"...Love of Allah is a sweetness and pleasure that if you are without it, life becomes a thing of worries and of pain..." - Ibn Al-Qayyim
Bab 16
BURU-BURU Betty
menyeluk poket seluarnya. Gegaran itu sungguh merimaskan. Sebaik nama Amiera
tertera di skrin sesentuh itu, ikon hijau dileret ke kiri. Panggilan itu disambut
dengan senyuman lebar.
Riak ceria beransur hilang. Betty
mengerut dahi.
“Kau tak sihat ke?” soal Betty.
Kepala tertoleh-toleh ke kiri kanan, memastikan tiada kenderaan sebelum
mencicit lari melintasi jalan menuju ke bangunan tempat dia bekerja.
“Dah tu kenapa sampai cuti-cuti
bagai?”
Terangguk-angguk kepala Betty
mendengar penjelasan Amiera di hujung talian.
“Ni mesti kau sakit teruk ni.
Pergilah klinik. Ambil cuti. Untung-untung dapat dua tiga hari cuti. Bolehlah
kau tersadai atas katil,” seloroh Betty sambil tertawa kecil. Beg dicampak atas
kerusi. Bungkusan nasi kerabu dibawa ke pantry. Nampak gaya, sarapan pagi dan
makan tengahari, menu yang sama. Bukan rezeki Amiera menjamah nasi kerabu Mek
Su.
“Take
care okay. Banyakkan berehat,” pesan Betty lagi.
“No
hal lah. Nanti aku beritahu Kak Mila,” tuturnya lagi apabila Amiera mengucap
terima kasih.
Betty memerhati dua bungkusan nasi
kerabu itu. Perut kempisnya ditepuk-tepuk.
“Sakit perut ke?” Adlan melipat
lengan baju hingga ke paras siku.
Betty elus dada. Nyaris melompat
keluar jantungnya ditegur begitu.
“Eh, tak ada lah Encik Adlan,”
balasnya.
“Habis tu, saya tengok awak
tekan-tekan perut macam tu.” Adlan menjuih bibirnya. Sebelah tangan mencapai
sebiji mug dari kabinet.
Betty tersengih-sengih.
“Encik Adlan dah breakfast?” Betty melabuh punggung atas
kerusi sedang mata masih melekat pada paras majikannya.
Adlan menunjuk mug yang telah diisi
dengan air panas dan Nescafe 3 in 1.
“Aik, minum nes aje ke encik?” Betty
garu pelipis dahi.
Kuluman senyum nipis menghiasi bibir
Adlan. Selera makannya tidak menghambat diri sejak kelmarin ekoran rusuhan jiwa
yang enggan berhenti. Pagi ini pun, dia paksa kaki jejak lantai pejabat.
“Nah, encik makanlah nasi kerabu
ni.” Bungkusan itu diunjuk kepada Adlan.
Adlan menggeleng. “Tak apa.”
“Ambillah. Sebenarnya saya bawakan
untuk Amiera tapi dia tak datang pula hari ni. So, daripada sesak nafas saya telan nasi kerabu pagi dan tengahari,
lebih baik kasi dekat encik.” Kumat-kamit mulut Betty melontar suara. Bungkusan
itu diunjuk hampir ke dada Adlan. Mahu tidak mahu, Adlan sambut juga unjukan
itu. Betty senyum lebar.
“Amiera tak datang kerja?”
Lambat-lambat dia menyoal.
Betty yang sudah penuh mulutnya
dengan nasi hanya angguk kepala sebagai jawapan.
“Kenapa?” ajunya lagi.
Kunyahan terakhir ditelan penuh
nikmat. Betty menoleh seraya berkata, “Dia kata dia tak sihat. Baru kejap tadi
dia call saya.”
‘Amiera tidak sihat?’ Garis-garis
halus melatari dahi tatkala Adlan mengerut muka. Selangkah demi selangkah dia melintasi
Betty.
“Eh Encik Adlan!” Betty berdiri.
Panggilannya tidak dipeduli. Betty naik hairan. Pandangannya meleret ke arah
bungkusan nasi kerabu itu. ‘Bos tak nak kut. Dah tahu tak nak, kau paksa juga
tadi siapa suruh?’ Betty bermonolog.
“Morning
Betty,” sapa Iskandar.
“Morning
Encik Is,” balas Betty sambil hulur senyum melipat.
“Wah, sedapnya bau. Nasi kerabu?”
teka Iskandar. Sempat menyoroti isi dalam polisterin putih itu.
“Haah. Encik Is nak ke? Saya ada extra ni,” tawar Betty. Segera diunjuk
bungkusan tadi kepada Iskandar pula.
Iskandar pantang diberi apa-apa pun,
sentiasa menerima dengan lapang dada. Apa lagi, tangan dicuci bersih. Punggung
dihenyak di kerusi, duduk bertentangan Betty.
“Awak ni macam tahu-tahu aje yang
saya belum breakfast,” ujar Iskandar.
“Well....”
Betty jongket kening.
Iskandar tertawa.
“ADA beberapa part dalam projek yang kita kena ubah. Actually, after meeting hari tu,
tiba-tiba salah seorang big client
kita mencadangkan penggunaan 3D berbanding 2D. Kalau mengikut kemampuan sedia
ada, memang agak susah sikit. Yang betul-betul pakar buat 3D modeling ni Fazli dan Dija, kan?” Adlan
melorong mata memandang dua orang pekerjanya yang duduk saling bersebelahan.
Kedua-duanya mengangguk.
“So,
kami pun sarankan pada mereka untuk kekalkan penggunaan 2D dalam semua contents, termasuklah animation pahlwan melayu. But, I think kita kena buat sikit
perubahan especially part animasi.
Kita kena tambah shadow, then movement kena
lagi smooth. Overall, semua okay.
Lagipun ini baru part tunjuk-tunjuk idea kita dekat mereka, kan? So don’t worry. Kita akan sama-sama handle benda ni.” Senyuman nipis dioles
ke bibir. Iskandar yang duduk di sebelah turut sama tersenyum sambil
angguk-angguk kepala.
“Jefri, macam mana dengan part video?” Iskandar bertanya kepada
seorang lelaki bertahi lalat di tengah hidung.
“Buat masa sekarang, semua okay aje.
Even tok guru silat tu pun tak ada
masalah untuk beraksi depan kamera nanti. Yang lebih bestnya, dia beri kita pinjam anak-anak didik dia untuk pamer aksi bergaduh,”
terang Jefri, selaku ketua salah satu sub-projek berkenaan.
“Good,” balas Adlan. Sebuah buku tebal
berkulit hitam dibelek laju. Kemudian matanya terhenti ke mukasurat bercanting
banyak huruf bersambung-sambung.
“Bergaduh? Biar betul, Jef?” Iskandar
mencelah.
Jefri menggeleng laju. “Eh, bukan
bergaduh sakan Encik Is. Alah, macam tunjuk skill
tu.” Buru-buru dia menjelaskan.
Spontan Iskandar ketawa.
“Saya tahu. Saja nak test awak,” kata Iskandar.
Rata-rata di dalam bilik itu turut
hambur tawa. Jefri sengih lebar.
“Yang lain ada apa-apa masalah tak?
Fazli? Dija? Elias?” Nama ketua setiap bahagian disebut Iskandar.
Ketiga-tiganya pamer geleng kepala hampir serentak.
Iskandar mencuit bahu Adlan. Mereka
saling berbisik. Adlan mengangguk kepala. Selajur, Iskandar berdiri.
“Meeting
kita setakat ini dulu. If ada something come up, kami akan beritahu,”
ujar Iskandar.
Masing-masing mengangguk. Mula
angkat punggung dan mengheret kerusi dari ruang yang dikhaskan untuk
menjalankan sebarang perbincangan. Kerusi-kerusi itu disusun meninggi di tepi
dinding, berhampiran sebuah kabinet putih.
“Dokumen
tu kau jangan lupa pula. Urgent nak
pakai nanti.” Iskandar mengingatkan.
“Okay, nanti dah siap aku bagi kau.”
“Kan semua tu dah siap.”
Adlan menoleh sekilas. “Kau kata kau
suruh aku buat, kan?”
“Dokumen tu memanglah kau yang buat,
tapi kan hari tu, aku ada minta kau tambah sikit before hand over balik dekat aku.” Iskandar kehairanan.
Serta-merta, Adlan hambur tawa
dibuat-buat.
“Kenapa dengan kau? Aku tengok lain
macam aje ni. Ada masalah ke?” Iskandar menduga-duga pula.
“Aku okay ajelah. Cuma dalam otak ni
tak bersusun sangat segala maklumat. Terlonggang terbalik.” Adlan berdalih
lantas menutup buku catatan miliknya. Dikepit ke lengan.
“Aku nak keluar kejap,” lanjutnya.
CAPPUCINO dicicip
sedikit. Cawan pendek dan bersaiz sederhana lebar yang diperbuat daripada
seramik diletak kembali di atas pinggan kecil dari jenis yang serupa. Dia
bersandar. Berlagak tenang tatkala bertempur sepasang mata milik Shahreza.
“Betul kamu nak menikahi anak aku?”
Shahreza menyoal perlahan namun jelas menampilkan ketegasannya.
Udara dihirup memenuhi rengkungan,
lalu dilepaskan sedikit demi sedikit. Mereka masih bersabung renungan.
“Saya akan menikahi Amiera,”
jawabnya.
“Tapi tak bermakna saya mengakui
perlakuan terkutuk...”
“Aku tak mahu dengar alasan kamu
membela diri,” tuntas Shahreza.
Mulut Adlan langsung terkunci.
Lidahnya kelu untuk membela diri.
“Apa pun yang terjadi antara kamu
dan anak aku, itu urusan kamu dengan Tuhan.” Shahreza mengambil jalan menutup
kata hati sendiri- pertuduhan zina atau bersekedudukan itu ditarik kembali. Dia
enggan jadi penyebar fitnah. Dia juga tidak layak menghukum Adlan dan Amiera.
Rumusan kasar itu melalui pemerhatian mata. Amiera dan Adlan ditangkap
berdua-duaan di dalam satu rumah.
“Saya tahu pak cik tak akan percaya
kata-kata saya tapi percayalah, kami tak ada buat apa-apa,” tutur Adlan.
Shahreza
mengeluh lemah. Amiera membutirkan bicara yang sama. Bukan tidak percaya,
tetapi dia sangsi.
“Kamu mengaku tidak bersalah, kenapa
masih mahu menikahi anak aku?” Soalan kembali berpusat pada perbincangan asal.
Pandangan Adlan menjulang paras
Shahreza. Ulas bibirnya terus terkunci. Rapat.
SITI menikus di
depan Fatma. Terpejam matanya apabila suara lantang anak gadis majikannya
menempelak kasar. Benar, dia cuai. Oleh sebab itu, dia lebarkan sahaja anak
telinga, menelan segala makian Fatma.
Ainun
yang terdengar jerkahan Fatma, sesekali memaling ke belakang. Gerun. Setelah
memastikan stok tudung dimasukkan ke dalam kotak, lekas dia pacu kaki keluar
dari situ. Bergegas pulang ke butik yang satu lagi. Beberapa hari lalu, dia
juga dibambu begitu. Rasa hendak pecah gegendang telinga ekoran nyaring suara
Fatma menembusi corong telefon.
“Kerja senang macam ni pun, susah
nak buat ke?!” Tengking Fatma. Sehelai jubah warna keemasan dilempar ke muka
Siti.
“Aku suruh kau iron, bukan bakar! Apa kau buat sampai berlubang kain tu? Tidur?!”
Fatma mengancing gigi. Marahnya meruap hingga mendidih darah dalam tubuh.
“Maafkan saya, Ema.” Terunduk-tunduk
kepala Siti.
Fatma melurut kasar rambutnya.
“Senangnya kau minta maaf. Baju tu, lusa dah nak hantar dekat tuannya. Kau
ingat aku buat guna mesin? Campak kain semua dalam mesin tu, lepas tu jadi
baju. Macam tu?!” Bulat mata Fatma.
Siti tahan airmata yang hampir
gugur. Dia tidak sengaja.
Punggung dihenyak ke kerusi. Nafas
ditarik dalam-dalam.
“Bak sini baju tu!” minta Fatma.
Kasar.
Terkial-kial Siti kutip jubah
berkenaan, lalu diunjuk kepada Fatma.
“Dah, keluar!” bentak Fatma lagi.
Mencicit Siti pacu kakinya keluar
dari ruang itu. Di bilik air, dia meluahkan kesedihan. Kali pertama dimarahi
dengan begitu kasar sekali. Namun dia sedar, silap itu datang dari kecuaian dia
sendiri.
“Menyusahkan betul!” bebel Fatma.
Kesan terbakar di kaki jubah itu dibelek-belek. Mula memikirkan jalan
penyelesaian. Panjang jubah itu melepasi tanah. Dia akan memotong sedikit kain
tersebut bagi menghilangkan kesan terbakar.
Beg tangan disangkut ke bahu. Kunci
kereta digenggam. Rambut dirapikan sedikit sebelum bangun dari kerusi.
“Siti!” Pekikan tersebut mengejutkan
Siti. Wanita bujang itu terkocoh-kocoh berlari ke arah Fatma dengan mata
memerah.
“Ya Ema,” sahutnya.
“Aku nak tengok ibu dekat hospital.
Kau tolong jaga butik. Around 3
petang aku balik sini semula. Jangan pula kau bakar butik ni!” Sengaja menyisip
sindiran di hujung ayat.
Siti angguk faham.
KEDATANGAN
Shahreza pantas disambut oleh Amiera yang kebetulan sedang menemani Sarah
menjaga Tasneem di wad berkenaan. Namun sebaik kelibat Adlan kelihatan menyusup
masuk bersama, airmuka Amiera terus berubah. Terkedu.
Adlan berdiri agak jauh dari katil
tempat perbaringan Tasneem. Sesekali meleret anak mata merenungi Amiera.
Keadaan diri gadis itu diamati. Sihat sejahtera pada telahannya.
Membuntang mata Amiera tatkala
Shahreza menutur kata itu. Dia terkebil-kebil. Dirinya tidak lagi seimbang.
Akhirnya dia terduduk di atas kerusi yang berderet tidak jauh dari bilik
Tasneem.
Shahreza usap bahu Amiera, lantas
melabuh punggungnya di samping gadis itu.
“Mira tak nak kahwin dengan dia,
ayah,” tingkah Amiera. Rendah suaranya membantah.
“Amiera kena kahwin dengan dia.”
Shahreza tetap bertegas.
Amiera mendongak pandang lelaki itu.
Matanya berkaca-kaca. Untaian airmata diikat ketat-ketat. Dia enggan menangis
depan Shahreza.
“Tapi kenapa?” Terketar-ketar bibir
Amiera menyoal.
“Kamu lebih tahu, Amiera.”
“Mira tak salah, yah. Mira tak buat
benda-benda tu semua. Kami tak bersalah!” Amiera bersungguh membela diri.
Tuduhan itu terlalu berat untuk ditelan.
“Keputusan ayah muktamad. Apa pun
yang terjadi antara kamu berdua, Amiera akan tetap ayah nikahkan dengan Adlan.”
Shahreza berkata keras.
Amiera menekup muka. Berkahwin
dengan lelaki itu seolah mengakui perbuatan terkutuk itu, walhal ia tidak
pernah berlaku. Ya Allah!
Dari kejauhan, aura Fatma sudah
mampu dirasai oleh Amiera. Benar, Fatma sedang berjalan menghampiri mereka.
Amiera lekas bangun. Hendak cepat-cepat menjauhkan diri.
“Apa perempuan tu buat dekat sini?”
Fatma memasamkan muka. Tajam lirik mata menyoroti Amiera yang semakin menjauh.
“Salah ke dia datang melawat ibu?”
Soalan dibalas soalan.
Fatma mendengus. “Ayah, perempuan tu
dah malukan keluarga kita, sampai ibu sakit masuk hospital pun, ayah masih
boleh berdepan perempuan tu?”
“Dia anak ayah juga.”
“Pembetulan. Anak angkat, bukan akan
kandung.”
Berkeluh-kesah hati Shahreza
mendengar ayat pertuturan Fatma.
“Saya minta diri dulu.”
Shahreza dan Fatma serentak
menjulang roman wajah Adlan. Fatma kelihatan terkejut. Menghantar pemergian
Adlan dengan pandangan bercampur-baur.
“Dia tu...” Fatma tidak dapat
menoktahkan bicara sendiri.
“Lelaki tu... Adlan.”
“Ayah akan nikahkan Amiera dengan
lelaki tu walau Amiera membantah.” Shahreza berkata lagi seraya menapak pergi
dari situ.
Daripada melorong anak mata pada
Shahreza, kini Fatma menyoroti langkah Adlan yang kian menjauh.
2 comments:
Keluaran apa eh akak?
Brpa ms?
Dear ilman_nafi
Keluaran GedeBook dear :) boleh dptkan dekat kedai buku,nak beli online pon boleh :) klik aje kat mphonline atau bookcafe ;)
Post a Comment