Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab18.

Assalamualaikum.









"...Keep calm because Allah is always with us..."









Bab 18
FATMA menjenguk ke ruang kamar peraduan Tasneem. Kerlingan tajam ditusuk tepat ke arah Amiera saat mereka saling bertatapan. Amiera terkial-kial cuba menepis renungan itu. Seolah ada semburan api memercik dari mata Fatma.
            “Ibu, makanlah sikit lagi bu. Penat tau Sarah dengan ayah kung kang kung kang dekat dapur tu,” pujuk Sarah apabila Tasneem enggan menghabiskan bubur ayam itu. Belum luak separuh pun.
            Tasneem senyum sedikit. Selajur melorong anak mata kepada Amiera.
            “Nak Kak Mira suapkan ibu ke?” Sarah meneka.
            Mengangguk tidak, menggeleng apatah lagi.
            “Kak Mira... Sarah rasa ibu nak Kak Mira suapkan ibu.” Sarah mencuit bahu Amiera. Mangkuk itu diunjuk kepada gadis yang sedari tadi memicit kedua belah kaki ibunya.
            Amiera mencapai mangkuk itu. Duduknya beralih dekat dengan Tasneem. Sarah mengengsot sedikit menjauh. Memerhatikan Amiera tidak lepas-lepas. Betapa sukar untuknya melupakan kejadian itu. Bayang Amiera dan lelaki tidak berbaju itu memenuhi ruang angkasa minda. Sepasang mata miliknya menjadi saksi kekhilafan seorang kakak yang dianggap bidadari dunia.
            “Biar aku yang suap ibu makan.” Fatma menerpa.
            Amiera bangun sejurus Fatma memberi isyarat mata menyuruh dia pergi.
            “Apa Kak Ema ni, kan Kak Mira nak suap ibu tu,” gerutu Sarah kurang senang mendengar jerkahan kasar Fatma.
            Fatma buat pekak telinga. Dia ambil tempat duduk Amiera tadi. Sempat mengerling ke arah Amiera. Gadis itu masih terpacak di penjuru bilik.
            “Biar Ema suap ibu ya. Kang kalau tangan kotor tu yang bagi ibu makan, bukan bertambah sihat, makin sakit ada lah,” kata Fatma. Sindiran itu sengaja diucap meninggi supaya menjunam ke lubang pendengaran Amiera.
            “Kau tu nak jadi tugu ke dekat situ?” Fatma pandang Amiera.
            Terkulat-kulat Amiera menahan perasaan.
            Menyedari renungan Fatma semakin tajam menusuk dada, buru-buru dia heret kaki keluar dari ruang itu. Membolos ke pintu utama yang terbuka luas.
            “Ema...” Tasneem menegur dalam suara yang perlahan.
            Fatma menoleh. Dia mendengus geram. Teguran itu bagai satu tamparan buatnya. Seisi rumah masih mampu berdepan dengan Amiera, menyambut kunjungan perempuan itu depan pintu rumah mereka dengan senyuman, walhal dia cukup sakit hati, bahkan tidak ingin menatap muka ‘plastik’ Amiera.

“KAK...” Terjengul kepala Sarah di muka pintu. Leret mata membenam ke wajah Amiera yang duduk bersendirian di sebuah kerusi kayu, terletak di penjuru anjung selebar dua belas kaki.
            “Boleh Sarah duduk situ?” Jari menuding ruang kosong bersebelahan Amiera.
            Amiera pantas mengangguk seraya berkata, “Duduklah.”
            Tersungging senyum kecil di hujung bibir Sarah. Rapat labuh punggung di sisi gadis itu.
            “Kak Ema memang macam tu. Mulut tak ada insurans,” cebik Sarah.
            Ulas bibir Amiera mengukir senyum tawar. “Betul apa kata Kak Ema tu,” keluh Amiera.
            “Kak...” Jeda seketika.
            Amiera memintas renungan gadis manis yang mempunyai iras paras Tasneem.
            “Ayah risaukan kakak.” Jujur Sarah memberitahu.
            Pandangan mata menyoroti dada langit nan membiru. Gumpalan-gumpalan awan memutih membentuk pelbagai rupa. Sejurus udara dihela melepasi dada, dia melanjut bicara, “Ayah selalu termenung. Sampai ada masa ayah tak lalu makan. Kalau senyum ketawa tu pun pura-pura aje. Sarah tahu, dalam kepala ayah tu asyik fikir tentang Kak Mira.”
            Salur pernafasan terasa menyempit. Sesak dadanya mendengar pertuturan Sarah. Hambatan roman Shahreza memenuhi kotak fikiran. Selajur membuarkan lebih banyak beban yang harus dia pikul di kiri dan kanan bahunya.
            “Kak Mira minta maaf, Sarah. Sebab akak semua ni jadi.” Untaian airmata disimpul ketat. Enggan menangis lagi.
            “Demi Allah, kami tak buat apa-apa. Dia tolong akak, Sarah.” Sungguh-sungguh dia berkata.
            Sarah diam tidak berkutik. Antara percaya atau tidak- dia berada di antara dua garis sempadan itu.

BULAT mata Fatma yang mencuri-curi dengar perbualan antara ayahnya dan Amiera. Kata-kata tenang Shahreza membujuk Amiera umpama busur bermata tajam, membidik ke jantung, melahirkan sejuta kepedihan serta membangkitkan amarah yang telah sedia bertimbun.
            “Kau mengaku juga akhirnya.” Fatma mencelah penuh sinis seraya giat menepuk tangan.
            Amiera dan Shahreza berpaling serentak.
            “Ema.” Shahreza memerhati ulah anak perempuannya.
            “Kau setuju kahwin dengan lelaki tu, bermakna memang wujud hubungan terkutuk tu, kan?” Terus-terusan Fatma membedil tuduhan.
            “Untung kau ni. Dah malukan keluarga aku pun, masih ayah dan ibu aku berlembut dengan kau. Sampaikan ibu aku sakit-sakit, hampir kena strok pun dia masih juga panggil kau anak dia. Ilmu apa kau guna hah?” jerkah Fatma.
            “Fatma!” Kali ini, Shahreza melengking tinggi suaranya.
            Fatma kancing gigi.
            “Ayah ni kenapa? Perempuan tu dah conteng arang dekat muka kita, buat hubungan terkutuk dengan lelaki mana entah, tapi ayah boleh lagi berlembut dengan dia. Ayah tak ada perasaan marah ke? Atau sebenarnya ayah dah terlampau sayang sangat dekat perempuan tu sampai ayah sanggup tutup mata atas perkara jahat yang dia dah buat?!” Itu yang paling dia benci. Hal itu yang membuatkan dia bertambah sakit hati. Apa pun yang dilakukan Amiera, tidak pernah mencacatkan pandangan sesiapa.
            Shahreza terduduk. Ekor mata menyoroti langkah Fatma menghilang dari pandangan. Sejurus itu, dia urut pelipis dahi. Kepala semakin memberat. Berdenyut seluruhnya.
            “Ayah...” Amiera hendak menutur kata namun terbejat suara di kerongkong sebaik Shahreza angkat tangan melepasi bahu dan bergoyangan ke depan dan ke belakang dalam skala yang kecil.
            Isyarat tangan Shahreza cukup difahami.
            Diam.
            Tutup mulut.

“MUMMY!” Haili Sofea memekik lantang. Buru-buru dia menuruni anak tangga dan meluru ke ruang tamu. Tertinjau-tinjau melihat persekitaran yang sunyi itu. Kelibat Rozita tidak kelihatan di mana-mana.
            “Mummy!” pekiknya lagi. Panjang langkahnya menuju ke pintu yang terbuka luas. Serta-merta roman wajahnya meriak ceria saat terpandangkan Rozita duduk bersendirian di bangku kayu. Selipar jepun disarung ke kaki. Berlari-lari anak mendapatkan Rozita.
            “Kenapa pekik-pekik panggil mummy sayang?” Rozita menoleh.
            Haili Sofea duduk hampir di sisi Rozita. Telefon bimbit diunjuk kepada wanita itu.
            “Apa ni?” Rozita kehairanan.
            “Mummy bacalah,” gesa Haili Sofea.
            Rozita menurut. Anak mata menyoroti skrin telefon itu. Rangkai ayat yang tertera dibaca satu per satu. Lama–kelamaan bukaan kelopak mata semakin mengecil. Kerut halus kian membanjiri dahi.
            “Nah.” Rozita mengembalikan telefon itu tanpa memandang muka Haili Sofea.
            Haili Sofea tersenyum-senyum. “Mummy dah baca?”
            Rozita tidak menyahut. Dia berpeluk tubuh.
            “Mummy...” rengek Haili Sofea apabila perhatian Rozita tidak terarah langsung kepadanya.
            “Apa dia sayang?” Sedikit mendatar lontaran suara itu.
            “Tak sabar nak tunggu Abang Edi...”
            “Stop it,” pintas Rozita.
            Haili Sofea terpanar.
            “Mummy tak suka ke Abang Edi tu bawa balik bakal menantu?” Gadis berambut pendek paras bahu itu menyoal.
            “Jangan sebut nama tu depan mummy. Mummy tak suka!” marah Rozita tiba-tiba.
            Bertambah hairan dibuatnya. Haili Sofea mengengsot menjauhi Rozita.
            “Mummy ni kenapa?”
            “Just shut up, Elly!” Rozita berang. Nama Adlan umpama bara yang sentiasa berapi dalam dada. Sakit hatinya mengenangkan kata-kata Adlan.
            “Ita!” tegur Ku Embok.
            Haili Sofea berlari mendapatkan neneknya.
            “Mummy tu...” adu Haili Sofea dengan muka cemberut.
            “Elly masuk dalam,” suruh Ku Embok. Haili Sofea mengangguk.
            Tergeleng-geleng kepala Ku Embok memerhatikan menantunya itu. Lambat-lambat dia mendekati Rozita.
            “Ita, kenapa marah-marah pada Elly?” Ku Embok menyoal.
            Rozita pejam mata. Hati dipagut rasa bersalah terhadap Haili Sofea. Kasihan anak gadisnya itu jadi mangsa amarah yang menjentik.
            “Entahlah, mak. Pedih sangat hati saya bila Elly sebut nama Adlan tu,” keluh Rozita.
            “Sebab tu aje?” Ku Embok terkejut.
            Kelopak mata terbuka perlahan-lahan. Membidik renungan ke dada langit. Redup. Biasan sinaran mentari terpancar dicelah-celah kumpulan awan yang menabiri sang suria.
            “Adlan tu mak, memang sengaja mendera perasaan saya. Sengaja tambah rasa sakit hati saya ni.” Rozita menyeka airmata di pipi.
            “Ita, apa yang keluar dari mulut dia tu semuanya tak betul. Dia mengaku sendiri pada mak yang dia...”
            “Saya dah letih dah mak. Biarlah dia nak buat apa pun, saya tak akan ambil tahu. Makin saya peduli, makin teruk hati saya ni disiat-siat.” Rozita menuntas lemah. Lekas memacu langkah meninggalkan Ku Embok termangu-mangu di situ.

“KERANA dia anakku, aku akan sentiasa mengampunkan dosa-dosanya. Akan sentiasa mendoakan kesejahteraannya, memohon agar rahmat Tuhan selalu melingkari hidupnya.” Rozita berbisik halus. Dakapan bingkai gambar itu dieratkan lagi. Seolah memeluk tuan empunya diri.
            “Adlan anak ibu...” Tangis sendu Rozita berhimpun dalam hembusan angin yang terhasil daripada putaran kipas siling.
            Sungguh dia memaafkan apa pun perbuatan dan tutur kata Adlan yang menyakiti hati, namun luka terguris itu akan kekal menjadi parut.

AIRMATA itu diseka dengan lembut. Kemudian dahi Adlan dikucup penuh kasih.
            “Ibu... sakit,” rengek Adlan dengan airmata lencun membasahi pipi.
            Rozita kulum senyum. Pipi Adlan diusap-usap.
            “Jangan menangis sayang. Luka sikit aje tu. Nanti ibu sapu ubat ya,” pujuk Rozita.
            Adlan yang baru berusia enam tahun itu mengangguk perlahan. Terhinjut-hinjut bahu tahan sendu.
            “Aaaa!” Adlan menjerit.
            Terbejat tindakan Rozita hendak mencuci luka di kepala lutut anaknya.
            “Sakit bu! Sakit!” Adlan meraung.
            Kapas dicampak ke tepi. Adlan dirangkul ke dalam pelukan. Erat.
            “Dah... dah sayang. Maafkan ibu ya. Ibu kasar sangat letak ubat tadi.” Rozita mengelus tubuh Adlan.
            “Adlan hero ibu. Hero tak boleh takut. Kena berani,” ujar Rozita, cuba memacu keberanian di hati kecil anaknya.
            “Hero kena berani?” soal Adlan seperti tertarik. Esak tangisnya beransur sepi.
            Rozita mengangguk seraya tersenyum kecil.
            “Edi nak jadi hero?”
            “Nak!” Laju Adlan menjawab.
            “Kalau macam tu, anak ibu yang berani tak boleh menangis bila luka tu nak kena sapu ubat. Tahan sikit. Luka tu kalau tak kasi ubat, kuman datang. Bahaya!” Riak wajah Rozita berubah-ubah ketika bercerita.
            “Edi tak takut dah,” kata Adlan. Kaki dijulur ke depan.
            “Ibu letak ubat ya. Edi tahan ya sayang...” Dengan penuh berhati-hati, Rozita menekap kapas yang diletak sedikit cecair Dettol ke luka itu. Terpejam-pejam mata Adlan. Namun tiada teriakan nyaring seperti tadi.
            “Dah siap dah!” Rozita merapikan tampalan plaster yang menutupi luka tadi.
            Adlan buka mata.
            “Sakit?”
            “Tak!”
            Rozita menarik Adlan ke dalam rangkulan. Ubun-ubun anaknya dikucup berkali-kali.
            “Hero ibu tak boleh takut. Kena berani!”
            Adlan mendongak. Senyuman lebar menghiasi roman si kecil.
            “Edi sayang ibu!”

‘EDI sayang ibu!’
            ‘Edi sayang ibu!’
            ‘Edi sayang ibu!’
            Rozita kembali mendarat ke dunia nyata pada ketika gema suara kecil Adlan memenuhi kotak fikiran. Dia pandang kiri kanan. Tercari-cari Adlan yang dirindui. Menyedari imbasan itu hanya secebis kenangan manis antara dia dan Adlan, Rozita mengeluh kehampaan.

‘SAYA sudi bersuamikan encik tetapi penikahan kita hanya akan berlaku selepas ibu saya pulih sepenuhnya.’ Ulas bibir Adlan melentur ke bawah, membentuk senyuman tatkali desir suara hati menitip rangkai ayat kiriman Amiera kepadanya.
            Rona gembira itu bukan kerana runtuhnya pendirian Amiera, sebaliknya memikirkan betapa keputusan dia menikahi Amiera nanti bakal menyakiti hati seseorang yang tidak pernah diambil peduli. Apatah lagi, di depan mata wanita itu, dia mengakui keterlanjuran diri.
            Sinis senyuman yang terpamer di ulas bibirnya. Ayat panjang berjela-jela kiriman Haili Sofea langsung tidak melentur sekeping hati miliknya untuk merasai perasaan bersalah. Malah dia boleh senyum kepuasan. Adlan memang bukan Adlan yang dahulu. Adlan kini seorang berjiwa kering gara-gara kebenciannya terhadap perbuatan ibunya satu detik masa lalu.

            Titipan bicara Ku Embok telah tenggelam tanpa mampu timbul kembali. Adlan melihat Rozita sebagai seorang musuh, bukan ibu yang wajib dihormati dan dikasihi sepenuh hati. Dia lupa, wanita itu pernah mengusung dia di dalam perut yang memboyot selama sembilan bulan. Dia lupa, wanita itu hampir mati kerana melahirkan dia.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Tidur.

3 comments:

Nvel Addct said...

Hah?? Baby ke 2? Baby 1 apa nama?? X ckp pun :(

~::HANAH RISHAS::~ said...

Hai sis :)

Oh..bby pertama tu tahun2012 :) cintan cintun gitewwe :) tajuknya Cinta Dalam Hati, terbitan Kaki Novel :) dgn KN kita guna full name- Salwati Haris :)

Nvel Addct said...

Ok. Noted. Kena carik. Hihihii