"...You don't need a shoulder to cry on when you have the ground to put your head down in complete submission to the only One who give you ease..."
Bab 30
KECOH satu kedai
bila dia muncul pagi itu dengan balutan di kepala. Yang paling bising tentulah
Puteri. Laju macam bullet soalan Puteri lempar padanya. Sampai naik pening
hendak jawab yang mana dulu. Azfari pun ikut sama naik. Orang lain bertanya,
dia pun buka mulut menyoal. Kes Azfari- suka bertanya pada perkara yang telah
diaju Puteri, Farah, Abang Malek atau kedua pekerja yang lain.
Petang itu, pulangnya bersama Farah.
Sampai sahaja depan pintu pagar, pandangan mata dijamu oleh susuk tubuh yang
begitu dikenali. Hanya mampu hela nafas panjang tanda kurang senang. Eh, lupa
pula. Ini kan rumah makhluk itu. Jadi makhluk itu boleh datang sesuka hati dia.
Humairah mengatur langkah menyusuri
pondok kayu yang diduduki Fadzlan. Ekor mata menyoroti Fadzlan yang kelihatan
begitu tekun membaca suratkhabar sampai tak toleh kiri kanan, atau sebenarnya
lelaki itu sengaja tak luaskan penglihatan? Maklumlah, kalau meliar sangat mata
tu, nanti bertembung mata dengan dia.
“Eh, Mai dah balik. Naik Farah ye?”
Engku Zubaidah menegur sebaik susuk tubuh Humairah terjamah mata.
Humairah membalas dengan senyuman
menguntum. Dia angguk kepala.
“Mai, tolong nenek bawakan air ni
untuk Lan kat depan sana,” pinta Engku Zubaidah.
Ah, sudah! Nenek tidak ingat ke
malam tadi bukan main menyinga si Lanlan itu. Siap melempar kata yang mengguris
kecil hatinya yang lembut ini. Silap-silap nanti air itu bertukar jadi pahit
kalau dia yang beri kepada Fadzlan.
“Nenek ada kerja sikit kat dapur,” pantas
Engku Zubaidah berkata bila menyedari Humairah diam tidak berkutik.
Dengan malas, Humairah mengangguk.
Engku Zubaidah senyum lebar. Terus
berlalu ke dapur. Walhal, di dapur, tiada kerja yang perlu diselesaikan.
Sengaja meminta Humairah menghantar minuman kepada Fadzlan. Seperti Afina, dia
turut punya misi yang sama. Niatnya hanya satu, mahu mengembalikan hubungan
yang pernah terbina antara Fadzlan dan Humairah.
Derap kaki yang semakin mendekat itu
menarik perhatian Fazlan. Sepintas lalu dia menoleh.
“Nenek buatkan air,” kata Humairah
sebaik kaki memaku di depan Fadzlan.
Fadzlan tidak menyahut. Paling muka
pun tidak.
Humairah gigit bibir. Apa dia ingat
aku ni patung? Ke halimunan? Humairah mendongkol geram. Meski geram
membuak-buak, namun dia tetap pelihara sikapnya. Tidak pula main hempas-hempas
gelas sewaktu meletaknya di depan Fadzlan.
“Kepala kau dah okey?”
Pertanyaan itu mematikan langkah
Humairah. Terkebil-kebil dia dengan mata terbuka luas.
“Dah... dah...” jawabnya gagap.
Fadzlan berdehem. Kembali menatap
tulisan-tulisan yang pelbagai saiz depan mata.
“Baguslah. Lain kali kau jaga diri.
Jangan sampai kena ragut lagi.” Bicara Fadzlan pecah lagi.
Humairah mengangguk laju. Selepas
itu, panjang langkah dia masuk ke dalam rumah, naik ke tingkat atas dan menuju
ke biliknya. Pintu ditutup dan dikunci dari dalam.
Beg dicampak atas katil. Langsir
jendela diselak sedikit. Pandangan mata dilontar ke luar. Dari atas, dia nampak
Engku Zubaidah mendekati Fadzlan.
Dia tidak rasa kata-kata berupa pertanyaan
dan ingatan itu datang dari hati ikhlas Fadzlan. Yakin benar yang nenek paksa
Fadzlan berkata sedemikian. Langsir dilepaskan. Dia menghampiri katil lalu
merebah tubuh di atasnya. Mata tertancap ke siling. Dalam fikiran yang sedang
bergelimpangan segala macam perihal, otak memfokus satu wajah yang tiba-tiba
muncul dicelah-celah keserabutannya.
“Rosnah.” Nama itu menggeluti bibir
Humairah.
Sementara di pondok kayu, Engku
Zubaidah sedikit senang hati melihat Fadzlan menegur baik Humairah tadi. Walau
hakikat Fadzlan dipaksanya berkelakuan begitu, mujurlah anak muda itu menurut.
Engku Zubaidah meleret pandangan ke arah Fadzlan.
“Kan elok kalau Lan cakap baik-baik
dengan Humairah macam tadi tu,” kata Engku Zubaidah. Fadzlan tidak membalas.
Senyap seribu bahasa. Dek kerana mengenang keterlanjuran sikap biadapnya
terhadap Engku Zubaidah malam tadi, diikutkan kehendak neneknya itu.
Surat khabar dilipat lalu dihulur
kepada Engku Zubaidah. Gelas minuman tadi langsung tidak berusik. Hanya
dipandang saja.
“Lan nak ke mana?” soal Engku
Zubaidah sebaik Fadzlan bangkit dari tempat duduknya.
“Lan nak balik. Dah petang dah ni.”
Fadzlan menjawab.
Wajah Engku Zubaidah kembali keruh.
“Cepatnya Lan nak balik. Tunggulah
makan malam sekali dengan nenek. Dengan Humairah.” Engku Zubaidah memujuk.
Fadzlan menggeleng halus. “Tak
apalah, nek. Lan makan kat rumah dengan Kimi aje. Izhar pun ada sekali.”
“Sampai hati Lan buat nenek macam
ni. Macam dah tak mahu jumpa nenek aje.” Engku Zubaidah berjauh hati. Lontar
pandangan mata ke depan sana. Tubir mata dirasakan hangat. Tingkah Fadzlan
menjentik tangkai hati dia.
“Datang sekejap-sekejap. Lepas tu,
balik.” Omongan Engku Zubaidah tidak berhenti takat itu sahaja. Malah
terus-terusan mendera hati Fadzlan yang kian berbaur riak bersalah. Teringat
perbuatan sendiri semalam.
“Nek, Lan tak terfikir pun macam
tu.” Fadzlan kembali duduk di sisi Engku Zubaidah.
“Lan makan malam kat sini ya.”
Fadzlan garu kepala. Masih tiada jawapan. Geleng tidak, angguk apatah
lagi.
SAMBIL menyanyi
kecil rentak lagu Please Forgive Me nyanyian Bryan Adams, Humairah mengira anak
tangga menuju ke tingkat bawah. Seperti kebiasaan, dia akan membantu Engku
Zubaidah menyediakan makan malam.
Sedang leka melayan lagu dalam
kepala, berpusing-pusing penuh emosi menjiwai lagu berentak sentimental itu,
tubuhnya terdorong ke belakang bila terlanggar sesuatu yang tinggi dan keras.
Terbuntang mata melihat batang tubuh Fadzlan depan mata.
Keduanya saling berpandangan. Fadzlan
dengan kening bertaut, manakala Humairah bermimik muka terkejut, mulut
membentuk huruf ‘O’.
“Sorry...” ucap Humairah sepatah.
Lekas angkat kaki dan meninggalkan Fadzlan yang masih memandang dia. Bukan
mamat tu dah balik ke tadi? Dia garu kepala. Eh! Ya Allah! Patutlah dia rasa
Fadzlan pandang dia semacam, rupa-rupanya...
Humairah menyongsang arus. Pantas berlari ke arah tangga. Dan di situ,
dia terlanggar Fadzlan lagi. Tetapi kali ini dia tidak sempat hendak
lawan-lawan mata, renung lama-lama, atau hulur kata maaf kerana dia perlu naik
bilik, ambil selendang tutup kepala yang terdedah.
Fuh! Humairah hela nafas panjang. Kan tak pasal-pasal Fadzlan dapat
tengok tayangan percuma. Humairah menggigit bibir. Nak salah kan Fadzlan pun,
bukan salah lelaki itu. Salah diri sendiri. Eh, tapi salah Fadzlan pun ya.
Kenapa tak bagi isyarat menunjukkan bahawa lelaki itu wujud di sini? Heh!
Humairah kembali atur langkah ke bawah. Dan kali ini lengkap berselendang.
Mujur dia tak sarung seluar pendek macam selalu.
Humairah berjalan menuju ke ambang pintu yang menjadi laluan ke ruang
dapur. Terdengar suara Engku Zubaidah sedang berbual-bual dengan seseorang.
Fadzlanlah tu, siapa lagi! Humairah jinjit kaki. Hanya kepala dia sahaja yang
tersembul di situ.
“Mai! Kenapa mengintai kat situ? Marilah,” panggil Engku Zubaidah. Tangannya
melambai-lambai ke arah Humairah.
Lambat-lambat Humairah atur langkah mendekati Engku Zubaidah yang sibuk
di singki bersama sebekas udang yang belum dibersihkan lagi. Kebiasaan begini,
hidangan makan malam hampir siap. Ini, satu benda pun tak terhidang lagi.
“Nek, nak Mai tolong apa-apa tak?” soal Humairah. Tertinjau-tinjau
keadaan dapur yang nampak sedikit berselerak. Ini bukan gaya nenek memasak ni,
desis hati Humairah.
“Hah, Mai tolong kopek kulit udang ni ya.” Lekas Engku Zubaidah membersihkan
tangannya yang berbaur sedikit hanyir. Sesudah itu, dia lap tangan menggunakan
kain putih di atas dapur.
“Hari ni kita merasa air tangan orang lain tau,” kata Engku Zubaidah
sambil senyum-senyum.
“Eh, bukan nenek ke yang selalu masak? Ke nenek ada pasang maid?” Teka
Humairah. Degil pulak kulit udang ni nak tanggal. Kepala tanggal, kulit masih
melekat.
“Chef Fadzlan masak hari ni.” Lebar senyuman Engku Zubaidah kala itu.
Humairah sudah kerut dahi. Chef Fadzlan? Fadzlan tadi tu ke? Lanlan?
Bertubi-tubi soalan dia aju kepada diri sendiri.
“Lan ke nek?” tanyanya lagi.
“Kenapa? Kau tak percaya kalau aku
ni boleh memasak?” Fadzlan menjerkah tiba-tiba. Datangnya entah dari mana.
Terbejat perbuatan Humairah. Dan-dan seekor udang yang dipegangnya terpelanting
keluar dari singki dan menjunam jatuh ke lantai.
Engku Zubaidah tertawa gelihati.
Lain pula dengan Fadzlan. Lelaki itu mengerling tajam ke arah Humairah. Serba
tidak jadi pekerjaan Humairah.
“Mai, Lan, nenek nak mandi sekejap
ye.” Engku Zubaidah berlalu pergi sebaik sahaja melontar kata-kata itu.
Nenek! Nenek, tolong jangan pergi!
Suara hati Humairah meronta-ronta menjerit memanggil Engku Zubaidah. Matilah
dia di sini. Meliar mata cari pisau. Hah, sebelah sana tu. Betul-betul tepi
tangan kekar Fadzlan. Dibuatnya lelaki itu naik gila, terus hunus pisau bermata
tajam itu ke dada dia, macam mana? Bukan ke lelaki itu benci dia? Humairah
geleng kepala. Jauh benar dia berimaginasi.
“Kau jangan ingat aku tak reti
masak. Jangan pandang orang sebelah mata,” kata Fadzlan lagi. Sebelah tangannya
memegang sudip mengacau sambal yang belum masak sepenuhnya. Aromanya juga belum
muncul.
Eh, mana ada cakap apa-apa. Dalam
hati pun tak ada terdetik! Humairah mendongkol dalam hati. Konon nak baca
fikiran orang.
“Kau buang kulit udang ke, kau
tangkap udang?” Fadzlan menjengah ke dalam singki. Masih berbaki banyak udang
yang belum dibuang kulitnya.
“Tu, ekor dia, janganlah kau cabut sampai togel. Buang kulit aje, ekor
dia biar macam tu,” tunjuk Fadzlan.
Humairah patuh pada arahan itu. Dia buang kulit dan cuba elakkan
daripada ekor udang itu ikut sama.
“Togel lagi!” dengus Fadzlan. Sakit mata dia lihat Humairah mengerjakan
udang-udang itu. Semua nampak togel sedang dia suka mengekalkan hujung ekor
udang itu. Biar nampak cantik bila dihidang nanti. Sekali-sekala, hendak tunjuk
skill pada nenek juga.
“Kau tak boleh buat elok-elok eh? Macam ni...” Lincah tangan Fadzlan
menceraikan kulit udang tanpa menogelkan keseluruhan kulitnya. Tinggal ekor
secoit di hujungnya.
Humairah mencebik. “Buatlah sendiri. Kang saya buat, togel semuanya ha,”
balas Humairah.
Kasar helaan nafas Fadzlan menjengah jendela telinga Humairah.
Terherot-herot mulut Humairah mengajuk mimik muka Fadzlan yang serius itu.
“Kau pulak buat. Ada lagi dua tiga ekor aku tinggalkan khas untuk kau.
Buat sekarang.” Tegas Fadzlan.
Mahu tidak mahu, Humairah turutkan juga. Tiga ekor aje pun. Apa susah.
Kasi tanggal semua. Bukannya chef tak bertauliah itu tahu pun. Humairah gelak
dalam hati. Sedang dia tekun membersihkan udang-udang itu, hujung selendangnya
jatuh ke bawah dan hampir menyentuh air basuhan udang itu.
“Leceh betullah!” gumam Humairah. Naik teleng kepala dia. Nanti kalau
dia basuh tangan, memang basahlah selendang dia. Hisyy... inilah masalah kalau
ada manusia bukan muhrim dalam rumah mereka. Memang payah!
Humairah tersentak kala merasakan ada tangan menyentuh hujung
selendangnya lalu disangkut kembali ke bahu. Bila dia toleh, dia nampak muka
Fadzlan yang tidak beriak apa pun. Lelaki itu hanya pandang dia. Pandangan yang
kosong. Humairah terkebil-kebil.
Suasana yang dingin tadi bertukar hangat. Peluh di dahi kian ketara.
Humairah merasakan haba mengalir di seluruh tubuhnya, naik ke kepala. Hati resah
sendiri tanpa sebab nyata. Melihat ke dalam kolam mata Fadzlan, seolah
mendasari satu jiwa yang lain, yang ada dalam dirinya. Malah, seputar imbasan
bermain depan mata. Ilusi itu bagai pernah dilalui dia tetapi dia tidak ingat!
Humairah memegang kepala yang masih berbalut. Picitan perlahan itu atas desakan
sakit yang datang menyerang kepala dia.
“Kau okey ke tak?” Fadzlan menunjukkan bunga-bunga prihatinnya kerana
dia menyedari ada sepasang mata memerhati di sana. Harus ditunjukkan sedikit ‘kebaikan’
dia. Gara-gara keterlanjuran dia melukakan hati nenek, maka dia akan tebus
kesalahan itu. Nenek bentangkan satu permintaan. Permintaan yang sukar untuk
dia penuhi- Layan Humairah dengan baik. Walau tunjuk baik, gaya dia masih sama-
KAYU!
Humairah angkat tangan tanda dia baik-baik saja. Pantas menghabiskan
kerja-kerja membersihkan udang tadi apabila terdengar suara Fadzlan meminta.
FADZLAN terpaksa,
dia tahu itu. Fadzlan sengaja tunjuk ambil berat di ruang dapur itu, dia juga
sedar kerana dialah yang memaksa Fadzlan bersikap begitu. Kuasa veto digunakan
sepenuhnya. Perancangan dia dan Afina harus berjalan lancar. Apa pun jadi,
hubungan keduanya perlu dipulihkan.
Panjang leher Engku Zubaidah menjenguk ke dapur. Senyum-senyum dia lihat
keadaan di ruang itu. Macam budak main masak-masak. Kejap-kejap dia dengar
suara Fadzlan mendengus geram. Ada ketika gegendang telinga diketuk bebelan dan
rungutan Humairah. Senario itu menggundang ketawa Engku Zubaidah.
“Dorang okey ke nek?” aju Afina di hujung talian.
“Nenek tak rasa mereka tu baik sangat. Tapi nenek dah paksa Lan
baik-baik dengan Humairah tu.” Engku Zubaidah memberitahu. Tetapi kejadian yang
menimpa Humairah kelmari tidak disampaikan kepada Afina. Marahnya Afina bukan
boleh dibendung. Dia juga perlu melindungi Fadzlan.
“Fina tak tahu dah nek, nak buat macam mana. Dan Fina tak pernah faham
kenapa Lan tu benci sangat kat Humairah.” Afina mengeluh berat.
“Insya-Allah, kita doakan moga hati Lan tu lembut, Fina. Mungkin dia tak
dapat terima kehilangan tu lagi.”
“Kita sama-sama doa ye nek.” Afina bersetuju.
Ekor mata Engku Zubaidah menyoroti ruang dapur. Sekejap-sekejap dia
nampak Humairah melintas. Berganti Fadzlan pula.
Engku Zubaidah kulum senyum. Jauh di sudut hati, dia merindui kenangan
dulu. Kenangan yang kini telah menjadi lipatan dalam persuratan hidup keluarga
mereka.
Bab 31
BERKALI-KALI Haikal
memisat mata. Betul ke apa yang dia lihat? Atau mimpi semata? Seseorang yang
duduk di ruang tamu itu ialah Humairah! Terkebil-kebil mata dia melorong ke arah
gadis yang kelihatan sedang leka membelek sesuatu di tangannya. Dalam langkah
yang cukup perlahan, Haikal mendekati Humairah. Makin dekat, makin jelas wajah
itu terbias di ruang mata. Sah, memang Humairah!
Humairah yang menyedari bunyi derap
kaki melangkah terus menoleh. Angkat muka perhatikan Haikal. Dia kulum senyum.
Haikal tidak dapat menahan debaran di dada saat terlihat senyuman itu seiring
dengan lesung pipit yang terbit di pipi kiri itu. Dan bila pandangan mereka
bersatu begitu lama, Haikal merasakan jatungnya luruh.
“A... Ara... Ara...” Bibirnya
bergerak-gerak menyebut nama itu. Nadanya cukup perlahan.
Dahi Humairah kian timbul
garis-garis halus. Diamati bunyi yang dilontar keluar oleh Haikal tetapi
jendela telinga tidak mampu mendengarnya.
“Haikal dah balik?” Rosnah menyapa
lembut.
Haikal yang leka memerhati lekas mematikan
lamunan sendiri. Ekor mata melorong kepada Rosnah. Riak wajah itu dilimpahi
keceriaan yang jarang-jarang dia lihat sebelum ini.
“Kamu baca apa tu, Humairah?” Rosnah
melabuh duduk hampir di sisi Humairah.
“Mmm... baca majalah...” Humairah
berjeda seketika. Membelek kulit majalah itu. Tertera Arena Sukan di situ.
Cukup besar. “Ini. Majalah sukan,” katanya.
Rosnah kulum senyum. Paras Humairah
ditatap lama. Kemudian renungannya berkalih pada Haikal yang masih memakukan
diri di tengah-tengah rumah. Rosnah naik hairan.
“Kal, buat apa berdiri situ?” tegur
Rosnah.
Cepat-cepat Haikal panjangkan
langkah. Ikut serta dalam perbualan yang dia tidak tahu hujung pangkalnya.
Dalam diam, dia kerling Humairah. Dia perhatikan wajah itu. Dari mata, turun ke
batang hidung. Jatuh pula ke bibir dan tertancap pada lesung pipit yang muncul
kala Humairah ukir senyum.
Haikal tahan debar yang menggila. Ya
Tuhan, sungguh gadis di depannya ini menyerupai Humairah. Benarkah dia bukan
Humairah mereka yang telah hilang beberapa tahun dulu? Haikal menguak rambut
sampai ke ubun-ubun.
Humairah membelek jam tangan. Sudah
menginjak ke angka tujuh setengah malam. Dia kata pada Engku Zubaidah, dia ikut
Farah keluar. Pada Farah, dia beritahu hendak pergi ke rumah kawan. Farah jenis
yang tidak banyak mulut, maka mengangguk sahaja. Hakikatnya, hati dia terlalu
mendesak dia datang ke rumah yang didiami Haikal dan Rosnah. Dan akhirnya, dia
memijak kaki ke rumah ini selepas empat puluh lima minit perjalanan. Malam
Haikal hantar dia pulang, dia sempat meminta alamat rumah Haikal. Jadinya, dia
tunjuk sahaja sekeping kertas kepada teksi, dan sampailah ke sini.
“Nenek, saya rasa saya kena
baliklah. Dah malam. Nanti family risau pulak,” kata Humairah.
“Balik dengan apa ni?” Rosnah
bertanya.
“Pakcik teksi tadi tunggu saya,”
jawab Humairah.
Rosnah mengangguk perlahan.
Mengiringi Humairah sampai di ambang pintu. Di luar pagar, ada sebuah teksi
sudah menanti.
“Terima kasih banyak-banyak sebab
keluarga nenek dah tolong saya hari tu,” tutur Humairah dalam senyum manis.
Melontar pandangan mata ke dalam sana. Dia nampak susuk Haikal duduk
membelakangi dia.
“Saya balik dulu ya. Insya-Allah,
nanti saya datang lagi.”
Rosnah hanya memerhati. Ketika
Humairah menyalami tangan dia, dada sebak tiba-tiba. Apatah lagi melihat
Humairah melambai-lambai ke arah dia sebelum gadis itu hilang ditelan perut
kereta.
Ara... Hati Rosnah berbisik.
“Nek, dah lama ke dia sampai tadi?”
Setelah hampir sepuluh puluh minit mengunci mulut, baru kini dengar suara
Haikal.
“Tak lama. Lebih kurang setengah
jam,” jawab Rosnah seraya menghela nafas panjang.
“Kalaulah dia tu Ara,” keluh Rosnah.
Tubuhnya tersandar di bingkai pintu yang terbuka luas. Melebar pandangan yang
telah ditelan kegelapan malam. Kini cahaya lampu-lampu jalan menabiri keindahan
itu.
Haikal merenung Rosnah. Keceriaan
tadi telah hilang. Sepenuhnya. Berganti wajah yang sering dilihat sejak
Humairah hilang tanpa berita.
Bahu Rosnah dipaut erat.
“Jom kita masuk, nek.” Haikal
mengajak. Lengan Rosnah dipegang lalu menarik wanita tua itu mengikut dia masuk
ke dalam. Pintu rumah ditutup rapat.
SELESAI mandi,
Humairah merebah badan atas tilam. Mujur hari ini dia cuti. Cuti yang diberi
setiap bulan. Tidaklah dia terkejar-kejar bersolat sewaktu pulang dari rumah
Haikal dan Rosnah tadi.
Sampai-sampai depan pintu rumah, dia
nampak kereta Afina. Wah, mencicit dia berlari masuk ke dalam. Rupanya Afina
balik awal. Lihat dia yang baru nampak batang hidung ketika malam menjengah
bumi, Afina menyoal panjang lebar. Sempat lagi Afina membebel. Nasiblah Engku
Zubaidah tolong back-up dia.
Pintu bilik diketuk bertalu-talu,
disertai sayup-sayup kedengaran suara Afina memanggil nama dia.
“Masuklah, Kak Fina! Mai tak kunci
pintu tu,” sahut Humairah. Segera bangkit dari pembaringan dan duduk berteleku
atas katil.
Afina menolak daun pintu. Berkeriuk
bunyinya. Selangkah demi selangkah dia mengatur langkah. Kemudian labuh
duduknya di depan Humairah. Sebuah beg dihulur kepada Humairah. Humairah
memandang pelik.
“Apa ni? Buah tangan eh?” Humairah
meneka. Kening diangkat tinggi. Seulas senyuman menghiasi bibir.
“Iyelah. Hari tu, Mai jugak yang
minta Kak Fina belikan ole-ole. Tu, Kak Fina dah beli dah,” kata Afina.
Bibirnya terjuih-juih ke arah beg kertas di tangan Humairah.
“Serius?!” Humairah mula teruja.
“Seriuslah.” Afina membalas.
Tersenyum sendiri melihat kelakuan Humairah yang rakus menyelongkar beg kertas
depan mata.
“Cantiknya!”
Humairah menjerit kuat. Sehelai selendang dililit ke bahu. Siih berganti
pandang Afina yang melarik senyum lagi.
“Kak Fina tak tahu nak belikan apa.
Lepas tu, Kak Fina nampak selendang ni, terus ambil. Kan Mai suka kumpul
selendang,” kata Afina. Mampu tarik nafas lega bilalihat Humairah begitu
gembira dengan pemberian dia yang tidak seberapa itu.
“Terima kasih, Kak Fina,” ucap
Humairah bersama senyum yang belum mati.
Afina mengangguk. Diperhati gelagat
Humairah yang menggayakan selendang itu di dikepala. Nampak elok terletak di
situ. Manis. Sedang ralit memerhati, Afina menyedari sesuatu berbekas di dahi
Humairah. Terlindung di sebalik anak rambut. Afina mengengsot menghampiri
Humairah. Tangannya menguak anak rambut gadis itu.
“Kenapa dengan dahi ni?” soal Afina.
Puas dibelek dahi itu. Lukanya nampak dalam. Malah luka itu belum sembuh
sepenuhnya. Seperti Humairah mengalami kecelakaan dalam waktu terdekat.
Ah, dah nampak pulak! Humairah
menggumam dalam hati.
“Dahi ni, kenapa boleh luka? Teruk
ni lukanya.” Afina masih gigih menilik. Doktor katakan.
“Aaa... ini... hari tu Mai jatuhlah.
Tergolek atas lantai langgar dinding,” bohongnya.
Afina merenung Humairah. Mengecil
matanya.
“Ke Lan ada buat apa-apa kat Mai?”
Afina curiga.
Humairah pantas menggeleng. “Eh,
tak... tak. Ini jatuh sendiri ni.”
Kelam-kabut dia menjawab. Dia bukan jahat sangat sampai nak lapor semua
kejadian kepada Afina. Dia tahu Afina tegas dan garang pun ya. Dibuatnya Afina
tahu apa yang telah terjadi kepada dia, mahu waktu-waktu ini juga Fadzlan di
arah datang ke sini menghadap maharani cantik ini. Nanti makin bertimbun-timbun
marah Fadzlan padanya.
“Sepanjang Kak Fina tak ada ni, Lan ikut tak apa yang Kak Fina suruh dia
buat?” Afina mula mengaju soalan.
Kepala diangguk laju dengan harapan Afina tidak akan bertanya lebih
lanjut tetapi sia-sia. Afina terus melontar soalan sehingga dia berfikir banyak
kali sebelum menjawab. Takut terbelit lidah sendiri. Dari cara dia, macam
melindungi Fadzlan pun ada. Iyalah, Fadzlan tu asyik dipaksa-paksa hadap muka
dia walau lelaki itu tidak pernah sudi.
“Lan tak ada merungut apa-apa ke?” Tidak lepas mata Afina melihat luka
di dahi Humairah.
Humairah geleng kepala.
“Ni dah pergi klinik ke?”
Lega betul bila Afina tidak membangkitkan isu Fadzlan lagi.
“Dah. Doktor cakap luka sikit aje.”
“Luka sikit? Dalam lukanya ni Mai. Doktor mana Mai jumpa ni?” Afina
tidak puas hati.
“Tu ha, alah... Mai pergi klinik yang kat area tempat Mai kerja tu.”
Laju Humairah menjawab.
“Mai jatuh kat mana ni? Rumah ke kat tempat kerja?”
“Kat kedai.”
“Lah, Kak Fina ingat Mai jatuh kat rumah. Patutlah nenek tak ada cakap
apa-apa,” omel Afina.
“Lepas jatuh, hari-hari lepas tu Mai ada sakit kepala tak? Pening-pening
ke?”
“Tak. Mai rasa okey aje.”
Afina tarik nafas dalam.
Humairah kehairanan. Sakit kepala? Rasanya dia tidak sakit kepala akibat
hentakan kecelakaan itu. Namun dia menyedari yang dia akan mengalami sakit
kepala yang maha dahsyat ketika otaknya bekerja keras memproses maklumat yang
disalurkan melalui imbasan atau ilusi dalam sedar. Dan Afina tidak pernah tahu
keadaan itu. Dia cuma pernah bercerita tentang mimpi yang dia alami sebelum
ini.
“Kak Fina nak masuk tidur dululah. Letih sangat,” ujar Afina. Dia
berdiri dan mengeliat. Merenggangkan tulang-belulang yang bersimpul sana sini.
“Selamat malam, Kak Fina,” ucap Humairah. Menyaksikan Afina berlalu
keluar dari biliknya.
Selajur, dia melompat turun dari katil. Bersama selendang pemberian
Afina tadi, dia berdiri di depan cermin. Selendang itu dipakai di kepala. Lilit
dan pusing-pusing sahaja. Sesudah itu, dia perhati cermin yang memantulkan imej
dirinya. Humairah tersengih-sengih. Selendang itu nampak ‘ngam’ dengan dia.
Terletak elok sahaja. Boleh pakai raya nanti. Humairah meleret sengih lagi.
“Ara...”
Satu suara berdesir halus di telinga.
Humairah tersentak. Dia pandang kiri
kanan. Suara siapakah itu?
“Ara..”
Sekali lagi, suara itu menjengah
telinga sepintas lalu. Sepantas pancaran halilintar yang membelah bumi. Sejurus
suara itu menghilang, Humairah merasakan pandangannya dikaburi ilusi yang tidak
pernah menjelma sebelum ini. Disertai denyutan kuat di kepala. Humairah menggerang
kesakitan. Tidak tertahan kesakitan yang sedang dia alami. Tubuh itu jatuh ke
lantai. Butir-butir peluh kian membasahi dahi. Detakan jantung bagai ritma yang
tidak punya keseimbangan.
Mata dipejam rapat. Bila dia kelopak mata diangkat tinggi, ilusi itu
menyerang kembali. Imbasan itu menerobos ruang kejadian di mana dia merasakan
dirinya ditolak kuat dan terhumban ke lereng bukit, sebelum terdampar di atas
jalanraya. Kesakitan menjalar ke segenap urat nadi dalam tubuh. Dia tidak mampu
bergerak.
“Nenek! Kak Fina!” Humairah menjerit, namun tiada suara yang keluar.
Seolah dia terkepung dalam dunia kalis bunyi.
Humairah layu di situ. Sakit seluruh tubuhnya belum cukup menandingi
kesakitan kepala yang bagai hendak pecah. Lama kelamaan mata itu ikut layu. Tertutup
rapat.
“MAI, bangun! Dah
subuh ni. Nenek panggil solat berjemaah.” Afina mengetuk pintu bertalu-talu.
Menunggu lama di situ tanpa sebarang sahutan dari dalam menghairankan Afina.
Selalunya, ketuk sekali dua, Humairah sudah tersembul di ambang pintu. Ini
jangankan nampak muka, menyahut pun tidak.
Afina memulas tombol pintu. Lampu
menyala terang-benderang. Diamati persekitaran bilik itu. Humairah tidak ada
atas katil. Mandi agaknya, fikir Afina. Sebaik sahaja ternampak susuk tubuh
Humairah tertiarap atas lantai, di sebelah meja solek, Afina berkejar
mendapatkan Humairah.
“Mai! Bangun!” Afina menepuk pipi
Humairah.
Lama Humairah berkeadaan begitu
sebelum mata itu terbuka perlahan-lahan.
“Kak Fina...” Bibir itu
bergerak-gerak.
Afina menggeleng kepala. “Macam mana
boleh berguling sampai sini? Ni, siap dengan selendang lagi ni.” Afina membantu
Humairah bangun.
“Mai... Mai...” Bicara Humairah
tersekat-sekat. Dia tidak ingat bila dunia dia gelap sepenuhnya.
“Cepat, nenek tunggu tu.”
“Nak pergi mana?” tanya Humairah.
“Pergi solat berjemaahlah. Kan dah
subuh ni.”
“Mai tak boleh sembahyang,”
beritahunya.
“Hmm... patutlah berguling atas
lantai. Senggugut ke?”
Humairah menggeleng.
“Pergilah tidur atas katil tu hah.
Kak Fina nak sembahyang ni. Kang nenek membebel kat bawah.” Afina memapah
Humairah naik atas katil. Tubuh itu diselimuti dengan comforter tebal.
Humairah kembali celik bila seluruh
ruang biliknya bergelap. Terkebil-kebil pandang siling. Kenapa imbasan itu
datang kepadanya? Datangnya disertai kesakitan yang mencucuk di kepala. Hampir
putus nafas dia.
Humairah kalih ke sisi pula. Fikiran
dia kosong!
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Dua entri okayy hari ni :) Eh eh, kite dah dapat tajuk baru untuk ganti tajuk sedia ada KPHM. Tajuk baru- Tanpa Batas Waktu.Okey ke tak eh? Hurmmmm :) Btw, next entri auto publish. Kite dah set hari Rabu every week. Sudi-sudi laa terjahh yeayyy! :) Tata!
6 comments:
salam :)
novel ni habih kat blog or akn dipublish eh??
@ilman_nafi
Waalaikumsalam :) sama ada habis dekat blog atau pblish dlm bntuk buku tu tak pasti laa :) lgpon mss nye tak siap lagi.
Btw..thanks ye selalu drop sini.sgt mnghargai :)
jeng jeng jeng..cepat sambung beb..:D
@ayra
Rabu weyyy hihi ;)
Best.
@baby mio
Hi! :) thanks sudi mengikuti riwayat humaira ;)
Post a Comment