"...Your souls are precious and can only be equal to the price of Paradise. Therefore sell them only at that price..." - Ali ibn Abi Talib
Bab 32
AFINA menjengah ke
luar tingkap. Lama dia memerhatikan Humairah yang duduk termenung di pondok
kayu. Sudah lebih dua jam Humairah berkeadaan begitu. Hanya sesekali gadis itu
bangkit dan berjalan perlahan ke arah bunga-bungaan cantik di dalam pasu
sebelum kembali berteleku di pondok itu.
“Nek, kenapa dengan Mai tu?” Afina
membantu Engku Zubaidah menyediakan minum petang buat mereka tiga beranak.
Engku Zubaidah panjangkan leher.
Mengintai Humairah di sebalik tingkap yang terbuka luas.
“Bukan selalu Mai memang suka duduk
berangan macam tu ke?” Engku Zubaidah memulangkan pertanyaan.
Afina menarik nafas. Lirikan mata
masih memicing ke arah Humairah. Ya, memang tidak dinafikan Humairah sering
berkelakuan begitu. Suka duduk seorang diri dan termenung bukan main panjang.
Entah ke planet mana sampainya gadis itu. Tetapi, kali ini Afina seolah merasa
kelainan tentang Humairah. Asing.
“Angin kus-kus agaknya. Kan Fina
kata dia tengah period.” Engku Zubaidah hulur senyum. Tidak mengesyaki apa-apa.
Afina menarik kerusi. Duduk di situ
dengan perhatian penuh terhadap Engku Zubaidah.
“Nek, patut ke Fina buka cerita
pasal Mai?” Afina menongkat dagunya. Sebuah keluhan berat meniti bibir mungil
gadis berusia lewat dua puluhan itu.
“Pasal apa?” soal Engku Zubaidah.
Sibuk betul dia mengemas ruang dapur. Sebelah tangan memegang kain mengelap
kesan-kesan minyak di atas dapur masak.
“Pasal Mai. Siapa Humairah sebelum
dia hilang semua ingatan dia.” Satu per satu Afina sebut. Betul-betul tersusun.
Selajur, Engku Zubaidah merentap
renungan yang terarah padanya. Kening itu hampir bercantum. Dahi yang sedia
terlukis kedut-kedut semakin dalam kedutannya.
“Jangan!” tegah Engku Zubaidah.
“Tapi kenapa nek? Sampai bila kita
nak biar dia hidup dalam kenangan yang kita bina untuk dia?” Bersungguh-sungguh
Afina berkata.
Engku Zubaidah terdiam. Lidahnya
bagai disimpul ketat. Tiada kata yang diucap melainkan anak mata melorong ke
arah Afina.
“Dia akan menderita, Fina.”
“Kita tak adil pada dia, nek.”
“Fina tak ingat apa yang terpaksa
dia lalui sebelum ni?” Engku Zubaidah masih mahu mempertahankan bicara yang
telah dia pegang beberapa tahun ini. Humairah sekarang tidak perlu tahu kisah
yang telah terpadam dari ingatan gadis itu. Humairah sekarang perlu hidup
dengan bahagia tanpa perlu menanggung keperitan jiwa sendiri.
Engku Zubaidah menghampiri Afina.
Bahu Afina diusap lembut. Afina mendongak pandang neneknya yang memaksa bibir
tua itu ukir senyum padanya.
“Fina kena simpan apa yang Fina tahu
sampai bila-bila. Fina kunci kepada semua ingatan Humairah.”
Kunci? Afina merasakan perkataan itu terlalu berat buat dia. Sememangnya
dialah yang mengetahui diri Humairah yang sebenarnya sebelum ingatan gadis itu
diragut sepenuhnya.
Engku Zubaidah menyedari beban di bahu Afina. Sungguh, dia lakukan semua
ini demi Humairah. “Bukannya nenek berlaku tidak adil terhadap Humairah tapi
nenek nak lindungi dia. Nenek sayang Humairah tu, Fina. Macam mana nenek sayang
Fina dan Lan, macam itulah jugak nenek sayang Humairah.”
Afina memegang kepala, manakala sikunya dipacak ke meja. Mata menekur
meja yang hitam berkilat.
LONJAKAN hati tidak
pernah dia fahami sejak kebelakangan ini. Dia bagai ditarik-tarik untuk memijak
kaki ke kawasan ini. Biar tidak menemui tuan rumah, hanya berdiri dan memerhati
dari jauh, itu cukup memadai bagi mengisi seruan yang semakin kerap menjengah ke
taman hati.
Humairah menebar pandangan ke arah
sebuah sederhana besar, berdinding biru lembut, beratap zink hijau dan berpagar
coklat gelap. Seorang wanita tua sedang terbongkok-bongkok membersihkan kawasan
halaman rumah yang padat ditumbuhi rumput-rumput halus menghijau. Kemudian,
datang seorang lelaki menghampiri, memicit bahu wanita itu sambil berbicara
diiringi senyum mesra. Wanita tua itu ialah Rosnah. Lelaki itu ialah Haikal.
Farah mengibaskan hujung tudung.
Naik rimas dia duduk bawah pokok. Biar redup tetapi suhu persekitaran agak
membahang meski sudah melepasi jam lima petang. Laksana berada di Gurun Sahara.
Sesekali ekor mata meleret pada Humairah yang berdiri kaku di hujung sana. Diam
tidak berkutik walau seinci. Farah mendegus rimas. Dia mendekati Humairah.
Turut melurut mata pada pandangan yang dilempar gadis itu.
“Kita buat apa datang sini?” tanya
Farah. Masih tidak berhenti mengibas hujung tudung.
Humairah senyap. Tajam renungan
menujah ke arah Rosnah dan Haikal.
Farah menggaru kepala. “Mai, kau ni
kenapa? Aku rasa macam cakap dengan angin kau tahu! Dari tadi aku tanya, kau
senyap aje,” omel Farah geram.
Humairah menoleh. Pandangan dia dan
Farah bersatu.
Farah bertambah pelik. Lain sangat
lontaran mata gadis itu terhadapnya. Seolah yang berada di depan mata dia
sekarang ini ialah seorang Humairah yang lain. Farah mengerutkan dahi.
“Kau okey?” soalnya lagi.
Humairah mengangguk perlahan.
Kembali melorong mata ke arah dua beranak yang dikenali seminggu lalu.
“Kau sembunyikan apa dari nenek dan
Kak Fina?” Farah membangkitkan isu pembohongan Humairah yang baru disedarinya.
Tadi, dia dengar Humairah memberitahu yang mereka hendak ke rumah Puteri. Belum
pun sampai ke rumah Puteri, awal-awal lagi Humairah mengajak dia ke satu
tempat. Dia pun ikut sahaja sampailah dia merasakan bahawa laluan yang dilalui
mereka kelihatan asing. Sudahnya mereka berdua duduk melangut di bawah pokok
yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan rumah kos sederhana.
Farah mendengus lagi. Sah dia cakap
dengan angin. Sepatah haram pun Humairah tidak menyahut. Dibiar soalan dia
dibawa melayang oleh udara yang bergerak.
“Mereka...” Humairah menuding ke
arah Rosnah dan Haikal.
Mengecil mata Farah. Mujur dia bawa
cermin mata. Kalau tidak, haram tak nampak!
“Siapa tu?” soalnya. Diperhati
wanita dan seorang lelaki yang sibuk membersihkan halaman rumah mereka.
“Kau kenal dorang ke, Mai?” Farah
masih ralit memerhati.
“Ya dan tidak,” jawab Humairah.
Farah angkat muka. Dia ketap bibir.
Mula lagi! Cakap tak pernah nak straight to the point. Ada sahaja jawapan
pilihan begitu.
“Kau ni kan, tak boleh ke bagi satu
jawapan aje? Nak jugak beri dua-dua,” gumam Farah. Gigi dikancing ketat.
“Ya, aku kenal dorang tu. Dan tidak,
aku tak kenal sebenar-benar dorang. Just met for a twice.”
“Macam mana kau kenal dorang tu?
Family angkat kau ke?”
Humairah terdiam. Terus mengalih
mata pada Farah.
Farah jungkit bahu. “What? Aku salah
cakap ke?”
Humairah segera geleng kepala.
Kata-kata spontan Farah bermain dalam kepala dan enggan langsung meminggir.
Keluarga angkat?
“Kita balik,” ajak Humairah.
Farah terpinga-pinga bila Humairah
menarik lengan dia. Humairah nampak tergesa-gesa.
“Weh, dah kenapa kau ni?
Perlahan-lahanlah sikit. Kang tergolek aku!” Farah membebel. Sakit lengan dia
ditarik-tarik macam guni beras.
“Kau ada nak singgah mana-mana tak?”
tanya Farah. Menghulur topi keledar kepada Humairah.
Humairah menggeleng. Terus melompat
naik motosikal milik Farah.
“Ni kena bayar lebih ni. Aku dah
macam kau punya pemandu tau,” senda Farah. Mula menekan starter motosikal.
Humairah tidak mengendah gurauan
Farah. Sebaliknya dia melempar pandangan ke arah rumah itu lagi. Memerhatikan
Rosnah yang kian hilang dari mata sebalik mereka masuk ke selekoh kanan, jalan
keluar dari taman perumahan itu.
Semakin jauh, semakin memberat hati
dia. Kenapa ni? Humairah menyentuh dada yang berdetak normal. Kenapa kau berat
wahai jantung? Kenapa ada beban yang bergayutan di situ?
ARA!
Rosnah bingkas berdiri. Haikal yang
turut membantu dia mencabut rumput-rumput liar ikut sama berdiri.
Terpinga-pinga perhatikan tingkah neneknya yang berjalan laju ke luar pintu
pagar yang terbuka luas.
“Nek, kenapa ni?” tanya Haikal.
Dicuit bahu Rosnah.
Rosnah membuang pandang ke kiri dan
kanan. Seolah sedang mencari sesuatu.
“Ara.” Nama itu terpacul kelaur dari
mulut Rosnah.
Berkerut dahi Haikal. Ara? Spontan,
dia melurut mata ke depan sana. Diikuti kiri dan kanan. Dia tidak nampak
sesiapa. Dia tidak nampak bayang Humairah.
“Apa nenek cakap ni? Mana ada
sesiapa.” Haikal berkata seraya menarik Rosnah.
Rosnah enggan berganjak. Dia dapat
merasakan kemunculan Humairah di sini. Seluruh tubuh dia bergetar tadi. Seakan
angin yang menyapa membawa sekali desah nafas Humairah. Kolam mata Rosnah
kembali hangat.
“Nenek...” Haikal memujuk. Sejak
menemui ‘Humairah’, neneknya sering bertingkah begini. Siang malam sebut nama
Humairah.
“Nenek tahu, Humairah ada dekat
sini,” ujar Rosnah tanpa ditahan-tahan.
Haikal menggeleng perlahan.
“Nek, Humairah tak datang sini pun.
Kalau dia datang, tentu ada depan mata kita ni hah,” pintas Haikal.
Rosnah tarik nafas panjang.
Haikal memaut lengan Rosnah. Dibawa
wanita tua itu duduk di sebauh bangku kayu yang diletakkan di beranda rumah.
“Nenek nak air tak? Saya buatkan.
Special punya!” kata Haikal. Bibir ditampal senyum yang pura-pura.
“Tak apalah, Kal. Nenek tak haus.”
Serta-merta, mati senyuman Haikal.
Dia labuh duduk di kerusi bersebelahan Rosnah. Tangan itu digenggam erat.
“Nenek...” Haikal berkira-kira
hendak memulakan bicara.
“Nenek tahu apa yang Haikal nak
cakap. Tak apalah. Biarlah nenek simpan sendiri apa yang nenek rasa. Haikal
tahukan yang nenek sangat merindui Ara. Rupa dia saling tak tumpah macam Ara.
Senyum dia, ketawa dia, mata dia macam Ara kepunyaan nenek. Setiap kali
teringatkan dia, hati nenek sedih. Kalaulah dia Ara kita,” luah Rosnah.
Bergenang juga tubir mata dia.
Haikal mengerti perasaan Rosnah. Dia
telah melalui getir perasaan itu bersama-sama Rosnah. Sakit pedih dan kelukaan
itu mereka tempuhi bersama. Barangkali sakitnya dia lebih parah berbanding
Rosnah. Rosnah kehilangan Humairah, sedang dia, selain hilang Humairah, dia
juga kehilangan emak dan maruah diri.
“Rancangan Allah tu yang paling
indah, nek,” tutur Haikal tanpa niat yang pasti.
Rosnah dan Haikal saling bertempur
pandangan mata. Berlaga pandangan keduanya bersama kehangatan yang serupa.
“KAU lambat lagi
ke?” Azli meletak joran yang tidak menarik minatnya. Kalau dia tahu sepupunya
itu mengajak dia ke sini, awal-awal lagi dia geleng kepala. Lebih baik dia
duduk rumah sepupunya itu sambil berguling tunggu masa hendak balik. Ini semua
pasal emak dia, Hashimah. Beria sangat hendak dia ikut sama. Sudahnya berakhir
di kedai joran ini.
“Sabarlah. Aku nak beli joran baru.
Minggu depan nak turun laut. Kang tak bestlah guna joran lama. Tak ada umppph!”
seloroh Ismail sambil tersengih-sengih.
Bosan menunggu di dalam, Azli
melangkah keluar dari kedai itu. Ambil angin petang. Tempat ini tidaklah asing
bagi dia. Sudah beberapa kali datang ke bandar ini memandangkan salah seorang
kakak kepada emaknya menetap di bandar ini. Sepupu dia yang seorang ini
beranak-pinak sudah. Dia yang masih tidak punya hala tuju hidup. Masih
bersenang di kampung, habiskan masa dengan bermain judi atau perkara-perkara
yang tidak mendatangkan manfaat kepada diri. Tetapi itu dulu. Tabiat dia
semakin menipis sehari-hari.
“Adoi!” Azli berteriak lantang.
Macam hendak patah tangan dia. Apa yang melanggar dia tadi? Kayu balak?
Azli angkat muka tegang. Hanya
sesaat sahaja dia mampu menegangkan muka sendiri konon buat riak bengang.
Akhirnya mata dia yang terbuntang. Nafas tersekat-sekat.
“Maaf encik. Tak sengaja,” tutur
Humairah, kelam-kabut.
Azli terpaku. Anak mata dia
bergerak-gerak menatap wajah yang sering dimimpikan kebelakangan ini.
“Encik?” Humairah memetik jari.
Azli tersentak. Dengan perasaan
bercampur-baur, dia meluru meninggalkan Humairah yang tercengang di situ.
Terkebil-kebil pandang lelaki itu. Tengok gaya, macam lepas nampak hantu.
“Dah, jom aku hantar kau balik.”
Farah menarik Humairah. “Kau tengok apa lagi?” soal Farah. Humairah enggan
bergerak. Kaki memaku di lantai.
“Ada orang tu, tengok aku macam
nampak hantu. Terus blah macam tu aje,” beritahu Humairah sedikit hairan.
Farah ketawa serta-merta. “Dah
memang muka kau tu macam hantu. Tak sedar diri lagi,” cebik Farah.
Humairah menarik pipi Farah. Farah
menjerit sakit.
“Muka hantu aku ni, muka lawa,”
bidas Humairah sambil tersengih.
Farah menjelir lidah. Humairah
ketawa mengilai.
Dari kejauhan, Azli memerhatikan
gadis tadi. Mengigil tangan dia. Jantung bagai hendak tercabut. Darah seolah
disedut keluar dari tubuh. Tiada apa yang mampu dilakukan melainkan melarikan
diri.
Telefon bimbit ditatap. Dia hendak
menelefon Jali atau Hasnol. Kemunculan Humairah perlu diberitahu kepada dua
orang rakan baiknya itu. Tetapi, adakah dua manusia itu akan mempercayai dia?
Sebelum ini dia ditertawakan bila dia berkongsi cerita tentang mimpinya
mengenai Humairah.
“Kau buat apa bawah pokok ni? Nak
fefeeling hindustan ke apa?”
Azli tersentak. Terus paling mukanya
yang pucat itu.
Ismail memandang pelik kelakuan
sepupunya.
“Kau dah kenapa? Macam baru lepas
nampak hantu aje.” Terburai hilai tawa Ismail.
Azli menahan debar dada yang semakin
tidak sekata.
“Aku... aku nak balik.” Azli
berkata. Liar mata dia menerjah ke kanan dan kiri.
Kedua belah kening Ismail bertaut.
“Memang nak baliklah ni. Kau kenapa, Li? Pelik aje aku tengok.”
Azli pantas menggeleng. “Aku tak
apa-apa,” jawabnya.
“Hah, jomlah.” Ismail mengajak.
Azli mengekor di belakang Ismail.
Terbayang-bayang rupa Humairah. Humairah pandang dia tetapi gadis itu beriak
biasa. Humairah tidak ingat dia?
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Ini entri autopublish. No comment di hujung kaki mihihihi :3 Tata!
2 comments:
best....
@baby mio
Hi awk! :) thanks sudi baca dan selalu drop comment.terharu sgt :')
Post a Comment