Wednesday, September 18, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 32.

Assalamualaikum.








"...Your souls are precious and can only be equal to the price of Paradise. Therefore sell them only at that price..." - Ali ibn Abi Talib










Bab 32
AFINA menjengah ke luar tingkap. Lama dia memerhatikan Humairah yang duduk termenung di pondok kayu. Sudah lebih dua jam Humairah berkeadaan begitu. Hanya sesekali gadis itu bangkit dan berjalan perlahan ke arah bunga-bungaan cantik di dalam pasu sebelum kembali berteleku di pondok itu.
            “Nek, kenapa dengan Mai tu?” Afina membantu Engku Zubaidah menyediakan minum petang buat mereka tiga beranak.
            Engku Zubaidah panjangkan leher. Mengintai Humairah di sebalik tingkap yang terbuka luas.
            “Bukan selalu Mai memang suka duduk berangan macam tu ke?” Engku Zubaidah memulangkan pertanyaan.
            Afina menarik nafas. Lirikan mata masih memicing ke arah Humairah. Ya, memang tidak dinafikan Humairah sering berkelakuan begitu. Suka duduk seorang diri dan termenung bukan main panjang. Entah ke planet mana sampainya gadis itu. Tetapi, kali ini Afina seolah merasa kelainan tentang Humairah. Asing.
            “Angin kus-kus agaknya. Kan Fina kata dia tengah period.” Engku Zubaidah hulur senyum. Tidak mengesyaki apa-apa.
            Afina menarik kerusi. Duduk di situ dengan perhatian penuh terhadap Engku Zubaidah.
            “Nek, patut ke Fina buka cerita pasal Mai?” Afina menongkat dagunya. Sebuah keluhan berat meniti bibir mungil gadis berusia lewat dua puluhan itu.
            “Pasal apa?” soal Engku Zubaidah. Sibuk betul dia mengemas ruang dapur. Sebelah tangan memegang kain mengelap kesan-kesan minyak di atas dapur masak.
            “Pasal Mai. Siapa Humairah sebelum dia hilang semua ingatan dia.” Satu per satu Afina sebut. Betul-betul tersusun.
            Selajur, Engku Zubaidah merentap renungan yang terarah padanya. Kening itu hampir bercantum. Dahi yang sedia terlukis kedut-kedut semakin dalam kedutannya.
            “Jangan!” tegah Engku Zubaidah.
            “Tapi kenapa nek? Sampai bila kita nak biar dia hidup dalam kenangan yang kita bina untuk dia?” Bersungguh-sungguh Afina berkata.
            Engku Zubaidah terdiam. Lidahnya bagai disimpul ketat. Tiada kata yang diucap melainkan anak mata melorong ke arah Afina.
            “Dia akan menderita, Fina.”
            “Kita tak adil pada dia, nek.”
            “Fina tak ingat apa yang terpaksa dia lalui sebelum ni?” Engku Zubaidah masih mahu mempertahankan bicara yang telah dia pegang beberapa tahun ini. Humairah sekarang tidak perlu tahu kisah yang telah terpadam dari ingatan gadis itu. Humairah sekarang perlu hidup dengan bahagia tanpa perlu menanggung keperitan jiwa sendiri.
            Engku Zubaidah menghampiri Afina. Bahu Afina diusap lembut. Afina mendongak pandang neneknya yang memaksa bibir tua itu ukir senyum padanya.
            “Fina kena simpan apa yang Fina tahu sampai bila-bila. Fina kunci kepada semua ingatan Humairah.”
Kunci? Afina merasakan perkataan itu terlalu berat buat dia. Sememangnya dialah yang mengetahui diri Humairah yang sebenarnya sebelum ingatan gadis itu diragut sepenuhnya.
Engku Zubaidah menyedari beban di bahu Afina. Sungguh, dia lakukan semua ini demi Humairah. “Bukannya nenek berlaku tidak adil terhadap Humairah tapi nenek nak lindungi dia. Nenek sayang Humairah tu, Fina. Macam mana nenek sayang Fina dan Lan, macam itulah jugak nenek sayang Humairah.”
Afina memegang kepala, manakala sikunya dipacak ke meja. Mata menekur meja yang hitam berkilat.

LONJAKAN hati tidak pernah dia fahami sejak kebelakangan ini. Dia bagai ditarik-tarik untuk memijak kaki ke kawasan ini. Biar tidak menemui tuan rumah, hanya berdiri dan memerhati dari jauh, itu cukup memadai bagi mengisi seruan yang semakin kerap menjengah ke taman hati.
            Humairah menebar pandangan ke arah sebuah sederhana besar, berdinding biru lembut, beratap zink hijau dan berpagar coklat gelap. Seorang wanita tua sedang terbongkok-bongkok membersihkan kawasan halaman rumah yang padat ditumbuhi rumput-rumput halus menghijau. Kemudian, datang seorang lelaki menghampiri, memicit bahu wanita itu sambil berbicara diiringi senyum mesra. Wanita tua itu ialah Rosnah. Lelaki itu ialah Haikal.
            Farah mengibaskan hujung tudung. Naik rimas dia duduk bawah pokok. Biar redup tetapi suhu persekitaran agak membahang meski sudah melepasi jam lima petang. Laksana berada di Gurun Sahara. Sesekali ekor mata meleret pada Humairah yang berdiri kaku di hujung sana. Diam tidak berkutik walau seinci. Farah mendegus rimas. Dia mendekati Humairah. Turut melurut mata pada pandangan yang dilempar gadis itu.
            “Kita buat apa datang sini?” tanya Farah. Masih tidak berhenti mengibas hujung tudung.
            Humairah senyap. Tajam renungan menujah ke arah Rosnah dan Haikal.
            Farah menggaru kepala. “Mai, kau ni kenapa? Aku rasa macam cakap dengan angin kau tahu! Dari tadi aku tanya, kau senyap aje,” omel Farah geram.
            Humairah menoleh. Pandangan dia dan Farah bersatu.
            Farah bertambah pelik. Lain sangat lontaran mata gadis itu terhadapnya. Seolah yang berada di depan mata dia sekarang ini ialah seorang Humairah yang lain. Farah mengerutkan dahi.
            “Kau okey?” soalnya lagi.
            Humairah mengangguk perlahan. Kembali melorong mata ke arah dua beranak yang dikenali seminggu lalu.
            “Kau sembunyikan apa dari nenek dan Kak Fina?” Farah membangkitkan isu pembohongan Humairah yang baru disedarinya. Tadi, dia dengar Humairah memberitahu yang mereka hendak ke rumah Puteri. Belum pun sampai ke rumah Puteri, awal-awal lagi Humairah mengajak dia ke satu tempat. Dia pun ikut sahaja sampailah dia merasakan bahawa laluan yang dilalui mereka kelihatan asing. Sudahnya mereka berdua duduk melangut di bawah pokok yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan rumah kos sederhana.
            Farah mendengus lagi. Sah dia cakap dengan angin. Sepatah haram pun Humairah tidak menyahut. Dibiar soalan dia dibawa melayang oleh udara yang bergerak.
            “Mereka...” Humairah menuding ke arah Rosnah dan Haikal.
            Mengecil mata Farah. Mujur dia bawa cermin mata. Kalau tidak, haram tak nampak!
            “Siapa tu?” soalnya. Diperhati wanita dan seorang lelaki yang sibuk membersihkan halaman rumah mereka.
            “Kau kenal dorang ke, Mai?” Farah masih ralit memerhati.
            “Ya dan tidak,” jawab Humairah.
            Farah angkat muka. Dia ketap bibir. Mula lagi! Cakap tak pernah nak straight to the point. Ada sahaja jawapan pilihan begitu.
            “Kau ni kan, tak boleh ke bagi satu jawapan aje? Nak jugak beri dua-dua,” gumam Farah. Gigi dikancing ketat.
            “Ya, aku kenal dorang tu. Dan tidak, aku tak kenal sebenar-benar dorang. Just met for a twice.”
            “Macam mana kau kenal dorang tu? Family angkat kau ke?”
            Humairah terdiam. Terus mengalih mata pada Farah.
            Farah jungkit bahu. “What? Aku salah cakap ke?”
            Humairah segera geleng kepala. Kata-kata spontan Farah bermain dalam kepala dan enggan langsung meminggir. Keluarga angkat?
            “Kita balik,” ajak Humairah.
            Farah terpinga-pinga bila Humairah menarik lengan dia. Humairah nampak tergesa-gesa.
            “Weh, dah kenapa kau ni? Perlahan-lahanlah sikit. Kang tergolek aku!” Farah membebel. Sakit lengan dia ditarik-tarik macam guni beras.
            “Kau ada nak singgah mana-mana tak?” tanya Farah. Menghulur topi keledar kepada Humairah.
            Humairah menggeleng. Terus melompat naik motosikal milik Farah.
            “Ni kena bayar lebih ni. Aku dah macam kau punya pemandu tau,” senda Farah. Mula menekan starter motosikal.
            Humairah tidak mengendah gurauan Farah. Sebaliknya dia melempar pandangan ke arah rumah itu lagi. Memerhatikan Rosnah yang kian hilang dari mata sebalik mereka masuk ke selekoh kanan, jalan keluar dari taman perumahan itu.
            Semakin jauh, semakin memberat hati dia. Kenapa ni? Humairah menyentuh dada yang berdetak normal. Kenapa kau berat wahai jantung? Kenapa ada beban yang bergayutan di situ?

ARA!
            Rosnah bingkas berdiri. Haikal yang turut membantu dia mencabut rumput-rumput liar ikut sama berdiri. Terpinga-pinga perhatikan tingkah neneknya yang berjalan laju ke luar pintu pagar yang terbuka luas.
            “Nek, kenapa ni?” tanya Haikal. Dicuit bahu Rosnah.
            Rosnah membuang pandang ke kiri dan kanan. Seolah sedang mencari sesuatu.
            “Ara.” Nama itu terpacul kelaur dari mulut Rosnah.
            Berkerut dahi Haikal. Ara? Spontan, dia melurut mata ke depan sana. Diikuti kiri dan kanan. Dia tidak nampak sesiapa. Dia tidak nampak bayang Humairah.
            “Apa nenek cakap ni? Mana ada sesiapa.” Haikal berkata seraya menarik Rosnah.
            Rosnah enggan berganjak. Dia dapat merasakan kemunculan Humairah di sini. Seluruh tubuh dia bergetar tadi. Seakan angin yang menyapa membawa sekali desah nafas Humairah. Kolam mata Rosnah kembali hangat.
            “Nenek...” Haikal memujuk. Sejak menemui ‘Humairah’, neneknya sering bertingkah begini. Siang malam sebut nama Humairah.
            “Nenek tahu, Humairah ada dekat sini,” ujar Rosnah tanpa ditahan-tahan.
            Haikal menggeleng perlahan.
            “Nek, Humairah tak datang sini pun. Kalau dia datang, tentu ada depan mata kita ni hah,” pintas Haikal.
            Rosnah tarik nafas panjang.
            Haikal memaut lengan Rosnah. Dibawa wanita tua itu duduk di sebauh bangku kayu yang diletakkan di beranda rumah.
            “Nenek nak air tak? Saya buatkan. Special punya!” kata Haikal. Bibir ditampal senyum yang pura-pura.
            “Tak apalah, Kal. Nenek tak haus.”
            Serta-merta, mati senyuman Haikal. Dia labuh duduk di kerusi bersebelahan Rosnah. Tangan itu digenggam erat.
            “Nenek...” Haikal berkira-kira hendak memulakan bicara.
            “Nenek tahu apa yang Haikal nak cakap. Tak apalah. Biarlah nenek simpan sendiri apa yang nenek rasa. Haikal tahukan yang nenek sangat merindui Ara. Rupa dia saling tak tumpah macam Ara. Senyum dia, ketawa dia, mata dia macam Ara kepunyaan nenek. Setiap kali teringatkan dia, hati nenek sedih. Kalaulah dia Ara kita,” luah Rosnah. Bergenang juga tubir mata dia.
            Haikal mengerti perasaan Rosnah. Dia telah melalui getir perasaan itu bersama-sama Rosnah. Sakit pedih dan kelukaan itu mereka tempuhi bersama. Barangkali sakitnya dia lebih parah berbanding Rosnah. Rosnah kehilangan Humairah, sedang dia, selain hilang Humairah, dia juga kehilangan emak dan maruah diri.
            “Rancangan Allah tu yang paling indah, nek,” tutur Haikal tanpa niat yang pasti.
            Rosnah dan Haikal saling bertempur pandangan mata. Berlaga pandangan keduanya bersama kehangatan yang serupa.

“KAU lambat lagi ke?” Azli meletak joran yang tidak menarik minatnya. Kalau dia tahu sepupunya itu mengajak dia ke sini, awal-awal lagi dia geleng kepala. Lebih baik dia duduk rumah sepupunya itu sambil berguling tunggu masa hendak balik. Ini semua pasal emak dia, Hashimah. Beria sangat hendak dia ikut sama. Sudahnya berakhir di kedai joran ini.
            “Sabarlah. Aku nak beli joran baru. Minggu depan nak turun laut. Kang tak bestlah guna joran lama. Tak ada umppph!” seloroh Ismail sambil tersengih-sengih.
            Bosan menunggu di dalam, Azli melangkah keluar dari kedai itu. Ambil angin petang. Tempat ini tidaklah asing bagi dia. Sudah beberapa kali datang ke bandar ini memandangkan salah seorang kakak kepada emaknya menetap di bandar ini. Sepupu dia yang seorang ini beranak-pinak sudah. Dia yang masih tidak punya hala tuju hidup. Masih bersenang di kampung, habiskan masa dengan bermain judi atau perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepada diri. Tetapi itu dulu. Tabiat dia semakin menipis sehari-hari.
            “Adoi!” Azli berteriak lantang. Macam hendak patah tangan dia. Apa yang melanggar dia tadi? Kayu balak?
            Azli angkat muka tegang. Hanya sesaat sahaja dia mampu menegangkan muka sendiri konon buat riak bengang. Akhirnya mata dia yang terbuntang. Nafas tersekat-sekat.
            “Maaf encik. Tak sengaja,” tutur Humairah, kelam-kabut.
            Azli terpaku. Anak mata dia bergerak-gerak menatap wajah yang sering dimimpikan kebelakangan ini.
            “Encik?” Humairah memetik jari.
           Azli tersentak. Dengan perasaan bercampur-baur, dia meluru meninggalkan Humairah yang tercengang di situ. Terkebil-kebil pandang lelaki itu. Tengok gaya, macam lepas nampak hantu.
            “Dah, jom aku hantar kau balik.” Farah menarik Humairah. “Kau tengok apa lagi?” soal Farah. Humairah enggan bergerak. Kaki memaku di lantai.
           “Ada orang tu, tengok aku macam nampak hantu. Terus blah macam tu aje,” beritahu Humairah sedikit hairan.
            Farah ketawa serta-merta. “Dah memang muka kau tu macam hantu. Tak sedar diri lagi,” cebik Farah.
            Humairah menarik pipi Farah. Farah menjerit sakit.
            “Muka hantu aku ni, muka lawa,” bidas Humairah sambil tersengih.
            Farah menjelir lidah. Humairah ketawa mengilai.
            Dari kejauhan, Azli memerhatikan gadis tadi. Mengigil tangan dia. Jantung bagai hendak tercabut. Darah seolah disedut keluar dari tubuh. Tiada apa yang mampu dilakukan melainkan melarikan diri.
            Telefon bimbit ditatap. Dia hendak menelefon Jali atau Hasnol. Kemunculan Humairah perlu diberitahu kepada dua orang rakan baiknya itu. Tetapi, adakah dua manusia itu akan mempercayai dia? Sebelum ini dia ditertawakan bila dia berkongsi cerita tentang mimpinya mengenai Humairah.
            “Kau buat apa bawah pokok ni? Nak fefeeling hindustan ke apa?”
            Azli tersentak. Terus paling mukanya yang pucat itu.
            Ismail memandang pelik kelakuan sepupunya.
            “Kau dah kenapa? Macam baru lepas nampak hantu aje.” Terburai hilai tawa Ismail.
            Azli menahan debar dada yang semakin tidak sekata.
            “Aku... aku nak balik.” Azli berkata. Liar mata dia menerjah ke kanan dan kiri.
            Kedua belah kening Ismail bertaut. “Memang nak baliklah ni. Kau kenapa, Li? Pelik aje aku tengok.”
            Azli pantas menggeleng. “Aku tak apa-apa,” jawabnya.
            “Hah, jomlah.” Ismail mengajak.

            Azli mengekor di belakang Ismail. Terbayang-bayang rupa Humairah. Humairah pandang dia tetapi gadis itu beriak biasa. Humairah tidak ingat dia?

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Ini entri autopublish. No comment di hujung kaki mihihihi :3 Tata!

2 comments:

Unknown said...

best....

~::HANAH RISHAS::~ said...

@baby mio

Hi awk! :) thanks sudi baca dan selalu drop comment.terharu sgt :')