"...To compel someone to adopt virtue never makes a virtuous man. Also forcing people to have faith never result in faithful hearts. It is freedom which is the base of virtue..." - Muhammad El-Ghazali
Bab 18
PENGALAMAN berkerja di sebuah syarikat luar
negara sebagai seorang programmer menjadikan CV empunya milik Engku Fadzlan
Engku Uzair kelihatan hebat dibandingkan beberapa pemohon yang lain. Tidak
sampai tiga hari selepas sesi temuduga, dia telah ditawarkan jawatan yang
dipohon. Malah syarikat berkenaan menawarkan gaji lebih dari apa yang
diletaknya semasa sesi temuduga tempoh hari. Tidak pula dia menyangka rezeki
datang sepantas ini. Masih berbaki seminggu cuti merehatkan diri. Lusa, dia
sudah masuk kerja. Masa berehat tamat serta-merta.
Semalam
dia bertungkus-lumus angkut segala keperluan peribadi, humban ke dalam beg dan
secara rasminya dia meninggalkan rumah Engku Zubaidah. Dalam diam, dia berasa
berat hati hendak meninggalkan Engku Zubaidah meski Afina masih tinggal bersama
nenek mereka. Iyalah, dia satu-satunya cucu lelaki tetapi boleh pula lepas
tangan. Sepatutnya dia yang jaga nenek, berada disamping nenek selalu. Ini
tidak. Makin bawa diri. Kalau bukan kerana Humairah tinggal bersama mereka,
pasti dia akan jaga nenek siang malam. Menemani nenek setiap detik waktu.
Apakan daya, dia lebih mengikut tuntutan hati. Biarlah, nanti setiap hujung minggu,
dia akan datang jumpa nenek.
Fadzlan
yang terbaring selesa di atas kerusi panjang di ruang tamu, begitu khusyuk
menonton rancangan yang tersiar dikaca televisyen, sehinggalah perutnya yang
tidak diisi apa-apa sejak pagi mulai berkeroncong minta diisi. Fadzlan menekan
perut. Aduh, lapar! Fadzlan lekas bangkit dari pembaringan. Liar mata menujah
ke arah jam dinding. Belum pun injak tengahari. Fadzlan mengeluh.
Dengan
malas, dia hayun kaki ke dapur. Menyelongkar setiap ruang kabinet. Mencari-cari
makanan yang boleh dijadikan alas perut. Hakimi dan Izhar, teman serumah mereka
sudah memberi green light. Katanya, kalau lapar, masuk sahaja ke dapur dan
ambillah apa pun makanan yang ada. Sharing is caring katanya.
Maggi
aje? Gerutu Fadzlan seraya mengambil sebungkus Maggi kari dari dalam kabinet.
Mentang-mentang dah balik Malaysia, selera makan bukan main demand. Pandang
Maggi pun tak mahu, sedang di sana dahulu, Maggi lah yang dia cari.
Cerek
atas dapur diambil dan dia isi dengan air paip melalui lubang cerek. Selepas
itu, dia jerang atas api. Sambil-sambil tunggu air masak, dia duduk menikmati
kesunyian rumah yang dihuni oleh tiga orang jejaka yang masih bujang ‘trang
tang tang’. Usia mereka lebih kurang. Cuma Izhar tua setahun dari mereka,
tetapi tengok betul-betul, kelihatan Izhar lebih muda dari mereka. Maklumlah,
muka spesis baby face.
Apa
agaknya menu tengahari nenek? Fadzlan terbayang-bayang masakan Engku Zubaidah.
Tidak dinafikan, naik kecur air liur sendiri bila mengenangkan makanan air
tangan Engku Zubaidah. Alahai! Kalaulah dia tinggal dengan nenek, tentu
perutnya sentiasa kenyang. Setiap hari makan sedap-sedap. Fadzlan tarik nafas.
Ini gara-gara Humairah! Andai Humairah tidak wujud di rumah itu, pasti saat ini
dia berkepit dengan nenek. Dan andai kata Humairah tidak pernah muncul dalam
hidup mereka, tentunya keadaan berbeda.
DERUAN enjin kereta yang kedengaran kuat itu
menarik perhatian Engku Zubaidah yang duduk di ceruk dapur, menyediakan makan
tengahari untuk dirinya dan Afina. Kata Afina hendak makan di rumah hari ini.
Terus dia bergegas menuju ke pintu utama. Fikirnya Afina sudah pulang. Rupanya
tersembul muka Fadzlan yang tersengih-sengih pandang dia.
“Hah,
Lan! Kau dari mana?” Engku Zubaidah menyambut salam Fadzlan.
“Dari
rumah,” beritahu Fadzlan. Bau enak masakan memenuhi lubang hidung Fadzlan. Dek
kerana enggan menjamah Maggi semata, dia ambil keputusan datang rumah Engku
Zubaidah. Lagipun bukan jauh mana. Dalam lima belas minit perjalanan.
Alang-alang masih dalam mood cuti, ada baiknya dia bertandang ke sini. Nanti
kalau sudah mula bekerja, hujung minggu baru boleh tayang muka.
“Nenek
masak apa? Wanginya bau!” Fadzlan kembangkan lagi hidungnya. Lekas menonong ke
dapur. Periuk atas dapur dijenguk berserta kuluman senyum. Menggelegak isi
dalam periuk itu. Pekat kuah asam pedas itu cukup membuat dia teruja hendak
makan. Apatah lagi baunya yang sungguh memikat.
“Kenapa
Lan tak cakap dengan nenek nak datang?” aju Engku Zubaidah. Dia capai senduk
besi dan mengacau asam pedas ikan pari yang menggelegak itu.
“Spontan
je nek. Lapar punya pasal,” balas Fadzlan. Masih tayang sengih. Terlihat
susunan giginya yang memutih dan cantik itu.
“Itulah.
Ada rumah, nak pindah keluar. Kan senang kalau Lan tinggal dengan nenek, dengan
Kak Fina. Makan pakai Lan terjaga. Tak payah bazir duit bayar sewa rumah. Boleh
simpan untuk masa depan,” omel Engku Zubaidah.
“Lan
nak berdikarilah nek.” Fadzlan menjawab.
Engku
Zubaidah menoleh sekilas. Berdikari? Masih tidak cukupkah tahun-tahun sebelum
ini Fadzlan berdiri di atas kaki sendiri semasa tinggal di luar negara? Tinggal
bersama keluarga, tidak bermakna tidak tahu berdikari. Semua bergantung atas
niat.
“Sampai
bila Lan nak macam ni?” Engku Zubaidah mengheret Fadzlan ke kancah persoalan
yang sememangnya tidak ingin disusuri oleh pemuda itu.
Fadzlan
tarik kerusi. Dia duduk dengan pandangan mata memerhatikan Engku Zubaidah.
“Sampai
bila perempuan tu tinggal dengan nenek?” Fadzlan tidak menjawab, sebaliknya
berani melontar pertanyaan kepada Engku Zubaidah. Serta-merta, tingkah Engku
Zubaidah terbejat. Dalam nafas yang panjang, Engku Zubaidah berkalih memandang
Fadzlan yang berwajah serius. Tiada sengihan, tiada senyuman yang dibuat-buat.
“Nenek
tanya Lan, Lan tak jawab. Lepas tu kaitkan Humairah pula.” Engku Zubaidah
menggetus kurang senang. Kadang-kadang dia sendiri tahan rasa bila berdepan
Fadzlan yang keras hatinya.
“Lan
datang sini nak makan masakan yang nenek masak sampai pecah perut, bukannya nak
buka topik pasal perempuan tu.” Fadzlan cuba mengendurkan suaranya yang
kedengaran tegang dipermulaan bicara.
Engku
Zubaidah tidak membalas. “Lan tak boleh ke anggap Humairah tu macam keluarga
kita sendiri?”
“Keluarga?
Dia bukan sesiapa bagi kita, nek.” Fadzlan meningkah.
“Bagi
Lan, dia bukan sesiapa. Tapi pagi nenek, dia cucu nenek. Sama macam Lan. Sama
macam Kak Fina,” tegas Engku Zubaidah.
Fadzlan
berkira-kira, kedatangannya diwaktu yang salah. Sepatutnya dia duduk rumah,
telan Maggi rebus dan rehat sepuasnya sambil tonton televisyen tanpa perlu
menghabiskan air liur membahaskan ‘kedudukan ‘ Humairah dalam susur galur
keluarga kecil mereka.
“Dan
nenek cukup tak berkenan cara Lan layan Humairah.” Engku Zubaidah memprotes
perlahan.
“Habis,
nenek nak Lan layan budak lupa diri tu macam mana Lan layan keluarga sendiri?”
Persoal Fadzlan dengan mata membulat penuh. Sejurus itu, dia angkat tangan dan
menggeleng kepala. “No, Lan tak boleh. Nak hadap muka dia pun Lan tak boleh.
Terpaksa!”
“Nenek
tak faham dengan kamu, Lan. Apa besar sangat kesalahan Humairah tu pada Lan
sampai Lan bertindak macam ni? Lan sendiri tahu kan, bukan Humairah yang
menyebabkan kejadian tu. Nenek mampu lupakan, kenapa Lan tak boleh?”
Fadzlan
tersenyum. Cukup sinis. Bengkak hati makin menjadi-jadi. Bertahun dulu, Engku
Zubaidah mempertahankan Humairah. Afina juga berada di pihak Humairah. Sedang
dia keseorangan menuding jari, menyalahkan Humairah di atas apa yang telah
berlaku.
“Lan
bukan nenek. Lan bukan Kak Fina. Lan tak mampu lupakan apa yang dah berlaku.
Sebab perempuan tu lah...”
Fadzlan
tidak jadi meneruskan kata-kata bila suara Afina kedengaran memanggil-manggil
nama nenek. Engku Zubaidah sempat mengerling ke arah Fadzlan sebelum
mendapatkan Afina di depan sana.
“Eh
Lan! Mimpi apa kau datang? Baru sehari pindah, dah rindu rumah dah ke?” usik
Afina.
Fadzlan
tayang senyum penuh keterpaksaan.
“Makan
tengahari sini ke, Lan?” tanya Afina.
Fadzlan
mengangguk.
“Itulah.
Cuba kau tinggal kat rumah ni, kan senang. Hari-hari kau boleh makan free.
Sedap pulak tu, kan nek?” ujar Afina seraya ketawa kecil.
“Sempat
pulak Kak Fina balik lunch rumah.” Fadzlan sekadar berbahasa. Mengalih topik
Afina yang menjurus tentang perpindahannya. Baik Engku Zubaidah atau Afina
sendiri sudah sedia maklum sebab utama dia angkat kaki dari rumah ini. Cumanya
motif itu kian menjadi permainan mulut nenek dan kakaknya. Sering mempersoalkan
hakikat dia tidak pernah mengakui kewujudan Humairah yang diangkat statusnya
sebagai ahli keluarga Engku Zubaidah.
“Hari
ni aje,” beritahu Afina. Dia menanggalkan vest lalu dicampak atas kerusi. Dia
membantu Engku Zubaidah menghidang makanan. Tiga biji pinggan diambil dari
dalam kabinet. Pinggan-pinggan itu kemudiannya di susun teratur atas meja.
Salah satunya diletak betul-betul depan mata Fadzlan.
“Raya
tahun ni mesti meriah, kan nek. Maklumlah, orang tu berpuasa dengan kita kat
sini.” Afina berkata, merujuk kepada Fadzlan. Tersenyum-senyum perhati adik
lelakinya itu.
“Eh,
puasa ganti entah dah habis ke belum, sibuk fikir nak puasa Ramadhan lah,
rayalah,” pintas Engku Zubaidah.
“Entah
dia tu. Ada banyak bulan lagi kak, baru jumpa bulan mulia tu ha,” celah
Fadzlan.
Afina
mencebik. “Alah, puasa ganti Kak Fina tinggal sehari aje.”
Fadzlan
gelihati melihat wajah cemberut Afina.
“Insya-Allah,
kalau panjang usia kita, jumpalah kita dengan bulan Ramadhan tu.” Engku
Zubaidah berkata seraya ukir senyum halus.
Fadzlan
dan Afina saling berpandangan. Kemudian mereka berdua berbalas senyum.
“Insya-Allah.”
Sahut mereka hampir serentak.
DENGAN penuh berhati-hati, Fadzlan menolak
daun pintu bilik yang kini dihuni oleh Humairah. Sempat dia pandang kiri kanan.
Mana tahu, tiba-tiba Engku Zubaidah muncul di belakangnya. Tidakkah haru nanti
jadinya? Setelah meyakini dia berseorangan di tingkat atas, pintu dikuak dengan
lebih luas. Cepat-cepat dia masuk dan tutup pintu serta dikunci rapat.
Keselamatan diri harus diutamakan.
Liar
matanya mengamati persekitaran bilik yang nampak ketara perbezaannya. Bilik
perempuan katakan. Fadzlan mendekati katil dan tanpa segan silu, dia labuh
duduk di atasnya.
Laci
meja kecil di sisi katil, ditarik keluar. Mengintai isi dalam laci berkenaan.
Tiada apa-apa yang menarik pun. Dia tutup kembali laci tersebut. Lama dia duduk
diam tanpa berbuat apa-apa selain menikmati pemandangan bilik ini. Macam
manalah Engku Zubaidah boleh terfikir hendak menukar pemilik asal bilik ini
kepada orang lain? Geram bila memikirkan keadaan itu.
Sedang
asyik mata melilau pandang itu ini, renungan matanya melurut pada bingkai
gambar yang terletak elok di atas meja tadi. Lama dia pandang sebelum ringan
tangan mengambil bingkai gambar tersebut.
“Ini
bukan gambar raya tahun lepas ke?” Fadzlan berkata sendirian.
Tidak
salah lagi! Raya tahun lepas, mereka mengenakan baju sedondon. Semua pilih kain
warna baby blue. Itu pun hasil cadangan Afina. Sampai-sampai di rumah, Afina
terus tayang baju melayu yang sudah siap dijahit itu kepadanya.
Matanya
tersorot kepada manusia yang berdiri paling hujung sebelah kanan. Manusia itu
berdiri hampir dengan Afina yang berada di tengah-tengah. Manakala dia di sebelah
kiri.
Dia
tatap lagi. Humairah di dalam gambar itu sedang senyum lebar. Manis wajahnya.
Dia pula senyum yang dibuat-buat sampai jelas kelihatan kekayuan di situ.
Humairah.
Laksana
angin, nama itu diseru oleh hati sepintas lalu. Fadzlan menghela nafas panjang.
Bila nenek sering mengungkit sikapnya terhadap Humairah, dia sering naik
bengang. Malah dipertontonkan rasa hati itu depan mata semua orang. Hakikatnya?
Fadzlan sentuh dada yang berdetak nornal. Di situ tersimpan luka yang sukar
dipulihkan. Humairah... hati membidik nama itu.
Fadzlan
meletak semula bingkai gambar tadi di tempat asalnya. Dia terdengar Engku
Zubaidah memanggil namanya. Sepantas kilat, dia berlari keluar dari situ.
***********************
Bab 19
HAIKAL meraup wajahnya. Sesudah itu, dia capai
tasbih dan mula membasahkan lidah dengan kalimah-kalimah suci, memuji Allah
yang Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu di atas muka bumi ini. Haikal duduk
berteleku begitu sehingga cahaya mentari pagi menyusup masuk melalui celah
jendela yang terbuka sedikit itu.
“Haikal.”
Haikal
buka mata. Bibirnya berhenti mengalun kalimah suci. Tasbih diletak kembali di
atas meja di sisi katil. Dia bangun dan menyidai sejadah di atas sampiran besi
yang terletak di penjuru biliknya.
“Ya,
nek!” Haikal menyahut. Bergegas keluar
dari bilik dan menuju ke arah datangnya suara yang memanggil lembut itu.
Sebaik
sahaja memijak ruang dapur, Haikal terpaku untuk seketika. Satu persatu
hidangan yang disusun elok di atas meja diperhatikannya. Ada dua bungkus nasi
lemak, kuih karipap, kuih donut dan roti bakar.
“Apa
yang kamu tengok tu, Haikal? Duduklah. Kita sarapan sama-sama,” panggil Rosnah.
Haikal
menghampiri Rosnah. Dia ambil tempat di hadapan Rosnah. Ekor matanya masih
memerhatikan setiap hidangan yang tersedia depan mata. Silih berganti.
“Nenek
keluar beli sarapan?” soal Haikal.
Rosnah
mengangguk.
“Kenapa
nenek tak tunggu saya? Biar saya yang belikan untuk nenek,” kata Haikal sedikit
kesal.
Rosnah
menggeleng kepala. “Apalah kamu ni, Haikal. Kedai tu depan sana tu aje. Tak
sempat berpeluh pun nenek ulang-alik dari sana ke sini,” balas Rosnah. Dia
hulur secangkir kopi kepada Haikal. Haikal menyambut lemah.
“Nenek
kena jaga kesihatan. Tak boleh banyak bergerak. Nanti nenek sakit,” ujar
Haikal. Hujung jari bermain di bibir cawan.
“Ajaran
mana kamu pakai? Kalau nak sihat kenalah banyak berjalan. Kalau nenek duduk
senyap sepanjang masa, tak sihat.” Rosnah meningkah tegas. Selalu sangat Haikal
menyuruh dia berehat walhal dia tidak sakit pun. Fizikalnya sihat walafiat,
Alhamdulillah. Cuma yang sakit, nuraninya. Hatinya tidak sesihat dahulu. Meski
begitu, dia pamer kekuatan itu. Dia enggan membiarkan Haikal susah hati.
“Dah
makan. Hari ni, nenek belanja kamu makan.”
Spontan,
Haikal ketawa gelihati.
“Kena
makan banyak ni, sebab nenek belanja,” seloroh Haikal. Diaambil kuih karipap
lalu disumbat ke dalam mulut. Mulutnya mengunyah perlahan. Keenakan karipap
kentang itu begitu terasa.
“Hari
ni, saya boleh teman nenek kat rumah. Tak adalah nenek kebosanan.” Haikal ukir
senyum polos.
“Kamu
tak kerja?”
“Cuti.”
“Kenapa?
Sakit?”
Haikal
menggeleng.
“Habis
tu?” Rosnah mencubit donat sambal sedikit demi sedikit.
“Nak
temankan nenek.” Haikal tatap wajah
Rosnah. Bila tatap lama-lama wajah Rosnah, mengingatkan dia kepada ibu
sendiri. Langsung membuka luka di hati yang telah lama dipendam. Haikal segera
kalih mata. Tidak sanggup menyusuri perasaan itu. Mendera jiwa yang sedia
rapuh.
“Eh,
kenapa pulak? Semalam kamu tak kerja, dah teman nenek. Tak keluar pun dengan
kawan-kawan. Hari ni, ambil cuti pulak. Kan bagus kalau kerja. Dapat simpan
duit untuk kegunaan kamu sendiri.”
Haikal
senyum nipis. “Sekali-sekala nek. Asyik hadap kerja aje. Teringin jugak
habiskan masa dengan kekasih hati saya ni.” Haikal senyum menyeringai.
“Nenek
ni dah tua. Tak payah nak jadikan kekasih kamu.”
“Eh,
tua-tua pun, nenek manis. Kalau senyum, fuh! Gugur jantung saya ni, nek.”
Semakin giat Haikal mengusik. Tidak sempat mengelak tamparan Rosnah.
“Tamparan
nenek ni rasa macam belaian lembutlah.” Haikal mengenyit mata nakal kepada
Rosnah.
“Eh,
budak ni!” Rosnah sudah bersiap sedia hendak mengepit lengan Haikal namun kali
ini Haikal sempat mengelak. Terdekah-dekah dia ketawa.
“Cukuplah
nenek seorang jadi kekasih hati saya. Saya tak perlukan orang lain,” tutur
Haikal seraya kulum senyum di hujung bibir. Dia menghampiri Rosnah, lalu
memeluk tubuh itu. Rosnah memegang lengan Haikal. Mereka saling berkongsi
perasaan yang sama- KEPEDIHAN.
LEBIH kurang jam sembilan pagi, Haikal
mengajak Rosnah pergi ke Mydin yang terletak lebih kurang empat puluh lima minit
perjalanan dari kawasan perumahan tempat tinggal mereka. Haikal memarkir kereta
di lot parkir yang kedudukannya hampir dengan pintu masuk. Kalau parkir
jauh-jauh nanti, kasihan pula Rosnah perlu menapak di tengah panas sebelum
mencecah pintu gerbang tersebut.
“Nenek
nak shopping apa hari ni?” Haikal memimpin tangan Rosnah. Mereka berdua
berjalan seiringan.
“Bukan
ke kamu yang nak beli barang tadi? Nenek tak ada apa-apa yang nak dibeli,” kata
Rosnah.
“Kita
beli barang dapurlah, nek. Beras, gula tu semua, macam dah nak habis aje,”
cadang Haikal. Sudah siap-siap membuat senarai barang yang harus dibeli di
sini. Dikeluarkan kertas yang dilipat-lipat dari poket seluar.
“Eh,
dah tulis?”
Haikal
mengangguk. “Nenek jugak yang selalu pesan, kalau nak beli barang, senaraikan
siap-siap.”
“Jom
nek. Kita mulakan sesi membeli-belah!” Haikal menarik Rosnah sehingga
terjerit-jerit wanita itu. Haikal ketawa.
Dari
satu bahagian ke satu bahagian diterjah oleh mereka. Hampir penuh troli yang
diusung mereka dengan barang-barang keperluan harian. Rosnah yang mulai
keletihan itu disuruh menunggu di luar sementara Haikal menunggu giliran untuk
membayar semua barang-barang di dalam troli.
Sambil
menunggu giliran, Haikal memerhatikan persekitarannya yang agak lengang. Maklumlah,
hari bekerja. Oleh sebab itu, dia lebih suka mengunjungi pasaraya besar seperti
Mydin di hari-hari biasa berbanding hari cuti kerana di hari cuti seperti Sabtu
dan Ahad, kepadatan manusia tidak dapat dinafikan lagi. Silap-silap boleh
berlaku kesesakan lalu lintas troli.
“Kak
Fina, cukup ke barang-barang ni?”
Dalam
banyak-banyak suara yang didengari, suara lembut itu juga yang berjaya mengetuk
gegendang telinga Haikal. Serentak dengan itu, Haikal angkat muka. Paling wajah
ke kiri dan kanan. Mencari-cari pemilik suara yang dirasakan berada hampir
dengannya.
“Kak
Fina jangan lupa tau. Abang Azfar jemput kita datang rumah dia. Emak dia ada
buat kenduri sekali majlis potong jambul anak saudara dia.”
Haikal
mengecilkan mata. Liar memerhati manusia-manusia yang lalu-lalang depan mata.
Ekor mata tersorot ke arah susuk tubuh seseorang yang berdiri tidak jauh dari
tempatnya. Membulat mata Haikal waktu itu. Rahangnya jatuh ke bawah. Bagai
tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
Kaki
yang memaku lantai tadi mulai mampu bergerak selangkah demi selangkah mendekati
gadis itu, diiringi debaran yang kian menggila. Haikal merasakan jantungnya
hampir-hampir jatuh menyembah bumi.
“Ara.” Bibirnya bergetar menyebut nama Humairah.
“Ara.”
Dia sebut lagi nama itu.
Haikal
memanjangkan langkah, mengejar di gadis yang sudah jauh di depan sana.
Kegopohan Haikal telah menyebabkan pelanggaran kecil berlaku antara dia dan
seorang pekerja di pasaraya besar itu. Bila dia angkat muka, gadis tadi telah
hilang dari pandangan. Tergesa-gesa dia menjejak ke mana perginya gadis itu.
Haikal berlegar-legar di sekitar kawasan berdekatan, tetapi hampa. Bayang gadis
tadi hilang sekelip mata.
Dalam
langkah longlai, Haikal kembali mendapatkan troli yang ditinggalkan tadi.
Sampai sahaja di tempat tadi, trolinya sudah ditolak ke tepi. Dan dia terpaksa
menunggu lagi sebelum tiba giliran dia membayar harga kesemua barang-barang
itu.
Sepanjang
perjalanan pulang, Haikal lebih banyak mendiamkan diri. Sesekali sahaja
menyahut bila Rosnah mengaju soalan. Rosnah naik pelik melihat perubahan
kelakuan Haikal. Walhal sebelum ini, Haikal paling banyak berceloteh sehingga
dia sendiri naik penat melayan.
“Haikal...”
Rosnah menegur lembut. Ketika itu mereka sedang menyusuri simpang tiga sebelum
sampai ke kawasan perumahan yang didiami mereka berdua.
“Haikal.”
Rosnah memanggil lagi. Kali ini suaranya sedikit kuat.
Haikal
tersentak. Hilang bayangan gadis yang menyerupai Humairah dari ruang fikiran.
Terus menoleh sekilas ke arah Rosnah.
“Kenapa
nek?” soal Haikal.
“Sepatutnya
nenek yang tanya kamu. Dari tadi kamu senyap aje. Ada apa-apa ke, Haikal?”
Rosnah pula bertanya penuh perasaan ingin tahu.
Haikal
menggeleng laju. Tidak akan sesekali buka mulut menceritakan apa yang
dialaminya tadi.
“Habis
tu? Kenapa senyap? Nenek tanya sepatah, kamu jawab sepatah,” gumam Rosnah.
Haikal
kulum senyum. “Nenek rindu eh nak dengar suara kekasih hati nenek ni?”
“Eh,
budak ni. Orang tanya lain, dia jawab lain.” Rosnah membebel geram.
Terdekah-dekah
Haikal ketawa.
“Tak
ada apa-apalah nek. Saya baik-baik aje. Cuma saya...” Bicara Haikal terputus di
situ.
Rosnah
merenungi Haikal. Cukup lama.
“Cuma
apa, Haikal?”
Haikal
menarik nafas panjang.
“Saya
rindukan emak,” luah Haikal. Betapa perasaan itu tidak pernah pudar dari hati.
Rosnah
memahami perasaan Haikal. Kalau Haikal rindukan arwah Kamsiah, dia pula
merindui Humairah.
Humairah,
di mana kau nak?
Akhirnya,
Rosnah turut terjebak ke dalam kesunyian yang melingkari Haikal sebentar tadi.
AFINA naik pelik melihat tingkah Humairah.
Tadi, sedang elok dia jalan menuju ke kaunter bayaran, Humairah cekap tarik dia
masuk ke lorong yang menjual pelbagai jenis barangan tenusu, berhampiran
bahan-bahan basah seperti ikan dan daging. Bila ditanya, Humairah diam sahaja.
“Ada
orang pandang kita semacamlah, Kak Fina.” Akhirnya Humairah buka mulut
menceritakan sebab mengapa dia berkelakuan seperti itu.
Naik
tinggi kening Afina. Dia tidak perasan sesiapa pun yang mencurigakan.
“Siapa?”
Afina menyoal sambil menyumbat barang-barang yang dibeli tadi masuk ke bonet
belakang. Humairah turut membantu.
“Entah,”
jawab Humairah serba ringkas.
“Lelaki?”
Humairah
mengangguk.
“Dia
cari orang kot.” Afina membuat tekaan rambang. Enjin kereta dihidupkan.
“Tak,”
pintas Humairah.
“Mai
perasan dia kejar kita. Lepas tu dia tercari-cari.” Humairah meyakinkan apa
yang dilihat tadi. Serius, dia sendiri nampak lelaki itu melintas di depannya.
Waktu itu dia sembunyi muka. Lama jugalah dia perhati lelaki itu asyik
berlegar-legar di sekitar kawasan tersebut sebelum menghilang entah ke mana.
“Perasaan
Mai aje agaknya.” Afina berkata, berniat hendak menenangkan perasaan Humairah.
Humairah
mendiamkan diri. Fikirannya melewati kejadian tadi. Entah kenapa, bila
menyedari diri diperhatikan, dia jadi takut. Sangat takut sehingga menimbulkan
satu perasaan yang tidak pernah melewati diri sebelum ini.
“Mai,
majlis kenduri tu mula pukul berapa?” Dengan lafaz Bismillah, Afina menekan
pedal minyak. Ekor mata menyoroti Humairah.
“Mai!”
Afina menegur. Peha Humairah ditepuk kuat.
Humairah
terperanjat. Terkebil-kebil pandang Afina.
“Menungkan
apa tu?” soal Afina.
Humairah
tayang gelengan laju.
“Tadi
Kak Fina cakap apa?”
“Ni
ha, majlis tu pukul berapa?”
“Majlis
apa?”
“Eh,
budak ni. Lupalah tu. Majlis kat rumah bos Mai tu.” Afina mengingatkan.
Humairah
tepuk dahi. “Lepas Maghrib katanya. Kak Fina dan nenek kena ikut tau. Emak
Abang Azfar jemput suruh pergi sekali.”
“Alah,
Kak Fina malaslah,” dalih Afina.
“Kak
Fina kena pergi jugak. Mai mestilah dengan kawan-kawan Mai. Kalau Kak Fina tak
pergi, kasihan nenek sorang-sorang.”
“Sure
ke nenek nak pergi sana?”
“Confirm!”
Humairah berkata yakin.
Afina
hela nafas. Kalau nenek sudah putuskan hendak pergi, mahu tidak mahu, dia kena
ikut sekali.
MAJLIS kenduri kesyukuran dan potong jambul
itu berjalan lancar dengan kehadiran sanak-saudara, teman-teman dan
jemputan-jemputan yang dikenali. Salah seorang jemputan khas itu ialah Engku
Zubaidah dan Afina. Di majlis ini barulah Engku Zubaidah dan Puan Habibah- ibu
Azfari, saling berkenalan. Bila Engku Zubaidah nampak ramah berbual bersama
Puan Habibah, Afina ambil peluang melarikan diri, menempel di sisi Humairah dan
kawan-kawannya.
Tadi,
sempat juga Afina gomol dan cubit pipi temban bayi yang diraikan malam ini.
Nama diberi- Muhammad Ziyad Sidqi. Dia percaya, nama itu membawa makna yang
baik-baik.
Mata
Afina tersorot kepada seorang lelaki tinggi lampai dan berkaca mata yang
mengatur langkah mendekati kumpulan mereka. Atas bawah dia perhati lelaki itu.
Penampilannya biasa-biasa sahaja dengan baju melayu berwarna biru lembut dan
berkain pelikat.
“Korang
dah makan belum?” Suara garau Azfari mengundang perhatian Humairah, Puteri dan
Farah. Tidak terkecuali, Afina.
“Dah
kenyang dah, Abang Azfar. Habis lauk tu kitaorang balun.” Farah yang terkenal
dengan sikap loyar buruknya- berseloroh diiringi senyum lebar.
Azfari
mengangguk kecil. Bila dia toleh kanan, pandangannya bertempur dengan seseorang
yang tidak dikenali, duduk rapat hampir dengan Humairah.
“Saya
kakak sepupu Humairah.” Afina berkata, secara tidak langsung memperkenalkan
diri apabila merasakan pandangan Azfari kepadanya seoalah berbaur hairan.
Seperti
tadi, Azfari angguk kepala sahaja. Senyum pun sedikit cuma.
“Ini
Kak Fina.” Humairah memperkenalkan Afina dan Azfari. Untuk kali kedua, Afina
dan Azfari saling berbalas renungan.
“Sepupu
Mai yang seorang lagi tu, tak datang ke?” Tumpuan Azfari kembali kepada
Humairah.
Berkerut
wajah Humairah. “Siapa?” soalnya kembali.
“Yang
lelaki hari tu.” Azfari mengingatkan.
Barulah
Humairah mengerti. Fadzlan yang dimaksudkan Azfari.
“Dia
tak sihat,” jawabnya. Afina sudah mencuit-cuit kakinya tetapi dia buat tidak
tahu. Tidak disampaikan pun jemputan itu kepada Fadzlan kerana dia sedia tahu
jawapannya nanti.
“Siapa
tadi tu?” Afina melontar pertanyaan sementelah bayang Azfari tiada depan mata.
Humairah
fikir, Afina akan bertanya kenapa dia cakap depan Azfari yang Fadzlan tidak
sihat. Humairah senyum penuh curiga bila menyedari soalan Afina itu dipenuhi
rasa ingin tahu. Afina yang menyedari diri diperhati begitu, pantas angkat jari
telunjuk dan digerakkan ke kiri dan ke kanan berulang-ulang kali.
“Kak
Fina tanya sebab Kak Fina nak tahu.”
“Iye
ke?” Humairah sengaja memprovokasi.
“Betul!”
Afina menjengilkan matanya yang bulat itu.
Humiarah
ketawa perlahan.
“Itu
bos kita orang. Nama dia Azfari. Kita orang panggil dia Abang Azfar,” jelas
Humairah.
Terangguk-angguk
kepala Afina. Azfari rupanya nama dia. Sebelum ini, kerap juga dia hantar dan
jemput Humairah, tapi tidak pula ternampak si Azfari.
“Kenapa,
Kak Fina? Nak berkenalan ke?” usik Humairah.
“Eh!
Tak!” Berdecit suara Afina. Tiba-tiba muka dia rasa panas.
Humairah
ketawa. Bersahut-sahutan dengan Puteri dan Farah yang memerhatikan dia.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Gigihnya aku mencari homestay untuk convo nanti. Very the zemangat kan I ni hihi. Padahal takut tak ada tempat nak bermalam macam dulu. Nasib tak berkampung dalam kereta. Sedih! Okayyy... sekarang ni sedang mengira detik waktu nak balik, habiskan masa dengan family sambil 'tanam anggur' dan menambah kecomelan dengan menikmati makanan sesedap air tangan emak hahaha. Tata! :)
5 comments:
@Ruunna Qizbal
Hi awak :) Thanks drop sini :)
ahaaaa...Nyaris2 nak terserempak..Ngehhh...:D
@Ayra
Hihi. Babe, ko kena doakan aku supaya tak ubah2 jalan cerita ni babe. Pusing kepala hamba -..-"
Wah!
Nk jmpa dh..hehe..
Lps ni blh la ada n3 tiap2 hri..
Hehehe ^__^V
@ilman_nafi
:) thanks drop sini.
Entri setiap hari?ohhh..tidak.hihi.sminggu sekali aje kite update kphm ni..:) kalo rajin,dua kali seminggu.. :)
Post a Comment