"...Every religion has a distinctive quality, and a distinct quality of Islam is modesty..."
Bab 8
RAHANGNYA jatuh. Bukaan mulutnya begitu luas
sehingga mampu menggumpal bergulung-gulung udara di dalamnya. Tidak berkelip
mata dia memerhatikan Lufiya. Gadis manis itu hanya mengukir senyum yang nyata
tidak menyuntik ketenangan buatnya.
“Sa...
saya?” Jari telunjuk menuding dada sendiri.
Lufiya
mengangguk laju. Sambil itu, ligat tingkahnya mengemas beberapa buah fail yang
bersepah atas meja. Ruang luas itu jadi sempit.
“Esok,
Ain ikut Tengku.” Penegasan itu diulangi untuk kali ketiga.
“Tapi...
saya...” Nurul Ain garu kepala. Tudung bawal yang dipakai elok jadi
senget-benget.
Lufiya
menjulang roman resah Nurul Ain. Bahu gadis itu ditepuk lembut. “Ain jangan
risau. Lagipun, Tengku sendiri yang request, nak Ain ikut serta gantikan tempat
saya.”
“Tapi...
Kak Lufiya... saya...” Bicara dia jadi kelam-kabut. Tiada satu pun yang menemui
titik noktah dengan jalinan ayat lengkap. Serta-merta dia kalut. Pelbagai
soalan muncul di benak.
“Lufiya,
tolong pass dokumen ni pada Irfan. Ada benda yang dia kena settlekan before
tomorrow morning.”
Terdengar
sahaja garau suara itu muncul dari belakang, Nurul Ain lekas berganjak ke tepi
beberapa langkah. Pandangannya tidak pernah tinggi menjulang paras Tengku
Hanif. Entah, paras lelaki itu tiada tersimpan dalam peti ingatan meski ketika
pertemuan lama dulu, begitu lama dia menilik setiap lekuk wajahnya.
“Baik
Tengku.” Lufiya patuh. Ganggang telefon dicapai. Jari runcingnya menekan
gabungan tiga nombor. Setelah menunggu beberapa detik, suara seorang perempuan menyapa lembut.
Mereka berbicara secara ringkas. Dia sekadar bertanyakan keberadaan Irfan di
jabatan itu, yang terletak di tingkat yang sama, hanya berpisah sayap utara dan
selatan.
“Esok
awak balik kampung, kan?” Kerlingan Tengku Hanif mencuri-curi lihat Nurul Ain.
Lufiya
mengangguk. Lebar senyumannya.
“Jangan
pula nanti awak lupa jalan balik sini. Tak hidup saya kalau tak ada awak,
tahu.” Tengku Hanif bersenda. Otot muka melenturkan senyuman kecil.
Lufiya
tertawa pula. Hati kecil terhibur mendengar usikan mesra begitu.
Di
tengah-tengah perbualan antara Tengku Hanif dan Lufiya, Nurul Ain setia
memakukan diri. Tidak berkutik langsung. Kadang ketika, nakal juga mata dia
cuba meraih paras Tengku Hanif. Belum pun sempat memusatkan pandangan penuh ke
paras lelaki itu, terlebih dahulu dia kembali tundukkan mata. Sekadar menjamu
ulas bibir lelaki yang tampak segar. Tanda tidak merokok.
Suara
yang menerobos ke ruang pendengaran seakan memberikan rasa nyaman. Menyapa
lembut bagaikan satu irama merdu. Sehingga keningnya merunduk ke bawah kerana
memikirkan perasaan aneh tersebut. Hanya suara, dia boleh tertarik begini?
“Okey
kerja sini?” Tengku Hanif menegur. Ketika itu, Lufiya tiada bersama mereka.
Sudah mengemudi langkah mencari Irfan.
Nurul
Ain tersentak. Tidak pula menjulang mata tinggi menatap Tengku Hanif.
“Anu...
aaa... okey.” Bicara dia terawang-awang. Terasa sukar hendak dilantun lepas.
“It
almost 1 o’clock.” Tengku Hanif mengerling sekilas jam di pergelangan tangan.
Kemudian kembali mencari wajah yang masih menunduk itu.
“Maaf
Tengku. Saya minta diri dulu.” Buru-buru dia hendak melangkah pergi.
“Kalau
susah sangat, you kerja sini aje lah.”
Mati
terus pacuan kaki yang mulanya deras. Tubuh tegak berdiri.
‘Tak
salah dengar, kan?’ Hati berdetak-detik.
“Daripada
you terkejar-kejar ke sana sini, then kadang-kadang kena marah dengan bos tu,
better you isi kekosongan yang ada. Here,” lanjut Tengku Hanif.
“Lagipun,
jawatan tea lady tu masih available. And you fit it well, Nurul Ain, buat masa
ni.”
Hampir
bertaut rapat keningnya. Apabila dia menoleh ke belakang, Tengku Hanif sudah
tiada.
‘Dia...
macam mana dia tahu?’ Hati berdetak-detik penuh sangsi.
“And
don’t forget, tomorrow you replace tempat Lufiya.”
Bagai
hendak luruh jantung dari tubuh tatkala suara itu menyapa cuping, seterusnya
menerobos ke jendela telinga. Susuk Tengku Hanif dipandang sehingga bayangnya
hilang.
GELAGAT seorang perempuan berpakaian serba
sederhana, bertudung bagi menutupi auratnya, diperhati lama. Pada telahan dia
yang memandang, perempuan itu sedang menghadapi kesulitan. Lantas, ringan kaki
dibawa menghampiri perempuan tersebut. Salam diberikan dan mereka saling berbalas
pandang. Buat seketika, Irfan pegun merenungi paras yang kian cela dengan
peluh-peluh halus merintik kasar.
“You
yang... pantry hari tu?” Irfan menuding telunjuk ke arah Nurul Ain.
Nurul
Ain kerut dahi. Siapa lelaki itu? Tidak pula dia kenal.
“Pantry?”
ajunya.
Terangguk-angguk
kepala Irfan.
“Tak
ingat? Air, sabun... pantry?” Irfan mengibas kemeja yang dipakai.
Bertambah
dalam kerutan itu. Nurul Ain berusaha untuk mengingati sesuatu yang telah dia
lupa.
“Oh!”
Suara dia berdecit. Seraya memetik jari.
“Maaf
fasal hari tu,” ucapnya.
Irfan
tersenyum. “Eh, tak apa.”
Leret
mata Irfan meninjau keadaan motosikal Nurul Ain.
“Kenapa
dengan motosikal awak ni?” Secara drastik, kata ganti nama yang digunakan lebih
bercirikan kemelayuan. Tiada ‘I’, tiada juga ‘you’. Lebih sopan menyapa halwa
telinga.
“Bocor
kut.” Nurul Ain menjawab.
Irfan
menunduk. Keadaan dia seperti sedang ruku’. Tayar belakang motosikal itu
ditekan kuat. Nyata, kebocoran tayar berkenaan terlalu teruk. Langsung ghaib
udara yang memenuhi.
“Awak
nak pergi mana? Biar saya tolong hantar,” pelawa Irfan.
Nurul
Ain berundur selangkah ke belakang. Lambat-lambat dia menggeleng. “Tak apa.
Saya boleh balik sendiri,” tolaknya dengan lembut.
Lentur
senyum halus di ulas bibir Irfan.
“Jom...
ikut saya. Lagipun, kalau nak tunggu bas, lama juga ni.” Mata meliar perhati
persekitaran yang sedikit sibuk.
Nurul
Ain garu pipi. Dia harus segera sampai ke tempat kerjanya. “Habis... motosikal
saya ni, macam mana? Tinggal sini?”
Irfan
angkat tangannya ke paras dada. Isyarat itu meminta agar Nurul Ain menunggu
sebentar. Mengecil mata Nurul Ain melihat lelaki itu. Tidak dikenali orangnya,
nama apatah lagi tetapi telah menunjukkan satu sikap terpuji- berhati mulia
kerana sudi membantu meski mereka tidak saling mengenali.
Irfan
kembali menghampiri Nurul Ain bersama seorang lelaki separuh usia yang
menyarung persalinan kemeja lengan pendek berwarna kelabu dan berseluar hitam.
Kepalanya ditutupi dengan topi yang memanjang ke hadapan dan berkilat pada muncungnya.
“Kunci
motosikal...” Irfan meminta.
Bulat
mata Nurul Ain. Semakin dia menjauhi Irfan.
Irfan
kehairanan. Selanjur dia tertawa perlahan.
“Saya
dah call kawan, nanti dia tolong betulkan tayar motosikal awak tu. Kunci
motosikal tu beri pada guard ni. Jangan risau, guard ni tak akan bawa lari
harta awak tu.” Irfan berniat berseloroh.
Nurul
Ain jadi malu. Dia sembunyi tawa. Tangan diunjuk bersama anak kunci motosikal
miliknya.
ANISA tidak berhenti mengekor, malah tiada
istilah lelah selagi apa yang dituntut daripada Nurul Ain tidak diperoleh.
Penjelasan sebegitu ringkas langsung tidak dapat diterima akal fikiran dia.
Di
pihak Nurul Ain pula, pastinya kerimasan melanda. Setiap langkah dia mengukur
luas kedai sederhana besar itu, Anisa turut sama membuntuti di belakang. Soalan
sama kekal dihambur keluar tanpa jemu.
“Aku
tak tahulah,” kata Nurul Ain. Jujur, dia tidak kenal lelaki yang menghantar dia
pulang sebentar tadi.
“Ye
ke? Takkan suka hati orang tu nak hantar kau, Ain?” Kening sengaja dijongket
tinggi sebagai tanda dia mengesyaki sesuatu.
Halaan
nafas dihempas berat. Dia berkalih tubuh menghadap Anisa. Kedua belah tangan
mencekak pinggang.
“Kebetulan
dia nak tolong aku. Hisy... dahlah! Kau ni, kalau tanya tak akan habis sampai
bila pun,” cebik Nurul Ain. Geram.
Anisa
tertawa kecil.
“Alah,
aku curiga aje. Tiba-tiba bawa lelaki datang kedai.”
Spontan,
Nurul Ain mencubit lengan Anisa. Gadis yang berambut panjang, diikat tinggi itu
hanya mengaduh kesakitan. Mulutnya memuncung. Mula membebel dalam bicara yang panjang.
“Ubat
untuk mulut kau.” Nurul Ain berkata lagi. Terjuih-juih ulas bibirnya.
“Sakitlah,
bengong!” gerutu Anisa. Kesan cubitan Nurul Ain jelas memerah membakar kulitnya
yang kuning langsat.
Lirik
mata Nurul Ain menerkam paras Anisa yang masih sembunyi senyum lebar.
“Macam
ni lah...” Jeda seketika.
Anisa
menarik kerusi. Duduknya bertentangan Nurul Ain yang kelihatan sibuk menyusun
bunga-bunga baldu dalam sebuah kotak.
“Kalau
kau tak nak lelaki tadi tu, kau pass kat aku. Aku pun single lagi ni.” Anisa
ketawa lagi sebelum menyambung, “Kau kan dah ada bos dekat tempat kerja part
time kau tu. Cukuplah, kan?
Terkekeh-kekeh
Anisa ketawa. Bersambung-sambung. Sampai ada masa, Anisa menekan perutnya yang
terasa senak ekoran hilai tawa yang agak melampau.
“Eh,
kau ni memang dasar tak sedar diri tau,” kutuk Nurul Ain. Pipi Anisa ditarik
sepuas hati.
Anisa
gigit bibir.
Terburai
tawa Nurul Ain. Perkerjaan dia langsung terbejat.
KAMPUNG SUNGAI SAYONG
“DAYANG NUR AISHA. Nama dia Dayang Nur Aisha.”
Pengakhiran cerita itu menyerupai kelaziman. Ternoknah dengan barisan nama yang
tidak pernah ditemui siapa pemiliknya.
Damia
memerhatikan kerutan yang merauti wajah wanita yang digelar mesra ‘emak’.
Seperti ada sesuatu yang disembunyikan daripada pengetahuan sesiapapun.
“Mak...”
Damia mengengsot hampir kepada Mak Wok. Tangan tua itu dielus lembut. Jelas
kelihatan urat-urat kasar timbul disebalik lapisan kulit yang berkedut.
Mak
Wok membawa pandangan ke wajah Damia. Sedikit demi sedikit, otot muka
melenturkan sebuah senyuman.
“Kalau
dia masih ada, dia sudah sebesar kamu, Damia,” katanya dalam kepiluan yang ditahan-tahan.
“Kami...
sebaya?” soal Damia ingin tahu.
Mak
Wok mengangguk perlahan.
“Dua
puluh lima tahun, seusia kamu.” Mak Wok menjawab.
“Kak
Mia! Oh... Kak Mia.” Megat memekik lantang. Suaranya kedengaran sayup-sayup
melepasi regangan pintu.
Damia
bingkas berdiri. Pintu utama rumah kayu diterpa. Tersembul muka Megat di depan
mata, berdiri di anak tangga paling bawah.
“Kenapa
dik?” Damia menyusun langkah menuruni anak tangga sehingga dekat pada Megat.
Megat
mengunjuk sebekas tupperware hijau kepada Damia. “Ini, umi kasi dekat Atok
Wok.”
Unjukan
itu bersambut. Leret mata Damia menembusi isi dalam tupperware berkenaan. Ada
lauk ikan dan sayur campur. Seulas senyuman muncul di sebalik mungil bibirnya.
“Umi
kata tadi, suruh Kak Mia teman Atok Wok makan.” Pesanan itu disampaikan dalam
sekali nafas.
“Nasi?”
Damia menjulang roman Megat.
Megat
mencebik. “Amboi kakak ni. Dah kasi betis, nak peha pula.”
Damia
ketawa kecil. Dia berkata, “Iyalah. Nanti kakak masak nasi untuk emak.”
“Atok
Wok lah, kak. Apa panggil mak pula? Bunyi macam tak hormat aje,” komen Megat.
“Amboi,
nak mengajar orang pula.” Damia menjuih bibir. “Kan panggilan mak tu lebih
mesra. Lagipun, Atok Wok memang macam emak akak dah. Dari kecil, emak yang jaga
Kak Mia bila umi ikut ayah pergi kerja.”
“Adik
nak panggil emak juga, Kak Mia tak kasi pun!” Megat mengungkit.
“Sebab
panggilan tu sesuai untuk Kak Mia aje. Kau mana layak.” Panjang tawa Damia
mengiringi usikannya kepada Megat.
Megat
tarik muka masam.
Terima kasih kerana sudi baca entri ini. have a nice day :)
notahujungkaki: Amiera-Adlan kan, memang sangat menguji diri. Bukan sebab cerita yang mencabar tapi sebab tak siap-siap. Sebab apa tak siap? Sebab asyik merungut MALAS. Padan muka! :p
4 comments:
Bahasa dan olahan ayat akak indah dan lembut mata yang membaca.
Dear anon,
Tq sudi menjejak,skrol baca entri blog ni :) and tq jga atas komen :) masih bljr utk menulis spy jdi lebih baik :)
saya tertarik dgn jalan citer. mula2 pun seronok. bahasa yg awak gunakan sgt indah. CJKP ni ada berapa byk bab?.
Dear anon,
Terima kasih sudi singgah baca cjkp dan syukur awak suka :) bab tu..ada dlm 50++ :)
Post a Comment