Friday, June 28, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 22.

Assalamualaikum.








"...Remember Allah always and you will never forget your purpose..." - Abu Maryam










Bab 22
MENGAWAL resah jiwa ternyata bukanlah satu tugas yang mudah. Siang malam dia terbayangkan gadis yang dilihatnya dulu. Sehingga saat, masih berlegar-legar di ruang ingatan. Tidak putus-putus dia berdoa agar mampu melupakan detik itu, namun sukar untuk memaksa diri melakukannya. Bila buka mata, dia nampak Humairah. Bila hendak lelap mata, perkara yang bermain difikiran tentunya perihal Humairah.
            Puas dia berkata kepada diri sendiri, bahawa yang dilihatnya itu hanyalah bayangan semata, namun entah kenapa, ‘diri’ yang satu lagi itu enggan mengakuinya, lantas memaksa otak dia memutarkan gambaran demi gambaran gadis yang mirip Humairah.
            Empat tahun dia hilang. Empat tahun! Haikal berdesis halus. Dia meraup muka. Ingin sahaja dia bercerita pada Rosnah. Memikirkan bila mana dia berkongsi perkara itu bagai memberi harapan kepada Rosnah yang sememangnya sentiasa menanti kepulangan Humairah, terus dibatalkan niatnya itu. Ditanggung seorang diri.
            Ya Allah, padamkanlah perasaan asing yang kian menghuni hatiku, Haikal berdesis halus penuh pengharapan. Kemudian kedua belah tangan dibawa ke muka dan naik ke dahi, sehingga sampai ke ubun-ubun kepala.
            Haikal bersandar, mata menujah ke dinding dan perlahan-lahan dia mengeluh berat. Keluhan itu singgah di pendengaran Rosnah yang kebetulan baru muncul di ruang tamu.
            “Lain macam aje bunyi mengeluhnya tu,” tegur Rosnah.
            Haikal terperanjat. Terus menghala mata ke arah Rosnah yang berjalan perlahan mendekat kepadanya.
            “Ada masalah ke?” soal Rosnah lagi.
            “Eh, tak ada apa-apalah nek.” Haikal berdalih lantas pamer geleng kepala yang maha meyakinkan.
            “Nenek dah makan?” Giliran Haikal menterbalikkan perhatian neneknya.
            Kening Rosnah hampir bertaut. Pandangannya tajam merenung Haikal.
            “Bukan ke sekejap tadi kita baru siap makan,” tutur Rosnah.
            Spontan Haikal tepuk dahi. Ya Allah! Setelah itu dia pamer sengih lebar.
            Tergeleng-geleng kepala Rosnah. Sahlah Haikal sedang berfikir sesuatu. Jarang benar nampak Haikal bertingkah begini.
            “Cakaplah pada nenek kalau Haikal ada masalah.”
            “Betul, nek.”
            “Nenek tak suka kamu berbohong,” tegas Rosnah.
            Haikal berbelah-bahagi. Untuk bercakap perihal itu, memang tidaklah! Dia enggan berkongsi rasa itu bersama Rosnah.
            “Masalah tempat kerja nek. Biasalah kan.” Berhati-hati Haikal menyusun ayat. Dia bohong lagi.
            Terangguk-angguk kepala Rosnah dan tidak melanjutkan pertanyaan itu lagi.
            Haikal mengerling ke arah Rosnah. Selama empat tahun kehilangan Humairah, Rosnah tidak pernah kering menangisi kejadian itu. Malah di setiap doa, titipan buat Humairah masih kekal membasahi bibir. Dan setiap kali itu jugalah, Rosnah hambur tangis. Dia yang mendengar ikut tersentuh jiwa. Kadang ketika, turut mengalir airmata mengenang kejadian lampau yang telah menyebabkan dia kehilangan Humairah dan Kamsiah.
            “Haikal...” Rosnah memanggil lembut.
            “Ya,” sahut Haikal.
            Pandangan keduanya bertemu.
            “Nenek rindukan kampung. Nenek rindukan rumah yang menyimpan kenangan nenek dengan Ara.”
            Haikal kunci mulut. Terus pasang telinga mendengar tutur kata seterusnya.
            “Boleh kamu bawa nenek pergi sana nanti?” aju Rosnah.
            Haikal senyap. Angguk tidak. Geleng pun tidak.
            “Kita singgah sekejap aje, Haikal. Nenek nak tengok rumah tu. Nenek nak kutip Humairah di sana.” Terputus-putus bicara Rosnah saat menyebut nama Humairah.
            Haikal menoleh. Dia nampak mata Rosnah sudah berkaca.
            “Insya-Allah, nek,” jawab Haikal, tanpa memberi jawapan yang pasti.

PETANG itu, Haikal pergi ke kedai buku yang terletak di dalam sebuah pusat beli-belah di sini. Perjalanan yang memakan masa tiga puluh minit itu bagai tidak terasa bila fikiran lebih memfokus tentang hasrat Rosnah yang ingin pulang ke kampung halaman. Bukan dia tidak mahu ikut kehendak Rosnah, tetapi dia berat hati.
            Banyak cerita luka yang ditinggalkan di sana hampir empat tahun. Saat dia mengambil keputusan meninggalkan kampung, waktu itu dia sudah bulatkan hati bahawa dia tidak akan kalih belakang semula. Terus jalan ke depan membina hidup baru.
            Dulu, dia pernah datang secara terang-terangan, pijak kaki di tanah tumpah darahnya. Namun kunjungannya disambut oleh umpatan dan kejian orang sekitar. Hati siapa yang mampu menahan semua itu? Lantas, sesudah menziarahi kubur arwah ayah dan ibunya, dia langsung pergi.
            Haikal hela nafas. Fikirannya jauh berterbangan meski dia membelek sebuah buku ilmiah dalam tangan. Buku ilmiah itu dikembalikan di kedudukan asal. Haikal melorong kaki ke rak buku di sebelah sana.
            “Aduh!” Farah mengaduh kesakitan. Beberapa buah novel yang dipegangnya terlepas dan terhumban ke lantai. Farah angkat muka melawan renungan lelaki itu.
            “Sor... sorry...” ucap Haikal dalam bicara yang tersangkut-sangkut, apatah lagi saat itu, dia terlihat kelibat seseorang datang menghampiri Farah.
            “Tak apa,” balas Farah. Dia menunduk mengutip novel-novel itu.
            “Eh, kau dah kenapa?” tanya Humairah sebaik berdiri di belakang Farah yang bertinggung di situ.
            “Accident.” Farah menjawab lalu pamer senyum halus.
            Ekor mata Humairah melirik ke arah seorang lelaki yang kaku depan mata. Dah kenapa mamat ni pandang aku? Humairah berteka-teki sendiri. Lekas dia tarik lengan Farah. Mengajak Farah segera pergi dari situ. Rimas pula diperhati laksana dia makhluk yang pelik.
            “Sekejap.” Farah berusaha berdiri.
            “Jomlah!” Humairah mendesak. Ditarik-tarik lengan Farah. Mahu tidak mahu, Farah ikut juga langkah Humairah. Mereka berdua menuju ke kaunter bayaran.
            Tidak lepas mata Haikal memerhatikan paras gadis itu tadi. Demi Tuhan, paras itu saling tak tumpah seperti Humairah. Sungguh! Haikal menyentuh dada sendiri. Jantungnya masih berdetak kencang. Seakan enggan berhenti. Haikal tarik nafas perlahan. Kalau sebelum ini dia mampu berlari mengejar, kali ini dia jadi batu.
Dia percaya, pertembungan kali kedua ini bukanlah satu kebetulan. Tiada kebetulan di dunia ini selain ia telah termaktub dalam rancangan Yang Maha Mengetahui segala-galanya.
            Kaki dihayun gagah menjejak gadis tadi bersama temannya. Seluruh pelusuk kedai buku ini disusuri, namun bayangnya tiada terjamah. Haikal mematikan langkah sendiri.
            Siapa gadis itu? Humairah? Andai benar dia Humairah, kenapa pandangan gadis itu padanya kosong sahaja? Seolah-olah mereka saling tidak mengenali.
            Sementara itu, Farah asyik mengusul pertanyaan tentang tingkah Humairah yang bersungguh mahu segera angkat kaki dari kedai buku tadi. Humairah nampak panik, malah tangan gadis itu membeku tiba-tiba. Dia yang lihat naik resah. Namun Humairah enggan buka mulut. Gadis itu hanya menggeleng kepala sahaja.
            “Kau tak sihat ke?” soal Farah.
            Humairah menggeleng.
            “Mai!” Laung Farah. Terkedek-kedek mengejar langkah Humairah.
            “Tunggulah!” jerit Farah lagi. Bersusah-payah berjalan dengan beg plastik di kiri kanan tangannya. Menyesal pula borong novel lebih dari kuantiti asal sewaktu berniat hendak membelinya tadi. Kata mahu beli tiga biji. Akhirnya, yang diusung keluar dari kedai buku tadi sebanyak enam buah. Ah, nafsu serakah dia selalu begini.
             Humairah menanti Farah di luar sebuah butik baju. Farah hendak beli baju baru katanya. Humairah duduk di sebuah kerusi panjang yang terletak berhadapan dengan butik yang dimiliki oleh orang tempatan. Dia memerhatikan Farah yang berjalan ke hulu hilir bersama beberapa helai blause di tangan.
            Meski matanya melorong ke arah Farah, fikirannya berlari mengingati lelaki tadi. Entah kenapa, detakan jantung dirasakan aneh. Terlalu aneh sehingga otak sendiri memberi isyarat bahawa lelaki itu bagaikan ancaman kepada dirinya. Sebab itu dia hendak bersegera angkat kaki dari situ. Detakan yang sama dirasai ketika dia merasakan ada seseorang sedang memburu dia. Ya Allah, perasaan apakah ini?
            Humairah menunduk kepala, menekur lantai. Bayangan wajah lelaki itu menampar angkasa raya minda yang aman buat sedetik waktu. Mata dipejam rapat. Dia berusaha membuang wajah itu tetapi masih melekat. 
            “Ara...”
            Bagai angin bertiup membawa desiran suara halus itu ke telinga. Selajur, Humairah memandang persekitarannya. Nafasnya turun naik tidak teratur. Ke mana perginya keriuhan tadi? Di mana dia sekarang? Humairah berpusing-pusing di situ. Liar matanya memerhati.
            “Farah!” pekik Humairah.
            Dia tercari-cari butik yang dimasuki Farah tadi. Mana?!
            Terbeliak mata Humairah saat menyedari dia berada di satu kawasan sunyi, yang mana di sekelilingnya hanyalah pokok-pokok yang tumbuh meliar.
            “Ara.”
            Humairah memandang ke depan sana. Ada jalan denai yang melorong ke satu kawasan luas. Di sana berdirinya seseorang. Tidak dapat dikenal pasti siapakah orangnya. Meski diri dijentik rasa ragu-ragu, Humairah tetap ringankan kaki berjalan melalui denai itu dan menghampiri orang itu.
            Sedang mengira langkah perlahan, tiba-tiba ada seseorang melintas di sebelahnya. Terlalu pantas sehingga dia tidak mampu melihatnya. Tubuhnya kecil-kecil dan rambut itu diikat tinggi. Humairah berhenti berjalan. Itu budak yang pernah dimimpikannya satu ketika dulu. Budak perempuan itu terus berlari tanpa mengendahkan panggilannya. Bila budak perempuan itu sudah sampai di hujung sana, memeluk orang yang menanti di situ, terasa persekitarannya berpusing ligat, bagaikan ada satu puting beliung sedang menyedut segala-galanya. Humairah menjerit ketakutan. Dia berlari menjauhi salah satu ciptaan Tuhan yang mampu memusnahkan apa sahaja yang menghalang laluannya.
            “Aaaaa...!” Humairah menjerit sekuat hati. Tubuhnya rasa melayang ditolak angin yang datang menerpa dari arah hadapan.
            “Ya Allah!” Dia melaung kuat. Kaki dipacak ke tanah menggunakan seluruh tenaga yang ada. Dia melawan arus angin yang seakan bertempur dengannya.
            “Ara.”
            Humairah celik mata. Dalam kekaburan dan pandangan yang berbalam-balam itu, dia nampak susuk tubuh seorang lelaki di depan mata. Dia renung paras lelaki itu. Riaknya seperti kesedihan. Kening itu jatuh ke bawah. Kolam mata itu berkocak. Dia tidak mampu melihat dengan jelas paras lelaki itu tetapi hati sendiri mampu menerobos jiwa lelaki itu. Lelaki itu sedang bersedih!
            Dalam pergelutan itu, Humairah terus memandang lelaki tadi. Lelaki itu tidak membantunya, sebaliknya hanya memandang dia. Humairah menjerit dan terus menjerit meminta bantuan, menghulur tangan dengan harapan lelaki itu menyambutnya, namun sia-sia.  Tubuhnya tiada kekuatan hendak melawan kuatnya angin menampar tubuh. Dia terkulai bersama jeritan yang masih bersisa. Melayang tubuhnya dihempas angin. Diangkat tinggi dan dia tidak tahu ke mana tubuhnya di bawa pergi. Entah benar nyawanya berada di hujung tanduk.

“TERIMA kasih.” Gadis bertudung merah jambu itu mengulum senyum manis kepada Farah sambil menghulur beg plastik yang berisi dua helai blouse yang baru dibelinya tadi. Farah menganggung dan membalas senyum itu.
            Dia membelek isi dalam beg plastik itu. Puas hati! Novel dapat, baju pun dapat. Selepas ini, ikat perut. Farah sengih-sengih sendiri. Ini kalau emak tahu dia berbelanja sebanyak ini, mahu seguni bebelan emak nanti.
            “Mai...” Farah sengaja meleretkan suara. Kedua belah tangannya diangkat tinggi. Sengaja beri pandangan paling HD pada Humairah melihat plastik-plastik di tangannya.
            “Mai?” panggil Farah. Jarak antara mereka berbeza beberapa meter sahaja. Terkebil-kebil mata melihat keadaan Humairah yang seolah-olah sedang tidur.
            “Mai.” Farah menyentuh bahu Humairah. Dan secara tiba-tiba tubuh Humairah jatuh longlai atas lantai. Farah terkejut besar. Spontan dia menjerit sehingga menarik perhatian orang yang lalu-lalang di situ. Masing-masing berkejar ke menghampiri Farah yang sedang memangku kepala Humairah.
            “Mai!” teriak Farah. Pipi Humairah ditepuk berkali-kali.
            Ya Allah! Farah tidak tahu apa yang perlu dilakukannya.
            “Bawa dia pergi hospital,” cadang seorang lelaki yang berdiri berhampirannya. Lelaki itu mengeluarkan telefon bimbit lalu menelefon ambulans. Belum pun sempat melaporkan keadaan di sini, tindakan lelaki itu dipintas oleh seseorang. Panggilan diputuskan serta-merta. Sudahnya, lelaki tadi terkebil-kebil memerhatikan tingkah lelaki yang muncu tiba-tiba.
            “Apa dah jadi ni, Farah?” Azfari bertanya. Riak wajahnya penuh keresahan. Hujung jari Humairah digenggamnya. Sejuk!
            Farah terpana. Abang Azfar?!
            “Kenapa dengan Mai ni?” soal Azfari lagi.
            Farah menggeleng. Fikirannya buntu. Dia diserang ketakutan yang maha dahsyat sewaktu melihat tubuh Humairah jatuh terkulai begitu.
            “Mari, kita bawa dia pergi klinik.”
            Farah tidak memberi kata persetujuan. Hanya memandang tingkah Azfari yang mencempung badan Humairah yang layu itu dan mereka menuju keluar dari pusat beli-belah itu.
            Farah sempat menyeluk poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbit. Orang pertama yang melintasi fikiran ialah Afina.
            “Kak Fina!”

ENGKU ZUBAIDAH berjalan ke hulu hilir. Dia dirundung perasaan gelisah sejak Humairah dihantar pulang oleh seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Azfari. Farah pun ada sekali. Menurut cerita Farah, Humairah tidak sedarkan diri. Afina yang menyuruh Humairah dibawa balik sahaja. Farah menurut meski mendapat tentangan Azfari pada mulanya. Mengikut pendirian Azfari, Humairah harus dirujuk ke doktor, bukan disuruh berehat di rumah semata. Hanya apabila Azfari mengetahui bahawa di rumah itu ada seorang doktor iaitu Afina, barulah Azfari akur.
            Fadzlan tidak faham dengan situasi depan mata. Humairah pengsan, apa yang dirisaukan sangat? Dia lihat nenek tidak boleh duduk diam. Ke sana sini bergerak kalah jaga pencen. Pengsan ajelah, bukan tak sedar diri sampai koma bagai! Fadzlan mencebik dalam hati. Dia yang sedang enak berehat di rumah, di suruh datang ke sini. Fikirnya ada perkara mustahak. Rupanya pengkhabaran Humairah tidak sedarkan diri. Terus bungkam sampai dia tidak tahu hendak cakap apa.
           “Nenek tak penat ke?” Akhirnya keluar juga suara Fadzlan. Naik pening tengok Engku Zubaidah depan mata. Silap-silap dia yang pengsan nanti.
            Engku Zubaidah pandang Fadzlan, disertai keluhan berat. Dia labuh duduk di sebelah cucunya itu.
            “Apa yang nenek nak risau sangat? Budak tu pengsan aje,” tutur Fadzlan. Berpeluk tubuh dengan mata menghala ke arah Farah yang turut menanti di sini.
            Engku Zubaidah kunci mulut. Sesekali mengerling Fadzlan yang punya riak tidak puas hati di wajahnya. Bila nampak Afina keluar dari bilik itu, Engku Zubaidah pantas menerpa.
            “Macam mana dengan Humairah tu, Fina?” Tergesa-gesa Engku Zubaidah menyoal.
            “Alhamdulillah, dia dah sedar, nek. Sekarang ni biar dia rehat dulu. Nampak pucat aje muka dia tu,” jelas Afina.
            “Syukur...” Engku Zubaidah tadah tangan.
            Fadzlan yang melihat naik meluat. Apalah ilmu yang dipakai Humairah sehingga semua orang terlalu ambil berat sampai begini sekali?
            “Farah, Humairah dah sedar dah. Farah nak jumpa dia ke?” Afina mengalih perhatiannya kepada Farah.
            “Tak apalah, Kak Fina. Farah tak mahu ganggu Mai. Biar dia rehat. Farah balik dulu ya.” Farah menyalami Afina dan Engku Zubaidah. Meninggalkan rumah itu dengan perasaan separuh lega. Separuh lagi masih bertinggung rasa gelisah itu. Dua kali Humairah berkeadaan begitu. Seolah-olah tenggelam dalam ruang waktu yang lain.
            “Lan pun nak baliklah.” Fadzlan bangkit.
            “Lan tak tengok Humairah dulu ke?” Engku Zubaidah menarik lengan Fadzlan.
            “Dia pengsan aje, bukan sakit teruk pun.” Fadzlan membidas, tegas.
            “Biarlah dia, nek.” Afina mencelah. Dia meninggalkan ruang itu dan meluru ke tingkat bawah.
            Engku Zubaidah menarik nafas.
            “Lan balik dulu,” tutur Fadzlan sewaktu menyalami tangan Engku Zubaidah. Engku Zubaidah mengangguk.
            Fadzlan sempat menyoroti Afina yang bertapa dalam dapur. Dia tahu Afina berkecil hati dengannya kerana tidak ambil kisah perihal Humairah. Tetapi, ikut logik akal, perlukah dia ambil berat tentang Humairah? Siapa Humairah dalam hidup mereka? Setakat perempuan yang tidak punya kesedaran diri sehingga perlu diciptakan persekitaran dan memori yang baru.
            Ah, perempuan itu! Fadzlan mencebik.
            Kau kejam! Bisikan itu menerpa. Fadzlan terpinga-pinga.
            “Kak, aku balik dulu!” Fadzlan melaung kuat. Enggan melayan desiran suara hati yang tiba-tiba memalu jiwa.
            Afina tidak menyahut pun. Bila terdengar enjin kereta yang dipandu Fadzlan menderu meninggalkan rumah, Afina menghela nafas panjang.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Rasanya dah banyak hari mengemas tapi kannnn macam banyak lagi barang haa sampai aku tak tahu nak sumbat mana. Well, esok says 'Selamat tinggal Melaka' sobs! Insya-Allah, ada rezeki dan umur panjang, akan kujejakkan kaki ku di negeri ini lagiiii :') Ecehh, padahal bulan soploh kang datang Melaka jugak. Konvo yeayyyy! :) Lepas ni boleh update kerja terkini - Penganggur Terhormat! Tata :)

2 comments:

Unknown said...

best.

~::HANAH RISHAS::~ said...

@babymio

Thnks awk sbb sudi singgah sini :')