Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab 7.

Assalamualaikum.









"...Do your best and Allah will do the rest..."









Bab 7
“YANG ini sesuai tak dengan saya?” tanya seorang gadis manis sambil menggayakan sehelai dress labuh di depan Sarah. Dress labuh berwarna pastel bunga-bunga kecil itu kelihatan sungguh cantik di tubuh gadis berkenaan. Ditambah dengan padanan kardigan ungu kebiruan melepasi paras lutut menambah gaya kasual.
            “Cantik sangat!” Sarah berkata seraya angkat ibu jari.
            Intan kulum senyum.
            “Agak-agak ada diskaun tak?”
            “Mestilah ada. Kan Intan regular customer dekat butik kami,” celah Tasneem.
            Sarah dan Intan serentak memandang Tasneem.
            “Kalau macam tu, Intan nak beli dua-dua sekalilah.”
            “Dah ada dress cantik dan kardigan tu, apa kata kalau Kak Intan tengok-tengok koleksi tudung atau selendang kami. Mana tau ada yang berkenan nak dipadankan dengan dress tu,” tambah Sarah. Dia pun hendak tunjuk skill macam ibu. Sambil-sambil perkuatkan lagi kemahiran berkomunikasi.
            “Betul juga tu,” balas Intan. Gadis manis berkulit putih kemerahan itu terus menuju ke bahagian kiri butik yang menempatkan koleksi tudung dan selendang.
            Tasneem menyiku pinggang anak bongsunnya.
            “Sejak bila pandai layan pelanggan ni?”
            Sarah jongket kening. Bersimpul senyumnya.
            “Baru ibu tahu bakat terpendam Sarah,” ujar Sarah. Dabik dada kononnya.
            Batang hidung Sarah dicuit perlahan. “Tak sia-sia ibu minta Sarah tolong ibu dekat butik.”
            Kalau bukan Amiera meyakinkan dia supaya membantu ibu, sudah pasti jejaknya tidak bersisa di butik milik ibunya ini.
            “Ibu...”
            “Mmm...” Tasneem menyahut.
            “Ibu pernah terfikir tak nak kahwinkan Abang Amal dengan Kak Mira?” Sarah memandang ke arah ibunya.
            Spontan, Tasneem menoleh.
            “Sarah cakap apa tadi?” Kerutan halus jelas di dahi wanita itu.
            “Ibu ni! Penatlah Sarah nak ulang lagi,” rungut Sarah. Tercebik-cebik bibirnya. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum berkata, “Kalau Kak Mira jadi menantu ibu, ibu suka tak?”
            Kali ini, kening Tasneem pula hampir bertaut rapat. Duduknya dilabuh berhampiran Sarah. Wajah ceria Sarah ditatap lama.
            “Ibu tak pernah terfikir fasal tu, sayang. Amiera tu ibu dah anggap macam anak ibu sendiri,” jelas Tasneem tanpa memberi kesimpulan pada pertanyaan anak gadisnya tadi.
            “Sarah suka kalau Kak Mira tu kahwin dengan Abang Amal.” Sarah tersenyum-senyum.
            “Eh, dia pula yang sibuk nak padan-padankan orang ya.”
            “Alah... Sarah tahu yang abang tu suka dekat Kak Mira,” ujar Sarah penuh keyakinan. Perasaan curiga bertapak dalam diri sejak terlihat gambar Amiera di dalam dompet Ekmal. Diselit celah-celah segala macam jenis kad. Persoalan yang timbul- untuk apa Ekmal menyimpan gambar Amiera? Konklusi rambang terus terbina dalam kepala. Ekmal ada perasaan terhadap Amiera.
            “Sejak bila Sarah jadi pak nujum?” Tasneem jongket keningnya.
            Pecah tawa Sarah. “Ibu, kalau ibu tengok Abang Amal pun ibu tahu yang Abang Amal tu suka dekat Kak Mira. Sebab tu lah Abang Amal tak kahwin-kahwin, sampai ibu ugut nak kahwinkan dia secara paksa. Ibu tahu kenapa? Sebab Abang Amal tunggu Kak Mira,” lanjut Sarah.
            “Pandai-pandai aje anak ibu ni.”
            “Ya Allah... betul ibu. Kalau ibu tak percaya, cuba tanya sendiri dekat abang.”
            Perbualan dua beranak itu terbantut sebaik ternampak susuk Amiera menghampiri mereka. Sarah melompat turun dari kerusi dan bergegas mendapatkan Amiera.
            Lirik mata Tasneem mengekor lenggang Amiera dan Sarah. Benarkah kata Sarah tadi? Ekmal suka pada Amiera?

BERAIR matanya menahan pedih di tekak. Entah siapa yang menyebut namanya sehingga terbatuk-batuk begini. Tambah perit bila dia sedang elok menjamah makanan pedas yang terasa membahang panasnya.
            “Hah, lahap sangat. Macam setahun tak jumpa makanan!” Razif ketawa terbahak-bahak.
            Ekmal terus capai gelas berisi air kosong kepunyaan Razif. Diteguk sampai habis.
            “Woi... woi! Kau habiskan air aku. Siot!” Gelas itu disambar kasar. Berkerut mukanya melihat gelas yang kosong itu.
            Lebar sengihan Ekmal. Hujung bibir dikesat.
            “Lain kali, makan tu slow-slow macam aku ni. Sopan-santun.” Razif tunjuk lagak.
            “Ni mesti ada orang sebut-sebut nama aku.”
            Razif dongak kepala pandang Ekmal. “Saleha?”
            “Saleha?”
            “Kau soal aku balik buat apa?”
            “Apa kena mengena dengan Saleha pula?”
            “Bukan ke kau dengan Saleha tu baik semacam. Aku tengok pun rasa something wrong somewhere.”
            Ekmal tertawa. “Kau gila? Saleha tu tunang orang hoi! Dah nak kahwin pun.”
            “Baru tunang.” Sengaja ditekan suaranya bila menyebut ‘tunang’.
            “Aku ni tak ada lah terdesak sangat sampai nak sambar tunang orang,” tuntas Ekmal. Mulut disumbat penuh dengan nasi.
            Nyaris pecah perut Razif mendengar omongan seumpama berjauh hati.
            “Petang kang kita ada latihan futsal. Kau nak pergi tak?” Pinggan bersisa tulang ikan di bawa ke singki. Kepala paip dipulas. Air mencurah-curah dari besi yang melengkung ke bawah.
            “Tak kut. Aku nak pergi rumah family aku petang nanti,” sahut Ekmal.
            Razif memalingkan tubuh menghadap Ekmal yang duduk bersendirian membelakanginya di ruang makan.
            “Orang dah terer main futsal katakan. Eh, next week dah start match. Aku rasa team kita antara yang kuat jugalah. Lepas tu, team Lan pun boleh tahan. Hari tu Encik Suhaimi kata, kalau department kita menang, dia nak belanja makan besar-besaran punya.”
            Bebelan Razif laju membelah udara hening tanpa berpeluang menerobos ke jendela telinga Ekmal. Ralit melayani perasaan sendiri.

“APA Abang Amal cakap ni?” Amiera merentap tangan dari pegangan Ekmal.
            “Abang cintakan Mira.”
            Semakin membulat mata Amiera. Memandang Ekmal dengan penuh rasa tidak percaya.
            “Kita ni tak cukup dewasalah abang, nak cakap soal hati perasaan ni. Kita ni, belajar pun tak habis lagi tau. Abang Amal tu sepatutnya tumpu perhatian dekat study. Dah final year dah. Nak cakap fasal cinta-cinta ni, Mira tak sukalah!” bentak Amiera dengan tegas.
            Ekmal mengelar pergelangan tangan Amiera semula. Rontaan Amiera tidak dipeduli.
            “Abang tak boleh tipu perasaan abang lagi. Abang terlalu sayangkan Mira.” Ekmal bersungguh menyatakan isi hatinya. Roman wajah berarak mendung. Pamer riak meraih simpati Amiera agar gadis itu mengerti derita jiwa sendiri.
            Amiera menentang renungan Ekmal. “Astaghfirullah... abang, Mira ni adik abang. Adik!” Suaranya ditekan agar kedengaran tegas.
            Ekmal mendengus kasar. Tubuh kecil Amiera ditolak ke dinding. Amiera tersentak. Belakang tubuhnya terasa sakit akibat tolakan kasar Ekmal tadi.
            “Abang tak pernah anggap Mira sebagai adik abang. Kenapa susah sangat Mira nak faham perasaan abang?”
            Amiera menepis tangan yang memaut kedua belah bahunya. Sekelip mata, Ekmal berubah perwatakan dan dia tidak menyukai perubahan itu. Dia sayangkan Ekmal sebagai seorang abang. Tidak pernah terdetik di hatinya untuk jatuh suka kepada lelaki itu.
            Ekmal bertindak menarik Amiera ke dalam pelukan. Kehangatan kasih itu ingin dikongsi bersama Amiera. Malah dia cuba mencumbui pipi mulus gadis itu.
            Pang!
            Satu tamparan hinggap di pipi kanan Ekmal. Pipi terasa berbirat. Ekmal menjulang pandang ke arah Amiera yang sudah memerah wajahnya kerana marah. Ulas bibir gadis itu bergetar.
            “Antara Amal dan Mira, hubungan kita tak lebih dari adik-beradik!”
            Kedua belah tangannya jatuh ke tepi.
Lemah.
Longlai.

TINNNN!
            Ekmal terperanjat. Bunyi bingit itu mematahkan ingatan masa lalu. Dia menoleh. Terkebil-kebil pandang romah berkerut seorang lelaki sedang mengetuk cermin tingkap keretanya bertalu-talu.
            “Bang, lampu hijau dah lama menyala. Tak nak jalan ke? Atau kereta rosak?” soal lelaki berjambang halus itu sebaik Ekmal menurunkan cermin tingkap kereta.
            “Sorry ya. Tak perasan,” kata Ekmal. Tertunduk-tunduk kepalanya.
            “Lain kali jangan berangan, bang. Dah berderet kereta dekat belakang tu,” lanjut lelaki berkenaan sebelum pergi.
            Ekmal beristighfar dalam hati. Tangan kirinya memegang tombol gear. Kaki pula menekan pedal minyak. Ngauman enjin kuat kedengaran, disertai pecutan kereta menyusuri jalanraya berturap. Ekmal membelok ke kanan. Selepas roundabout di depan sana, lebih kurang sepuluh kilometer, sampailah ke destinasi yang dituju.
            Fikiran kembali merangkul lanjutan kenangan tadi. Muka Amiera yang merah padam, bentakan serta kata-kata tegas Amiera bermain di anak telinga- bagai putaran kaset bertali coklat hitam berkilat.
            Seperti mana renggang hubungan Amiera dan Fatma, begitu jugalah yang berlaku ke atas dirinya dan gadis itu. Namun sikap dingin Amiera terhadapnya tidak ditunjuk depan mata orang lain, terutama keluarga. Di depan keluarga, mereka sama seperti adik-beradik normal. Saling berborak mesra, bergurau senda. Malah Amiera memanggilnya ‘Abang Amal’, walhal panggilan mesra itu terkubur saat dia bertindak memeluk Amiera. Yang bersisa hanyalah ‘Amal’.
            Segumpal nafas dilepaskan dari rengkungan. Kesal dengan keterlanjuran diri yang akhirnya terbina tembok nan tinggi ke langit memisahkan mereka.
            Anak mata Ekmal tertancap ke arah sebuah motosikal Honda putih yang di parkir berhampiran sebuah Proton Wira. Diamati nombor plat motosikal itu. Serta-merta, hati berbunga riang. Cepat-cepat dia memakir kereta. Setelah itu, kaki melangkah laju menuju ke Tasneem Alauddin Boutique.
            Pintu kaca ditolak kasar. Amiera yang kebetulan hendak menarik pintu itu, terus terdorong ke belakang. Terburu-buru Ekmal berlari ke arah Amiera.
            “Mira, okay ke?” tanya Ekmal.
            Amiera mendongak. “Okay... okay.”
            “Orang balik dulu,” katanya. Selajur menapak keluar dari butik tersebut.
            Renungan Ekmal dilaras tepat membidik susuk tubuh Amiera di depan sana. Belum sempat bertanya apa-apa, Amiera sudah angkat kaki. Sebuah keluhan kecil meniti bibir.
            “Pandang apa tu?” Tasneem menegur.
            Ekmal urut dada. Terkejut.
            “Tak ada apa-apalah bu.” Ekmal menjawab acuh tidak acuh. Tangan wanita itu disalami.
            “Amal nak jumpa adik kejap ya bu.” Ekmal mencicit lari.
            Ekor mata Tasneem melirik pada anak bujangnya. Bicara spontan Sarah tadi terngiang-ngiang di telinga.

TASNEEM melabuhkan punggung di atas sebuah kerusi kecil berkaki dua yang melebar ke sisi. Membidik pandangan pada pantulan imej di permukaan berkilat itu. Rambut panjang melepasi bahu disisir rapi. Sesekali melirik ke arah suaminya yang ralit membaca buku ilmiah sambil bersandar tubuh di kepala katil kayu berukir klasik dan tradisional.
            “Abang,” panggilnya.
            Shahreza diam tidak berkutik. Panggilan lembut isterinya langsung tidak didengari.
            “Abang!”
            Keadaan masih serupa. Shahreza kekal diam membisu.
            Tasneem merengus geram. Kaki menghenyak langkah kasar ke arah katil. Betis suaminya ditepuk kuat. Shahreza terperanjat besar. Nyaris terbang buku ilmiah di tangannya.
            “Apa awak ni? Buat terkejut saya aje,” gumam Shahreza. Cermin mata yang sudah melorot ke pangkal hidung ditolak ke atas.
            Tasneem tarik muka masam. Tunjuk protes.
            “Abang tu. Saya panggil buat tak dengar aje,” gerutunya.
            “Awak ada panggil saya ke tadi?” soal Shahreza bersama kerutan di sekitar dahinya.
            Kerlingan tajam ditala pada Shahreza. Sang suami sudah tersengih-sengih. Bahan bacaan itu kembali menjamu mata.
            “Bang... pernah tak abang terfikir nak kahwinkan Amal tu?”
            Mendengar pertanyaan itu, Shahreza menutup buku ilmiah berkenaan dan diletakkan di atas meja lampu di sisi katil. Wajah isterinya direnungi.
            “Awak ni... hari tu dah senyap dah fasal hal kahwin Amal. Sekarang dah mula balik. Kalau budak Amal tu dengar, bosan dia nanti,” kata Shahreza.
            “Sudah-sudahlah nak padankan dia dengan sesiapa. Biar dia cari sendiri bakal isteri dia tu. Kita ni sebagai ibubapa kenalah bertolak-ansur sikit. Takkanlah nak paksa anak terima pendapat kita bulat-bulat. Yang nak kahwinnya budak tu, bukan kita,” lanjutnya lagi.
            “Kita tanya soalan satu aje tapi dia membebel, jawab berjela-jela!” Panjang muncung Tasneem di mata Shahreza.
            “Bukan apa, saya nak mengingatkan aje,” balas Shahreza.
            Tasneem mencebik. Sejak bicara Sarah menerobos ke jendela telinga, sukar untuknya membuang apa yang didengari. Seharusnya dia berkongsi perkara itu dengan suami.
            “Bang.”
            “Apa lagi?”
            Kaki dibawa naik atas katil. Duduk bersimpuh di depan suaminya.
            “Kalau Mira jadi menantu kita, abang setuju tak?”
            “Menantu?” Shahreza ketawa. “Puan Tasneem Alauddin, Amiera Syazreen tu anak kita yang oi.”
            “Anak saudara abang, anak angkat kita,” jelas Tasneem.
            Gelak tawa Shahreza beransur mati. Dia berdeham berkali-kali.
            “Sebenarnya saya suka kalau Amal kahwin dengan Amiera tu. Lagipun bukan orang lain, anak angkat kita juga. Buruk baik dia semua kita tahu.”
            “Awak nak jodohkan Ekmal dengan Amiera?” duga Shahreza.
            Tasneem tidak memberikan sebarang jawapan namun dia mampu membaca jawapan itu di roman wajah isterinya. Lantas dia menggeleng laju.
            “Kenapa tiba-tiba aje awak bangkitkan hal ni? Sebelum ni, punya berderet anak perempuan kawan awak tunjuk dekat Ekmal tu. Tup-tup sekarang nama Amiera pula masuk dalam senarai awak. Ke dah habis calon dah?” Shahreza mulai curiga.
            “Saya bukan apa, Amal tu suka dekat Amiera.”
            Naik tinggi kening lelaki separuh usia itu. “Mana awak tahu?”
            “Sarah beritahu pada saya. Kata dia, Amal tu dah lama pendam perasaan sendiri.”
            “Percayalah sangat cakap anak bongsu awak tu.” Shahreza leret senyum.
            “Sebab dia anak sayalah saya percaya cakap dia. Lagipun kan bang, lepas aje Sarah cakap macam tu fasal Amal, baru saya sedar sesuatu yang dah lama saya nampak tapi tak pernah saya fikir lebih dalam.” Terbabas gumpalan nafas dari rengkungan. Penzahiran perasaan Ekmal terhadap Amiera jelas di matanya tatkala memerhati renungan Ekmal petang tadi.
            “Kalau betul Ekmal ada perasaan pada Amiera, takkan kita nak jodohkan juga budak berdua tu? Amiera tu, kita tak tahu apa yang ada dalam hati dia. Entah suka entah tidak dia dekat budak Ekmal tu.”
            Tasneem terdiam seketika.
            “Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi tau,” seloroh Shahreza.
            Tasneem kalih wajah. Bertempur pandang dengan suaminya.
            “Dahlah, mari kita tidur.” Selimut tebal ditarik menutupi tubuh sehingga ke dada. Tangannya menepuk batal di sebelah.
            “Tidur. Lewat dah  ni.”

            Tasneem menurut. Berbaring di samping suaminya. Dia menoleh. Shahreza sudah pejam mata.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Edit.

6 comments:

Unknown said...

Ooo...sy dh dpt tangkap time n3 awak naik..ha3..
Makin bertambah cast dan rahsia disebalik rahsia bakal dikupas..interesting..
Sy look fwd to it ;)
Jia you, cik writer! *(^.^)*

miera said...

wahh siap mimpi adlan tu x tahan!

~::HANAH RISHAS::~ said...

@nveladdct

Hai sis! :)

Ye..makin byk cast smpai skrg ni dah pening2 lalat nak susun depa hihi :)

Tq sbb dtg baca :)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@miera

Datinnn! :)

Mau tak mimpi kalau dah hari2 asyik pikir sang adlan tu hahahahaha

Unknown said...

Bersedialah utk menerima terjahan dr lebih ramai org lg ya...akk nak rekemen blog awak ni kt fb akk ;)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@nveladdct

Ya Allah... sis :') Terharunya!

TQ sis sbb sudi rekemen blog sememeh kite hihi :)

TQ juta2 lemon!

syg sis ketat2 hihi :)