Wednesday, June 12, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 18 & Bab 19.

Assalamualaikum.








"...To compel someone to adopt virtue never makes a virtuous man. Also forcing people to have faith never result in faithful hearts. It is freedom which is the base of virtue..." - Muhammad El-Ghazali










Bab 18
PENGALAMAN berkerja di sebuah syarikat luar negara sebagai seorang programmer menjadikan CV empunya milik Engku Fadzlan Engku Uzair kelihatan hebat dibandingkan beberapa pemohon yang lain. Tidak sampai tiga hari selepas sesi temuduga, dia telah ditawarkan jawatan yang dipohon. Malah syarikat berkenaan menawarkan gaji lebih dari apa yang diletaknya semasa sesi temuduga tempoh hari. Tidak pula dia menyangka rezeki datang sepantas ini. Masih berbaki seminggu cuti merehatkan diri. Lusa, dia sudah masuk kerja. Masa berehat tamat serta-merta.
            Semalam dia bertungkus-lumus angkut segala keperluan peribadi, humban ke dalam beg dan secara rasminya dia meninggalkan rumah Engku Zubaidah. Dalam diam, dia berasa berat hati hendak meninggalkan Engku Zubaidah meski Afina masih tinggal bersama nenek mereka. Iyalah, dia satu-satunya cucu lelaki tetapi boleh pula lepas tangan. Sepatutnya dia yang jaga nenek, berada disamping nenek selalu. Ini tidak. Makin bawa diri. Kalau bukan kerana Humairah tinggal bersama mereka, pasti dia akan jaga nenek siang malam. Menemani nenek setiap detik waktu. Apakan daya, dia lebih mengikut tuntutan hati. Biarlah, nanti setiap hujung minggu, dia akan datang jumpa nenek.
            Fadzlan yang terbaring selesa di atas kerusi panjang di ruang tamu, begitu khusyuk menonton rancangan yang tersiar dikaca televisyen, sehinggalah perutnya yang tidak diisi apa-apa sejak pagi mulai berkeroncong minta diisi. Fadzlan menekan perut. Aduh, lapar! Fadzlan lekas bangkit dari pembaringan. Liar mata menujah ke arah jam dinding. Belum pun injak tengahari. Fadzlan mengeluh.
            Dengan malas, dia hayun kaki ke dapur. Menyelongkar setiap ruang kabinet. Mencari-cari makanan yang boleh dijadikan alas perut. Hakimi dan Izhar, teman serumah mereka sudah memberi green light. Katanya, kalau lapar, masuk sahaja ke dapur dan ambillah apa pun makanan yang ada. Sharing is caring katanya.
            Maggi aje? Gerutu Fadzlan seraya mengambil sebungkus Maggi kari dari dalam kabinet. Mentang-mentang dah balik Malaysia, selera makan bukan main demand. Pandang Maggi pun tak mahu, sedang di sana dahulu, Maggi lah yang dia cari.
            Cerek atas dapur diambil dan dia isi dengan air paip melalui lubang cerek. Selepas itu, dia jerang atas api. Sambil-sambil tunggu air masak, dia duduk menikmati kesunyian rumah yang dihuni oleh tiga orang jejaka yang masih bujang ‘trang tang tang’. Usia mereka lebih kurang. Cuma Izhar tua setahun dari mereka, tetapi tengok betul-betul, kelihatan Izhar lebih muda dari mereka. Maklumlah, muka spesis baby face.
            Apa agaknya menu tengahari nenek? Fadzlan terbayang-bayang masakan Engku Zubaidah. Tidak dinafikan, naik kecur air liur sendiri bila mengenangkan makanan air tangan Engku Zubaidah. Alahai! Kalaulah dia tinggal dengan nenek, tentu perutnya sentiasa kenyang. Setiap hari makan sedap-sedap. Fadzlan tarik nafas. Ini gara-gara Humairah! Andai Humairah tidak wujud di rumah itu, pasti saat ini dia berkepit dengan nenek. Dan andai kata Humairah tidak pernah muncul dalam hidup mereka, tentunya keadaan berbeda.

DERUAN enjin kereta yang kedengaran kuat itu menarik perhatian Engku Zubaidah yang duduk di ceruk dapur, menyediakan makan tengahari untuk dirinya dan Afina. Kata Afina hendak makan di rumah hari ini. Terus dia bergegas menuju ke pintu utama. Fikirnya Afina sudah pulang. Rupanya tersembul muka Fadzlan yang tersengih-sengih pandang dia.
            “Hah, Lan! Kau dari mana?” Engku Zubaidah menyambut salam Fadzlan.
            “Dari rumah,” beritahu Fadzlan. Bau enak masakan memenuhi lubang hidung Fadzlan. Dek kerana enggan menjamah Maggi semata, dia ambil keputusan datang rumah Engku Zubaidah. Lagipun bukan jauh mana. Dalam lima belas minit perjalanan. Alang-alang masih dalam mood cuti, ada baiknya dia bertandang ke sini. Nanti kalau sudah mula bekerja, hujung minggu baru boleh tayang muka.
            “Nenek masak apa? Wanginya bau!” Fadzlan kembangkan lagi hidungnya. Lekas menonong ke dapur. Periuk atas dapur dijenguk berserta kuluman senyum. Menggelegak isi dalam periuk itu. Pekat kuah asam pedas itu cukup membuat dia teruja hendak makan. Apatah lagi baunya yang sungguh memikat.
            “Kenapa Lan tak cakap dengan nenek nak datang?” aju Engku Zubaidah. Dia capai senduk besi dan mengacau asam pedas ikan pari yang menggelegak itu.
            “Spontan je nek. Lapar punya pasal,” balas Fadzlan. Masih tayang sengih. Terlihat susunan giginya yang memutih dan cantik itu.
            “Itulah. Ada rumah, nak pindah keluar. Kan senang kalau Lan tinggal dengan nenek, dengan Kak Fina. Makan pakai Lan terjaga. Tak payah bazir duit bayar sewa rumah. Boleh simpan untuk masa depan,” omel Engku Zubaidah.
            “Lan nak berdikarilah nek.” Fadzlan menjawab.
            Engku Zubaidah menoleh sekilas. Berdikari? Masih tidak cukupkah tahun-tahun sebelum ini Fadzlan berdiri di atas kaki sendiri semasa tinggal di luar negara? Tinggal bersama keluarga, tidak bermakna tidak tahu berdikari. Semua bergantung atas niat.
            “Sampai bila Lan nak macam ni?” Engku Zubaidah mengheret Fadzlan ke kancah persoalan yang sememangnya tidak ingin disusuri oleh pemuda itu.
            Fadzlan tarik kerusi. Dia duduk dengan pandangan mata memerhatikan Engku Zubaidah.
            “Sampai bila perempuan tu tinggal dengan nenek?” Fadzlan tidak menjawab, sebaliknya berani melontar pertanyaan kepada Engku Zubaidah. Serta-merta, tingkah Engku Zubaidah terbejat. Dalam nafas yang panjang, Engku Zubaidah berkalih memandang Fadzlan yang berwajah serius. Tiada sengihan, tiada senyuman yang dibuat-buat.
            “Nenek tanya Lan, Lan tak jawab. Lepas tu kaitkan Humairah pula.” Engku Zubaidah menggetus kurang senang. Kadang-kadang dia sendiri tahan rasa bila berdepan Fadzlan yang keras hatinya.
            “Lan datang sini nak makan masakan yang nenek masak sampai pecah perut, bukannya nak buka topik pasal perempuan tu.” Fadzlan cuba mengendurkan suaranya yang kedengaran tegang dipermulaan bicara.
            Engku Zubaidah tidak membalas. “Lan tak boleh ke anggap Humairah tu macam keluarga kita sendiri?”
            “Keluarga? Dia bukan sesiapa bagi kita, nek.” Fadzlan meningkah.
            “Bagi Lan, dia bukan sesiapa. Tapi pagi nenek, dia cucu nenek. Sama macam Lan. Sama macam Kak Fina,” tegas Engku Zubaidah.
            Fadzlan berkira-kira, kedatangannya diwaktu yang salah. Sepatutnya dia duduk rumah, telan Maggi rebus dan rehat sepuasnya sambil tonton televisyen tanpa perlu menghabiskan air liur membahaskan ‘kedudukan ‘ Humairah dalam susur galur keluarga kecil mereka.
            “Dan nenek cukup tak berkenan cara Lan layan Humairah.” Engku Zubaidah memprotes perlahan.
            “Habis, nenek nak Lan layan budak lupa diri tu macam mana Lan layan keluarga sendiri?” Persoal Fadzlan dengan mata membulat penuh. Sejurus itu, dia angkat tangan dan menggeleng kepala. “No, Lan tak boleh. Nak hadap muka dia pun Lan tak boleh. Terpaksa!”
            “Nenek tak faham dengan kamu, Lan. Apa besar sangat kesalahan Humairah tu pada Lan sampai Lan bertindak macam ni? Lan sendiri tahu kan, bukan Humairah yang menyebabkan kejadian tu. Nenek mampu lupakan, kenapa Lan tak boleh?”
            Fadzlan tersenyum. Cukup sinis. Bengkak hati makin menjadi-jadi. Bertahun dulu, Engku Zubaidah mempertahankan Humairah. Afina juga berada di pihak Humairah. Sedang dia keseorangan menuding jari, menyalahkan Humairah di atas apa yang telah berlaku.
            “Lan bukan nenek. Lan bukan Kak Fina. Lan tak mampu lupakan apa yang dah berlaku. Sebab perempuan tu lah...”
            Fadzlan tidak jadi meneruskan kata-kata bila suara Afina kedengaran memanggil-manggil nama nenek. Engku Zubaidah sempat mengerling ke arah Fadzlan sebelum mendapatkan Afina di depan sana.
            “Eh Lan! Mimpi apa kau datang? Baru sehari pindah, dah rindu rumah dah ke?” usik Afina.
            Fadzlan tayang senyum penuh keterpaksaan.
            “Makan tengahari sini ke, Lan?” tanya Afina.
            Fadzlan mengangguk.
            “Itulah. Cuba kau tinggal kat rumah ni, kan senang. Hari-hari kau boleh makan free. Sedap pulak tu, kan nek?” ujar Afina seraya ketawa kecil.
            “Sempat pulak Kak Fina balik lunch rumah.” Fadzlan sekadar berbahasa. Mengalih topik Afina yang menjurus tentang perpindahannya. Baik Engku Zubaidah atau Afina sendiri sudah sedia maklum sebab utama dia angkat kaki dari rumah ini. Cumanya motif itu kian menjadi permainan mulut nenek dan kakaknya. Sering mempersoalkan hakikat dia tidak pernah mengakui kewujudan Humairah yang diangkat statusnya sebagai ahli keluarga Engku Zubaidah.
            “Hari ni aje,” beritahu Afina. Dia menanggalkan vest lalu dicampak atas kerusi. Dia membantu Engku Zubaidah menghidang makanan. Tiga biji pinggan diambil dari dalam kabinet. Pinggan-pinggan itu kemudiannya di susun teratur atas meja. Salah satunya diletak betul-betul depan mata Fadzlan.
            “Raya tahun ni mesti meriah, kan nek. Maklumlah, orang tu berpuasa dengan kita kat sini.” Afina berkata, merujuk kepada Fadzlan. Tersenyum-senyum perhati adik lelakinya itu.
            “Eh, puasa ganti entah dah habis ke belum, sibuk fikir nak puasa Ramadhan lah, rayalah,” pintas Engku Zubaidah.
            “Entah dia tu. Ada banyak bulan lagi kak, baru jumpa bulan mulia tu ha,” celah Fadzlan.
            Afina mencebik. “Alah, puasa ganti Kak Fina tinggal sehari aje.”
            Fadzlan gelihati melihat wajah cemberut Afina.
            “Insya-Allah, kalau panjang usia kita, jumpalah kita dengan bulan Ramadhan tu.” Engku Zubaidah berkata seraya ukir senyum halus.
            Fadzlan dan Afina saling berpandangan. Kemudian mereka berdua berbalas senyum.
            “Insya-Allah.” Sahut mereka hampir serentak.

DENGAN penuh berhati-hati, Fadzlan menolak daun pintu bilik yang kini dihuni oleh Humairah. Sempat dia pandang kiri kanan. Mana tahu, tiba-tiba Engku Zubaidah muncul di belakangnya. Tidakkah haru nanti jadinya? Setelah meyakini dia berseorangan di tingkat atas, pintu dikuak dengan lebih luas. Cepat-cepat dia masuk dan tutup pintu serta dikunci rapat. Keselamatan diri harus diutamakan.
            Liar matanya mengamati persekitaran bilik yang nampak ketara perbezaannya. Bilik perempuan katakan. Fadzlan mendekati katil dan tanpa segan silu, dia labuh duduk di atasnya.
            Laci meja kecil di sisi katil, ditarik keluar. Mengintai isi dalam laci berkenaan. Tiada apa-apa yang menarik pun. Dia tutup kembali laci tersebut. Lama dia duduk diam tanpa berbuat apa-apa selain menikmati pemandangan bilik ini. Macam manalah Engku Zubaidah boleh terfikir hendak menukar pemilik asal bilik ini kepada orang lain? Geram bila memikirkan keadaan itu.
            Sedang asyik mata melilau pandang itu ini, renungan matanya melurut pada bingkai gambar yang terletak elok di atas meja tadi. Lama dia pandang sebelum ringan tangan mengambil bingkai gambar tersebut.
            “Ini bukan gambar raya tahun lepas ke?” Fadzlan berkata sendirian.
            Tidak salah lagi! Raya tahun lepas, mereka mengenakan baju sedondon. Semua pilih kain warna baby blue. Itu pun hasil cadangan Afina. Sampai-sampai di rumah, Afina terus tayang baju melayu yang sudah siap dijahit itu kepadanya.
            Matanya tersorot kepada manusia yang berdiri paling hujung sebelah kanan. Manusia itu berdiri hampir dengan Afina yang berada di tengah-tengah. Manakala dia di sebelah kiri.
            Dia tatap lagi. Humairah di dalam gambar itu sedang senyum lebar. Manis wajahnya. Dia pula senyum yang dibuat-buat sampai jelas kelihatan kekayuan di situ.
            Humairah.
            Laksana angin, nama itu diseru oleh hati sepintas lalu. Fadzlan menghela nafas panjang. Bila nenek sering mengungkit sikapnya terhadap Humairah, dia sering naik bengang. Malah dipertontonkan rasa hati itu depan mata semua orang. Hakikatnya? Fadzlan sentuh dada yang berdetak nornal. Di situ tersimpan luka yang sukar dipulihkan. Humairah... hati membidik nama itu.
            Fadzlan meletak semula bingkai gambar tadi di tempat asalnya. Dia terdengar Engku Zubaidah memanggil namanya. Sepantas kilat, dia berlari keluar dari situ.

***********************

Bab 19
HAIKAL meraup wajahnya. Sesudah itu, dia capai tasbih dan mula membasahkan lidah dengan kalimah-kalimah suci, memuji Allah yang Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu di atas muka bumi ini. Haikal duduk berteleku begitu sehingga cahaya mentari pagi menyusup masuk melalui celah jendela yang terbuka sedikit itu.
            “Haikal.”
            Haikal buka mata. Bibirnya berhenti mengalun kalimah suci. Tasbih diletak kembali di atas meja di sisi katil. Dia bangun dan menyidai sejadah di atas sampiran besi yang terletak di penjuru biliknya.
            “Ya, nek!” Haikal  menyahut. Bergegas keluar dari bilik dan menuju ke arah datangnya suara yang memanggil lembut itu.
            Sebaik sahaja memijak ruang dapur, Haikal terpaku untuk seketika. Satu persatu hidangan yang disusun elok di atas meja diperhatikannya. Ada dua bungkus nasi lemak, kuih karipap, kuih donut dan roti bakar.
            “Apa yang kamu tengok tu, Haikal? Duduklah. Kita sarapan sama-sama,” panggil Rosnah.
            Haikal menghampiri Rosnah. Dia ambil tempat di hadapan Rosnah. Ekor matanya masih memerhatikan setiap hidangan yang tersedia depan mata. Silih berganti.
            “Nenek keluar beli sarapan?” soal Haikal.
            Rosnah mengangguk.
            “Kenapa nenek tak tunggu saya? Biar saya yang belikan untuk nenek,” kata Haikal sedikit kesal.
            Rosnah menggeleng kepala. “Apalah kamu ni, Haikal. Kedai tu depan sana tu aje. Tak sempat berpeluh pun nenek ulang-alik dari sana ke sini,” balas Rosnah. Dia hulur secangkir kopi kepada Haikal. Haikal menyambut lemah.
            “Nenek kena jaga kesihatan. Tak boleh banyak bergerak. Nanti nenek sakit,” ujar Haikal. Hujung jari bermain di bibir cawan.
            “Ajaran mana kamu pakai? Kalau nak sihat kenalah banyak berjalan. Kalau nenek duduk senyap sepanjang masa, tak sihat.” Rosnah meningkah tegas. Selalu sangat Haikal menyuruh dia berehat walhal dia tidak sakit pun. Fizikalnya sihat walafiat, Alhamdulillah. Cuma yang sakit, nuraninya. Hatinya tidak sesihat dahulu. Meski begitu, dia pamer kekuatan itu. Dia enggan membiarkan Haikal susah hati.
            “Dah makan. Hari ni, nenek belanja kamu makan.”
            Spontan, Haikal ketawa gelihati.
            “Kena makan banyak ni, sebab nenek belanja,” seloroh Haikal. Diaambil kuih karipap lalu disumbat ke dalam mulut. Mulutnya mengunyah perlahan. Keenakan karipap kentang itu begitu terasa.
            “Hari ni, saya boleh teman nenek kat rumah. Tak adalah nenek kebosanan.” Haikal ukir senyum polos.
            “Kamu tak kerja?”
            “Cuti.”
            “Kenapa? Sakit?”
            Haikal menggeleng.
            “Habis tu?” Rosnah mencubit donat sambal sedikit demi sedikit.
            “Nak temankan nenek.” Haikal tatap wajah  Rosnah. Bila tatap lama-lama wajah Rosnah, mengingatkan dia kepada ibu sendiri. Langsung membuka luka di hati yang telah lama dipendam. Haikal segera kalih mata. Tidak sanggup menyusuri perasaan itu. Mendera jiwa yang sedia rapuh.
            “Eh, kenapa pulak? Semalam kamu tak kerja, dah teman nenek. Tak keluar pun dengan kawan-kawan. Hari ni, ambil cuti pulak. Kan bagus kalau kerja. Dapat simpan duit untuk kegunaan kamu sendiri.”
            Haikal senyum nipis. “Sekali-sekala nek. Asyik hadap kerja aje. Teringin jugak habiskan masa dengan kekasih hati saya ni.” Haikal senyum menyeringai.
            “Nenek ni dah tua. Tak payah nak jadikan kekasih kamu.”
            “Eh, tua-tua pun, nenek manis. Kalau senyum, fuh! Gugur jantung saya ni, nek.” Semakin giat Haikal mengusik. Tidak sempat mengelak tamparan Rosnah.
            “Tamparan nenek ni rasa macam belaian lembutlah.” Haikal mengenyit mata nakal kepada Rosnah.
            “Eh, budak ni!” Rosnah sudah bersiap sedia hendak mengepit lengan Haikal namun kali ini Haikal sempat mengelak. Terdekah-dekah dia ketawa.
            “Cukuplah nenek seorang jadi kekasih hati saya. Saya tak perlukan orang lain,” tutur Haikal seraya kulum senyum di hujung bibir. Dia menghampiri Rosnah, lalu memeluk tubuh itu. Rosnah memegang lengan Haikal. Mereka saling berkongsi perasaan yang sama- KEPEDIHAN.

LEBIH kurang jam sembilan pagi, Haikal mengajak Rosnah pergi ke Mydin yang terletak lebih kurang empat puluh lima minit perjalanan dari kawasan perumahan tempat tinggal mereka. Haikal memarkir kereta di lot parkir yang kedudukannya hampir dengan pintu masuk. Kalau parkir jauh-jauh nanti, kasihan pula Rosnah perlu menapak di tengah panas sebelum mencecah pintu gerbang tersebut.
            “Nenek nak shopping apa hari ni?” Haikal memimpin tangan Rosnah. Mereka berdua berjalan seiringan.
            “Bukan ke kamu yang nak beli barang tadi? Nenek tak ada apa-apa yang nak dibeli,” kata Rosnah.
            “Kita beli barang dapurlah, nek. Beras, gula tu semua, macam dah nak habis aje,” cadang Haikal. Sudah siap-siap membuat senarai barang yang harus dibeli di sini. Dikeluarkan kertas yang dilipat-lipat dari poket seluar.
            “Eh, dah tulis?”
            Haikal mengangguk. “Nenek jugak yang selalu pesan, kalau nak beli barang, senaraikan siap-siap.”
            “Jom nek. Kita mulakan sesi membeli-belah!” Haikal menarik Rosnah sehingga terjerit-jerit wanita itu. Haikal ketawa.
            Dari satu bahagian ke satu bahagian diterjah oleh mereka. Hampir penuh troli yang diusung mereka dengan barang-barang keperluan harian. Rosnah yang mulai keletihan itu disuruh menunggu di luar sementara Haikal menunggu giliran untuk membayar semua barang-barang di dalam troli.
            Sambil menunggu giliran, Haikal memerhatikan persekitarannya yang agak lengang. Maklumlah, hari bekerja. Oleh sebab itu, dia lebih suka mengunjungi pasaraya besar seperti Mydin di hari-hari biasa berbanding hari cuti kerana di hari cuti seperti Sabtu dan Ahad, kepadatan manusia tidak dapat dinafikan lagi. Silap-silap boleh berlaku kesesakan lalu lintas troli.
            “Kak Fina, cukup ke barang-barang ni?”
            Dalam banyak-banyak suara yang didengari, suara lembut itu juga yang berjaya mengetuk gegendang telinga Haikal. Serentak dengan itu, Haikal angkat muka. Paling wajah ke kiri dan kanan. Mencari-cari pemilik suara yang dirasakan berada hampir dengannya.
            “Kak Fina jangan lupa tau. Abang Azfar jemput kita datang rumah dia. Emak dia ada buat kenduri sekali majlis potong jambul anak saudara dia.”
            Haikal mengecilkan mata. Liar memerhati manusia-manusia yang lalu-lalang depan mata. Ekor mata tersorot ke arah susuk tubuh seseorang yang berdiri tidak jauh dari tempatnya. Membulat mata Haikal waktu itu. Rahangnya jatuh ke bawah. Bagai tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
            Kaki yang memaku lantai tadi mulai mampu bergerak selangkah demi selangkah mendekati gadis itu, diiringi debaran yang kian menggila. Haikal merasakan jantungnya hampir-hampir jatuh menyembah bumi.
            “Ara.”  Bibirnya bergetar menyebut nama Humairah.
            “Ara.” Dia sebut lagi nama itu.
            Haikal memanjangkan langkah, mengejar di gadis yang sudah jauh di depan sana. Kegopohan Haikal telah menyebabkan pelanggaran kecil berlaku antara dia dan seorang pekerja di pasaraya besar itu. Bila dia angkat muka, gadis tadi telah hilang dari pandangan. Tergesa-gesa dia menjejak ke mana perginya gadis itu. Haikal berlegar-legar di sekitar kawasan berdekatan, tetapi hampa. Bayang gadis tadi hilang sekelip mata.
            Dalam langkah longlai, Haikal kembali mendapatkan troli yang ditinggalkan tadi. Sampai sahaja di tempat tadi, trolinya sudah ditolak ke tepi. Dan dia terpaksa menunggu lagi sebelum tiba giliran dia membayar harga kesemua barang-barang itu.
            Sepanjang perjalanan pulang, Haikal lebih banyak mendiamkan diri. Sesekali sahaja menyahut bila Rosnah mengaju soalan. Rosnah naik pelik melihat perubahan kelakuan Haikal. Walhal sebelum ini, Haikal paling banyak berceloteh sehingga dia sendiri naik penat melayan.
            “Haikal...” Rosnah menegur lembut. Ketika itu mereka sedang menyusuri simpang tiga sebelum sampai ke kawasan perumahan yang didiami mereka berdua.
            “Haikal.” Rosnah memanggil lagi. Kali ini suaranya sedikit kuat.
            Haikal tersentak. Hilang bayangan gadis yang menyerupai Humairah dari ruang fikiran. Terus menoleh sekilas ke arah Rosnah.
            “Kenapa nek?” soal Haikal.
            “Sepatutnya nenek yang tanya kamu. Dari tadi kamu senyap aje. Ada apa-apa ke, Haikal?” Rosnah pula bertanya penuh perasaan ingin tahu.
            Haikal menggeleng laju. Tidak akan sesekali buka mulut menceritakan apa yang dialaminya tadi.
            “Habis tu? Kenapa senyap? Nenek tanya sepatah, kamu jawab sepatah,” gumam Rosnah.
            Haikal kulum senyum. “Nenek rindu eh nak dengar suara kekasih hati nenek ni?”
            “Eh, budak ni. Orang tanya lain, dia jawab lain.” Rosnah membebel geram.
            Terdekah-dekah Haikal ketawa.
            “Tak ada apa-apalah nek. Saya baik-baik aje. Cuma saya...” Bicara Haikal terputus di situ.
            Rosnah merenungi Haikal. Cukup lama.
            “Cuma apa, Haikal?”
            Haikal menarik nafas panjang.
            “Saya rindukan emak,” luah Haikal. Betapa perasaan itu tidak pernah pudar dari hati.
            Rosnah memahami perasaan Haikal. Kalau Haikal rindukan arwah Kamsiah, dia pula merindui Humairah.
            Humairah, di mana kau nak?
            Akhirnya, Rosnah turut terjebak ke dalam kesunyian yang melingkari Haikal sebentar tadi.

AFINA naik pelik melihat tingkah Humairah. Tadi, sedang elok dia jalan menuju ke kaunter bayaran, Humairah cekap tarik dia masuk ke lorong yang menjual pelbagai jenis barangan tenusu, berhampiran bahan-bahan basah seperti ikan dan daging. Bila ditanya, Humairah diam sahaja.
            “Ada orang pandang kita semacamlah, Kak Fina.” Akhirnya Humairah buka mulut menceritakan sebab mengapa dia berkelakuan seperti itu.
            Naik tinggi kening Afina. Dia tidak perasan sesiapa pun yang mencurigakan.
            “Siapa?” Afina menyoal sambil menyumbat barang-barang yang dibeli tadi masuk ke bonet belakang. Humairah turut membantu.
            “Entah,” jawab Humairah serba ringkas.
            “Lelaki?”
            Humairah mengangguk.
            “Dia cari orang kot.” Afina membuat tekaan rambang. Enjin kereta dihidupkan.
            “Tak,” pintas Humairah.
            “Mai perasan dia kejar kita. Lepas tu dia tercari-cari.” Humairah meyakinkan apa yang dilihat tadi. Serius, dia sendiri nampak lelaki itu melintas di depannya. Waktu itu dia sembunyi muka. Lama jugalah dia perhati lelaki itu asyik berlegar-legar di sekitar kawasan tersebut sebelum menghilang entah ke mana.
            “Perasaan Mai aje agaknya.” Afina berkata, berniat hendak menenangkan perasaan Humairah.
            Humairah mendiamkan diri. Fikirannya melewati kejadian tadi. Entah kenapa, bila menyedari diri diperhatikan, dia jadi takut. Sangat takut sehingga menimbulkan satu perasaan yang tidak pernah melewati diri sebelum ini.
            “Mai, majlis kenduri tu mula pukul berapa?” Dengan lafaz Bismillah, Afina menekan pedal minyak. Ekor mata menyoroti Humairah.
            “Mai!” Afina menegur. Peha Humairah ditepuk kuat.
            Humairah terperanjat. Terkebil-kebil pandang Afina.
            “Menungkan apa tu?” soal Afina.
            Humairah tayang gelengan laju.
            “Tadi Kak Fina cakap apa?”
            “Ni ha, majlis tu pukul berapa?”
            “Majlis apa?”
            “Eh, budak ni. Lupalah tu. Majlis kat rumah bos Mai tu.” Afina mengingatkan.
            Humairah tepuk dahi. “Lepas Maghrib katanya. Kak Fina dan nenek kena ikut tau. Emak Abang Azfar jemput suruh pergi sekali.”
            “Alah, Kak Fina malaslah,” dalih Afina.
            “Kak Fina kena pergi jugak. Mai mestilah dengan kawan-kawan Mai. Kalau Kak Fina tak pergi, kasihan nenek sorang-sorang.”
            “Sure ke nenek nak pergi sana?”
            “Confirm!” Humairah berkata yakin.
            Afina hela nafas. Kalau nenek sudah putuskan hendak pergi, mahu tidak mahu, dia kena ikut sekali.

MAJLIS kenduri kesyukuran dan potong jambul itu berjalan lancar dengan kehadiran sanak-saudara, teman-teman dan jemputan-jemputan yang dikenali. Salah seorang jemputan khas itu ialah Engku Zubaidah dan Afina. Di majlis ini barulah Engku Zubaidah dan Puan Habibah- ibu Azfari, saling berkenalan. Bila Engku Zubaidah nampak ramah berbual bersama Puan Habibah, Afina ambil peluang melarikan diri, menempel di sisi Humairah dan kawan-kawannya.
            Tadi, sempat juga Afina gomol dan cubit pipi temban bayi yang diraikan malam ini. Nama diberi- Muhammad Ziyad Sidqi. Dia percaya, nama itu membawa makna yang baik-baik.
            Mata Afina tersorot kepada seorang lelaki tinggi lampai dan berkaca mata yang mengatur langkah mendekati kumpulan mereka. Atas bawah dia perhati lelaki itu. Penampilannya biasa-biasa sahaja dengan baju melayu berwarna biru lembut dan berkain pelikat.
            “Korang dah makan belum?” Suara garau Azfari mengundang perhatian Humairah, Puteri dan Farah. Tidak terkecuali, Afina.
            “Dah kenyang dah, Abang Azfar. Habis lauk tu kitaorang balun.” Farah yang terkenal dengan sikap loyar buruknya- berseloroh diiringi senyum lebar.
            Azfari mengangguk kecil. Bila dia toleh kanan, pandangannya bertempur dengan seseorang yang tidak dikenali, duduk rapat hampir dengan Humairah.
            “Saya kakak sepupu Humairah.” Afina berkata, secara tidak langsung memperkenalkan diri apabila merasakan pandangan Azfari kepadanya seoalah berbaur hairan.
            Seperti tadi, Azfari angguk kepala sahaja. Senyum pun sedikit cuma.
            “Ini Kak Fina.” Humairah memperkenalkan Afina dan Azfari. Untuk kali kedua, Afina dan Azfari saling berbalas renungan.
            “Sepupu Mai yang seorang lagi tu, tak datang ke?” Tumpuan Azfari kembali kepada Humairah.
            Berkerut wajah Humairah. “Siapa?” soalnya kembali.
            “Yang lelaki hari tu.” Azfari mengingatkan.
            Barulah Humairah mengerti. Fadzlan yang dimaksudkan Azfari.
            “Dia tak sihat,” jawabnya. Afina sudah mencuit-cuit kakinya tetapi dia buat tidak tahu. Tidak disampaikan pun jemputan itu kepada Fadzlan kerana dia sedia tahu jawapannya nanti.
            “Siapa tadi tu?” Afina melontar pertanyaan sementelah bayang Azfari tiada depan mata.
            Humairah fikir, Afina akan bertanya kenapa dia cakap depan Azfari yang Fadzlan tidak sihat. Humairah senyum penuh curiga bila menyedari soalan Afina itu dipenuhi rasa ingin tahu. Afina yang menyedari diri diperhati begitu, pantas angkat jari telunjuk dan digerakkan ke kiri dan ke kanan berulang-ulang kali.
            “Kak Fina tanya sebab Kak Fina nak tahu.”
            “Iye ke?” Humairah sengaja memprovokasi.
            “Betul!” Afina menjengilkan matanya yang bulat itu.
            Humiarah ketawa perlahan.
            “Itu bos kita orang. Nama dia Azfari. Kita orang panggil dia Abang Azfar,” jelas Humairah.
            Terangguk-angguk kepala Afina. Azfari rupanya nama dia. Sebelum ini, kerap juga dia hantar dan jemput Humairah, tapi tidak pula ternampak si Azfari.
            “Kenapa, Kak Fina? Nak berkenalan ke?” usik Humairah.
            “Eh! Tak!” Berdecit suara Afina. Tiba-tiba muka dia rasa panas.
            Humairah ketawa. Bersahut-sahutan dengan Puteri dan Farah yang memerhatikan dia.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Gigihnya aku mencari homestay untuk convo nanti. Very the zemangat kan I ni hihi. Padahal takut tak ada tempat nak bermalam macam dulu. Nasib tak berkampung dalam kereta. Sedih! Okayyy... sekarang ni sedang mengira detik waktu nak balik, habiskan masa dengan family sambil 'tanam anggur' dan menambah kecomelan dengan menikmati makanan sesedap air tangan emak hahaha. Tata! :)

6 comments:

Ruunna Qizbal said...

:)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Ruunna Qizbal

Hi awak :) Thanks drop sini :)

Siti Mahizan ( Ayra Zahra ) said...

ahaaaa...Nyaris2 nak terserempak..Ngehhh...:D

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Ayra

Hihi. Babe, ko kena doakan aku supaya tak ubah2 jalan cerita ni babe. Pusing kepala hamba -..-"

ilman_nafi@ said...

Wah!
Nk jmpa dh..hehe..
Lps ni blh la ada n3 tiap2 hri..
Hehehe ^__^V

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ilman_nafi

:) thanks drop sini.

Entri setiap hari?ohhh..tidak.hihi.sminggu sekali aje kite update kphm ni..:) kalo rajin,dua kali seminggu.. :)