"...Do your best and Allah will do the rest..."
Bab 7
“YANG ini sesuai
tak dengan saya?” tanya seorang gadis manis sambil menggayakan sehelai dress
labuh di depan Sarah. Dress labuh berwarna pastel bunga-bunga kecil itu
kelihatan sungguh cantik di tubuh gadis berkenaan. Ditambah dengan padanan
kardigan ungu kebiruan melepasi paras lutut menambah gaya kasual.
“Cantik sangat!” Sarah berkata
seraya angkat ibu jari.
Intan kulum senyum.
“Agak-agak ada diskaun tak?”
“Mestilah ada. Kan Intan regular
customer dekat butik kami,” celah Tasneem.
Sarah dan Intan serentak memandang
Tasneem.
“Kalau macam tu, Intan nak beli
dua-dua sekalilah.”
“Dah ada dress cantik dan kardigan
tu, apa kata kalau Kak Intan tengok-tengok koleksi tudung atau selendang kami.
Mana tau ada yang berkenan nak dipadankan dengan dress tu,” tambah Sarah. Dia
pun hendak tunjuk skill macam ibu. Sambil-sambil perkuatkan lagi kemahiran
berkomunikasi.
“Betul juga tu,” balas Intan. Gadis
manis berkulit putih kemerahan itu terus menuju ke bahagian kiri butik yang
menempatkan koleksi tudung dan selendang.
Tasneem menyiku pinggang anak
bongsunnya.
“Sejak bila pandai layan pelanggan
ni?”
Sarah jongket kening. Bersimpul
senyumnya.
“Baru ibu tahu bakat terpendam
Sarah,” ujar Sarah. Dabik dada kononnya.
Batang hidung Sarah dicuit perlahan.
“Tak sia-sia ibu minta Sarah tolong ibu dekat butik.”
Kalau bukan Amiera meyakinkan dia
supaya membantu ibu, sudah pasti jejaknya tidak bersisa di butik milik ibunya
ini.
“Ibu...”
“Mmm...” Tasneem menyahut.
“Ibu pernah terfikir tak nak
kahwinkan Abang Amal dengan Kak Mira?” Sarah memandang ke arah ibunya.
Spontan, Tasneem menoleh.
“Sarah cakap apa tadi?” Kerutan
halus jelas di dahi wanita itu.
“Ibu ni! Penatlah Sarah nak ulang
lagi,” rungut Sarah. Tercebik-cebik bibirnya. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum
berkata, “Kalau Kak Mira jadi menantu ibu, ibu suka tak?”
Kali ini, kening Tasneem pula hampir
bertaut rapat. Duduknya dilabuh berhampiran Sarah. Wajah ceria Sarah ditatap
lama.
“Ibu
tak pernah terfikir fasal tu, sayang. Amiera tu ibu dah anggap macam anak ibu
sendiri,” jelas Tasneem tanpa memberi kesimpulan pada pertanyaan anak gadisnya
tadi.
“Sarah suka kalau Kak Mira tu kahwin
dengan Abang Amal.” Sarah tersenyum-senyum.
“Eh, dia pula yang sibuk nak
padan-padankan orang ya.”
“Alah... Sarah tahu yang abang tu
suka dekat Kak Mira,” ujar Sarah penuh keyakinan. Perasaan curiga bertapak
dalam diri sejak terlihat gambar Amiera di dalam dompet Ekmal. Diselit
celah-celah segala macam jenis kad. Persoalan yang timbul- untuk apa Ekmal
menyimpan gambar Amiera? Konklusi rambang terus terbina dalam kepala. Ekmal ada
perasaan terhadap Amiera.
“Sejak bila Sarah jadi pak nujum?”
Tasneem jongket keningnya.
Pecah tawa Sarah. “Ibu, kalau ibu
tengok Abang Amal pun ibu tahu yang Abang Amal tu suka dekat Kak Mira. Sebab tu
lah Abang Amal tak kahwin-kahwin, sampai ibu ugut nak kahwinkan dia secara
paksa. Ibu tahu kenapa? Sebab Abang Amal tunggu Kak Mira,” lanjut Sarah.
“Pandai-pandai aje anak ibu ni.”
“Ya Allah... betul ibu. Kalau ibu
tak percaya, cuba tanya sendiri dekat abang.”
Perbualan dua beranak itu terbantut
sebaik ternampak susuk Amiera menghampiri mereka. Sarah melompat turun dari
kerusi dan bergegas mendapatkan Amiera.
Lirik mata Tasneem mengekor lenggang
Amiera dan Sarah. Benarkah kata Sarah tadi? Ekmal suka pada Amiera?
BERAIR matanya
menahan pedih di tekak. Entah siapa yang menyebut namanya sehingga
terbatuk-batuk begini. Tambah perit bila dia sedang elok menjamah makanan pedas
yang terasa membahang panasnya.
“Hah, lahap sangat. Macam setahun
tak jumpa makanan!” Razif ketawa terbahak-bahak.
Ekmal terus capai gelas berisi air
kosong kepunyaan Razif. Diteguk sampai habis.
“Woi... woi! Kau habiskan air aku.
Siot!” Gelas itu disambar kasar. Berkerut mukanya melihat gelas yang kosong
itu.
Lebar sengihan Ekmal. Hujung bibir
dikesat.
“Lain kali, makan tu slow-slow macam
aku ni. Sopan-santun.” Razif tunjuk lagak.
“Ni mesti ada orang sebut-sebut nama
aku.”
Razif dongak kepala pandang Ekmal.
“Saleha?”
“Saleha?”
“Kau soal aku balik buat apa?”
“Apa kena mengena dengan Saleha
pula?”
“Bukan ke kau dengan Saleha tu baik
semacam. Aku tengok pun rasa something wrong somewhere.”
Ekmal tertawa. “Kau gila? Saleha tu
tunang orang hoi! Dah nak kahwin pun.”
“Baru tunang.” Sengaja ditekan
suaranya bila menyebut ‘tunang’.
“Aku ni tak ada lah terdesak sangat
sampai nak sambar tunang orang,” tuntas Ekmal. Mulut disumbat penuh dengan
nasi.
Nyaris pecah perut Razif mendengar
omongan seumpama berjauh hati.
“Petang kang kita ada latihan
futsal. Kau nak pergi tak?” Pinggan bersisa tulang ikan di bawa ke singki.
Kepala paip dipulas. Air mencurah-curah dari besi yang melengkung ke bawah.
“Tak kut. Aku nak pergi rumah family aku petang nanti,” sahut Ekmal.
Razif memalingkan tubuh menghadap
Ekmal yang duduk bersendirian membelakanginya di ruang makan.
“Orang dah terer main futsal
katakan. Eh, next week dah start match. Aku rasa team kita antara
yang kuat jugalah. Lepas tu, team Lan pun boleh tahan. Hari tu Encik Suhaimi
kata, kalau department kita menang,
dia nak belanja makan besar-besaran punya.”
Bebelan Razif laju membelah udara
hening tanpa berpeluang menerobos ke jendela telinga Ekmal. Ralit melayani
perasaan sendiri.
“APA Abang Amal
cakap ni?” Amiera merentap tangan dari pegangan Ekmal.
“Abang cintakan Mira.”
Semakin membulat mata Amiera.
Memandang Ekmal dengan penuh rasa tidak percaya.
“Kita ni tak cukup dewasalah abang,
nak cakap soal hati perasaan ni. Kita ni, belajar pun tak habis lagi tau. Abang
Amal tu sepatutnya tumpu perhatian dekat study. Dah final year dah. Nak cakap
fasal cinta-cinta ni, Mira tak sukalah!” bentak Amiera dengan tegas.
Ekmal mengelar pergelangan tangan
Amiera semula. Rontaan Amiera tidak dipeduli.
“Abang tak boleh tipu perasaan abang
lagi. Abang terlalu sayangkan Mira.” Ekmal bersungguh menyatakan isi hatinya.
Roman wajah berarak mendung. Pamer riak meraih simpati Amiera agar gadis itu
mengerti derita jiwa sendiri.
Amiera menentang renungan Ekmal.
“Astaghfirullah... abang, Mira ni adik abang. Adik!” Suaranya ditekan agar
kedengaran tegas.
Ekmal mendengus kasar. Tubuh kecil
Amiera ditolak ke dinding. Amiera tersentak. Belakang tubuhnya terasa sakit
akibat tolakan kasar Ekmal tadi.
“Abang tak pernah anggap Mira
sebagai adik abang. Kenapa susah sangat Mira nak faham perasaan abang?”
Amiera menepis tangan yang memaut
kedua belah bahunya. Sekelip mata, Ekmal berubah perwatakan dan dia tidak
menyukai perubahan itu. Dia sayangkan Ekmal sebagai seorang abang. Tidak pernah
terdetik di hatinya untuk jatuh suka kepada lelaki itu.
Ekmal bertindak menarik Amiera ke
dalam pelukan. Kehangatan kasih itu ingin dikongsi bersama Amiera. Malah dia
cuba mencumbui pipi mulus gadis itu.
Pang!
Satu tamparan hinggap di pipi kanan
Ekmal. Pipi terasa berbirat. Ekmal menjulang pandang ke arah Amiera yang sudah
memerah wajahnya kerana marah. Ulas bibir gadis itu bergetar.
“Antara Amal dan Mira, hubungan kita
tak lebih dari adik-beradik!”
Kedua belah tangannya jatuh ke tepi.
Lemah.
Longlai.
TINNNN!
Ekmal terperanjat. Bunyi bingit itu
mematahkan ingatan masa lalu. Dia menoleh. Terkebil-kebil pandang romah
berkerut seorang lelaki sedang mengetuk cermin tingkap keretanya bertalu-talu.
“Bang, lampu hijau dah lama menyala.
Tak nak jalan ke? Atau kereta rosak?” soal lelaki berjambang halus itu sebaik
Ekmal menurunkan cermin tingkap kereta.
“Sorry ya. Tak perasan,” kata Ekmal.
Tertunduk-tunduk kepalanya.
“Lain kali jangan berangan, bang.
Dah berderet kereta dekat belakang tu,” lanjut lelaki berkenaan sebelum pergi.
Ekmal beristighfar dalam hati.
Tangan kirinya memegang tombol gear. Kaki pula menekan pedal minyak. Ngauman
enjin kuat kedengaran, disertai pecutan kereta menyusuri jalanraya berturap.
Ekmal membelok ke kanan. Selepas roundabout di depan sana, lebih kurang sepuluh
kilometer, sampailah ke destinasi yang dituju.
Fikiran kembali merangkul lanjutan
kenangan tadi. Muka Amiera yang merah padam, bentakan serta kata-kata tegas
Amiera bermain di anak telinga- bagai putaran kaset bertali coklat hitam
berkilat.
Seperti
mana renggang hubungan Amiera dan Fatma, begitu jugalah yang berlaku ke atas
dirinya dan gadis itu. Namun sikap dingin Amiera terhadapnya tidak ditunjuk
depan mata orang lain, terutama keluarga. Di depan keluarga, mereka sama
seperti adik-beradik normal. Saling berborak mesra, bergurau senda. Malah
Amiera memanggilnya ‘Abang Amal’, walhal panggilan mesra itu terkubur saat dia
bertindak memeluk Amiera. Yang bersisa hanyalah ‘Amal’.
Segumpal nafas dilepaskan dari
rengkungan. Kesal dengan keterlanjuran diri yang akhirnya terbina tembok nan
tinggi ke langit memisahkan mereka.
Anak mata Ekmal tertancap ke arah
sebuah motosikal Honda putih yang di parkir berhampiran sebuah Proton Wira.
Diamati nombor plat motosikal itu. Serta-merta, hati berbunga riang.
Cepat-cepat dia memakir kereta. Setelah itu, kaki melangkah laju menuju ke
Tasneem Alauddin Boutique.
Pintu kaca ditolak kasar. Amiera
yang kebetulan hendak menarik pintu itu, terus terdorong ke belakang.
Terburu-buru Ekmal berlari ke arah Amiera.
“Mira, okay ke?” tanya Ekmal.
Amiera mendongak. “Okay... okay.”
“Orang balik dulu,” katanya. Selajur
menapak keluar dari butik tersebut.
Renungan Ekmal dilaras tepat
membidik susuk tubuh Amiera di depan sana. Belum sempat bertanya apa-apa,
Amiera sudah angkat kaki. Sebuah keluhan kecil meniti bibir.
“Pandang apa tu?” Tasneem menegur.
Ekmal urut dada. Terkejut.
“Tak ada apa-apalah bu.” Ekmal
menjawab acuh tidak acuh. Tangan wanita itu disalami.
“Amal nak jumpa adik kejap ya bu.”
Ekmal mencicit lari.
Ekor mata Tasneem melirik pada anak
bujangnya. Bicara spontan Sarah tadi terngiang-ngiang di telinga.
TASNEEM melabuhkan
punggung di atas sebuah kerusi kecil berkaki dua yang melebar ke sisi. Membidik
pandangan pada pantulan imej di permukaan berkilat itu. Rambut panjang melepasi
bahu disisir rapi. Sesekali melirik ke arah suaminya yang ralit membaca buku
ilmiah sambil bersandar tubuh di kepala katil kayu berukir klasik dan
tradisional.
“Abang,” panggilnya.
Shahreza diam tidak berkutik.
Panggilan lembut isterinya langsung tidak didengari.
“Abang!”
Keadaan masih serupa. Shahreza kekal
diam membisu.
Tasneem merengus geram. Kaki
menghenyak langkah kasar ke arah katil. Betis suaminya ditepuk kuat. Shahreza
terperanjat besar. Nyaris terbang buku ilmiah di tangannya.
“Apa awak ni? Buat terkejut saya
aje,” gumam Shahreza. Cermin mata yang sudah melorot ke pangkal hidung ditolak
ke atas.
Tasneem tarik muka masam. Tunjuk
protes.
“Abang tu. Saya panggil buat tak
dengar aje,” gerutunya.
“Awak ada panggil saya ke tadi?”
soal Shahreza bersama kerutan di sekitar dahinya.
Kerlingan tajam ditala pada
Shahreza. Sang suami sudah tersengih-sengih. Bahan bacaan itu kembali menjamu
mata.
“Bang... pernah tak abang terfikir
nak kahwinkan Amal tu?”
Mendengar pertanyaan itu, Shahreza
menutup buku ilmiah berkenaan dan diletakkan di atas meja lampu di sisi katil.
Wajah isterinya direnungi.
“Awak ni... hari tu dah senyap dah
fasal hal kahwin Amal. Sekarang dah mula balik. Kalau budak Amal tu dengar,
bosan dia nanti,” kata Shahreza.
“Sudah-sudahlah nak padankan dia
dengan sesiapa. Biar dia cari sendiri bakal isteri dia tu. Kita ni sebagai
ibubapa kenalah bertolak-ansur sikit. Takkanlah nak paksa anak terima pendapat
kita bulat-bulat. Yang nak kahwinnya budak tu, bukan kita,” lanjutnya lagi.
“Kita tanya soalan satu aje tapi dia
membebel, jawab berjela-jela!” Panjang muncung Tasneem di mata Shahreza.
“Bukan apa, saya nak mengingatkan
aje,” balas Shahreza.
Tasneem mencebik. Sejak bicara Sarah
menerobos ke jendela telinga, sukar untuknya membuang apa yang didengari.
Seharusnya dia berkongsi perkara itu dengan suami.
“Bang.”
“Apa lagi?”
Kaki dibawa naik atas katil. Duduk
bersimpuh di depan suaminya.
“Kalau Mira jadi menantu kita, abang
setuju tak?”
“Menantu?” Shahreza ketawa. “Puan
Tasneem Alauddin, Amiera Syazreen tu anak kita yang oi.”
“Anak saudara abang, anak angkat
kita,” jelas Tasneem.
Gelak tawa Shahreza beransur mati.
Dia berdeham berkali-kali.
“Sebenarnya saya suka kalau Amal
kahwin dengan Amiera tu. Lagipun bukan orang lain, anak angkat kita juga. Buruk
baik dia semua kita tahu.”
“Awak nak jodohkan Ekmal dengan
Amiera?” duga Shahreza.
Tasneem tidak memberikan sebarang
jawapan namun dia mampu membaca jawapan itu di roman wajah isterinya. Lantas
dia menggeleng laju.
“Kenapa tiba-tiba aje awak
bangkitkan hal ni? Sebelum ni, punya berderet anak perempuan kawan awak tunjuk
dekat Ekmal tu. Tup-tup sekarang nama Amiera pula masuk dalam senarai awak. Ke
dah habis calon dah?” Shahreza mulai curiga.
“Saya bukan apa, Amal tu suka dekat
Amiera.”
Naik tinggi kening lelaki separuh
usia itu. “Mana awak tahu?”
“Sarah beritahu pada saya. Kata dia,
Amal tu dah lama pendam perasaan sendiri.”
“Percayalah sangat cakap anak bongsu
awak tu.” Shahreza leret senyum.
“Sebab dia anak sayalah saya percaya
cakap dia. Lagipun kan bang, lepas aje Sarah cakap macam tu fasal Amal, baru
saya sedar sesuatu yang dah lama saya nampak tapi tak pernah saya fikir lebih
dalam.” Terbabas gumpalan nafas dari rengkungan. Penzahiran perasaan Ekmal
terhadap Amiera jelas di matanya tatkala memerhati renungan Ekmal petang tadi.
“Kalau betul Ekmal ada perasaan pada
Amiera, takkan kita nak jodohkan juga budak berdua tu? Amiera tu, kita tak tahu
apa yang ada dalam hati dia. Entah suka entah tidak dia dekat budak Ekmal tu.”
Tasneem terdiam seketika.
“Bertepuk sebelah tangan takkan
berbunyi tau,” seloroh Shahreza.
Tasneem kalih wajah. Bertempur
pandang dengan suaminya.
“Dahlah, mari kita tidur.” Selimut
tebal ditarik menutupi tubuh sehingga ke dada. Tangannya menepuk batal di
sebelah.
“Tidur. Lewat dah ni.”
Tasneem menurut. Berbaring di
samping suaminya. Dia menoleh. Shahreza sudah pejam mata.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Edit.
6 comments:
Ooo...sy dh dpt tangkap time n3 awak naik..ha3..
Makin bertambah cast dan rahsia disebalik rahsia bakal dikupas..interesting..
Sy look fwd to it ;)
Jia you, cik writer! *(^.^)*
wahh siap mimpi adlan tu x tahan!
@nveladdct
Hai sis! :)
Ye..makin byk cast smpai skrg ni dah pening2 lalat nak susun depa hihi :)
Tq sbb dtg baca :)
@miera
Datinnn! :)
Mau tak mimpi kalau dah hari2 asyik pikir sang adlan tu hahahahaha
Bersedialah utk menerima terjahan dr lebih ramai org lg ya...akk nak rekemen blog awak ni kt fb akk ;)
@nveladdct
Ya Allah... sis :') Terharunya!
TQ sis sbb sudi rekemen blog sememeh kite hihi :)
TQ juta2 lemon!
syg sis ketat2 hihi :)
Post a Comment