Wednesday, June 26, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 21.

Assalamualaikum.








"...His promise is true and is indeed going to be fulfilled. He is the One Who gives life and causes death. To Him is the return of everyone, and He is the one who has the power over that, and the One Who knows everything about every creature; its decoration, and where every speck of it has gone, be it land oceans or otherwise..." - Ibn Kathir










Bab 21
Kampung Bunga Melor
PONDOK di pinggir kebun di hujung kampung itu mulai mereput. Anai-anai telah memakan tiang-tiang kayu itu dan keadaan tersebut menjadikan pondok itu nampak semakin tidak stabil. Namun begitu, dalam keuzuran pondok yang semakin ketara, kunjungan tiga manusia masih seperti dahulu. Masih setia menghabiskan masa dengan aktiviti-aktivit haram yang menjadi nadi dalam kehidupan harian mereka.
            Berbanding Jali, Azli kelihatan resah gelisah. Tidak boleh duduk setempat. Mundar-mandir di depan Jali yang memerhatikan kawan baiknya itu. Naik pening kepala dia. Bila disuruh duduk, Azli menggeleng laju. Bila ditanya kenapa, Azli hanya pandang dia dan wajah itu langsung berubah. Kening hampir bertaut dan jelas kelihatan manik-manik peluh membasahi dahi.
            Lima belas minit berlalu. Masih tiada tanda-tanda yang Hasnol akan muncul di sini. Jali berkira-kira, hari ini Hasnol lewat sedikit. Maklumlah, sejak-sejak jadi pekerja kilang sebagai operator empat tahun lalu, jadual Hasnol semakin padat. Siang kerja, malam pun kerja. Kerja main judi dan hiburkan diri dengan aktiviti haram mereka.
            “Hoi! Rimaslah aku tengok kau ke hulu hilir macam ni. Tak boleh duduk ke? Ke punggung kau tu ada bisul?” Jali menyergah jua akhirnya.
            Azli menghentikan langkah. Pandangannya melorong kepada Jali yang kehairanan melihat tingkah dia. Statiknya dia bertahan dalam lima saat. Selepas itu, dia kembali jadi pengawal. Dan kembali pamer riak cemas.
            “Ke kau ada hutang dengan lintah darat?” Jali meneka pula.
            Azli menggeleng laju.
            “Kau dah bunuh orang?” Tekaan Jali semakin rambang. Meletus tawa kasarnya bila menyedari Azli merenung dia dengan tajam. Azli menerkam Jali. Mulut Jali ditekup dengan tangannya. Jali terkejut beruk. Cepat-cepat menepis tangan Azli yang berbau hanyir ikan dengan kasar.
            “Kau ni kenapa? Tak fahamlah aku!” gerutu Jali. Suaranya meninggi. “Yang sekor lagi ni pun sama. Mana entah pergi. Selalu ada je kalau time-time macam ni.” Panjang leher Jali melihat-lihat persekitaran.
            Azli sudah naik atas pondok. Dia duduk di penjuru paling kiri. Duduknya sambil memeluk kaki. Jali terus memerhati. Dia garu kepala. Pening! Azli dah kena sampuk jin ke?
            “Dah banyak kali aku ulang soalan ni. Kalau kau tak jawab jugak, aku tumbuk kau nanti.” Jali menggertak, seraya tunjuk penumbuk padu yang kononnya bakal dilayangkan ke muka Azli bila-bila masa sahaja.
            “Baik kau cakap, kenapa kau jadi macam ni?” Untuk kesekian kalinya, Jali bertanya.
            Lirikan mata Azli meliar ke sana sini. Tidak tertumpu ke satu arah. Kemudian beralih penuh ke arah Jali.
            “Ara...” Nama itu terpacul keluar dari mulut Azli yang nampak bergetar.
            Jali membeliakkan mata.        
            “Apa kau cakap?” soalnya.
            “Ara. Aku nampak Ara.” Takut-takut Azli memberitahu.
            Sepantas kilat, Jali merangkak menghampiri Azli.
            “Kau nampak Humairah?”
            Azli mengangguk laju.
            “Bila?” Perlahan lontaran suara Jali bertanya. Sepertinya, dia turut sama tenggelam dalam badai yang menimpa Azli kala ini. Gigil kepala lutut.
            “Semalam.” Liar biji mata Azli ke sana sini.
            “Kau nampak dia kat mana?”            
            “Aku... aku...”
            “Kau nampak dia kat mana?” Jali menyentak garang. Panas hati bila Azli jadi gagap. Nak cakap pun susah!
            “Mimpi! Aku mimpikan dia. Dia datang pada aku.” Bagai kereta yang dipandu laju di Litar Sepang, seumpama itulah kepantasan Azli menghampur kenyataan.
            Langsung terburai hilai tawa Jali mendengar kata-kata yang ditutur Azli. Fikirnya, Azli memang nampak Humairah depan mata kepala sendiri. Setakat dalam mimpi, nak menggelabah itik buat apa!
            “Kau mimpi jumpa Humairah? Dia cakap apa?” Jali ketawa lagi. Gelihatinya. Malah dia buat jenaka pula. Debaran yang datang tadi terus lenyap.
            Azli memandang Jali yang membelakanginya.
            “Dia menangis. Lepas tu dia kata dia akan balas dendam!” Bersungguh-sungguh Azli bercerita.
            Jali ketawa lagi. Naik senak perut dia. Dia kalih belakang.
            “Itu semua karut! Kau tahu, mimpi tu mainan tidur. Heh, balas dendam bagai! Apa yang kita dah buat pada dia? Cuba cakap!” Jali mencebik.
            “Malam tu... kita...” Azli tidak meneruskan kata. Dia mahu Jali sendiri ingat kejadian malam itu.
            Jali terdiam. Dia tarik nafas dalam dan dilepaskan kasar.
           “Kau tu banyak sangat tengok cerita hantu. Sebab tu boleh mimpi perkara mengarut macam tu!” tempelak Jali.
            Azli kunci mulut. Di matanya, dia masih terbayang-bayang kemunculan Humairah dalam persalinan yang dipakai gadis itu malam dulu. Suara Humairah yang berkata lantang padanya, dipenuhi esak tangis itu seumpama berputaran di telinga. Azli menekup kedua belah telinganya.

“MACAM manalah keadaan Mak Nah tu ya. Sihat ke dia.” Sutinah bersuara seraya membuang pandang ke arah Hamdan.
            Hamdan senyap sahaja.
            “Dah banyak bulan tak nampak Haikal datang sini ziarah kubur arwah,” kata Sutinah lagi.
            “Asal balik orang mengata. Jadinya, baik dia duduk sana senyap-senyap,” balas Hamdan. Sedikit pun tidak berminat hendak tahu tentang Haikal yang sudah membawa diri pergi meninggalkan kampung mereka. Dan kepergian itu dibawa Rosnah bersama.
            “Dah memang salah dia bang. Manalah orang tak mengata. Saya pun tak sangka yang Haikal sanggup buat macam tu. Kasihan arwah Kamsiah tu. Mati terkejut.” Sutinah meluahkan kekesalan. Dia kenal baik dengan arwah. Tidak menyangka kematian menjemput Kamsiah dalam keadaan begitu.
            “Humairah pulak, sampai sekarang tak dengar khabar berita. Entah hidup, entah mati.” Tidak berhenti mulut Sutinah menghambur peristiwa hitam yang melanda kampung mereka sedikit masa lalu. Memalit tompok hitam dalam keluarga Rosnah amnya, dan keluarga arwah Kamsiah khasnya.
            Kemunculan Hasnol melorong tumpuan pasangan suami isteri itu kepada anak sulung mereka. Hamdan malas hendak bertanya ke mana tujuan Hasnol keluar malam-malam begini. Hanya Sutinah yang bersungguh menyoal tanpa kenal erti jemu.
            “Jumpa kawanlah, mak.” Hasnol menjawab. Segera sarung selipar dan mendapatkan motosikalnya yang diparkir berhampiran pintu masuk ke beranda rumah.
            “Kau ni tak pernah nak lekat kat rumah. Dari dulu sampai sekarang sama aje,” bebel Sutinah.
            “Aku ni perlukan rehat, mak. Siang aku kerja, malam aku kenalah buat aktiviti lain,” tuntas Hasnol. Ada sahaja jawapan bagi setiap soalan yang diaju kepadanya.
            “Orang kalau nak berehat, duduk rumah. Bukan merayap sampai ke tengah malam!” Sutinah menggigit bibir tanda geram.
            Hamdan terus menyampuk, “Biarlah dia. Dia dah cukup tua dah. Awak cakap apa pun bukan dia dengar. Dah jadi buluh.” Hamdan angkat punggung dan beredar dari situ. Dia sudah lama putus harapan. Hasnol tidak mampu diubahnya, membentuk anak lelakinya sebagai lelaki yang baik dan berguna serta berbakti kepada kedua ibubapa dan agamanya.
            Hasnol buat tidak dengar kata-kata sinis yang dilempar padanya. Menonong bawa motosikal cabuk itu menuju ke markas yang tidak pernah berganti lokasi.
            Seperti malam-malam sebelumnya, dia sengaja ambil jalan jauh sedikit sebelum sampai ke tempat dia dan kawan-kawannya melepak. Melintasi rumah kosong itu memang menjadi kebiasaan. Malah kali ini, dia mendekati rumah itu. Saat itu, senyuman halus terbit di pinggir bibir. Senyuman sebagai tanda dia puas hati meski sebelum ini, dia diburu resah sendiri memikirkan kebarangkalian yang bakal berlaku andai ‘orang’ yang hilang itu muncul kembali.

SUASANA malam ini agak berangin. Ini menunjukkan tanda-tanda, lewat malam nanti akan hujan. Mungkinlah. Humairah duduk bersendirian di beranda, ditemani angin yang berhembus. Sesekali dia pejam mata, menikmati dengan penuh kesyukuran setiap satu ciptaan Yang Maha Kuasa.
            Humairah buka mata bila merasakan bahunya disentuh seseorang. Dia angkat muka. Terbias riak wajah cantik Afina. Afina senyum padanya. Wanita berusia di penghujung dua puluhan itu labuh duduk di sebelahnya.
            “Panjang Mai termenung. Fikirkan apa?” Afina memulakan perbualan. Menggunakan topik klise.
            “Mai tak ada fikir apa-apa pun.” Humairah menjawab disulami senyum kecil. Dia melontar pandangan sembilan puluh darjah ke hadapan.
            “Kak Fina ingat nak minta cutilah,” tutur Afina.
            “Cuti? Cuti kahwin?” Tangkas Humairah mengusik.
            Afina tayang muka ketat. Engku Zubaidah ungkit perihal statusnya petang tadi, sekarang Humairah pula. Namun dia tahu, Humairah sekadar bergurau. Tidak seperti Engku Zubaidah. Siap tunjuk gambar calon cucu menantu. Terus dia geleng kepala.
            “Tadi nenek ada tunjuk tau gambar lelaki-lelaki tu.” Humairah mengerling ke arah Afina yang sudah buat muka tidak puas hati. Mengekek dia ketawa.
            “Nenek tu fikir apa agaknya. Mesti dia ingat Kak Fina tak laku,” dengus Afina. Ikut hati, dia boleh pilih sesiapa pun. Di hospital, beberapa orang doktor yang bekerja di bawah satu jabatan menunjuk minat padanya, cuma dia sahaja yang belum bersedia. Hati masih belum sudi menerima sesiapa pun.
            “Kak Fina, best tak jadi doktor ni?” Humairah bertanya penuh minat. Dia selalu lihat dalam drama, doktor nampak elegan bila menyarung kot putih dan sangkut stetoskop di leher.
            “Seronok. Boleh jumpa ramai orang. Yang paling penting, kita berkhidmat untuk orang. Bantu ubati mereka yang sakit dengan izin Allah.” Afina kulum senyum. Disebalik senyuman itu, berselindungnya rasa yang tidak pernah diketahui oleh sesiapa Hanya dia yang merasai beban itu dan sehingga saat ini, ia bertinggung di lubuk hati yang jauh sampai dasarnya.
            “Sepanjang Kak Fina bergelar doktor ni kan, pernah tak Kak Fina jumpa pesakit yang Kak Fina ingat dia sampai sekarang?” tanya Humairah lagi. Dia angkat kaki naik atas kerusi dan duduk bersila menghadap Afina.
            Afina memandang tepat ke dalam kolam mata yang tenang milik Humairah. Pegunnya sebegitu mengundang kehairanan di benak Humairah yang memerhati. Selang beberapa saat, barulah Afina mengangguk.
            “Siapa nama dia, kak?”
            Afina angkat jari telunjuk lalu dibawa ke bibir sendiri. “Rahsia,” bisiknya, seraya kenyit mata.
            Muncung bibir Humairah. Punyalah dia teruja hendak tahu siapa gerangan pesakit yang diingati Afina.
            “Kak Fina masih berhubung dengan dia sampai sekarang?”
            “Ya dan tidak.”
            Dua jawapan yang diberikan Afina membuatkan Humairah terhumban ke dalam persoalan yang lebih kompleks. Ya dan tidak. Afina memberikan jawapan yang neutral. Humairah garu kepala.
            “Kak Fina ni, suka buat Mai berfikir sampai nak tidur nanti. Sakit kepala tahu main puzzle macam ni,” protes Humairah.
            Afina ketawa gelihati.
            “Kadang-kadang, ada perkara yang perlu kita rahsiakan dari orang lain,” tambah Afina.
            Tidak berkelip mata Humairah memerhati. Afina pula terus kalih pandangan mata ke depan sana. Fikirannya menerawang jauh.
           
TIDUR malamnya tidak lena seperti selalu. Lebih kurang jam dua setengah pagi, dia tersedar dan terkebil-kebil dalam gelap. Puas dia pejam mata tapi tetap tidak boleh tidur.
            Kegelapan malam yang menabiri setiap pelusuk bilik ini membawa dia mengingati kejadian yang berlaku di pasaraya Mydin beberapa minggu yang lalu. Jelas, lelaki itu bagai memburu dia. Bila dia nampak lelaki itu melintas depan mata, bukan perasaan takut yang datang menerpa, sebaliknya ada sesuatu mengusik jiwa sendiri. Walau dia sembunyi muka, ekor matanya tetap melencong ke arah lelaki tersebut. Cumanya di dalam sana, perasaan itu saling berperang. Jadinya, rasa risau itu melebihi segalanya.
            Humairah bangkit dari pembaringan. Dia duduk berteleku dengan kedua belah tapak tangan menekup muka.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Berbaki 3 hari mendiami bumi Melaka sebelum kembali ke negeri asal. Pasti akan merindui suasana kat sini setelah lapan tahun duk tinggal kat Melaka ni dari zaman belajar diploma sampailah degree haa. Kenangan silih berganti namun akan tetap tersimpan kekal dalam ingatan :') Dalam masa beberapa hari ni, aku akan gigihkan diri mengupdate entri dan save. Lepas tu auto-publish hihi. Bukan apa, kalau dah balik rumah haa, line macam harammmm -..-' me-loading tak sudah-sudah. Tata :)

No comments: