Wednesday, June 19, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 20.

Assalamualaikum.








"...This Ummah is like one body, if one part is hurt the whole body suffers..." 










Bab 20
HUMAIRAH meletakkan dua gelas minuman di atas meja dengan perasaan berbuku dalam dada. Kalau tidak dikenangkan dia sedang berdepan dengan pelanggan, mahu waktu itu juga amarahnya mencurah keluar. Disabarkan hati melayani seorang pelanggan yang banyak songeh itu. Setiap kali datang membawa minuman, dia tepekkan senyuman manis walhal dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu.
            “Sila minum,” ujar Humairah sebelum berlalu. Ketika lirikan matanya tersorot ke arah Fadzlan, kebetulan Fadzlan turut memandangnya. Keduanya saling berbalas renungan untuk seketika. Terkejut beruk dia bila nampak susuk tubuh Fadzlan memasuki kedai ini. Berkali-kali dia memisat mata. Kut-kutlah imaginasi semata. Rupanya meleset. Memang itu Fadzlan.
            “Thank you,” ucap Ezad. Straw di dalam gelas itu dipusing-pusingkan. Lenggok Humairah diperhati sehingga gadis itu hilang disebalik dinding yang memisahkan ruang depan dengan ruang dapur.
            Senyuman kecil hinggap di bibir Ezad. Air di dalam gelas tidak diminum sebaliknya dia menolak gelas itu ke tepi. Perlakuan Ezad diperhati tajam oleh Fadzlan. Pelbagai soalan timbul dibenaknya sejak kali pertama Ezad memprotes tentang minuman yang dipesan. Bagi Fadzlan, rasa air itu tiada kurangnya. Enak sahaja. Agaknya tekak Ezad tidak berapa elok. Sudah dua kali Ezad meminta pelayan tadi menukar minuman. Alasannya, kurang manis.
            Ezad memandang kiri kanan. Ketika seorang pekerja kedai itu melintas di depannya, cepat dia menyuruh gadis itu yang dikenali dengan nama Puteri- memanggil Humairah.
            Terus berkerut-kerut dahi Fadzlan. Lagi sekali? Apa yang tidak kena? Fadzlan hendak mengambil gelas minuman Ezad yang belum berusik itu tetapi pantas di halang oleh teman sejawatannya.
            “Kau buat apa ni?” soal Ezad. Tangannya melekat di kaki gelas berkenaan.
            “Sepatutnya aku yang tanya kau soalan tu. Apa niat kau sebenarnya? Air tu, bukan main elok aje kat tekak aku. Apa pasal kau punya tak okey? Sampai dua tiga kali kau suruh budak perempuan tu buat yang lain.” Bertalu-talu soalan yang diaju Fadzlan. Keningnya hampir bercantum.
            “Air yang dia buat tak menepati citarasa aku,” jawab Ezad. Disebalik wajahnya yang serius ketika berkata-kata, sebenarnya hatinya melarik senyuman lebar. Apatah lagi terlihat bayang Humairah datang menghampiri.
            “Tak manis,” sambungnya.
            Terbuntang mata Fadzlan.
            “Tak manis?!” Sebenarnya dia tidak suka Humairah kerap muncul depan mata. Ezad pun satu, asyik kerja memanggil budak itu sahaja. Putus selera makannya. Kalaulah dia tahu destinasi Ezad ke sini, awal-awal lagi dia geleng kepala.
            Minuman yang tidak berusik itu ditolak ke arah Humairah. Hampir bercantum kening Humiarah. Perlahan-lahan dia menarik nafas. Cukup dalam. Apa lagi yang tidak kena? Rasanya sudah banyak kali dia merasa dahulu minuman itu sebelum menghidangkannya pada lelaki ini. Ikut lidahnya, lebih dari manis.
            “Buat yang lain,” arah Ezad. Sedikit pun tidak memandang Humairah.
            “Lagi?”
            Ezad mengangguk. Telefon bimbit di atas meja diambil dan dia berpura-pura sibuk meniliki nota-nota yang tersimpan di dalam telefon pintar itu.
            “Tapi kenapa? Tak cukup manis lagi ke?” soal Humairah. Penat ulang-alik dari meja ini ke ruang dapur semata-mata hendak membuat jus epal itu.
            “Kurang manis,” balas Ezad.
            Nurul Ain mengambil gelas minuman itu dan menonong ke dapur dengan hati yang bengkak. Bukan sedikit dia letak gula. Lebih enam sudu gula. Hah, banyak itu pun masih belum cukup manis lagi. Ini orang ke semut? Semut pun tidak seperti itu. Manisnya melampau-lampau.
            Sepeninggalan Humairah, Ezad ketawa mengekek. Naik senak perutnya. Fadzlan menggaru kepala.
            “Kau nak apa dari budak tu?” Fadzlan menegur.
            “Entah. Aku rasa nak menyakat.” Selamba Ezad membalas. Tawanya tinggal sisa.
            “Kau kenal budak tu ke?” Gaya Fadzlan menyoal seperti seorang pegawai polis. Dengan wajahnya yang serius begitu.
            “Tak.” Ezad menjawab ringkas.
            “Dah tu?” Kening Fadzlan terangkat sedikit, seakan menghidu sesuatu.
            “Nah! Kalau kali ini pun masih belum menepati citarasa encik, saya tak tahulah nak kata apa.”
            Ezad dan Fadzlan terkejut besar. Tiba-tiba sahaja Humairah muncul. Tidak pula mereka sedar akan kedatangan gadis itu. Selepas meletakkan gelas itu di atas meja, Humairah berlalu pergi ke kaunter dan langkah kaki dihayun mendekati meja Ezad semula bersama sebekas gula.
            “Agak-agak tak manis lagi, encik tambahkanlah sendiri gula tu,” kata Humairah. Senyuman nipis terlukis di bibir. Ezad membaca senyuman itu berupa sindiran buatnya.
           Fadzlan menepuk bahu Ezad. Sengihan lebar sebagai santapan mata Ezad ketika mereka saling berpandangan. Ezad buat tidak nampak sindiran yang ada depan mata.
            “Baik punya perli dia bagi kat kau. Nah, makanlah gula kau ni,” seloroh Fadzlan. Semakin menjadi tawanya. Tidak sangka, Humairah pandai buat lawak antarabangsa.
            “Hah, apa yang kau renung-renung air tu? Minumlah. Ke nak kau tambahkan gula lagi?” Giat Fadzlan mengusik Ezad.
            Tangan Ezad sudah melekat di kaki gelas. Ragu-ragu hendak meneguk air itu. Tengok pada warna yang lain macam, dia mengagak kandungan gula di dalam air itu sangatlah melampau. Pekat semacam!
            Dipusing-pusingkan straw itu. Minumnya tidak juga. Sementara Ezad meniliki kandungan kepekatan gula dalam minumannya, Fadzlan mencuri pandang ke arah Humairah yang duduk di kaunter bayaran, bertemankan seorang perempuan seusianya juga. Kebetulan waktu itu, Humairah angkat wajah dan mereka berlawan renungan.

            Any problem?

            Tak.

            Dah tu, kenapa pandang aku?

            Saya tak tengok awak pun, perasan!

            Komunikasi bahasa mata antara Humairah dan Fadzlan secara tidak langsung itu diperasani Puteri. Terkebil-kebil dia perhati riak muka Humairah. Sekejap berkerut, sekejap tercebik-cebik. Ada masalah jiwa ke? Puteri menampar bahu Humairah.
            “Sakitlah!” protes Humairah.
            Puteri mencekak pinggang. “Aku ingat kau dah gila.”
            Humairah menjelir lidah. Bila dia toleh ke depan sana, Fadzlan sudah tiada. Cepatnya!

TIDAK dapat dinafikan, tindakan spontan Humairah menyindir Ezad begitu terkesan sepanjang hari ini. Tadi, sewaktu sedang elok hadap kerja, dia boleh tersenyum-senyum mengenangkan perbuatan Humairah. Apatah lagi bila nampak muka Ezad tersembul depan mata.
            Dia mengerti situasi Ezad tadi. Ezad hendak mengurat Humairah tetapi cara yang digunakan usik-usik dahulu. Agak-agak, kalau Ezad tahu Humairah itu bukanlah Humairah, dan ingatannya hilang seluruhnya, adakah Ezad masih lagi mahu memancing Humairah? Fadzlan senyum sinis.
            Jam tangan diperhati sekilas. Cecah pukul enam petang baru dia angkat kaki meninggalkan pejabat. Fikirnya, Hakimi dan Izhar sudah ada di rumah. Rupanya dua makhluk itu kerja lebih masa. Dua-dua gigih cari duit. Maklumlah, masing-masing memasang angan-angan mahu menyunting bunga hati tahun hadapan.
            Fadzlan menyandar tubuh di sofa. Sukarnya mengikis kepedihan itu! Orang sekeliling sering mengingatkan dia tentang redha. Sungguh, dia merelai pemergian insan itu, tetapi secebis hati ini begitu sukar menerima kenyataan takdir yang telah tersurat.
            Rose Harliana koma selepas kemalangan yang turut meragut nyawa kedua orang tuanya. Menurut kata Afina, Rose Harliana disahkan mati otak. Hidupnya bergantung sepenuhnya pada alat bantuan oksigen. Tanpa alat itu, Rose Harliana akan mati! Sesungguhnya berat dugaan yang terpaksa dia tempuhi. Apatah lagi saat mengetahui, Rose Harliana dianggap sudah meninggal dunia sekiranya tempoh hidup menggunakan alat bantuan itu melebihi jangka waktu yang telah ditetapkan.
            Rose Harliana meninggal dunia sebaik sahaja alat bantuan pernafasannnya dicabut. Mesin yang memaparkan denyut nadi Rose Harliana melakar garisan lurus tiada turun naik. Dan waktu itu, ayah Rose Harliana menarik selimut bagi menutupi jenazah anak gadisnya. Ibu dan abang, serta adik Rose Harliana hanya memandang dengan linangan airmata. Manakala dia, tercatuk di sudut ruang bilik ICU tanpa berkelip mata.
            Perasaan hiba dan sedih itu masih terasa sehingga kini. Setiap kali dia menyusuri saat pemergian Rose Harliana, dadanya mengalun nada pilu. Rose Harliana meninggal dunia selepas beberapa hari kedua orang tuanya meninggal. Manakala Humairah bangkit dari koma saat alat bantuan pernafasan Rose Harliana dicabut oleh Doktor Rafiqi, teman sejawatan Afina.
            Kerana kebetulan itulah, dia meletakkan Humairah sebagai galang ganti kepada rasa kecewa dan sedih yang dialami. Humairah terselamat sedang ayah, ibu dan tunangnya telah dicabut nyawanya dari jasad!
            Humairah tidak pernah tahu bahawa kemalangan tiga tahun dulu, kemalangan yang meragut nyawa orang-orang yang menjadi kesayangan hati disebabkan oleh gadis itu!

ASINGNYA dunia saat ini. Di mana dia? Rumah kayu ini... ketenangan persekitaran ini... udara ini... Seakan serasi dengan diri. Bunyi kokokan ayam dan kicauan burung begitu mendamaikan. Hembus pawana lembut menyapa pipinya.
            Humairah melebarkan penglihatan. Pandangannya berbalam-balam. Antara nampak dan tidak. Puas dia mengecilkan mata agar dapat menajamkan lagi lirikan matanya.
            “Nenek!”
            Suara halus seorang budak perempuan mengetuk jendela telinga. Diikuti gelak tawanya yang riang. Budak perempuan itu melintas di depannya. Mengenakan seluar merah dan berbaju t-shirt merah jambu. Ditengah-tengah baju yang dipakai, ada gambar kartun bertelinga bulat yang besar. Budak perempuan itu berlari-lari sambil ketawa riang. Humairah cuba mengenal-pasti identiti budak tersebut dalam pandangan mata yang kabur-kabur itu, tetapi gagal.
            “Adik...” Humairah memanggil budak itu.
            Budak perempuan tadi memaling wajah. Humairah melambai-lambai supaya budak perempuan datang mendekat. Seulas senyum terukir di bibir bila budak perempuan itu mengatur langkah mendekati dia. Semakin mendekat budak perempuan itu kepadanya, semakin jelas jelas wajahnya. Humairah berusaha menajamkan mata. Sekejap kecilkan mata, sekejap besarkan mata. Sudahnya, hasilnya tetap sama.
            “Nenek!” Budak perempuan itu menjerit lagi dan kali ini terus berpaling tanpa memandang Humairah yang terus berusaha menarik perhatian budak perempuan tersebut.
            “Nenek, Ara lapar!” Suara budak perempuan itu menggegarkan kesunyian persekitaran.
            Waktu itu, kelihatan susuk seorang perempuan yang nampak membongkok sedikit tubuhnya. Memakai baju kurung dan berkain batik. Budak perempuan itu berlari-lari sambil mendepakan tangan memeluk kaki perempuan yang baru muncul.
            Humairah memejam mata. Mimpi atau nyata? Kenapa pelik sangat situasinya kali ini. Ah! Humairah memejam mata lagi. Tiba-tiba kepalanya rasa sakit yang berdenyut-denyut. Dia menggerang dan bertinggung di situ. Hampir mengalir airmatanya. Ya Allah!
            “Mai.” Puteri menunjal pipi Humairah yang masih terbawa dalam igauan tidurnya. Dia tidak tahu apa yang dimimpikan Humairah sehingga temannya itu bercakap-cakap dalam pertuturan yang kurang jelas dipendengaran.
            Farah menjenguk ke dalam ruang rehat yang menempatkan sebuah kerusi panjang dan meja kayu.
            “Kenapa?” tanya Farah.
            “Mai ni.” Jari telunjuk Puteri menunding Humairah. “Dia mengigau.”
            “Mengigau?” Farah lekas masuk ke dalam bilik itu. Pipi Humairah ditepuknya berkali-kali.
            “Put, kau pergi ambil air,” suruh Farah.
            Puteri menurut. Dia keluar dan kembali ke situ bersama sebekas air. Farah merendam kedua belah tangannya ke dalam air paip itu. Mulutnya terkumat-kamit membaca Bismillah sebelum meraup air itu ke muka Humairah.
            “Mai.” Farah memanggil perlahan.
            Humairah tersentak. Bulat mata itu memerhatikan Puteri dan Farah. Mimpi tadi... budak perempuan itu? Humairah memisat mata. Ruang persekitaran itu sudah lenyap dari pandangan. Dia sudah kembali di tempat asalnya. Farah yang melihat keadaan Humairah bertingkah ganjil itu mula keresahan. Dia labuh duduk di sebelah Humairah. Tangan Humairah digenggam erat. Puteri pula masih berdiri di muka pintu.
            “Kau mimpi apa? Itulah, orang sibuk nak balik, kau boleh tidur pulak kat sini. Pulak tu dah masuk waktu Asar. Kan tidur selepas waktu Asar tu tak elok. Boleh buat gila otak.”
            “Aku... aku...” Bicara Humairah terputus-putus. Antara ingat dan tidak ingat.
            “Jomlah balik. Hari ni Kak Fina datang ambil tak?” Farah bangun. Dia capai beg Humairah di hujung kerusi. Puteri membantu Humairah bangun.
            Humairah menggeleng. Otaknya masih belum mampu memikirkan apa-apa. Berpinar mata.
            “Aku hantar kau balik.” Farah berkata lagi.
            Humairah mengangguk.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Udara di Melaka tak berapa nak sihat sejak dua tiga hari ni. Bangun tidur je pun, dah hidu bau asap haa. Adoi!

4 comments:

Unknown said...

baru faham sikit.

~::HANAH RISHAS::~ said...

@baby mio

:) terima kasih ye drop sini dn sudi bc kisah Humairah ni :)

meeka42 said...

Lmbt lgi ke nk abih ni?
X sabau nk tawu ending..
Hehe

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ilman_nafi

Hi :)

Mss masih dipulun, jadi tak tahulah kadar 'kelamaan' KPHM ni. Hihi.

Sabar ye :)

Thanks drop sini tau! :)