Tuesday, October 8, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 35.

Assalamualaikum.








"...Stay keen on your deen. Keep it routine. Believe in the unseen. stay away from the obscene and unclean. Your heart will be serene..." - Khalid Yasin










Bab 35
“KE mana Ara menghilang, nenek?” Satu soalan itu mampu menghurai beribu kedukaan yang saling berselirat.
            Rosnah menunduk sebelum mulut dia membuka bicara, “Nenek tak tahu,” jawabnya dengan perasaan hiba. Terasa hati disiat-siat saat mengenang kehilangan ‘Humairah’ menjadi persoalan sehingga kini.
            “Masih terasa hangatnya pelukan Ara malam tu. Dia minta nenek pulang awal, rupanya... itulah kali terakhir nenek memeluk Ara. Malam terakhir nenek lihat cucu nenek.” Rosnah menyeka airmata yang jatuh ke pipi. Menangis pilu.
            Humairah kunci mulut walau diri terlalu mendesak untuk mengetahui lebih lanjut berhubung perihal kehilangan ‘Humairah’.
            “Kejadian malam tu mengubah segalanya. Mengubah hidup nenek dan Haikal.”
            Humairah tenung muka Rosnah yang suram. Tangisan Rosnah memagut jauh ke dalam hati Humairah. Bagai berderai separuh jiwanya tatkala terlihat airmata itu membasahi pipi berkedut Rosnah.
            “Apa jadi malam tu, nek?” Akhirnya Humairah bertanya.
            Rosnah senyap. Wanita tua itu kembali berendam airmata sehingga membuatkan Humairah serba-salah.           
            “Mai!”
            Sapaan tiba-tiba itu mengejutkan Humairah. Terbang melayang fikiran dia yang melewati perbualan lewat beberapa hari lalu bersama Rosnah. Terkebil-kebil pandang Afina yang memerhatikannya. Kening Afina yang cantik itu hampir bercantum. Ekor mata menyoroti Afina yang melabuh punggung di sisinya. Wajah wanita anggun itu nampak letih.
            “Mai fikir apa tadi? Panjang sangat menungnya,” tegur Afina. Renungan dileret menghala ke arah Humairah.
            “Tak ada apa-apa.” Humairah menyahut.
            Afina menghela lelah. Letih betul dia hari ini. Ke hulu hilir lawat pesakit di unit jagaan rapi. Afina mengusap batang leher.
            “Nenek mana Mai?” Afina pandang kiri kanan. Mencari-cari kelibat nenek mereka. Kebiasaan waktu begini, Engku Zubaidah berkepit dengan Humairah. Ini, Humairah seorang sahaja yang terjamah dek mata.
            “Nenek pergi rumah Mak Saodah. Kata nenek, ada kenduri sikit,” beritahu Humairah.
            Afina mengangguk halus.
            “Mai tak ikut pulak?”
            “Malas.”
            Spontan Afina menoleh. Ditatap Humairah yang pegun menghala mata ke arah peti televisyen.
            “Mai...” Afina memanggil lembut.
            Humairah memaling muka. Dua pasang mata itu saling merenung antara satu sama lain.
            “Ye, Kak Fina?”
            Afina tidak jadi menghambur kata-kata. Tersekat di kerongkong. Sudahnya, dia geleng kepala sahaja.
            “Majalah baru beli ke?” Afina segera mencapai majalah Wanita di atas meja. Dibelek helaian demi helaian- mencari ruangan kisah yang menarik perhatian dia. Satu slot ruangan kisah yang diceritakan melalui pengalaman sebenar si pencerita bertajuk Ibuku- mengundang minat Afina. Tekun dia membaca- diselangi herot bibir seolah mencebik.
            “Tengok ni. Dasar anak derhaka betul. Bila emak dah tak ada, baru nak menyesal. Teruk betul perangai!” omel Afina kurang senang. Geram pun ada. Iyalah, ada ke patut diperlakukan ibu seperti balaci hina. Malah menurut pengakuan si pencerita, dia pernah menyepak terajang ibunya bila ibunya ada melakukan kesilapan seperti memecahkan pinggan. Kerana pinggan, melayang sepak terajang? Afina mengucap dalam hati. Tidak aman hidup dunia akhirat!
            Afina tidak sanggup meneruskan pembacaan. Terus dia letak semula majalah itu.
            “Kak Fina naik atas dululah. Belengas badan ni,” ujar Afina. Beg tangan dicapai berserta blezer. Baru hendak angkat punggung, Humairah memanggil dia. Tidak jadi bangun- dia duduk tercatuk di sebelah Humairah.
            “Kak...” Suara Humairah sayup-sayup.
            Entah kenapa, Afina merasa debar yang asing. Pandang raut wajah Humairah yang mendung itu, mengundang resah hati.
            Humairah menentang anak mata bundar milik Afina. Sekian lama dia menanti jawapan, tetapi tidak pernah diperolehinya.
            “Kak, mana keluarga Mai? Siapa mak ayah Mai?”
            Bagai terkena halilintar, Afina pegun. Langsung tidak berkutik dari duduknya. Cuma mata dia sahaja yang bergerak-gerak. Nafas Afina memberat di rengkungan.
            Humairah mengengsot menghampiri Afina. Tangan Afina disentuh.
            “Kak, bantu Mai ingat siapa Mai, dari mana Mai datang dan macam mana Mai boleh hilang ingatan,” rayu Humairah. Matanya sudah berkaca-kaca.
            “Ini keluarga Mai. Nenek, Kak Fina, Lan.” Afina mencengkam lengan Humairah.
            “Mak ayah... kenapa Kak Fina atau nenek tak pernah buka cerita tentang emak dan ayah Mai?” Humairah terus mendesak. Dia enggan dengar tentang keluarga atau apa-apa pun omongan Afina. Dia hanya ingin tahu satu perkara- emak dan ayahnya.
            Afina tertegun. Tiada jawapan! Lantas dia paling muka.
            “Kak Fina nak mandi. Nanti kita makan sama,” tutur Afina.
            “Kak Fina!” Humairah memanggil.
            Afina pura-pura tidak dengar dan terus hala kaki naik ke tingkat atas tanpa bertangguh. Kali ini jelas tingkahnya menunjukkan dia menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan Humairah.

DALAM duduk berteleku di atas tikar sembahyang, Humairah meringankan lidah sendiri memuji Tuhan Yang Esa. Cuba menenangkan hati yang kian giat diusik resah setiap kali dia memikirkan tentang kehidupannya sebelum ingatan dia terpadam sepenuhnya. Malah imbasan dan mimpi yang sering menerpa itu menambah beban yang sedia ada.
            Siapa dia? Persoalan ini pernah melewati fikiran suatu masa dahulu. Malah dia sering mengutarakan kekeliruan itu kepada Engku Zubaidah dan Afina namun kedua-duanya enggan bercerita lebih lanjut. Kebiasaan dia ditinggal tanpa jawapan yang pasti. Sudahnya dia terlupa. Dan kini, lonjakan persoalan itu kembali menduduki diri.
            Humairah tekup muka. Bayangan paras ‘Humairah’ menyusuri angkasa raya minda. Humairah pejam mata rapat-rapat. Betapa dia terkejut melihat gambar ‘Humairah’ itu. Sungguh, saling tidak tumpah seperti parasnya. Mereka bagai kembar!
            “Jauh di sudut hati nenek, nenek nampak Ara dalam diri kamu, Humairah. Nenek merasai kewujudan Ara setiap kali kamu ada depan mata nenek.”
            Bicara Rosnah terngiang di jendela telinga. Enggan meminggir. Berbekas kata-kata itu di hati.
            Humairah menanggalkan telekung dari tubuh. Telekung itu dilipat sebelum menyangkutnya di sampiran besi berselahan almari baju.
            Ketukan di pintu mengalih perhatian Humairah buat sementara. Dia menghampiri pintu itu. Tombol pintu dipulas. Bila pintu dibuka, terpampang muka Afina depan mata.
            “Dah siap sembahyang?” tanya Afina.
            Humairah mengangguk.
            “Jom, turun makan. Kak Fina dah hidang lauk dah,” ajak Afina.
            Humairah tidak berganjak. Dia pamer gelengan halus.
            Afina menjugkit tinggi keningnya. “Tak nak makan?”
            “Kak Fina makanlah. Mai tak lapar,” kata Humairah.
            “Kenapa ni Mai?” Afina memeluk tubuh. Memicing anak mata ke wajah Humairah.
            Humairah geleng lagi.
            Tadi Afina peluk tubuh. Sekarang mencekak pinggang. Kalau Humairah bertingkah begini, angin tindak mahu makan Humairah itu pasti akan menjangkiti dia.
            “Pasal tadi tu...” Afina berjeda seketika. Terus merenungi Humairah dan berkata, “Pasal tadi, Kak Fina minta maaf. Kak Fina tak...”
            “Tak apalah, Kak Fina.” Humairah segera memintas laju. Tanpa memberi ruang Afina meneruskan kata-kata.
            Afina telan air liur. Silap dia!
            “Mai.” Afina cuba memujuk. Diraih lengan Humairah.
            “Kak Fina pergilah makan. Nanti sejuk lauk-lauk tu. Mai nak cari buku yang Farah nak pinjam ni. Esok dia bising pulak kalau Mai tak kasi. Dia tu bukannya boleh. Mulut macam mak nenek,” ujar Humairah.
            Afina menghela nafas. Berat kaki hendak melangkah turun ke bawah. Berbelit rasa bersalah dalam diri. Terlalu banyak ‘rahsia’ yang dia simpan. Jika bukan kerana permintaan Engku Zubaidah, pasti ‘rahsia’ itu dia hurai agar tidak bersimpul dalam kepala.
            Sepeninggalan Afina, Humairah kembali menutup rapat daun pintu. Dia tersandar di situ. Kedua belah mata dikatup. Nafas berdesah halus.
            Tekad hati, dia akan mencari diri yang telah hilang dari ingatan. Biar kali ini, dia sendiri yang menyelongkar kisah itu.
            “Aku adalah kau.” Bisikan bak angin itu berdesir di telinga. Kemudian bayangan seorang gadis menyerupai dia datang menerpa ke dalam fikiran. Humairah tidak berganjak. Sebaliknya membiar pandangannya menyoroti paras ‘Humairah’.               
SEDANG asyik diulit lena, Humairah terjaga dari tidur. Dia terbatuk-batuk kecil. Perit tekak terasa. Kering! Humairah bangkit dari pembaringan. Comforter ditolak ke tepi. Sebelah tangan mencapai sebotol air mineral di meja lampu. Diteguk air itu bagi melegakan tekak yang rasa kurang selesa.
            Humairah menoleh saat merasakan kewujudan sesuatu di persekitarannya. Awas mata dia memerhati segenap ruang dalam bilik itu.
            “Ya Allah!” Humairah menjerit. Hampir-hampir luruh jantung dia tatkala dia menoleh, sesusuk tubuh berdiri hampir dengannya. Humairah mengengsot menjauhi makhluk itu. Menggigil kepala lutut.
            “Humairah...” Makhluk itu memanggil namanya. Bertambah laju jantung mengepam darah. Naik tinggi sampai ke kepala. Humairah tidak mampu mengalih pandangannya. Terus melekat ke wajah itu. Diperhati lama. Humairah beristigfar lagi. Paras makhluk itu menyerupai dia!
            “Humairah.” Suara makhluk itu kedengaran lagi. Cukup sayu. Kejernihan mata makhluk itu ditabiri kesedihan yang mampu dirasai Humairah saat ini. Seolah antara mereka berkongsi jiwa yang sama dan hati yang serupa.
            “Kau siapa?” Humairah takut-takut bertanya.
            Makhluk itu hanya memandang dia. Pandangan yang meruntun hati. Humairah tidak tahu kenapa dia berasa sangat sedih ketika ini. Hampir-hampir tumpah airmata dia tatkala saling bertempur renungan.
            “Aku... adalah kau.”
            Humairah terpempan. Membulat mata dia. Dia pernah alami situasi yang sama sebelum ini. Dia mimpi. Tapi kali ini, adakah mimpi juga? Yakin, dia tidak bermimpi.
            Makhluk itu mendekati Humairah. Bergerak bagai angin. Humairah kaku tidak berkutik. Mata dia membuntang menggambarkan kejutan yang teramat sehingga tidak berdaya hendak berbuat apa-apa. Humairah langsung pejam mata. Seram sejuk jadinya. Semilir angin berhembus mengena wajah dia.
            “Aku adalah kau.” Sebaris ayat itu diperdengarkan lagi di telinga.
            Humairah enggan buka mata tetapi pancaindera itu seolah-olah tidak menerima arahan dari otaknya. Terbias raut wajah makhluk itu depan mata. Tangan makhluk itu melekat di dadanya. Tepat di kedudukan jantungnya dalam tubuh.
            “Aku adalah kau.”
            Humairah tersentak. Dia terduduk di atas katil dengan mata melilau liar. Makhluk tadi tiada di situ. Ruang itu juga gelap gelita jika hendak dibandingkan sebelum ini- disimbahi cahaya lampu yang samar-samar yang datang entah dari mana.
            “Astagfirullah...” Humairah meraup muka yang dibasahi peluh-peluh halus.
            Mimpi!
            Lampu tidur dihidupkan. Suasana gelita bertukar rupa. Sedikit cahaya menerangi ruang itu. Humairah duduk bersila. Kedua belah tangan menekup muka. Mimpi tadi bermain dalam kepala. Demi Tuhan, mimpi itu bagai nyata. Terdengar-dengar bicara sepatah makhluk berparas dia. Sentuhan itu turut dirasai olehnya sehingga kini.
            “Ya Allah, andai mimpi itu datang dari kejahatan iblis, maka lindungi aku Ya Allah. Lindungi aku dari muslihatnya. Seandai mimpi itu satu anugerah, satu ilham petunjuk dari-Mu, bimbinglah hatiku Ya Allah. Bawa hati aku untuk menemui jawapan yang aku cari.”
            Rintihan itu kedengaran sayup-sayup ditelan kesunyian malam.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Makin lama makin sempit rak buku den -..-' Kena beli yang besar punya lepas ni. selagi tak roboh, selagi tu pakai. Manusia kedekut memang macam ni wakakaka :3 Tata!

4 comments:

Unknown said...

best...

Anonymous said...

N3 every wednesday ya? Although story line agak berbelit di permulaan tp dpt follow gak la story line dia. X sbr nk tau d whole story. Keep up d gud work! 0(^.^)0

~::HANAH RISHAS::~ said...

@baby mio

:)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@anonymous

:) itu laa. ramai yg pening mula2 and syukur awak bleh folow ceta ni :) lega! :)