurul Ain pantas memutuskan panggilan. Tangan menggigil. Jantung mengepam darah dengan derasnya. Seakan tidak percaya dengan apa yang baru dilalui sebentar tadi, Nurul Ain menampar pipi berkali-kali.
            Sakit!
            Nyata, ini bukan mimpi. Ugutan tadi memang satu realiti. Tetapi kenapa dia? Nurul Ain tidak dapat tidur sampai ke Subuh. Solatnya bertemankan rasa gusar yang tidak surut-surut.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Dua entri terakhir CJKP dalam blog. Insya-Allah, jika ada rezeki, CJKP boleh dipeluk secara realiti. #Eh! Very the verangan tau -..-' Baru hantar untuk process penilaian terbit. Hihi. Buat Baby Mio yang selalu up comment minta CJKP lagi, mekasih awak :) Sangat menghargai :) Silent reader-thanks sudi luangkan masa baca ayat merapu aku ni hah :) Juga istimewa utk Ayra Zahra- yg selalu laa sgt bagi motivasi free kat aku hahaha *Apehal statement macam menang award. Heh!* Lepas ni jumpa Humairah dan Amiera Syazreen pulak. Then Adra Hannani. Hihi *zaman bila laa eh?* 

16 comments:

AYRA ZAHRA said...

ohoiii nama i pon ada..
i will miss my tengku Hanif very much..

Sob Sob... :D

Unknown said...

siapa yang selalu telefon ain tu ya x sabar nak tunggu novel keluar dipasaran.

~::HANAH RISHAS::~ said...

@siti comelss/ayra zahra

yeayyy.. nm u harus ada :)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@baby mio

hihi. doakan ye mudah mudahan ada rezeki CJKP diterbitkan :)

Nisa said...

best, first time baca dah fanatik dengan cerita ni.
Btw blog awak comel, background apa eh ?

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Nisa

Hi Nisa :) Thanks drop sini :) Pasal blog, semuanya diambil dr blog http://aqupunyekesahbukankau.blogspot.com/ :) freebies :)

semunya di sini said...

Dah ada kat pasaran ke novel ni?. Sblm ni ada novel ke? Guna nama pena apa ye?

semunya di sini said...

Dah ada kat pasaran ke novel ni?. Sblm ni ada novel ke? Guna nama pena apa ye?

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ semuanya di sini

E-novel ni belum terbit lagi. masih dlm proses penilaian :)

Ye, kite ada keluar novel sblm ni bawah Kaki Novel tajuk Cinta Dalam Hati menggunakan full name- Salwati Haris :)

cenad said...

salam.. tak sabar nk baca the nex chapter.. keep it up! (^^,)


cenad said...

salam... ade tarikan tersendiri... x sabar nk bce the nex chapter.. keep it up!

(^^,)

cenad said...

salam... ade tarikan tersendiri... x sabar nk bce the nex chapter.. keep it up!

(^^,)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@cenad

Salam :) thanks krn sudi baca CJKP :)

ynadinzly said...

dah kuar belum novelnya???...best lorr...

Unknown said...

Akak .. bila nk sambung lagi...

Unknown said...

alah,berhenti sampai sini je ke ? tak bestnya :( nk lagi sambungan :(