Saturday, April 6, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab5.

Assalamualaikum.








"...You may lose all you have, you may lose the people you love, but as long as you still have Allah you have all you need..." - Abdulbary Yahya









Bab 5
“KAU masih tak berjaya dapatkan Humairah?” Jali bertanya sambil tangannya ligat mengutip daun terup yang berterabur di atas tikar mengkuang. Setelah disusun, dia hulur daun terup itu kepada Hasnol.
            Haikal tidak menjawab sebaliknya dia lekas mengeluarkan beberapa keping wang kertas bernot sepuluh ringgit lalu dilempar ke tengah-tengah ruang tempat mereka berkumpul. Malam ini sudah lesap lima puluh ringgit hasil perjudian yang tidak berpihak kepadanya. Tiga puluh ringgit baki yang tinggal dan dia pertaruhkan kesemuanya.
            “Hai, tiga puluh ringgit aje?” Hasnol menegur. Hujung bibir ukir senyum mengejek.
            “Dah itu aje yang aku ada.” Haikal membalas. Dia mengerling gumpalan wang kertas di depan Hasnol. Untung banyak Hasnol malam ini. Tiga kali pusingan, tiga kali itu juga kemenangan berpihak kepada lelaki berusia awal tiga puluhan itu. Dia pula gigit jari sambil garu kepala. Mana mahu cekau duit kalau hendak sambung main selepas ini. Aduh! Minta emak, memang tidak lepaslah. Tambah-tambah emak tahu aktiviti haram yang dilakukannya.
            “Tak cukup ni, bro. Setakat tiga puluh ringgit, apa kes,” provok Azli pula. Tersengih-sengih perhati Haikal.
            “Aku tak ada duitlah!” bentak Haikal marah.
            Mengekek Jali dan Azli. Bersahut-sahutan dengan gelak-tawa Hasnol. Haikal mendengus geram.
            “Banyak duit tapi kau meminjam, baik tak payah!” Sengaja Haikal memulang paku keras tepat ke muka Azli. Azli paling banyak berhutang dengan Hasnol. Dengarnya cecah tiga ribu ringgit. Pinjaman yang tidak menguntungkan di mana duit pinjaman itu berakhir ke tangan Hasnol juga, yang sememangnya pakar bermain terup.
            Azli membengiskan wajah. Terpukul mendengar omongan Haikal yang bersahaja. Berdesah-desah nafasnya. Jali dan Hasnol saling bertempur pandang. Kemudian senyum lebar.
            “Kau betul-betul ke nak kahwin dengan Humairah tu?” Hasnol masih membuka perihal Humairah. Memandang sekilas ke arah Haikal yang tekun membelek kad di tangan sendiri.
            Haikal mengangguk.
            “Serius?” Hasnol minta kepastian.
            Haikal angkat muka. “Kau tahu, betapa tebalnya muka aku bila dia tampar aku depan semua orang? Jatuh ego lelaki aku tahu! Lepas tu dia kata dia tak ingin kahwin dengan aku. Heh, aku akan buktikan yang dia terpaksa menurut kehendak aku nanti. Dia terhutang budi keluarga aku. Dia harus membayarnya. Kau fikir budi itu percuma? Mana ada benda percuma dalam dunia ni. Tiada!” Panjang-lebar Haikal melempar kata-kata berbaur bunga-bunga dendam. Sakit hati dan pedih tamparan Humairah di pipi masih terasa. Setiap kali terpandangkan Humairah, terus pipinya rasa pijar. Sakit! Tercalar maruah dia di depan kawan-kawan. Waktu itu, dia nampak Hasnol paling lebar sengihannya. Seakan mengejek.
            “Kalau kau kahwin dengan Humairah, aku nak merasa Humairah, kau bagi?” Terjungkit kening Azli. Disiku pinggang Haikal.
            Haikal memandang Azli. Tercebik bibirnya.
            “Betul jugak tu. Takkan kau seorang yang sedap merasa Humairah. Berilah pada kami sekali nikmati dia tu. Boleh tahan gebu,” celah Jali. Kelakuannya nampak jahat. Menjilat bibir sendiri.
            Haikal ketawa.
            “Kau orang nak merasa Humairah jugak?” Haikal memerhati kawan-kawannya.
            “Kalau kau bagi,” balas Hasnol. Dia pula ketawa besar.
            “Aku tak kisah,” jawab Haikal.
            Azli dan Jali saling berpandangan. Hasnol merenung Haikal. Masing-masing bagai tidak percaya.
            “Serius?” tanya Jali.
            Haikal mengangguk tanpa sekelumit perasaan pun. Permintaan tidak masuk akal kawan-kawannya tidak melekat di otak. Apa salahnya berkongsi. Lagipun dia bukannya berperasaan terhadap Humairah. Mahu mengahwini Humairah sekadar hendak balas sakit hati.
            “Kau biar betul? Sekali kau cakap, aku pegang kata-kata tu!” Hasnol menegaskan nada suara yang dilontar.
            Haikal senyum menyeringai.
            “Kalau aku kata tak kisah, maknanya memang tak kisahlah. Aku dapat Humairah, kau orang pun boleh dapat Humairah juga.” Terburai tawa Haikal selepas berkata begitu.
            Jali dan Azli turut sama ketawa. Hanya Hasnol yang memerhati tajam ke arah Haikal.

HUMAIRAH memanjangkan langkah kaki. Tidak sedap hatinya bila perasan ada manusia asyik memerhatikannya sejak dia melintasi kawasan simpang tiga itu. Dia nampak Hasnol dan kawan-kawannya. Lelaki tidak sedar diri itu ralit merenunginya sehingga dia naik gerun. Haikal pula tidak terjamah dek mata. Selalunya Haikal ada bersama kumpulan kutu rayau tersebut. Satu geng, satu kepala.
            Rasa jauh sangat hendak sampai ke rumahnya. Letih bila hayun kaki jalan laju-laju. Kejap-kejap, dia toleh belakang. Awas memerhatikan keadaan sekeliling.
            “Humairah!” Hasnol menyergah. Tiba-tiba muncul di depan Humairah.
            Humairah terperanjat. Terundur ke belakang. Membulat matanya memandang Hasnol. Dari mana entah munculnya lelaki tidak sedar diri ini. Usia sudah tua pun masih bertingkah layak budak muda. Humairah mencemuh dalam hati.
            “Cucu Nek Rosnah ni nak ke mana?” Hasnol berjalan mengelilingi Humairah. Diperhati Humairah dari atas ke bawah berulang-ulang kali. Pengikut setianya-Jali dan Azli jadi penonton sambil tayang sengihan yang menampakkan susunan tidak teratur gigi mereka. Berkarat!
            “Aku nak balik!” Humairah menjawab tegas.
            Hasnol tersenyum nipis. “Garangnya! Takut abang,” usik Hasnol. Cuba mencuit bahu Humairah namun Humairah segera menepis. Takut pula melihat kelakuan Hasnol. Entah apa yang dimahukan Hasnol daripadanya. Sejak dahulu lagi, Hasnol suka menganggungnya. Sampaikan dia takut hendak berjalan kaki pulang melintasi simpang tiga depan sana, kerana Hasnol dan kawan-kawannya selalu lepak di situ.
            “Eh, Cik Humairah hendak pergi mana?” Hasnol menghalang laluan Humairah. Mendepakan tangannya.
            Humairah mendengus marah. Sedaya-upaya mencuri laluan tetapi tidak berjaya. Humairah angkat muka. Tegang.
            Hasnol ketawa mengekek. Jali dan Azli ikut ketawa.
            “Silakan lalu, tuan puteri.” Hasnol giat mengusik. Dia memberi laluan kepada Humairah.
            Humairah lekas angkat kaki pergi dari situ. Tergesa-gesa.    
            Hasnol tersenyum penuh makna.
            Jali mendekati lelaki yang layak dipanggil abang. Ditepuk bahu Hasnol. Hasnol menoleh.
            “Kau tak mahu cuba nasib?” tanya Jali.
            Azli ikut datang menghampiri. Memerhatikan Humairah yang sudah jauh di depan sana.
            “Betul tu. Kau tahu, Humairah tu boleh tahan lawanya. Muda lagi. Untung kalau kau dapat dia. Kau pun, sampai bila nak membujang? Tak laku-laku.” Terbahak-bahak Azli ketawa.
            Hasnol mengerling tajam. “Kalau pun aku tak dapat kahwini Humairah tu, aku tahu, aku akan dapat merasa dia jugak.”
            Jali menggaru kepala, manakala Azli memandang pelik. Biar betul Hasnol! Takkan isteri orang pun hendak dibahamnya.
            Jali dan Azli mengejar Hasnol yang mula mengorak langkah pergi dari situ. Ke mana tempat dituju Hasnol, ke situlah mereka ikut menyusul.

KAMSIAH menjenguk Humairah di ruang dapur. Tersenyum kecil melihat Humairah yang sibuk menyediakan makan malam buat keluarga kecilnya. Perlahan-lahan, Kamsiah mengatur langkah mendekati Humairah. Dia menarik kerusi, lantas melabuh duduk di situ. Ralit memerhatikan Humairah. Humairah masih terlalu muda tetapi tidak kekok melakukan kerja-kerja sebegini. Dalam letih pun, Humairah tetap ringan tulang.
            Humairah terkejut. Tiba-tiba sahaja Kamsiah sudah berada di belakangnya. Dia urut dada. Kemudian pamer senyum.
            “Ara terkejut ya?” aju Kamsiah. Walhal dia sedia tahu Humairah terkejut melihat dia di sini.
            Humairah tersenyum lagi. “Sakit jantung Ara, makcik,” balasnya.
            Kamsiah tertawa kecil.
            “Ara masak apa tu? Bau macam sedap aje.” Kamsiah bangun. Hayun kaki mendekati ruang memasak. Dia menjenguk isi dalam periuk. Kuah kari menggelegak dan mengeluarkan bau yang sungguh enak sehingga membangkitkan seleranya. Kamsiah menoleh ke arah Humairah.
            “Ara masak kari sardin aje, makcik. Dah lama tak masak lauk ni,” kata Humairah. Senduk dicapai lalu mengacau kari sardin itu perlahan-lahan. Kalau kuat-kuat nanti, ikan-ikan sardin itu akan hancur.
            “Sedap!” puji Kamsiah sambil angkat ibu jari sebagai tanda bagus.
            “Makcik tak rasa lagi, dah kata sedap,” ujar Humairah. Tersengih-sengih.
            “Makcik tengok pun dah tahu, Ara. Gerenti sedap!” Kamsiah membalas.
            Humairah tertawa kecil. Dia mengambil mangkuk jernih. Kari sardin itu diceduk masuk ke dalam mangkuk tadi. Beberapa biji kentang turut menghiasi sentuhan terakhir menu ringkas keluarga kecilnya malam ini. Ini pun sudah cukup mewah. Humairah meletak mangkuk tadi di atas meja.
            “Makcik makanlah sini,” pelawa Humairah.
            Tergeleng-geleng kepala Kamsiah.
            “Tak apalah, Ara. Makcik makan rumah aje.”
            “Alah, sesekali makanlah sini. Ara masak banyak ni,” kata Humairah lagi. Terus memujuk.
            “Tu, anak bujang pemalas tu ada kat rumah. Karang dia cari makcik tak ada, bising pulak. Haikal tu bukannya boleh. Semua nak hidang depan mata. Macam tuan besar!” seloroh  Kamsiah.
            Terdengar nama Haikal, terbayang-bayang muka Haikal yang tidak tahu malu. Selalu sangat datang mengejar dia. Pula acap kali sebut pasal kahwin. Ikut hati, dia sumbat mulut itu dengan anak lesung.
            “Sekejap ya, makcik.” Humairah berkejar mencapai mangkuk coklat. Mangkuk itu diisi dengan kari sardin yang masih panas. Mangkuk itu dihulur kepada Kamsiah.
            “Eh, apa ni Ara.” Kamsiah menolak.
            “Makcik ambillah. Ara tak ada apa-apa boleh bagi pada makcik. Masa Ara pergi kerja, makcik tolong tengok-tengokkan nenek. Lepas tu, makcik selalu tolong kami anak-beranak. Ara segan,” luah Humairah. Tunduk menekur lantai.
            Tersunging senyuman di hujung bibir Kamsiah. Hatinya turut tersentuh. Diambil mangkuk itu dari tangan Humairah. Andai penerimaannya ini menyenangkan hati anak yatim piatu itu, dia ambil sahajalah.
            Humairah kulum senyum.
            “Terima kasih sebab makcik banyak membantu Ara dan nenek.” Humairah berkata lagi. Tidak terbalas rasa budi baik Kamsiah.
            Kamsiah menggeleng. Dia tolong kerana simpati. Dia tolong dengan ikhlas. Rosnah dan Humairah dalam kesusahan. Oleh kerana dia berkemampuan, apa salahnya kesenangan itu dikongsi sedikit bersama orang kurang berkemampuan seperti Rosnah dan Humairah.
            “Makcik balik dululah ye,” pamit Kamsiah.
            Humairah menghantar Kamsiah sampai ke muka pintu. Kamsiah menyarung selipar. Kemudian dia memandang raut wajah penuh kelembutan yang terbias di ruang mata.
            “Jaga nenek elok-elok ya,” pesan Kamsiah.
            Humairah mengangguk.
            Kamsiah mengorak langkah meninggalkan rumah itu, menuju ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari situ.
            Humairah menutup pintu. Dikunci rapi. Dia mendapatkan Rosnah di dalam bilik. Senyuman Rosnah mekar tatkala ternampak susuk tubuh cucu kesayangannya.

HUMAIRAH terjaga dari tidur. Kedengaran batuk Rosnah melantun keras. Humairah segera melangkah keluar, mendapatkan Rosnah.
            “Nenek...” Humairah memanggil lembut. Diusap dada Rosnah. Berkerut-kerut dahi Rosnah menahan perit tekak dan sakit dada.
            “Nenek tak apa-apa.” Rosnah meyakinkan.
            Humairah berlari ke dapur. Dia ambil segelas air suam. Kemudian berkejar semula ke bilik Rosnah. Diberi gelas itu kepada Rosnah. Rosnah menghirup sedikit air suam yang disua ke mulutnya. Lega terasa apabila air suam itu melalui saluran tekaknya. Humairah membantu Rosnah duduk bersandar di kepala katil.
            “Nenek demam ni,” gumam Humairah. Panas badan Rosnah dikesannya. Rosnah kerap demam akhir-akhir. Tubuh kuat neneknya semakin kurang tenaga. Humairah menyedarinya selepas kejadian pengkhianatan Kamarul suatu masa dulu. Sanggup menggadai tanah pusaka keluarga demi kepentingan diri sendiri. Hati menyumpah perbuatan bapa saudaranya itu.
            “Esok kita pergi klinik ya nek. Ara bawa nenek. Nanti pagi-pagi, Ara minta tolong Pak Akob,” saran Humairah. Pak Akob baik hati. Selalu membantu keluarga mereka seperti mana Kamsiah.
            Rosnah pantas menggeleng tanda tidak mahu.
            Humairah mengeluh panjang. “Nek, nenek tak sihat. Nenek kena pergi hospital. Kalau tak ambil ubat, macam mana nenek nak sembuh?” Humairah berkata penuh kesayuan. Dia ingin melihat Rosnah kembali sihat seperti sedia kala.
            “Esok Ara kerja, kan?”
            “Tak apa. Ara datang kerja lewat sikit. Ara hantar nenek pergi klinik dulu.” Humairah memujuk.
            Rosnah tetap menggeleng.
            “Tak perlu risaukan nenek. Nenek batuk sikit aje.” Rosnah mengusap pipi Humairah.
            Sungul wajah Humairah. Nenek tidak pernah dengar cakap dia. Ada sahaja alasan nenek jika dia mengemukakan cadangan membawa nenek ke klinik. Kata nenek, kesihatannya semakin pulih, walhal Humairah lihat sakit demam nenek semakin kerap menjangkiti diri. Itu belum masuk lelah bagai.
            “Nenek tak sayang Ara ye?” aju Humairah.
            “Kenapa cakap macam tu?” soal Rosnah.
            Humairah menghela nafas lagi. Kali ini lebih berat.
            “Ara... setiap kesakitan yang nenek alami ni, bagai gugurnya dosa-dosa kecil. Jadi janganlah Ara risau. Allah jentik sikit aje ni.” Rosnah bercanda. Berharap kebimbangan Humairah segera beransur pergi.
            Humairah tidak tahu bagaimana dia harus memberi reaksi. Hendak senyum pun dia tidak mampu. Dia risaukan kesihatan Rosnah. Rosnah perlu kembali sihat seperti sediakala.
            “Ara...” Rosnah memanggil lembut.
            Entah kenapa, Humairah merasakan panggilan lembut itu bagai tersembunyi sesuatu yang kurang menyenangkan. Lambat-lambat Humairah mendongak. Dia lihat senyuman Rosnah menghiasi bibir tua itu.
            “Ara kenal Hasnol?”
            Hasnol? Humairah tarik nafas yang dirasakan tersekat di salur tekak. Baru petang tadi dia bertembung dengan Hasnol. Kutu rayau itu mengusik dan menganggu ketenteraman hidupnya. Humairah takut hendak mendengar Rosnah terus menyambung bicara kerana dia dapat mengagak apakah pengakhiran kata-kata Rosnah itu.
            “Kenapa dengan Hasnol, nek?” tanya Humairah.
            Rosnah terdiam seketika. Fikirannya melayang memikirkan kedatangan Hamdan dan Sutinah ke sini lewat tengahari tadi.
            “Mak ayah Hasnol datang jumpa nenek.” Rosnah berjeda.
            Keadaan itu tidak menyenangkan hati Humairah yang menanti bicara seterusnya.
            “Mereka berkenan hendak jadikan Ara menantu mereka. Hasnol ingin memperisterikan Ara.”
            Terjerut leher Humairah kala itu. Kahwin dengan Hasnol? Mengahwini Hasnol samalah seperti berkahwin penyangak. Lelaki itu belum mampu menggalas tanggungjawab sebagai suami. Hasnol tidak akan mampu menunaikan tanggungjawab itu. Lihat sahajalah diri lelaki itu. Sudah menginjak usia awal tiga puluhan pun, masih berpeleseran sana sini. Tidak bekerja. Tahu merayau tanpa hala tuju.
 Dia menginginkan seorang lelaki yang mampu membimbing dia ke jalan yang lurus. Membawa dia menemui kebahagiaan dunia dan akhirat. Bukan jenis lelaki tidak sedar diri seperti Hasnol dan Haikal. Humairah pegun. Tidak memberi sebarang reaksi.
            Rosnah mencapai tangan Humairah, lalu digenggam.
            “Jangan terima kalau Ara tak mahu. Mereka hanya menyampaikan hajat Hasnol. Pilihan di tangan Ara. Nenek tahu, Hasnol bukanlah seseorang yang layak mendapatkan Ara.” Rosnah bertutur penuh kelembutan.
            Lantai beralas tikar getah bercorak bunga-bunga kecil warna hijau merah itu dipandang lama. Bulat hatinya. Sesekali tidak akan menerima lamaran Hasnol. Jika dia menerima lamaran lelaki itu, bertambah terumbang-ambing hidupnya.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Perlukan masa untuk mencoretkan kisah Atiqa Humairah Kamaruddin. Pheww. Kekeringan idea buat seketika. Ehem! Layan Running Man laa. Gelak puas-puas tanpa peduli orang sekeliling. Wakakaka. Oke, bai!

1 comment:

Unknown said...

BEST CEPATLAH SAMBUNG YA TQ.