Friday, August 23, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 28.

Assalamualaikum.








"...Sometimes this world comes between us and what we love. But if we are patient, when this world passes away, there will be no more separation..." - Yasmin Mogahed










Bab 28
PERLAHAN-LAHAN dia buka mata. Ruang tidak berbumbung itu dipandang lama. Dipenuhi kabus tebal, seolah memayungi dia yang terbaring di bawahnya. Dia berusaha bangun bersama kesakitan di kepala yang datang mengejut. Terpejam-pejam mata dia menahan denyutan tersebut. Macam nak pecah kepala dia.
Mengecil mata memerhati persekitaran yang asing itu. Berkepul-kepul kabus mengelilingi dia. Dia tidak dapat lihat di mana jalan keluar. Semuanya berwarna putih. Dia paksa kaki melangkah.
Ke mana dirinya dibawa pergi kali ini? Keseluruhan ruang ini hanya dilitupi kabus memutih. Humairah berpusing-pusing di tempat yang sama. Liar renungannya berlari ke segenap pelusuk tempat itu. Keadaan sangat berbeza. Sebelum ini, dia menyusuri sebuah kawasan menghijau yang tenang bersama kemunculan dua manusia yang tidak pernah dia kenalpasti wajahnya. Malah dia sering terdengar suara-suara menyebut nama Ara.
Humairah mengalih tubuh ke belakang apabila merasakan deru angin lembut menyapa tubuhnya. Berdebar-debar jantung berdegup ketika terlihat seorang gadis berambut panjang, berombak di hujungnya- melintasi dia. Wajah itu tidak mampu dilihatnya kerana terlindung anak rambut yang jatuh menutupi sebahagian wajah gadis tadi. Gadis itu berlari-lari anak. Disertai hilai tawa manja mengiringi. Tanpa dipaksa, dia ikut menjejak langkah gadis itu. Puas dia berteriak memanggil tetapi suaranya langsung tidak keluar. Seolah tersangkut dikerongkong.
“Fadzlan, cepatlah!” Gadis itu memekik. Larian anak masih memijak di lantai daratan ilusi.
Tersorot renungan Humairah ke arah batang tubuh yang semakin mendekat. Hampir tersembul biji mata dia bila nampak Fadzlan. Ya Allah! Mimpi apa ini? Fadzlan? Kenapa Fadzlan yang menyusup masuk ke lembah ini? Dia kalih muka. Kali ini wajah si gadis terbias jelas depan mata. Itu gadis yang dimemorikan di atas sekeping gambar yang terselit di celah buku milik Fadzlan.
Humairah terundur ke belakang apabila renungan keduanya saling bertempur. Terkebil-kebil matanya memandang Fadzlan yang beriak aneh. Lelaki itu memandang dia. Pandangan yang punya sejuta makna. Bibir Fadzlan bergerak-gerak bagai mahu menyatakan sesuatu tetapi dia tidak mendengar apa-apa pun.
“Kereta!” Humairah menjerit sekuat hati ketika menyedari ada sebuah kereta dipandu laju menuju ke arah gadis itu. Gadis itu tidak bergerak walau seinci. Hanya tangannya saja yang melambai-lambai ke arahnya. Tiada senyuman. Humairah lekas berlari, menghulur tangan supaya mampu meraih gadis itu, menariknya menjauhi laluan kereta tersebut. Hairannya, semakin laju dia berlari, semakin jauh gadis itu pergi.
Bukkk!
Kakinya tersadung batu besar. Dia jatuh terlungkup atas tanah. Terpejam mata Humairah. Bila dia membuka mata, kabus putih yang melatari lantai tanah sudah tiada. Dia mendongak. Segalanya berubah dalam sekelip mata! Tiada kabus. Tiada gadis itu dan Fadzlan juga tiada. Humairah keliru. Dia terjatuh ke dalam ruang waktu yang pernah disusurinya sebelum ini. Rumah itu, persekitaran itu. Humairah menebar pandangan seluasnya.
Humairah cuba menenangkan diri yang tidak keruan. Fikiran berkecamuk. Memeningkan! Mengapa dia terjebak dalam ilusi yang begitu menyesakkan? Tercampak ke dimensi mimpi yang dia tidak tahu realiti atau mainan mimpi semata. Humairah memicit kepala yang kembali berdenyut. Sakit! Ya Allah. Sedarkan aku. Bangunkan aku dari mimpi ini. Jauh kan aku darinya, Ya Allah!
Simbahan cahaya kekuningan memasuki celah kelopak mata yang terbuka sedikit. Berkerut-kerut dahi Humairah. Jendela telinga menyingkap bunyi kasar deruan enjin kereta. Humairah buka mata seluasnya. Dalam keadaan terpinga-pinga memerhati alam yang bertukar wajah- gelap, sunyi, dia menyedari kedatangan sebuah kenderaan bermata dua menerjah dengan laju ke arahnya. Dia tidak mampu menyelamatkan diri. Berdiri tegak dengan mata membulat memanah ke arah kenderaan yang semakin hampir. Kaki bagai memaku di tanah.
Ini mimpi! Ini mimpi! Humairah menjerit dalam hati.
Bangunkan aku!

HUJUNG jari gadis itu disentuh lembut. Diusap perlahan dan sesekali digenggam jemari itu lalu dibawa ke bibir. Dikucup penuh syahdu. Ditahan-tahan rasa hati yang bergelojak mahu keluar.
Rosnah tidak menyedari perlakuannya diperhati Haikal sejak tadi. Pandangan penuh rasa simpati itu membidik tepat ke arah Rosnah yang tidak berganjak dari tepi katil. Haikal menarik nafas berat. Ditinggalkan Rosnah yang masih setia menanti si gadis yang tidak sedarkan diri. Haikal melabuh duduknya di atas kerusi. Sesekali lirikan matanya berlari memandang bilik yang ditabiri langsir bunga-bunga kecil.
Untuk sekian kalinya dia hela nafas. Kali ini lebih panjang, bagai melepaskan bebanan yang selama ini menjeruk hati.Tiada pilihan lain selain membawa gadis itu balik ke sini. Maka berlakulah kejutan yang sememangnya tidak pernah difikirkan sebelum ini. Rosnah nyata terkejut. Wanita tua itu tidak mampu berkata sepatah pun. Sepanjang masa asyik memerhatikan si gadis yang lemah terbaring atas katil biliknya. Dia tahu, kejutan Rosnah terlalu besar. Mungkin sekarang ini, terlalu banyak perkara bermain dalam kepala wanita itu. Masakan tidak, gadis depan mata saling tidak tumpah seperti Humairah mereka.
Sebenarnya, dia sudah lama mengintip setiap gerak-geri gadis itu. Puas dia berusaha menjejaki gadis itu dan akhirnya usaha dia berjaya. Dia menemukan tempat kerja gadis tersebut. Dan sejak hari itu, sebaik sahaja tamat waktu kerja, dia bergegas pergi ke Kedai Kopi- tempat kerja gadis itu. Dari jauh, dia perhatikan si gadis. Dari gaya bercakap, gaya berjalan mahupun senyum dan ketawanya turut mengundang syak. Peri Humairah!
Tadi, seperti biasa, dia menunggu kemunculan gadis itu di luar kedai, menyembunyikan diri di sebalik pokok besar yang terletak tidak jauh dari lokasi kedai itu. Dalam leka memerhati, kejadian ragut berlaku sepantas kilat di depan mata sendiri melibatkan gadis itu. Gadis itu jatuh dan langsung tidak bergerak. Selajur, dia berlari ke arah si gadis yang tidak sedarkan diri. Ada luka di dahi dan ia mengeluarkan cecair merah yang masih hangat. Tanpa membuang masa, dia cempung gadis itu lalu dibawa balik. Luka itu dirawat sendiri olehnya. Tidak terfikir langsung hendak bawa ke klinik.
Telefon bimbit dan dompet kepunyaan gadis itu ditenung lama. Bodoh peragut itu! Kerja sia-sia. Niat mendapatkan duit dengan cara haram hanya membazirkan masa. Terdetik mahu melihat isi dalam dompet. Sedang tangan merayap menyentuh dompet itu, bunyi derap kaki membantutkan tingkahnya. Laju menarik tangan sendiri. Sorotan mata dihala ke arah Rosnah yang sudah berdiri di sebelahnya.
Suasana jadi semakin sepi meski di tengah ruang itu ada dua manusia yang suka berkongsi cerita. Ruang yang selalunya dipenuhi dengan hilai tawa dan usikan Haikal, jadi kaku dan beku.
Haikal pandang Rosnah. Wajah tenang Rosnah tersimpan kocakan hebat disebaliknya.
“Tolong!”
Teriakan Humairah mengejutkan Haikal dan Rosnah. Mereka berdua pantas berkejar ke dalam bilik. Rosnah menerpa ke arah Humairah yang duduk berteleku di atas katil dengan mata terbeliak. Pandangannya meliar. Tertoleh-toleh bagai orang keliru. Bila nampak Rosnah di sisinya, Humairah mengerut dahi. Mengelak tangannya dari disentuh oleh wanita yang tidak dia kenali.
“Kat mana ni?” Menjalar mata itu cuba meneliti persekitaran yang tampak terlalu asing. Dia yakin, ini bukan mimpi.
“Ara...” Rosnah menyeru lembut. Bergenang airmata di tubir mata dirasakan begitu hangat. Ditarik tubuh itu ke dalam pelukan. Meleraikan rindu yang sekian lama menjeruk hati.
“Saya... saya bukan Ara,” kata Humairah seraya berusaha meleraikan pelukan erat Rosnah. Ditolak-tolak batang tubuh itu.
Rosnah tidak peduli. Dikejapkan pelukan itu. “Ara.” Lidah dibasahi nama itu.
“Saya bukan Ara. Nama saya Humairah!” bentak Humairah. Menolak tubuh Rosnah dengan kasar sehingga Rosnah hampir-hampir jatuh dari katil.
Haikal segera menerpa ke arah Rosnah. “Nenek.” Haikal mengusap bahu Rosnah. Dia percaya, hati Rosnah terusik. Lihat sahaja mata berkaca-kaca itu, dia ikut rasa pedihnya.
“Tak apa,” kata Rosnah, ukir senyum nipis. Lekas bangun meninggalkan ruang itu. Kaki diangkat pergi, diiringi airmata yang tidak henti-henti mengalirkan kedukaan di hati.
“Nenek!” Haikal memanggil lantang. Kemudian renungannya berkalih pada gadis yang memperkenalkan diri sebagai Humairah. Paras serupa, nama pun sama. Tuhan, apakah ini kebetulan atau takdir yang tersurat? Begitu lama Haikal memandang Humairah.
“Tempat apa ni?” soal Humairah. Tidak berhenti memerhati setiap pelusuk ruang tersebut.
“Sekarang awak kat di rumah saya.”
Kening Humairah hampir bertaut. Dalam keliru, dia merasakan kepalanya terlalu sakit. Ketika cuba memicit kawasan dahi, ada kain yang membaluti. Sekejap-sekejap dia pandang Haikal.
“Apa yang berlaku?” Humairah bertanya lagi.
“Awak diragut, kemudian awak jatuh dan pengsan,” beritahu Haikal.
“Ragut?” Gumam Humairah. Dia cuba mengingati retetan hidupnya sebelum dia dibawa pergi ke alam mimpi. Motosikal Farah bocor, kemudian dia ambil keputusan hendak menunggang teksi. Selepas itu dia rasa tubuhnya melayang dan sekarang dia berada bersama orang-orang yang tidak dikenalinya.
“Peragut tu hanya dapat beg aje. Dompet dan handphone awak selamat. Ada kat depan sana,” kata Haikal lagi. Sedikit sebanyak memberi laluan kepada ingatan Humairah yang kian cerah.
Haikal keluar mengambil barang-barang kepunyaan Humairah. Sebelum kembali mendapatkan Humairah, Haikal memanjangkan langkah ke bilik Rosnah yang terletak bersebelahan biliknya. Dia lihat Rosnah sedang duduk di hujung birai katil dengan wajah menunduk ke lantai. Haikal hela nafas. Rosnah terlalu berharap gadis itu adalah Humairah. Namun dia sedar, Humairah depan mata masih jauh dari mereka. Tiada sebarang bukti boleh mangaitkan Humairah itu dengan Humairah mereka.
“Ini barang awak.” Haikal menghulur dompet dan telefon bimbit kepada Humairah.
“Terima kasih,” ucap Humairah.
“Awak rehatlah. Sekejap lagi saya hantar awak balik,” tutur Haikal.
Humairah senyap sahaja. Dalam kepala ligat memikirkan nama Ara yang bermain di bibir wanita tua yang memeluk dia tadi.
Ara?
Siapa Ara?
Dia yakin, suara dan panggilan Ara itu sama seperti dalam mimpinya.
Humairah membuang pandang ke arah Haikal yang hilang disebalik kain langsir bilik.

“MAI tak apa-apa nek. Nenek jangan risau.” Humairah berkata sambil tangannya mengusap dahi yang berbalut. Sakitnya masih terasa.
“Betul! Sekejap lagi Mai balik ye. Nenek janganlah risau sangat.”
Kedengaran berdesah-desah kegelisahan Engku Zubaidah di hujung talian. Riak suara cukup menunjukkan bahawa wanita itu tidak senang duduk selagi Humairah tidak ada depan mata.
Setelah panggilan itu tamat, Humairah mendekati Haikal yang sedia menantinya di muka pintu bersama wanita tua itu. Humairah mengerling ke arah wanita yang memperkenalkan diri sebagai Rosnah. Naik kecut perut melihat renungan Rosnah kepadanya. Terasa diri sedang dianalisa sepenuhnya dari hujung rambut sehingga ke hujung kuku kaki.
“Nek, saya nak hantar Humairah balik,” kata Haikal.
Rosnah memandang Haikal. Kemudian pandang Humairah pula. Kepala diangguk perlahan.
“Humairah...” Rosnah menyeru nama itu. Tubir mata terasa hangat lagi.
Humairah angkat muka. Melawan renungan yang tertusuk padanya. Sekelip mata, dia hilang dalam dakapan Rosnah. Wanita tua seusia Engku Zubaidah itu memeluk dia dengan erat. Tidak pula dia menolak Rosnah seperti tadi, sebaliknya membiarkan Rosnah membelai kepalanya yang dilitupi selendang.
“Cucu nenek... Ara.” Rosnah merintih kesedihan. Enggan melepaskan Humairah.
“Nenek.” Haikal menegur. Disentuh bahu Rosnah.
Terkial-kial dalam pelukan Rosnah, Humairah tidak dapat mentafsir tingkah wanita itu. Terus kaku dan terkebil-kebil pandang Rosnah saat pelukan itu dileraikan. Sentuhan lembut Rosnah mengusap pipinya seolah membuai rasa hati yang tidak pernah mendasari jiwa sebelum ini. Wajah Rosnah yang berkedut itu direnungnya.
“Jom...” ajak Haikal.
Humairah menurut. Membontoti langkah lelaki itu ke kereta. Tatkala hendak memboloskan diri ke dalam kereta, Humairah sempat melempar pandang ke arah Rosnah yang tersenyum kepadanya.
Anehnya perasaan ini! Humairah menyentuh dada sendiri. Tenangnya hati tatkala senyuman Rosnah terlayar di ruang mata walhal dia tidak pernah kenal wanita itu. Sungguh!
Sepanjang perjalanan menuju ke rumah, suasana dalam kereta itu dipenuhi dengan celoteh DJ dan lagu-lagu yang diputar syarikat penyiaran radio tempatan. Haikal senyap. Humairah juga kunci mulut. Cuma sesekali ekor mata Humairah mengerling pada Haikal. Dia ingat lelaki ini. Lelaki ini yang dijumpainya di kedai buku dulu. Malah dia segera mengajak Farah pergi dari situ. Ada sense dalam diri yang memberi isyarat bahawa lelaki bakal mendatangkan harm kepadanya. Tetapi itu dulu. Sekarang, dia tidak ditujah getir perasaan itu.
“Sorry pasal perlakuan nenek saya.” Bicara Haikal memecahkan kesunyian antara mereka berdua.
Humairah menoleh sekilas. Hujung jari memintal selendang yang jatuh.
“Siapa Ara? “ Terpacul soalan yang bermain dalam kepala.
Haikal telan liur. Bagaimana cara dia harus bentang kisah keluarga mereka? Hampir empat tahun dia mencari, sekelip mata Humairah yang hilang itu muncul depan mata.
“Kenapa nenek awak panggil saya Ara?” Soalan seterusnya dilontar penuh perasaan ingin tahu.
“Ara tu cucu nenek.” Berhati-hati Haikal menyusun kata.
“Mana dia?”
“Hilang.”
Jawapan ringkas Haikal mengejutkan Humairah. Terbeliak matanya. Hilang? Semudah itu?
“Awak tak kenal saya?” Giliran Haikal menyoal.
Humairah menggeleng laju.
“Awak tak ingat nenek?”
Pening kepala Humairah bila dihambur pertanyaan seperti itu. Atas dunia ini, baru kali ini dia bertemu Rosnah. Mana mungkin dia kenal wanita itu. Terdorong tubuh Humairah apabila Haikal memberhentikan kereta secara mengejut. Mujur dia pakai tali pinggang keledar. Kalau tidak mahu terhumban ke depan.
Haikal meraup wajah. Anak rambut dikuak ke belakang. Lirikan mata tertusuk pada Humairah yang mula cemas.
“Ara... awak tak kenal saya? Nenek?” Haikal mendesak. Hakikat dia terlalu berharap gadis ini adalah Humairah mereka. Bukan hanya kerana mereka merindui Humairah, bahkan Humairah menjadi kunci kepada kejadian yang berlaku dulu. Yang mana menjebak nama dia dan menyebabkan keluarga mereka berantakan.
“Saya tak kenal sesiapa!” Humairah membentak. Menggigil tangan mahu melepaskan diri daripada tali pinggang keledar yang melekat di tubuhnya. Sebelah tangannya sudah dicengkam Haikal. Humairah ketakutan. Terlalu takut sehingga menerbitkan satu bayangan asing, seperti yang pernah dilalui sebelum ini. Imbasan antara nyata dan ilusi. Melantun jantung tidak senada.
“Lepas!” Humairah berusaha merentap pergelangan tangannya. Matanya dipejam rapat. Enggan melihat imbasan yang menyentap tangkai hati sendiri. Dia gerun.
“Lepas!” Jerit Humairah, cukup nyaring.
Haikal pegun memerhatikan tingkah Humairah. Wajah itu berkerut. Perasaan bersalah menggigit hati. Salah dia. Sepatutnya dia menyelidik menggunakan cara lain, bukan seperti ini.
“Lepaskan saya!” Jerkahan Humairah disertai hayunan penampar tepat ke pipi Haikal.
Haikal terkedu. Pipi berbirat dipegangnya.
“Maafkan saya. Saya tak berniat... saya cuma... cuma... saya...” Terputus-putus bicara Haikal. Bagai dihimpit batu dadanya saat ini. Tamparan yang dilayangkan itu bagai menarik kembali memori yang menciptakan sengketa antara dia dan Humairah. Kedua belah tangan menggenggam streng kereta. Dihumban kekecewaan di situ.
“Maafkan saya...” Haikal merintih lagi.
Humairah memandang tanpa berkelip.
“Saya...” Haikal berjeda panjang. Kepala disandar di streng. Mata dikatup lama. Imbasan senyuman terakhir yang dihulur Humairah lama dulu bermain dalam kepala.
“Humairah kami hilang. Lama kami mencari dia, tapi dia...”
“Hu... Humairah?” Lambat-lambat Humairah menyebut nama sendiri yang membasahi lidah Haikal.
Haikal membuang pandang ke arah Humairah. Dia mengangguk kecil.
“Satu kebetulan yang begitu menakjubkan. Humairah kami muncul depan mata. Nama sama, paras serupa. Awak umpama jelmaan Humairah kami yang dah hilang beberapa tahun lamanya.”
Humairah tidak mampu berkata sepatah pun. Nama sebenar si pemilik nama Ara itu ialah Humairah. Lebih mengejutkan, rupa Ara itu dikata sama seperti dia. Tangan meraba-raba muka sendiri.
“Terlalu seiras!” Haikal berkata lagi.
Lidah Humairah bagai diikat. Terkebil-kebil mata dia merenung Haikal yang kembali menunduk wajah.
Fahamlah dia kini, mengapa Rosnah memeluk dan beraksi begitu dengannya. Sedetik hati merasa kesedihan yang menyelubingi Haikal dan Rosnah. Hilang tanpa dikesan. Pencarian yang tidak menemukan hasil. Dia benar-benar jatuh kasihan. Pasti selama hari ini Rosnah menanggung rindu kepada cucunya itu.
Humairah mencuit bahu Haikal. Pandangan keduanya saling bertempur.
“Nanti boleh bawa saya jumpa nenek awak lagi?” Humairah bersuara perlahan.
Haikal terdiam. Tetap merempuh kolam mata yang tampak lebih tenang. Di situ, bayangan Humairah datang melintasi pandangan.

Terima kasih kerana membaca entri ni. Have a nice day :)

notahujungkaki: Maaf di atas kejulingan mata anda saat membaca semua tulisan ni. Aku pun juling jugaaaaaa sigh!

8 comments:

Anonymous said...

I like...

Rasanya humairah yg sama....

Anonymous said...

Takper juling....nk lg cpt cikit,boleh?

~::HANAH RISHAS::~ said...

@anonymous

Thanks sudi baca yehh awak :)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@anonymous

Mekasih sudi baca :) next week ada up satu entri.auto publish hihi :)

AYRA ZAHRA said...

hehehee..Ara and Mai .....

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ayr

Cpt pilih nak Ara ke Mai hihi

Unknown said...

DUA2 PUN NAK.

~::HANAH RISHAS::~ said...

@baby mio

Wahhh..kena pilih satu je.ara ke mai?hihi