Wednesday, July 24, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 26.

Assalamualaikum.








"...The best charity is that given in Ramadan..." - Tarmidhi









Bab 26
“SELAMA seminggu Kak Fina pergi seminar ni, Lan tolong jagakan Mai ye. Tengok-tengokkan nenek sekali.”
            Kata-kata keramat itu menjulang tinggi jantung Humairah yang mendengar. Sementara Fadzlan tidak membantah meski jelas terpancar ketidakpuasan hati lelaki itu bila Afina mengamanahkan dia di bawah jagaannya. Kak Fina pun satu. Dia bukan budak kecil lagi. Dah besar okay. Cukup besar untuk jaga diri sendiri.
            Di dapur, dia cuba tenangkan hati. Kacau-bilau otak dia memikirkan Fadzlan diangkat status sebagai penjaga dia. Aduh! Kak Fina fikir apa agaknya? Humairah menyusun tiga biji gelas di atas dulang. Diangkat dulang itu bersama sejug air sejuk ke ruang tamu. Rasa macam jauh sangat hendak cecah ke ruang itu.
            “Hah, Mai! Nanti Lan datang hantar dan jemput Mai. Tak payah tumpang Farah ke sesiapa ke. Kak Fina dah cakap kat Lan. Boleh kan, Lan?” Perhatian Afina pada Humairah melorong ke arah Fadzlan pula.
            Fadzlan tidak memberi sebarang reaksi, cuma kening itu diangkat tinggi. Di situ sudah nampak isi hati Fadzlan sebenarnya. Apa Kak Fina tak perasan?! Menjerit-jerit suara hati Humairah.
            “Lan, bak sini telefon kau.” Afina tadah tangan.
            “Nak buat apa kak?” soal Fadzlan.
            “Bagi ajelah,” desak Afina lagi.
            Mahu tidak mahu, diturutkan permintaan Afina. Telefon bimbit berjenama Samsung diberikan kepada Afina. Afina menekan skrin telefon, bagai menaip sesuatu. Setelah beberapa ketika, telefon itu dikembalikan.
            “Mai, mana handphone? Sini, bagi Kak Fina kejap.” Kali ini giliran Humairah pula. Humairah terus hulur telefonnya tanpa banyak soal. Seperti tadi, Afina turun bertingkah sama ketika memegang telefon Humairah.
            “Kak, nombor apa ni?” Fadzlan menayangkan skrin telefonnya depan mata Afina. Terkebil-kebil mata Humairah yang turut melihat sama. Ditenung lama nombor-nombor itu. Kombinasi itu menyerupai nombor telefon milik dia.
            “Tu nombor telefon Mai. Kalau ada apa-apa, nanti Lan contactlah dia. Senang.” Afina berkata selamba. Menyerahkan semula telefon bimbit Humairah.
            “Mai pun sama. Tu nombor Lan. Call aje dia,” ujar Afina.
            Humairah melongo. Cepat betul tindakan Afina. Sebelum ini, dia tidak pernah tahu nombor telefon Fadzlan. Malah tidak pernah terfikir hendak meminta dari lelaki itu. Lagipun, untuk apa semua itu? Humairah pandang Fadzlan. Mata Fadzlan fokus ke skrin telefon. Hah, entah-entah Fadzlan padam nombor telefon dia.
            “Ni, dah ada nombor telefon masing-masing, rajin-rajinlah contact.” Afina berkata dengan niat cara itu mampu merapatkan jurang yang sedia terbina antara keduanya.
            Tiga pasang mata memerhati ke arah Fadzlan yang bangkit dari tempat duduknya. Afina yang paling ketara bulat saiz matanya. Namun Fadzlan buat tidak endah. Isyarat mata Afina tidak terkesan langsung.
            “Tak ada apa-apa lagi, kan? Lan balik dululah.” Fadzlan memutuskan. Hujung minggu macam ini digunakan untuk berehat, bukan jalankan aktiviti tukar mandat penjagaan atau saling tukar nombor telefon. Nonsense!
            “Cepatnya Lan. Kan baru sampai.” Engku Zubaidah menegur.
            Fadzlan lihat jam tangan.
            “Lan dah janji nak keluar dengan Kimi,” dalihnya. Hakikat, dia mahu segera tinggalkan rumah ini. Lebih tepat, hilangkan bayang Humairah dari pandangan mata. Semak!
            Selepas bersalaman dengan Engku Zubaidah dan Afina, panjang langkah dia keluar. Kalau bertangguh, silap-silap tidak balik rumahlah nanti.
            Sambil memegang streng kereta, sebelah tangan meraup muka. Dia disuruh hantar dan jemput Humairah. Oh, itu boleh tahan lagi. Tapi bila sampai part jaga tu, memang tak masuk akal. Humairah depan mata dia itu sudah cukup besar. Bukan budak kecil. Apa dia kena perhati setiap langkah Humairah sepanjang seminggu nanti? Ini lebih! Fadzlan tarik nafas. Makin menjadi-jadi strategi Afina. Jangan ingat dia tidak tahu niat Afina.
            Sementara di rumah, Afina membebel geram. Engku Zubaidah awal-awal lagi angkat kaki ke dapur. Tinggallah Humairah seorang yang baik hati tadah telinga dengar bebelan yang meluncur keluar bagai peluru.
            “Asyik berkepit dengan Hakimi aje. Duduk serumah dengan Hakimi, keluar pun dengan Hakimi. Eloklah tu. Kahwinkah aje budak berdua tu,” omel Afina, melepaskan geram di hati. Fadzlan pentingkan diri sendiri. Afina kasihankan nenek. Bila Fadzlan ambil keputusan kembali menetap di Malaysia, nenek paling gembira. Tidak putus senyuman dan ungkapan syukur membasahi bibir nenek. Sekarang, bila ada depan mata, Fadzlan kerap menghindar gara-gara Humairah. Tidak patut betul!
            Humairah tahan ketawa. Agak kelakar bunyi bebelan Afina. Kahwinkan Fadzlan dan Hakimi? Rasanya yang jadi ‘suami’ nanti ialah Fadzlan. Hakimi pula jadi ‘isteri’. Afina ternampak senyum Humairah. Sekelipan hati yang membara langsung sejuk. Bagai disimbah air.
            “Mai, Kak Fina harap sangat Mai dan Lan tu berbaik-baik semula,” luah Afina. Tangan Humairah digenggam erat.
           Berbaik-baik semula? Masalahnya dia tidak pernah tahu di mana hujung pangkal ‘pergaduhan’ dingin mereka.
            “Berbaik macam dulu.”
            Sepotong ayat itu berputar-putar di telinga. Gaya Afina bercakap seolah-olah hubungan dia dan Fadzlan tidak seperti sekarang. Apa dahulu kala, sebelum ingatan dia diragut, dia pernah bertepuk-tampar atau berkongsi gelak ketawa, atau mungkin saling merasai keakraban dalam persahabatan? Humairah tidak tahu apa yang bermain di fikirannya tika ini.

LENA yang sekejap itu terganggu dek getaran kuat di sebelah telinganya. Fadzlan memisat mata. Teraba-raba mencari objek yang bergetar lama. Mengecil matanya melihat skrin telefon. Ada satu mesej daripada nombor yang tidak dikenali. Malas hendak membaca mesej itu, dia campak telefon ke tepi.
           Jam baru menginjak ke angka satu setengah petang. Helaan nafas berat akhirnya meluncur keluar. Dia bangkit. Duduk berteleku atas katil.
            Hakimi keluar dengan si kekasih hati. Katanya hendak bawa jalan-jalan setelah beberapa hari tidak berjumpa kerana si kekasih hati outstation. Melepas rindu konon! Izhar pula jumpa tunangnya di Petaling Jaya. Itu pun mahu melepas sarat rindu di hati.
            Dia duduk terperap sahajalah di rumah, macam anak dara. Menikmati hari cuti tanpa teman. Balik dari rumah nenek, terus dia kejar katil dan peluk bantal. Tidur semahunya. Hilangkan seketika arahan Afina yang berkuat kuasa Isnin nanti. Buka mata, perkara pertama yang menduduki kepala pastinya kata-kata Afina. Rimas betul, gerutunya kurang senang.
            Fadzlan kembali merebah badan yang tidak berbaju atas tilam. Bermalas-malasan sepuas hati. Teringat mesej yang diterima, terus dia capai telefon dan membuka mesej itu.

            Isnin nanti, awk tak payah dtg ambil sy. Sy tumpang kawan.

            Eh, siapa pula ni? Dari gaya bahasa itu, macam kenal. Humairah! Terdetik nama itu di kepala. Dengan kadar kepantasan yang luar biasa, dia membalas mesej tersebut.
           
            Oh, lepas tu senang-senang kau cakap kat nenek and Kak Fina yang aku ni pemalas?

            Hantar! Fadzlan mendengus kasar. Selang beberapa minit, dia menerima mesej seterusnya.
           
           Sy tak mahu susahkan awk. Nenek boleh simpan rahsia. Pasal Kak Fina, awk jangan risau. Dia tak akan tahu.

            Itu jaminan dari Humairah. Fadzlan mencebik. Benda kecil macam ini pun hendak dibesar-besarkan. Berahsia bagai. Kalau betul dia tidak ikut suruhan Afina pun, rasanya bukan masalah besar.
           
            Fine.

            Setelah membalas mesej dengan satu perkataan ringkas itu, dia campak telefon itu. Pandai-pandailah Humairah untuk seminggu nanti. Gegaran itu terasa lagi. Hampir bertaut kening Fadzlan. Eh, ni gian nak bermesej ke apa? Getusnya. Lambat-lambat dia capai telefon.

            Fadzlan, Kak Fina kata, dia harap kita berbaik macam dulu. Macam dulu? Means... what? Kalau betul dulu kita okay, jelaskan pada sy apa yg menyebabkan awk membenci sy. Supaya sy sedar dan mampu memulihkan keadaan tu.

            Fadzlan telan air liur. Membaca bait-bait ayat itu mengundang seribu satu rasa, bersambung dengan detakan jantung yang kian berterabur degupnya. Sekejap turun, sekejap naik tinggi.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Entri pendek? Hihi. Bab ni memang pendek dan ada bab lain yang lagi pendek. Kepala dingdong, maybe? Tata :)

4 comments:

Unknown said...

best...

AYRA ZAHRA said...

x sabar nk tahu kisah Mai dengan Fadzlan..Oh maiiiii....

~::HANAH RISHAS::~ said...

@baby mio

:) thanks

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ayra

Hihi :) tungguuuuuuuu.. ;)