Monday, August 19, 2013

[Novel} : Kupilih Hatimu Bab 27.

Assalamualaikum.








"...Don't wait for people to be kind, show them how..." - Boonaa Mohammed









Bab 27
SEPANTAS kilat Farah mendapatkan Humairah yang baru sahaja keluar dari perut kereta Honda Accord hitam. Tidak tunggu-tunggu, terus dia menyerbu. Malah dia sempat mengerling Fadzlan yang kacak berkaca mata hitam. Eh, panas ke? Farah mendongak pandang langit. Tak adalah terik mana sinar mentari. Tambah-tambah jam baru menginjak jam tujuh suku pagi. Kes nak bergayalah ni.
“Amboi kau! Bukan main sebelum ni kata Fadzlan tu musuh. Sekarang, dah makin rajin berkepit,” usik Farah. Mereka berdua berjalan seiring.
Terbuntang mata Humairah.
“Eh, suka hati kau aje. Berkepit apanya. Dia tu tolong hantar aku aje tahu,” jerkah Humairah. Seksa betul berdepan Fadzlan hari ini. Awalnya, dia sudah berkira-kira hendak tumpang Farah. Siap telefon kawannya itu selepas solat Subuh. Sedang elok dia capai tuala dan menuju ke bilik air, Fadzlan hantar mesej kepada dia. Arah dia segera memacakkan diri depan pintu pagar kerana lelaki itu akan sampai dalam masa sepuluh minit. Gila tak gila? Sepuluh minit? Lekas dia bergerak bagai halilintar.
“Aku hantar hari ni aje, pasal aku ada kerja luar. Lagipun, aku tak mahulah nenek fikir bukan-bukan. Esok lusa kau pandai-pandailah nak pergi kerja.”
Sepotong ayat itu dipersembahkan di telinganya sebaik dia henyak punggung atas seat. Angguk kepala sahajalah jawabnya. Tambah-tambah, dia bukannya ingin sangat naik berdua dengan Fadzlan.
“Hah, berangan!” Farah mencuit pinggang Humairah.
“Kau ni! Aku bukan beranganlah. Eh, petang kang aku tumpang kau.”
“Kenapa kau tak balik dengan Fadzlan tu je?” soal Farah.
Humairah mencebik. “Pagi ni aje dia hantar. Kebetulan. Boleh tak?”
“Apanya yang boleh tak tu?” Farah mencampak beg ke dalam loker.
“Tumpang kau balik nanti,” kata Humairah.
“Iyalah. Karang aku hantar kau.” Farah membalas sambil angguk kepala.
Humairah tarik nafas lega. Curi-curi pandang Farah.
“Farah...” Panggilnya.
“Apa lagi ni?” gerutu Farah. Tidak tenang dia hendak memulakan kerja bila dengar Humairah panggil begitu.
“Esok, lusa dan hari-hari seterusnya, aku tumpang kau lagi eh.” Humairah tersengih-sengih ketika renungan keduanya saling bertempur.
“Kau ni. Macam tak biasa pulak.”
Lebar senyuman Humairah. “Sayang kau banyak-banyak, Farah!”
Spontan, Humairah memeluk Farah. Dikucup pipi Farah. Farah yang anti dipeluk terus berusaha meleraikan pelukan itu. Geli-geleman dia.
“Buang tabiatlah kau ni. Syuhhhh! Pergi jauh-jauh!” Farah menolak Humairah menjauhi dia. Bila Puteri datang dekat ke arah mereka, Farah bersembunyi di belakang Puteri. Puteri tercengang.
“Dah kenapa kau ni Farah?” tanya Puteri.
Muncung bibir Farah menghala ke arah Humairah yang ketawa terdekah-dekah.

BELUM pun sempat dia jamah sarapan pagi, telefon berdering nyaring minta diangkat. Fadzlan melihat nama Afina tertera di skrin. Terus dia lepas keluhan kasar. Sengaja lambat-lambat angkat panggilan itu.
“Assalamualaikum.” Fadzlan bersuara perlahan.
“Waalaikumsalam. Lan, dah hantar Mai pergi kerja?”
Hah, kan dah cakap dah! Tak lain tak bukan, kalau Afina telefon tentu bertanyakan hal Humairah. Fadzlan bersandar. Ekor mata menyoroti beberapa orang teman sekerja yang turut sama bersarapan di kedai ini. Dia hanya angkat tangan dan pamer senyum bila ada antara rakan pejabat menegur.
“Dah,” jawab Fadzlan, malas-malas. Bukaan mulutnya terlalu kecil sehingga suara yang dilontar tidak sampai ke pendengaran Afina di hujung talian sana.
“Apa? Kak Fina tak dengarlah!” Afina mula membentak di sana. “Kau ni cukup tidur ke tak, Lan?”
“Dah. Lan dah hantar dia dia.” Fadzlan menaikkan volume suara.
Terdengar helaan nafas Afina. Fadzlan pula sudah berkerut dahinya. Susah hati betul Afina di sana. Gigih telefon dia pagi-pagi buta.
“Baguslah. Petang karang jangan lupa ambil dia,” pesan Afina.
Pesanan tiu masuk telinga kanan, dan keluar telinga kiri. Fadzlan malas hendak menyimpan segala mak nenek bebelan Afina. Yang dia tahu, dia dan Humairah dah pun capai kata sepakat. Humairah sendiri tawar diri, pergi balik atas kaki sendiri.
“Ye.” Balasnya sepatah.
“Hai, macam tak ikhlas aje?” duga Afina.
Fadzlan kancing gigi. Betullah kakak dia seorang ni!
“Iya. Lan ambil petang kang.”
“Good boy!” Afina bersorak ceria. Dia percayakan Fadzlan.
“Dahlah. Kak Fina nak tanya itu aje. Ingat pesan Kak Fina. Jaga Mai tu.” Afina tidak pernah lelah mengingatkan Fadzlan. Manakala Fadzlan pula cukup rimas setiap kali Afina membangkit perihal ‘penjagaan’ Humairah.
“Jaga Mai tu!” Fadzlan mencebik bibir. Sambil ulang kembali ayat Afina kepadanya.
Apalah yang dipakai Humairah agaknya sampai sayang betul Afina dan nenek kepada gadis itu? Minyak senyonyong? Ke minyak pengasih? Fadzlan mencubit roti bakar depan mata. Dijamah sedikit.
Dia sering terjebak dengan Humairah dalam situasi seperti ini. Seolah sudah dirancang sejak sekembalinya dia dari luar negara. Pusing-pusing, tempat yang sama. Situasi yang serupa. Kedai makan, dalam kereta, di rumah Engku Zubaidah dan ia sering berulang. Situasi lain, tak boleh?
“Putus selera aku.” Fadzlan mengguman sendirian. Pinggan kecil berisi roti bakar disapu jem dan butter itu ditolak ke tepi. Dia hidup sedikit kopi panas sebelum pergi ke kaunter bayaran untuk membayar harga menu sarapan dia pagi ini.
Jemput Humairah petang nanti? Oh, itu tidak akan berlaku. Dia akan terus balik rumah sewa tanpa perlu singgah ambil Humairah. Maaflah Kak Fina. Isu ‘penjagaan’ Humairah termaktub pagi tadi sahaja.
Fadzlan atur langkah menuju ke bangunan biru- syarikat tempat dia bekerja. Dia bernyanyi kecil mengikut lirik lagu yang muncul di benak kala ini. Senang betul hati dia.

BELUM pun sampai separuh perjalanan mereka, motosikal Honda milik Farah buat hal. Tayar belakang bocor teruk. Mujur motosikal dipandu perlahan. Andai kata merempit seperti kebiasaan yang dia lakukan, mahu terhumban masuk semak-samun gayanya.
Farah menggaru kepala. Ditunjal-tunjal tayar yang kempis dan hampir terkeluar tiub getah di antara celah tayar dan rim besi.
“Ini kes aku berat sangat ke apa ni?” Humairah bertinggung di sebelah Farah.
Farah menoleh. Dalam sengih lebar, dia berkata, “Hah, tahu pun. Kau berat sangat sampai tayar moto ni pun tak mampu nak pikul kau.”
Kedua-duanya ketawa terbahak-bahak. Hiburan untuk mereka di petang hari. Setelah itu, Farah berdiri. Merangka cara hendak menyelesaikan masalah depan mata. Kawasan yang mereka lalui bukanlah kawasan kebiasaan yang menjadi laluan utama kenderaan lalu-lalang.
Hampeh betul! Dan-dan tergerak hati melalui jalan shortcut, konon nak cepat sampai rumah, tayar bocor pula.
Farah seluk poket seluar. Dengan pantas dia mendail nombor telefon Razak, adik lelakinya. Disuruh Razak datang ke sini sesegera mungkin.
“Aku dah suruh Ajak datang sini,” beritahu Farah kepada Humairah selepas panggilan itu diputuskan.
“Ajak? Siapa?” Terpacak mata Humairah tepat ke wajah Farah. Inilah kali pertama dia dengar Farah sebut nama Ajak.
“Adik akulah. Razak. Dipanggil Ajak,” jelas Farah.
Melompong mulut Humairah. “Lah, kau ada adik rupanya!”
Farah memandang pelik.
“Kau tak tahu ke?” soalnya.
Pantas digeleng kepala tanda tidak tahu. Mana pernah Farah buka mulut pasal keluarganya.
“Aku ada adik lelaki ha. Seorang aje. Sekarang belajar lagi kat UiTM Shah Alam ambil art.”
“Berapa umur adik kau tu Farah?” Spontan Humairah bertanya.
“Baru...” Farah mematikan bicara. Tersorot ekor matanya pada Humairah yang tayang senyum mengada. “Eh! Lain macam aje bunyi.”
Humairah tahan tawa. Bersimpul-simpul bibir dia.
“Nak mengenali dengan lebih dekat,” seloroh Humairah
Farah mencebik. “Jauh lebih muda dari kau. So tak payah nak berangan sangat jadi adik ipar aku tau,” pintas Farah. Siap angkat tinggi jari telunjuknya, lantas menuding tepat ke batang hidung Humairah yang semakin galak ketawa.
Setelah menunggu lebih kurang dua puluh minit, sebuah motosikal Honda model yang sama seperti yang ditunggang Farah, berhenti betul-betul di depan mereka. Farah bangun mendapatkan lelaki tersebut yang mana Humairah percaya, lelaki itu merupakan adik lelaki Farah yang bernama Razak atau Ajak. Bersama Razak, ada seorang budak perempuan dalam linkungan usia tujuh tahun, duduk melekat memeluk Razak di belakang.
“Lah, yang kau bawak Teha sekali, kenapa?” Farah mencekak pinggang. Silih berganti dia memerhati Razak dan Fatehah.
“Teha ni mengada nak ikut. Kang aku tinggal, dia menangis pulak,” balas Razak. “Mana moto kau?”
Farah menjuih ke motosikalnya yang tersadai tepi jalan.
“Teruk sangat tu bocornya,” ulas Razak.
“Itulah. Aku pun tak tahu aku langgar apa tadi,” ujar Farah.
“Habis ni, macam mana? Aku dengan kawan aku tu. Teha nak campak mana? Takkan nak naik bertiga? Teha bukan kecik boleh sumbat dalam bakul tu.” Farah berkata lagi. Dipandang Fatehah yang senyum lebar.
Razak melompat turun dari motosikal. Menyusuri depan Farah dan menghampiri motosikal yang bocor teruk tayarnya. Sempat mengerling ke arah seorang gadis yang terpacak dekat motosikal itu.
“Kau baliklah hantar Teha. Lepas tu datang ambil kawan kau ni,” cadang Razak. Melilau mata dia melihat persekitaran seolah mampu mengesan di mana lokasi bengkel yang terdekat.
“Eh, tak apa. Kau baliklah, Farah. Aku call Fadzlan datang ambil aku.” Cepat-cepat Humairah mencelah.
“Eh, kau biar betul! Kau kata Fadzlan tu sibuk memanjang.” Farah ragu-ragu.
“Betul! Nanti aku call Lanlan.” Humairah meyakinkan.
“Amboi, comel nama kau panggil dia. Lanlan!” Bibir Farah menguntum senyum nakal.
Lanlan? Ah, itu nama yang memang melekat dalam kepala dia khas untuk Fadzlan.
“Aku tunggu kau. Kau call Fadzlan tu. Kang dia sampai, aku balik.” Farah kembali duduk bermalas-malasan atas batu.
“Tak payahlah! Kau balik aje. Ni kejap lagi aku call dia.” Bersungguh-sungguh Humairah berkata. “Tu ha, baik kau ikut tunda motosikal kau tu.”
“Betul ni?”
Humairah mengangguk laju.
“Kalau macam tu, aku balik dulu. Jumpa esok.”
Humairah memerhati Farah bersama dua orang adiknya sehingga hilang dari pandangan mata. Keluhan berat meniti bibir. Hatinya berbalik-balik, sama ada hendak telefon Fadzlan atau tidak. Setelah difikir dalam-dalam, dia putuskan untuk cari teksi. Pulang ke rumah atas kaki sendiri. Lagipun dia tahu, Fadzlan tidak mungkin akan bermurah hati ambil dia di sini. Kalau betul datang ambil pun, pasti wajah itu ketat macam kena kejang otot muka. Daripada terpaksa hadap muka spesis seperti itu, adalah lebih baik dia pandang muka pakcik teksi.
Sambil ringankan kaki menuju ke arah bus stop yang terletak jauh di depan sana, dia membelek wang kertas yang masih berbaki di dalam dompet. Berkira-kira hendak singgah ke mesin ATM. Makin nipis dompet dia.
“Ke mana ajelah duit aku ni. Macam air.” Terkumat-kamit mulut Humairah berbicara kepada diri sendiri.
Sedang dia leka, tidak mengawasi persekitaran, Humairah tidak sedar kemunculan lelaki berpakaian lusuh berlari meluru ke arahnya lantas merentap beg di tangan. Humairah tersentak. Tubuhnya terdorong ke hadapan. Lelaki bertopi dan berwajah kusut itu terus menarik beg Humairah sekuat hati. Humairah hilang keseimbangan tubuh lalu jatuh tersembam ke tanah. Kepala terhantuk kuat. Tanpa sedikit ihsan pun, lelaki peragut itu berlari meninggalkan Humairah yang tidak sedarkan diri.

ENGKU ZUBAIDAH tidak sedap hati. Asyik ke hulu hilir memandang pintu pagar. Kelibat Humairah masih belum terjamah dek mata meski jam sudah menunjuk angka tujuh petang. Kebiasaan Humairah terpacak depan mata dalam waktu ini.
Hanya apabila terlihat sebuah kereta menyusur masuk ke perkarangan rumah, barulah Engku Zubaidah mampu meminggir sedikit keresahannya. Panjang langkah dia mendekati Fadzlan.
“Nek.” Fadzlan menyalami Engku Zubaidah.
“Mana Humairah?”
“Humairah? Lan tak balik dengan dia,” beritahu Fadzlan.
Terkebil-kebil mata Engku Zubaidah.
“Lan datang ni singgah sekejap aje, tengok nenek.” Fadzlan menyambung bicaranya.
“Habis, kalau dia tak balik dengan Lan, dia balik dengan siapa? Ni, sampai sekarang ni tak balik lagi ni.” Keras nada lontaran Engku Zubaidah. Tajam mencerlung matanya menusuk ke wajah Fadzlan.
“Entah. Dia sendiri yang cakap tak payah datang ambil dia.” Selamba Fadzlan membalas tanpa sekelumit perasaan gelisah seperti Engku Zubaidah.
“Kan Kak Fina dah suruh Lan ambil dia.”
“Masalahnya, dia tu yang cakap kat Lan, tak payah ambil. So, Lan ikutlah apa dia nak. Kang dia ingat Lan menyibuk pulak. Tak faham bahasa.” Fadzlan mempertahankan diri. Sampai naik bercantum kening dia. Membara-bara hati. Humairah tak balik-balik, dia pula kena bambu. Kalau dia tahu macam ini gayanya, lebih baik dia tak payah singgah. Buat sakit telinga.
“Nenek tak payahlah risau. Nanti dia baliklah tu,” ujar Fadzlan. Kendur suaranya.
“Kalau tak balik-balik jugak macam mana? Lan pun satu. Kalau dia kata tak payah jemput, ambil ajelah. Humairah tu mana reti nak menyusahkan orang. Lan sendiri tahu, kan? Susah hati nenek,” luah Engku Zubaidah. Kecewa memikirkan sikap Fadzlan.
Fadzlan mendengus. “Habis nenek nak suruh Lan buat apa? Nak suruh Lan cari dia? Kat mana Lan nak cari, nek? Entah-entah dia keluar dengan budak-budak kedai tu ha.”
Engku Zubaidah menggeleng kepala. Resah hati dihumban jauh-jauh. Dia pegang bicara Fadzlan. Mungkin Humairah keluar bersama kawan-kawannya. Letih berdepan Fadzlan, Engku Zubaidah menghayun kaki masuk ke dalam rumah. Walau bagaimanapun, masih bersisa kegelisahan itu bergayutan di tangkai hati.

Terima kasih kerana membaca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Sakit betul mata aku tengok entri ni. Puas gegodek, tak mau jugak muncul 'Tab' haaaaa. Sabar aje laa -..-" Harap readers sekalian tak sakit mata ye time baca pasal aku memang sah-sah juling mata. Tata!

6 comments:

yoo zara said...

sgt x ckp ..pliss smbg lagik
xpuas bace...bile si lan ngan humairah nak ok nie

~::HANAH RISHAS::~ said...

@yoo zara

Thanks sudi baca sis! Next entri akan dipublish hari rabu atau kamis. Auto publish! Hihi :)

Siti Mahizan ( Ayra Zahra ) said...

oohoii..Beb aku dh excited lebih ni nak tahu kisah ni..Mohon cepat update..Tak sabaq nih..muahaha..:D

ilman_nafi@ said...

nak haikal!!huhu >.<

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ayra

Hai darling ku! :) mngada tau nk eksaited hihi.mekasih sudi baca eh :)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ilman_nafi

Nak haikal?ihihiii..tnggu dan lihat nnti ;)
Btw,thnks sudi singgah baca yehhh :)