Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab1.

Assalamualaikum.









"...Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku, akan Aku ampuni apa yang telah kamu lakukan..." - HR Tirmidzi









Bab 1
“IBU! Ibu!” Suara kecil itu langsung tidak menggugah ketenangan persekitaran yang kelihatan sungguh damai.
“Ibu!” Amiera  tercari-cari kelibat ibunya.
“Ibu! Mana ibu pergi?!”
“Ibu?” Amiera terus memacu kaki ke hadapan. Mata melikas liar mencari kelibat ibunya. Kaki yang terjulur di depan sana menggamit pandangan. Sepantas kilat, dia berlari ke arah tubuh yang terlentang atas lantai tanah.
            “Ibu!” Amiera menjerit lantang. Dia cukup kenal persalinan yang dipakai ibunya. Berbaju kurung merah jambu berbunga-bunga kecil.
            “Ibu! Ibu!” Hujung bibir ibunya ada kesan luka dan cecair merah mengalir dari luka tersebut. Pandangan Amiera meleret pada bahagian perut ibunya yang meruak darah merah segar. Amiera menangis.
            Tangan dicemari cecair merah likat itu cuba diangkat tinggi, mengelus lembut pipi Amiera. Mata wanita itu berkaca-kaca. Menahan rasa sakit saat terasa nyawa di hujung tanduk. Menanti sampai detik malaikat maut menjemput rohnya.
            “Ibu...” Mengongoi tangisan Amiera.
            Dan nafas itu terhenti.
            Amiera menjerit.

KELOPAK mata terbuka luas. Dia bangkit dari perbaringan. Mengelus dada yang laju mengalun detak. Bayangan itu datang lagi. Menghadirkan rasa ngilu yang mencucuk ulu jantung.
            “Ya Allah...” Amiera merintih halus. Sungguh, dia pilu. Ingatan sewaktu kecilnya itu sering menganggu-gugat ketenangan yang cuba diraih. Biar tragedi itu tidak lagi menghantui mimpi malamnya sedahsyat dahulu, namun ia masih kekal menjadi retetan hidup yang tidak akan padam sampai bila-bila.
            Amiera beristgfar panjang. Nafas dihirup perlahan lantas dilepaskan melepasi rengkungan.
            Ekor mata menyoroti jam kecil Hello Kitty yang terletak di atas meja di sudut kanan berhampiran katil. ‘Masih awal,’ hatinya berdesis halus. Dia kembali merebah badan. Kedua belah tangannya dijadikan alas di pangkal leher. Pandangan mata membidik tepat ke siling. Rasa mengantuknya langsung hilang. Yang bersisa hanyalah ingatan itu. Detik di mana arwah ibunya menghembus nafas terakhir di ribanya sendiri.
            Cecair likat warna merah terbayang-bayang depan mata. Serta-merta, dia katup mata.
            Darah.

 ‘I miss you, Amiera.’
            Rangkai kata yang diterima lewat pagi semalam melewati fikiran, lantas membenamkan satu keluhan berat dalam rengkungan.
            “Ekmal...” Bibirnya bergerak-gerak, menutur nama itu dan kemudiannya desiran itu bersatu dengan udara.
Pelipis dahi diurut perlahan-lahan. Diiringi keluhan yang memberati dada.
Mata yang dikatup rapat, terbuka serta-merta. Dentuman kuat di meja benar-benar mengejutkannya. Mencerlung matanya ke arah Betty yang tersengih-sengih.
            “Kau nak aku mati cepat?” dengus Amiera, garang.
            Betty tetap pamer riak selamba. Menunjukkan dua gigi kacipnya yang terkeluar sedikit.
            “Kau tu aku tengok, bukan main panjang lagi mengelamun, apa fasal? Ingat lelaki mana?” Betty mencebik.
            Amiera menarik nafas. Lelaki? Tekaan Betty memang mengena. Dia ralit memikirkan perihal sang arjuna yang membuatkan dia sesak dada saban ketika. Sempadan yang telah dia gariskan sejak dulu tidak pernah menyedarkan Ekmal tentang hubungan mereka.
            “Berangan lagi!” rungut Betty. Gadis seusianya itu mengetuk meja menggunakan hujung jari. Sedang ekor mata setia melirik pada Amiera.
            Amiera bersandar tubuh. Kepala didongak ke atas.
            “Eh, lupa pula nak beritahu. Ni ha, petang karang Encik Is nak bawa kita semua main bowling.” Sambil mulut terkumat-kamit menyampai pesanan, hujung jari kanannya lincah menekan tetikus. Melakarkan sesuatu di skrin komputer pada aplikasi Adobe Flash CS6.
            “Oh ya?”
            “Hai, bunyi macam tak berminat aje.”
            “Mana ada. Aku okay aje kalau nak pergi main bowling walau hakikatnya akulah yang paling juara masuk longkang.”
            Serentak dengan itu, Betty ketawa terbahak-bahak. Diperakui kata-kata Amiera. Gadis itu menduduki nombor satu dari belakang. Amiera mengerling geram pada Betty. Sungguh-sungguh Betty ketawa sampai tertunduk-tunduk menekan perut. ‘Gelihati sangatlah tu,’ cebiknya.
            “Tapi aku tak dapat joinlah.” Lambat-lambat Amiera memberitahu.
            Betty segera kalih wajah. “Lah, kenapa?”
            “Aku ada hal sikit.”
            “Hal apa? Dating?”
            Amiera juling mata ke atas.
            Tawa Betty semakin menjadi-jadi.
            “Fine kalau kau tak mahu share dengan aku,” tuntas Betty, seolah-olah jauh hati.
            “Kalau pun aku nak pergi dating, tak ada maknanya aku nak beritahu dekat kau.” Amiera semakin giat memprovok.
            “Tak berminat!” Kata-kata Betty memutikkan senyuman yang makin melebar di pinggir bibir Amiera.

ANGIN berpuput lembut menampar pipi. Keheningan suasana tempat itu masih sama, seolah tidak pernah berubah di mamah masa. Pandangan mata ditebak merata-rata bagai mencari sesuatu. Di laluan denai berumput halus itu, renungannya jadi kaku. Pegun menatap kawasan sunyi tersebut.
            Dalam langkah perlahan, dia mula mengira jejak. Satu per satu sehingga menghampiri kawasan laluan denai berumput halus itu. Sebelah kaki menginjak papan uzur yang sedia tertanam di lantai tanah berkenaan.
            Serta-merta, gigi berkancing ketat. Menzahirkan badai yang sedang hebat bergelora dalam dirinya. Perasaan itu masih serupa meski sudah bertahun-tahun tragedi itu berlalu.
            “Adik tunggu sini ya.”
            Suara lembut itu mengetuk jendela telinga. Amiera kekal tenang. Kaki terus dibawa melewati laluan denai tersebut.
            “Ibu pergi kejap aje. Adik jangan ke mana-mana. Tunggu ibu.”
            Pesanan terakhir itu berdengung kuat. Dan Amiera tidak mampu menahan sebak di saat wajah ibunya menerpa ke dalam kotak fikiran.
            “Ibu...” Ulas bibirnya bergerak-gerak. Kini, dia berdiri tidak jauh dari kawasan tragedi yang telah meragut nyawa ibunya. Terbayang-bayang sekujur tubuh berlumuran darah terlentang di hujung sana. Amiera memejam mata. Segera kalih tubuh membelakangi kawasan itu.
            Hari ini, genap empat belas tahun pemergian ibunya menemui Ilahi. Empat belas tahun... satu jangka masa yang terlalu singkat baginya. Terasa baru semalam dia lihat sekujur tubuh ibu dimandikan oleh sekumpulan wanita, dikafankan, disembahyangkan, dan dikuburkan dengan sempurna. Segalanya masih segar dalam ingatan.
            “Ya Allah...” Amiera gagahkan diri untuk kembali menerokai kawasan tersebut meski hatinya bagai dicarik-carik.
            “Setiap manusia akan mati. Cuma cara kematian itu datang menjemput adalah berbeza-beza.”
            Tiba-tiba suara parau ayah angkatnya menerjah telinga. Ulu jantung yang dijerut kuat tadi langsung kembali normal. Dia sudah lama redha akan kehilangan itu. Hanya memori yang bersisa menyebabkan dia dihambat kesedihan yang maha dahsyat. Dia trauma.

SELEPAS kematian ibu, Amiera dijaga oleh datuknya, Tok Awan. Tok Awan memelihara dia bagai menatang minyak yang penuh. Segala keperluan diri, persekolahan ditanggung sepenuhnya oleh lelaki duda itu. Nek Awan pula sudah lama meninggal dunia disebabkan oleh kanser payudara. Tok Awanlah yang melengkapi dunia kecilnya waktu itu.
            Hari yang mendatang tidak selalunya cerah. Mendung yang hadir secara mendadak itu seolah-olah meragut kembali kebahagiaan yang baru dikecapi Amiera. Setahun kemudian, Tok Awan menghembus nafas terakhir ekoran kemalangan yang menimpa lelaki tua itu. Tok Awan cedera teruk di kepala dan meninggal di tempat kejadian.
            Amiera hilang tempat bergantung. Ibu dan Tok Awan telah dijemput Ilahi. Dalam usia baru meningkat  sepuluh tahun, dia tidak punya sesiapa!
            Tuhan itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Setiap musibah yang diturunkan kepada hamba-Nya penuh hikmah. Amiera tidak dibiar bergelandangan seorang diri. Ada tangan yang menghulur kasih. Mengikat janji akan menjaga dia sehingga hujung nyawa.
            “Mulai saat ni dan sampai bila-bila, Ayah Reza akan jadi ayah Amiera. Amiera anak ayah.”

ANAK kunci berwarna keemasan disumbat masuk ke dalam lubang mangga sebesar penumbuk bayi. Besi melengkung ke bawah itu terus terlepas dari cengkaman lubang kecil dengan sekali pulas sahaja. Setelah meleraikan mangga berkenaan daripada pagar besi, Amiera menolak pagar berkenaan agar bukaannya lebih luas.
            Sambil menolak motosikal masuk ke perkarangan rumah, ligat fikirannya merencanakan sesuatu. Hujung minggu nanti, dia hendak pulang ke kampung. Menziarahi pusara ibu dan Tok Awan. Perasaan rindu membuak-buak dalam dada. Biar sepasang mata miliknya menyoroti senyuman kaku ibu dan Tok Awan dalam kepingan gambar, belum cukup untuknya melepas rindu. Saat hujung tangan mampu menyentuh batu nisan putih bersih yang terukir nama ibu dan Tok Awan, barulah seluruh pelosok jiwanya kembali tenang. Rindu itu bagai telerai sekelip mata.
            Pelantun suara lunak Ellie Goulding mendendangkan lagu Lights mematikan lamunan singkat Amiera. Sepantas kilat dia menyeluk tangan ke dalam beg. Telefon bimbit diambil. Tertera nama ayah di skrin itu.
            “Assalamualaikum ayah,” tuturnya dengan lembut.
            “Waalaikumsalam. Anak ayah dah balik kerja ke?”
            “Dah. Mira baru sampai rumah,” beritahu Amiera.
            “Lewatnya.”
            Ulas bibir Amiera terus melentur senyum kecil. Ayah masih menganggap dia anak kecil. Pulang lewat sedikit dari kebiasaan pun, andai ketahuan dek ayah, pasti lelaki itu akan mula risau.
            Ekor mata mengerling jam di tangan. Belum pun mencecah jam tujuh petang.
            “Hujung minggu ni, Mira datang rumah ayah ya.”
            “Ada apa, yah?” soalnya.
            “Ni, ayah dan ibu ada buat makan-makan sikit. Dah lama sangat kita tak makan sama. Ayah dah suruh semua balik kumpul termasuklah Ekmal. Tapi Mira tahu ajelah Ekmal tu, sibuk memanjang.”
            Mendengar nama Ekmal, dada Amiera diserbu rasa kurang enak.
            “Mira balik ya sayang.”
            “Mmm...” Amiera berjeda seketika. Berkerut-kerut dahinya.
            “Ayah, kalau Mira tak datang join, tak apa, kan? Mira ada hal.”
            “Hal apa?”
            “Mira nak balik kampung.” Jujur Amiera memberitahu.
            “Ziarah kubur ibu?” Tebak suara di hujung talian.
            “Kalau macam tu, tak apalah. Nanti, kirim salam kami dekat Tok Usu Mah,” lanjut lelaki itu.
            “Baiklah ayah,” sahutnya perlahan.
            Setelah panggilan itu berakhir, terhambur keluhan berat dari mulutnya. Nafas yang melepasi rengkungan juga memberati dada. Ayah terlalu baik dengannya tetapi kebaikan ayah tidak disenangi sesetengah manusia dalam keluarga kecil ayah.
Pandangan Amiera tersorot ke arah sebuah lori bertayar enam melintas depan mata. Lori itu berhenti di depan rumah kosong, bersebelahan rumahnya. Diikuti dengan kemunculan sebuah Proton Saga FL berwarna kelabu.
“Kakak!”
Senyum Amiera sampai ke telinga.

SARAH tersenyum-senyum perhati paras Amiera dari hujung kaki ke hujung kepala. Amiera yang menyedari kelakuan Sarah naik hairan. Dia pandang keadaan diri sendiri.
            “Kau pandang apa, Sarah?” ajunya sambil berpeluk tubuh.
            Sarah menggeleng tetapi hati kecil Amiera kekal dijerut rasa curiga. Apatah lagi terlihat senyuman kecil yang bergayutan di pinggir bibir anak dara Shahreza itu.
            “Eleh... mata tu asyik perhati kita, dah kenapa?” gumam Amiera. Dia bersandar tubuh ke sofa.
            Sarah mengengsot menghampiri Amiera. Tangan didepa luas sebelum memeluk Amiera dengan erat.
            “Sarah rindu kakak!” teriak Sarah. Melantun-lantun suara Sarah di segenap penjuru rumah dua tingkat kos sederhana yang disewa oleh dia bersama Maya dan Dayana.
            Amiera tertawa kecil, selajur ikut sama membalas pelukan itu. Kedua belah pipi Sarah diciumi penuh kasih. Sarahlah saudara yang paling akrab dengannya dalam kalangan anak-anak kandung ayah. Teman bermain sewaktu kecil, teman ketawa di kala suka, teman menangis di saat pilu, dan teman bergosip!
            “Kak Mira makin cantik!” puji Sarah sebaik dakapan erat itu dilepaskan.
            Amiera mencebik. “Ha... nak menipulah tu!”
            “Eh, orang cakap betul lah,” sahut Sarah. Bibirnya termuncung-muncung. Kemudian ulah nakal Sarah menghambat penglihatan. Amiera menduga-duga, apa yang sedang bermain di fikiran dan hati adik sepupunya itu.
            “Patutlah Abang Amal suka akak,” ujar Sarah.
            Mengekek Sarah ketawa apabila Amiera pamer riak bengang.
            “Dia ni kalau cakap...” Hujung bibir Sarah yang terjuih itu ditarik lembut.
            Sarah memasamkan wajah. “Orang cakap betul lah!”
            Amiera tersenyum hambar.
            “Ni berapa lama Sarah cuti ni?” Sengaja dia mengalihkan topik perbualan mereka. Terasa sempit dada tatkala nama Ekmal disebut-sebut.
            “Emm... dua bulan! Jadi Sarah ingat nak stay dengan kakak, boleh?”
            “Bukan kata hari tu, ibu offer kerja dekat butik ke?”
            “Malaslah, kak. Kalau duduk kerja sana, nanti asyik bertekak dengan Kak Ema aje,” keluhnya.
            Naik tinggi kening Amiera. “Alah, gaduh-gaduh kecil tu, biasalah. Kata orang tu, gaduh manja.”
            “Kak Ema tu, nampak aje garang tapi hati dia baik tau,” lanjutnya.
            “Iye ke? Sarah tengok, sama aje Kak Ema tu, tetap rupa tak ada jiwa. Kak Mira aje yang gigih nak jaga hati dia, tapi dia tu?”
            “Sarah...” Suara Amiera meleret panjang.
            Sarah terdiam. Selajur, dia bangkit dari duduk. Kaki dihala mendekati jendela yang ditabiri langsir berkain jarang warna lembut. Langsir itu diselak sedikit.
            “Sarah tolong ibulah nanti. Boleh dapat duit,” katanya, kemudian melempar pandangan ke arah Amiera semula bersama kuntuman senyuman menghiasi wajah manisnya.
            “Kak...” Sarah kembali melontar anak mata ke luar jendela.
            “Kenapa?” aju Amiera.
            “Ada orang pindah rumahlah,” beritahu Sarah.
            Amiera angkat punggung, seraya mendekati Sarah.
            “Tu... tengok tu...” Sarah menuding jari.
            “Akhirnya, ada juga penghuni rumah sebelah ni.” Amiera kulum senyum.
            “Dah lama ke dibiar kosong?”
            Amiera menarik Sarah mengikut dia masuk ke dapur. “Entah. Masa kakak pindah masuk sini, Maya dengan Yana cakap, rumah sebelah memang kosong. Tak ada orang duduk.”
            Mug bersaiz sederhana besar diambil dari dalam kabinet bersebelahan peti sejuk. Ligat tangannya mencapai jus buah dan dituang ke dalam cawan tadi, lalu diunjuk kepada adiknya.
            “Minum dulu,” kata Amiera.
            “Sarah tumpang tidur sini dua tiga malam, boleh?”
            “Dah cakap dengan ibu, ayah?”

            Sarah mengangguk. Curi-curi dia tatap wajah Amiera. Wajah itulah yang tersimpan kemas dalam dompet milik Ekmal.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Tukar.

8 comments:

Nveloaddct said...

Huhuhu...KPMH xde mgu ni...sedey3..
Nak intro citer baru rupanya...
Cik writer..tq utk citer baru..jgn lupa up kan KPMH..dh rindu bangat ngn Ara, Fadzlan n Haikal nih.... :'(

~::HANAH RISHAS::~ said...

@nveloaddct

Hai :) haah,mnggu ni takde kphm.kite nk selit2 entri e-novel baru :)

Don't worry awk.next week kompom ada :)

Thanks sudi sokong kphm dan jadi pmbaca setia.terharu :)

Anonymous said...

siapa hero cite ni??haha

regards,
- datin :P -

~::HANAH RISHAS::~ said...

Kemain regards bagai hahahahha

Hero still sama aa.adlan hakim.kuikui

ada said...

Best..

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ada

Hai ada :)

Thnks drop sini :)

Nik Ainaa said...

mula2 dh best ^_^

~::HANAH RISHAS::~ said...

Hai nik ainaa :)

Tq sudi baca,drop komen :)