Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab3 & Bab4.

Assalamualaikum.








"...If the worlds was free of problems, paradise would lose it's value..."









Bab 3
KEDUA belah kakinya terjuntai dari dahan pokok sebesar lengan ahli gusti. Bergoyangan membelah udara yang sesekali mengelus angin lembut. Ah, dia benar-benar terbawa dalam persekitaran yang nyaman seperti ini. Pandangan dibawa menjulang dada langit nan membiru. Sinar mentari yang meruak terik itu menujah tepat ke muka melalui celah-celah daun.
            “Ya Allah, dekat sini rupanya kamu Rin!” Tok Usu Mah terkedek-kedek menghampiri pohon manggis yang berbuah lebat. Tangannya mencekak pinggang. Mulut tidak henti-henti mengomel.
            Laungan kuat itu hampir-hampir membuatkan Amiera hilang keseimbangan tubuh. Mujur sempat memaut batang pokok itu.
            “Turun! Nanti kalau jatuh, macam mana?”
            Amiera semakin selesa duduk di dahan pokok manggis itu, enggan menuruti arahan Tok Usu Mah. Masakan tidak, buah-buah manggis semua sedang ranum masak. Depan mata, berderet buah manggis menggodanya.
            “Sekejap lagi orang turun. Kejap aje,” sahut Amiera apabila menyedari Tok Usu Mah asyik memaksa dia turun. Mengekek dia ketawa melihat Tok Usu Mah cuba meraih kakinya yang terjuntai.
            Letih melayani ulah nakal Amiera, Tok Usu Mah mengira jejak ke arah pangkin yang dibina berhampiran pokok itu, berjarak kira-kira dua belas kaki. Tok Usu Mah melorong anak mata pada Amiera. Otot-otot muka melentur ke atas- membentuk senyuman kecil di pinggir bibir.
            “Dahlah tu. Mari duduk dengan Tok Usu,” panggil Tok Usu Mah. Melambai-lambai Amiera yang masih leka duduk di atas dahan pokok manggis.
            Akhirnya Amiera akur. Dia melompat turun. Ketangkasannya merisaukan Tok Usu Mah. Tergeleng-geleng kepala wanita tua itu. Amiera pamer sengih lebar. Sepasang selipar jepun berbiji-biji merah disarung ke kaki. Dia berlari-lari anak mendekati Tok Usu Mah.
            “Manis betul buah manggis tu, tok,” kata Amiera sebaik melabuh punggungnya di atas pangkin kayu. Kaki dibawa naik ke atas, bersila sambil membuang pandang ke kiri dan kanan.
            “Manisnya tuan tanah berjangkit dekat pokok tu.” Selamba Tok Usu Mah berkata.
            Pecah berderai tawa Amiera. Tok Usu Mah semakin hebat. Makin tua, makin pandai bergurau. Gurau pula cara orang muda. Ini mesti kes terpengaruh dengan anak cucu Tok Usu Mah.
            “Nanti Tok Usu minta tolong Kadir petikkan buah manggis tu untuk Rin. Bawa balik sana. Kirim sekali dekat ibu ayah kamu tu.”
            Amiera mengangguk laju. Mulutnya penuh dengan isi buah manggis.
            “Tok, kalau jual buah manggis ni dekat pasar, mesti laku. Manisnya lain macam.”
            “Tak payah nak jual, Rin. Makan sendiri lagi puas.”
            “Eh, sayang tok. Tengok tu.” Amiera menuding jari ke lantai tanah. “Tu, manggis-manggis tu busuk macam tu aje.”
            Tok Usu Mah kulum senyum. “Alah, sikit aje tu. Ni ha nanti, Tok Usu suruh budak-budak datang ambil.”
            Ralit Amiera memerhati Tok Usu Mah mengupas kulit ubi. Katanya hendak buat ubi rebus untuk makan petang nanti.
            “Tok...”
            “Mmm...” sahut Tok Usu Mah. Sekilas mendongak pandang Amiera.
            “Setiap kali orang balik ziarah kubur ibu, bersih aje. Macam ada orang yang bersihkan. Lepas tu ada bunga-bunga ditabur atas kubur tu,” kata Amiera.
            “Biasalah tu Mira. Ada masa orang-orang surau buat gotong-royong bersihkan tanah perkuburan tu. Dengan cara macam tu, boleh mengerat hubungan kejiranan di samping mengingatkan diri sendiri tentang mati.” Panjang lebar Tok Usu Mah berbicara. Usaha murni komuniti kampung ini bukan ikut musim. Sebulan sekali, pasti komuniti lelaki kampung ini akan turun padang, membersihkan kawasan kubur. Tidak kira usia, masing-masing ikhlas melakukan pekerjaan itu.
            Amiera berfikir sejenak. Ada sesuatu yang aneh pada pandangan mata. Hanya perkuburan ibunya sahaja yang kelihatan bersih dan indah ditaburi kelopak bunga mawar putih. Walhal perkuburan Tok Awan, sama seperti yang lainnya.
            “Tapi kan tok, kenapa kubur ibu aje yang macam tu? Kubur Tok Awan dan yang lain-lain tak pula.” Amiera tetap menzahirkan kemusykilan. Dahi sudah berkerut-kerut.
            “Agaknya, ada orang lain yang datang ziarah. Kawan arwah ke,” simpul Tok Usu Mah.
            “Dah, Tok Usu nak masuk dalam. Petang nanti, keluarga Badri nak datang. Bolehlah Rin jumpa Asma,” lanjutnya. Pisau di tangan kanan diletak dalam bekas plastik berisi ubi kayu. Langkah orang tua itu dipandang sepi oleh Amiera.

DI kampung ini, keluarga yang tinggal hanyalah Tok Usu Mah. Tok Usu Mah merupakan adik perempuan tunggal kepada Tok Awan. Berbading Tok Awan yang hanya memiliki dua orang anak- Shahreza dan Suria, hasil perkahwinan Tok Usu Mah dan arwah suaminya, mereka dikurniakan lapan orang anak. Beredar mengikut masa, kini Tok Awan mempunyai lebih daripada dua puluh orang cucu dan lima orang cicit.
            Suasana meriah cukup terasa saat seluruh ahli keluarga Tok Usu Mah berkumpul. Anak, cucu, cicit tidur di bawah satu bumbung. Kegamatannya sampai ke pagi. Ketika hendak mandi pun, kena ambil nombor. Maklumlah, di rumah Tok Usu Mah cuma ada dua buah bilik mandi. Satu di dalam rumah, sebuah lagi dibina di luar, berhampiran perigi.

“SAMPAI hati tak beritahu aku!” rajuk Amiera. Asma Laini dijauhi. Konon bawa hati. Tiba-tiba sahaja Asma Laini mengunjuk kad undangan perkahwinan. Majlis pertunangan anak ketiga Badri itu langsung tidak diberitahu kepadanya.
            “Alah... aku buat kecil-kecil aje. Jemput family sikit-sikit,” kata Asma Laini.
            Amiera tarik muka. “Aku ni, bukan family kau?”
            “Apa kau cakap macam tu? Kau tu dah aku anggap macam kembar sendiri!” Asma Laini memeluk bahu Amiera.
            “Kembarlah sangat!” dengus Amiera.
            Kerlingan Amiera dibalas dengan senyum kambing.
            “Janganlah marah, Mira. Aku tak mahu susahkan kau. Lagipun, saja aku nak buat kejutan.” Asma Laini pamer sengih. Pinggang Amiera dicuit-cuit. Dia cukup tahu kelemahan Amiera. Amiera tahan diri. Enggan hambur gelak. Perasaan geli itu dihumban sejauh mungkin. Tunjuk mogok!
            “Comel betul bila kau marah,” senda Asma Laini. Pinggang Amiera dicucuk lagi. Naik tegang muka Amiera sembunyi tawa.
            “Haaaa! Aku nampak kau senyum.” Asma Laini bersorak kegembiraan. Herot bibir Amiera jelas dimatanya.
            Meletus juga tawa Amiera. Tangan Asma Laini ditepis geram.
            “Tahniah Asma,” ucap Amiera. Kali ini dia otot muka melentur senyum panjang.
            Asma Laini mengangguk. “Lepas ni, turn kau pula.”
            Jari telunjuk diangkat tinggi. Kemudian digerakkan ke kanan dan ke kiri berkali-kali.
            “Eleh, kalau kau tak nak tapi dah sampai juga seru kau kahwin, ha... kahwin juga. Kan jodoh tu rahsia Tuhan.” Asma Laini leret senyum penuh makna.
            “Jodoh kau dah memanggil tu,” usik Asma Laini lagi. Tersorot ekor mata pada telefon bimbit di tangan Amiera.
            “Ekmal lah,” kata Amiera seraya menayang skrin telefon itu depan Asma Laini.
            “Amal pun okay what. Sepupu kahwin sepupu. Oh... how sweet!” Meliuk-liuk batang tubuh kecil Asma Laini.
            Amiera ketap gigi. Baik Sarah, mahupun Asma Laini, kedua-duanya suka benar memadankan dia dengan Ekmal. Seringkali menyatakan bahawa mereka akan bersatu kelak. Dengan malas, Amiera menyambut panggilan daripada Ekmal. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum meleret ikon hijau itu.

“PUAS dah cakap dengan buah hati?” tegur Fatma. Lirik mata menerkam ke wajah Ekmal.
            Ekmal membalas renungan yang terarah padanya. “Abang call Mira, bukan buah hati.” Rendah Ekmal bersuara dengan niat hendak memperbetulkan kenyataan Fatma tadi.
            Fatma mencebik. Gelas diletak atas meja kaca di depan mata.
            “Ibu ayah sibuk call budak tu. Abang pun sama. Baguslah, semua orang dalam rumah ni prihatin sangat dekat dia,” omel Fatma geram.
            Ekmal kembali menatap roman mencuka adiknya. Kening menjongket tinggi. Lain macam sangat Fatma hari ini. Sepanjang masa asyik memberontak andai nama Amiera terlepas dari mulut mereka.
            “Kau dah kenapa, Ema? Sakit?” Ekmal menghampiri Fatma. Telapak tangan dilekap ke dahi gadis seusia Amiera. Dengan pantas, Fatma menepis tangan abangnya. Ekmal terkesima.
            “Orang tak sakitlah,” balas Fatma. Mata dihala ke kaca televisyen. Hujung jari ligat menekan punat-punat nombor di alat kawalan jauh. Tiada satu pun rancangan di setiap saluran Astro itu menarik minatnya. Lantas, alat kawalan jauh berwarna gelap itu dicampak ke sisi.
            Ekmal terus memerhati ulah Fatma. Sejak kecil, Fatma memang tidak boleh berkawan baik dengan Amiera, walhal sedetik waktu dahulu, sebelum Amiera dibawa masuk ke dalam keluarga mereka, Fatma cukup gemar bermain dengan Amiera. Ke hulu hilir bersama bagaikan kembar. Entah apa yang menyebabkan Fatma berubah laku sekelip mata, Ekmal sendiri tidak tahu.
            “Ema!” Ekmal lekas memanggil Fatma.
            Langkah Fatma terbejat. “Yes?”
            “Kenapa Ema tak boleh nak berbaik dengan Mira?” ajunya.
            Terherot senyum sini di muka Fatma. Dia ketawa kecil kemudiannya.
            “Siapa kata Ema tak boleh berbaik dengan Mira? Ema okay aje,” jawabnya selajur kembali mengira jejak pergi meninggalkan ruang tamu.
            “Kak Ema nak pergi mana? Ni ha, ibu ada potongkan buah mangga untuk kita.” Sarah yang kebetulan baru keluar dari dapur terus menyapa.
            Fatma mengerling sekilas. Sapaan adiknya disambut dingin.
            Sarah terkebil-kebil perhati gelagat kakaknya. Ekmal dihampiri. Mata masih melorong ke arah Fatma. Gadis itu berdiri di muka pintu dengan telefon bimbit di tangan.
            “Kenapa dengan Kak Ema tu? Muka kelat semacam,” getus Sarah kurang senang.
            “Gaduh dengan kekasih agaknya.” Selamba Ekmal berkata.
            Sarah ketawa. “Garang macam tu, ada orang berani ngorat ke?”
            “Eh, jangan ingat orang garang ni tak ada sesiapa berkenan. Kak Ema tu muka aje garang tapi dalam hati ada taman.”
            Terhibur hati Sarah mendengar jenaka Ekmal.

********

Bab 4
LANGSIR dikuak sedikit. Dari atas, dia nampak batang tubuh Amiera melangkah keluar dari kereta Sarah. Tatkala kedatangan gadis itu disambut mesra oleh ayahnya, bergulung-gulung rasa sebal menghempas dada. Dia mencebik. Cukup meluat.
            “Ema! Ni... Amiera datang ni.”
            Roman wajah bertukar kelat sekelip mata. Panggilan itu seolah satu arahan baginya. Istimewa sangatkah seorang Amiera itu, sehingga kemunculannya seolah didamba seisi rumah? ‘Dia bukan sesiapa!’ Hati mendongkol marah.
            Namun, apabila jerit suara Shahreza kembali menerobos anak telinga, dia hayun kaki menuruni anak tangga. Satu persatu, dalam langkah yang cukup perlahan.
            “Ha, turun pun. Ini... Tok Usu Mah ada kirim buah-buah kampung ke kita. Tu, tengok tu, buah manggis kegemaran Ema pun ada.” Shahreza berkata seraya menuding jari telunjuk ke arah guni beras yang penuh berisi manggis. Hujungnya diikat dengan tali plastik berwarna hijau.
            Fatma sekadar mengerling tanpa minat.
            “Kak Ema...” Amiera menghampiri dengan kedua belah tangannya diunjuk kepada Fatma.
            “Sihat?” ajunya.
            “Kau nampak aku sakit ke?” Soalan tetap dibalas soalan. Malah lebih sinis.
            “Ema.” Shahreza menegur tegas.
            Fatma tarik muka. Buru-buru bawa kaki ke ruang tamu. Di situ, dia henyak duduk dengan malas. Kediaman ini terasa sempit dengan kehadiran Amiera. Malah pandangan dia juga ikut serabut.
            Amiera curi-curi hela nafas. Pada saat dia menjulang paras Shahreza, lentur bibir sudah pun menggariskan senyuman.
            “Ibu mana, yah?”
            “Ibu Amiera tu macam biasalah, hujung minggu macam ni pun sibuk dengan kedai dia. Katanya hantar barang customer,” beritahu Shahreza.
            “Amiera jangan balik dulu. Tunggu sampai ibu balik. Nanti kang, dia bebel sebab dah lama tak nampak batang hidung anak ayah seorang ni,” lanjutnya. Pipi gadis itu dielus lembut. Dan roman wajahnya memaparkan lekuk-lekuk yang membentuk sebuah senyuman.
            Amiera sekadar mengangguk. Sedang tebaran mata kekal membidik kelibat Fatma di ruang tamu.
            ‘Kenapa kau tak pernah suka aku, Fatma?’
           
KATA benci tidak pernah terungkap namun, melalui sikap dan layanan Fatma terhadapnya, mampu dia cipta konklusi bahawa ada jurang besar yang menjadi hijab antara mereka.
            Sejak bila ia bermula? Entah... keakraban itu ketara renggang apabila masing-masing sudah menginjak remaja.
            Gosokan kain buruk pada badan motosikal Honda semakin perlahan. Matanya menyoroti tangan sendiri namun fikiran melayang mengingati Fatma.
            “Kau jangan ikut aku, boleh tak?”
            “Tapi kan, selalu Mira balik dengan Kak Ema. Mira tak tahu balik sendiri.” Dia mengadu.
            “Jangan panggil aku kakak. Aku bukan kakak kau. Dah, pergi balik sana. Kau bukan budak kecil lagi.”
            Kerana bentakan Fatma, dia gagahkan kaki pulang sendiri. Budak sepertinya yang baru menetap di taman perumahan itu, sedekat mana pun jalan yang harus direntasi untuk sampai ke rumah, andai bersendirian sudah pasti menemui jalan buntu. Terasa jauh perjalanan sehingga akhirnya dia sesat. Tangisannya terburai di pinggir jalan bersimpang tiga. Di situ, dia mencangkung. Merintih hiba panggil nama ibu dan Tok Awan.
            Kejadian itu cukup diingati sehingga sekarang. Fatma dimarahi kerana telah membiarkan dia pulang seorang diri. Dua tiga hari Fatma mogok dengan semua orang. Enggan turun makan bersama. Malah Fatma pernah mengunci diri di dalam bilik.
            Segumpal nafas dihela perlahan. Berat.
            Deru enjin yang mengaum kuat memecah lamunan Amiera. Terbang melayang memori lama yang dirangkulnya sebentar tadi. Kenangan-kenangan dia bersama Fatma turut sama tertimbus. Amiera berdiri. Panjang lehernya menjenguk ke sebelah. Cuba melepasi tembok yang memisahkan rumahnya dengan jiran sebelah.
            ‘Amboi, bukan main kuat lagi pasang radio.’ Amiera melekap telinga ke tembok.
            Tiba-tiba, dia teringat bekas tupperware ungu di atas meja. Terkocoh-kocoh larian dihayun terus ke dapur.

ANAK mata Adlan memaku pada sepasang kaki berselipar jepun warna merah yang melepasi pagar dalam dua tiga langkah. Dari kaki, matanya meleret ke atas. Terkebil-kebil pandang roman wajah Amiera yang kelihatan manis dengan senyuman. Tangan gadis itu mengunjuk sesuatu.
            Hairan. Bila masa Amiera masuk ke perkarangan rumahnya? Adlan bingkas berdiri.
            “Tadi saya beri salam, encik tak dengar,” tutur Amiera sebaik menyedari kerutan-kerutan halus yang membanjiri dahi lelaki berkenaan.
            Lekas anak kunci yang tersumbat di lubang leper, berhampiran stereng kereta itu dipulas ke kiri. Serta-merta enjin kereta pun mati.
            “Ni...” Amiera masih mengunjuk bekas tupperware pemberian Adlan malam kelmarin.
            “Ada sikit juadah minum petang untuk encik. Hari tu, encik ada bagi dekat saya, kan? Sedap salad buah tu.” Liur terasa berkumpul dalam mulut. Buah-buahan segar dan dressing serba enak bagaikan melekat di tekak.
            Adlan kerut muka. “Awak makan ke?”
            “Kenapa?” Amiera menyoal hairan.
            Anak rambut dikuak sampai ke ubun-ubun. Dahinya sudah berlapis-lapis.
            “Awak tak sepatutnya makan sesuatu yang diberi oleh orang yang awak tak kenal. Dalam makanan tu, ada something.”
            Mata bundar Amiera serta-merta buntang. Seumpama jantungnya direntap dari tubuh.
            “Poison.”
            “What?!” Mulutnya terbuka luas. Menzahirkan rasa tidak percaya.
            Adlan terangguk-angguk.
            “Actually, racun tu diberi pada selected people. Lebih kurang macam bahan ujikaji. Eksperimen,” jelas Adlan tanpa riak bersalah pun.
            Rahang Amiera kian menjejak bumi. Dia kaku, tidak berkutik.
            Tawa Adlan terhambur kuat. “Awak percaya?”
            Liur ditelan lambat-lambat. Jenaka jenis apa sehingga mampu membuatkan dia rasa hendak putus nyawa?
            “Racun, ujikaji, eksperimen bagai tu... gurau aje.” Tawa tadi beransur reda. Adlan mengelap tangannya dengan kain empat segi warna putih yang digunakan untuk mengelap kereta. Kemudian mengorak langkah mendekati Amiera. Unjukan itu disambut.
            “Apa isi dalam ni?” Adlan membuka penutup bekas itu.
            “Cempedak goreng?” Dia meneka.
            Amiera angguk kepala.
            “Nice...” gumam Adlan. Rongga hidung mula dipenuhi dengan aroma cempedak goreng yang masih hangat.
            “Terima kasih.” Wajah gadis itu dicari kembali. Otot muka melentur senyum kecil.
            “Yang tu, jangan risau. Tak ada racun. Gerenti selamat.” Amiera menjuihkan bibir.
            Adlan sembunyi tawa. Hanya lekuk di pipi sahaja menzahirkan senyuman yang enggan mati.

“THANKS hantar aku balik. Buat susah kau aje,” kata Maya, sedikit canggung. Bukan apa, pergi bertiga. Pulangnya hanya berdua. Dayana pula melencong bersama rakan sejabatan. Lupa terus misi kononnya hendak memikat hati Ekmal.
            “Tak susahlah. Bukannya aku kena kendong kau pun. Kan kita naik kereta,” seloroh Ekmal, seraya menguntum senyum lebar.
            “Lagipun, aku nak jumpa Amiera.”
            “Untunglah Amiera tu. Ada big brother yang sangat prihatin macam kau.” Maya tersengih-sengih.
            Tiada bicara yang dilontar sebagai balasan melainkan segaris senyuman muncul lagi. Dalam hati, berperang segala perasaan. Berbungkus jiwa sendiri dengan resah yang tidak akan mampu disusuri oleh Maya.
            “Lepas ni, bolehlah selalu tukar-tukar bekas makanan. Macam bulan puasa tu.”
            Amiera sekadar mengangguk, seraya berkata, “Insya Allah.” Lekas memanjangkan langkah meninggalkan Adlan yang kelihatan lebih ramah berbicara berbanding dia.
            Elusan bayu berpuput lembut, turut membawa gemersik suara Amiera di pendengaran. Terlalu hampir. Yang memelikkan, pandangan depan mata masih belum terisi dengan kelibat Amiera.
            Ekmal menoleh. Sejurus itu, keningnya hampir bertaut. Amiera dilihatnya sedang menapak keluar dari perkarangan rumah jiran sebelah, ditemani oleh seorang lelaki muda, berusia lebih kurang dia.
            “Thank you for this,” tutur Adlan. Bekas tupperware ungu itu diangkat tinggi separas dada.
            Amiera tersenyum lebar sehingga menampakkan giginya yang tersusun cantik. “Saya balik dulu,” katanya.
            “Amiera.”
            Senyuman tadi terus padam. Pandangan keduanya saling bertaut. Ekmal berdiri kurang lima langkah darinya.
            Terlerai rindu di hati Ekmal melihat Amiera depan mata. Namun jauh di sudut hati, dia berasa kurang enak. Senyum Amiera terpamer indah sewaktu saling bertatapan dengan lelaki asing tadi. Sedang untuknya, tiada segaris senyum sebegitu pernah bergulir di ulas bibir kepunyaan gadis itu.
            “Amboi kau! Berdating dengan orang sebelah rumah ke? Tu, bagi apa tu?” Maya giat mengusik Amiera, lantas melangkah ke arah temannya. Mereka saling berbalas pelukan.
            “Kasi sikit buah tangan,” jelas Amiera. Sesekali mengerling Ekmal yang diam memerhati.
            “Aku punya? Takkan jiran sebelah aje kau ingat?” Kening Maya terjongket tinggi.
            “Ada tu, menggunung dalam guni,” balas Amiera.
            “Aku masuk dalam dululah,” pamitnya pula.
            Tanpa sempat Maya buka mulut, Amiera terlebih dahulu menginjak lantai bumi dengan pantas sekali. Berkerut-kerut kening Maya.
            “Kau gaduh ke dengan Amiera tu?” Maya menduga.

            Ekmal pantas geleng kepala.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Cantas lagi :)

6 comments:

AYRA ZAHRA said...

chaiyok2 beb buat kisah ini.. Aku sentiasa menyokong kau dari belakang..Ngee .. :D

Nveloaddct said...

Suka starting n3 ni...sengih smp telinga :D

Worth utk buat buku.

Great job Cik Writer ;-)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ayra

hai darling :) thnx selalu sokong aku :) terharu!

~::HANAH RISHAS::~ said...

@nveladdct

hai awak :)

thanks sgt2 sudi baca dan drop komen :)

ada said...

Best...

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ada

Hai ada :) thnks drop sini :)