Thursday, June 13, 2013

[Novel] : Puteh Bab 3 & Bab 4.

Assalamualaikum.








"...The happiness in dunya is meaningless. But the happiness in Jannah is priceless..."









Bab tiga
SEHARIAN duduk di dalam bilik itu menjadikan Puteh Wirnayu merasa rimas. Lantas dia meletakkan berus warna di dalam bekas air. Air itu sudah berubah warna juga. Dari jernih kepada warna yang keruh. Kemudian dia mencapai tuala kecil di meja. Mengesat kesan cat yang melekat pada tangannya.
            Pandangan matanya tersorot ke arah sebuah bingkai gambar yang mengabadikan seraut wajah. Wajah yang dirindui sekian lama. Sudah berbelas-belas tahun dia menanggung perasaan rindu yang tiada kesudahan. Lama dia memerhati hingga akhirnya diri terdorong untuk mengambil bingkai gambar tersebut di atas meja bersebelahan dengan jendela.
            “Umi...”
            Suara Puteh Wirnayu tenggelam timbul dalam gelora perasaan rindu terhadap ibu yang sudah lama pergi menghadap Illahi. Pergi si ibu meninggalkan kesan yang sangat mendalam. Walau ketika itu dia baru sahaja mencecah usia lapan tahun, namun dia bisa mengerti perasaan kehilangan sesorang yang amat disayangi.
            “Umi... Puteh rindu sangat pada umi. Dah bertahun-tahun umi pergi namun itu tak menjadikan Puteh lupa pada umi,” ujar Puteh Wirnayu sendirian. Dia menyentuh gambar itu. Lembut.
            “Rina dah besar dah umi. Anak kesayangan umi tu semakin lawa, cantik dan sekarang dia kerja dengan papa. Rinalah kawan Puteh, mi. Kalau tak ada dia, Puteh sunyi. Puteh sanggup korbankan segala apa yang ada hanya untuk Rina.”
            Ya, demi Puteri Sarina dia sanggup berkorban. Demi kebahagiaan keluarganya dia sanggup mengalah. Walau hakikatnya dia sangat terluka dengan apa yang sedang berlaku.
            “Mama Za baik dengan Puteh. Dia jaga Puteh macam anak dia sendiri, mi. Sama macam umi sayang Rina. Umi... Puteh sayang Mama Za. Puteh tak bezakan kasih sayang Puteh pada umi dan Mama Za. Bagi Puteh, Mama Za tu ibu Puteh.”
            Mutiara jernih menitik jatuh membasahi pipi. Puteh Wirnayu mengesat airmata yang mulai mengalir deras. Mengingati ibu tirinya, Puan Zarina membuatkan hatinya tersentuh. Sayangnya dia terhadap Puan Zarina bagai ibu sendiri. Hormatnya dia kepada Puan Zarina selayaknya hormat seorang anak terhadap ibunya.
            Bertahun lamanya dia cuba menagih kasih sayang dari seorang insan bergelar ibu namun hampa. Dikuatkan hati agar tidak mengaku kalah dengan keadaan yang menikam. Walau Puan Zarina tidak pernah berlaku kasar ke atas dirinya, dia sedar wanita itu tidak pernah bersedia untuk menerima dia sebagai seorang anak. Malah berkemungkinan wanita itu langsung membencinya.
            “Puteh!”
            Suara garau itu mengejutkan Puteh Wirnayu. Segera dia mengesat saki-baki airmata yang masih mengalir di pipi. Tidak mahu Johan menyedari dia sedang menangis. Puteh Wirnayu menoleh, melemparkan senyuman sebaik sahaja wajah Johan terbias di rung mata.
            “Aku ingat kau dah balik tadi. Nasib baiklah aku tergerak nak buka pintu bilik ni. Rupanya kau masih bertapa dalam sini,” kata Johan.
            Puteh Wirnayu hanya tersenyum kecil. Johan teman yang baik. Sahabat yang boleh dipercayai. Sikap ambil berat lelaki itu menyenangkan. Sekali imbas pasti mereka digelar pasangan kekasih.
            Johan menghampiri Puteh Wirnayu. Berdiri di sebelah gadis itu dengan mata tertumpu pada sebuah lukisan yang sudah siap cantingannya. Berkerut dahi Johan. Sekejap memeluk tubuh, sekejap bercekak pinggang. Puteh Wirnayu jadi hairan melihat telatah Johan.
            “Kenapa, Joe?” tanya Puteh Wirnayu.
            Johan menggelengkan kepala namun matanya masih tidak lepas memerhati lukisan itu. Kali ini jari-jemarinya pula bermain di bibir.
            “Puteh, kau lukis apa ni?”
            “Hah?”
            Johan kembali memeluk tubuh.
            “Ni, lukisan kau ni. Lain macam aje aku tengok. Dahlah gambar penyapu, pulak tu warnanya suram, kelam. Dah macam haunted pulak. Eee... seramlah aku tengok. Kalau ada sebiji pumpkin, mesti dah macam penyapu ahli sihir. Takut aku!”
            “Amboi... sedap aje kau kata lukisan aku ni haunted! Eh, ingat senang nak hasilkan lukisan macam ni. Sesuatu yang mendalam. Banyak emosi dalam lukisan ni.” Puteh Wirnayu membantah.
            Johan mengangkat kening. Emosi? Emosi berunsur seram sahaja yang dirasainya kini.
            “Eee... aku tak faham dengan kau ni, Puteh. Tak ada emosi lain yang aku nampak melainkan seram, ketakutan dan haunted!” Johan masih mempertahankan pandangannya.
            Puteh Wirnayu menjelirkan lidah. Geram dengan perangai Johan yang suka mengkritik. Tetapi kritikan itulah yang menjadikan dia semakin berusaha untuk tampilkan yang lebih baik.
            “Suka hati kaulah nak kata apa. Kalau kau nak tahu, ini lukisan yang paling aku sayang. Mewakili diri aku.”
            Johan tersengih. “Kenapalah kau tak guna benda lain kalau pun nak wakilkan diri kau? Ni penyapu jugak yang kau pilih. Apa cerita?”
            “Kau ni kan, nak kena dengan aku tau. Karang aku letak lukisan ni dalam rumah kau yang besar tu baru tau.” Puteh Wirnayu berkata geram.
            “Eh, tak nak aku. Dari rumah aku yang haunted, lebih baik biar galeri kesayangan kau ni yang haunted. Tak sanggup aku!”
            Johan ketawa gelihati melihat raut wajah Puteh Wirnayu yang mulai berubah. Gelihatinya. Dia tahu Puteh Wirnayu sedang marah padanya.
            “Puteh Wirnayu Puteh Haron marah ye?” Johan sengaja bertanya.
            Puteh Wirnayu mencebikkan wajah kemudian tersenyum kelat.
            “Suka! Kalau kau rasa nak makan kasut tinggi aku ni, buatlah lagi!” Puteh Wirnayu bersuara tegas.
            Ketawa Johan semakin menjadi.

SEBUAH Myvi berwana berwarna putih gading berhenti betul-betul di garaj, bersebelahan dengan sebuah rumah yang besar dan indah. Puteh Wirnayu mematikan enjin kereta. Dia menarik nafas dalam-dalam.
            Pandangannya melebar memerhati keadaan sekeliling. Pasti Puteri Sarina dan papanya, Tuan Puteh Haron masih belum pulang dari pejabat memandangkan kereta milik mereka berdua tidak kelihatan lagi. Puteh Wirnayu melihat jam yang tersuai dipergelangan tangan. Dia yang pulang terlalu cepat atau ayah dan adiknya yang pulang lewat hari ini?
            Pintu kereta dikuak perlahan. Kakinya dijulur keluar dan memijak bumi. Dia keluar dari dalam perut kereta dengan beg tangan dibahu kiri dan sebuah lagi beg berisi lukisan yang sudah pun dibingkai cantik.
            “Awal Puteh balik hari ini,” tegur satu suara. Lembut dipendengaran.
            Puteh Wirnayu berpaling. Tersenyum memandang ke arah Mak Munah yang setia berdiri dibelakangnya. Dengan segera dia menyalami tangan wanita yang sudah berusia pertengahan 50an itu.
            Sejak kecil, Mak Munahlah yang menjaga dia dan Puteri Sarina jika mama mereka sibuk dan dia sendiri lebih banyak meluangkan masa bersama Mak Munah dan suaminya, Pak Mail yang turut sama berkhidmat untuk mereka sekeluarga. Tambahan pula pasangan suami isteri itu tidak dikurniakan anak sepanjang perkahwinan mereka.
            “Mama mana, Mak Munah?”
            “Ada dekat belakang. Tadi puan kata nak berkebun dekat laman belakang.” Mak Munah memberitahu.
            Tanpa menunggu lebih lama, Puteh Wirnayu terus menghayun kaki menuju ke laman belakang rumah. Tahu tempat itulah yang menjadi kesukaan mamanya. Mamanya rajin berkebun, menanam benih-benih pokok bunga sebelum dimasukkan ke dalam pasu. Hampir keseluruhan bunga-bunga segar di taman halaman rumah ditanam sendiri oleh Puan Zarina.

“MAMA!”
            Puan Zarina mendongak. Sebentar cuma. Kemudian tangannya kembali ligat menggambur tanah. Tidak dipeduli kehadiran gadis itu. Puteh Wirnayu pula terdiam melihat reaksi Puan Zarina. Langsung tidak terkejut dengan sikap tidak endah wanita itu. dia sudah lali.
            Selangkah lagi dia mendekati Puan Zarina. Sedar diri tidak pernah dipedulikan tetapi dia masih mahu mencuba. Walau selama mana sekali pun, dia sanggup. Hanya demi mendapatkan secebis kasih daripada wanita itu.
            “Rajin mama tanam bunga. Manjadi pulak semuanya.” Puteh Wirnayu cuba mengajak wanita itu berbual.
            Puan Zarina tidak menoleh memandangnya. Menyahut jauh sekali. Terasa sungguh diri tidak dihargai waktu itu. Gelora dalam diri hanya Tuhan yang tahu. Sedihnya menjerut tangkai hati. Dikuatkan hati supaya tidak kalah dengan keadaan ini.
            Puan Zarina berdiri. Dia berpaling menghadap Puteh Wirnayu. Sekilas memandang ke arah gadis yang kaku di depannya. Dia mencampakkan peralatan-peralatan berkebun tadi di atas lantai tanah. Kemudian berlalu pergi menuju ke arah sebuah meja yang terletak di tengah-tengah taman mininya.
            “Papa tak balik lagi ke, mama?” Puteh Wirnayu masih berusaha membuatkan Puan Zarina berkata sesuatu padanya. Sekalipun dia memang sudah tahu papanya masih belum pulang, dia ingin bertanya juga.
            “Belum,” jawab Puan Zarina. Pendek.
            Puteh Wirnayu tersenyum kecil. Jawapan itu memadai.
            “Rina pun tak balik lagi. Kadang-kadang mama kesian dengan Rina. Kerja berhempas pulas, tapi apa dia dapat? Terus jadi kuli di syarikat papa. Kerja pagi balik petang.”
            Puteh Wirnayu menelan air liur. Ah, perihal ini lagi yang dibangkitkan oleh Puan Zarina. Kenapa? Kenapa mesti dia yang dipersalahkan di atas keputusan yang telah diambil oleh Tuan Puteh Haron? Bukankah dia telah membawa diri sejak itu tetapi kenapa hingga sekarang Puan Zarina masih tidak menyenangi dirinya?
            Puteh Wirnayu tahu, Puan Zarina begitu berharap Puteri Sarina, satu-satu anak kandungnya itu mendapat mendapat tempat yang paling utama dalam senarai pewaris syarikat Tuan Puteh Haron. Tetapi apa yang diharapkan oleh Puan Zarina jauh melayang apabila nama Puteh Wirnayu yang diletakkan sebagai pewaris utama diikuti oleh Puteri Sarina sebagai pewaris kedua.
            Dia langsung tidak pernah terfikir untuk menjadi pewaris utama. Sudah diberitahu keengganan diri namun Tuan Puteh Haron tetap dengan pendiriannya. Tetap meletakkan namanya sedang diketahui Puan Zarina tidak menyukai.
Oleh kerana hendak menjaga hati Puan Zarina dan mengelakkan wanita itu semakin tidak menyenangi dirinya, dia mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada terlibat dengan syarikat Tuan Puteh Haron walau hatinya berbelah bahagi untuk menolak permintaan si ayah.
Berkali-kali papanya memujuk dia supaya kembali ke syarikat itu namun dia menolak mentah-mentah dengan alasan diri masih belum berminat untuk menyambung kesinambungan usaha Tuan Puteh Haron. Tahu Tuan Puteh Haron kecewa dengan keputusannya.
“Sini, biar Puteh tolong mama angkat semua barang-barang ni,” kata Puteh Wirnayu sebaik sahaja melihat Puan Zarina siap-siap mengemas segala peralatan yang digunakan untuk berkebun tadi.
“Tak payah. Mama boleh buat sendiri.”
Mati terus pergerakan Puteh Wirnayu. Kata-kata itu kedengaran tidak kasar tetapi menusuk ke dalam tangkai hati. Pedihnya! Terasa pelupuk matanya kian hangat. Dia mesti kuat. Mesti! Puteh Wirnayu bermonolog dalam diri.
“Mama! Kak Puteh!”
Puteh Wirnayu berpaling disaat namanya dilaung kuat. Tahu siapa tuan empunya suara yang mesra dan manja itu. Tentu sahaja milik Puteri Sarina. Pantas Puteh Wirnayu menyeka airmata yang tiba-tiba jatuh menitik ke pipi. Tersenyum lebar melihat lenggok si adik.
“Awalnya kakak balik,” sapa Puteri Sarina. Mesra memeluk bahu Puteh Wirnayu.
Puteh Wirnayu tersenyum lagi. Sememangnya mereka rapat walau berlainan ibu. Malah Puteri Sarina menjadi kesayangan umi ketika hayatnya.
“Rina tu yang balik lewat. Kuat sangat kerja sampai ke petang. Apa yang Rina buat tu bukannya orang nampak.” Tiba-tiba Puan Zarina bersuara.
Berkerut dahi Puteri Sarina sedang Puteh Wirnayu hanya menyepi. Sedar kata-kata itu ditujukan padanya.
“Mama, kan Rina kerja. Memanglah kadang-kadang balik lewat,” ujar Puteri Sarina. Dia merapati Puan Zarina.
Puan Zarina tidak gemar apabila anak tunggalnya selalu berpihak pada Puteh Wirnayu. Seringkali kata-katanya ditolak oleh gadis itu.
“Iyalah. Rina yang bersusah payah tolong papa tapi..” Puan Zarina tidak mengkhiri omongannya. Hanya melirik ke arah Puteh Wirnayu yang berdiri tidak jauh dari situ.
Puteri Sarina tidak menyenangi kata-kata mamanya. Seakan mahu menyakiti hati Puteh Wirnayu sahaja. Bukannya dia buta hingga tidak menyedari sikap dingin mama terhadap kakaknya sejak dulu.
“Apa mama cakap ni? Kan Rina kerja dengan ayah sendiri. Memang patutlah Rina bersusah payah tolong papa,” bidas Puteri Sarina. “Mama, Rina masuk dalam dulu.”
“Jom kak,” ajak Puteri Sarina ketika melintas di hadapan Puteh Wirnayu. Puteh Wirnayu mengangguk. Seiring langkah Puteri Sarina.


*********************************************

Bab empat     
KATA-KATA Akmal bermain-main di fikiran. Gundah hati apabila memikirkan tentang lelaki itu. Tingkah-laku Akmal merunsingkan. Sedang hakikatnya dia terlalu ingin tahu apakah makna di sebalik kata-kata yang terluah dari bibir lelaki tersebut. Pandangan mata Akmal juga hampir membuatkan dia hampir jatuh.
            “Saya nak curi hati Puteh.”
            Saban waktu ungkapan itu yang mengetuk gegendang telinga. Ah, resahnya perasaan ini!
            Puteh Wirnayu mengiring pula. Teringat ketika mula-mula dia menemui Husaini Akmal. Mereka sama-sama hadir ke sebuah pameran lukisan karya anak-anak tempatan. Ketika itu dia begitu tertarik dengan salah sebuah lukisan yang dipamerkan. Tidak menyangka sama sekali Akmal juga meminatinya. Mereka saling bertukar pendapat mengenai hasil seni tersebut.
            Hubungan persahabatan yang terjalin tidak tamat di situ. Apabila mengetahui dia memiliki galeri lukisan sendiri, Akmal langsung mengunjungi galerinya. Adakalanya lelaki itu mengajaknya untk makan bersama. Dia menyenangi sikap Akmal yang peramah dan mesra.
            Rupanya hubungan persahabatan mereka sudah mencecah dua tahun lamanya. Sepanjang perkenalan mereka, lelaki itu tidak pernah sekalipun bersikap seperti beberapa hari lepas. Seakan-akan ingin menyampaikan rasa hati. Dia memahaminya tetapi sengaja berpura-pura tidak mengerti apa-apa.
            Jauh dalam lubuk hati, dia ada menyimpan sedikit perasaan terhadap Akmal. Semakin hari perasaan itu semakin mengetuk pintu hatinya namun dipendam sahaja. Padanya itu hanya mainan perasaan sahaja. Tidak membawa apa-apa makna.
            Ah, hatinya begitu dingin untuk mengakui diri sudah jatuh cinta.
            Lamunan Puteh Wirnayu terhenti apabila pintu biliknya dikuak perlahan. Pantas dia duduk bersila di atas katil. Mengecil matanya melihat sesusuk tubuh yang indah berpakaian gaun panjang berwarna merah jambu lembut.
            “Cantiknya adik akak ni. Rina nak pergi mana lawa-lawa macam ni? Dating ya?” teka Puteh Wirnayu dalam senyuman.
            Puteri Sarina menjungkit bahu. Dia merapati Puteh Wirnayu dan duduk di sebelah kakaknya.
            “Rina nak pergi majlis reunion.”
            “Reunion? Reunion apa?”
            “Kan Rina pernah beritahu kakak yang Rina ada reunion dengan kawan-kawan Rina masa belajar dulu. akak lupa ya?” ujar Puteri Sarina.
            Puteh Wirnayu berfikir sejenak. Oh, dia terlupa. Memang Puteri Sarina ada beritahu padanya. Puteh Wirnayu tersenyum.
            “Kalau pergi majlis macam tu mesti ada pasangan. Siapa pasangan Rina?” Puteh Wirnayu menyoal. Dia cuba mengorek rahsia daripada Puteri Sarina yang sememangnya terkenal dengan sikap perahsianya.
            Puteri Sarina menggelengkan kepala. Tanda tiada siapa yang istimewa dalam hatinya. Puteh Wirnayu tidak berpuas hati.
            “Tak nak berkongsi dengan akak?” Puteh Wirnayu cuba memancing.
            “Tak naklah Rina nak berkongsi dengan akak. Mana boleh kongsi-kongsi. Rina tak sanggup!” ujar Puteri Sarina.
            “Maknanya dah adalahlah ni.” Puteh Wirnayu meneka lagi. Tenggelam timbul dalam tawanya yang panjang.
            Puteri Sarina mencebikkan wajah. Dipandangnya wajah Puteh Wirnayu yang masih belum mati senyumannya. Tawa gadis itu juga masih tinggal sisa. Sayangnya dia terhadap Puteh Wirnayu begitu mendalam.
            Dia berhutang sesuatu dengan gadis itu. Tanpa gadis itu, mungkin dia masih dalam pencarian yang tiada kesudahan. Mungkin hidupnya tidak seindah ini. Mungkin juga tiada keriangan yang meniti disepanjang hayatnya. Hutang itu tidak terbalas walau dibayar dengan wang ringgit.
            “Kak... terima kasih.”
            Puteh Wirnayu senyap. Berkerut dahinya. Wajah Puteri Sarina kelihatan serius benar. “Untuk apa?”
            “Untuk semua.”
            Dalam renungan mata Puteri Sarina.
            “Maafkan mama Rina. Rina tahu mama selalu sakitkan hati kakak. Tambah-tambah bila papa letakkan nama kakak sebagai pewaris utama. Rina juga tahu yang kakak terpaksa tolak tawaran papa sebab nak jaga hati mama,” sambungnya.
            “Apa Rina cakap ni? Mama Rina tu mama kakak juga. Dia tak pernah pun sakitkan hati kakak. Dan kakak tolak permintaan papa tu sebab kakak tak bersedia lagi nak uruskan syarikat. Kakak lagi berminat nak buka galeri.”
            Puteri Sarina tahu omongan si kakak bohong belaka. Bukan dia tidak tahu situasi sebenar. Dia bukannya si anak kecil lagi hingga tidak bisa mengerti ketegangan hubungan mama dengan Puteh Wirnayu.
            “Sepatutnya mama tahu tentang perkara ni.”
            “Jangan!”
            “Sampai bila kak?” soal Puteri Sarina. “Sampai bila kita kena simpan perkara ni? Suatu masa nanti mama kena tahu juga. Kalau tak, mama tak pernah pedulikan kakak. Sampai bila kakak nak mengalah dengan keadaan ni? Walau mama tu mama Rina, Rina tak suka cara mama layan kakak. Dia anggap seolah-olah kakak tak pernah wujud.” Puteri Sarina meluahkan apa yang terbuku dalam diri.
            Puteh Wirnayu senyap. Baginya apa yang sudah berlaku dibiarkan berlalu pergi. Dia tidak mahu mengungkitnya kembali.
            “Rina sayang kakak. Rina tak nak tengok kakak terus macam ni. Rina sedih.”
            Puteh Wirnayu menyeka airmata yang mulai menitik jatuh ke pipi Puteri Sarina. Tidak mengizinkan tangisan itu mencacatkan wajah cantik Puteri Sarina.
            “Jangan menangis. Nanti rosak solekan Rina.” Puteh Wirnayu cuba bersenda.
            Puteri Sarina tertawa kecil. Namun airmatanya masih bertakung dipelupuk mata. Sekelipan dia memeluk tubuh Puteh Wirnayu dengan erat.

PUTEH WIRNAYU kembali ke posisi asal apabila Puteri Sarina meminta diri untuk pergi menghadiri majlis reunion yang diadakan di sebuah hotel.
Fikirannya berputar ligat. Sekejap wajah Akmal bermain di minda. Kemudian wajah Puan Zarina diikuti oleh kata-kata Puteri Sarina mengetuk halwa telinga. Segalanya menjadi satu dan membuatkan kepalanya menjadi berat. Puteh Wirnayu memejamkan mata sebentar.
Ding!
Puteh Wirnayu membuka mata. Bulat. Bunyi berdecit itu datangnya dari komputer riba miliknya. Dengan pantas dia bangun dari pembaringan. Mengengsot menghampiri komputer riba yang terletak di hujung katil. Matanya memandang sudut paling kanan di skrin komputer itu.
Im! Girang terasa apabila nama itu yang terlayar di ruang mata. Tanpa menunggu lebih lama, Puteh Wirnayu terus membuka email yang baru sahaja di terima. Senyuman terukir dibibir saat membaca kiriman itu.

Im: Cantik lukisan yang baru sy tengok td.. ;)

Jari-jemari Puteh Wirnayu menari-nari di atas papan kekunci, membalas kiriman teman mayanya. 

Puteh: Thanks.. ;)

Puteh Wirnayu menekan kekunci enter. Dia menunggu balasan daripada Im pula.

Im: Sy suka tengok semua hasil seni awk. Cantik dan indah. Tenang. Seakan mewakili diri awk. Mmm... satu ketika nnti sy nk awk lukiskan sesuatu utk sy. Boleh?

Puteh Wirnayu tersenyum sendiri memikirkan permintaan Im. Hanya dikenali melalui nama dan komen sahaja. Yang lain dia tidak tahu. Nama sebenar, dari mana asalnya dan jantinanya juga tidak diketahui.
Apa yang dia tahu tentang Im ialah teman mayanya ini mempunyai minat terhadap lukisan. Bahkan Imlah yang pertama memberi komen tentang hasil seninya ketika mula-mula dia membangunkan blog ini untuk mempromosikan semua lukisannya.

Puteh: Boleh aje. Tp kena bayarlah. Hehe... ;p
Im: Kena bayar jugak ke? Kata kwn...

Pantas Puteh Wirnayu membalasnya.

Puteh: Kalau bab bisnes, no kwn2.. ;)

Ding! Komputer ribanya berdecit lagi. Cepatnya!

Im: Kdekut betullah Cik Kedekut ni! ;p

Puteh Wirnayu ketawa gelihati. Sudah banyak kali dia digelar sedemikian oleh Im. Setiap kali Im bersenda menginginkan salah satu daripada semua lukisannya secara percuma, pasti dia menjawab tidak boleh melainkan adanya urusan jual beli. Akhirnya melekat gelaran kedekut itu pada dirinya.
Adakalanya dia merasakan Im mengenali dirinya malah teman mayanya juga seolah-olah pernah mengunjungi galerinya memandangkan tidak semua hasil karyanya diupload ke dalam blog tetapi Im seperti mengetahui semua. Pelik tapi itulah kenyataannya.
Setelah hampir satu jam menghabiskan masa berbual dengan Im menerusi ruang maya, temannya meminta diri untuk mengakhiri perbualan memandangkan hari sudah menginjak lewat malam. Menurut Im esok dia punya temujanji dengan seseorang. Tidak pula dia bertanya siapa gerangannya. Nanti dikata peyibuk pula.
Puteh Wirnayu mematikan komputer riba dan meletakannya di atas meja. Dia berjalan mendekati jendela. Langsir yang menutupi jendela diselak sedikit. Melebarkn pandangan ke luar jendela. Satu keluhan berat meniti bibirnya. Bayangan Akmal menjelma kembali.
Setiap kata-kata yang ditutur lelaki itu bagaikan rakaman yang dimainkan semula di telinga. Berkali-kali. Semakin lama, semakin mendekat ke hatinya. Semakin lama, semakin dia merasai dasar hatinya disentuh lembut.

Entah kenapa, tiba-tiba sahaja dia menggelengkan kepala. Seolah-olah menafikan apa yang sedang bermain dibenaknya. Hanya mainan perasaan sahaja barangkali, desisnya.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Now, aku akan update PUTEH selepas KPHM :) Kiranya KPHM satu entri satu minggu. Maklumlah, mss yang dibuat pun banyak tak siap lagi fufufuuuu. Tata :)

3 comments:

AYRA ZAHRA said...

lama ok aku tunggu ..hahhaha..:D

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Ayra

Ehehehe!

Nih dah lma babe.Berhabuk haa.

Cahaya Kesempurnaan said...

salam perkenalan..done follow u..follow me back http://nukilancintapurple.blogspot.com/