Monday, June 24, 2013

[Novel] : Ruang Rindu Bab 2.

Assalamualaikum.








"...If you want to focus more on Allah in your prayers, focus more on Him outside your prayers..." - Yasmin Mogahed










Bab 2
DAUN pintu ditolak perlahan. Sebelah tangan menarik beg beroda, sebelah lagi menjinjing makanan yang dibawa dari rumah ibu sebelum dia kembali ke negeri yang terkenal dengan tinggalan sejarahnya- Melaka. Cukup seminggu dia cuti beraya. Ikut hati, masih belum puas dia berlibur, menikmati sesi pusing beraya ke rumah sanak-saudara, tetapi apa boleh buat, ada tugas dan tanggungjawab yang perlu dia pikul di sini.
            “Assalamualaikum!” Hannani melaung kuat. Melempar mata ke segenap ruang rumah sederhana besar milik keluarga Ikbar dan Athira.
            “Mama!” Kali ini dia berteriak panggil ibu angkatnya. Senyap sunyi rumah. Ke semua orang masih beraya sakan? Tapi kereta elok parking depan rumah.
            Hannani melepaskan lelah. Tubuh dihenyak atas kerusi empuk. Tidak sampai dua jam memandu dari Johor, kini dia berada di Melaka. Pecut! Hannani mengerling beberapa bekas makanan berisi lauk-pauk dan sambal kacang istimewa ibu. Hannani usap perut- dia kelaparan.
            “Nani! Ya Allah, budak ni. Bila sampai?” Athira muncul dari ruang dapur, tergesa-gesa mendapatkan anak angkatnya.
            Hannani bangun. Menyalami tangan wanita yang dikenali sewaktu program anak angkat sewaktu di universiti dahulu. Sehingga kini, hubungan itu erat terjalin. Malah, sepanjang beberapa bulan dia bekerja di sini, rumah bercat putih elegan ini menjadi tempat dia tinggal.
            “Baru aje, ma. Nani jerit-jerit tapi tak ada orang menyahut. Ingat mama keluar beraya,” kata Hannani.
            “Memang beraya pun tadi. Baru aje balik,” kata Athira pula.
            “Ibu dan ayah kirim salam. Dorang kata, insya-Allah, dorang akan sampai sini jugak nanti. Tapi tak tahulah bila,” beritahu Hannani.
            Bibir Athira terkumat-kamit menyambut salam itu.
            “Hai Nani,” tegur satu suara garau yang datang dari arah belakang.
            Hannani menoleh. Terbias di ruang mata paras Adam- anak lelaki tunggal Ikbar dan Athira. Diikuti susuk tubuh Adelia dan Aulia- kembar seiras terlompat-lompat kegirangan saat ternampak Hannani di ruang tamu bersama mama mereka.
            “Kak Nani!” Adelia berlari lantas memeluk Hannani.
            Aulia tidak mahu kalah. Ikut terjun ke dalam pelukan Hannani.
            Adam yang memerhati seiring senyuman kecil terukir di bibir itu, mendekati ruangan tersebut. Dilabuh duduknya bertentangan Hannani yang asyik melayani kerenah adik-adiknya.
            “Kak Nani tu baru balik. Penat. Janganlah asyik berkepit macam tu,” marah Athira. Tergeleng-geleng kepala dia melihat perilaku anak-anak daranya yang mencecah usia lima belas tahun.
            “Adik rindu Kak Nanilah mama,” balas Aulia. Masih belum dilepaskan lengan Hannani.
            “Betul tu. Lia pun rindu Kak Nani,” sahut Adelia pula.
            Hannani tersengih-sengih. Budak berdua ni memang terlebih manja dengan dia. Kalah Tasneem si bongsu penyeri hubungan mereka empat beradik.
            “Kak Nani kahwinlah dengan Abang Adam.” Tiba-tiba Aulia yang terkenal dengan sikap berterus-terang itu bersuara.
            Hannani terkebil-kebil. Sedang Adam pandang Aulia dengan tajam seolah memberi amaran. Athira tidak mampu menyembunyikan senyuman yang bergayutan di bibirnya. Adelia mengangguk menyetujui kata-kata adik kembarnya.
            “Betul tu! Kami pun tak ada kakak. Kalau Kak Nani kahwin dengan Abang Adam, kami ada kakak,” sahut Adelia penuh keterujaan.
            Sekali lagi Adam geleng kepala dan angkat jari telunjuk merentangi ulas bibirnya bila mata dia dan Adelia saling bertempur.
            Adelia tersengih. Aulia tersenyum-senyum. Berjaya mengenakan abang kesayangan mereka.
            Athira menyiku pinggang Adelia, diikuti Aulia. Kedua anak kembarnya itu memandang serentak ke arahnya. Seolah menyalurkan kata-kata menerusi renungan itu, kedua-dua kembar itu mengangguk kepala, lantas mengekor langkah si ibu ke ceruk dapur. Meninggalkan Hannani dan Adam di ruang tersebut.
            “Eh, ini ke biskut raya yang awak buat?” Hannani segera mengendurkan kejanggalan yang melewati mereka setelah ditinggalkan Athira dan si kembar berdua itu. Botol kaca lutsinar bercorak bunga liar dicapai. Lekas dibuka penutup botol tersebut.
            “Bukan.” Adam mencapai botol kaca yang lain lalu diunjuk kepada Hannani. Dia berkata, “Yang Nani pegang tu mama yang buat dengan budak berdua tu.”
            Hannani pamer senyum. Bukan apa, dia pun tidak tahu yang mana satu biskut air tangan Adam. Adelia ada beritahu dia hari tu. Tapi dia tak ingat. Gara-gara nak jauhkan mereka dari belenggu usikan spontan Aulia tentang kahwin, dia main ambil sahaja apa yang ada depan mata. Sejak dua menjak ni, pasangan kembar itu begitu kerap memadankan dia dan Adam.
            “Yang ni saya yang buat.” Unjukan Adam disambut Hannani. Dia perhati biskut raya itu dengan penuh perasaan tidak percaya. Adam buat biskut semperit? Betul ke? Hannani mengambil sekeping biskut itu lalu dimasukkan ke dalam mulut. Kunyahan perlahan itu mengadun enak rasa biskut semperit itu.
            “Sedapnya!” Hannani membulatkan mata. Benar-benar terkesan keenakan itu dalam mulut. Cair bagai coklat.
            “See the hand lah,” sahut Adam penuh lagak. Siap mendepa tangan bagai.
            Hannani mencebik. “Perasan!”          
            Adam tertawa melihat riak wajah Hannani.
            “Bila Nani masuk kerja semula?” Adam menyandar tubuh ke sofa. Anak mata meratahi seraut wajah mulus itu tanpa kenal erti jemu.
            “Esok,” jawab Hannani.
            “Esok? Cepatnya!”
            “Nani dah cuti lamalah Dam. Dah...” Hannani mengira jari-jarinya yang kembang. Bibirnya terkumat kamit. “Seminggu.”
            Tawa Adam meletus lagi. Tingkah Hannani mencuit hati.
            “Amboi! Seminggu rupanya.”
            Hannani mengangguk.
            “Hari tu, Nani ambil cuti dua hari sebelum raya. So, now I’m back. Sebenarnya tak puas beraya lagi tau! Tak puas keliling satu negeri tu hah.” Hannani buat muka kecewa. Cemberut. Tahun ini, dia tidak dapat ikut ekspedisi keluarga menjelajah rumah sanak-saudara yang terletak di sekitar tanah jajahan Johor. Namanya sudah dilucutkan secara automatik dalam senarai Kelab Raya Sakan.
            “Kecewa sangat bunyinya,” duga Adam.
            “Mahu tak kecewa. Tahun ni dorang beraya sampai ke Klang tau. Nani ni pulak ditinggalkan kat sini.”
            “Nak buat macam mana. Awak tu dah bekerja.”
            “Itulah...” Hannani hela nafas. Jam jenama Bonia ditatap sekali imbas. Hannani bangun. Hajat di hati hendak masuk ke dalam bilik dan hendak membersihkan diri yang terasa belengas. Melekit sana sini.
            “Ibu ada bawakan makanan dari kampung. Sedap tau sambal kacang ibu buat.” Hannani berkata penuh kesungguhan. Dia toleh pandang Adam, lalu menghulur senyum manis buat tatapan jejaka itu.
            “Nani nak masuk dalam dululah ye,” kata Hannani mengundur diri.
            Adam memerhatikan Hannani sehingga gadis itu hilang disebalik pintu kayu yang tertutup rapat. Dia senyum sendiri bila teringatkan cadangan tak berapa bernas yang keluar dari bibir Aulia. Difikir-fikir semula, tiada salahnya menjadikan bicara karut Aulia dan Adelia suatu kenyataan.
            “Kalau dah jodoh, tak ke mena.” Adam berbisik halus. Senyumannya semakin melebar.

HANNANI tidak pernah kenal erti penat meski siang tadi dia memandu sendirian selama hampir tiga jam. Malamnya, Hannani telah memenuhi undangan bertandang ke majlis rumah terbuka yang diadakan oleh salah seorang teman yang dikenali semasa pengajiannya di universiti dan mereka masih berhubung sehingga ke hari ini. Makin bersemangat wajalah dia bila Suzana ikut bersama.
            Ekor mata Hannani melirik ke arah batang tubuh Suzana yang dibaluti kebaya pendek warna merah jambu, dipadankan dengan skinny jeans dan berkasut jenis wedges warna sedondon.
            “Kenapa kau nampak kurus ni, Ana?” tegur Hannani.
            “Kurus? Ya Allah, itulah yang aku nanti-nantikan keluar dari mulut kau. Terima kasih. Aku tahu, aku memang nampak slim.” Suzana menggayakan tubuh seperti model sehingga membuat Hannani yang memerhati naik sakit mata.
            “Eee... please lah! Aku tarik baliklah kata-kata aku tadi,” cebik Hannani.
            Suzana ketawa gelihati.
            “Kau tahu, aku punya seksa pakai korset dalam ni. Sumpah, aku tak mahu pakai lagi.” Suzana berkata penuh kekesalan. Ikut sangat cakap kakak iparnya. Memanglah nampak cantik, ada bentuk tubuh ala-aka kerengga, tapi seksa yang amat bagi dia yang baru pertama kali memakainya. Hendak bernafas sikit punya payah. Rasa lemas.
            Hannani ikut ketawa. Padanlah slim sangat.
            Hilai tawa sekumpulan manusia yang berdiri tidak jauh dari mereka menggamit perhatian Hannani. Hannani leka memandang ke arah kumpulan manusia yang mengerumuni seorang wanita yang mengendong seorang bayi yang nampak comel. Bayi itu mengeluarkan bahasa pertuturan yang tidak mungkin difahami oleh orang dewasa tetapi cukup menunjukkan bahawa bayi itu menyukai usikan dan agahan dari mereka.
            “Aku nak kahwinlah,” tutur Hannani tanpa sedar.
            Suzana lekas menoleh. Rahangnya jatuh ke bawah. Butir bicara yang membuat dia terkejut beruk.
            “Apa? Kau kata nak kahwin?”
            Hannani membalas renungan Suzana. Dia mengangguk dengan niat mahu mengusik Suzana.
            “Hoi, kau tu pakwe pun tak ada, berangan nak kahwin,” pintas Suzana.
            Hannani sembunyi ketawa. Dia hanya pamer senyum nipis.
            “Nanti aku carilah pakwe. Lepas tu ajak kahwin,” seloroh Hannani.
            “Ah kau! Dari dulu kata nak cari pakwe, sudahnya mana pakwe kau?” Suzana menjungkit bahu. Seolah memprovokasi Hannani.
            “Itu masih menjadi rahsia DIA. Kalau sampai masa, bukan cakap jadi pakwe, terus kahwin gamaknya.” Hannani ketawa lagi.
            Suzana mencubit pipi Hannani. Geram melihat sikap acuh tidak acuh Hannani. Tidak pernah berubah.
            Hannani mengaduh sakit. Pedih kulit pipinya.
            “Kau tunggu sini kejap,” pinta Suzana. Gadis itu meluru ke arah seorang lelaki yang berketinggian sederhana dan berketerampilan kemas.
            Mengecil mata Hannani. Ah, sudah! Hannani mengepal tangan. Ana! Hatinya menjerit lantang. Dia tahu apa yang sedang cuba dilakukan Suzana. Bila Suzana datang menghampiri bersama seorang lelaki muda, Hannani terpaksa tampal senyum paksa. Digerling Suzana yang sudah terherot-herot bibirnya.
            “Kenalkan, ini kawan I. Hannani.” Ramah Suzana memperkenalkan lelaki itu kepada Hannani.
            Mahu tidak mahu, Hannani tunjuk muka manis.
            “Kamal.” Garau suara lelaki itu memperkenalkan diri.
            “Hannani.” Hannani ukir senyum halus.
            “Nak minum?” Kamal menyoal kepada dua orang gadis manis depan mata, namun tumpuan lebih terarah kepada Hannani.
            “Emmm... boleh jugak.” Suzana menjawab bagi pihak mereka berdua.
            Kamal mengangguk. Meminta dua orang gadis itu menunggu di situ sementara dia mengambil minuman.
            Hannani menyiku pinggang Suzana. Mukanya ketat.
            “Kau ni!” Hannani mengetap bibir.
            Suzana tersenyum-senyum. “Kau kata kau nak jumpa pakwe atau lebih tepat bakal suami. Kau kan nak kahwin.”
            Terbuntang mata Hannani. Dasar senduk!
            “Aku nak jatuh cinta secara automatik! Bukan diperkenalkan macam ni.” Marah Hannani.
            “Hah, tengok tu. Kau mula lagi,” dengus Suzana. Dia memeluk tubuh. Pandangan dihala ke arah Kamal yang sibuk di bawah kanopi.
            “Kalau tak kenal, macam mana nak suka dan jatuh cinta?” Suzana menyambung bicara.
            Hannani ikut berpeluk tubuh.
            “Kau tak ingat Kamal tu?” aju Suzana.
            Hannani geleng kepala. Bersisa sakit hatinya terhadap Suzana.
            “Dia tu Kamal budak gigi besi yang geng-geng minah plastik- Sarah and the gang asyik usik je tu,” terang Suzana.
            Hannani membulatkan mata. Tidak lepas melorong pandangan ke arah Kamal.
            “Ye ke?” soal Hannani penuh kejutan.
            “Kenapa dia nampak lain?” Hannani bertanya kepada diri sendiri.
            “Bertambah kacak?” duga Suzana.
            Hannani mengangguk.
            “Nak try?” usik Suzana.
            “What?! No!” Berdecit suara Hannani mengundang gelak tawa Suzana.
            Majlis rumah terbuka malam itu bagai mengembalikan sejuta memori sewaktu di alam universiti. Hannani tidak menyangka sama sekali, majlis kali ini sengaja diatur oleh Ruby sebagai majlis reunion rakan-rakan sekelas mereka. Ada yang datang daru utara timur tanah air. Dua tahun terpisah bukanlah satu jangka masa yang lama, tetapi pelbagai perubahan telah berlaku ke atas setiap seorang daripada mereka. Pastinya kemeriahan majlis rumah terbuka kali ini lebih bermakna kepada mereka yang menghadirinya.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Sejak-sejak udara tak berapa nak sihat ni, aku pun macam tak sihat. Kejap-kejap fefeeling macam nak demam haa. 

No comments: