Wednesday, September 25, 2013

]Novel] : Kupilih Hatimu Bab 33.

Assalamualaikum.








"...The only relationship where you'll never have your heart broken is your relationship with Allah..."










Bab 33
“TOLONG!” Humairah menjerit lantang. Dan kali ini dia yakin dia telah terperangkap di dalam dunia mimpi yang sering menjengah kebelakangan ini.
            Humairah berlari. Selangkah demi selangkah sebelum kaki itu semakin laju menebak langkah. Humairah berlari tetapi dia tidak jumpa jalan keluar. Di mana dia? Dunia ini bagai tiada penghujungnya! Humairah pandang kiri kanan. Kabus!
            Sedang dia terus ralit dalam debar yang kian menggila itu, dia ternampak sesusuk tubuh membelakanginya. Humairah mendekati batang tubuh yang memaku di lantai tanah.
            Humairah hendak menegur, malah hujung jari dia sudah hampir menyentuh bahu manusia itu, namun manusia itu terlebih dahulu memaling tubuh ke arahnya. Humairah angkat muka. Membulat mata dia. Manusia itu saling tidak tumpah seperti dia! Seolah bayangan yang terpantul dari cermin. Bibir Humairah menggeletar.
            “Aku adalah  kau.”
            Humairah tersentak. Serentak dengan itu, dia terjaga dari mimpi yang menggerunkan hati sendiri. Humairah mengusap wajah. Dia beristigfar panjang. Kepala digeleng halus. Ya Allah! Dia mimpi apa tadi?
            “Mai, kenapa ni?” Afina yang terbangun ketika merasakan ada pergerakan kasar di sebelah tubuhnya, ikut bangkit. Dia memisat mata. Memicing kerlingan itu ke arah jam yang terpasang di dinding. Malam ini dia berkampung di dalam bilik Humairah. Kononnya menukar angin.
            Humairah membuang pandang ke arah Afina. Melihat renungan dari mata mengantuk itu, Humairah geleng kepala.
            “Kenapa ni Mai?” Hilang rasa mengantuk Afina bila menyedari keadaan Humairah yang berpeluh-peluh seperti orang kepanasan walhal pendingin hawa dalam biliknya ini terpasang elok. Malah dia sendiri rasa kesejukan sehingga menggigit tulang belulang dia. Sedang Humairah, wajah itu lencun dek peluh.
            “Mai?” Afina menyeru nama itu. Tangan Humairah digenggam. Menggigil! Afina panik tetapi dia tidak menunjuk sedikit pun keresahan diri.
            “Mai... Mai...” Bicara Humairah putus-putus. Jari memintal hujung comforter.
            Afina menunggu dengan sabar.
            “Mai mimpi...” beritahu Humairah.
            Berkerut dahi Afina. “Mimpi apa?”
            Humairah diam tidak berkutik. Tanpa menjawab pertanyaan Afina, dia kembali merebah badan dan menarik comforter menutupi tubuh. Tidur membelakangi Afina yang tidak berkelip memandang dia.

“NAH, kopi...” Aluna menghulur secawan kopi panas kepada teman sejawatannya yang asyik bermenung sejak mereka sampai di kafe ini. Aluna tarik kerusi besi lalu labuh duduk di depan Afina. Teh hijau dihirup penuh berhati-hati.
            Afina tidak menyahut, malah membiar kopi panas itu tanpa dijamah. Hanya hujung jari telunjuknya bermain disekitar bibir cawan berwarna putih itu. Sesekali helaan nafas terlontar keluar.
            Aluna angkat muka. Tingkah Afina diperhati lama.
            “Kenapa dengan you, Fina? I tengok macam tak ada semangat aje. Why?” Aluna memulakan bicara. Angin petang yang bertiup lembut menampar rambutnya yang ikal mayang.
            Afina meleret mata ke arah Aluna. Dia menekup muka. Aluna semakin hairan.
            “Cakaplah dengan I, Fina. You senyap  macam ni, macam mana I nak tahu apa masalah you,” pujuk Aluna.
            “Pasal lelaki?” Aluna meneka disertai senyuman lebar.
            Pantas Afina menggeleng. Luna ni, tak pernah habis dengan lelaki, Afina mendongkol dalam hati. Fikiran dia ini terlalu sarat perihal Humairah.
            “Then?” Aluna tidak berputus asa.
            Afina sempat lepaskan keluhan sebelum berkata, “It is about Mai.”
            Kedua belah kening Aluna yang beralis cantik itu kian bertaut.
            “Mai? Siapa tu?”
            “You tak ingat?”
            Aluna jungkit bahu. Sambil-sambil itu dia cuba mengingati sesiapa yang pernah mereka kenali bernama Humairah.
            “Humairah...” Aluna mengangkat jari telunjuk. Riak wajah seolah mempamer dia sudah tahu Humairah yang dimaksudkan Afina.
            “She acting weird lately,” beritahu Afina.
            “Means?”
            Afina bersandar.
            “I tak tahu nak hurai macam mana. But I rasa sangat apa yang berlaku pada dia Luna. Orang lain tak nampak apa yang I nampak.”
            “You ni macam pakar psikologi pulak,” senda Aluna.
            “Cakap pasal Humairah ni, I teringat sesuatu.” Aluna ikut bersandar.
            “Apa dia?”
            Aluna senyap seketika. “Mmm... nevermind.”
            “Cakaplah,” desak Afina.
            Hujung jari Aluna bermain di dahi. Memicing renungan pada Afina.
            “Your ex-patient- Humairah, you pernah cari keluarga dia?”
            Soalan itu benar-benar membuat Afina terpaku tanpa kata.

HABIS waktu kerja, Humairah terus menuju ke rumah Rosnah. Kali ini dia pergi sendiri tanpa meminta pertolongan sesiapa, termasuklah Farah. Awal-awal lagi dia sudah cakap pada seorang pakcik teksi, booking untuk hantar dia ke rumah Rosnah.
            “Nenek, Mai balik lewat sikit hari ni. Keluar dengan Farah sekali dengan Puteri,” beritahu dia.
            “Iyalah. Jangan lewat sangat tau,” pesan Engku Zubaidah tanpa mengesyaki apa-apa.
            “Okey,” jawabnya. Sebaik panggilan itu tamat, Humairah melompat turun dari teksi- memijak lantai tanah yang semakin kerap dirindui tanpa dia sedar.
            “Pakcik, nanti datang ambil saya dalam pukul lapan setengah malam ya. Lepas Isyak,” kata Humairah. Pemandu teksi berkenaan- Pak Dollah, mengangguk tanda faham.
            “Terima kasih pakcik,” ujar Humairah berserta senyuman halus meniti bibir.
            Pak Dollah mengangguk lagi. Turut membalas senyuman mulus itu sebelum menekan pedal minyak.
            Humairah menjenguk ke persekitaran kawasan rumah kos sederhana yang dimiliki oleh keluarga Rosnah. Dia lihat pintu pagar tidak berkunci. Ini bermakna tuan rumah ada di dalam. Humairah kulum senyum.
            “Assalamualaikum! Nenek!” Humairah melaung kuat. Kedua belah tangannya memegang geriji besi yang memagari rumah itu.
            Assalamualaikum!” Humairah memekik lagi.
            Rosnah berjalan laju menuju ke pintu rumah. Siapalah yang datang petang-petang begini? Tombol pintu dipulas. Tatkala melebar pandangan ke depan, Rosnah tersenyum gembira. Humairah! Rosnah segera mendapatkan Humairah tanpa sempat menyarung selipar. Buru-buru menyambut kedatangan Humairah yang semakin kerap singgah ke rumahnya.
            Melihat susuk tubuh Rosnah, senyuman Humairah semakin melebar.
            “Nenek!” Humairah merangkul tubuh itu. Dipeluk erat. Satu tindakan di luar jangkaan sendiri. Humairah merasakan hatinya terlalu dekat dengan Rosnah. Bagai ada tali-tali halus menghubungkan jiwa mereka.
            Rosnah mengusap pipi Humairah. Ditatap wajah gadis yang dirindui. Ara... hatinya membisik nama itu.
            “Mari masuk,” ajak Rosnah. Lengan Humairah dipaut lembut, lantas mengajak gadis itu masuk ke dalam rumah. Mereka berdua duduk di atas kerusi panjang di ruang tamu. Senyuman Rosnah tidak mati. Terus melekat di bibir tuanya.
            Petang itu, rumah Rosnah hingar-bingar dengan suara Humairah yang berceloteh bermacam perkara. Humairah bercerita tentang semua perkara yang dilalui sehari-hari. Terselit juga perihal keluarga yang telah menjaga dia sehingga kini- Engku Zubaidah dan Afina.
            “Siapa mak ayah Humairah?” Rosnah meletak pinggan berisi sayur kangkung masak belacan kegemaran Haikal di atas meja. Ekor mata menyingkap Humairah yang berdiri di sebelahnya. Dari tadi dia dengar banyak nama yang keluar dari mulut itu, tetapi tiada lagi menyebut tentang ibubapa gadis itu. Hati Rosnah melonjak-lonjak ingin tahu. Tersimpul harapan di dasar hati.
            Humairah menoleh. Menatap mata yang merenunginya.
            Mak ayah? Humairah tidak mampu menjawab.
            Ya, siapa ibu dan ayah dia? Selama ini dia hanya mengenali Engku Zubaidah dan Afina. Juga Fadzlan. Tidak pernah mengetahui siapa keluarga dia sebenarnya.
            “Humairah tinggal dengan nenek kan? Mana emak dan ayah Humairah? Mereka tinggal jauh ke?”
            Pertanyaan Rosnah membuat Humairah memaksa diri untuk berfikir. Berfikir siapa kedua ibubapanya yang tidak pernah diketahui kewujudannya.
            “Mak... ayah...?” Humairah menggumam perlahan. Denyutan halus mulai menggigit kepala. Humairah menggeleng kepala. Memicit dahi supaya beransur hilang sakit itu.
            “Assalamualaikum!” Suara Haikal memaling perhatian Rosnah. Terkocoh-kocoh wanita tua itu berjalan keluar daru ruang dapur menuju ke pintu utama. Meninggalkan Humairah yang kian dibebani bayangan-bayangan asing.
            Mak? Ayah? Humairah memejam mata. Sakitnya kepala kala ini hanya Tuhan sahaja yang tahu.
            “Ahh!” Humairah terduduk atas lantai. Kedua belah tangan dikepal kuat.
            Di luar rumah, Haikal menyedari kewujudan sepasang kasut berwarna merah hati. Kasut siapa? Silih berganti dia pandang kasut itu dan Rosnah. Rosnah melarik senyum kecil. Melihat senyuman itu, tahulah dia siapa yang datang.
            “Dah lama ke Humairah sampai?” soal Haikal seraya menanggalkan kasut dan diletak hampir dengan kasut milik Humairah.
            “Adalah dalam satu jam. Tu, dia siap tolong nenek masak.” Rosnah begitu teruja memberitahu aktiviti yang telah dilakukannya bersama ‘Ara’.
            Seulas senyum menghiasi bibir Haikal. Kekerapan Humairah datang ke sini turut membantu memulih semangat Rosnah yang telah lama rebah.
            Bunyi kuat datang dari arah dapur mengejutkan Rosnah dan Haikal. Haikal mendahului langkah Rosnah. Mencicit berlari ke dapur.
            “Humairah!” Berdecit suara Haikal. Segera mendapatkan Humairah yang ditimpa kerusi kayu. Gadis itu tidak sedarkan diri.
            “Ya Allah! Ara!” Rosnah pula menerpa.
            “Ara!” Rosnah menepuk pipi Humairah. Gadis itu tidak memberi sebarang tindak balas. Mata itu terkatup rapat. Hanya desah nafas Humairah yang kedengaran kian memberat.

DARI mana datangnya suara-suara yang menangis hiba itu? Humairah memacu kaki menuju ke arah sebuah rumah kayu yang terletak di depan mata- berjarak lebih kurang sepuluh meter.
            Humairah memijak anak tangga kayu itu satu persatu sebelum sampai ke pintu utama yang terbuka sedikit. Semakin dia menghampiri pintu itu, suara tangisan yang sayup-sayup kian jelas. Dalam debar, Humairah menolak pintu kayu tersebut. Berkeriuk bunyinya.
            Pandangan ditebar seluasnya. Dia lihat di ruang tengah rumah itu, tercatuk dua batang tubuh. Kedua-duanya membelakanginya. Humairah mendatangi kedua manusia itu. Tatkala terpandangkan dua jenazah yang telah sempurna dikafankan, Humairah terpaku. Nafas kian deras. Melantun jantung dalam tubuh.
            Dia perhatikan wajah kedua jenazah itu. Seorang lelaki berkumis dan berjanggut halus dan seorang wanita. Wajah keduanya tenang dan bercahaya bagai disimbahi sinar cemerlang. Humairah labuh duduk di sisi jenazah-jenazah itu. Diri langsung tidak dipagut rasa gerun, takut apatah lagi. Yang menunjangi hati hanyalah hiba dan kesedihan yang datang entah dari mana.
           Kenapa aku menangis? Hati kecilnya berdesis halus. Disertai pergerakan tangan yang menyapu airmata di pipi. Dia tidak memahami perasaan sendiri. Saat terpandangkan dua wajah yang sudah tidak bernyawa itu, tangkai hati bagai direnggut kasar.
            Humairah angkat muka, mengalih pandangan ke sisi. Dia tergamam.
            “Nenek?” Suara dia bergetar. Rosnah menunduk itu dipandang lama. Wajah Rosnah tampak lebih muda dari sebelum ini.
            Nafasnya bagai terhenti sewaktu lontaran renungan dia disambut oleh seorang perempuan. Dia! Itu dia! Dada Humairah turun naik. Nafasnya tidak teratur. Perlahan-lahan dia mengengsot menjauhi perempuan itu. Dia cuba melontar pandangan mata ke arah lain tetapi isyarat itu bagai tidak sampai ke otak. Terus memerhati perempuan yang berwajah sedih itu.
            Dia sedar, ini bukan realiti. Ini mimpi!

ROSNAH menguak langsir bilik. Dibawa bersama semangkuk bubur yang dimasak oleh Haikal tadi. Dia menghampiri Humairah yang baru sahaja sedar setelah hampir setengah jam tidak sedarkan diri. Rosnah melabuh punggung di sisi Humairah. Haikal sekadar berdiri di muka pintu sambil perhatikan keadaan Humairah.
            “Humairah makan ya. Tadi Haikal ada masak bubur nasi untuk Humairah,” kata Rosnah seraya menyuakan sudu ke mulut Humairah.
            Humairah menggeleng kepala. Ditolak lembut tangan Rosnah.
            “Maafkan saya, nek. Saya menyusahkan nenek dan Haikal lagi,” ujarnya perlahan. Menunduk pandang jari-jari sendiri.
            “Eh, tak apa. Benda dah nak jadi.” Rosnah mengusap pipi Humairah.
            Humairah angkat muka. Dia memerhatikan wajah Rosnah yang kian berkedut dimamah usia. Sekelipan, bayangan mimpi tadi melintasi fikiran. Debar hatinya dikawal sebaik mungkin.
            “Bubur ni, nenek letak sini ya.” Rosnah meletak mangkuk dan gelas berisi air kosong di meja kecil di sebelah kepala katil. “Nanti Humairah makan ya. Nenek nak ke dapur tengok Haikal.”
            Rosnah bangkit. Sedang dia atur kaki keluar, namanya dipanggil Humairah. Langsung dia berpaling menatap wajah Humairah.
            “Ara...” Nama itu terpacul dari mulut Humairah.
            Rosnah tidak berganjak dari situ.
            “Saya nak tahu pasal Ara.” Laju mulut Humairah menutur kata. Bicara pertuturan yang tidak dirancang. Sekilas terlintas di hati.
            Rosnah tidak jadi ke dapur. Dia menghayun kaki ke sebuah almari kayu. Dari dalam almari itu, Rosnah menarik keluar sebuah album gambar. Kemudian Rosnah mengemudi langkah ke arah Humairah. Dia kembali labuh duduk di sebelah gadis itu.
            Tangan Rosnah menyentuh album gambar yang mengabadikan ‘Humairah’ di dalamnya.
            “Dalam ni, ada Ara,” katanya, lantas menyerahkan album itu kepada Humairah.
            Humairah menumpah pandangan pada Rosnah sebelum renungannya kembali memerhati album itu.
            Ara.
            ‘Humairah’ ada tersimpan di dalam album ini.
            Ketenangan cuba diraih sebanyak mungkin sebelum dia menyelak helaian pertama album tersebut. 

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Bahagian depan KPHM dah dirombak sikit. actually bukan rombak tapi tambah satu bab hihi :) Sikit aje. Nak kite letak dekat blog ke? :D Tata!

4 comments:

kak na said...

nak ler......

baby mio said...

BEST...

~::HANAH RISHAS::~ said...

@kak na

thanks sis drop sini. Insya-Allah, nnti sy up dekat next next next entri :)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@baby mio

Thanks sis :)