"...Kindness is a language which the blind can see and the deaf can hear..."
“KAU nak mati lagi eh?”
Tengiang-ngiang
bicara kasar berbaur sinis itu mengetuk gegendang telinga. Perkataan ‘lagi’
yang disebut-sebut Fadzlan itu seolah-olah menyatakan yang sebelum ini dia
pernah melakukan perkara yang sama. Betul ke? Eh, gila apa dia nak bunuh diri!
Humairah geleng kepala berkali-kali. Fadzlan nampak betul-betul berang.
Azfari
memandang pelik ke arah Humairah yang masih terpacak di depan Kedai Kopi.
Humairah bersendirian di situ. Fikirnya Humairah sudah pulang bersama Puteri
dan Farah.
Dalam
langkah penuh berhati-hati, Azfari mendekati Humairah. Senyuman kecil
tersungging di hujung bibir. Humairah langsung tidak menyedari kewujudan dia
sehinggalah dia berdehem, barulah gadis itu menoleh ke arahnya. Humairah
terkejut. Membulat mata itu.
“Sorry!”
Azfari angkat kedua belah tangannya. Tinggi ke langit. Kemudian Azfari ketawa
kecil melihat riak wajah Humairah yang menggelikan hati.
Humairah
terus memerhati tanpa kata. Elok mata dia melorong pada Azfari. Ini kalau Farah
nampak hilai tawa Azfari yang terkepit-kepit seperti ini, nescaya mulut Farah
akan terkumat-kamit membahan lelaki bujang itu.
Bila dipandang lama sedemikian rupa,
Azfari menggelabah sendiri. Terkulat-kulat berdiri depan Humairah yang masih
memacak mata padanya.
Sebenarnya
Humairah sembunyi ketawa. Azfari ini lelaki yang mudah mengalah bila direnung
lama-lama. Menggelabah itik! Humairah kalih muka. Terherot-herot bibirnya tahan
gelak.
“Mai
tunggu siapa? Kenapa tak balik lagi?” soal Azfari.
“Tunggu
Kak Fina,” jelas Humairah. Ketika merasakan otot mukanya kian lentur, barulah
dia pandang Azfari.
“Abang
Azfar dah nak balik ke?” Giliran Humairah bertanya.
Azfari
mengangguk. Lekas dia menarik pintu besi dan menguncinya. Setelah memastikan
segalanya cukup selamat, dia kembali menghampiri Humairah. Niat di hati hendak
menemani pekerjanya itu.
“Eh,
kata nak balik.” Humairah berkata sambil memandang Azfari penuh kehairanan.
Azfari
kulum senyum.
“Saya
teman Mai dulu,” balasnya.
Humairah
senyum lebar sehingga pipi belah kirinya membentuk lesung pipit yang tampak
manis di wajahnya. Azfari terus memerhatikan Humairah tanpa Humairah
menyedarinya langsung.
Selang
beberapa minit, sebuah kereta Honda Accord berwarna hitam berhenti betul-betul
di depan Humairah. Humairah dan Azfari memandang ke arah kereta itu. Cermin
kereta diturunkan dan orang di dalam kereta itu menundukkan diri. Humairah
terpana, manakala Azfari terus memandang dengan seribu satu persoalan.
“Masuk.”
Tegas Fadzlan memanggil Humairah.
Humairah
yang terkedu itu tidak bergerak langsung.
“Kau
tak nak balik ke?” Kali ini Fadzlan meninggikan suara. Terlukis rona wajah yang
sering diperlihatkan di hadapan Humairah.
“Siapa?”
aju Azfari. Berdetak-detik hatinya melihat lelaki itu. Dia tidak pernah melihat
pun kewujudan lelaki itu sebelum ini.
“Itu...
mmm... itu sepupu saya.” Ragu-ragu Humairah memberitahu. Iyalah, yang kata
mereka sepupu itu nenek. Tapi Fadzlan tidak pernah anggap dia sepupu. Musuh?
Mungkin. Tidak sampai dua minggu duduk satu bumbung, macam-macam perasaan
muncul. Asyik-asyik dia yang dipersalahkan. Sampai air terlebih manis sikit
pun, Fadzlan ungkit. Mujur selepas ini Fadzlan angkat kaki dari rumah nenek.
Bagus juga. Aman hidup. Dan lebih penting, tidak perlulah dia sarung selendang
dalam rumah.
“Nak
jadi patung tugu ke?” Fadzlan memerli lagi. Sengaja ditekan hon kereta. Bingit
bunyinya.
Humairah
menghayun kaki dengan kasar. Dihentak-hentak ke bumi. Azfari memandang sketsa
depan mata dengan kerutan di dahi.
Humairah
menutup pintu kereta. Bunyi dentuman itu mengundang lirikan tajam dari Fadzlan
tetapi Humairah buat tidak nampak. Dia menarik tali pinggang keledar dan
dililitkan ke tubuh. Selepas itu dia bersandar ke kerusi. Kenapa tiba-tiba
Fadzlan muncul? Mana Kak Fina? Eh, sudi pulak Lanlan ni ambil dia. Bukan ke
Lanlan allergic dengan dia? Kalau cakap tak pernah nak sopan. Kalau pandang tak
bolehnya tak jeling. Panjang omelan hati Humairah waktu itu. Dia curi pandang
muka Fadzlan. Tegang semacam. Sah! Ini mesti kes kena paksa. Humairah cukup
yakin.
“Apasal kau tak balik sendiri?” Fadzlan
menyoal lantas menekan pedal minyak lebih kuat. Kereta Honda Accord itu
menyusur laju di atas jalan raya.
“Kak
Fina kata nak jemput hari ni.” Lambat-lambat Humairah menjawab.
Fadzlan
menoleh sekilas. Sakit hatinya. Sedang elok dia muncul depan pintu, Engku
Zubaidah datang menyerbu. Disuruhnya pergi menjemput Humairah dengan alasan
Afina tidak dapat mengambil Humairah di tempat kerjanya memandangkan kakaknya
itu ada tugas lain yang lebih penting. Dia disuruh ambil Humairah?! Sedang
tempat kerja Humairah pun dia tidak tahu. Berapa kali dia berpusing di tempat
sama. Banyak kali dia telefon Afina bertanyakan lokasi kedai tersebut.
“Menyusahkan!”
Fadzlan mendengus kasar. Menumpu sepenuh perhatiannya pada pemanduan.
Humairah
kunci mulut. Pada dasarnya, dia mahu membidas kata-kata Fadzlan tadi. Tetapi
mengenangkan pertingkahan kecil pasti berlaku, dia diam sahaja. Biarlah Fadzlan
cakap apa yang dia hendak cakap.
DARI jauh, kelihatan Fadzlan sedang
berlari-lari anak ke arah Hakimi. Terlambai-lambai tangan Hakimi menampar
angin. Lebar senyumannya melihat Fadzlan depan mata.
“Rayyan!”
Bibir Fadzlan bergerak-gerak menyebut nama kawan lamanya.
Rayyan
menghulur tangan. Mereka menyapa cara lelaki. Berpelukan sambil menepuk kuat
bahu masing-masing.
“Hidup
lagi kau rupanya!” Fadzlan berseloroh.
Rayyan
jungkit bahu. “Alhamdulillah. Masih diberi nyawa.”
Fadzlan
dan Hakimi ketawa terdekah-dekah.
“Aku
terserempak dengan Rayyan ni tadi masa nak balik. Rupanya dia kerja kat
syarikat kontraktor sebelah syarikat aku kerja ni hah. Bertahun-tahun berjiran,
tak pernah bertembung. Hari ni baru jumpa,” cerita Hakimi.
“Eh,
kau buat apa sekarang?” Rayyan bertanya.
“Aku
tengah gigih cari kerja. Tadi baru lepas pergi satu interview,” jawab Fadzlan.
“Kalau
kau nak tahu, Lan ni baru aje balik dari Australia. Sebelum ni dia kerja sana.
Habis belajar, tak balik dah. Konon nak jadi orang sana. Nasib baik dia sedar
diri lagi.” Hakimi ketawa terdekah-dekah.
“Oh,
yeke?” Rayyan agak terkejut mendengar pengkhabaran dari Hakimi, mewakili bagi
pihak Fadzlan.
“Tukar
angin.” Fadzlan membalas ringkas.
“Eh,
daripada kita berdiri sini, borak bagai nak rak, apa kata kita pekena kopi ke,
makan ke kat kafe tu,” cadang Rayyan. Dia menuding deretan kedai makan di
kawasan berdekatan.
“Boleh
jugak!” Fadzlan bersetuju.
Fadzlan
dan Rayyan sudah mula mengorak langkah, manakala perhatian Hakimi terarah ke
pintu kereta Fadzlan yang terbuka dari dalam. Sepasang kaki terjulur keluar
dari dalam kereta itu. Hakimi pantas menepuk bahu Fadzlan. Fadzlan menoleh ke
belakang.
“Apa?”
sergahnya.
“Kau
bawa siapa?” tanya Hakimi.
Fadzlan
melorong pandangan matanya kepada kereta yang di parkir tidak jauh dari
tempatnya berdiri. Leceh betul! Fadzlan menggumam kurang senang. Terpaksa dia
angkut Humairah ikut sekali bila menerima panggilan daripada Hakimi.
Rayyan
sudah tersengih-sengih pandang muka Fadzlan yang berkerut itu.
“Isteri
ke?” Rayyan menyoal penuh perasaan ingin tahu. Kali terakhir dia jumpa Fadzlan,
temannya itu sudah pun mengikat tali pertunangan seseorang yang tidak
dikenalinya. Manalah tahu pasangan itu sudah berkahwin dan ada pertambahan ahli
keluarga.
Terbeliak
mata Fadzlan. Pantas dia menggeleng tanda menidakkan kenyataan Rayyan. Segera
dia meminta diri sebentar menangani masalah di sana.
Humairah
mengesat peluh di dahi. Kurang asam punya Lanlan! Dia ditinggalkan dalam kereta
di bawah terik mentari. Sudahlah aircond tidak dipasang. Mahu dia rasa macam
duduk dalam sauna. Kalau dia tidak keluar, alamatnya jadi ikan keringlah.
“Kau
boleh tunggu tak?”
Humairah
mendongak. Tidak berkelip mata dia
perhatikan Fadzlan.
“Aku
nak jumpa kawan aku sekejap.” Fadzlan memberitahu. Nadanya tetap maintain sama.
Humairah
tidak membalas apa pun. Mengangguk tidak, menggeleng apatah lagi.
Ketika
hendak membuka bicara yang seterusnya, tingkahnya itu terbejat. Bahu ditepuk
dari belakang. Rayyan tersenyum-senyum memandang dia.
“Tak
mahu kenalkan dengan aku?” Rayyan sengaja mengusik.
Fadzlan
tidak menyahut.
“Dah
lama ke kau orang kahwin?” Soalan seterusnya dilontar keluar. Soalan klise
kepada setiap pasangan yang sudah mendirikan rumahtangga. Selepas itu, barulah
buka perihal anak-anak pula. Standardlah kan!
Fadzlan
dan Humairah menempik serentak.
“Bukan!”
Rayyan
garu kepala. Sekejap pandang Fadzlan, sekejap pandang gadis ayu bertudung di
kepala.
“Awek?”
Rayyan terus meneka.
“Tak!”
Sekali lagi, Fadzlan dan Humairah menepis andaian itu hampir serentak.
Dan
untuk kesekian kalinya, Rayyan garu kepala.
“Sepupu,”
beritahu Humairah bila menyedari Fadzlan bagai berat mulut hendak menutur
bicara.
“Lah,
yeke? Aku ingat isteri kau. Maklumlah, sebelum ni kau dah tunang kan.”
Tergelang-geleng kepala Rayyan mengenangkan tekaan sendiri yang langsung
menyimpang.
“Eh,
jomlah. Buat apa diri kat terik ni.” Rayyan menonong ke depan.
“Ajaklah
sepupu kau tu sekali.” Sempat Rayyan memekik kepada Fadzlan.
Fadzlan
memusing kepala. Sekejap sahaja dia pandang Humairah. Kemudian dia mengorak
langkah menyaingi Rayyan yang sudah jauh di depan sana. Humairah ikut serta.
Lambat-lambat hayun kaki membontoti Fadzlan.
DALAM diam, Humairah curi-curi tatap wajah
Fadzlan. Diamati riak wajah Fadzlan ketika itu. Bezanya! Dia seakan melihat
seorang Engku Fadzlan Engku Uzair yang lain. Seolah-olah manusia di depan
matanya ini adalah orang lain. Sungguh!
Saat
menyedari kelainan itu, Humairah kembali terfikir, di mana silapnya dia
sehingga Fadzlan tidak mampu melayani dia sebaik kawan-kawannya ini. Apakah
besar sangat kesalahan dia terhadap Fadzlan? Teringat gurauan Farah tempoh
hari. Dia cuba mencabul Fadzlan? Iya ke? Eh! Tidak mungkinlah. Humairah
menunduk. Langsung tidak tertarik mendengar perbualan antara lelaki-lelaki itu
yang lebih memfokus kerjaya dan kehidupan mereka.
Fadzlan
pernah bertunang sebelum ini. Kalau sudah bertunang, kenapa masih membujang
sampai sekarang? Dia tidak pernah nampak Fadzlan membawa pulang tunangnya itu.
Malah dia tidak kenal pun.
Dia
teringat sekeping gambar yang mengabadikan seraut wajah milik seorang gadis.
Gadis itu berambut panjang melepasi bahu. Rambut ikal mayang itu begitu cantik
dengan empunya diri. Gambar itu dijumpai dicelah-celah sebuah buku tebal yang
diletakkan di kerusi belakang. Panjang tangan dia capai buku itu. Dia hanya
membelek, tidak pun membaca isi dalamnya.
Entah-entah,
gadis itulah cinta hati Fadzlan. Sebab tidak disatukan di bawah payungan ikatan
perkahwinan, mungkin gadis itu telah berubah hati. Hendak kata Fadzlan yang
berubah hati, tidak mungkinlah! Kewujudan gambar gadis itu bukti bahawa Fadzlan
masih punya perasaan indah itu. Humairah mula merencanakan kesimpulan sendiri.
KEPULANGAN Humairah dan Fadzlan disambut oleh
Afina. Tersenyum-senyum Afina melihat mereka berdua melangkah masuk ke dalam
rumah meski seorang di depan, seorang tertinggal di belakang. Fadzlan terus
naik ke atas. Dia sempat membalas kerlingan Afina. Afina tersengih sahaja.
“Lambat
sampai rumah? Mai dan Lan ada pergi mana-mana ke?” Afina bertanya sebaik sahaja
dia dan Humairah labuh duduk atas kerusi di ruang tamu.
“Lan
jumpa kawan dia dulu.” Humairah menjawab ringkas. Dia jeling jam dinding. Sudah
menginjak ke angka tujuh malam. Humairah menyandarkan tubuhnya. Dia tarik nafas
dalam-dalam dan dilepaskan perlahan.
“Kak
Fina...” Humairah menoleh, merenungi wajah manis Afina.
“Ya.”
Sahut Afina. Turut melempar pandang ke arah Humairah.
“Lan
pernah bertunang sebelum ni?” Tiba-tiba sahaja soalan itu yang meluncur keluar
dari mulutnya. Hendak tanya sendiri kepada tuan empunya badan, memang tidaklah.
Silap-silap nanti dia kena herdik baik punya.
Afina
seakan terperanjat. Mata itu membulat. Namun segera dia tenangkan diri.
Humairah terus memerhatikan tingkah Afina yang nampak asing dipenglihatan.
“Pernah.”
Afina bersuara dingin.
Tidak
berkelip mata Humairah.
“Nama
tunang dia Rose. Rose Harliana.”
Wah,
nama! Indah betul. Sangat sepadan dengan orangnya. Sah, gadis dalam gambar itu
Rose Harliana. Terfikir akannya, kenapa sepanjang empat tahun ini dia tidak
pernah bertemu Rose Harliana? Tidak pernah walau sekali. Malah, andai kata
Rayyan tidak buka mulut, pasti dia tidak tahu apa-apa! Mungkin dia dan Rose
Harliana pernah bertentang mata. Cumanya waktu itu ingatan dia belum hilang
seperti sekarang.
“Lan
dan Rose bertunang empat tahun lepas, sebelum Lan kembali berangkat ke
Australia untuk menamatkan pengajiannya yang berbaki satu semester lagi di
sana.”
“Mana
Rose sekarang?”
Afina
nampak serba salah menjawab pertanyaan
itu. Duduknya juga jelas canggung. Keadaan itu melarik kehairanan di hati Humairah
selaku pemerhati.
“Kau
nak tahu sangat, kan? Rose dah tak ada.” Bergema suara Fadzlan.
Humairah
dan Afina serentak berpaling ke belakang. Fadzlan berdiri tegak bagai askar
tidak jauh dari mereka. Riak wajah itu tidak mengalun apa-apa rasa. Kelihatan
kosong. Sepanjang dia mengenali Fadzlan, inilah kali pertama dia lihat Fadzlan
yang kosong. Tiada riak tegang, tiada
riak jengkel. Yang ada hanyalah kekosongan.
“Rose
dah tak ada.” Fadzlan mengulangi kata-katanya sebentar tadi sebelum hayun kaki
meninggalkan Humairah dan Afina.
Afina
tidak membalas satu patah pun. Anak mata Afina menerobos tepat pada Fadzlan
yang semakin menghilang. Humairah pula tidak memahami pertuturan Fadzlan tadi.
Hanya terkebil-kebil menanti penghuraian dari Afina.
“Kak
Fina...” Humairah menyeru nama itu.
Afina
menunduk seketika sebelum kembali menentang renungan Humairah.
“Mai
pergilah mandi. Sekejap lagi masuk waktu Maghrib. Kak Fina nak siapkan makan
malam.” Lekas Afina bangun dan menuju ke dapur tanpa membenarkan Humairah bertanya
barang satu soalan pun.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Yukk... aku nak nasi hint pasal KPHM yang dah mengundang kekeliruan yang sangat ketara :) Humairah yang diperkosa Hasnol tu (dulu) ada kaitan dengan Humairah yang hilang ingatan (sekarang). Dua watak Humairah ni bukan sekadar memiliki nama yang sama, malah paras yang hampir serupa. Dari segala segi, Humairah sekarang seolah menyerupai Humairah dulu. Humairah yang dulu, dimatikan wataknya sampai percubaan merogol oleh Hasol tu, ada kesinambungan dalam kehidupan Humairah sekarang (disamping Engku Zubaidah, Afina dan Fadzlan). Malah mereka saling berkait. Akan ada satu kejadian Humairah (sekarang) berjumpa Rosnah dan Haikal, dan sejak pertemuan tu, dia didatangi mimpi-mimpi pelik dan dia turut mimpikan dirinya sendiri. Siapa Humairah sebenarnya ehhh? Humairah yang hidup bersama keluarga Engku Zubaidah tu- adakah Humairah yang dirogol oleh Hasnol di kampung dulu? Apa ehh yang terjadi selepas kejadian malam tu? Semua tu aku cuba sampaikan melalui mimpi-mimpi Humairah (Mai). Dannnn Afina adalah kunci kepada sebuah rahsia yang selama ini tidak diketahui Engku Zubaidah. Adehhh... aku ponn dah pening dah ni haa. Tak tau nak describe acane. Yang pasti, mss KPHM dah sampai tengah dah. Dah sampai part Humairah menemui 'dirinya' semula. Heh. Mungkin cerita ni tak bagus dari segala segi. Penyampaian tak cukup baik, penceritaan yang tegolek-golek. Kelemahan itu datang dari diri sendiri :) Tata!
6 comments:
harap2 mai jmpa blik dgn haikal..huhu..
Best.
@ilman_nafi
Kalau nak tau, kena laa folow KPHM smpai last.hihi.thanks ye sudi baca :)
@baby_mio
:) thanks drop sini yee :)
hai.. salam kenal
follower ke : 836
done follow sini.. jom follow blog teman.. heee.. http://tengkubutang.blogspot.com/
klu minat kucen leh follow blog ni jugak.. =)
http://kucenkucenbelog.blogspot.com/
@tenku butang
hi :) salam perkenalan juga.
tq folow blog ni. bersedia utk singgah ke sana pulakkk teehee :)
Post a Comment