Wednesday, October 2, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 34.

Assalamualaikum.








"...Teach your children The Quran and The Quran will teach them everything they need..."










Bab 34
Kampung Bunga Melor
AZLI melontar bantal ke dinding. Bibirnya mengungkap kata kasar diiringi desah nafas yang tidak menentu. Terdampar di depan mata saat ini, di hujung sudut bilik berhampiran almari baju- satu lembaga putih berdiri membelakanginya. Seluruh tubuh Azli sudah menggigil. Tulang-temulang saling bergesel sehingga menerbitkan rasa kurang upaya hendak berdiri.
            “Jangan ganggu aku!” bentak Azli. Membulat mata dia memerhatikan makhluk itu.
            “Kau tak akan terlepas, Azli!” Suara kasar makhluk itu menggegarkan seisi bilik kecil yang menjadi tempat peraduannya.
            Azli mengengsot. Dada bagai hendak pecah tatkala makhluk itu memaling wajah. Bibir dia menggigil.
            “Hu... Huuu... Humairah...”
            Makhluk yang menyerupai paras Humairah itu tidak berkata apa-apa selain menghunus renungan yang maha tajam ke arah dia. Azli jadi takut. Dia memejam mata rapat-rapat. Tidak sanggup menentang mata peri yang bersinar laksana raja hutan yang kelaparan.
            Tiba-tiba sahaja ada angin lembut yang menggigit batang leher. Seolah-olah menandakan bahawa makhluk itu sudah ada depan mata dia.
            “Pergi! Pergi!” Azli meraba katil. Sebiji lagi bantal dicapai dan dibaling ke depan.
            “Azli.” Suara itu menyeru nama dia. Begitu hampir di telinga.
            Spontan, Azli menyembam muka ke tilam. Menjerit dalam suara yang terpunduk di anak tekak.
            “Azli!”
            Azli tidak mempedulikan panggilan itu. Dia takut. Sungguh! Renungan makhluk itu mampu mencabut nyawa dia. Apatah lagi melihat wajah makhluk itu saling tidak tumpah seperti Humairah.
            “Azli! Ya Allah, dah kenapa budak ni?!” Nyaring suara Mak Eton menjerkah Azli yang berkelakuan pelik. Dari luar tadi, dia dengar bunyi bising datang dari bilik anak tunggalnya ini. Buka sahaja pintu, yang dia nampak hanyalah bilik yang bersepah, bantal atas lantai dan Azli menyembam muka ke tilam dalam keadaan sujud. Tubuh anak lelakinya itu bergoyangan. Cepat-cepat dia berlari mendapatkan Azli.
            “Azli!” Mak Eton memanggil lagi. Ditepuk-tepuk belakang badan Azli dengan kuat.
            “Pergi!” Azli menyentak. Ditepis tangan emaknya yang disangka milik makhluk tadi. Azli segera bangun, meminggir diri di kepala katil.
            Mak Eton naik risau melihat kelakuan Azli. Macam orang hilang akal!
            “Azli, kenapa dengan kau ni? Macam kena sampuk jembalang,” kata Mak Eton dalam nada suara yang meninggi.
            Mendengar suara emaknya, barulah Azli berani buka mata. Ya, memang emak. Meliar mata Azli memerhati persekitaran ruang biliknya. Tercari-cari kelibat makhlum tadi. Tiada! Makhluk itu sudah tiada. Azli kembali memadang Mak Eton yang kian bertaut keningnya.
            “Kenapa dengan kau, Li? Kau sakit?” Mak Eton bertanya seraya menyentuh pipi Azli.
            Azli pantas menggeleng.
            “Ada hantu!” beritahu Azli, takut-takut.
            “Hantu?” Mak Eton tahan ketawa. Gelihati mendengar aduan Azli yang kini hampir mencecah dua puluh sembilan tahun usianya.
            “Itulah. Aku suruh kau basuh kaki, ambil air sembahnyang sebelum tidur, kau tak mahu dengar. Kan dah mimpi sampai jumpa hantu segala,” seloroh Mak Eton. Senyuman mengejek tersungging di hujung bibir dia.
            “Betul mak. Aku nampak hantu. Hantu Humairah.” Bersungguh-sungguh Azli meyakinkan. Bermandi peluh dia malam ini meski kipas elok berpusing laju.
            Bertambah terherot muka Mak Eton bila dengar nama Humairah disebut-sebut Azli. Alangkan entah mati, entah hidup cucu Rosnah itu, Azli nampak hantunya dulu. Tergeleng-geleng kepala Mak Eton.
            “Nak kata tak betul, kau sihat aje mak tengok. Dahlah. Itu semua bayangan syaitan semata. Lain kali tu, ikut cakap mak. Ikut apa yang mak ajar.” Mak Eton bangun. Dia mengutip bantal dan selimut yang bergelimpangan di atas lantai.
            Azli memicing anak mata ke arah Mak Eton. Dia mendengus kasar. Kaki sudah memijak lantai simen. Kunci motosikal yang disangkut di tepi dinding, diambilnya. Laju kaki melangkah keluar dari bilik. Sekarang ini, dalam kepala dia hanya nampak Jali.
            “Eh, nak ke mana tu?” Berdecit suara Mak Eton.
            Azli tidak mempedulikan panggilan Mak Eton. Waktu ini, dia harus berjumpa Jali!

“JALI! Jali! Buka pintu. Jali!”
            Jali memisat mata. Bising betul lah! Jali mendengus kurang senang. Naik bergegar rumah dia. Dalam keadaan separuh mamai, Jali gagahkan diri menuju ke pintu depan. Gedegang gedegung bunyi macam hendak runtuh pintu kayu yang kian uzur itu.
            Sebaik pintu dibuka luas, Azli menyerbu masuk ke dalam rumahnya. Tingkahnya nampak kelam-kabut. Jali menggaru kepala. memisat mata yang masih pedih.
           “Kau nak apa malam-malam buta ni, Li? Tak tahu ke dah malam?” sergah Jali. Riak wajah mempamer amarah.
            Azli berjalan mundar-mandir. Tidak senang hati dia. Kalau dia simpan seorang diri nanti, dia boleh jadi gila. Gila! Bayangan makhluk berparas Humairah melintasi ruang mata. Pantas Azli menekup muka.
            “Hoi! Kau dah kenapa? Sakit?” tanya Jali. Dia labuh duduk di kerusi kayu. Memerhati tindak-tanduk Azli yang semakin hari semakin memelikkan. Bukan kali pertama Azli datang menyerbu rumah dia malam-malam begini. Kerap kali.
            “Humairah... dia datang jumpa aku!” Bergetar suara Azli.
            Kerutan di dahi Jali kian dalam.
            “Humairah lagi!” gumam Jali. Seringkali Azli membawa berita yang sama. Agaknya Azli sudah terkena badi Humairah gamaknya. Siang malam terbayang-bayang. Jali memeluk tubuh. Renungan dia terlontar pada Azli yang tidak mampu duduk sesenang Jali.
            “Aku tak tahan. Setiap kali aku lelap mata, aku akan mimpikan dia. Boleh jadi gila aku macam ni!” Azli membentak-bentak. Masih berkawad ke hulu hilir bersama desah nafas berat dalam rengkungan.
            “Semua tu dalam kepala otak kau aje. Cuba kau buang. Kalau terus kau biar diri kau terperangkap macam tu, memang gila betul nanti.” Jali berkata seraya pamer senyum sinis.
            Mencerlung mata Azli. Gila! Gila! Gila! Orang kata dia gila sedang hakikat dia telah pun bertentang mata dengan Humairah. Bukan hanya di alam mimpi dan ilusi, sebaliknya di alam nyata juga.
            Azli mendekati Jali. Dia terlalu butuhkan sedikit kepercayaan Jali yang Humairah sedang memburu mereka!
            “Aku nampak Humairah depan mata aku. Depan mata aku!” Azli membuntangkan mata.
            Jali enggan ambil peduli. Dia pandang enteng semua kata-kata Azli. Bagi dia, Azli banyak berkhayal- mengenang kisah yang membabitkan mereka bertiga. Pasti semangat Azli rapuh. Oleh sebab itu mudah benar dipaliti mimpi-mimpi karut mengenai Humairah.
            “Kau ni mengarutlah!” tuntas Jali.
            “Betul. Aku nampak Humairah. Aku terlanggar dia. Dia pandang aku tapi dia tak cakap apa-apa.”
            Tercetus tawa halus dari bibir Jali. “Kau mimpi.”
            “Tidak! Aku tak mimpi!” balas Azli.
            Jali menggeleng kepala.
            Azli kecewa.
            “Baliklah.” Jali menyuruh.
          Azli tetap enggan berganjak. Terbayang-bayang pertemuan itu. Macam mana kalau itu benar-benar Humairah? Humairah yang berpura-pura tidak mengenali mereka lantas akan memulakan langkah memburu mereka saat mereka lalai? Azli dihurung kegelisahan yang tidak pernah putus sejak kejadian malam itu. Selama empat tahun dia bergelumang rasa yang ditanggung seorang diri.
            “Kau orang tak akan percaya selagi kau orang tak nampak apa yang aku nampak,” tegas Azli sebelum bawa kaki beransur menuruni anak tangga.
            Jali senyap. Menghantar pemergian Azli dengan ekor mata. Lama kelamaan bayang Azli hilang ditelan kegelapan malam. Dalam sedar, Jali menghela nafas berat. Perubahan Azli semakin ketara. Nama Humairah sering menjadi mainan mulut itu. Malah Azli sering memberitahu tentang mimpi-mimpi yang sering menghantui tidur malamnya.
            Jali menutup daun pintu. Setelah menguncinya, dia tersandar di dinding kayu. Kepala dipicit perlahan. Berdengung-dengung bicara Azli tadi. Gara-gara Azli, dia pun ikut sama terjebak melewati peristiwa yang sekian lama tidak pernah melintasi fikiran, apatah lagi hendak dikenang-kenang.
            Humairah... Terdetik hatinya melontar seruan ke atas nama itu.
            Senyuman sumbing terbentuk di wajahnya. Parut merentangi pipi kanannya digaru-garu. Bersama bayangan Humairah yang menerpa tiba-tiba, Jali beransur ke bilik kecil, bersebelahan bilik tidurnya. Di dalam bilik itu ada sebuah kerusi kayu yang kelihatan sangat uzur. Di atasnya terdapat sehelai kain batik lusuh bersama sepasang baju kurung berwarna biru.
            Jali menghampiri kerusi itu, lantas melabuh duduknya di situ. Tangannya mengelus lembut kain batik tersebut dengan penuh perasaan. Kemudian di bawa ke hidung. Bau hapak kain batik lusuh itu begitu wangi semerbak di rongga pernafasan. Jali terus terleka dibuai kenangan lalu.
            “Ibu...” Jali berbisik seraya mengulum senyum lagi.

Taman Perumahan Setia Wangsa
HUMAIRAH...
            Sebaris nama itu muncul dalam kepala, diiringi wajah tuan empunya diri. Berlegar-legar di ruang angkasa minda.
            “Hoi!” Hakimi melempar bantal kecil ke arah Fadzlan yang sedang bermenung sambil tatap siling.
            Fadzlan terperanjat. Langsung bangkit dari pembaringan. Memicing mata ke arah Hakimi yang ketawa terbahak-bahak.
            “Dah pandai berangan dah sekarang,” usik Hakimi. Dipandang wajah tegang Fadzlan.
            “Ingat mata air ke?” Hakimi giat mengusik. Tidak dipeduli renungan Fadzlan. Alah, pandanglah dia selama mana, tenunglah dia dalam-dalam, tak luak pun!
            Tersorot pandangan Hakimi ke arah sekeping gambar di atas meja kopi depan mata dia. Ringan tangan dia ambil gambar itu. Diperhati lama sebelum ditunjuk kepada Fadzlan.
            “Rose?”
            Fadzlan memperbetulkan duduknya agar lebih selesa.
            “Kau dah tak kenal ke?” Fadzlan memulang pertanyaan yang membuat Hakimi tersengih-sengih macam kerang busuk.
            “Cantik betul Rose ni kan. Patutlah kau boleh sayang gila kat dia. Jiwa kau kan?” Hakimi sengaja menekan suara ketika menyebut perkataan ‘jiwa’. Seolah hendak memprovokasi Fadzlan yang tampak tenang bersandar di kerusi.
            “Nah, kau simpan ajelah.” Hakimi menghulur gambar itu kepada Fadzlan. Fadzlan mengambil dan dia tenung gambar Rose Harliana yang tersenyum manis.
            “Eh, macam mana keadaan Humairah sekarang?” Hakimi mencapai sebuah majalah di atas meja. Dia belek-belek majalah itu tanpa minat.
            Fadzlan mengerling Hakimi. “Kau tanya aku buat apa?”
            “Kalau bukan tanya kau, aku nak tanya siapa lagi? Kau aje yang ada depan mata aku.” Hakimi menjawab selamba.
            “Teruk jugakkan amnesia Humairah tu. Satu benda pun dia tak ingat. Kesian.” Terkumat-kamit mulut Hakimi berbicara. Jujur, dia memang jatuh kasihan terhadap gadis itu. Hidup dalam dunia yang direncanakan oleh orang lain.
            “Dah lama jugak Humairah tu macam tu, kan. Almost three four years, right? Dia tak pernah tanya ke pasal diri dia yang dulu?” Hakimi terus-terusan hambur pertanyaan yang tidak mampu dijawab Fadzlan.
            Hakimi menutup majalah tadi. Dia angkat muka. Dari tadi dia lempar soalan, tiada satu pun dijawab Fadzlan. Temannya berlagak laksana batu. Duduk terpunduk tanpa berbicara sepatah pun.
            “Dia... tak ada keluarga, kan? Macam manalah kalau dia ingat semula kehidupan dia sebelum ni. Kehidupan yang tak ada parents, tak ada keluarga, tak ada sesiapa,” keluh Hakimi. Bertimbun simpati dalam hati.
            Kepala Hakimi ikut mendongak bila Fadzlan bangkit dari duduknya.
            “Lebih baik dia tak ingat daripada dia ingat,” ujar Fadzlan sebelum berlalu meninggalkan Hakimi yang termangu-mangu mendengar sebaris ayat itu. Hakimi garu kepala. Mendalam sangat makna di sebaliknya. Hakimi tarik nafas dan dilepas perlahan.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Actually, sebahagian nama watak dalam KPHM ni ada tuan badannya. Malah aku ambil mereka punya personaliti, kalau perasan lah wakakaka :3

2 comments:

AYRA ZAHRA said...

hahaha..beb aku tau siapa watak yg ko maksudkan tu.Aku pun kenal.Muahahha...semakin menghampiri kisah sebenar..hihi..

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ayra

hi darling! :)

hihi... kan u asst iolss so harus laa u tauu. hihi