Saturday, September 14, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 30 & Bab 31.

Assalamualaikum.








"...You don't need a shoulder to cry on when you have the ground to put your head down in complete submission to the only One who give you ease..."










Bab 30
KECOH satu kedai bila dia muncul pagi itu dengan balutan di kepala. Yang paling bising tentulah Puteri. Laju macam bullet soalan Puteri lempar padanya. Sampai naik pening hendak jawab yang mana dulu. Azfari pun ikut sama naik. Orang lain bertanya, dia pun buka mulut menyoal. Kes Azfari- suka bertanya pada perkara yang telah diaju Puteri, Farah, Abang Malek atau kedua pekerja yang lain.
            Petang itu, pulangnya bersama Farah. Sampai sahaja depan pintu pagar, pandangan mata dijamu oleh susuk tubuh yang begitu dikenali. Hanya mampu hela nafas panjang tanda kurang senang. Eh, lupa pula. Ini kan rumah makhluk itu. Jadi makhluk itu boleh datang sesuka hati dia.
            Humairah mengatur langkah menyusuri pondok kayu yang diduduki Fadzlan. Ekor mata menyoroti Fadzlan yang kelihatan begitu tekun membaca suratkhabar sampai tak toleh kiri kanan, atau sebenarnya lelaki itu sengaja tak luaskan penglihatan? Maklumlah, kalau meliar sangat mata tu, nanti bertembung mata dengan dia.
            “Eh, Mai dah balik. Naik Farah ye?” Engku Zubaidah menegur sebaik susuk tubuh Humairah terjamah mata.
            Humairah membalas dengan senyuman menguntum. Dia angguk kepala.
            “Mai, tolong nenek bawakan air ni untuk Lan kat depan sana,” pinta Engku Zubaidah.
            Ah, sudah! Nenek tidak ingat ke malam tadi bukan main menyinga si Lanlan itu. Siap melempar kata yang mengguris kecil hatinya yang lembut ini. Silap-silap nanti air itu bertukar jadi pahit kalau dia yang beri kepada Fadzlan.
            “Nenek ada kerja sikit kat dapur,” pantas Engku Zubaidah berkata bila menyedari Humairah diam tidak berkutik.
            Dengan malas, Humairah mengangguk.
            Engku Zubaidah senyum lebar. Terus berlalu ke dapur. Walhal, di dapur, tiada kerja yang perlu diselesaikan. Sengaja meminta Humairah menghantar minuman kepada Fadzlan. Seperti Afina, dia turut punya misi yang sama. Niatnya hanya satu, mahu mengembalikan hubungan yang pernah terbina antara Fadzlan dan Humairah.
            Derap kaki yang semakin mendekat itu menarik perhatian Fazlan. Sepintas lalu dia menoleh.
            “Nenek buatkan air,” kata Humairah sebaik kaki memaku di depan Fadzlan.
            Fadzlan tidak menyahut. Paling muka pun tidak.
            Humairah gigit bibir. Apa dia ingat aku ni patung? Ke halimunan? Humairah mendongkol geram. Meski geram membuak-buak, namun dia tetap pelihara sikapnya. Tidak pula main hempas-hempas gelas sewaktu meletaknya di depan Fadzlan.
            “Kepala kau dah okey?”
            Pertanyaan itu mematikan langkah Humairah. Terkebil-kebil dia dengan mata terbuka luas.
            “Dah... dah...” jawabnya gagap.
            Fadzlan berdehem. Kembali menatap tulisan-tulisan yang pelbagai saiz depan mata.
            “Baguslah. Lain kali kau jaga diri. Jangan sampai kena ragut lagi.” Bicara Fadzlan pecah lagi.
            Humairah mengangguk laju. Selepas itu, panjang langkah dia masuk ke dalam rumah, naik ke tingkat atas dan menuju ke biliknya. Pintu ditutup dan dikunci dari dalam.
            Beg dicampak atas katil. Langsir jendela diselak sedikit. Pandangan mata dilontar ke luar. Dari atas, dia nampak Engku Zubaidah mendekati Fadzlan.
            Dia tidak rasa kata-kata berupa pertanyaan dan ingatan itu datang dari hati ikhlas Fadzlan. Yakin benar yang nenek paksa Fadzlan berkata sedemikian. Langsir dilepaskan. Dia menghampiri katil lalu merebah tubuh di atasnya. Mata tertancap ke siling. Dalam fikiran yang sedang bergelimpangan segala macam perihal, otak memfokus satu wajah yang tiba-tiba muncul dicelah-celah keserabutannya.
            “Rosnah.” Nama itu menggeluti bibir Humairah.
            Sementara di pondok kayu, Engku Zubaidah sedikit senang hati melihat Fadzlan menegur baik Humairah tadi. Walau hakikat Fadzlan dipaksanya berkelakuan begitu, mujurlah anak muda itu menurut. Engku Zubaidah meleret pandangan ke arah Fadzlan.
            “Kan elok kalau Lan cakap baik-baik dengan Humairah macam tadi tu,” kata Engku Zubaidah. Fadzlan tidak membalas. Senyap seribu bahasa. Dek kerana mengenang keterlanjuran sikap biadapnya terhadap Engku Zubaidah malam tadi, diikutkan kehendak neneknya itu.
            Surat khabar dilipat lalu dihulur kepada Engku Zubaidah. Gelas minuman tadi langsung tidak berusik. Hanya dipandang saja.
            “Lan nak ke mana?” soal Engku Zubaidah sebaik Fadzlan bangkit dari tempat duduknya.
            “Lan nak balik. Dah petang dah ni.” Fadzlan menjawab.
            Wajah Engku Zubaidah kembali keruh.
            “Cepatnya Lan nak balik. Tunggulah makan malam sekali dengan nenek. Dengan Humairah.” Engku Zubaidah memujuk.
            Fadzlan menggeleng halus. “Tak apalah, nek. Lan makan kat rumah dengan Kimi aje. Izhar pun ada sekali.”
            “Sampai hati Lan buat nenek macam ni. Macam dah tak mahu jumpa nenek aje.” Engku Zubaidah berjauh hati. Lontar pandangan mata ke depan sana. Tubir mata dirasakan hangat. Tingkah Fadzlan menjentik tangkai hati dia.
            “Datang sekejap-sekejap. Lepas tu, balik.” Omongan Engku Zubaidah tidak berhenti takat itu sahaja. Malah terus-terusan mendera hati Fadzlan yang kian berbaur riak bersalah. Teringat perbuatan sendiri semalam.
            “Nek, Lan tak terfikir pun macam tu.” Fadzlan kembali duduk di sisi Engku Zubaidah.
            “Lan makan malam kat sini ya.”
Fadzlan garu kepala. Masih tiada jawapan. Geleng tidak, angguk apatah lagi.

SAMBIL menyanyi kecil rentak lagu Please Forgive Me nyanyian Bryan Adams, Humairah mengira anak tangga menuju ke tingkat bawah. Seperti kebiasaan, dia akan membantu Engku Zubaidah menyediakan makan malam.
            Sedang leka melayan lagu dalam kepala, berpusing-pusing penuh emosi menjiwai lagu berentak sentimental itu, tubuhnya terdorong ke belakang bila terlanggar sesuatu yang tinggi dan keras. Terbuntang mata melihat batang tubuh Fadzlan depan mata.
           Keduanya saling berpandangan. Fadzlan dengan kening bertaut, manakala Humairah bermimik muka terkejut, mulut membentuk huruf ‘O’.
            “Sorry...” ucap Humairah sepatah. Lekas angkat kaki dan meninggalkan Fadzlan yang masih memandang dia. Bukan mamat tu dah balik ke tadi? Dia garu kepala. Eh! Ya Allah! Patutlah dia rasa Fadzlan pandang dia semacam, rupa-rupanya...
Humairah menyongsang arus. Pantas berlari ke arah tangga. Dan di situ, dia terlanggar Fadzlan lagi. Tetapi kali ini dia tidak sempat hendak lawan-lawan mata, renung lama-lama, atau hulur kata maaf kerana dia perlu naik bilik, ambil selendang tutup kepala yang terdedah.
Fuh! Humairah hela nafas panjang. Kan tak pasal-pasal Fadzlan dapat tengok tayangan percuma. Humairah menggigit bibir. Nak salah kan Fadzlan pun, bukan salah lelaki itu. Salah diri sendiri. Eh, tapi salah Fadzlan pun ya. Kenapa tak bagi isyarat menunjukkan bahawa lelaki itu wujud di sini? Heh! Humairah kembali atur langkah ke bawah. Dan kali ini lengkap berselendang. Mujur dia tak sarung seluar pendek macam selalu.    
Humairah berjalan menuju ke ambang pintu yang menjadi laluan ke ruang dapur. Terdengar suara Engku Zubaidah sedang berbual-bual dengan seseorang. Fadzlanlah tu, siapa lagi! Humairah jinjit kaki. Hanya kepala dia sahaja yang tersembul di situ.
“Mai! Kenapa mengintai kat situ? Marilah,” panggil Engku Zubaidah. Tangannya melambai-lambai ke arah Humairah.
Lambat-lambat Humairah atur langkah mendekati Engku Zubaidah yang sibuk di singki bersama sebekas udang yang belum dibersihkan lagi. Kebiasaan begini, hidangan makan malam hampir siap. Ini, satu benda pun tak terhidang lagi.
“Nek, nak Mai tolong apa-apa tak?” soal Humairah. Tertinjau-tinjau keadaan dapur yang nampak sedikit berselerak. Ini bukan gaya nenek memasak ni, desis hati Humairah.
“Hah, Mai tolong kopek kulit udang ni ya.” Lekas Engku Zubaidah membersihkan tangannya yang berbaur sedikit hanyir. Sesudah itu, dia lap tangan menggunakan kain putih di atas dapur.
“Hari ni kita merasa air tangan orang lain tau,” kata Engku Zubaidah sambil senyum-senyum.
“Eh, bukan nenek ke yang selalu masak? Ke nenek ada pasang maid?” Teka Humairah. Degil pulak kulit udang ni nak tanggal. Kepala tanggal, kulit masih melekat.
“Chef Fadzlan masak hari ni.” Lebar senyuman Engku Zubaidah kala itu.
Humairah sudah kerut dahi. Chef Fadzlan? Fadzlan tadi tu ke? Lanlan? Bertubi-tubi soalan dia aju kepada diri sendiri.
“Lan ke nek?” tanyanya lagi.
            “Kenapa? Kau tak percaya kalau aku ni boleh memasak?” Fadzlan menjerkah tiba-tiba. Datangnya entah dari mana. Terbejat perbuatan Humairah. Dan-dan seekor udang yang dipegangnya terpelanting keluar dari singki dan menjunam jatuh ke lantai.
            Engku Zubaidah tertawa gelihati. Lain pula dengan Fadzlan. Lelaki itu mengerling tajam ke arah Humairah. Serba tidak jadi pekerjaan Humairah.
            “Mai, Lan, nenek nak mandi sekejap ye.” Engku Zubaidah berlalu pergi sebaik sahaja melontar kata-kata itu.
           Nenek! Nenek, tolong jangan pergi! Suara hati Humairah meronta-ronta menjerit memanggil Engku Zubaidah. Matilah dia di sini. Meliar mata cari pisau. Hah, sebelah sana tu. Betul-betul tepi tangan kekar Fadzlan. Dibuatnya lelaki itu naik gila, terus hunus pisau bermata tajam itu ke dada dia, macam mana? Bukan ke lelaki itu benci dia? Humairah geleng kepala. Jauh benar dia berimaginasi.
            “Kau jangan ingat aku tak reti masak. Jangan pandang orang sebelah mata,” kata Fadzlan lagi. Sebelah tangannya memegang sudip mengacau sambal yang belum masak sepenuhnya. Aromanya juga belum muncul.
            Eh, mana ada cakap apa-apa. Dalam hati pun tak ada terdetik! Humairah mendongkol dalam hati. Konon nak baca fikiran orang.
            “Kau buang kulit udang ke, kau tangkap udang?” Fadzlan menjengah ke dalam singki. Masih berbaki banyak udang yang belum dibuang kulitnya.
“Tu, ekor dia, janganlah kau cabut sampai togel. Buang kulit aje, ekor dia biar macam tu,” tunjuk Fadzlan.
Humairah patuh pada arahan itu. Dia buang kulit dan cuba elakkan daripada ekor udang itu ikut sama.
“Togel lagi!” dengus Fadzlan. Sakit mata dia lihat Humairah mengerjakan udang-udang itu. Semua nampak togel sedang dia suka mengekalkan hujung ekor udang itu. Biar nampak cantik bila dihidang nanti. Sekali-sekala, hendak tunjuk skill pada nenek juga.
“Kau tak boleh buat elok-elok eh? Macam ni...” Lincah tangan Fadzlan menceraikan kulit udang tanpa menogelkan keseluruhan kulitnya. Tinggal ekor secoit di hujungnya.
Humairah mencebik. “Buatlah sendiri. Kang saya buat, togel semuanya ha,” balas Humairah.
Kasar helaan nafas Fadzlan menjengah jendela telinga Humairah. Terherot-herot mulut Humairah mengajuk mimik muka Fadzlan yang serius itu.
“Kau pulak buat. Ada lagi dua tiga ekor aku tinggalkan khas untuk kau. Buat sekarang.” Tegas Fadzlan.
Mahu tidak mahu, Humairah turutkan juga. Tiga ekor aje pun. Apa susah. Kasi tanggal semua. Bukannya chef tak bertauliah itu tahu pun. Humairah gelak dalam hati. Sedang dia tekun membersihkan udang-udang itu, hujung selendangnya jatuh ke bawah dan hampir menyentuh air basuhan udang itu.
“Leceh betullah!” gumam Humairah. Naik teleng kepala dia. Nanti kalau dia basuh tangan, memang basahlah selendang dia. Hisyy... inilah masalah kalau ada manusia bukan muhrim dalam rumah mereka. Memang payah!
Humairah tersentak kala merasakan ada tangan menyentuh hujung selendangnya lalu disangkut kembali ke bahu. Bila dia toleh, dia nampak muka Fadzlan yang tidak beriak apa pun. Lelaki itu hanya pandang dia. Pandangan yang kosong. Humairah terkebil-kebil.
Suasana yang dingin tadi bertukar hangat. Peluh di dahi kian ketara. Humairah merasakan haba mengalir di seluruh tubuhnya, naik ke kepala. Hati resah sendiri tanpa sebab nyata. Melihat ke dalam kolam mata Fadzlan, seolah mendasari satu jiwa yang lain, yang ada dalam dirinya. Malah, seputar imbasan bermain depan mata. Ilusi itu bagai pernah dilalui dia tetapi dia tidak ingat! Humairah memegang kepala yang masih berbalut. Picitan perlahan itu atas desakan sakit yang datang menyerang kepala dia.
“Kau okey ke tak?” Fadzlan menunjukkan bunga-bunga prihatinnya kerana dia menyedari ada sepasang mata memerhati di sana. Harus ditunjukkan sedikit ‘kebaikan’ dia. Gara-gara keterlanjuran dia melukakan hati nenek, maka dia akan tebus kesalahan itu. Nenek bentangkan satu permintaan. Permintaan yang sukar untuk dia penuhi- Layan Humairah dengan baik. Walau tunjuk baik, gaya dia masih sama- KAYU!
Humairah angkat tangan tanda dia baik-baik saja. Pantas menghabiskan kerja-kerja membersihkan udang tadi apabila terdengar suara Fadzlan meminta.

FADZLAN terpaksa, dia tahu itu. Fadzlan sengaja tunjuk ambil berat di ruang dapur itu, dia juga sedar kerana dialah yang memaksa Fadzlan bersikap begitu. Kuasa veto digunakan sepenuhnya. Perancangan dia dan Afina harus berjalan lancar. Apa pun jadi, hubungan keduanya perlu dipulihkan.
Panjang leher Engku Zubaidah menjenguk ke dapur. Senyum-senyum dia lihat keadaan di ruang itu. Macam budak main masak-masak. Kejap-kejap dia dengar suara Fadzlan mendengus geram. Ada ketika gegendang telinga diketuk bebelan dan rungutan Humairah. Senario itu menggundang ketawa Engku Zubaidah.
“Dorang okey ke nek?” aju Afina di hujung talian.
“Nenek tak rasa mereka tu baik sangat. Tapi nenek dah paksa Lan baik-baik dengan Humairah tu.” Engku Zubaidah memberitahu. Tetapi kejadian yang menimpa Humairah kelmari tidak disampaikan kepada Afina. Marahnya Afina bukan boleh dibendung. Dia juga perlu melindungi Fadzlan.
“Fina tak tahu dah nek, nak buat macam mana. Dan Fina tak pernah faham kenapa Lan tu benci sangat kat Humairah.” Afina mengeluh berat.
“Insya-Allah, kita doakan moga hati Lan tu lembut, Fina. Mungkin dia tak dapat terima kehilangan tu lagi.”
“Kita sama-sama doa ye nek.” Afina bersetuju.
Ekor mata Engku Zubaidah menyoroti ruang dapur. Sekejap-sekejap dia nampak Humairah melintas. Berganti Fadzlan pula.
Engku Zubaidah kulum senyum. Jauh di sudut hati, dia merindui kenangan dulu. Kenangan yang kini telah menjadi lipatan dalam persuratan hidup keluarga mereka.



 *******************


Bab 31
BERKALI-KALI Haikal memisat mata. Betul ke apa yang dia lihat? Atau mimpi semata? Seseorang yang duduk di ruang tamu itu ialah Humairah! Terkebil-kebil mata dia melorong ke arah gadis yang kelihatan sedang leka membelek sesuatu di tangannya. Dalam langkah yang cukup perlahan, Haikal mendekati Humairah. Makin dekat, makin jelas wajah itu terbias di ruang mata. Sah, memang Humairah!
            Humairah yang menyedari bunyi derap kaki melangkah terus menoleh. Angkat muka perhatikan Haikal. Dia kulum senyum. Haikal tidak dapat menahan debaran di dada saat terlihat senyuman itu seiring dengan lesung pipit yang terbit di pipi kiri itu. Dan bila pandangan mereka bersatu begitu lama, Haikal merasakan jatungnya luruh.
            “A... Ara... Ara...” Bibirnya bergerak-gerak menyebut nama itu. Nadanya cukup perlahan.
            Dahi Humairah kian timbul garis-garis halus. Diamati bunyi yang dilontar keluar oleh Haikal tetapi jendela telinga tidak mampu mendengarnya.
            “Haikal dah balik?” Rosnah menyapa lembut.
            Haikal yang leka memerhati lekas mematikan lamunan sendiri. Ekor mata melorong kepada Rosnah. Riak wajah itu dilimpahi keceriaan yang jarang-jarang dia lihat sebelum ini.
            “Kamu baca apa tu, Humairah?” Rosnah melabuh duduk hampir di sisi Humairah.
            “Mmm... baca majalah...” Humairah berjeda seketika. Membelek kulit majalah itu. Tertera Arena Sukan di situ. Cukup besar. “Ini. Majalah sukan,” katanya.
            Rosnah kulum senyum. Paras Humairah ditatap lama. Kemudian renungannya berkalih pada Haikal yang masih memakukan diri di tengah-tengah rumah. Rosnah naik hairan.
            “Kal, buat apa berdiri situ?” tegur Rosnah.
            Cepat-cepat Haikal panjangkan langkah. Ikut serta dalam perbualan yang dia tidak tahu hujung pangkalnya. Dalam diam, dia kerling Humairah. Dia perhatikan wajah itu. Dari mata, turun ke batang hidung. Jatuh pula ke bibir dan tertancap pada lesung pipit yang muncul kala Humairah ukir senyum.
            Haikal tahan debar yang menggila. Ya Tuhan, sungguh gadis di depannya ini menyerupai Humairah. Benarkah dia bukan Humairah mereka yang telah hilang beberapa tahun dulu? Haikal menguak rambut sampai ke ubun-ubun.
            Humairah membelek jam tangan. Sudah menginjak ke angka tujuh setengah malam. Dia kata pada Engku Zubaidah, dia ikut Farah keluar. Pada Farah, dia beritahu hendak pergi ke rumah kawan. Farah jenis yang tidak banyak mulut, maka mengangguk sahaja. Hakikatnya, hati dia terlalu mendesak dia datang ke rumah yang didiami Haikal dan Rosnah. Dan akhirnya, dia memijak kaki ke rumah ini selepas empat puluh lima minit perjalanan. Malam Haikal hantar dia pulang, dia sempat meminta alamat rumah Haikal. Jadinya, dia tunjuk sahaja sekeping kertas kepada teksi, dan sampailah ke sini.
            “Nenek, saya rasa saya kena baliklah. Dah malam. Nanti family risau pulak,” kata Humairah.
            “Balik dengan apa ni?” Rosnah bertanya.
            “Pakcik teksi tadi tunggu saya,” jawab Humairah.
            Rosnah mengangguk perlahan. Mengiringi Humairah sampai di ambang pintu. Di luar pagar, ada sebuah teksi sudah menanti.
            “Terima kasih banyak-banyak sebab keluarga nenek dah tolong saya hari tu,” tutur Humairah dalam senyum manis. Melontar pandangan mata ke dalam sana. Dia nampak susuk Haikal duduk membelakangi dia.
            “Saya balik dulu ya. Insya-Allah, nanti saya datang lagi.”
            Rosnah hanya memerhati. Ketika Humairah menyalami tangan dia, dada sebak tiba-tiba. Apatah lagi melihat Humairah melambai-lambai ke arah dia sebelum gadis itu hilang ditelan perut kereta.
            Ara... Hati Rosnah berbisik.
            “Nek, dah lama ke dia sampai tadi?” Setelah hampir sepuluh puluh minit mengunci mulut, baru kini dengar suara Haikal.
            “Tak lama. Lebih kurang setengah jam,” jawab Rosnah seraya menghela nafas panjang.
            “Kalaulah dia tu Ara,” keluh Rosnah. Tubuhnya tersandar di bingkai pintu yang terbuka luas. Melebar pandangan yang telah ditelan kegelapan malam. Kini cahaya lampu-lampu jalan menabiri keindahan itu.
            Haikal merenung Rosnah. Keceriaan tadi telah hilang. Sepenuhnya. Berganti wajah yang sering dilihat sejak Humairah hilang tanpa berita.
            Bahu Rosnah dipaut erat.
            “Jom kita masuk, nek.” Haikal mengajak. Lengan Rosnah dipegang lalu menarik wanita tua itu mengikut dia masuk ke dalam. Pintu rumah ditutup rapat.

SELESAI mandi, Humairah merebah badan atas tilam. Mujur hari ini dia cuti. Cuti yang diberi setiap bulan. Tidaklah dia terkejar-kejar bersolat sewaktu pulang dari rumah Haikal dan Rosnah tadi.
            Sampai-sampai depan pintu rumah, dia nampak kereta Afina. Wah, mencicit dia berlari masuk ke dalam. Rupanya Afina balik awal. Lihat dia yang baru nampak batang hidung ketika malam menjengah bumi, Afina menyoal panjang lebar. Sempat lagi Afina membebel. Nasiblah Engku Zubaidah tolong back-up dia.
            Pintu bilik diketuk bertalu-talu, disertai sayup-sayup kedengaran suara Afina memanggil nama dia.
            “Masuklah, Kak Fina! Mai tak kunci pintu tu,” sahut Humairah. Segera bangkit dari pembaringan dan duduk berteleku atas katil.
            Afina menolak daun pintu. Berkeriuk bunyinya. Selangkah demi selangkah dia mengatur langkah. Kemudian labuh duduknya di depan Humairah. Sebuah beg dihulur kepada Humairah. Humairah memandang pelik.
            “Apa ni? Buah tangan eh?” Humairah meneka. Kening diangkat tinggi. Seulas senyuman menghiasi bibir.
            “Iyelah. Hari tu, Mai jugak yang minta Kak Fina belikan ole-ole. Tu, Kak Fina dah beli dah,” kata Afina. Bibirnya terjuih-juih ke arah beg kertas di tangan Humairah.
            “Serius?!” Humairah mula teruja.
            “Seriuslah.” Afina membalas. Tersenyum sendiri melihat kelakuan Humairah yang rakus menyelongkar beg kertas depan mata.
            “Cantiknya!” Humairah menjerit kuat. Sehelai selendang dililit ke bahu. Siih berganti pandang Afina yang melarik senyum lagi.
            “Kak Fina tak tahu nak belikan apa. Lepas tu, Kak Fina nampak selendang ni, terus ambil. Kan Mai suka kumpul selendang,” kata Afina. Mampu tarik nafas lega bilalihat Humairah begitu gembira dengan pemberian dia yang tidak seberapa itu.
            “Terima kasih, Kak Fina,” ucap Humairah bersama senyum yang belum mati.
            Afina mengangguk. Diperhati gelagat Humairah yang menggayakan selendang itu di dikepala. Nampak elok terletak di situ. Manis. Sedang ralit memerhati, Afina menyedari sesuatu berbekas di dahi Humairah. Terlindung di sebalik anak rambut. Afina mengengsot menghampiri Humairah. Tangannya menguak anak rambut gadis itu.
            “Kenapa dengan dahi ni?” soal Afina. Puas dibelek dahi itu. Lukanya nampak dalam. Malah luka itu belum sembuh sepenuhnya. Seperti Humairah mengalami kecelakaan dalam waktu terdekat.
            Ah, dah nampak pulak! Humairah menggumam dalam hati.
            “Dahi ni, kenapa boleh luka? Teruk ni lukanya.” Afina masih gigih menilik. Doktor katakan.
            “Aaa... ini... hari tu Mai jatuhlah. Tergolek atas lantai langgar dinding,” bohongnya.
            Afina merenung Humairah. Mengecil matanya.
            “Ke Lan ada buat apa-apa kat Mai?” Afina curiga.
            Humairah pantas menggeleng. “Eh, tak... tak. Ini jatuh sendiri ni.”
Kelam-kabut dia menjawab. Dia bukan jahat sangat sampai nak lapor semua kejadian kepada Afina. Dia tahu Afina tegas dan garang pun ya. Dibuatnya Afina tahu apa yang telah terjadi kepada dia, mahu waktu-waktu ini juga Fadzlan di arah datang ke sini menghadap maharani cantik ini. Nanti makin bertimbun-timbun marah Fadzlan padanya.
“Sepanjang Kak Fina tak ada ni, Lan ikut tak apa yang Kak Fina suruh dia buat?” Afina mula mengaju soalan.
Kepala diangguk laju dengan harapan Afina tidak akan bertanya lebih lanjut tetapi sia-sia. Afina terus melontar soalan sehingga dia berfikir banyak kali sebelum menjawab. Takut terbelit lidah sendiri. Dari cara dia, macam melindungi Fadzlan pun ada. Iyalah, Fadzlan tu asyik dipaksa-paksa hadap muka dia walau lelaki itu tidak pernah sudi.
“Lan tak ada merungut apa-apa ke?” Tidak lepas mata Afina melihat luka di dahi Humairah.
Humairah geleng kepala.
“Ni dah pergi klinik ke?”
Lega betul bila Afina tidak membangkitkan isu Fadzlan lagi.
“Dah. Doktor cakap luka sikit aje.”
“Luka sikit? Dalam lukanya ni Mai. Doktor mana Mai jumpa ni?” Afina tidak puas hati.
“Tu ha, alah... Mai pergi klinik yang kat area tempat Mai kerja tu.” Laju Humairah menjawab.
“Mai jatuh kat mana ni? Rumah ke kat tempat kerja?”
“Kat kedai.”
“Lah, Kak Fina ingat Mai jatuh kat rumah. Patutlah nenek tak ada cakap apa-apa,” omel Afina.
“Lepas jatuh, hari-hari lepas tu Mai ada sakit kepala tak? Pening-pening ke?”
“Tak. Mai rasa okey aje.”
Afina tarik nafas dalam.
Humairah kehairanan. Sakit kepala? Rasanya dia tidak sakit kepala akibat hentakan kecelakaan itu. Namun dia menyedari yang dia akan mengalami sakit kepala yang maha dahsyat ketika otaknya bekerja keras memproses maklumat yang disalurkan melalui imbasan atau ilusi dalam sedar. Dan Afina tidak pernah tahu keadaan itu. Dia cuma pernah bercerita tentang mimpi yang dia alami sebelum ini.
“Kak Fina nak masuk tidur dululah. Letih sangat,” ujar Afina. Dia berdiri dan mengeliat. Merenggangkan tulang-belulang yang bersimpul sana sini.
“Selamat malam, Kak Fina,” ucap Humairah. Menyaksikan Afina berlalu keluar dari biliknya.
Selajur, dia melompat turun dari katil. Bersama selendang pemberian Afina tadi, dia berdiri di depan cermin. Selendang itu dipakai di kepala. Lilit dan pusing-pusing sahaja. Sesudah itu, dia perhati cermin yang memantulkan imej dirinya. Humairah tersengih-sengih. Selendang itu nampak ‘ngam’ dengan dia. Terletak elok sahaja. Boleh pakai raya nanti. Humairah meleret sengih lagi.
“Ara...”
Satu suara berdesir halus di telinga.
            Humairah tersentak. Dia pandang kiri kanan. Suara siapakah itu?
            “Ara..”
            Sekali lagi, suara itu menjengah telinga sepintas lalu. Sepantas pancaran halilintar yang membelah bumi. Sejurus suara itu menghilang, Humairah merasakan pandangannya dikaburi ilusi yang tidak pernah menjelma sebelum ini. Disertai denyutan kuat di kepala. Humairah menggerang kesakitan. Tidak tertahan kesakitan yang sedang dia alami. Tubuh itu jatuh ke lantai. Butir-butir peluh kian membasahi dahi. Detakan jantung bagai ritma yang tidak punya keseimbangan.
Mata dipejam rapat. Bila dia kelopak mata diangkat tinggi, ilusi itu menyerang kembali. Imbasan itu menerobos ruang kejadian di mana dia merasakan dirinya ditolak kuat dan terhumban ke lereng bukit, sebelum terdampar di atas jalanraya. Kesakitan menjalar ke segenap urat nadi dalam tubuh. Dia tidak mampu bergerak.
“Nenek! Kak Fina!” Humairah menjerit, namun tiada suara yang keluar. Seolah dia terkepung dalam dunia kalis bunyi.
Humairah layu di situ. Sakit seluruh tubuhnya belum cukup menandingi kesakitan kepala yang bagai hendak pecah. Lama kelamaan mata itu ikut layu. Tertutup rapat.

“MAI, bangun! Dah subuh ni. Nenek panggil solat berjemaah.” Afina mengetuk pintu bertalu-talu. Menunggu lama di situ tanpa sebarang sahutan dari dalam menghairankan Afina. Selalunya, ketuk sekali dua, Humairah sudah tersembul di ambang pintu. Ini jangankan nampak muka, menyahut pun tidak.
            Afina memulas tombol pintu. Lampu menyala terang-benderang. Diamati persekitaran bilik itu. Humairah tidak ada atas katil. Mandi agaknya, fikir Afina. Sebaik sahaja ternampak susuk tubuh Humairah tertiarap atas lantai, di sebelah meja solek, Afina berkejar mendapatkan Humairah.
            “Mai! Bangun!” Afina menepuk pipi Humairah.
            Lama Humairah berkeadaan begitu sebelum mata itu terbuka perlahan-lahan.
            “Kak Fina...” Bibir itu bergerak-gerak.
            Afina menggeleng kepala. “Macam mana boleh berguling sampai sini? Ni, siap dengan selendang lagi ni.” Afina membantu Humairah bangun.
            “Mai... Mai...” Bicara Humairah tersekat-sekat. Dia tidak ingat bila dunia dia gelap sepenuhnya.
            “Cepat, nenek tunggu tu.”
            “Nak pergi mana?” tanya Humairah.
            “Pergi solat berjemaahlah. Kan dah subuh ni.”
            “Mai tak boleh sembahyang,” beritahunya.
            “Hmm... patutlah berguling atas lantai. Senggugut ke?”
            Humairah menggeleng.
            “Pergilah tidur atas katil tu hah. Kak Fina nak sembahyang ni. Kang nenek membebel kat bawah.” Afina memapah Humairah naik atas katil. Tubuh itu diselimuti dengan comforter tebal.
            Humairah kembali celik bila seluruh ruang biliknya bergelap. Terkebil-kebil pandang siling. Kenapa imbasan itu datang kepadanya? Datangnya disertai kesakitan yang mencucuk di kepala. Hampir putus nafas dia.

            Humairah kalih ke sisi pula. Fikiran dia kosong!

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Dua entri okayy hari ni :) Eh eh, kite dah dapat tajuk baru untuk ganti tajuk sedia ada KPHM. Tajuk baru- Tanpa Batas Waktu.Okey ke tak eh? Hurmmmm :) Btw, next entri auto publish. Kite dah set hari Rabu every week. Sudi-sudi laa terjahh yeayyy! :) Tata!

6 comments:

ilman_nafi@ said...

salam :)
novel ni habih kat blog or akn dipublish eh??

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ilman_nafi

Waalaikumsalam :) sama ada habis dekat blog atau pblish dlm bntuk buku tu tak pasti laa :) lgpon mss nye tak siap lagi.

Btw..thanks ye selalu drop sini.sgt mnghargai :)

Siti Mahizan ( Ayra Zahra ) said...

jeng jeng jeng..cepat sambung beb..:D

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ayra

Rabu weyyy hihi ;)

baby mio said...

Best.

~::HANAH RISHAS::~ said...

@baby mio

Hi! :) thanks sudi mengikuti riwayat humaira ;)