Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab17.

Assalamualaikum.









"...We were the most humiliated people on earth and Allah gave us honor through Islam..." - Umar Ibn Al-Khattab RA









Bab 17
‘BIMILLAH...’ Amiera menitip bisikan itu dalam hati. Pintu kaca ditolak kuat. Saat terpandangkan Kak Mila yang kebetulan melintas di depan sana, mereka saling berbalas senyum. Terkedek-kedek Kak Mila berlari anak mendapatkan dia di pintu utama.
            “Mira dah sihat?”
            “Alhamdulillah. Sihat dah.” Amiera kulum senyum. Zahirnya dia sihat, tiada apa-apa yang keuzuran namun jiwa dan raganya terlalu sakit. Tenat. Amiera lekas beristighfar panjang. Menyisih jauh-jauh ingatan itu daripada menduduki kepala. Tumpuannya penuh kepada kerja-kerja yang bakal dihadapnya sebentar lagi.
            “Morning Encik Adlan,” sapa Kak Mila.
            Mendengar sebaris nama itu, seolah diri dihambat ribut taufan yang maha dahsyat. Dia menoleh dan sejurus itu, pandangan keduanya bertaut. Lama.
            Ingatan kepada kejadian memalukan itu menduduki fikiran kedua-duanya. Lantas melantun resah di ulu jantung masing-masing.
            “Morning Kak Mila.” Adlan membalas ala kadar. Senyum yang dipamer juga tidak sesungguh hati.
            “Ni ada surat-surat untuk Encik Adlan dan Encik Iskandar. Kak Mila letak atas meja ya,” beritahu Kak Mila seraya menunjuk beberapa keping surat berlainan saiz serta warna kepada Adlan.      
Adlan mengangguk.
            Kak Mila mula mengatur langkah. Diikuti Amiera, mengekor rapat di belakang.
            “Keputusan ayah muktamad. Apa pun yang terjadi antara kamu berdua, Amiera akan tetap ayah nikahkan dengan Adlan.” Terngiang-ngiang suara Shahreza di pinggir anak telinga.
            Tidak! Dia enggan menikahi lelaki itu. Mereka berdua tahu, mereka tersepit di tengah-tengah walau pada mulanya dia cukup berang memarahi Adlan. Mahu dikoyak-koyak muka lelaki itu.
            “Fitnah!” Amiera menderam marah.
            Kak Mila segera menoleh. Garis-garis kedut halus merauti wajah itu.
            “Mira cakap apa?”
            “Hah?” Amiera tersentak.
            “Tadi akak dengar Mira cakap sesuatu,” gumam Kak Mila.
            Pantas Amiera menggeleng. Terpacul marahnya keluar bersatu dengan udara.

SUDU kecil berdeting halus saat bersentuhan dengan sisi mug seramik. Kopi panas itu dikacau perlahan-lahan.
            “Amal percayakan Mira, kan?” Lirih bicara Amiera melantun dalam kepala. Berulang-ulang kali sehingga dia rasa terhimpit.
            Tidak dia menyangka, Amiera sanggup berkelakuan jijik begitu bersama seorang lelaki bukan muhrim. Berdua-duaan. Apa lagi yang harus difikirkan tatkala sepasang mata milik mereka menjadi saksi kejadian itu? Jelas, terang lagi nyata.
            Ekmal mengusap dada. Sekeping hati miliknya telah bersepai sepenuhnya. Terhempas ke lantai dengan keadaan yang paling sadis. Tiada arah untuknya mengutip semula serpihan itu, lalu dicantum kembali.
            Dengan malas dia meleret ibu jari ke skrin telefon. Tertera nama Fatma di situ.
            “Kita jumpa,” kata Fatma sebaik panggilan itu bersambut.
            “Cuba beradab sikit,” tegur Ekmal.
            Keluh kasar menggigit telinga Ekmal.
            “Assalamualaikum!” Fatma meninggikan suara.
            “Waalaikumsalam,” jawab Ekmal lebih berhemah.
            “Jumpa? Untuk apa?” lanjut Ekmal.
            “Lunch. Takkan nak jumpa abang sendiri pun tak boleh?” Fatma bertanya penuh kesinisan.
            “Baiklah. Beritahu abang dekat mana kita nak lunch.”
            Ekmal terangguk-angguk. Spontan, otak memetakan lokasi yang dibutirkan Fatma.

SESEKALI Fatma mengerling abangnya yang mendiamkan diri sejak mereka bertemu empat mata. Mulut Ekmal seolah terisi dengan batu. Berat sungguh hendak terbuka membicarakan apa pun.
            “Oh ya, macam mana dengan kerja abang? Okay ke?” Fatma memotong daging bakar bersos lada hitam dengan pisau. Empat mata garfu mencucuk tembus ke dalam daging berkenaan.
            “Kenapa tiba-tiba Ema tanya? Sebelum ni tak pernah pun nak ambil peduli.” Ekmal tidak memandang Fatma.
            Fatma menjulang pandang ke paras Ekmal. “Tiba-tiba nak tahu, tak boleh?”
            Ekmal meletak pisau dan garfu di tengah pinggan. Tidak luak separuh pun lamb chop yang dipesan tadi. Perut naik sebu. Nafsu makan tidak membuak-buak seperti kelaziman.
            “Apa yang Ema nak sebenarnya? Just tell me.” Ekmal curiga.
            Kotoran sos lada hitam mencemari hujung bibir dilap bersih. Seperti Ekmal, dia juga menyorong pinggan lebar itu ke tengah meja. Selera makan sudah putus.
            “Ayah nak kahwinkan Mira dengan lelaki tu,” beritahu Fatma. Jus epal disedut hingga berbaki separuh gelas.
            Andai Fatma mengajak dia keluar makan semata-mata hendak mengkhabarkan perihal itu, tentunya dia tidak akan berkerut hairan. Malam kejadian, Shahreza melutut ke lantai, melontar rayuan agar lelaki itu menikahi Amiera. Mereka sekeluarga jadi saksi.
            “Jadi?”
            Fatma tersentak mendengarnya namun segera menyembuyikan perasaannya itu di sebalik senyuman kecil yang dibuat-buat. Plastik.
            “Abang tak cemburu?” duga Fatma.
            “Cemburu?” Giliran Ekmal leret senyum palsu.
            “Kan ke abang suka dekat Amiera? Ibu dan ayah pun nak jodohkan abang dengan dia. Tup tup Amiera nak dinikahkan pula dengan lelaki tu.” Fatma sengaja memprovokasi. Tajam merenungi riak tenang abangnya.
            “Dia dah buat pilihan dia sendiri,” balas Ekmal.
            “Dengan cara macam tu? Menjijikkan!” cebik Fatma.
            Serta-merta Ekmal bangkit. Sekeping wang kertas lima puluh ringgit diselitkan di bawah gelas.
            “Kalau Ema ajak abang lunch semata-mata nak cakap benda-benda macam ni, baik tak payah,” tegas Ekmal. Tanpa memandang Fatma walau seinci pun, Ekmal menghayun kaki keluar dari tempat itu. Dia sudah lebih dari kenyang apabila mendengar omongan Fatma.
            Melihat ulah Ekmal, Fatma hambur tawa kecil. Ah, Ekmal berlagak hero. Pada hal hati sendiri sudah hancur lumat.

SARAH yang ralit membaca novel, sedikit terkejut melihat kemunculan Ekmal. Lirik mata memerhati jam di pergelangan tangan. Baru menginjak ke angka 3 petang. Bukankah waktu begini Ekmal berada di pejabat memenuhi tuntutan kerja?
            “Abang tak kerja ke?” soal Sarah. Novel itu diletak atas kabinet besi bersebelahan kepala katil.
            “Half day,” beritahu Ekmal selajur pamer senyum kecil.
            Berkerut dahi Sarah. Dia mendekati Ekmal yang duduk di hujung katil. Telapak tangan dilekap ke dahi lelaki itu. Ekmal memandang hairan.
            “Kenapa dik?” ajunya.
            “Abang tak sihat ke? Ambil half day bagai,” kata Sarah.
            Spontan, Ekmal ketawa perlahan. Kepala Sarah diusap kasar. Rambut yang pada mulanya cantik bersisir rapi, sedikit kusut. Memuncung bibir Sarah tanda protes.
            Sejujurnya, semangatnya langsung terbahagi dua sejurus pertemuannya dengan Fatma. Fatma sengaja mengungkit hal yang cuba dihumban jauh-jauh dari peti simpanan otak. Gadis itu memang sengaja mendera perasaannya yang sedia remuk rendam.
            “Esok, ibu dah boleh discharge,” tutur Sarah. Jari-jarinya ligat mengurut lengan Tasneem.
            “Oh, yeke? Alhamdulillah,” tutur Ekmal.
            “Mujur ibu boleh sembuh. Cuma itulah, ibu tak kuat lagi.” Sarah merenung wajah Tasneem ketika berbicara. Ibunya terlena selepas diberi makan ubat tadi.
            Ekmal sekadar mendiamkan diri. Musibah ini satu ujian buat mereka sekeluarga.
            “Abang nak apa-apa tak? Sarah nak pergi kantin sekejap.” Sarah bangun. Sekeping wang kertas berwarna merah diambil dari dompetnya.
            “Abang tolong jaga ibu ye. Sarah pergi sekejap aje,” lanjutnya apabila Ekmal memberi isyarat dia tidak mengkehendaki apa-apa pun.
            Ekmal ambil tempat Sarah di sisi Tasneem. Kepala ibunya dielus lembut. Penuh kasih sayang. Manakala jari-jemari Tasneem digenggam erat dan dibawa ke bibir. Dia kaku dalam keadaan begitu beberapa saat lamanya. Terasa tubir mata kian hangat. Pandangan mata merunduk- menekur cadar serba putih membaluti tilam berkenaan.
            “Ibu... cepat sembuh ya,” katanya dengan sayu.

WE need to talk.
            Terkumat-kamit mulut Amiera membaca kiriman pesanan ringkas yang diterima daripada nombor yang tidak dikenali. Anak mata meleret ke hujung pesanan tersebut. Lima abjad membentuk satu nama- Adlan.
            Helaan nafas kedengaran memberati dada, dilepaskan lambat-lambat. Dalam kepayahan dia bernafas setiap hari. Tiap ketika fikiran dibebani kejadian itu. Tiap saat terbayangkan wajah-wajah kecewa yang memandang dia penuh rasa tidak percaya.
            Amiera gagahkan kaki melintasi beberapa buah wad sebelum berhenti di depan pintu bilik yang menempatkan Tasneem. Tombol pintu dipulas sedikit, ditolak dengan bukaan yang nipis. Kedengaran suara Sarah sedang berbual-bual bersama Shahreza. Dari celah-celah pintu itu, jelas kelihatan Tasneem duduk bersandar di kepala katil. Keadaan wanita itu sedikit sihat berbanding sebelum ini. Fatma dan Ekmal juga ada bersama.
            Pintu ditutup kembali. Dia melangkah lemah meninggalkan tempat itu.

“AWAK pengsan.”
            “Pengsan?” Amiera kerut muka.
            Adlan angguk kepala. Telapak tangan dibawa meraup wajah. Terhembus sebuah keluhan berat mengepungi dada.
            “Tak ingat?” Pandangan Adlan memusat kepada Amiera yang kelihatan terpinga-pinga.
            Amiera mendiamkan diri. Fikiran sendiri sedang tekun bekerja. Mencari titik permulaan retetan semalam.
            “Budak lelaki tu...” Dia menggumam halus.
            “Yes. Ada budak kena langgar. Then tiba-tiba awak pengsan. Saya bawa awak balik. Oleh kerana baju saya kena darah, saya tumpang toilet dekat rumah awak. Unfortunately, bila keluar dari toilet, ayah awak dah ada depan mata. Dalam keadaan saya yang tak berbaju masa tu, duduk pula dalam rumah awak, of course mereka fikir something wrong somewhere.” Selesai mengungkap bicara panjang lebar begitu, Adlan bersandar tubuh. Kesal. 
            Pelipis dahi diurut lembut. Berdenyut.
            “Kita kahwin?” Adlan berkata dengan tenang. Ungkapan itulah yang hendak dimuntahkan kepada Amiera.
            Terbeliak mata Amiera.
            “No!” bantahnya.
            “Kita tak salah. So, kenapa mesti kahwin?” Amiera menentang keras.
            Adlan terdiam seketika sebelum membalas, “Awak akan kahwin dengan saya, Amiera. Apa pun yang jadi, you’ll be mine.”
            Amiera bersikap lebih tenang kali ini. Tiada bentakan seperti tadi. Dia merenungi Adlan. “Siapa encik nak paksa saya kahwin dengan encik?”
            “Saya tak nak kahwin dengan encik. Biarlah di mata mereka saya ni anak tak guna, ditangkap berdua-duaan dengan lelaki entah mana-mana, tapi saya tahu saya tak salah. Perkahwinan itu tidak akan terjadi.”
            Amiera bingkas berdiri. Menonong bawa kaki pergi. Panggilan Adlan tidak dipeduli.

TERKOCOH-KOCOH Razif menyaingi langkah laju Ekmal yang tiba-tiba menyongsang arah yang sepatutnya mereka tuju. Mereka kembali ke kereta- membolos diri ke dalam kenderaan milik Ekmal. Razif menurut meski dia kehairanan melihat perubahan Ekmal secara mendadak itu.
            “Tiba-tiba ubah angin ni kenapa?” Razif bertanya. Tali pinggang keledar ditarik merentangi tubuhnya.
            “Aku tak lapar.” Ekmal menjawab kasar.
            Razif menoleh. Berkerut dahinya. “Kau ni kenapa? Monopos?” seloroh Razif namun senyum sumbingnya terus padam sebaik renungan tajam Ekmal membelah mata.
            “Okay, fine! Kalau kau tak lapar, kau kena consider orang yang kau heret bawa keluar tadi. Aku nak makan. So please bro, pamer sikit simpati kau tu dekat aku.” Razif malas hendak melayani angin Ekmal yang datang tidak tentu masa sejak dua menjak ini.
            “Tapau bawa balik,” arah Ekmal.
            Tali pinggang keledar segera dileraikan dan sepantas kilat, dia melompat keluar. Bergegas mengatur langkah menghampiri Restoran De’ Rebung, kira-kira seratus lima puluh meter dari kawasan parkir kereta.
            Sebaik Razif menghilang ditelan kegelapan malam, Ekmal menghentak stereng kereta dengan kasar. Suara hati menjerit lantang menzahirkan rasa sakit hati dan kecewa.
            ‘Amiera! Amiera!! Amiera!!!’
            Ekmal meraup wajahnya. Saat mata terkatup rapat, bayangan Amiera bersama seorang lelaki yang dilihatnya tadi menerpa ke dalam fikiran. Lelaki yang sama berada di dalam bilik Amiera ketika mereka ditangkap berdua-duaan.

            ‘Kenapa dera abang begini, Amiera?’ Ekmal mengelus dada. Pedih.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

Notahujungkaki: Tidur.

1 comment:

Unknown said...

Huaaarrrgghh... X puas hati nih... Secoet je HR..? Last week xde.. Huhuhuhuhh... :'(