Monday, June 17, 2013

[Novel] : Puteh Bab 5 & Bab 6.

Assalamualaikum.








"...You know indeed, it is He who is the best of planner..."









Bab lima
KEDINGINAN malam itu langsung tidak membibitkan perasaan mengantuk kepada Tuan Puteh Haron. Matanya masih terkebil-kebil memandang siling. Fikirannya melayang-layang entah ke mana. Terlalu banyak perkara bermain dibenaknya.
            Tuan Puteh Haron mengiring pula. Matanya lembut memerhati seraut wajah yang sedang lena disebelahnya. Perlahan-lahan dia mengusap wajah itu dengan penuh kasih. Tuan Puteh Haron tersenyum sedikit.
            Namun senyumannya segera mati apabila mengingati Puteh Wirnayu. Wajah anak perempuan sulungnya itu mengingatkannya kepada seorang wanita lain yang pernah hadir dalam hidupnya. Melengkapkan dia sebagai seorang suami dan ayah. Wanita yag begitu tulus hatinya hingga sanggup berkorban hanya demi melihat dia bahagia.
            Wirdayu, nama wanita yang sudah menjadi sebahagian daripada memori indah dalam retetan hidupnya. Memiliki Wirdayu sebagai seorang isteri merupakan perkara yang tidak pernah disesalinya malah dia bersyukur kerana mempunyai seorang isteri yang begitu pengasih.
            Dasarnya sebelum dia menikah dengan Wirdayu, hati dan perasaanya sudah pun dimiliki sepenuhnya oleh Puan Zarina, cinta pertama dan terakhir baginya. Namun kehendak keluarga yang mahu menjodohkan dia dengan seorang gadis kampung tidak boleh dipandang sebelah mata.
            Kerana rasa tanggungjawab terhadap permintaan keluarga, dia terpaksa meninggalkan Puan Zarina dan menikahi Wirdayu yang tidak pernah dikenali. Gugurnya airmata Puan Zarina kala itu bagai meragut nyawanya. Esakan tangis wanita itu merobek hatinya.
            Dengan berat hati, dia melafazkan akad nikah dan mengangkat status seorang gadis pingitan yatim piatu itu menjadi isterinya. Walau jasadnya ada di majlis itu, namun jiwanya melayang mencari sang kekasih yang sedang bersedih. Rawan hatinya apabila memikirkan diri sudah pun menjadi suami kepada seseorang.
            “Abang...”
            Suara itu masih lagi diingatinya. Kali pertama Wirdayu memanggilnya dengan gelaran selayaknya seorang isteri kepada suaminya.
            “Maaf... abang masih belum sedia. Maafkan abang, Ayu.”
            Namun ketika itu, senyuman manis pula yang tersungging di bibir si isteri yang baru sahaja dinikahi. Saat itu, Tuan Puteh Haron merasa hairan.
            “Pergilah pada dia.”
            Kata-kata itulah yang menjadi titik permulaan bagaimana kasih antara dia dan Puan Zarina bertaut kembali. Seakan tidak percaya ketika Wirdayu menuturkan kata-kata itu. Walau hati gembira bukan kepalang, namun dia tahu perempuan mana yang sanggup dimadukan.
            Anggukan kepala Wirdayu cukup untuk dia percaya bahawa isterinya betul-betul ikhlas. Pada malam pernikahan itu juga, dia pergi menemui Puan Zarina dan menyatakan persetujuan Wirdayu untuk bermadu. Kebahagiaan begitu terasa menggamit hati dikala melihat senyuman manis kembali mekar di bibir Puan Zarina, si kesayangan hati yang sudah lama dipuja.
            Mulanya keluarganya membantah terutama si ayah. Namun kesungguhan Wirdayu memujuk Haji Wahid membuatkan hati lelaki berusia 70an itu mengalah. Malam itu juga dia menikahi Puan Zarina dan dia tidak kisah langsung dengan cakap-caka orang ketika itu.
            Walaupun dia sudah memiliki si kekasih hati sebagai isteri, Wirdayu tidak pernah dipinggirkan. Malah hati lelakinya semakin hari semakin menyayangi Wirdayu. Tidak dapat dinafikan kelembutan dan sifat penyayang yang ada pada wanita itu membuatkan dia jatuh hati untuk kali kedua, selepas Puan Zarina. Kelahiran Puteh Wirnayu membuktikan kasihnya memang ada untuk Wirdayu.
            Tuan Puteh Haron begitu adil dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami kepada dua orang isterinya. Tiada yang lebih dan tiada yang kurang. Semuanya diberi sama rata. Begitu juga dengan anak-anak.
            Dia sedar, Puan Zarina seakan tidak menyenangi Wirdayu. Mata-mata melihat Puan Zarina dan Wirnayu sebagai madu yang begitu baik sedang hakikatnya hanya Tuan Puteh Haron yang tahu. Sungguhpun begitu Puan Zarina tidak pernah berlaku kasar atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada Wirdayu. Hanya tindak-tanduknya sahaja menunjukkan tuan empunya diri tidak pernah menerima Wirdayu sebagai isteri pertama.
            Kebahagiaan hidup bersama Wirdayu tidak lama apabila isterinya disahkan menghidap penyakit kanser hati. Beribu-ribu ringgit sudah dihabiskan untuk menyembuhkan penyakit Wirdayu namun kanser yang dihidapi Wirdayu sudah diperingkat yang paling berbahaya. Jodoh mereka tidak panjang apabila Wirdayu meninggal dunia selepas beberapa minggu menjalani pembedahan.
            Ketika itu Puteh Wirnayu berusia lapan tahun. Walau masih setahun jagung, puterinya itu sudah mengerti makna kehilangan insan tersayang. Sejak itu, Puan Zarinalah tempat Puteh Wirnayu menumpang kasih. Tuan Puteh Haron sedar, Puan Zarina tidak ambil peduli dengan anak tirinya. Namun dia bersyukur kerana isterinya itu tidak pernah sekalipun berlaku kasar terhadap Puteh Wirnayu.
            Sikap tidak peduli Puan Zarina semakin menjadi apabila Puteh Wirnayu meningkat remaja. Puteh Wirnayu seakan dianggap tidak wujud. Hati seorang ayah tersentuh apabila melihat kesungguhan Puteh Wirnayu mengambil hati si ibu walau tahu diri tidak pernah diterima.
            Sudah berkali-kali Tuan Puteh Haron menasihati Puan Zarina namun isterinya hanya buat tidakdengar sahaja. Makin dinasihati, semakin menjadi pula sikap dingin Puan Zarina kepada Puteh Wirnayu.

            Tuan Puteh Haron menghela nafas panjang. Dia beralih posisi. Tangannya diletakkan ke dahi. Satu demi satu memorinya bersama Wirdayu bermain di minda. Tiba-tiba perasaan rindu datang membuak-buak. Sudah berbelas-belas tahun Wirdayu pergi namun tidak pernah sehari pun dia melupakan isterinya itu.

**********

Bab enam
“PENYAPU  pun boleh jadi model ke?”
            Tiba-tiba satu suara garau datang menegur. Ketika itu Puteh Wirnayu sedang mengelap lukisan yang paling disayanginya. Hanya buat tidak tahu sahaja. Lelaki itu masih lagi mengamati lukisan itu dengan kening yang hampir bercantum. Kemudian memeluk tubuh pula.
            “Siapa agaknya pelukis lukisan ni? Saya rasa macam tak ada benda lain aje pelukis ni nak lukis. Banyak-banyak benda, penyapu jugak yang jadi pilihan. Tak ada idea lain agaknya,” sambung lelaki itu lagi.
            Puteh Wirnayu terus memekakkan telinga walau hati mulai berbahang. Sedap mulut sahaja pengunjung ini mengkritik hasil kerjanya. Walau sebenarnya dia tidak kisah dengan kritikan tetapi perlu juga berpada-pada. Puteh Wirnayu terus mengelap bingkai lukisan itu tanpa mempedulikan pengunjung itu.
            Lelaki itu masih lagi terpacak di belakangnya. Puteh Wirnayu merasa tidak selesa. Kalau tidak suka kenapa masih melihat lukisan itu?
            “Saya rasa pemilik galeri dah bazirkan duit sebab nak tolong pasarkan hasil lukisan yang macam ni. Tak ada jiwa.”
            Puteh Wirnayu menahan rasa hati. Tak mengapa. Lelaki itu hanya salah seorang pengunjung galeri miliknya. Puteh Wirnayu cuba menyejukkan hati sendiri.
             “Awak tak bosan ke mengelap lukisan ni? Saya tengok dah naik berkilat dah. Tu, dah boleh jadi cermin dah. Nak tanya sikit, siapa bos galeri ni? Saya nak cakap dengan dia jangan buang duit  kat pelukis yang dia ada sekarang. Rugi.”
            Lelaki itu terus berbicara walhal telinga Puteh Wirnayu semakin terasa membahang. Langsung tidak sedar dialah pemilik galeri ini. Dia jugalah pelukis yang dikutuk secara terang-terangan oleh lelaki yang tidak dikenali itu.
            Puteh Wirnayu berpaling ke belakang. Berhadapan dengan lelaki itu. Matanya tepat memandang ke wajah bersih itu. Ada sedikit jambang yang dibiarkan meliar didagu tetapi kelihatan kemas. Muka nampak baik tetapi mulut bagai tiada insuran.
            “Awak kerja kat sini, kan? Tentu kenal dengan bos.”
            “I bos kat sini,” kata Puteh Wirnayu. “Dan I pelukis yang you kata tak ada bakat tu,” sambungnya. Suaranya ditekan ketika menyebut perkataan pelukis supaya lelaki itu sedar dialah yang dikritik sebentar tadi dengan sewenang-wenangnya.
            Lelaki itu hanya menjungkit bahu. Wajahnya beriak biasa. Bagai tiada perasaan. Puteh Wirnayu pula yang sakit hati dengan sikap selamba lelaki tersebut.
            “Kiranya awak bos, awak jugak kuli. Bagus. Jimat duit,” balas lelaki itu. Sebuah senyuman tersunging di bibir itu. Senyuman yang menjengkelkan hati Puteh Wirnayu.
            Aku bukan kulilah! Suka hati akulah kalau aku bos nak jadi kuli pun! Hati Puteh Wirnayu memberontak marah. Wajahnya mulai berubah rona.
            “Awak memang dah tak ada idea ke sampai jadikan penyapu sebagai model? Saya rasa ada benda lagi menarik selain penyapu ni.”
            Puteh Wirnayu menggigit bibir. Ah, lelaki itu terlalu banyak bercakap! Terasa ingin dikunci mulut itu supaya senyap.
            “Encik, sekalipun objek yang I jadikan model tu hanya sehelai kain buruk, ataupun hanya pokok yang dah mati, ianya tetap seni bagi I. Dan untuk pengetahuan saudara, ini adalah lukisan yang paling I sayang. Tak berseni mana pun orang lain pandang, tetap berseni bagi I.”
            Lelaki itu tersenyum lagi. Puteh Wirnayu naik jelak.
            “By the way, saya Iman. Muhammad Iman.” Akhirnya lelaki itu memperkenalkan diri walau tidak ditanya. 
            Puteh Wirnayu senyap sahaja. Dia ingin berlalu tetapi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Iman segera menghalang.
            “Awak, siapa nama awak? Yalah, saya pun nak tahu nama pemilik galeri ni,” ujar Iman.
            “Puteh.” Ringkas sahaja Puteh Wirnayu memperkenalkan diri.
            Berkerut dahi Iman. Puteh sahajakah?
            “Just Puteh?” Iman bertanya.
            Puteh Wirnayu menarik nafas. Letih melayan orang seperti Iman yang terlalu banyak cakap dan soalan.
            “Puteh Wirnayu Puteh Haron,” jawab Puteh Wirnayu.
            Iman terdiam sebentar. Puteh Haron? Dia pernah dengar nama itu. Kemudian dia kembali memandang gadis yang berwajah cuka di depannya. Tersenyum dalam hati melihat riak wajah itu.
            “Puteh Haron? Jadi awak ni anak kepada salah seorang pemilik syarikat hartanah yang agak unggul kat negara kita ni.”
            Puteh Wirnayu menjungkit bahu.
            “Pelik... kenapa awak tak kerja aje kat syarikat ayah awak yang besar tu? Kan lagi bagus kerja dengan ayah sendiri.”
            Dia mula lagi... Puteh Wirnayu mendongkol dalam diam. Rimas dengan pertanyaan demi pertanyaan yang diaju padanya.
            “I nak berdikari. Cuba usahakan perniagaan sendiri. Tak salah, kan? Lagipun, tak semestinya bila keluarga kita ada perniagaan yang bakal diwarisi oleh kita kelak, kita kena jugak join that company.”
            Puteh Wirnayu terus berlalu dari situ sebaik menghabiskan kata-kata. Tidak larat hendak melayan lelaki yang tidak pernah dikenalinya itu.
            Iman memerhati lenggok gadis tadi dengan senyuman mekar di bibir. Tahu Puteh Wirnayu tidak senang dengan setiap tutur katanya tadi. Kemudian pandangannya beralih semula menatap lukisan yang menjadi kesayangan Puteh Wirnayu.

HARI  ini merupakan hari yang memenatkan. Semuanya membuatkan aku penat. Tapi bila ada seorang pengunjung yang mahu membeli sebahagian lukisan aku dengan harga yang agak menguntungkan aku dan Joe, hilang penat kami dan berganti dengan senyuman berserta ungkapan syukur kerana diberikan rezeki yang tidak dijangka sama sekali.
            Tadi, ada seorang lelaki yang datang ke galeri. Tak pernah lihat lelaki itu sebelum ini. Kali pertama datang agaknya. Itu bukan kisah utamanya. Yang menjadi topiknya ialah lelaki itu telah membuatkan aku sakit hati! Ada ke patut depan-depan aku boleh dia kutuk hasil kerja aku? Patut ke? Tapi bukan salah musang tu pun pasal dia bukannya tahu aku yang lukis semua lukisan tu.
            Musang? Haha... aku letak nama tu memang padan dengan dia. Banyak mulut betul! Bila aku cakap akulah pemilik galeri dan pelukis yang dikutuknya, musang tu hanya buat muka biasa tanpa ada sedikit pun rasa bersalah sebab dah kutuk aku depan-depan. Tak guna punya musang! Walau lukisan tu hanya sebatang penyapu tapi besar maknanya pada aku tahu!       Itulah lukian yang paling aku sayang.
            Musang tu memperkenalkan diri sebagai Iman. Ah, aku bukannya tanya tapi si musang yang sibuk-sibuk nak perkenalkan diri. Nama dah sedap aje didengar tapi bila bercakap... huh... tak padan langsung! Sakit hati aku ni bila ingat semua kata-kata dia! Nasib musang jadian, kalau musang betul memang aku dah tembak dengan senapang gajah!
Puteh Wirnayu melepaskan perasaan geramnya kepada lelaki itu melalui blognya. Hari ini segalanya berkaitan dengan Iman, lelaki musang yang menjengkelkan. Membara rasa hatinya ketika itu.
Puteh Wirnayu melihat skrin komputer ribanya apabila terdengar bunyi berdecit. Ya, Im sudah membaca blognya dan memberikan komen di situ. Dengan tekun dia membaca komen dari teman mayanya.

Im : Wah, garangnya Cik Puteh kita malam ni. Hehe... ;)

Puteh Wirnayu segera membalasnya.

Puteh: Sakit hatilah Im. Ada musang cari pasal dengan sy hari ni.. ;s
Im: Musang? Hehe... mana dapat gelaran tu?
Puteh: Sesuai untuk dia yg menyakitkan hati... ;)

Komputer riba berdecit lagi.

Im: Siapa musang tu?
Puteh: Entah. Sy tak pernah kenal musang tu. Mungkin pengunjung baru kot.

Puteh Wirnayu mematikan komputer riba sebaik sahaja perbualan online dengan Im tamat. Lama juga dia berbual dengan temannya. Seronok pula. Dia boleh berkongsi apa sahaja dengan Im. Seakan sudah lama kenal pula.
Dia berbaring di atas tilam empuk dengan mata yang masih terbuka luas. Pandangannya tepat menyasar ke siling. Fikirannya kosong sebentar. Tiada apa yang bermain dibenaknya sehinggalah tiba-tiba bayangan Akmal datang menerpa.
Hari ini, seharian dia tidak bertemu dengan lelaki itu. Kata Akmal, dia tidak berkesempatan untuk datang ke geleri seperti kebiasaan memandangkan punya urusan yang perlu dibereskan.
Perasaannya dirundung kerinduan sebentar. Bergayutan di tangkai hati. Rindu itu untuk Akmal, si jejaka yang disukainya dalam diam. Puteh Wirnayu mengiring pula. Hari demi hari perasaannya kian mekar dengan rasa rindu terhadap lelaki itu walau pada dasarnya dia cuba menolak hakikat dia sedang dilamun cinta.
Cintakah dia pada Akmal atau hanya mainan perasaan sahaja? Dia tetanya-tanya. Kadangkala dia rindu. Ada ketika dia begitu mengharapkan kehadiran Akmal disisi. Ada masa dia terasa sangat bahagia andai Akmal muncul didepan mata.
Inikah cinta? Berdetak-detik hatinya mempertikaikan persoalan hati.

PUAN ZARINA menolak habis-habisan kata-kata suaminya. Mata yang mulanya mengantuk menjadi segar apabila berita itu disampaikan padanya. Terasa meloncat-loncat darahnya saat Tuan Puteh Haron membuka mulut membicarakan hal itu malam-malam begini.
            Mulanya dia berasa sungguh teruja apabila Tuan Puteh Haron memberitahu Haji Ismail dan isterinya, Hajah Salmiah ingin menyunting salah seorang anak gadis mereka untuk dijadikan pasangan anak teruna tunggal mereka. Namun sebaik sahaja nama Puteh Wirnayu yang disebut suaminya, dia jadi tidak senang duduk. Disangka Puteri Sarina yang menjadi pilihan.
            Haji Ismail dan Hajah Salmiah merupakan teman lama mereka yang sudah lama tidak ketemu. Hanya beberapa bulan kebelakangan ini mereka berjumpa kembali selepas bertembung di sebuah majlis kenduri di rumah salah seorang teman lama mereka. Sejak itu hubungan mereka kembali terjalin.
            “Abang memang selalu sangat pilih kasih antara Rina dengan Puteh. Selalu sangat Puteh yang abang lebihkan.” Puan Zarina merungut.
            Tuan Puteh Haron menggelengkan kepala. Kenyataan Puan Zarina langsung tidak benar. Tidak pernah sekali pun dia membezakan anak-anaknya. Apa yang Puteh Wirnayu ada, Puteri Sarina juga memilikinya. Cuma kali ini Puteh Wirnayu yang menjadi pilihan.
            “Abang ingat Za tak tahu yang abang selalu cerita perihal anak kesayangan abang tu pada Ismail dan isterinya. Sikit-sikit Puteh, sikit-sikit Puteh. Yang baik itulah Puteh. Yang bagus itulah Puteh. Kalau Rina tu semuanya buruk. Rina tu bukan anak abang ke?”
            “Abang tak pernah cerita pasal anak-anak kalau orang tak bertanya. Mereka tanya pasal Puteh, abang jawablah. Kalau mereka tanya pasal Rina, abang jawab jugak.” Lembut Tuan Puteh Haron menerangkan keadaan sebenar.
 “Abang memang... semua benda Puteh dulu yang diutamakan. Rina? Selalu jadi yang kedua. Si Puteh dah buat perniagaan sendiri pun, abang tetap ambil Puteh jadi yang pertama. Kenapa bang? Abang memang pentingkan anak Wirdayu dari anak Za. Abang tak adil!” Puan Zarina memberontak. Geram dan sakit hatinya memuncak.
Berkerut dahi Tuan Puteh Haron apabila Puan Zarina mengungkit perihal Wirdayu.
“Za, abang tak pernah bezakan kasih sayang abang. Abang dah lakukan yang terbaik untuk berlaku adil dengan semua pihak. Pilihan Ismail dan Salmiah bukan atas kehendak abang. Mereka yang memilih antara Puteh dan Rina,” tegas suara Tuan Puteh Haron.
Puan Zarina mencebik. Laju sahaja dia memanjat katil. Tidak mahu lagi bertelagah dengan suaminya yang dirasakan berat sebelah. Sakit hatinya terhadap anak gadis madunya itu semakin membukit. Selalu sahaja Puteh Wirnayu dapat yang terbaik.
“Za...” Tuan Puteh Haron memanggil isterinya.
Puan Zarina berpuara-pura tidur. Langsung tidak menyahut panggilan suaminya. Matanya dipejam rapat.
“Za...” Tuan Puteh Haron memanggil lagi namun tiada sahutan. Tahu isterinya hanya berpura-pura lena. Tuan Puteh Haron menghela nafas perlahan.

Sekarang dia perlu menyusun ayat untuk dituturkan pada Puteh Wirnayu tentang hasrat Haji Ismail dan Hajah Salmiah. Itu juga merupakan hasrat hatinya untuk melihat Puteh Wirnayu hidup bersama seorang lelaki yang baik dan boleh menjaganya sebaik dia menjaga puteri hatinya itu.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Sabtu lepas hari tu, frust menonggeng bila eskrim yang didambakan tak ada kat Seoul Garden. Cis! Bencana apakah itu? -..-" Meleleh air liur aku. Peti eskrim rosak! Urghhhhhhh. Dah bayar mahal-mahal, so seharusnya semua makanan kat situ dibaham dengan senang hati.

No comments: