Saturday, June 8, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 17.

Assalamualaikum.








"...Kindness is a language which the blind can see and the deaf can hear..."









Bab 17
“KAU nak mati lagi eh?”
            Tengiang-ngiang bicara kasar berbaur sinis itu mengetuk gegendang telinga. Perkataan ‘lagi’ yang disebut-sebut Fadzlan itu seolah-olah menyatakan yang sebelum ini dia pernah melakukan perkara yang sama. Betul ke? Eh, gila apa dia nak bunuh diri! Humairah geleng kepala berkali-kali. Fadzlan nampak betul-betul berang.
            Azfari memandang pelik ke arah Humairah yang masih terpacak di depan Kedai Kopi. Humairah bersendirian di situ. Fikirnya Humairah sudah pulang bersama Puteri dan Farah.
            Dalam langkah penuh berhati-hati, Azfari mendekati Humairah. Senyuman kecil tersungging di hujung bibir. Humairah langsung tidak menyedari kewujudan dia sehinggalah dia berdehem, barulah gadis itu menoleh ke arahnya. Humairah terkejut. Membulat mata itu.
            “Sorry!” Azfari angkat kedua belah tangannya. Tinggi ke langit. Kemudian Azfari ketawa kecil melihat riak wajah Humairah yang menggelikan hati.
            Humairah terus memerhati tanpa kata. Elok mata dia melorong pada Azfari. Ini kalau Farah nampak hilai tawa Azfari yang terkepit-kepit seperti ini, nescaya mulut Farah akan terkumat-kamit membahan lelaki bujang itu.
            Bila dipandang lama sedemikian rupa, Azfari menggelabah sendiri. Terkulat-kulat berdiri depan Humairah yang masih memacak mata padanya.
            Sebenarnya Humairah sembunyi ketawa. Azfari ini lelaki yang mudah mengalah bila direnung lama-lama. Menggelabah itik! Humairah kalih muka. Terherot-herot bibirnya tahan gelak.
            “Mai tunggu siapa? Kenapa tak balik lagi?” soal Azfari.
            “Tunggu Kak Fina,” jelas Humairah. Ketika merasakan otot mukanya kian lentur, barulah dia pandang Azfari.
            “Abang Azfar dah nak balik ke?” Giliran Humairah bertanya.
            Azfari mengangguk. Lekas dia menarik pintu besi dan menguncinya. Setelah memastikan segalanya cukup selamat, dia kembali menghampiri Humairah. Niat di hati hendak menemani pekerjanya itu.
            “Eh, kata nak balik.” Humairah berkata sambil memandang Azfari penuh kehairanan.
            Azfari kulum senyum.
            “Saya teman Mai dulu,” balasnya.
            Humairah senyum lebar sehingga pipi belah kirinya membentuk lesung pipit yang tampak manis di wajahnya. Azfari terus memerhatikan Humairah tanpa Humairah menyedarinya langsung.
            Selang beberapa minit, sebuah kereta Honda Accord berwarna hitam berhenti betul-betul di depan Humairah. Humairah dan Azfari memandang ke arah kereta itu. Cermin kereta diturunkan dan orang di dalam kereta itu menundukkan diri. Humairah terpana, manakala Azfari terus memandang dengan seribu satu persoalan.
            “Masuk.” Tegas Fadzlan memanggil Humairah.
            Humairah yang terkedu itu tidak bergerak langsung.
            “Kau tak nak balik ke?” Kali ini Fadzlan meninggikan suara. Terlukis rona wajah yang sering diperlihatkan di hadapan Humairah.
            “Siapa?” aju Azfari. Berdetak-detik hatinya melihat lelaki itu. Dia tidak pernah melihat pun kewujudan lelaki itu sebelum ini.
            “Itu... mmm... itu sepupu saya.” Ragu-ragu Humairah memberitahu. Iyalah, yang kata mereka sepupu itu nenek. Tapi Fadzlan tidak pernah anggap dia sepupu. Musuh? Mungkin. Tidak sampai dua minggu duduk satu bumbung, macam-macam perasaan muncul. Asyik-asyik dia yang dipersalahkan. Sampai air terlebih manis sikit pun, Fadzlan ungkit. Mujur selepas ini Fadzlan angkat kaki dari rumah nenek. Bagus juga. Aman hidup. Dan lebih penting, tidak perlulah dia sarung selendang dalam rumah.
            “Nak jadi patung tugu ke?” Fadzlan memerli lagi. Sengaja ditekan hon kereta. Bingit bunyinya.
            Humairah menghayun kaki dengan kasar. Dihentak-hentak ke bumi. Azfari memandang sketsa depan mata dengan kerutan di dahi.
            Humairah menutup pintu kereta. Bunyi dentuman itu mengundang lirikan tajam dari Fadzlan tetapi Humairah buat tidak nampak. Dia menarik tali pinggang keledar dan dililitkan ke tubuh. Selepas itu dia bersandar ke kerusi. Kenapa tiba-tiba Fadzlan muncul? Mana Kak Fina? Eh, sudi pulak Lanlan ni ambil dia. Bukan ke Lanlan allergic dengan dia? Kalau cakap tak pernah nak sopan. Kalau pandang tak bolehnya tak jeling. Panjang omelan hati Humairah waktu itu. Dia curi pandang muka Fadzlan. Tegang semacam. Sah! Ini mesti kes kena paksa. Humairah cukup yakin.
             “Apasal kau tak balik sendiri?” Fadzlan menyoal lantas menekan pedal minyak lebih kuat. Kereta Honda Accord itu menyusur laju di atas jalan raya.
            “Kak Fina kata nak jemput hari ni.” Lambat-lambat Humairah menjawab.
            Fadzlan menoleh sekilas. Sakit hatinya. Sedang elok dia muncul depan pintu, Engku Zubaidah datang menyerbu. Disuruhnya pergi menjemput Humairah dengan alasan Afina tidak dapat mengambil Humairah di tempat kerjanya memandangkan kakaknya itu ada tugas lain yang lebih penting. Dia disuruh ambil Humairah?! Sedang tempat kerja Humairah pun dia tidak tahu. Berapa kali dia berpusing di tempat sama. Banyak kali dia telefon Afina bertanyakan lokasi kedai tersebut.
            “Menyusahkan!” Fadzlan mendengus kasar. Menumpu sepenuh perhatiannya pada pemanduan.
            Humairah kunci mulut. Pada dasarnya, dia mahu membidas kata-kata Fadzlan tadi. Tetapi mengenangkan pertingkahan kecil pasti berlaku, dia diam sahaja. Biarlah Fadzlan cakap apa yang dia hendak cakap.

DARI jauh, kelihatan Fadzlan sedang berlari-lari anak ke arah Hakimi. Terlambai-lambai tangan Hakimi menampar angin. Lebar senyumannya melihat Fadzlan depan mata.
            “Rayyan!” Bibir Fadzlan bergerak-gerak menyebut nama kawan lamanya.
            Rayyan menghulur tangan. Mereka menyapa cara lelaki. Berpelukan sambil menepuk kuat bahu masing-masing.
            “Hidup lagi kau rupanya!” Fadzlan berseloroh.
            Rayyan jungkit bahu. “Alhamdulillah. Masih diberi nyawa.”
            Fadzlan dan Hakimi ketawa terdekah-dekah.
            “Aku terserempak dengan Rayyan ni tadi masa nak balik. Rupanya dia kerja kat syarikat kontraktor sebelah syarikat aku kerja ni hah. Bertahun-tahun berjiran, tak pernah bertembung. Hari ni baru jumpa,” cerita Hakimi.
            “Eh, kau buat apa sekarang?” Rayyan bertanya.
            “Aku tengah gigih cari kerja. Tadi baru lepas pergi satu interview,” jawab Fadzlan.
            “Kalau kau nak tahu, Lan ni baru aje balik dari Australia. Sebelum ni dia kerja sana. Habis belajar, tak balik dah. Konon nak jadi orang sana. Nasib baik dia sedar diri lagi.” Hakimi ketawa terdekah-dekah.
            “Oh, yeke?” Rayyan agak terkejut mendengar pengkhabaran dari Hakimi, mewakili bagi pihak Fadzlan.
            “Tukar angin.” Fadzlan membalas ringkas.
            “Eh, daripada kita berdiri sini, borak bagai nak rak, apa kata kita pekena kopi ke, makan ke kat kafe tu,” cadang Rayyan. Dia menuding deretan kedai makan di kawasan berdekatan.
            “Boleh jugak!” Fadzlan bersetuju.
            Fadzlan dan Rayyan sudah mula mengorak langkah, manakala perhatian Hakimi terarah ke pintu kereta Fadzlan yang terbuka dari dalam. Sepasang kaki terjulur keluar dari dalam kereta itu. Hakimi pantas menepuk bahu Fadzlan. Fadzlan menoleh ke belakang.
            “Apa?” sergahnya.
            “Kau bawa siapa?” tanya Hakimi.
            Fadzlan melorong pandangan matanya kepada kereta yang di parkir tidak jauh dari tempatnya berdiri. Leceh betul! Fadzlan menggumam kurang senang. Terpaksa dia angkut Humairah ikut sekali bila menerima panggilan daripada Hakimi.
            Rayyan sudah tersengih-sengih pandang muka Fadzlan yang berkerut itu.
            “Isteri ke?” Rayyan menyoal penuh perasaan ingin tahu. Kali terakhir dia jumpa Fadzlan, temannya itu sudah pun mengikat tali pertunangan seseorang yang tidak dikenalinya. Manalah tahu pasangan itu sudah berkahwin dan ada pertambahan ahli keluarga.
            Terbeliak mata Fadzlan. Pantas dia menggeleng tanda menidakkan kenyataan Rayyan. Segera dia meminta diri sebentar menangani masalah di sana.
            Humairah mengesat peluh di dahi. Kurang asam punya Lanlan! Dia ditinggalkan dalam kereta di bawah terik mentari. Sudahlah aircond tidak dipasang. Mahu dia rasa macam duduk dalam sauna. Kalau dia tidak keluar, alamatnya jadi ikan keringlah.
            “Kau boleh tunggu tak?”
            Humairah mendongak.  Tidak berkelip mata dia perhatikan Fadzlan.
            “Aku nak jumpa kawan aku sekejap.” Fadzlan memberitahu. Nadanya tetap maintain sama.
            Humairah tidak membalas apa pun. Mengangguk tidak, menggeleng apatah lagi.
            Ketika hendak membuka bicara yang seterusnya, tingkahnya itu terbejat. Bahu ditepuk dari belakang. Rayyan tersenyum-senyum memandang dia.
            “Tak mahu kenalkan dengan aku?” Rayyan sengaja mengusik.
            Fadzlan tidak menyahut.
            “Dah lama ke kau orang kahwin?” Soalan seterusnya dilontar keluar. Soalan klise kepada setiap pasangan yang sudah mendirikan rumahtangga. Selepas itu, barulah buka perihal anak-anak pula. Standardlah kan!
            Fadzlan dan Humairah menempik serentak.
            “Bukan!”
            Rayyan garu kepala. Sekejap pandang Fadzlan, sekejap pandang gadis ayu bertudung di kepala.
            “Awek?” Rayyan terus meneka.
            “Tak!” Sekali lagi, Fadzlan dan Humairah menepis andaian itu hampir serentak.
            Dan untuk kesekian kalinya, Rayyan garu kepala.
            “Sepupu,” beritahu Humairah bila menyedari Fadzlan bagai berat mulut hendak menutur bicara.
            “Lah, yeke? Aku ingat isteri kau. Maklumlah, sebelum ni kau dah tunang kan.” Tergelang-geleng kepala Rayyan mengenangkan tekaan sendiri yang langsung menyimpang.
            “Eh, jomlah. Buat apa diri kat terik ni.” Rayyan menonong ke depan.
            “Ajaklah sepupu kau tu sekali.” Sempat Rayyan memekik kepada Fadzlan.
            Fadzlan memusing kepala. Sekejap sahaja dia pandang Humairah. Kemudian dia mengorak langkah menyaingi Rayyan yang sudah jauh di depan sana. Humairah ikut serta. Lambat-lambat hayun kaki membontoti Fadzlan.

DALAM diam, Humairah curi-curi tatap wajah Fadzlan. Diamati riak wajah Fadzlan ketika itu. Bezanya! Dia seakan melihat seorang Engku Fadzlan Engku Uzair yang lain. Seolah-olah manusia di depan matanya ini adalah orang lain. Sungguh!
            Saat menyedari kelainan itu, Humairah kembali terfikir, di mana silapnya dia sehingga Fadzlan tidak mampu melayani dia sebaik kawan-kawannya ini. Apakah besar sangat kesalahan dia terhadap Fadzlan? Teringat gurauan Farah tempoh hari. Dia cuba mencabul Fadzlan? Iya ke? Eh! Tidak mungkinlah. Humairah menunduk. Langsung tidak tertarik mendengar perbualan antara lelaki-lelaki itu yang lebih memfokus kerjaya dan kehidupan mereka.
            Fadzlan pernah bertunang sebelum ini. Kalau sudah bertunang, kenapa masih membujang sampai sekarang? Dia tidak pernah nampak Fadzlan membawa pulang tunangnya itu. Malah dia tidak kenal pun.
            Dia teringat sekeping gambar yang mengabadikan seraut wajah milik seorang gadis. Gadis itu berambut panjang melepasi bahu. Rambut ikal mayang itu begitu cantik dengan empunya diri. Gambar itu dijumpai dicelah-celah sebuah buku tebal yang diletakkan di kerusi belakang. Panjang tangan dia capai buku itu. Dia hanya membelek, tidak pun membaca isi dalamnya.
            Entah-entah, gadis itulah cinta hati Fadzlan. Sebab tidak disatukan di bawah payungan ikatan perkahwinan, mungkin gadis itu telah berubah hati. Hendak kata Fadzlan yang berubah hati, tidak mungkinlah! Kewujudan gambar gadis itu bukti bahawa Fadzlan masih punya perasaan indah itu. Humairah mula merencanakan kesimpulan sendiri.

KEPULANGAN Humairah dan Fadzlan disambut oleh Afina. Tersenyum-senyum Afina melihat mereka berdua melangkah masuk ke dalam rumah meski seorang di depan, seorang tertinggal di belakang. Fadzlan terus naik ke atas. Dia sempat membalas kerlingan Afina. Afina tersengih sahaja.
            “Lambat sampai rumah? Mai dan Lan ada pergi mana-mana ke?” Afina bertanya sebaik sahaja dia dan Humairah labuh duduk atas kerusi di ruang tamu.
            “Lan jumpa kawan dia dulu.” Humairah menjawab ringkas. Dia jeling jam dinding. Sudah menginjak ke angka tujuh malam. Humairah menyandarkan tubuhnya. Dia tarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan perlahan.
            “Kak Fina...” Humairah menoleh, merenungi wajah manis Afina.
            “Ya.” Sahut Afina. Turut melempar pandang ke arah Humairah.
            “Lan pernah bertunang sebelum ni?” Tiba-tiba sahaja soalan itu yang meluncur keluar dari mulutnya. Hendak tanya sendiri kepada tuan empunya badan, memang tidaklah. Silap-silap nanti dia kena herdik baik punya.
            Afina seakan terperanjat. Mata itu membulat. Namun segera dia tenangkan diri. Humairah terus memerhatikan tingkah Afina yang nampak asing dipenglihatan.
            “Pernah.” Afina bersuara dingin.
            Tidak berkelip mata Humairah.
            “Nama tunang dia Rose. Rose Harliana.”
            Wah, nama! Indah betul. Sangat sepadan dengan orangnya. Sah, gadis dalam gambar itu Rose Harliana. Terfikir akannya, kenapa sepanjang empat tahun ini dia tidak pernah bertemu Rose Harliana? Tidak pernah walau sekali. Malah, andai kata Rayyan tidak buka mulut, pasti dia tidak tahu apa-apa! Mungkin dia dan Rose Harliana pernah bertentang mata. Cumanya waktu itu ingatan dia belum hilang seperti sekarang.
            “Lan dan Rose bertunang empat tahun lepas, sebelum Lan kembali berangkat ke Australia untuk menamatkan pengajiannya yang berbaki satu semester lagi di sana.”
            “Mana Rose sekarang?”
            Afina nampak serba salah  menjawab pertanyaan itu. Duduknya juga jelas canggung. Keadaan itu melarik kehairanan di hati Humairah selaku pemerhati.
            “Kau nak tahu sangat, kan? Rose dah tak ada.” Bergema suara Fadzlan.
            Humairah dan Afina serentak berpaling ke belakang. Fadzlan berdiri tegak bagai askar tidak jauh dari mereka. Riak wajah itu tidak mengalun apa-apa rasa. Kelihatan kosong. Sepanjang dia mengenali Fadzlan, inilah kali pertama dia lihat Fadzlan yang kosong.  Tiada riak tegang, tiada riak jengkel. Yang ada hanyalah kekosongan.
            “Rose dah tak ada.” Fadzlan mengulangi kata-katanya sebentar tadi sebelum hayun kaki meninggalkan Humairah dan Afina.
            Afina tidak membalas satu patah pun. Anak mata Afina menerobos tepat pada Fadzlan yang semakin menghilang. Humairah pula tidak memahami pertuturan Fadzlan tadi. Hanya terkebil-kebil menanti penghuraian dari Afina.
            “Kak Fina...” Humairah menyeru nama itu.
            Afina menunduk seketika sebelum kembali menentang renungan Humairah.
            “Mai pergilah mandi. Sekejap lagi masuk waktu Maghrib. Kak Fina nak siapkan makan malam.” Lekas Afina bangun dan menuju ke dapur tanpa membenarkan Humairah bertanya barang satu soalan pun.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Yukk... aku nak nasi hint pasal KPHM yang dah mengundang kekeliruan yang sangat ketara :) Humairah yang diperkosa Hasnol tu (dulu) ada kaitan dengan Humairah yang hilang ingatan (sekarang). Dua watak Humairah ni bukan sekadar memiliki nama yang sama, malah paras yang hampir serupa. Dari segala segi, Humairah sekarang seolah menyerupai Humairah dulu. Humairah yang dulu, dimatikan wataknya sampai percubaan merogol oleh Hasol tu, ada kesinambungan dalam kehidupan Humairah sekarang (disamping Engku Zubaidah, Afina dan Fadzlan). Malah mereka saling berkait. Akan ada satu kejadian Humairah (sekarang) berjumpa Rosnah dan Haikal, dan sejak pertemuan tu, dia didatangi mimpi-mimpi pelik dan dia turut mimpikan dirinya sendiri. Siapa Humairah sebenarnya ehhh? Humairah yang hidup bersama keluarga Engku Zubaidah tu- adakah Humairah yang dirogol oleh Hasnol di kampung dulu? Apa ehh yang terjadi selepas kejadian malam tu? Semua tu aku cuba sampaikan melalui mimpi-mimpi Humairah (Mai). Dannnn Afina adalah kunci kepada sebuah rahsia yang selama ini tidak diketahui Engku Zubaidah. Adehhh... aku ponn dah pening dah ni haa. Tak tau nak describe acane. Yang pasti, mss KPHM dah sampai tengah dah. Dah sampai part Humairah menemui 'dirinya' semula. Heh. Mungkin cerita ni tak bagus dari segala segi. Penyampaian tak cukup baik, penceritaan yang tegolek-golek. Kelemahan itu datang dari diri sendiri :) Tata!

6 comments:

ilman_nafi@ said...

harap2 mai jmpa blik dgn haikal..huhu..

baby mio said...

Best.

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ilman_nafi

Kalau nak tau, kena laa folow KPHM smpai last.hihi.thanks ye sudi baca :)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@baby_mio

:) thanks drop sini yee :)

tenku butang said...

hai.. salam kenal

follower ke : 836

done follow sini.. jom follow blog teman.. heee.. http://tengkubutang.blogspot.com/

klu minat kucen leh follow blog ni jugak.. =)
http://kucenkucenbelog.blogspot.com/

~::HANAH RISHAS::~ said...

@tenku butang

hi :) salam perkenalan juga.

tq folow blog ni. bersedia utk singgah ke sana pulakkk teehee :)