Friday, October 11, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 36.

Assalamualaikum.







"...There is an unseen sweetness in the stomach's emptiness..."










Bab 36
FADZLAN menyeluk poket seluar, memastikan bahawa kunci kereta sudah diambilnya sebelum menapak keluar dari bangunan ini. Beberapa buah buku rujukan programming languange disusun elok di belah kanan meja. Mata dia sakit kalau nampak benda tak tersusun. Boleh juling mata. Oleh sebab itu, meja dikemas rapi sebelum balik supaya pagi esok dia tidak rimas pandang meja sendiri.
            Setelah memastikan meja dalam keadaan kemas dan teratur, Fadzlan capai beg dan disandang ke bahu. Manakala sebelah tangan memegang sebuah buku. Dia jeling jam tangan. Halus dengusan dilepas dari rengkungan dada.
            “Awal kau balik,” sapa Ezad saat melintasi Fadzlan.
            “Ada hal.” Ringkas Fadzlan menjawab.
            “Dating eh?” Ezad meneka sambil tersengih. Sempat mengerling cubical tempat Fadzlan melakukan kerja, bersebelahan cubical dia. Beza sangat. Ketara. Cubical Fadzlan kemas, sedang dia... macam tongkang pecah! Kalau boleh nak sepah-sepah lagi. Baru nampak hardworking.
            “Aku balik dululah,” ujar Fadzlan.
            Ezad mengangguk. Dia lihat abjad-abjad di skrin komputer. Puas dia godek-godek bahasa komputer yang dibangunkan, tetapi tidak juga dia nampak mana silap. Error memanjang!
            Kening Ezad hampir bercantum. Riak wajah itu berkerut. Nampak sangat stress. Kedua belah tangan sudah menarik rambut sendiri.
            “Aaaa!” Ezad mendengus kasar.
            Fadzlan memaling muka. Pandang Ezad yang nampak kusut-masai.
            “Apehal?”
            Ezad garu kepala.
            “Ni ha. Program ni, mana entah yang problem. Tak mahu jadi. Asyik error. Aku ubah sikit, terus jadi macam ni. Siot betul!” marah Ezad.
            “Kau hadaplah programming tu.” Fadzlan melangkah setapak.
            “Eh! Kau tak nak tolong aku ke?”
            “Kau tu kan programmer. Setakat error macam tu, kacang aje kan,” tuntas Fadzlan.
            “Hah, pergilah dating sana.” Gaya Ezad seperti menghalau.
            Tergeleng-geleng kepala Fadzlan. Dilayan kepala Ezad tu nanti makin jadi.
            “Lan, kejap!” Suara Ezad berdecit lagi.
            Fadzlan tarik nafas. “Apa lagi?” soalnya kurang senang.
            Terkedek-kedek Ezad berjalan ke arah dia. Ada sesuatu yang halus bergayutan di hujung jari Ezad.
            “Ni, kau tercicir ni.” Ezad mengunjuk seutas rantai kepada Fadzlan.
            “Benda ni jatuh,” kata Ezad lagi.
            Fadzlan menyambut huluran Ezad. Rantai berloket silver bentuk bulat itu diperhati sebelum digenggam.
            “Thanks,” ucapnya.
            “Untuk buah hatilah tu,” cebik Ezad. Tidak habis-habis mengusik lelaki yang berusia dua tahun lebih tua darinya.
            Fadzlan sekadar angkat tangan. Dalam langkah perlahan, dia melepaskan genggaman itu. Rantai itu dipegang hujung jari. Ia bergoyangan ke kiri dan kanan dengan bebasnya.
            Loket silver berbentuk bulat yang menjadi hati kepada rantai bertali halus itu dipegang. Fadzlan menekan sisi loket tersebut. Tikk! Loket itu terbelah menjadi dua bahagian yang mana di dalam loket itu tersimpan sesuatu. Fadzlan merenungi isi dalam loket berkenaan.
            Di tengah-tengah loket itu tersimpan kenangan cintanya kepada seseorang. Cinta yang dilipat rapi dan disimpan di tempat yang paling sulit supaya dia tidak mampu mencapainya lagi. Tetapi, mampukah dia?
            Deringan telefon mengalun lagu She’s Genius dendangan kumpulan barat- Jet, mematikan lamunan Fadzlan. Terpampang muka Afina di tengah-tengah skrin telefon. Ibu jari dileret di atas skrin tersebut sebelum melekapkan telefon itu ke telinga.
            “Ada apa, kak?” Soalan klise dilontar.
            “Kau kat mana ni?”
            “Office.”
            “Lagi?” Suara Afina meninggi di hujung talian sana.
            Fadzlan mengeluh. “Dah nak balik.”
            “Oh... ingat bertapa lagi kat office kau tu ha,” kata Afina.
            “Nanti jangan lupa ambil Mai kat rumah. Kak Fina dengan nenek dah pergi rumah Mak Long dah ni. On the way.” Afina menyambung bicara.
            “Hah, ye,” sahut Fadzlan endah tak endah. Muak dengar ayat perintah yang serupa.
            “Kau call Mai dulu sebelum gerak datang rumah. Kang budak tu tak bersiap lagi, kau melangut tunggu.” Afina membuat sedikit penambahan.
            Seperti biasa, Fadzlan menyahut dengan ‘mmm’ sahaja.
            Lebih kurang pukul 6.30 petang, Fadzlan sampai di kawasan perumahan tempat keluarganya tinggal. Dia singgah di sebuah masjid di taman itu sebelum kembali meneruskan pemanduan yang berjarak lebih kurang sepuluh kilometer sahaja lagi. Dia tahu, kalau pergi rumah Mak Long nanti, bukannya sempat sembahyang Maghrib. Jadinya, dia fikir ada baiknya mereka bertolak selepas Maghrib. Lagipun Mak Long adakan majlis cukur jambul cucu ketiga keluarga itu. Tidak penting mana sampai perlu tergesa-gesa.
            Selesai menunaikan sembahyang Maghrib, barulah Fadzlan meneruskan pemanduan menuju ke rumah Engku Zubaidah. Kereta menyusur masuk ke halaman rumah. Kaki terjulur keluar memijak lantai berumput hijau, diikuti susuk tubuh keluar dari kereta tersebut.
            Fadzlan mengeluarkan telefon bimbit. Dia cari nama Humairah.
            “Aku dah kat bawah. Cepat turun!” perintah Fadzlan. Tanpa menunggu bicara Humairah, dia terus putuskan panggilan itu. Dia bersandar di bonet kereta sambil mengira detik waktu Humairah muncul depan mata.
            Selang beberapa minit, terlihat Humairah keluar dari rumah. Gadis itu menyarung baju kurung kain kapas berwarna biru lembut, dipadankan dengan selendang merah jambu yang tersarung kemas di kepala. Fadzlan curi-curi pandang lenggok Humairah yang tampak kelam-kabut.
            “Lambat!” dengusnya.
            Mata Fadzlan tersorot ke arah selipar jepun di kaki Humairah. Dia tahan gelak. Ini kes salah pakai ke memang nak pakai? Berdetak-detik hatinya.
            Humairah perasan riak muka Fadzlan tetapi dia buat tidak peduli. Menonong buka pintu kereta dan memboloskan diri masuk ke dalamnya. Malah dia sedar Fadzlan sedang mentertawakan dia yang menyarung selipar jepun semata. Apa?! Ingat tak style baju kurung pakai selipar jepun?
            Humairah mengerling ke arah Fadzlan di sisi. Lelaki ini turut menimbulkan pelbagai persoalan di benak yang tidak pernah terjawab. Humairah menarik nafas dalam-dalam. Adakah Fadzlan juga menyimpan ‘rahsia’ dirinya?
            “Awak...” Kepala Humairah memaling menghadap Fadzlan yang tenang memandu. Fokus mata lelaki itu tepat ke depan.
            “Kita pergi tempat lain.”
            Permintaan Humairah menyebabkan Fadzlan menoleh sekilas.
            “Kau nak pergi mana?” Nadanya naik tinggi.
            “Pergi mana-mana aje, tapi bukan rumah Mak Long,” balas Humairah.
            “Eh, kau jangan nak mengadalah. Kita pergi rumah Mak Long, bukannya nak berjalan makan angin,” marah Fadzlan.
            “Saya tak nak pergi rumah Mak Long.”
            “Kau ingat aku driver kau?”
            “Please...” Humairah separuh merayu.
            Fadzlan ketap bibir.

SUASANA sunyi antara mereka berterusan sejak lima belas minit yang lalu meski kedengaran hiruk-pikuk suara manusia dan deruman enjin kenderaan lalu-lalang di persekitaran mereka. Humairah membisu seribu bahasa, manakala Fadzlan yang bersandar di kereta melorong mata ke arah Humairah yang berdiri jauh di depan sana.
            “Kita buat apa kat sini?” aju Fadzlan. Tubuhnya semakin condong.
            Humairah memaling. Merentap pandangan Fadzlan yang terarah padanya.
            Fadzlan kancing gigi melihat perilaku Humairah. Lagak patung! Macam orang bisu pun ada. Soalan dia aju dijawab dengan pandangan semata. Terbit kekesalan dalam hati menuruti permintaan Humairah tadi.
            “Bisu?” Tidak ditahan-tahan mulut dia menghambur kata. Kini dia berpeluk tubuh.
            “Saya cuba cari ketenangan,” tutur Humairah dengan lembut. Mata dipejam rapat. Menghilangkan diri dalam kebisingan suara manusia di situ.
            Fadzlan ketawa. Kelakar! Humairah tak nampak ke di mana mereka berada sekarang ni? Kiri kanan bunyi bising suara-suara orang. Belum campur lain-lain bunyi. Celah mananya dicari ketenangan itu?
            Fadzlan melangkah perlahan mendekati Humairah.
            “Kau buka mata luas-luas, lepas tu kau tengok sekeliling tempat ni.” Fadzlan berkata.
            Mata yang terpejam rapat tadi, terbuka luas. Juling mata Humairah lihat jari telunjuk Fadzlan merentasi pandangannya. Humairah menoleh.
            “Tak sesuai kau nak cari ketenangan kat sini,” ujar Fadzlan lagi. “Ni tempat orang melepak,” tambahnya.
            Renungan Humairah masih setia terpacak ke wajah Fadzlan.
            “Fadzlan...” Bibir dia bergerak mengulum nama lelaki itu.
            Fadzlan memaling muka, dan saat itu dia menyedari Humairah memicing anak mata ke arahnya.
            “Kebelakangan ni, fikiran saya terganggu,” keluh Humairah. Riak wajah Fadzlan ditenungnya lagi.
            “Apasal cerita kat aku pulak?” Fadzlan meningkah selamba. Menunjukkan bahawa dia tidak pernah ambil kisah perihal gadis itu.
            Humairah hela nafas panjang. “Awak tak pernah tahu perasaan saya, hidup dalam dunia ciptaan orang lain. Hilang segala memori dulu. Tak ingat apa-apa langsung.”
            “Selain Kak Fina dan nenek, awak aje harapan saya.”
            “Harapan?” Naik tinggi kening Fadzlan.
            “Bawa saya menyusuri memori dulu.” Humairah berkata bersungguh-sungguh. Hanya Fadzlan yang mampu membantunya ketika ini. Nenek dan Afina jelas enggan berkompromi. Keduanya bagai menyimpan sesuatu yang hendak dipinggirkan dari hidupnya.
            “Kita balik.” Fadzlan berkata keras.
            Humairah segera menghalang laluan Fadzlan. Jika bukan Fadzlan yang membantu, siapa lagi?
            “Tolonglah bantu saya, Fadzlan.” Humairah merayu.
            “Kenapa tiba-tiba kau ungkit sesuatu yang kau tak ingat?” Kedua belah tangan Fadzlan kini mencekak pinggang. Wajahnya naik tegang.
            Mata Humairah jatuh ke lantai tanah. “Saya nak tahu siapa diri saya, mana keluarga saya, bagaimana kehidupan saya sebelum ni dan...” Humairah berjeda seketika sebelum angkat muka dan melorong renungan berkaca-kaca pada Fadzlan, lantas menyambung, “... dan...”
            “Dan?” Kening Fadzlan hampir bertaut.
            “Dan apa yang menyebabkan saya hidup macam ni, sekarang.” Humairah tahan airmata yang dirasakan bergenang. Hangat di tubir mata. Sungguh, dia hendak mencari dirinya yang sebenar. Dia hendak mengingati semula memori-memori yang telah hilang sepanjang beberapa tahun ini.
            “Kau lupa yang Kak Fina beritahu kau sakit?” Fadzlan berkata tanpa memandang Humairah. Muka dipaling ke kanan.
            Ah, itulah yang sering diberitahu oleh Afina mahupun Engku Zubaidah. Sakit! Sakit apa sehingga dia boleh lupa diri? Gila?
            Humairah memicit kepala yang berdenyut. Ia datang lagi! Humairah cuba bertenang. Gagah memacak kaki atas tanah supaya tubuh yang semakin meringan ini tidak tersembam.  Mata dipejam celik beberapa kali. Seiring itu dia terlihat bayangan yang melintasi ruang mata sepantas kilat.
            Keriuhan suara manusia-manusia tadi hilang sekelip mata. Yang tinggal hanyalah bunyi deruan enjin yang memecut laju ke arah dia berdiri. Cahaya kuning menyimbahi seluruh tubuh. Humairah angkat muka. Dia tidak mampu bergerak. Hanya mata dia sahaja menjadi saksi pelanggaran ‘dia’ di situ.
            Fadzlan terkejut melihat tubuh Humairah terhuyung-hayang bagai ditiup angin. Sempat dia menyambut tubuh Humairah yang tidak sedarkan diri. Fadzlan panik. Tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Dia tepuk pipi Humairah. Memanggil nama gadis itu, namun Humairah tidak menyahut.  
            Deru nafas kedengaran lemah itu sedikit sebanyak meredakan kekalutan dia sebentar tadi.
            “Humairah.”

“HUMAIRAH!”
            Humairah terbangun dari dunia yang gelap sebentar tadi. Dia berusaha bangkit dari pembaringan. Kepala masih mengalun rasa sakit yang tinggal sisa.
            “Nenek ingat Ara tak mahu bangun tadi.” Suara seorang perempuan menjengah anak telinga.
            Terbelalak mata Humairah tatkala susuk tubuh Rosnah tersembul di sebalik kain langsir pintu bilik. Serentak dengan itu, dia teringat Fadzlan. Di mana lelaki itu? Liar matanya memandang kiri kanan. Peluh-peluh dingin menggigit dahi.
            “Ara, kenapa ni?” Rosnah menyoal.
            Humairah kaku lagi. Sentuhan Rosnah hangat di pipi. Ini mimpi, bukan? Dada berdetak kencang. Bagai mahu pecah.
            Ara? Bukankah itu nama panggilan cucu Rosnah yang hilang itu?
            “Kenapa pandang nenek macam tu?” Rosnah menyoal lagi. Wajah tua itu mempamer riak-riak hairan.
            Humairah diam tidak berkutik. Memicing renungan ke arah Rosnah.
            “Itulah, tidur tak ingat dunia. Malu kalau Haikal tahu perangai Ara ni,” usik Rosnah. Tersenyum-senyum ke arah Humairah.
            “Mari ikut nenek. Nenek nak beri sesuatu pada Ara,” ujar Rosnah seraya bangun dari duduknya. Menonong keluar dari bilik meninggalkan Humairah yang masih bergelumang dengan tanda-tanya.
            Humairah duduk terpunduk di birai katil. Untuk kesekian kali, dia tercampak ke dimensi yang dia tidak pernah tahu di mana permulaannya. Humairah bangun. Berjalan menuju ke pintu yang terbuka luas. Sempat mengerling ke arah meja solek bercermin besar yang memantulkan biasan dirinya. Langkah Humairah terbejat. Tidak berkalih pandang diri sendiri.
            Kehairanan menjerut diri. Rambut dia yang panjang dilurut perlahan. Fizikal ini bukan miliknya meski wajah itu berparas dia. Humairah meraba muka. Ditenung dalam-dalam imej yang terpantul di permukaan berkilat itu.
            “Aku... Ara?” Humairah menyoal diri sendiri.
            “Ara, buat apa lagi tu? Mari ikut nenek,” panggil Rosnah. Menjengah kepala ke dalam bilik cucunya.
            Humairah menoleh. Melorong anak mata ke arah Rosnah.
            “Mari,” ajak Rosnah, lantas menarik Humairah.
            Humairah panjangkan langkah menyaingi Rosnah. Dia duduk di kerusi kayu, berdepan Rosnah. Rosnah ada memegang sesuatu di tangan dan diunjuk kepadanya. Humairah memerhati tanpa berkelip mata.
            “Barang peninggalan arwah emak dan babah Ara,” tutur Rosnah.
            Ujukan itu masih tidak bersambut. Gementar tangannya hendak menyambut pemberian tersebut.
            Rosnah menghampiri Humairah bila gadis itu tercatuk senyap. Seutas rantai emas berloket ukiran abjad ‘A’ bertukar tangan. Begitu juga sekeping gambar yang mengabadikan dua raut wajah yang mampu membuntangkan mata Humairah.
            “Ini...” Humairah menatap gambar itu. Wajah lelaki dan perempuan itu pernah dilihatnya sebelum ini. Di dalam mimpi yang mana menemukan dia dengan ‘Humairah’ yang seorang lagi. Malah dua manusia itu terbujur kaku di dalam persalinan kain kafan. Humairah langsung pegun.
            “Emak dan babah Ara. Ara lupa ke yang Ara pernah minta gambar mereka? Mujur nenek ingat mana nenek letak benda ni,” cerita Rosnah.
            Humairah masih seperti tadi, merenung gambar dan rantai itu silih berganti.
            “Walau mereka dah tak ada, Ara masih ada nenek. Nenek akan sentiasa menanti kepulangan Ara. Nenek rindukan Ara.”
            Spontan, Humairah mendongak. Mencari wajah Rosnah.
            Gelap! Relung waktu saat itu bertukar seluruhnya.
            Humairah bangun. Dia nampak Rosnah berdiri di depannya.
            “Nenek!” Humairah memanggil.
            “Ara...” Rosnah menyahut. Tangannya diunjuk ke depan. Humairah cuba mencapai tangan Rosnah tetapi Rosnah semakin menjauh.
            “Jangan tinggalkan nenek, Ara.” Sayu suara Rosnah menggigit tangkai hati Humairah.
            Sekelip mata, Rosnah hilang- bertukar menjadi debu yang berkaca-kaca.
            Humairah terbejat lagi. Ya Allah, apakah yang sedang berlaku? Dia tidak faham! Humairah bertinggung. Kedua belah tangannya memegang kepala. Tangisan Humairah luruh akhirnya. Bingung!
            “Humairah...”
            Humairah yang tenggelam dalam tangisan, langsung tidak mempedulikan panggilan lembut tersebut.
            “Humairah.” Suara garau itu memanggil lagi.
            Muka didongak. Menjulang tinggi mata merentap susuk tubuh itu.
            “Fadzlan?” Menggigil bibir dia. Sesaat dia membalas renungan lelaki itu sebelum kembali memacak mata ke lantai.
            Kenapa Fadzlan? Humairah cukup keliru. Haruskah dia berdepan relung mimpi yang begitu rumit? Setiap darinya meninggalkan persoalan yang memberat dalam kepala.
            “Pergi!” Jerit Humairah.
            “Pergi!” Jeritnya lagi. Mata dipejam rapat. Enggan membiar pancaindera itu menghunus pandangan yang hanya akan bikin fikiran dia serabut
            “Bangun Humairah! Bangun!” Humairah mendesak diri sendiri. Dia tahu, ini mainan mimpi. Dia bermimpi.
            Bangun! Suara hati memekik lantang.

BERSUSAH-PAYAH tubuh itu dicempung lalu dibaringkan dengan cermat di seat belakang. Fadzlan buru-buru membolos diri masuk ke kereta. Kunci kereta disumbat masuk ke dalam lubang berhampiran kepala stereng. Kunci itu dipulas sekali dan enjin kedengaran menderu. Bila pedal minyak ditekan, bunyinya semakin kuat mengaum.
            “Humairah.” Fadzlan menggumam nama itu di hujung bibir bersama resah berpalu di hati.

Terima kasih kerana baca entri ini. have a nice day :)

notahujungkaki: Eh, sikit lagi nak sampai part pembongkaran rahsia siapa Humairah tu sebenarnya :) Ara.... oh Ara... :) Tata!

6 comments:

baby mio said...

BEST...

~::HANAH RISHAS::~ said...

@baby mio

thanks awak sbb sudi drop sini :)

Anonymous said...

Lama lak rase nk tgu nxt n3...huhuhu..nice one..keep us readers on toes sbb nk c d light of d story..

~::HANAH RISHAS::~ said...

@anonymous

Hai awk :) sori ye kalau awk tetunggu2 entri strusnya.byk sgt kekangan dpn mata -..-' insyaAllah..entri akan diupdate dlm masa terdekat :)

And lg sekali,thanks sudi baca kphm :)

Anonymous said...

Hi...he3..citer kalau best mesti la nak follow kannn...ngehhhs...
Kalau awak tambah saspen lg citer ni...mmg xtdo mlm la gamaknya sbb nk kene tgu n3 lg satu 0(^.^)0

~::HANAH RISHAS::~ said...

Oh ye? :) terharu nye awak sudi folow :')

Saspen tu tak la saspen sgt.ada laa buat sikit2 konon2 nk bg kejutan.entah menjadi entah tak.hihi