"...We were the most humiliated people on earth and Allah gave us honor through Islam..." - Umar Ibn Al-Khattab RA
Bab 17
‘BIMILLAH...’
Amiera menitip bisikan itu dalam hati. Pintu kaca ditolak kuat. Saat
terpandangkan Kak Mila yang kebetulan melintas di depan sana, mereka saling
berbalas senyum. Terkedek-kedek Kak Mila berlari anak mendapatkan dia di pintu
utama.
“Mira dah sihat?”
“Alhamdulillah. Sihat dah.” Amiera
kulum senyum. Zahirnya dia sihat, tiada apa-apa yang keuzuran namun jiwa dan
raganya terlalu sakit. Tenat. Amiera lekas beristighfar panjang. Menyisih
jauh-jauh ingatan itu daripada menduduki kepala. Tumpuannya penuh kepada
kerja-kerja yang bakal dihadapnya sebentar lagi.
“Morning
Encik Adlan,” sapa Kak Mila.
Mendengar sebaris nama itu, seolah
diri dihambat ribut taufan yang maha dahsyat. Dia menoleh dan sejurus itu,
pandangan keduanya bertaut. Lama.
Ingatan kepada kejadian memalukan
itu menduduki fikiran kedua-duanya. Lantas melantun resah di ulu jantung
masing-masing.
“Morning
Kak Mila.” Adlan membalas ala kadar. Senyum yang dipamer juga tidak sesungguh
hati.
“Ni ada surat-surat untuk Encik
Adlan dan Encik Iskandar. Kak Mila letak atas meja ya,” beritahu Kak Mila
seraya menunjuk beberapa keping surat berlainan saiz serta warna kepada Adlan.
Adlan
mengangguk.
Kak Mila mula mengatur langkah.
Diikuti Amiera, mengekor rapat di belakang.
“Keputusan ayah muktamad. Apa pun
yang terjadi antara kamu berdua, Amiera akan tetap ayah nikahkan dengan Adlan.”
Terngiang-ngiang suara Shahreza di pinggir anak telinga.
Tidak! Dia enggan menikahi lelaki
itu. Mereka berdua tahu, mereka tersepit di tengah-tengah walau pada mulanya
dia cukup berang memarahi Adlan. Mahu dikoyak-koyak muka lelaki itu.
“Fitnah!” Amiera menderam marah.
Kak Mila segera menoleh. Garis-garis
kedut halus merauti wajah itu.
“Mira cakap apa?”
“Hah?” Amiera tersentak.
“Tadi akak dengar Mira cakap
sesuatu,” gumam Kak Mila.
Pantas Amiera menggeleng. Terpacul
marahnya keluar bersatu dengan udara.
SUDU kecil
berdeting halus saat bersentuhan dengan sisi mug seramik. Kopi panas itu
dikacau perlahan-lahan.
“Amal percayakan Mira, kan?” Lirih
bicara Amiera melantun dalam kepala. Berulang-ulang kali sehingga dia rasa
terhimpit.
Tidak dia menyangka, Amiera sanggup
berkelakuan jijik begitu bersama seorang lelaki bukan muhrim. Berdua-duaan. Apa
lagi yang harus difikirkan tatkala sepasang mata milik mereka menjadi saksi
kejadian itu? Jelas, terang lagi nyata.
Ekmal mengusap dada. Sekeping hati
miliknya telah bersepai sepenuhnya. Terhempas ke lantai dengan keadaan yang
paling sadis. Tiada arah untuknya mengutip semula serpihan itu, lalu dicantum
kembali.
Dengan malas dia meleret ibu jari ke
skrin telefon. Tertera nama Fatma di situ.
“Kita jumpa,” kata Fatma sebaik
panggilan itu bersambut.
“Cuba beradab sikit,” tegur Ekmal.
Keluh kasar menggigit telinga Ekmal.
“Assalamualaikum!” Fatma meninggikan
suara.
“Waalaikumsalam,” jawab Ekmal lebih
berhemah.
“Jumpa? Untuk apa?” lanjut Ekmal.
“Lunch.
Takkan nak jumpa abang sendiri pun tak boleh?” Fatma bertanya penuh kesinisan.
“Baiklah. Beritahu abang dekat mana
kita nak lunch.”
Ekmal terangguk-angguk. Spontan,
otak memetakan lokasi yang dibutirkan Fatma.
SESEKALI Fatma
mengerling abangnya yang mendiamkan diri sejak mereka bertemu empat mata. Mulut
Ekmal seolah terisi dengan batu. Berat sungguh hendak terbuka membicarakan apa
pun.
“Oh ya, macam mana dengan kerja
abang? Okay ke?” Fatma memotong daging bakar bersos lada hitam dengan pisau.
Empat mata garfu mencucuk tembus ke dalam daging berkenaan.
“Kenapa tiba-tiba Ema tanya? Sebelum
ni tak pernah pun nak ambil peduli.” Ekmal tidak memandang Fatma.
Fatma menjulang pandang ke paras
Ekmal. “Tiba-tiba nak tahu, tak boleh?”
Ekmal meletak pisau dan garfu di
tengah pinggan. Tidak luak separuh pun lamb
chop yang dipesan tadi. Perut naik sebu. Nafsu makan tidak membuak-buak
seperti kelaziman.
“Apa yang Ema nak sebenarnya? Just tell me.” Ekmal curiga.
Kotoran sos lada hitam mencemari
hujung bibir dilap bersih. Seperti Ekmal, dia juga menyorong pinggan lebar itu
ke tengah meja. Selera makan sudah putus.
“Ayah nak kahwinkan Mira dengan
lelaki tu,” beritahu Fatma. Jus epal disedut hingga berbaki separuh gelas.
Andai Fatma mengajak dia keluar
makan semata-mata hendak mengkhabarkan perihal itu, tentunya dia tidak akan
berkerut hairan. Malam kejadian, Shahreza melutut ke lantai, melontar rayuan
agar lelaki itu menikahi Amiera. Mereka sekeluarga jadi saksi.
“Jadi?”
Fatma tersentak mendengarnya namun
segera menyembuyikan perasaannya itu di sebalik senyuman kecil yang
dibuat-buat. Plastik.
“Abang tak cemburu?” duga Fatma.
“Cemburu?” Giliran Ekmal leret
senyum palsu.
“Kan ke abang suka dekat Amiera? Ibu
dan ayah pun nak jodohkan abang dengan dia. Tup tup Amiera nak dinikahkan pula
dengan lelaki tu.” Fatma sengaja memprovokasi. Tajam merenungi riak tenang
abangnya.
“Dia dah buat pilihan dia sendiri,”
balas Ekmal.
“Dengan cara macam tu? Menjijikkan!”
cebik Fatma.
Serta-merta Ekmal bangkit. Sekeping
wang kertas lima puluh ringgit diselitkan di bawah gelas.
“Kalau Ema ajak abang lunch semata-mata nak cakap benda-benda
macam ni, baik tak payah,” tegas Ekmal. Tanpa memandang Fatma walau seinci pun,
Ekmal menghayun kaki keluar dari tempat itu. Dia sudah lebih dari kenyang
apabila mendengar omongan Fatma.
Melihat ulah Ekmal, Fatma hambur
tawa kecil. Ah, Ekmal berlagak hero. Pada hal hati sendiri sudah hancur lumat.
SARAH yang ralit
membaca novel, sedikit terkejut melihat kemunculan Ekmal. Lirik mata memerhati
jam di pergelangan tangan. Baru menginjak ke angka 3 petang. Bukankah waktu
begini Ekmal berada di pejabat memenuhi tuntutan kerja?
“Abang tak kerja ke?” soal Sarah.
Novel itu diletak atas kabinet besi bersebelahan kepala katil.
“Half
day,” beritahu Ekmal selajur pamer senyum kecil.
Berkerut dahi Sarah. Dia mendekati
Ekmal yang duduk di hujung katil. Telapak tangan dilekap ke dahi lelaki itu.
Ekmal memandang hairan.
“Kenapa dik?” ajunya.
“Abang tak sihat ke? Ambil half day bagai,” kata Sarah.
Spontan, Ekmal ketawa perlahan.
Kepala Sarah diusap kasar. Rambut yang pada mulanya cantik bersisir rapi,
sedikit kusut. Memuncung bibir Sarah tanda protes.
Sejujurnya, semangatnya langsung
terbahagi dua sejurus pertemuannya dengan Fatma. Fatma sengaja mengungkit hal
yang cuba dihumban jauh-jauh dari peti simpanan otak. Gadis itu memang sengaja
mendera perasaannya yang sedia remuk rendam.
“Esok, ibu dah boleh discharge,” tutur Sarah. Jari-jarinya
ligat mengurut lengan Tasneem.
“Oh, yeke? Alhamdulillah,” tutur
Ekmal.
“Mujur ibu boleh sembuh. Cuma
itulah, ibu tak kuat lagi.” Sarah merenung wajah Tasneem ketika berbicara.
Ibunya terlena selepas diberi makan ubat tadi.
Ekmal sekadar mendiamkan diri.
Musibah ini satu ujian buat mereka sekeluarga.
“Abang nak apa-apa tak? Sarah nak
pergi kantin sekejap.” Sarah bangun. Sekeping wang kertas berwarna merah
diambil dari dompetnya.
“Abang tolong jaga ibu ye. Sarah
pergi sekejap aje,” lanjutnya apabila Ekmal memberi isyarat dia tidak
mengkehendaki apa-apa pun.
Ekmal ambil tempat Sarah di sisi
Tasneem. Kepala ibunya dielus lembut. Penuh kasih sayang. Manakala jari-jemari
Tasneem digenggam erat dan dibawa ke bibir. Dia kaku dalam keadaan begitu
beberapa saat lamanya. Terasa tubir mata kian hangat. Pandangan mata merunduk-
menekur cadar serba putih membaluti tilam berkenaan.
“Ibu... cepat sembuh ya,” katanya
dengan sayu.
“WE need to talk.”
Terkumat-kamit mulut Amiera membaca
kiriman pesanan ringkas yang diterima daripada nombor yang tidak dikenali. Anak
mata meleret ke hujung pesanan tersebut. Lima abjad membentuk satu nama- Adlan.
Helaan nafas kedengaran memberati
dada, dilepaskan lambat-lambat. Dalam kepayahan dia bernafas setiap hari. Tiap
ketika fikiran dibebani kejadian itu. Tiap saat terbayangkan wajah-wajah kecewa
yang memandang dia penuh rasa tidak percaya.
Amiera gagahkan kaki melintasi
beberapa buah wad sebelum berhenti di depan pintu bilik yang menempatkan
Tasneem. Tombol pintu dipulas sedikit, ditolak dengan bukaan yang nipis.
Kedengaran suara Sarah sedang berbual-bual bersama Shahreza. Dari celah-celah
pintu itu, jelas kelihatan Tasneem duduk bersandar di kepala katil. Keadaan
wanita itu sedikit sihat berbanding sebelum ini. Fatma dan Ekmal juga ada
bersama.
Pintu ditutup kembali. Dia melangkah
lemah meninggalkan tempat itu.
“AWAK pengsan.”
“Pengsan?” Amiera kerut muka.
Adlan angguk kepala. Telapak tangan
dibawa meraup wajah. Terhembus sebuah keluhan berat mengepungi dada.
“Tak ingat?” Pandangan Adlan memusat
kepada Amiera yang kelihatan terpinga-pinga.
Amiera mendiamkan diri. Fikiran
sendiri sedang tekun bekerja. Mencari titik permulaan retetan semalam.
“Budak lelaki tu...” Dia menggumam
halus.
“Yes.
Ada budak kena langgar. Then
tiba-tiba awak pengsan. Saya bawa awak balik. Oleh kerana baju saya kena darah,
saya tumpang toilet dekat rumah awak.
Unfortunately, bila keluar dari toilet, ayah awak dah ada depan mata.
Dalam keadaan saya yang tak berbaju masa tu, duduk pula dalam rumah awak, of course mereka fikir something wrong somewhere.” Selesai
mengungkap bicara panjang lebar begitu, Adlan bersandar tubuh. Kesal.
Pelipis dahi diurut lembut.
Berdenyut.
“Kita kahwin?” Adlan berkata dengan
tenang. Ungkapan itulah yang hendak dimuntahkan kepada Amiera.
Terbeliak mata Amiera.
“No!”
bantahnya.
“Kita tak salah. So, kenapa mesti
kahwin?” Amiera menentang keras.
Adlan terdiam seketika sebelum
membalas, “Awak akan kahwin dengan saya, Amiera. Apa pun yang jadi, you’ll be mine.”
Amiera bersikap lebih tenang kali
ini. Tiada bentakan seperti tadi. Dia merenungi Adlan. “Siapa encik nak paksa
saya kahwin dengan encik?”
“Saya tak nak kahwin dengan encik.
Biarlah di mata mereka saya ni anak tak guna, ditangkap berdua-duaan dengan
lelaki entah mana-mana, tapi saya tahu saya tak salah. Perkahwinan itu tidak
akan terjadi.”
Amiera bingkas berdiri. Menonong
bawa kaki pergi. Panggilan Adlan tidak dipeduli.
TERKOCOH-KOCOH
Razif menyaingi langkah laju Ekmal yang tiba-tiba menyongsang arah yang
sepatutnya mereka tuju. Mereka kembali ke kereta- membolos diri ke dalam
kenderaan milik Ekmal. Razif menurut meski dia kehairanan melihat perubahan
Ekmal secara mendadak itu.
“Tiba-tiba ubah angin ni kenapa?”
Razif bertanya. Tali pinggang keledar ditarik merentangi tubuhnya.
“Aku tak lapar.” Ekmal menjawab
kasar.
Razif menoleh. Berkerut dahinya.
“Kau ni kenapa? Monopos?” seloroh Razif namun senyum sumbingnya terus padam
sebaik renungan tajam Ekmal membelah mata.
“Okay, fine! Kalau kau tak lapar, kau kena consider orang yang kau heret bawa keluar tadi. Aku nak makan. So please bro, pamer sikit simpati kau
tu dekat aku.” Razif malas hendak melayani angin Ekmal yang datang tidak tentu
masa sejak dua menjak ini.
“Tapau bawa balik,” arah Ekmal.
Tali pinggang keledar segera
dileraikan dan sepantas kilat, dia melompat keluar. Bergegas mengatur langkah
menghampiri Restoran De’ Rebung, kira-kira seratus lima puluh meter dari
kawasan parkir kereta.
Sebaik Razif menghilang ditelan
kegelapan malam, Ekmal menghentak stereng kereta dengan kasar. Suara hati
menjerit lantang menzahirkan rasa sakit hati dan kecewa.
‘Amiera! Amiera!! Amiera!!!’
Ekmal meraup wajahnya. Saat mata
terkatup rapat, bayangan Amiera bersama seorang lelaki yang dilihatnya tadi
menerpa ke dalam fikiran. Lelaki yang sama berada di dalam bilik Amiera ketika
mereka ditangkap berdua-duaan.
‘Kenapa dera abang begini, Amiera?’
Ekmal mengelus dada. Pedih.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
Notahujungkaki: Tidur.
1 comment:
Huaaarrrgghh... X puas hati nih... Secoet je HR..? Last week xde.. Huhuhuhuhh... :'(
Post a Comment