Wednesday, October 15, 2014

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab 7.

Assalamualaikum.








"...At the end of the day, our graves will be the same size..."









Bab 7
“BILA anak kita lahir, Min nak letak nama Nur Aisha. Boleh kan, bang?” Lembut suara Nur Aminah menampar jendela telinga.
            Dia yang begitu ralit merenungi roman polos sang isteri, hanya mengangguk bersetuju. Jari-jarinya asyik membelai perut memboyot Nur Aminah. Mengikut perkiraan doktor peribadi mereka, Nur Aminah dijangka melahirkan dalam masa seminggu. Dia dan isteri begitu teruja untuk menyambut puteri sulung keluarga mereka.
            “Dayang Nur Aisha,” tuturnya. Sesekali mengelus pipi Nur Aminah. Isterinya tersenyum manis. Kepala diangguk berkali-kali.
            “Dayang Nur Aisha binti Awang Kader.” Terkumat-kamit mulut Nur Aminah menggumam nama indah itu.
            “Cantiknya dia tentu macam Min. Manisnya macam abang,” seloroh dia dengan niat hendak mengusik. Tawanya berselang-seli dalam udara yang terhembus keluar dari rengkungan.
            “Cantik tu, memang kena ikut umi dia. Tapi tang manis tu, macam tak berapa nak manis aje. Abang, manis ke?” Nur Aminah mencebik.
            Dia ketawa lagi. “Manis abang ni melebihi gula, tahu.”
            Hujung hidung Nur Aminah dicuit lembut.
            Berdecit kecil suara Nur Aminah.

PADA ketika suara Sufiah mencecah jendela telinga, Datuk Awang Kader seakan dipaksa kembali memijak dunia nyata. Hilang terbang segala ingatan lalu, yang telah digali kembali demi memenuhi tuntutan rindu yang telah membadai jiwa. Terkebil-kebil dia pandang Sufiah.
            “Datuk... okey?” soal Sufiah. Riak wajahnya ditakungi kerutan. Berkali-kali dia memanggil nama majikannya namun lelaki itu hanya diam seribu bahasa. Mata yang dilaras tinggi merenung siling langsung tidak bergerak sehingga memutikkan resah.
            Datuk Awang Kader berdeham. Salur kerongkong dibiar lapang. Kemudian, dia mengangguk sebagai tanda baik-baik sahaja.
            Sufiah mengatur langkah mendekati meja Datuk Awang Kader. Cawan seramik, berserta piring nipis diletak santun di atas meja. Ekor mata lelaki itu menitip pandangan ke arah cawan seramik putih yang mempunyai ukiran floral di bahagian hadapan.
            “Tea lady Tengku yang hantar,” jelas Sufiah tanpa sempat Datuk Awang Kader mangaju pertanyaan.
            Kening Datuk Awang Kader hampir bertaut.
            “Tapi, saya tak minta pun air tu.” Tumpuannya beralih kepada Sufiah.
            Sufiah jongket bahu. Mengikut telahan sendiri, tugas gadis bernama Nurul Ain telah ditetapkan. Di antara jam sepuluh hingga sebelas pagi, pasti terjengul muka Nurul Ain di depan mata.
            Leret mata menerobos ke luar pintu yang merenggang sedikit. Sufiah turut berkalih kepala.
            “Datuk cari Nurul Ain ke? Dia baru aje pergi,” kata Sufiah.
            Pantas kepala digeleng laju.
            “Air tu, kalau Datuk tak mahu, saya bawa keluar.”
            “It’s okay, Sufi.” Datuk Awang Kader menegah.
            Bejat tindakan Sufiah. Tangan ditarik menjauhi cawan tersebut.
            “Oh ya, Datuk. Tadi saya dapat panggilan daripada pihak Mr. Low. Atas sebab tertentu, mereka terpaksa tunda sesi lawat tapak yang sepatutnya kita pergi esok.”
            “Tunda?”
            Sufiah pamer angguk. “Mereka akan maklumkan tarikh baru sesi lawat tapak dekat Nusajaya tu.” Bicara Sufiah tiada yang tertinggal pun. Segalanya seolah telah terakam dalam kepala, meski tiada buku kulit tebal yang menjadi peneman setia.
            “Baiklah. Pastikan kali ni, tak ada sebarang tundaan lagi, sebab benda dah nak jalan, kan. Later, awak tolong dapatkan Lufiya. Beritahu dia, saya nak dokumen dari Tengku Hanif. Dah dekat seminggu saya tunggu, tapi dia still tak handover dokumen tu pada saya.” Berkerut-kerut muka Datuk Awang Kader ketika itu.
            “Baiklah,” balas Sufiah.
            “Saya keluar dulu, Datuk,” pamitnya.
            Datuk Awang Kader sekadar mengangguk perlahan. Ekor mata mengiringi lenggok Sufiah yang sudah bertahun menumpah bakti di Menara Holdings.
            Sebaik Sufiah hilang dari padangan, dia langsung tersandar lemah. Gumpalan nafas dilepaskan dalam keterpaksaan. Lelah. Mata dikatup lama. Cuba mendamaikan jiwa yang tiba-tiba sahaja bergelandangan. Saat itu, muncul kembali paras sang isteri yang telah lama pergi dijemput Tuhan. Perasaan rindu kian membuar-buar sehingga dada terasa mahu pecah.
            ‘Kalau satu hari nanti, kiranya umur Min tak panjang, abang jagalah anak kita baik-baik. Dia nyawa kita, bang. Anugerah terindah dari Tuhan buat kita.’ Gema bicara Nur Aminah yang tersisip dicelah-celah rongga pendengaran membuatkan dia celik mata. Tidak berkelip merenung dinding bercat putih pucat, diadun bersama campuran warna coklat tua.
            “Nurul Ain.” Mana itu dibutirkan, sayup-sayup kedengaran sebelum ia hilang bersatu dalam udara dingin.

“SERIUS?” Buntang mata Anisa.
            Nurul Ain mengangguk lemah. Setelah hampir seminggu membiarkan beban itu tergalas di bahu sendirian, akhirnya dia buka mulut. Diceritakan kepada Anisa tanpa tertinggal walau sebutir ayat pun. Ada ketika, Anisa melantun istighfar.
            “Sebab tu kau ada time petang aje?” Anisa kerut muka.
            Kepala dipaksa angguk beberapa kali. “Benda nak jadi, kan.” Dia menyahut. Ketara tiada upaya.
            “Salah aku juga, tak hati-hati. Lepas tu, mengada nak tunjuk baik, ganti rugi kononnya.” Nurul Ain mengelus nafas berat. Beberapa kuntum bunga matahari dimasukkan ke dalam bekas berketinggian 1 meter.
            “Kira kerja kau dekat sana, tukang buat air ajelah?” Anisa kelihatan lebih berminat mengetahui skop tugas Nurul Ain berbanding kesempitan yang sedang dilalui temannya.
            “Apa kata kau apply terus kerja jadi tea lady tu? Alah, kerja sini pun, gaji tak seberapa. Tambah ada makhluk pemarah macam raksaksa tu.” Terjuih-juih bibir Anisa menghala ke pintu bilik yang didiami Nirmala.
            Nurul Ain menjegilkan mata. Kemudian dia mencebik. “Kau ingat Tengku tu nak ambil aku kerja sana? Entah-entah dalam baik dia tu, sopan tak marah-marah aku, simpan dendam.”
            “Kau ni, tak baik buruk sangka sampai macam tu. Untung dia tak sembur kau depan semua orang,” tuntas Anisa.
            Renungan dilontar menatap roman manis Anisa. Kali ini bicara temannya penuh berisi.
            “Habis tu, sampai bila kau kena kerja sementara dekat sana? Jangan lama-lama sangat, Ain. Tahu dekat mak cik tu, masak kau nanti. Kang yang dikendong berciciran, yang dikejar tak dapat.”
            “Masalahnya, aku tak kejar apa-apa pun, Nisa. Yang dikendong aje ada ni.” Selajur dia mencebik.
            Anisa tertawa gelihati.
            “Bunga ni, aku ambil ya.” Tangkas jari-jarinya mencapai jambangan bunga yang sudah tidak segar dan terletak di dalam sebuah bakul plastik, berhampiran tempat duduk mereka. Pastinya, bunga-bunga itu sudah tidak menceriakan suasana kedai ini. Sedikit layu dan tidak sesegar yang lainnya.
            “Nanti balik, kau kirim salam dekat ibu kau, ya. Lama betul tak jumpa.”
            “Kau tu yang tak sudi datang.”
            Spontan, Anisa mencekak pinggang. “Kau cakap, macam nak kena makan penyepak selipar jepun aku ni aje,” jerkah Anisa.
            Mengekek Nurul Ain ketawa.
            “Kau tu kalau datang, kerja nak habiskan barang dekat dapur rumah aku tu aje. Syukur sangat kau dah jarang singgah,” seloroh Nurul Ain.
            “Eleh, kau yang bersungguh nak jamu aku,” cebik Anisa.
            Tawa yang meletus tadi, beransur reda. Masing-masing menguntum senyum.
            “Tetamu kan bawa rahmat. Kenalah layan baik-baik,” tutur Nurul Ain.
            Senyum Anisa belum mati.
            “Ingat, jangan lupa apply kerja dekat sana. Biar dapat jawatan tea lady tu dekat kau.” Sempat Anisa mengingatkan sebelum bergegas ke depan kedai apabila terdengar suara Nirmala memekik namanya.

HATI kecil membisik rasa rindu nan menggunung. Saat ini, begitu dekat sekali perasaan itu membadai jiwa. Biar jasadnya sudah tertanam di bawah sana, barangkali hanya tinggal sisa tulang-temulang, namun kasih sayang Abdul Halim kekal melingkari diri. Malah, kewujudan lelaki budiman itu seakan masih berada di sisi.
            Sesekali, dia mencuri pandang ke arah dua manusia yang begitu khusyuk mengalun suara, membutirkan setiap kalimah suci dengan penuh perasaan. Terselit kehibaan dicelah-celah bacaan yang kadang ketika bejat untuk beberapa saat.
            Setelah selesai bacaan Yaasin, kedua belah tangan dijulang separas dada, menjunjung langit nan redup.
            Nurul Ain menunduk kepala. Kolam mata berair tanpa sedar.
            “Amin...” Suriani membawa telapak tangan meraupi wajah.
            “Amin.” Sayup kedengaran suara Asyikin.
            Nurul Ain turut meraupi wajah sendiri. Kesempatan itu diambil sebaiknya, menyeka airmata yang semakin galak hendak menembusi benteng tubir mata.
            “Mari sini bakul bunga tu,” minta Suriani.

            Nurul Ain mengambil raga kecil, lalu diunjuk kepada Suriani. Mereka sama-sama menggenggam kelopak bunga matahari, dicampurkan bersama bunga-bunga mawar merah dan putih, lantas ditabur atas perkuburan Abdul Halim.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Tak sabar nak taip-taip fasal Iman dan Wirna. Tak sabar mahu coretkan kisah Hanani, tapi kena fikir bahawa ada taipan yang masih tak siap-siap sampai hari ni. Blerghhh! Oh ya, tahniah buat Ayra Zahra. Tazzabar nak peluk Hadif in real hihi :) So proud of you!


1 comment:

AYRA ZAHRA said...

Aisey windu aku dekat depe nih.. Hihihi.. Mekasih darling entry ni... Hehehehe.. Terima kasih gak untuk itu. Sama2 kita tunggu eh.. :D