"...There is an unseen sweetness in the stomach's emptiness..."
Bab 36
FADZLAN menyeluk
poket seluar, memastikan bahawa kunci kereta sudah diambilnya sebelum menapak
keluar dari bangunan ini. Beberapa buah buku rujukan programming languange
disusun elok di belah kanan meja. Mata dia sakit kalau nampak benda tak
tersusun. Boleh juling mata. Oleh sebab itu, meja dikemas rapi sebelum balik
supaya pagi esok dia tidak rimas pandang meja sendiri.
Setelah memastikan meja dalam
keadaan kemas dan teratur, Fadzlan capai beg dan disandang ke bahu. Manakala
sebelah tangan memegang sebuah buku. Dia jeling jam tangan. Halus dengusan
dilepas dari rengkungan dada.
“Awal kau balik,” sapa Ezad saat
melintasi Fadzlan.
“Ada hal.” Ringkas Fadzlan menjawab.
“Dating eh?” Ezad meneka sambil
tersengih. Sempat mengerling cubical tempat Fadzlan melakukan kerja,
bersebelahan cubical dia. Beza sangat. Ketara. Cubical Fadzlan kemas, sedang
dia... macam tongkang pecah! Kalau boleh nak sepah-sepah lagi. Baru nampak
hardworking.
“Aku balik dululah,” ujar Fadzlan.
Ezad mengangguk. Dia lihat
abjad-abjad di skrin komputer. Puas dia godek-godek bahasa komputer yang
dibangunkan, tetapi tidak juga dia nampak mana silap. Error memanjang!
Kening Ezad hampir bercantum. Riak
wajah itu berkerut. Nampak sangat stress. Kedua belah tangan sudah menarik
rambut sendiri.
“Aaaa!” Ezad mendengus kasar.
Fadzlan memaling muka. Pandang Ezad
yang nampak kusut-masai.
“Apehal?”
Ezad garu kepala.
“Ni ha. Program ni, mana entah yang
problem. Tak mahu jadi. Asyik error. Aku ubah sikit, terus jadi macam ni. Siot
betul!” marah Ezad.
“Kau hadaplah programming tu.”
Fadzlan melangkah setapak.
“Eh! Kau tak nak tolong aku ke?”
“Kau tu kan programmer. Setakat
error macam tu, kacang aje kan,” tuntas Fadzlan.
“Hah, pergilah dating sana.” Gaya
Ezad seperti menghalau.
Tergeleng-geleng kepala Fadzlan.
Dilayan kepala Ezad tu nanti makin jadi.
“Lan, kejap!” Suara Ezad berdecit
lagi.
Fadzlan tarik nafas. “Apa lagi?”
soalnya kurang senang.
Terkedek-kedek Ezad berjalan ke arah
dia. Ada sesuatu yang halus bergayutan di hujung jari Ezad.
“Ni, kau tercicir ni.” Ezad
mengunjuk seutas rantai kepada Fadzlan.
“Benda ni jatuh,” kata Ezad lagi.
Fadzlan menyambut huluran Ezad.
Rantai berloket silver bentuk bulat itu diperhati sebelum digenggam.
“Thanks,” ucapnya.
“Untuk buah hatilah tu,” cebik Ezad.
Tidak habis-habis mengusik lelaki yang berusia dua tahun lebih tua darinya.
Fadzlan sekadar angkat tangan. Dalam
langkah perlahan, dia melepaskan genggaman itu. Rantai itu dipegang hujung
jari. Ia bergoyangan ke kiri dan kanan dengan bebasnya.
Loket silver berbentuk bulat yang
menjadi hati kepada rantai bertali halus itu dipegang. Fadzlan menekan sisi
loket tersebut. Tikk! Loket itu terbelah menjadi dua bahagian yang mana di
dalam loket itu tersimpan sesuatu. Fadzlan merenungi isi dalam loket berkenaan.
Di tengah-tengah loket itu tersimpan
kenangan cintanya kepada seseorang. Cinta yang dilipat rapi dan disimpan di
tempat yang paling sulit supaya dia tidak mampu mencapainya lagi. Tetapi,
mampukah dia?
Deringan telefon mengalun lagu She’s
Genius dendangan kumpulan barat- Jet, mematikan lamunan Fadzlan. Terpampang
muka Afina di tengah-tengah skrin telefon. Ibu jari dileret di atas skrin
tersebut sebelum melekapkan telefon itu ke telinga.
“Ada apa, kak?” Soalan klise
dilontar.
“Kau kat mana ni?”
“Office.”
“Lagi?” Suara Afina meninggi di
hujung talian sana.
Fadzlan mengeluh. “Dah nak balik.”
“Oh... ingat bertapa lagi kat office
kau tu ha,” kata Afina.
“Nanti jangan lupa ambil Mai kat
rumah. Kak Fina dengan nenek dah pergi rumah Mak Long dah ni. On the way.”
Afina menyambung bicara.
“Hah, ye,” sahut Fadzlan endah tak
endah. Muak dengar ayat perintah yang serupa.
“Kau call Mai dulu sebelum gerak
datang rumah. Kang budak tu tak bersiap lagi, kau melangut tunggu.” Afina
membuat sedikit penambahan.
Seperti biasa, Fadzlan menyahut
dengan ‘mmm’ sahaja.
Lebih kurang pukul 6.30 petang,
Fadzlan sampai di kawasan perumahan tempat keluarganya tinggal. Dia singgah di
sebuah masjid di taman itu sebelum kembali meneruskan pemanduan yang berjarak
lebih kurang sepuluh kilometer sahaja lagi. Dia tahu, kalau pergi rumah Mak
Long nanti, bukannya sempat sembahyang Maghrib. Jadinya, dia fikir ada baiknya
mereka bertolak selepas Maghrib. Lagipun Mak Long adakan majlis cukur jambul
cucu ketiga keluarga itu. Tidak penting mana sampai perlu tergesa-gesa.
Selesai menunaikan sembahyang
Maghrib, barulah Fadzlan meneruskan pemanduan menuju ke rumah Engku Zubaidah.
Kereta menyusur masuk ke halaman rumah. Kaki terjulur keluar memijak lantai
berumput hijau, diikuti susuk tubuh keluar dari kereta tersebut.
Fadzlan mengeluarkan telefon bimbit.
Dia cari nama Humairah.
“Aku dah kat bawah. Cepat turun!”
perintah Fadzlan. Tanpa menunggu bicara Humairah, dia terus putuskan panggilan
itu. Dia bersandar di bonet kereta sambil mengira detik waktu Humairah muncul
depan mata.
Selang beberapa minit, terlihat
Humairah keluar dari rumah. Gadis itu menyarung baju kurung kain kapas berwarna
biru lembut, dipadankan dengan selendang merah jambu yang tersarung kemas di
kepala. Fadzlan curi-curi pandang lenggok Humairah yang tampak kelam-kabut.
“Lambat!” dengusnya.
Mata Fadzlan tersorot ke arah
selipar jepun di kaki Humairah. Dia tahan gelak. Ini kes salah pakai ke memang
nak pakai? Berdetak-detik hatinya.
Humairah perasan riak muka Fadzlan
tetapi dia buat tidak peduli. Menonong buka pintu kereta dan memboloskan diri
masuk ke dalamnya. Malah dia sedar Fadzlan sedang mentertawakan dia yang
menyarung selipar jepun semata. Apa?! Ingat tak style baju kurung pakai selipar
jepun?
Humairah mengerling ke arah Fadzlan
di sisi. Lelaki ini turut menimbulkan pelbagai persoalan di benak yang tidak
pernah terjawab. Humairah menarik nafas dalam-dalam. Adakah Fadzlan juga
menyimpan ‘rahsia’ dirinya?
“Awak...” Kepala Humairah memaling
menghadap Fadzlan yang tenang memandu. Fokus mata lelaki itu tepat ke depan.
“Kita pergi tempat lain.”
Permintaan Humairah menyebabkan
Fadzlan menoleh sekilas.
“Kau nak pergi mana?” Nadanya naik
tinggi.
“Pergi mana-mana aje, tapi bukan
rumah Mak Long,” balas Humairah.
“Eh, kau jangan nak mengadalah. Kita
pergi rumah Mak Long, bukannya nak berjalan makan angin,” marah Fadzlan.
“Saya tak nak pergi rumah Mak Long.”
“Kau ingat aku driver kau?”
“Please...” Humairah separuh merayu.
Fadzlan ketap bibir.
SUASANA sunyi
antara mereka berterusan sejak lima belas minit yang lalu meski kedengaran
hiruk-pikuk suara manusia dan deruman enjin kenderaan lalu-lalang di
persekitaran mereka. Humairah membisu seribu bahasa, manakala Fadzlan yang
bersandar di kereta melorong mata ke arah Humairah yang berdiri jauh di depan
sana.
“Kita buat apa kat sini?” aju
Fadzlan. Tubuhnya semakin condong.
Humairah memaling. Merentap
pandangan Fadzlan yang terarah padanya.
Fadzlan kancing gigi melihat
perilaku Humairah. Lagak patung! Macam orang bisu pun ada. Soalan dia aju
dijawab dengan pandangan semata. Terbit kekesalan dalam hati menuruti
permintaan Humairah tadi.
“Bisu?” Tidak ditahan-tahan mulut
dia menghambur kata. Kini dia berpeluk tubuh.
“Saya cuba cari ketenangan,” tutur
Humairah dengan lembut. Mata dipejam rapat. Menghilangkan diri dalam kebisingan
suara manusia di situ.
Fadzlan ketawa. Kelakar! Humairah
tak nampak ke di mana mereka berada sekarang ni? Kiri kanan bunyi bising
suara-suara orang. Belum campur lain-lain bunyi. Celah mananya dicari ketenangan
itu?
Fadzlan melangkah perlahan mendekati
Humairah.
“Kau buka mata luas-luas, lepas tu
kau tengok sekeliling tempat ni.” Fadzlan berkata.
Mata yang terpejam rapat tadi,
terbuka luas. Juling mata Humairah lihat jari telunjuk Fadzlan merentasi pandangannya.
Humairah menoleh.
“Tak sesuai kau nak cari ketenangan
kat sini,” ujar Fadzlan lagi. “Ni tempat orang melepak,” tambahnya.
Renungan Humairah masih setia
terpacak ke wajah Fadzlan.
“Fadzlan...” Bibir dia bergerak
mengulum nama lelaki itu.
Fadzlan memaling muka, dan saat itu
dia menyedari Humairah memicing anak mata ke arahnya.
“Kebelakangan ni, fikiran saya
terganggu,” keluh Humairah. Riak wajah Fadzlan ditenungnya lagi.
“Apasal cerita kat aku pulak?”
Fadzlan meningkah selamba. Menunjukkan bahawa dia tidak pernah ambil kisah
perihal gadis itu.
Humairah hela nafas panjang. “Awak
tak pernah tahu perasaan saya, hidup dalam dunia ciptaan orang lain. Hilang
segala memori dulu. Tak ingat apa-apa langsung.”
“Selain Kak Fina dan nenek, awak aje
harapan saya.”
“Harapan?” Naik tinggi kening
Fadzlan.
“Bawa saya menyusuri memori dulu.”
Humairah berkata bersungguh-sungguh. Hanya Fadzlan yang mampu membantunya
ketika ini. Nenek dan Afina jelas enggan berkompromi. Keduanya bagai menyimpan
sesuatu yang hendak dipinggirkan dari hidupnya.
“Kita balik.” Fadzlan berkata keras.
Humairah segera menghalang laluan
Fadzlan. Jika bukan Fadzlan yang membantu, siapa lagi?
“Tolonglah bantu saya, Fadzlan.”
Humairah merayu.
“Kenapa tiba-tiba kau ungkit sesuatu
yang kau tak ingat?” Kedua belah tangan Fadzlan kini mencekak pinggang.
Wajahnya naik tegang.
Mata Humairah jatuh ke lantai tanah.
“Saya nak tahu siapa diri saya, mana keluarga saya, bagaimana kehidupan saya
sebelum ni dan...” Humairah berjeda seketika sebelum angkat muka dan melorong
renungan berkaca-kaca pada Fadzlan, lantas menyambung, “... dan...”
“Dan?” Kening Fadzlan hampir
bertaut.
“Dan apa yang menyebabkan saya hidup
macam ni, sekarang.” Humairah tahan airmata yang dirasakan bergenang. Hangat di
tubir mata. Sungguh, dia hendak mencari dirinya yang sebenar. Dia hendak
mengingati semula memori-memori yang telah hilang sepanjang beberapa tahun ini.
“Kau lupa yang Kak Fina beritahu kau
sakit?” Fadzlan berkata tanpa memandang Humairah. Muka dipaling ke kanan.
Ah, itulah yang sering diberitahu
oleh Afina mahupun Engku Zubaidah. Sakit! Sakit apa sehingga dia boleh lupa
diri? Gila?
Humairah memicit kepala yang
berdenyut. Ia datang lagi! Humairah cuba bertenang. Gagah memacak kaki atas
tanah supaya tubuh yang semakin meringan ini tidak tersembam. Mata dipejam celik beberapa kali. Seiring itu
dia terlihat bayangan yang melintasi ruang mata sepantas kilat.
Keriuhan suara manusia-manusia tadi
hilang sekelip mata. Yang tinggal hanyalah bunyi deruan enjin yang memecut laju
ke arah dia berdiri. Cahaya kuning menyimbahi seluruh tubuh. Humairah angkat
muka. Dia tidak mampu bergerak. Hanya mata dia sahaja menjadi saksi pelanggaran
‘dia’ di situ.
Fadzlan terkejut melihat tubuh
Humairah terhuyung-hayang bagai ditiup angin. Sempat dia menyambut tubuh
Humairah yang tidak sedarkan diri. Fadzlan panik. Tidak tahu apa yang patut
dilakukannya. Dia tepuk pipi Humairah. Memanggil nama gadis itu, namun Humairah
tidak menyahut.
Deru nafas kedengaran lemah itu
sedikit sebanyak meredakan kekalutan dia sebentar tadi.
“Humairah.”
“HUMAIRAH!”
Humairah terbangun dari dunia yang
gelap sebentar tadi. Dia berusaha bangkit dari pembaringan. Kepala masih
mengalun rasa sakit yang tinggal sisa.
“Nenek ingat Ara tak mahu bangun
tadi.” Suara seorang perempuan menjengah anak telinga.
Terbelalak mata Humairah tatkala
susuk tubuh Rosnah tersembul di sebalik kain langsir pintu bilik. Serentak
dengan itu, dia teringat Fadzlan. Di mana lelaki itu? Liar matanya memandang
kiri kanan. Peluh-peluh dingin menggigit dahi.
“Ara, kenapa ni?” Rosnah menyoal.
Humairah kaku lagi. Sentuhan Rosnah
hangat di pipi. Ini mimpi, bukan? Dada berdetak kencang. Bagai mahu pecah.
Ara? Bukankah itu nama panggilan
cucu Rosnah yang hilang itu?
“Kenapa pandang nenek macam tu?”
Rosnah menyoal lagi. Wajah tua itu mempamer riak-riak hairan.
Humairah diam tidak berkutik.
Memicing renungan ke arah Rosnah.
“Itulah, tidur tak ingat dunia. Malu
kalau Haikal tahu perangai Ara ni,” usik Rosnah. Tersenyum-senyum ke arah Humairah.
“Mari ikut nenek. Nenek nak beri
sesuatu pada Ara,” ujar Rosnah seraya bangun dari duduknya. Menonong keluar
dari bilik meninggalkan Humairah yang masih bergelumang dengan tanda-tanya.
Humairah duduk terpunduk di birai
katil. Untuk kesekian kali, dia tercampak ke dimensi yang dia tidak pernah tahu
di mana permulaannya. Humairah bangun. Berjalan menuju ke pintu yang terbuka
luas. Sempat mengerling ke arah meja solek bercermin besar yang memantulkan
biasan dirinya. Langkah Humairah terbejat. Tidak berkalih pandang diri sendiri.
Kehairanan menjerut diri. Rambut dia
yang panjang dilurut perlahan. Fizikal ini bukan miliknya meski wajah itu
berparas dia. Humairah meraba muka. Ditenung dalam-dalam imej yang terpantul di
permukaan berkilat itu.
“Aku... Ara?” Humairah menyoal diri
sendiri.
“Ara, buat apa lagi tu? Mari ikut
nenek,” panggil Rosnah. Menjengah kepala ke dalam bilik cucunya.
Humairah menoleh. Melorong anak mata
ke arah Rosnah.
“Mari,” ajak Rosnah, lantas menarik
Humairah.
Humairah panjangkan langkah
menyaingi Rosnah. Dia duduk di kerusi kayu, berdepan Rosnah. Rosnah ada
memegang sesuatu di tangan dan diunjuk kepadanya. Humairah memerhati tanpa
berkelip mata.
“Barang peninggalan arwah emak dan
babah Ara,” tutur Rosnah.
Ujukan itu masih tidak bersambut.
Gementar tangannya hendak menyambut pemberian tersebut.
Rosnah menghampiri Humairah bila
gadis itu tercatuk senyap. Seutas rantai emas berloket ukiran abjad ‘A’
bertukar tangan. Begitu juga sekeping gambar yang mengabadikan dua raut wajah
yang mampu membuntangkan mata Humairah.
“Ini...” Humairah menatap gambar
itu. Wajah lelaki dan perempuan itu pernah dilihatnya sebelum ini. Di dalam
mimpi yang mana menemukan dia dengan ‘Humairah’ yang seorang lagi. Malah dua
manusia itu terbujur kaku di dalam persalinan kain kafan. Humairah langsung
pegun.
“Emak dan babah Ara. Ara lupa ke
yang Ara pernah minta gambar mereka? Mujur nenek ingat mana nenek letak benda
ni,” cerita Rosnah.
Humairah masih seperti tadi,
merenung gambar dan rantai itu silih berganti.
“Walau mereka dah tak ada, Ara masih
ada nenek. Nenek akan sentiasa menanti kepulangan Ara. Nenek rindukan Ara.”
Spontan, Humairah mendongak. Mencari
wajah Rosnah.
Gelap! Relung waktu saat itu
bertukar seluruhnya.
Humairah bangun. Dia nampak Rosnah
berdiri di depannya.
“Nenek!” Humairah memanggil.
“Ara...” Rosnah menyahut. Tangannya
diunjuk ke depan. Humairah cuba mencapai tangan Rosnah tetapi Rosnah semakin
menjauh.
“Jangan tinggalkan nenek, Ara.” Sayu
suara Rosnah menggigit tangkai hati Humairah.
Sekelip
mata, Rosnah hilang- bertukar menjadi debu yang berkaca-kaca.
Humairah terbejat lagi. Ya Allah,
apakah yang sedang berlaku? Dia tidak faham! Humairah bertinggung. Kedua belah
tangannya memegang kepala. Tangisan Humairah luruh akhirnya. Bingung!
“Humairah...”
Humairah yang tenggelam dalam
tangisan, langsung tidak mempedulikan panggilan lembut tersebut.
“Humairah.” Suara garau itu
memanggil lagi.
Muka didongak. Menjulang tinggi mata
merentap susuk tubuh itu.
“Fadzlan?” Menggigil bibir dia.
Sesaat dia membalas renungan lelaki itu sebelum kembali memacak mata ke lantai.
Kenapa Fadzlan? Humairah cukup
keliru. Haruskah dia berdepan relung mimpi yang begitu rumit? Setiap darinya
meninggalkan persoalan yang memberat dalam kepala.
“Pergi!” Jerit Humairah.
“Pergi!” Jeritnya lagi. Mata dipejam
rapat. Enggan membiar pancaindera itu menghunus pandangan yang hanya akan bikin
fikiran dia serabut
“Bangun Humairah! Bangun!” Humairah
mendesak diri sendiri. Dia tahu, ini mainan mimpi. Dia bermimpi.
Bangun! Suara hati memekik lantang.
BERSUSAH-PAYAH
tubuh itu dicempung lalu dibaringkan dengan cermat di seat belakang. Fadzlan
buru-buru membolos diri masuk ke kereta. Kunci kereta disumbat masuk ke dalam
lubang berhampiran kepala stereng. Kunci itu dipulas sekali dan enjin
kedengaran menderu. Bila pedal minyak ditekan, bunyinya semakin kuat mengaum.
“Humairah.” Fadzlan menggumam nama
itu di hujung bibir bersama resah berpalu di hati.
Terima kasih kerana baca entri ini. have a nice day :)
notahujungkaki: Eh, sikit lagi nak sampai part pembongkaran rahsia siapa Humairah tu sebenarnya :) Ara.... oh Ara... :) Tata!
5 comments:
@baby mio
thanks awak sbb sudi drop sini :)
Lama lak rase nk tgu nxt n3...huhuhu..nice one..keep us readers on toes sbb nk c d light of d story..
@anonymous
Hai awk :) sori ye kalau awk tetunggu2 entri strusnya.byk sgt kekangan dpn mata -..-' insyaAllah..entri akan diupdate dlm masa terdekat :)
And lg sekali,thanks sudi baca kphm :)
Hi...he3..citer kalau best mesti la nak follow kannn...ngehhhs...
Kalau awak tambah saspen lg citer ni...mmg xtdo mlm la gamaknya sbb nk kene tgu n3 lg satu 0(^.^)0
Oh ye? :) terharu nye awak sudi folow :')
Saspen tu tak la saspen sgt.ada laa buat sikit2 konon2 nk bg kejutan.entah menjadi entah tak.hihi
Post a Comment