Wednesday, October 22, 2014

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab 8.

Assalamualaikum.







"...Every religion has a distinctive quality, and a distinct quality of Islam is modesty..."








Bab 8
RAHANGNYA jatuh. Bukaan mulutnya begitu luas sehingga mampu menggumpal bergulung-gulung udara di dalamnya. Tidak berkelip mata dia memerhatikan Lufiya. Gadis manis itu hanya mengukir senyum yang nyata tidak menyuntik ketenangan buatnya.
            “Sa... saya?” Jari telunjuk menuding dada sendiri.
            Lufiya mengangguk laju. Sambil itu, ligat tingkahnya mengemas beberapa buah fail yang bersepah atas meja. Ruang luas itu jadi sempit.
            “Esok, Ain ikut Tengku.” Penegasan itu diulangi untuk kali ketiga.
            “Tapi... saya...” Nurul Ain garu kepala. Tudung bawal yang dipakai elok jadi senget-benget.
            Lufiya menjulang roman resah Nurul Ain. Bahu gadis itu ditepuk lembut. “Ain jangan risau. Lagipun, Tengku sendiri yang request, nak Ain ikut serta gantikan tempat saya.”
            “Tapi... Kak Lufiya... saya...” Bicara dia jadi kelam-kabut. Tiada satu pun yang menemui titik noktah dengan jalinan ayat lengkap. Serta-merta dia kalut. Pelbagai soalan muncul di benak.
            “Lufiya, tolong pass dokumen ni pada Irfan. Ada benda yang dia kena settlekan before tomorrow morning.”
            Terdengar sahaja garau suara itu muncul dari belakang, Nurul Ain lekas berganjak ke tepi beberapa langkah. Pandangannya tidak pernah tinggi menjulang paras Tengku Hanif. Entah, paras lelaki itu tiada tersimpan dalam peti ingatan meski ketika pertemuan lama dulu, begitu lama dia menilik setiap lekuk wajahnya.
            “Baik Tengku.” Lufiya patuh. Ganggang telefon dicapai. Jari runcingnya menekan gabungan tiga nombor. Setelah menunggu beberapa detik,  suara seorang perempuan menyapa lembut. Mereka berbicara secara ringkas. Dia sekadar bertanyakan keberadaan Irfan di jabatan itu, yang terletak di tingkat yang sama, hanya berpisah sayap utara dan selatan.
            “Esok awak balik kampung, kan?” Kerlingan Tengku Hanif mencuri-curi lihat Nurul Ain.
            Lufiya mengangguk. Lebar senyumannya.
            “Jangan pula nanti awak lupa jalan balik sini. Tak hidup saya kalau tak ada awak, tahu.” Tengku Hanif bersenda. Otot muka melenturkan senyuman kecil.
            Lufiya tertawa pula. Hati kecil terhibur mendengar usikan mesra begitu.
            Di tengah-tengah perbualan antara Tengku Hanif dan Lufiya, Nurul Ain setia memakukan diri. Tidak berkutik langsung. Kadang ketika, nakal juga mata dia cuba meraih paras Tengku Hanif. Belum pun sempat memusatkan pandangan penuh ke paras lelaki itu, terlebih dahulu dia kembali tundukkan mata. Sekadar menjamu ulas bibir lelaki yang tampak segar. Tanda tidak merokok.   
            Suara yang menerobos ke ruang pendengaran seakan memberikan rasa nyaman. Menyapa lembut bagaikan satu irama merdu. Sehingga keningnya merunduk ke bawah kerana memikirkan perasaan aneh tersebut. Hanya suara, dia boleh tertarik begini?
            “Okey kerja sini?” Tengku Hanif menegur. Ketika itu, Lufiya tiada bersama mereka. Sudah mengemudi langkah mencari Irfan.
            Nurul Ain tersentak. Tidak pula menjulang mata tinggi menatap Tengku Hanif.
            “Anu... aaa... okey.” Bicara dia terawang-awang. Terasa sukar hendak dilantun lepas.
            “It almost 1 o’clock.” Tengku Hanif mengerling sekilas jam di pergelangan tangan. Kemudian kembali mencari wajah yang masih menunduk itu.
            “Maaf Tengku. Saya minta diri dulu.” Buru-buru dia hendak melangkah pergi.
            “Kalau susah sangat, you kerja sini aje lah.”
            Mati terus pacuan kaki yang mulanya deras. Tubuh tegak berdiri.
            ‘Tak salah dengar, kan?’ Hati berdetak-detik.
            “Daripada you terkejar-kejar ke sana sini, then kadang-kadang kena marah dengan bos tu, better you isi kekosongan yang ada. Here,” lanjut Tengku Hanif.
            “Lagipun, jawatan tea lady tu masih available. And you fit it well, Nurul Ain, buat masa ni.”
            Hampir bertaut rapat keningnya. Apabila dia menoleh ke belakang, Tengku Hanif sudah tiada.
            ‘Dia... macam mana dia tahu?’ Hati berdetak-detik penuh sangsi.
            “And don’t forget, tomorrow you replace tempat Lufiya.”
            Bagai hendak luruh jantung dari tubuh tatkala suara itu menyapa cuping, seterusnya menerobos ke jendela telinga. Susuk Tengku Hanif dipandang sehingga bayangnya hilang.

GELAGAT seorang perempuan berpakaian serba sederhana, bertudung bagi menutupi auratnya, diperhati lama. Pada telahan dia yang memandang, perempuan itu sedang menghadapi kesulitan. Lantas, ringan kaki dibawa menghampiri perempuan tersebut. Salam diberikan dan mereka saling berbalas pandang. Buat seketika, Irfan pegun merenungi paras yang kian cela dengan peluh-peluh halus merintik kasar.
            “You yang... pantry hari tu?” Irfan menuding telunjuk ke arah Nurul Ain.
            Nurul Ain kerut dahi. Siapa lelaki itu? Tidak pula dia kenal.
            “Pantry?” ajunya.
            Terangguk-angguk kepala Irfan.
            “Tak ingat? Air, sabun... pantry?” Irfan mengibas kemeja yang dipakai.
            Bertambah dalam kerutan itu. Nurul Ain berusaha untuk mengingati sesuatu yang telah dia lupa.
            “Oh!” Suara dia berdecit. Seraya memetik jari.
            “Maaf fasal hari tu,” ucapnya.
            Irfan tersenyum. “Eh, tak apa.”
            Leret mata Irfan meninjau keadaan motosikal Nurul Ain.
            “Kenapa dengan motosikal awak ni?” Secara drastik, kata ganti nama yang digunakan lebih bercirikan kemelayuan. Tiada ‘I’, tiada juga ‘you’. Lebih sopan menyapa halwa telinga.
            “Bocor kut.” Nurul Ain menjawab.
            Irfan menunduk. Keadaan dia seperti sedang ruku’. Tayar belakang motosikal itu ditekan kuat. Nyata, kebocoran tayar berkenaan terlalu teruk. Langsung ghaib udara yang memenuhi.
            “Awak nak pergi mana? Biar saya tolong hantar,” pelawa Irfan.
            Nurul Ain berundur selangkah ke belakang. Lambat-lambat dia menggeleng. “Tak apa. Saya boleh balik sendiri,” tolaknya dengan lembut.
            Lentur senyum halus di ulas bibir Irfan.
            “Jom... ikut saya. Lagipun, kalau nak tunggu bas, lama juga ni.” Mata meliar perhati persekitaran yang sedikit sibuk.
            Nurul Ain garu pipi. Dia harus segera sampai ke tempat kerjanya. “Habis... motosikal saya ni, macam mana? Tinggal sini?”
            Irfan angkat tangannya ke paras dada. Isyarat itu meminta agar Nurul Ain menunggu sebentar. Mengecil mata Nurul Ain melihat lelaki itu. Tidak dikenali orangnya, nama apatah lagi tetapi telah menunjukkan satu sikap terpuji- berhati mulia kerana sudi membantu meski mereka tidak saling mengenali.
            Irfan kembali menghampiri Nurul Ain bersama seorang lelaki separuh usia yang menyarung persalinan kemeja lengan pendek berwarna kelabu dan berseluar hitam. Kepalanya ditutupi dengan topi yang memanjang ke hadapan dan berkilat pada muncungnya.
            “Kunci motosikal...” Irfan meminta.
            Bulat mata Nurul Ain. Semakin dia menjauhi Irfan.
            Irfan kehairanan. Selanjur dia tertawa perlahan.
            “Saya dah call kawan, nanti dia tolong betulkan tayar motosikal awak tu. Kunci motosikal tu beri pada guard ni. Jangan risau, guard ni tak akan bawa lari harta awak tu.” Irfan berniat berseloroh.
            Nurul Ain jadi malu. Dia sembunyi tawa. Tangan diunjuk bersama anak kunci motosikal miliknya.

ANISA tidak berhenti mengekor, malah tiada istilah lelah selagi apa yang dituntut daripada Nurul Ain tidak diperoleh. Penjelasan sebegitu ringkas langsung tidak dapat diterima akal fikiran dia.
            Di pihak Nurul Ain pula, pastinya kerimasan melanda. Setiap langkah dia mengukur luas kedai sederhana besar itu, Anisa turut sama membuntuti di belakang. Soalan sama kekal dihambur keluar tanpa jemu.
            “Aku tak tahulah,” kata Nurul Ain. Jujur, dia tidak kenal lelaki yang menghantar dia pulang sebentar tadi.
            “Ye ke? Takkan suka hati orang tu nak hantar kau, Ain?” Kening sengaja dijongket tinggi sebagai tanda dia mengesyaki sesuatu.
            Halaan nafas dihempas berat. Dia berkalih tubuh menghadap Anisa. Kedua belah tangan mencekak pinggang.
            “Kebetulan dia nak tolong aku. Hisy... dahlah! Kau ni, kalau tanya tak akan habis sampai bila pun,” cebik Nurul Ain. Geram.
            Anisa tertawa kecil.
            “Alah, aku curiga aje. Tiba-tiba bawa lelaki datang kedai.”
            Spontan, Nurul Ain mencubit lengan Anisa. Gadis yang berambut panjang, diikat tinggi itu hanya mengaduh kesakitan. Mulutnya memuncung. Mula membebel dalam bicara yang panjang.
            “Ubat untuk mulut kau.” Nurul Ain berkata lagi. Terjuih-juih ulas bibirnya.
            “Sakitlah, bengong!” gerutu Anisa. Kesan cubitan Nurul Ain jelas memerah membakar kulitnya yang kuning langsat.
            Lirik mata Nurul Ain menerkam paras Anisa yang masih sembunyi senyum lebar.
            “Macam ni lah...” Jeda seketika.
            Anisa menarik kerusi. Duduknya bertentangan Nurul Ain yang kelihatan sibuk menyusun bunga-bunga baldu dalam sebuah kotak.
            “Kalau kau tak nak lelaki tadi tu, kau pass kat aku. Aku pun single lagi ni.” Anisa ketawa lagi sebelum menyambung, “Kau kan dah ada bos dekat tempat kerja part time kau tu. Cukuplah, kan?
            Terkekeh-kekeh Anisa ketawa. Bersambung-sambung. Sampai ada masa, Anisa menekan perutnya yang terasa senak ekoran hilai tawa yang agak melampau.
            “Eh, kau ni memang dasar tak sedar diri tau,” kutuk Nurul Ain. Pipi Anisa ditarik sepuas hati.
            Anisa gigit bibir.
            Terburai tawa Nurul Ain. Perkerjaan dia langsung terbejat.

KAMPUNG SUNGAI SAYONG
“DAYANG NUR AISHA. Nama dia Dayang Nur Aisha.” Pengakhiran cerita itu menyerupai kelaziman. Ternoknah dengan barisan nama yang tidak pernah ditemui siapa pemiliknya.
            Damia memerhatikan kerutan yang merauti wajah wanita yang digelar mesra ‘emak’. Seperti ada sesuatu yang disembunyikan daripada pengetahuan sesiapapun.
            “Mak...” Damia mengengsot hampir kepada Mak Wok. Tangan tua itu dielus lembut. Jelas kelihatan urat-urat kasar timbul disebalik lapisan kulit yang berkedut.
            Mak Wok membawa pandangan ke wajah Damia. Sedikit demi sedikit, otot muka melenturkan sebuah senyuman.
            “Kalau dia masih ada, dia sudah sebesar kamu, Damia,” katanya dalam  kepiluan yang ditahan-tahan.
            “Kami... sebaya?” soal Damia ingin tahu.
            Mak Wok mengangguk perlahan.
            “Dua puluh lima tahun, seusia kamu.” Mak Wok menjawab.
            “Kak Mia! Oh... Kak Mia.” Megat memekik lantang. Suaranya kedengaran sayup-sayup melepasi regangan pintu.
            Damia bingkas berdiri. Pintu utama rumah kayu diterpa. Tersembul muka Megat di depan mata, berdiri di anak tangga paling bawah.
            “Kenapa dik?” Damia menyusun langkah menuruni anak tangga sehingga dekat pada Megat.
            Megat mengunjuk sebekas tupperware hijau kepada Damia. “Ini, umi kasi dekat Atok Wok.”
            Unjukan itu bersambut. Leret mata Damia menembusi isi dalam tupperware berkenaan. Ada lauk ikan dan sayur campur. Seulas senyuman muncul di sebalik mungil bibirnya.
            “Umi kata tadi, suruh Kak Mia teman Atok Wok makan.” Pesanan itu disampaikan dalam sekali nafas.
            “Nasi?” Damia menjulang roman Megat.
            Megat mencebik. “Amboi kakak ni. Dah kasi betis, nak peha pula.”
            Damia ketawa kecil. Dia berkata, “Iyalah. Nanti kakak masak nasi untuk emak.”
            “Atok Wok lah, kak. Apa panggil mak pula? Bunyi macam tak hormat aje,” komen Megat.
            “Amboi, nak mengajar orang pula.” Damia menjuih bibir. “Kan panggilan mak tu lebih mesra. Lagipun, Atok Wok memang macam emak akak dah. Dari kecil, emak yang jaga Kak Mia bila umi ikut ayah pergi kerja.”
            “Adik nak panggil emak juga, Kak Mia tak kasi pun!” Megat mengungkit.
            “Sebab panggilan tu sesuai untuk Kak Mia aje. Kau mana layak.” Panjang tawa Damia mengiringi usikannya kepada Megat.

            Megat tarik muka masam.

Terima kasih kerana sudi baca entri ini. have a nice day :) 

notahujungkaki: Amiera-Adlan kan, memang sangat menguji diri. Bukan sebab cerita yang mencabar tapi sebab tak siap-siap. Sebab apa tak siap? Sebab asyik merungut MALAS. Padan muka! :p

4 comments:

Anonymous said...

Bahasa dan olahan ayat akak indah dan lembut mata yang membaca.

~::HANAH RISHAS::~ said...

Dear anon,

Tq sudi menjejak,skrol baca entri blog ni :) and tq jga atas komen :) masih bljr utk menulis spy jdi lebih baik :)

Anonymous said...

saya tertarik dgn jalan citer. mula2 pun seronok. bahasa yg awak gunakan sgt indah. CJKP ni ada berapa byk bab?.

~::HANAH RISHAS::~ said...

Dear anon,

Terima kasih sudi singgah baca cjkp dan syukur awak suka :) bab tu..ada dlm 50++ :)