Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab19.

Assalamualaikum.









"...The purpose of hijab is to divert attention from beauty, not to bring attention to it. So try to avoid excessively decorating it..."









Bab 19
CERUK alam mana lagi dia harus mencari Latif? Dahulu, dia pernah cuba mengesan di mana lelaki itu tinggal namun sia-sia. Hanya beroleh maklumat keluarga Latif melalui rakan, yang kebetulan turut sama mengenali lelaki tersebut.
Pencarian kali ini didorong desakan daripada situasi yang sedang mereka hadapi. Amiera akan menikah dan Latif yang akan mewalikan Amiera. Dia yakin, Latif masih bernafas di bumi Tuhan ini. Tekad hati sudah bulat. Latif akan dicari walau di mana lelaki itu berada.
            Sesekali ekor mata Shahreza melirik ke arah luar jendela yang terbuka luas. Kelihatan Amiera sedang memimpin Tasneem manakala Sarah membantu di sebelah kanan.
            Kegigihan Amiera menyentuh hati kecilnya. Tanpa mengira penat lelah seharian bekerja, gadis itu tetap muncul di pintu rumah mereka dan pulangnya apabila waktu menginjak jam sepuluh malam. Keadaan itu berterusan sejak minggu lalu. Dan hari ini, Amiera datang lagi. Menghabiskan masa hujung minggu membantu Tasneem manjalani proses pemulihan.
            Bagaimana anak sebaik Amiera tergamak melakukan perbuatan terkutuk itu? Dia belum mampu menelan pahitnya kenyataan tersebut. Atau benar kejadian itu hanya satu salah sangka?
            “Assalamualaikum,” ucapnya sebaik ada suara di hujung talian menyambut panggilannya.
            “Waalaikumsalam.” Seorang perempuan membalas lembut.
            “Ini rumah Encik Miskam bin Abdul Taha?” Dalam ingat-ingat lupa, dia sebut juga nama bekas mertua Suria.
            “Ya, ini rumah dia.”
            ‘Alhamdulillah...’ Shahreza memanjat kesyukuran.
            “Boleh saya bercakap dengan Encik Miskam?” pintanya.
            Perempuan itu seperti serba-salah hendak memenuhi permintaan Shahreza. Desah nafasnya kedengaran kuat mengetuk anak telinga.
            “Maaf, ayah mentua saya dah meninggal dunia,” beritahu perempuan itu.
            Shahreza mengurut pelipis dahi. “Innalillah wa innalillahirojiun,” bisiknya.
            “Dah lama ke arwah meninggal?”
            “Tujuh lapan tahun lepas. Arwah sakit jantung.”
            Shahreza terdiam sejenak.
            “Boleh saya tahu di mana saya boleh cari Latif?”
            “Latif?”
            “Ya, Latif anak lelaki arwah.”
            Talian hujung sana menyepi. Kemudian terdengar batuk halus melepasi corong telefon.
            “Abang Latif?” Teragak-agak perempuan itu meneka.
            “Saya rasa, encik cakaplah dengan suami saya.” Perempuan itu melanjutkan bicaranya lagi.
            Buku nota harian miliknya dicapai, dan dia menulis sesuatu di ruangan kosong dalam buku tersebut. Digit-digit yang disebut perempuan itu membentuk nombor telefon yang menjadi kepunyaan Hazman, anak bongsu Miskam bin Taha.
            Setelah panggilan itu ditamatkan, Shahreza bersandar di kerusi. Nombor-nombor itu direnungi. Semoga Hazman sudi membantunya.
            Shahreza bangkit dari kerusi. Lambat-lambat dia menghayun kaki masuk ke bilik tidur, terletak kira-kira sepuluh langkah dari ruang tamu. Sehelai tuala biru dicapai dari sampiran besi. Kemudian dia menghilang ke dalam bilik air. Membersihkan diri dan mengangkat air sembahyang sebelum bertolak ke surau.

“ASSALAMUALAIKUM! Ana! Abang dah balik ni. Tolong bawakan besen ke sini.” Hazman mengangkat jala dan guni plastik yang diikat di tempat duduk belakang motosikal buruknya.
            Terkocoh-kocoh Suzana berlari ke luar rumah. Sang suami dihampiri. Meriak gembira bila melihat isi dalam guni plastik berkenaan.
            “Banyaknya ikan! Abang pergi menjala dengan siapa tadi?” Suzana bertanya.
            Hazman melabuh duduk atas lantai. Baju yang berbau hamis dan lembab itu segera ditanggalkan dari tubuh. “Tadi Jeman ajak abang. Tak sangka boleh tahan juga hasilnya.”
            “Ikan putih tu nanti Ana masaklah lemak cili api,” cadang Hazman.
            Suzana menyimpul senyum.
            “Ana tahu. Kan kegemaran abang tu. Kalau abang tak suruh pun Ana masakkan,” balas Suzana.
            Lebar senyuman Hazman mendengar kata-kata isterinya.
            “Eh bang, tadi ada orang telefon tanyakan fasal Abang Latif.”
            Berkerut dahi Hazman.
            “Tanya fasal Abang Latif?” soalnya kembali.
            Suzana mengangguk.
            “Siapa?”
            “Ana ada tanya nama dia tadi. Dia kata nama dia Shahreza.”
            Kian dalam kerutan yang terlukis di wajah Hazman.
            “Ana bagi nombor telefon abang dekat dia. Iyalah, macam penting sangat bunyi suara dia tu nak cari Abang Latif,” lanjut Suzana lagi.
            Hazman terdiam sejenak.
            “Abang, dah lama kan Abang Latif tu tak balik sini.” Suzana mengutip baju suaminya. Sesekali mencuri pandang ke arah Hazman yang berdiam diri.
            “Mana budak-budak ni? Senyap aje.” Hazman berdiri. Tertoleh-toleh kepalanya mencari bayang angkatan tenteranya yang bertiga itu- Hafizi, Luqman, dan Idham.
            “Biasalah budak-budak tu, bang. Merayap entah ke mana. Tadi Ana dah pesan suruh balik awal. Kalau tak, siaplah! Abang pergilah mandi dulu. Ana siapkan minum petang untuk abang,” kata Suzana. Memacu kaki masuk ke dalam rumah.
            Hazman melempar pandang jauh ke depan. Kala itu, paras Latif memenuhi ruang ingatan.

“SIKIT lagi bu! Sikit lagi!” Sarah mengawang tangan ke udara. Roman wajahnya meriak ceria melihat langkah kecil Tasneem tanpa bantuan sesiapa pun. Amiera mengiringi pergerakan ibunya. Bersiap-siaga hendak menyambut tubuh itu kalau-kalau tersilap langkah.
            “Yeay! Ibu dah berjaya sampai sini. Lepas ni bolehlah kita lawan lumba lari macam dulu,” kata Sarah. Memeluk erat tubuh ibunya.
            Tasneem tersenyum kecil. “Ibu nak duduk,” pintanya.
            Lekas dipimpin wanita itu ke sebuah kerusi kayu di bawah pohon berdaun lebat.
            “Allahuakbar...” Tasneem memicit kepala lutut.
            “Nah, tentu ibu haus,” kata Amiera selajur mengunjuk gelas kepada Tasneem.
            Tasneem membalas pemberian itu dengan senyuman.
            Amiera dan Sarah saling berpandangan. Kemudian masing-masing kulum senyum seperti mana ibu mereka.
            “Ibu, Sarah tak sabar nak tengok ibu sihat sepenuhnya. Nanti kita boleh pergi shopping, jalan-jalan macam selalu tu.” Sarah berkata manja sambil jari-jari runcingnya mengurut kaki kanan Tasneem.
            “Insya Allah...” sahut Tasneem seakan berbisik. Sejak dia nyaris diserang strok tempoh hari, kekuatan diri sedikit berkurang. Malah bahagian kanan tubuhnya seperti kaki dan tangan seakan hilang kudrat. Namun berkat usaha suami dan anak-anak membantu, keadaan dirinya semakin pulih. Sudah mampu berjalan sendiri meski bertatih lagi.
“Dengan izin Allah, ibu akan pulih. Tengok, sekarang ni ibu dah boleh berjalan sendiri. Ini semua hasil usaha ayah dan anak-anak ibu- Abang Amal, Kak Ema, Sarah, Mira.” Tasneem mengusap lembut pipi Amiera ketika bersuara.
            Amiera senyum kelat. Dipaksa-paksa.
            ‘Sakit ibu disebabkan oleh dia.’ Hati berbisik lemah.
            Dan kala diri dihambat kegembiraan setiap kali melihat perubahan positif berlaku ke atas Tasneem, separuh jiwa dirusuh resah. Pernikahan antara dia dan Adlan akan berlangsung selepas Tasneem pulih sepenuhnya- itu janji yang dihambur ke pendengaran Shahreza.
            Janji tetap janji. Orang yang memungkiri janji itu seorang munafik.
            “Ayah!” Sarah berdiri. Mengawang tangannya ke udara tatkala terpandangkan susuk tubuh Shahreza berbaju melayu dan berkain pelikat.
            Shahreza datang mendekat.
            “Ayah nak ke mana?” Atas bawah dia perhati ayahnya.
            “Ke surau. Ayah nak berjemaah dekat sana,” beritahu Shahreza.
            “Awalnya ayah pergi. Baru pukul berapa ni.” Amiera mengerling jam di pergelangan tangannya. Pukul enam suku petang.
            Shahreza kulum senyum, seraya berkata, “Ada majlis ilmu dekat surau kita tu. Ayah niat nak tolong apa yang patut sebelum solat berjemaah nanti.”
            “Kacaklah ayah pakai macam ni. Suka betul Sarah tengok orang lelaki pakai baju melayu, lepas tu berkain pelikat.” Sarah tersengih-sengih.
            Amiera dan Shahreza hambur ketawa serentak. Tasneem pula mengoles senyum halus di pinggir bibirnya.
           
“SAYA cuba hubungi keluarga Latif tadi.” Shahreza menarik selimut menutupi sebahagian tubuh isterinya.
            “Abang dapat cakap dengan Latif?” Rendah suara Tasneem bertanya.
            Shahreza membetulkan kedudukan bantal supaya Tasneem bersandar dengan selesa. Sesudah itu, dia beransur naik ke katil.
            “Tak. Isteri Hazman beri nombor telefon suami dia dekat saya. Awak tahu tak, Haji Miskam dah meninggal sakit jantung. Tujuh lapan tahun lepas.”
            “Innalillah...” Tasneem memandang suaminya.
            “Abang rasa, Hazman tahu tak dekat mana ayah Amiera tu?”
            Shahreza jongket bahu. “Nanti saya cuba tanya Hazman. Kuat hati saya mengatakan yang Latif masih hidup.”
            “Kalau dia dah mati, macam mana?”
            “Kita usaha dulu,” putus Shahreza.
            Sepi seketika.
Shahreza bermenung jauh.
            Dia kasihankan Amiera. Gadis itu membesar tanpa mengenali siapa ayahnya. Pernah suatu detik dahulu, ketika itu Amiera berusia sepuluh tahun dan baru sahaja kehilangan ibunya, Amiera bertanya kepadanya- kenapa ayah tidak ada bersama dia? Itulah kali pertama dan kali terakhir dia mendengar soalan tersebut dari mulut mungil Amiera.
            “Abang...”
            “Mmm...”
            “Perasaan saya ni lain macam sangat bila tengok Amiera. Berat hati nak biar dia menikahi lelaki tu,” keluh Tasneem. Dada dielus perlahan.
            “Saya pun masih tak percaya apa yang dah jadi. Amiera tu... budaknya baik sangat. Tapi... entahlah.” Shahreza memejam mata. Perit ulu jantung tika mengingati kekhilafan Amiera.
            Tasneem menoleh. Roman wajah suaminya direnungi.

            Mereka kembali bergulir dalam suasana sunyi.  

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Tidur.

2 comments:

Nvel Addct said...

Argghhh... Stress bc n3 ni >.<

~::HANAH RISHAS::~ said...

@sis nvel addct

:)

kita lg stress nak sambung mss ni sis -..-' dah berbulan terbengkalai wuwuwuwuwu

and tq sis, dtg singgah & baca ! :D